Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Aida Khalida. Show all posts
Showing posts with label Aida Khalida. Show all posts

Aida Khalida Tidak Fikir Calon Suami, Tumpukan Ibadat

Pelakon Aida Khalida tidak lagi terfikir soal perkahwinan selepas bercerai dengan penyanyi, Joe Radzwill pada 2010. Aida atau nama sebenarnya Khalidah Adibah Ahmad, 58, berkata, dia kini lebih banyak menumpukan perhatian terhadap kehidupannya selain mendekatkan diri kepada Allah. "Jujurnya saya tidak lagi fikir tentang mencari pengganti kerana saya sudah pernah berkahwin dua kali sebelum ini dan ia musnah di tengah jalan. "Pada usia sekarang rasanya lebih baik saya tumpukan kepada hidup sendiri selain meningkatkan amal ibadat kepada Allah," katanya kepada mStar Online. Tambah Aida, sejak bergelar janda, dia tidak pernah didekati mana-mana lelaki untuk berkawan dengannya namun tidak menolak sekiranya sudah ditentukan untuk bertemu jodoh selepas ini. "Sungguhpun saya tidak mahu berkahwin lagi tetapi soal jodoh, maut dan pertemuan bukan di tangan saya. Sekiranya dipertemukan dengan seseorang saya terima," ujarnya.
Dalam pada itu, berkongsi tentang kehidupan hariannya, Aida berkata, setiap minggu dia akan menghadiri beberapa kelas agama selain mengaji Al Quran dan tajwid. Malah kata Aida, dia juga ada menyertai kumpulan WhatsApp di mana kesemua kenalan berkongsi tentang aktiviti keagamaan yang diadakan di sekitar Lembah Klang. "Alhamdulillah kehidupan saya semakin tenang sekarang dan dipenuhi dengan kelas-kelas agama dan rakan-rakan juga banyak membantu untuk memperbaiki diri ke arah lebih baik," katanya. Sementara itu, Aida juga memberitahu dia masih berlakon seperti biasa namun meletakkan syarat untuk tidak bersentuhan dengan mana-mana pelakon lelaki biarpun watak dilakonkan di antara ibu dan anak. Aida berkata, dia juga bersyukur kerana kebanyakkan produksi memahami situasinya dan sedia mengubah babak-babak yang melibatkan sentuhan. "Kebiasaannya saya akan baca skrip terlebih dahulu sebelum setuju dan akan merujuk kepada produksi sekiranya ada babak bersentuhan dapat diubah. "Alhamdulillah setakat ini produksi tiada masalah dan sangat memahami," ujarnya.

Aida Khalida anggap panas bertudung nikmat


BAGI wanita yang tidak pernah bertudung, mereka mungkin berasa tidak selesa dengan pakaian tersebut. Antaranya berasa rimas, malah cuaca panas di kawasan terbuka juga boleh menambahkan lagi rasa ketidakselesaan itu.

Bagaimanapun, lain pula halnya dengan pelakon Aida Khalida yang tidak menganggap semua itu sebagai halangan. Sebaliknya, dia yang telah bertudung sejak tiga tahun lalu dapat merasai ‘nikmat’ di sebalik cabaran bertudung.

“Saya tidak anggap bertudung susah, rimas atau rasa panas terutamanya sewaktu berada di kawasan terbuka mahupun lokasi penggambaran drama dan filem. Malah, saya anggap rasa panas itu adalah suatu ‘nikmat’ yang perlu dihayati.

“Panas sewaktu bertudung tidaklah sepanas mana kalau dibandingkan dengan panas api neraka di akhirat nanti. Mula-mula memang rasa panas tetapi lama kelamaan saya sudah jadi biasa dan ia menginsafkan,” katanya kepada S3.

Menurut Aida atau nama sebenarnya Khalidah Adibah Ahmad, keputusannya bertudung bukan dipengaruhi oleh mana-mana pihak tetapi ia lahir daripada kesedarannya sendiri yang mahu berubah ke arah kebaikan.

Jelas pemenang anugerah Pelakon TV Wanita Popular pada tahun 1995 dan 1996 ini, sudah sampai masanya dia bertudung walaupun keputusannya itu dibuat tanpa sebarang perancangan.

“Keputusan saya untuk bertudung tidak dirancang. Saya sendiri tidak terfikir untuk bertudung. Malah, keluarga termasuklah adik beradik saya terkejut apabila saya muncul dengan imej bertudung.

“Saya juga bertudung kerana malu melihatkan diri saya tanpa bertudung. Sebelum ini, saya pernah mewarnakan rambut saya dengan warna perang. Sekarang saya dapati dengan bertudung adalah terbaik buat saya,” ujarnya.

Aida yang sebelum ini menggunakan nama komersial Aida Radzwill berkata, dia melalui pelbagai cabaran terutamanya sewaktu menjalani penggambaran drama dan filem lakonannya dalam keadaan bertudung.

Pelakon berusia 53 tahun ini antaranya pernah diminta oleh pihak produksi penggambaran sebuah drama lakonannya agar membuka tudung semata-mata memenuhi tuntan wataknya.

“Dalam hal ini saya tetap bertegas bahawa sekali saya bertudung saya tidak akan membukanya semata-mata untuk watak lakonan saya. Untuk itu, ada yang mencadangkan saya menggunakan rambut palsu.

“Saya mengucap panjang dengan cadangan itu. Ini kerana, memakai rambut palsu itu haram dalam Islam. Tetapi lama kelamaan sekarang ini semakin ramai pengarah yang faham dengan pelakon bertudung seperti saya,” ujarnya.

Jelas bekas isteri pelakon Joe Radzwill ini, selain tidak menganggu kerjayanya sebagai pelakon, imejnya yang bertudung itu secara tidak langsung menjadi batu loncatan kepadanya untuk terus berusaha meningkatkan amal ibadatnya.

Aida menjelaskan sejak bertudung dia bukan sahaja semakin rajin mendalami ilmu agama malah sejak tahun lalu, jiwanya semakin tenang apabila menggunakan nama Aida Khalida.

“Saya anggap bertudung adalah langkah awal saya mendekatkan diri dengan Allah. Buktinya sejak bertudung saya semakin serius belajar mengaji al-Quran, bertadarus, solat taubat dan solat tahajjud pada malam hari.

“Selain itu, saya juga banyak membeli buku-buku agama dan berdampingan dengan ustazah bagi bertanyakan soal hukum hakam agama terutama tentang bacaan al-Quran yang betul. Semua itu meninggalkan kebahagian di hati saya,” katanya.

Dia yang kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Cinta Berkalung Duri arahan Haris Fazilah, berharap lebih ramai pelakon mahupun penyanyi yang akan bertudung dapat menjadi ikutan peminat di masa depan.

Senario sihat yang sedang berlaku dalam bidang hiburan tanah air sekarang ini katanya mampu melahirkan lebih ramai selebriti yang menampilkan imej sopan sesuai dengan gambaran Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Tidak ada sekatan untuk pelakon bertudung keluar TV ataupun berlakon filem. Kalau pelakon bertudung muncul dalam filem sekalipun, ia tidak menjejaskan kutipan tiket, malah kebanyakannya mencatatkan keuntungan.

“Malaysia sebuah negara Islam, jadi apa salahnya kalau bahan-bahan hiburan yang disajikan memberi mesej yang baik. Para penggiatnya juga sepatutnya mengikut syariat Islam termasuklah dengan cara menutup aurat,” ujarnya lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails