Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Aimi Jarr. Show all posts
Showing posts with label Aimi Jarr. Show all posts

Kehilangan Aimi Jarr Dirasai Teman Rapat


HULU KLANG: Pemergian pelakon veteran dan penulis, Aimi Jarr, 74 pagi semalam merupakan kehilangan besar buat industri seni tanah air.

Kahilangan turut dirasai oleh pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam kerana beliau merupakan antara teman rapat yang sentiasa berada di sisi Allahyarham.

Menurut Yusof, Allahyarham merupakan rakan serta penasihat terdekatnya dalam segala hal termasuk soal kerja dan keluarga.

“Saya mengenali beliau sejak tahun 80an lagi ketika itu saya baru baru sahaja melangkah ke dunia seni. Dia masih menjadi wartawan hiburan di sebuah majalah.

“Daripada hubungan seorang rakan sehingga bertukar menjadi hubungan kekeluargaan, saya menganggap dia seperti abang kandung saya sendiri.

“Kami bercerita bukan sahaja soal kerja malah soal rumah tangga dan anak-anak saya, dia merupakan pendengar setia saya,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah Allahyarham, di Taman Melawati, Selasa.

Tambah Yusof, biarpun sudah berusia, Allahyarham masih aktif menyumbangkan idea dalam setiap penulisan skrip terbitan Skop Production.

“Saya memang memerlukan dia sebagai penal skrip, walaupun kadang kala dia memberitahu ideanya sudah tidak setajam dahulu.

“Dia banyak beri input dari segi nasihat dalam setiap skrip-skrip drama terbitan syarikat saya,” katanya yang kali terakhir dia bertemu Allahyarham pada Ahad lalu.

Dalam pada itu, Yusof terkilan Allahyarham tidak sempat menyertai rombongan ke Beijing pada akhir tahun ini bersama pelakon-pelakon Gerak Khas.

Sementara itu, pelakon Tan Sri Jins Shamsuddin menyifatkan Allahyarham sebagai rakan dan penulis yang baik.

“Saya mengenali Allahyarham lebih 50 tahun ketika itu dia menjadi wartawan di majalah Selayang Filem.

“Pada saya, dia bukan sekadar wartawan tetapi turut memberi pendapat tentang filem dengan idea-ideanya sendiri.

Tambahnya, beliau terkilan kerana tidak berkesempatan bertemu Allahyarham lebih awal.

“Kali terakhir, kami berlakon bersama dalam drama Roda-Roda Kuala Lumpur episod Anak VIP yang baru disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini.

“Tapi saya agak terkilan tidak dapat bertemu dia buat kali terakhir beberapa minggu ini, kerana saya mendapat tahu dia tidak berapa sihat,” katanya.

Pelakon Datuk Mustafa Maarof pula menganggap Allahyarham merupakan seorang wartawan yang tegas dan berani menyuarakan pendapat.

“Allahyarham mempunyai hubungan baik dengan ramai orang dalam industri ini, tapi sebagai wartawan dia juga tegas dengan penulisannya.

“Dia juga ada mengkritik sesuatu perkara yang dianggapnya tidak wajar, malah pernah terjadi satu kes yang mana seorang pelakon tidak berpuas hati dengan penulisanya dan bertindak memukulnya.

“Bagaimanapun kes pukul tersebut ditutup kerana sebab-sebab tertentu,” ujarnya.

Tambah Mustafa, kehilangan Allahyarham diibaratkan sebagai kehilangan sesuatu yang tidak ternilai dalam indutri ini.

Allahyarham meninggal dunia di rumahnya di Taman Melawati, pagi Selasa, akibat serangan jantung kira-kira pukul 7.30 pagi, Selasa.

Jenazah Allahyarham dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Klang Gate Baru, Hulu Klang.

Aimi Jarr Meninggal Dunia


HULU KLANG: Pelakon veteran dan penulis, Aimi Jarr atau Omar Puteh, 72, yangjuga bekas wartawan hiburan meninggal dunia di rumahnya di Taman Melawati, pagi Selasa.

Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

Anak Bongsunya, Romy Jarr, 34 berkata Allahyarham tidak menunjukkan sebarang petanda dan sakit sebelum ini.

"Ketika ingin mengejutkannya pagi tadi, badan arwah sejuk dan mulut berbuih.

"Saya ingin membawanya ke hospital tetapi melihat keadaan tersebut kami hanya memanggil doktor untuk buat pemeriksaan," katanya ketika ditemui di Masjid Klang Gate Baru di sini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noriah Ishak, 74, dan tiga cahaya mata iaitu Norimy Jarr, 44, Norlisda Jarr, 40 dan Romy Jarr, 34.

Dalam pada itu, Romy berkata, Allahyarham merupakan seorang yang aktif dan tidak pernah jatuh sakit.

"Sebelum ini dia memang menghidap kencing manis dan Parkinson tetapi dia tidak pernah jatuh sakit sehingga ditahan di hospital.

"Walaupun kelihatan uzur tapi dia tetap bergerak ke pejabat dan melakukan tanggungjawabnya," katanya.

Katanya, sebelum ini, Allahyarham sempat berpesan agar memikul tanggungjawab untuk menjaga keluarga.

Ketika hayatnya, Allahyarham dikenali sebagai seorang yang sangat rapat dengan seniman agung Tan Sri P.Ramlee dan sering terlibat dalam perbincangan dan pertemuan-pertemuan antara P.Ramlee dengan rakan-rakan rapatnya dalam media.

Aimi Jarr juga pernah menghasilkan sebuah buku tentang P.Ramlee yang dinamakan "P.Ramlee- Legenda Yang Terus Hidup".

Beliau juga pernah berlakon di dalam beberapa buah filem dan drama dalam siri televisyen khususnya drama-drama arahan dan terbitan Skop Production milik Datuk Yusof Haslam.

Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan selepas Zuhur di Tanah Perkuburan Klang Gate Baru, Hulu Klang.

Turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham yang juga bekas wartawan Utusan Melayu ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak, bekas-bekas Ketua Pengarang Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Datuk Johan Jaaffar, aktivis seni tanah air seperti Datuk Dr Jins Shamsuddin, Datuk Mustafa Maarof, Datuk Yusof Haslam, Imuda, Datuk Ahmad Tarmimi Serigar, Datuk M. Daud Kilau, A. Galak, Omar Manan, Hail Amir, Zulkifli Zain dan isterinya Normala Omar, Zulkifle Ismail dan ramai lagi.

Turut memberi penghormatan terakhir ke atas jenazah Allahyarham ialah rakan-rakan wartawan dari pelbagai media khususnya wartawan hiburan tanah air dan juga bekas-bekas wartawan kanan yang merupakan rakan sekerja Allahyarham suatu ketika dahulu.

Salah seorang anak perempuannya, Norimy Jarr kini berkhidmat sebagai wartawan di Kumpulan Utusan Melayu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails