Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Ainan Tasneem. Show all posts
Showing posts with label Ainan Tasneem. Show all posts
Ainan Tasneem Kecewa Fitnah 'Tikam Belakang'
Penyanyi Ainan Tasneem tidak terkejut dengan tuduhan mendakwa dia bersikap tikam belakang terhadap wakil promoter yang mendapatkan persembahan untuknya gara-gara ingin mengaut keuntungan.
Ainan atau nama sebenarnya Ainan Tasneem Ridzuan, 22, sebaliknya berkata, sejak awal lagi dia sudah menjangkakan berita tersebut akan tersebar dan mengakui mengenali dalang disebalik penyebaran fitnah itu.
"Saya sebenarnya hendak tergelak apabila membaca laporan berkenaan kerana pertama sekali ia tidak benar dan saya sudah menjangkakan individu berkenaan akan memburukkan saya kepada media.
"Saya tahu dan kenal siapa 'wakil promoter' itu dan dia pernah mengugut saya untuk menyebarkan cerita tidak baik kepada wartawan kerana tidak berpuas hati," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.
Menerusi ruang gosip sebuah akhbar mingguan pada Ahad, Ainan dilaporkan berpura-pura pulang selepas mengadakan persembahan yang diaturkan oleh wakil promoter namun dia sebenarnya dikatakan menemui pihak penganjur untuk meminta mereka berurusan terus dengannya tanpa menggunakan orang tengah pada masa hadapan.
Ainan dikatakan bertindak sedemikian kerana ingin mengaut bayaran seratus peratus tanpa perlu membayar kepada pihak yang mencadangkan namanya membuat persembahan.
Dalam pada itu, Ainan berkata, individu berkenaan yang turut bekerja di sebuah syarikat rakaman menyebarkan cerita berkenaan kerana tidak berpuas hati apabila sebuah persembahan melibatkannya diaturkan oleh pengurus yang juga ibu saudaranya.
Jelas Ainan, individu berkenaan mempertikaikan tindakan tersebut yang meletakkan syarat sebarang tempahan persembahan perlu melalui pihaknya yang menjadi punca perbalahan di antara mereka.
"Sejak awal semasa saya menyertai Music Valley pihak pengurusan maklum tentang urusan persembahan saya diuruskan oleh ibu saudara saya dan mereka tidak mempunyai sebarang masalah tentang perkara itu malah ia lebih memudahkan keadaan.
Tambah Ainan, dia sedar individu berkenaan bersungguh-sungguh menguruskan tempahan persembahannya kerana ingin mengaut komisen dan tidak ikhlas dalam membantunya.
"Biarpun sedar akan niatnya saya tetap pergi setiap kali ada acara yang diuruskannya dan tidak pernah sesekali mempertikaikan komisen yang diambil walaupun dia pernah terkantoi mengambil 80 peratus daripada pembayaran dibuat penganjur," ujarnya lagi.
Sementara itu, Ainan berkata, pihak pengurusan atasan menyedari akan masalah yang berlaku dan individu tersebut telah pun menukar wakil bagi berurusan dengan pihaknya.
Dalam perkembangan lain, Ainan berkata, dia kini sedang sibuk dengan pengajian tahun akhirnya di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan hanya akan menerima
pertunjukan pentas sekiranya berkelapangan.
Bagaimanapun pihak syarikat rakamannya telah merancang untuk melancarkan album terbaharunya pada penghujung tahun ini.
Nyanyian bukan main-main - Ainan Tasneem
KETIKA ini penyanyi Ainan Tasneem Ridzuan boleh berbangga apabila single pertamanya, Aku Suka Dia sudah ditonton lebih sejuta kali sejak dimuat naik ke laman YouTube tahun lalu.
Tidak lekang dengan sebuah gitar yang sentiasa di sisinya, Ainan juga merupakan antara penyanyi yang cukup berbakat besar kerana mampu menghasilkan lagu sendiri.
Ketika ditemui semasa majlis pelancaran album sulungnya, Ainan Tasneem - Aku Suka Dia baru-baru ini, dia sendiri tidak menyangka mampu menempa nama sebagai penyanyi dalam sekelip mata.
"Kalau melihat kepada karier dalam bidang seni ini, saya anggap bidang nyanyian ini tidak lebih daripada sekadar mahu mengisi masa lapang selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dahulu.
"Ketika itu saya sekadar suka-suka merakamkan lagu yang dinyanyikan sendiri dan saya muat naik ke laman Facebook. Tujuan saya berbuat demikian cuma mahu mendapat komen daripada rakan-rakan," ujar penyanyi berusia 21 tahun itu.
Menurut Ainan, dia langsung tidak menyangka apabila seorang rakannya telah memuat naik lagu nyanyiannya, Aku Suka Dia ke laman YouTube sehingga mendapat sambutan yang baik.
Ujarnya, selepas lagu berkenaan diterima baik oleh pendengar, terdapat beberapa buah syarikat yang berjumpa dengan keluarganya dan menawarkannya sebagai artis rakaman.
"Secara jujurnya, saya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi seorang penyanyi, malah saya telah menolak banyak tawaran kerana menganggap nyanyian sebagai hobi sahaja.
"Namun begitu, setelah dipujuk oleh ahli keluarga dan rakan-rakan, barulah saya bersetuju menjadi artis rakaman dengan syarikat MVM Production," dedahnya.
Mengakui nyanyian bukanlah keutamaan dirinya sekarang, Ainan sebaliknya mendedahkan dia sebenarnya ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara dan bergelar pensyarah suatu hari nanti.
Jelasnya, sejak dibangku sekolah lagi dia sudah bercita-cita untuk menjadi pensyarah. Pada masa ini, dia mahu memberi sepenuh tumpuan kepada pengajiannya di Universiti Malaysia Perlis (UniMap).
Lali kontroversi
"Ketika ini saya memang memberi tumpuan yang lebih kepada pelajaran sahaja kerana mahu mendapatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan.
"Saya diberitahu sekiranya keputusan saya cemerlang, pihak UniMap akan menghantar saya menyambung pengajian di luar negara.
"Sudah tentu ia merupakan satu peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan. Buat masa ini pelajaran lebih diutamakan berbanding nyanyian," ujar penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioproses itu.
Pembabitannya dalam industri hiburan tempatan dianggap baru berusia setahun jagung, namun Ainan tidak dapat lari daripada dilanda gosip hangat.
Menurut Ainan, pada mulanya dia berasa rimas apabila ramai orang yang terlalu mengambil tahu dan memperkatakan kisah peribadinya.
"Sebenarnya saya kurang selesa kalau ada yang bercerita tentang peribadi saya, apatah lagi kalau cerita berkenaan tidak benar dan sekadar khabar angin.
"Misalnya, cerita yang mengatakan saya selalu berkepit dengan teman lelaki di universiti. Sebenarnya, saya tidak tahu apa tujuan orang yang menyebarkan cerita itu," luahnya.
Tambahnya, dia sekali lagi berdepan dengan kontroversi apabila dikatakan enggan menyanyikan lagu 150 Juta dalam acara persembahan yang dijayakannya kerana kesal dituduh mencuri lagu tersebut daripada Fynn Jamal.
Bagaimanapun, Ainan menjelaskan perkara tersebut tidak sepatutnya menjadi isu kerana ia merupakan salah faham dan dia tetap akan menyanyikan lagu berkenaan sekiranya mendapat permintaan daripada pihak penganjur.
"Sebagai seorang penyanyi baharu sudah tentu saya akan rasa terbeban dengan kontroversi yang melanda, tetapi lama-kelamaan saya semakin lali dengan segala kontroversi dan tidak kisah lagi apa yang orang hendak kata.
"Mungkin inilah harga yang terpaksa saya bayar apabila memilih untuk menjadi penyanyi.
"Namun begitu, saya sangat beruntung kerana mendapat sokongan yang kuat daripada ahli keluarga dan teman rapat yang lebih mengenali diri saya," jelasnya.
Cuti semester
Biarpun Ainan menyatakan mahu memberi fokus terhadap pengajiannya di UniMap, tetapi penyanyi itu menjelaskan dia masih lagi aktif dan bersedia menerima tawaran membuat persembahan.
Menurutnya, sepanjang tiga bulan cuti semester ini jadual nyanyiannya cukup padat, termasuk memenuhi undangan nyanyian sepanjang bulan puasa.
"Ketika ini, saya sedang bercuti dari bulan Jun hingga September. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai tawaran diterima. Saya juga menjayakan sesi promosi yang diaturkan untuk album saya.
"Selain itu, saya telah memberitahu kepada syarikat rakaman yang saya cuma boleh menerima tawaran menyanyi ketika cuti semester dan mereka bersetuju memberi kelonggaran kepada saya," ujarnya.
Bercerita mengenai album Ainan Tasneem - Aku Suka Dia pula, Ainan menjelaskan, terdapat lima buah lagu yang terkandung dalam album tersebut iaitu Aku Suka Dia, 150 Juta, Kamu Saja, Tak Mungkin Aku dan Aku Keliru.
Ainan Tasneem Enggan Bergambar Dengan Lelaki Elak Fitnah
Penyanyi yang popular menerusi lagu Aku Suka Dia iaitu Ainan Tasneem bertegas untuk tidak bergambar secara berdua-duaan dengan artis lelaki termasuklah untuk sesi fotografi media.
Ainan atau nama sebenarnya Ainan Tasneem Ridzuan, 21, berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak timbulnya sebarang fitnah selain ingin menjaga nama baik keluarganya.
"Saya bertekad untuk tampil bersih dan tidak mahu menimbulkan sebarang kontroversi termasuk bergambar dengan artis lelaki kecuali secara beramai-ramai.
"Keputusan itu dibuat bagi menghargai kepercayaan dan kebebasan yang diberikan oleh keluarga untuk saya bergiat aktif dalam bidang nyanyian," katanya selepas ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya berjudul Aku Suka Dia di Hotel Royal di sini, Selasa.
Album yang mengandungi lima buah lagu itu diterbitkan oleh syarikat MVM Productions.
Ainan berkata, album yang dilancarkan itu bagi memenuhi permintaan peminat yang sering bertanya tentang perkara itu kepadanya.
Jelasnya, walaupun hanya memuatkan lima buah lagu dia akan tampil dengan album penuh pada penghujung tahun ini dan akan mempelbagaikan genre muzik untuk pendengar.
Antara lagu yang dimuatkan adalah Aku Suka Dia, 150 Juta, Kamu Saja, Tak Mungkin Aku dan Aku Keliru.
Dalam perkembangan sama, bapa kepada Ainan iaitu Dr Ridzuan Mohd Sagir yang turut hadir pada sidang media itu berkata, pada mulanya dia keberatan untuk membenarkan anaknya itu terlibat secara serius dalam bidang nyanyian.
Ini kerana katanya dia lebih suka melihat Ainan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajian di Universiti Malaysia Perlis dalam bidang Kejuruteraan Bioproses sehingga tamat.
"Lama saya mengambil masa untuk memberi keputusan namun melihat kepada penerimaan peminat dan yakin dia dapat menjadi contoh kepada remaja yang lain, saya benarkan.
"Pun begitu saya meletakkan beberapa syarat seperti menjaga maruah diri, merendah diri dan bersederhana supaya dia sentiasa ingat tujuan asal untuk bergelar penyanyi," jelasnya.
Tambah Ridzuan, sejak di bangku sekolah rendah lagi anaknya itu memang gemar menyanyi dan banyak menyertai pertandingan nyanyian di peringkat sekolah dan negeri.
Ainan makin selesa
Ainan teruja diminati lelaki lembut
PENYANYI kelahiran YouTube, Ainan Tasneem tidak menduga, baru setahun menjadi artis dia sudah mempunyai ramai peminat bukan sahaja dalam kalangan remaja tetapi juga dewasa.
Malah, peminat penyanyi lagu Aku Suka Dia itu juga terdiri daripada lelaki lembut. Buktinya, baru-baru ini, bertempat di Restoran Rebung, Bangsar, satu pelancaran kelab peminat Ainan Tasneem telah diadakan.
Seramai 40 orang peminat hadir. Pandangan Kosmo! lantas memfokus ke arah satu meja bulat yang diduduki oleh 10 lelaki lembut.
Ikuti temu bual bersama pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu mengenai perasaannya diminati oleh lelaki lembut, selain mengupas lebih lanjut mengenai single terbaharu dan ketiganya (selepas dua single iaitu Aku Suka Dia dan 150 juta) yang digarap oleh dirinya sendiri berdasarkan pengalaman lalunya.
Kosmo!: Apakah perasaan anda bila melihat kehadiran peminat pada majlis hari ini?
AINAN: Secara jujurnya saya tidak sangka mempunyai peminat yang ramai. Pada mulanya, saya ingat 10 orang sahaja yang hadir. Sebabnya, saya baru setahun berada dalam industri nyanyian.
Apakah perasaan anda bila peminat anda juga terdiri daripada lelaki lembut?
Saya teruja kerana diminati oleh peminat yang terdiri daripada pelbagai umur dan jantina.
Bagaimanakah penerimaan peminat terhadap Ainan dan lagu-lagu anda?
Saya sedar ada orang yang menyukai lagu Aku Suka Dia dan ada juga orang yang tidak menyukainya. Jadi, saya berharap dapat menghasilkan lagu yang lebih bagus pada masa-masa akan datang.
Apakah maksud anda, lagu Aku Suka Dia tidak bagus?
Lagu tersebut lebih kepada pendengar remaja. Selepas ini, saya akan hasilkan lagu yang lebih matang untuk meraih penerimaan lebih meluas dalam kalangan kesemua peminat muzik.
Selepas single pertama, Aku Suka Dia dan single kedua, 150 juta muncul, jadi apakah single ketiga anda?
Single ketiga saya yang akan muncul berjudul, Luka. Lagu ini sangat istimewa buat saya kerana ia menceritakan mengenai kontroversi yang membelenggu saya selama setahun dalam industri nyanyian.
Kontroversi apakah yang dimaksudkan anda itu?
Lagu itu ditulis berdasarkan pengalaman sedih saya yang difitnah mencuri lagu orang (single, 150 juta). Bukan itu sahaja, lagu itu juga ditulis selepas saya difitnah keluar dating dengan teman lelaki sehingga pagi.
Siapa sebenarnya yang memfitnah anda keluar dating dengan teman lelaki sehingga pagi?
Walaupun ada yang menyukai saya tetapi ramai juga yang tidak menyukai saya di UniMAP. Saya tidak pernah dating dengan teman lelaki sehingga pagi. Kolej kami juga tutup pukul 12 tengah malam, jadi mana mungkin saya boleh dating dengan dia sampai pagi.
Apakah perasaan anda apabila berdepan dengan kontroversi-kontroversi seperti itu?
Kontroversi-kontroversi itu tidak melemahkan saya sebaliknya menjadikan saya lebih kuat.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Lapan lagu ciptaan saya sudah dirakamkan. Syarikat rakaman saya iaitu MVM Production bercadang untuk terbitkan album sulung saya, berkemungkinan pada pertengahan bulan ini.
Ainan tepis kontroversi
SEORANG lagi penyanyi kelahiran YouTube, Ainan Tasneem Ridzuan, 20, nampaknya tidak habis-habis dengan tempias gosip.
Walaupun menganggap menyanyi adalah kerjaya sambilannya sahaja, tetapi sejak kemunculannya dalam industri ini setahun lalu, Ainan masih dihurung kontroversi.
Pada mulanya, Ainan dianggap sebagai klon penyanyi YouTube yang terlebih dulu dikenali khalayak iaitu Najwa Latif.
Dia menafikan hal tersebut, sebaliknya menyifatkan perbandingan tersebut wujud kerana mereka muncul di bawah medium sosial yang sama.
Terkini, isu dia dikatakan suka menayang kekasih hatinya di tempat pengajiannya serta didakwa mencuri lagu seorang penyanyi bebas, Fynn Jamal iaitu lagu 150 juta dan dianggap telah merosakkan lagu berkenaan hangat diperkatakan.
Berpeluang bertemu dengan penyanyi tersebut sewaktu dia menjalani penggambaran muzik video lagu terbaharunya, Kamu Saja di Management & Science University (MSU), Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Ainan menafikan dia telah mencuri lagu berkenaan.
Sebaliknya, Ainan yang juga merupakan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjelaskan, lagu tersebut telah dijual oleh pemiliknya kepada syarikat rakaman tempatnya bernaung iaitu, Music Valley Malaysia (MVM) dan dia diberi kepercayaan untuk mendendangkan lagu itu semula.
"Saya tidak mencuri serta tidak merosakkan lagu berkenaan. Saya rasa saya hanya menyanyi ikut cara saya. Pada saya, kalau orang tidak suka cara nyanyian saya, mereka punya pilihan untuk tidak mendengarnya," ujar Ainan.
Tambah Ainan, pada awalnya dia menolak untuk menyanyikan lagu berkenaan, tetapi akur apabila Fynn telah memberi persetujuan dan menyerahkan 100 peratus lagu tersebut serta memberi lampu hijau supaya ia dinyanyikan dengan gayanya sendiri.
"Saya sedar ramai yang tidak suka dengan gaya saya, tetapi kalau di YouTube, ada juga komen positif yang menerima gaya saya. Mungkin hanya ramai pengikut Fynn yang masih tidak dapat menerima gaya saya menyanyikan lagu 150 juta itu," ujarnya yang menerima segala kritikan dengan hati terbuka.
Bagi Ainan lagi, apabila dia menyanyikan lagu berkenaan, secara tidak langsung ia telah membuatkan peminatnya kenal siapa Fynn yang berbakat besar.
"Fynn seorang yang berbakat, tetapi karyanya hanya boleh dilihat dalam YouTube, tidak dalam arus perdana, jadi saya rasa isu curi atau saya merosakkan lagu sesiapa tidak perlu timbul," jelasnya.
Tidak terhenti di situ sahaja, nama Ainan terus terpalit kontroversi apabila dikatakan memberikan lagu 150 juta nyanyiannya itu kepada sebuah stesen radio sahaja.
Tindakan tersebut dianggap seperti satu pilih kasih dan memilih stesen radio terkenal sahaja untuk mempromosikan lagu berkenaan.
Apabila diajukan persoalan itu, Ainan menepis kontroversi berkenaan dengan mengatakan perkara itu berlaku di luar pengetahuannya.
"Sebenarnya saya tidak mahu lagu itu disiarkan di mana-mana stesen radio. Perancangan asal saya, selepas semua lagu saya dipromosi barulah lagu itu boleh diputarkan di corong radio, tetapi secara tidak sengaja, lagu itu telah diberikan oleh MVM kepada satu stesen radio.
"Malangnya, apabila diminta untuk menarik balik pemutaran lagu tersebut daripada radio, ia sudah terlambat kerana lagu itu telah popular dan mendapat permintaan tinggi pendengar," jelasnya.
Kata Ainan, dia tidak akan menjadi pilih kasih atau memilih lagunya hanya disiarkan di sebuah stesen radio sahaja.
"Saya mahu lagu saya sendiri diputarkan, bukan lagu itu (150 juta), tetapi benda sudah jadi saya nak buat macam mana," tambahnya yang tetap tidak akan membenarkan stesen radio lain untuk menyiarkan lagu 150 juta selepas kontroversi itu berlaku.
Geram
Menjadi Ainan Tasneem nampaknya tidak semudah yang disangka walaupun baru setahun jagung dalam industri ini, kontroversi terbaharu yang membuatkan penyanyi ini geram dan marah apabila dikatakan sering berkepit dengan teman lelakinya di UniMAP.
Baru-baru ini sebuah akhbar dan portal hiburan telah melaporkan mengenai sikap Ainan yang sering berkepit dengan teman lelakinya di kafe universiti itu hingga awal pagi.
Mengakui teman lelakinya yang telah dikenali sejak tiga tahun lalu itu turut belajar di universiti yang sama, dia menyangkal sekeras-kerasnya sering kelihatan berkepit dengan kekasihnya setiap hari.
"Saya berjumpa dengan dia (kekasih) hanya seminggu sekali sahaja apabila dia ada latihan rugbi berdekatan kediaman saya dalam universiti. Itu pun kadangkala ada kawan-kawan lain yang temankan," ujarnya.
Jelasnya lagi, dia tidak pasti sama ada gosip itu timbul disebabkan ada pihak yang dengki atau menyampah dengan dirinya di universiti itu.
"Sebelum ini orang cakap saya sombong, tapi tak tahu pula kalau ada orang menyampah dengan saya. Ya, memang saya jumpa kekasih saya di kafe di situ, tetapi tempat itu ramai orang, bukan berdua-duaan di kawasan yang tidak elok," ujarnya.
Kerja sambilan
Bercerita mengenai kerjaya seni muziknya pula, pelajar tahun kedua jurusan Kejuruteraan Bioproses ini menganggap menyanyi hanya akan menjadi kerjaya sambilannya sahaja.
"Saya bercita-cita menjadi pensyarah. Menyanyi saya lakukan untuk mengisi masa lapang sahaja," ujarnya yang turut berharap dapat menyambung pengajian ke peringkat sarjana di United Kingdom, England selepas tamat belajar di UniMAP nanti.
Kata Ainan, dia memilih untuk menjadi pensyarah apabila tamat pengajian nanti disebabkan tidak mahu menghampakan harapan keluarga dan pensyarahnya.
"Mereka sudah benarkan saya menyanyi sekarang, jadi itu sudah cukup untuk buat saya gembira. Kini tiba giliran saya pula buat mereka gembira untuk berjaya dalam hidup dengan ada kerjaya tetap," ujar anak tunggal perempuan daripada empat beradik ini.
Mengakui telah banyak menolak tawaran mengadakan persembahan disebabkan kekangan belajar, Ainan tidak menyesal terpaksa berbuat demikian.
Katanya: "Saya hanya ada masa hujung minggu sahaja sebab tiada kelas, kalau ada tawaran menyanyi dekat-dekat saya terima, kalau jauh saya tengok dulu sama ada ia berbaloi atau tidak."
Ainan Tasneem Enggan Dikritik Meniru Artis Lain
PETALING JAYA: Selepas dikritik cuba meniru gaya penyanyi 'Youtube', Najwa Latif, pendatang baru Ainan Tasneem mengakui berdebar dan risau untuk berdepan dengan khalayak setiap kali tampil membuat persembahan.
Ainan atau nama sebenarnya Ainan Tasneem Redzuan, 20, berkata, dia enggan dilabel sebagai peniru gaya artis lain dan memastikan imej dan cara penyampaian persembahan mempunyai gaya identiti yang tersendiri.
"Diakui, ketika orang mula kenal saya menerusi lagu Aku Suka Dia, ramai yang menganggap saya cuba meniru personaliti Najwa.
"Ini mungkin berlaku memandangkan bakat kami dicungkil menerusi laman 'Youtube'.
"Jadi untuk mengelakkan kritikan yang sama berlaku, saya akan pastikan untuk menjadi diri sendiri dan sekiranya secara kebetulan ada gaya nyanyian yang seakan-akan sama dengan penyanyi lain, saya akan ubah atau cuba elakkan," katanya.
Tambah Ainan, dia juga tidak akan menjadikan penggunaan gitar sebagai identiti dirinya setiap kali mengadakan persembahan.
"Bermain gitar merupakan satu kebolehan yang saya ada selepas mempelajarinya ketika berusia 17 tahun, namun tidak bermakna setiap kali mengadakan persembahan saya akan bermain gitar. "Lagipun, sebenarnya saya suka lagu berkonsepkan balada yang bernada tinggi serta mencabar vokal. Jadi, sudah semestinya memegang gitar dilihat seperti tidak sesuai ketika mempersembahkan lagu sebegitu," ujarnya.
Walaupun nama Ainan mula menjadi perhatian di industri muzik tempatan, namun penuntut jurusan Kejuruteraan Bioproses dari Universiti Malaysia Perlis itu mempunyai cita-citanya sendiri iaitu ingin bergelar seorang pensyarah.
"Memang menjadi pensyarah merupakan impian saya sejak dahulu lagi dan diharap ia dapat menjadi kenyataan satu hari nanti.
"Walaupun sibuk dengan hal muzik, saya tidak pernah abaikan pelajaran. InsyaAllah, moga impian saya itu terlaksana," tuturnya.
Sementara itu Ainan bakal muncul dengan single lagu terbaru iaitu Aku Keliru, Tak Mungkin dan 150 Juta.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
