Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Aishah Sinclair. Show all posts
Showing posts with label Aishah Sinclair. Show all posts

Aishah Sinclair Tidak Mahu Anak Hidup Terabai

Pengacara dan penyampai radio, Aishah Sinclair bersikap memilih terhadap tawaran yang diberikan kepadanya kerana bimbang akan menyebabkan masa bersama dua anaknya terabai. Aishah atau nama sebenarnya Aishah Jennifer Mohamed Sinclair, 35, berkata, dia tidak mahu terlepas untuk melihat anak-anaknya membesar dan sanggup berkorban demi memastikan mereka mendapat perhatian. "Harus saya akui bukan mudah untuk melakukan dua perkara dalam satu masa tetapi saya perlu bijak membahagikan masa terutamanya apabila bersama anak-anak. "Sebab itu sejak melahirkan anak pertama saya agak selektif dengan tawaran diberikan kerana tidak mahu terlalu banyak menghabiskan masa di luar berbanding di rumah," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Aishah berkata, tugas sebagai penyampai radio di Mix FM juga sudah cukup membuatkan jadualnya padat memandangkan dia bersiaran pada pukul 6 hingga 10 pagi di slot Mix Breakfast.
Kata Aishah, setiap hari dia akan bangun seawal pukul empat pagi untuk ke konti dan hanya akan pulang ke rumah selepas waktu makan tengah hari. "Sejak bergelar penyampai radio saya akan bangun pada pukul empat pagi kerana perlu sampai ke konti radio sekurang-kurangnya pukul 5 pagi. "Selepas selesai tugas baharulah saya akan menguruskan anak-anak dan suami sebelum masuk tidur selewat-lewatnya pukul 8.30 malam," ujarnya. Tambah Aishah, dia bersyukur kerana mempunyai suami yang begitu memahaminya dan banyak membantu menguruskan anak-anak mereka sepanjang ketiadaannya. "Alhamdulillah suami dan keluarga banyak membantu. Ia bukanlah mudah tetapi saya sedaya upaya cuba mengimbangkan keluarga dan karier sebaik mungkin.
"Sebab itu juga saya memilih tawaran kerana selepas bersiaran di konti saya ingin terus pulang untuk bersama anak-anak," katanya. Sementara itu, bercakap mengenai kerjaya baharunya sebagai penyampai radio, Aishah berkata, pada awalnya dia tidak menyangka mempunyai bakat dalam bidang tersebut. "Saya ada berhasrat untuk menjadi penyampai radio tetapi tidak pernah sangka peluang itu datang secepat ini. "Biarpun pada awalnya merasakan tidak mempunyai bakat tetapi lama kelamaan saya mula selesa dan ia adalah bidang yang menyeronokkan," jelasnya.

BILA AISHAH SINCLAIR HAMIL 5 BULAN

Bulan ini, sudah masuk bulan kelima pelakon dan pengacara popular, Aishah Sinclair hamil anak kedua. Nampaknya dalam senyap... Aishah terus sihat berisi. Khabarnya, dia menjaga pemakanan dengan mengambil banyak ulam-ulaman untuk mengekalkan kesihatan diri dan bayi. Sebagai rekod, Aishah berkahwin dengan Sheikh Abdul Shahnaz pada tahun 2006 dan kini mempunyai seorang anak perempuan, Soraya Ann, 3.

Alam Dan Haiwan Milik Aishah Sinclair


SEJAK akhir-akhir ini, penampilan Aishah Sinclair (gambar) semakin menjadi perhatian umum. Tambah pula dengan gaya rambut pendek ala “pixie cut” itu memperlihatkan wajah ibu kepada Soraya Ann, 1, ini tampak lebih muda berbanding usianya.

Pada 27 Oktober depan Aishah bakal menginjak usia 31 tahun.

Dia juga mengakui sejak memotong rambut pada Februari lalu, keyakinan hidupnya menjadi lebih tinggi, malah rambutnya kini lebih mudah diuruskan.

“Kalau nak tahu, bukan mudah saya membuat keputusan untuk berambut pendek seperti ini. Malah, sebulan sebelum melakukan tindakan itu, suami saya, Sheikh Abdul Shahnaz, menunjukkan reaksi kurang bersetuju dengan keinginan saya itu.

“Kemudian, tiba-tiba dia pula yang sibuk tanya saya bila nak potong rambut? Bila saya nampak dia juga beria-ia mahu melihat perubahan rambut saya, tanpa berfikir panjang, saya terus ke salon. Seterusnya saya memilih Emma Watson dan Halle Berry sebagai inspirasi saya untuk mendapatkan imej itu,” tuturnya.

Kata Aishah atau nama sebenarnya Aishah Jennifer Mohamed Sinclair, berambut pendek lebih memudahkan dia untuk mempersiapkan diri memandangkan dia sibuk menguruskan anak.

Cuma, gaya sebegitu membuatkan pengacara jelita ini berasa segan apabila tersedar potongan itu membuatkan wajahnya tampak seperti seorang lelaki.

“Bila berambut pendek, wajah saya nampak macam tomboi. Jadi saya pun mulalah merajinkan diri menyolekkan wajah agar nampak lebih feminin. Seronoknya, berambut pendek tidak memerlukan kita fokus tentang penjagaan rambut.

“Saya masih lagi ingat ketika berambut panjang, berbotol-botol produk rambut berada dalam bilik air,” selorohnya yang begitu peka tentang penjagaan kecantikan diri.

Dalam pada itu, sebagai seorang wanita, lebih-lebih lagi apabila bergelar ibu, masalah sibuk menjaga anak tidak boleh dijadikan alasan untuknya mengabaikan diri.

Ujar anak kacukan Melayu-Inggeris ini, dia tahu, anak akan menjadi keutamaan apabila tibanya soal membeli belah atau keperluan-keperluan lain.

Namun, Aishah bersikap sedikit ‘pentingkan diri’ di mana dia akan memastikan, dirinya juga tidak terabai dek kerana terlalu fokus dengan anak pertamanya itu.

“Rasanya semua wanita gemar membelai diri masing-masing. Justeru itu, kita perlu bijak mencuri masa dengan membuat urutan, membeli belah atau ke spa agar tubuh badan kita juga mendapat penjagaan yang secukupnya. Saya percaya, kita tidak akan menjadi ibu yang bagus jika diri sendiri pun tidak terjaga,” katanya.

Risau gagal didik anak

Jiwa ibu mana yang tenang apabila melihat gejala sosial semakin menjadi-jadi di zaman ini dan ia mungkin boleh mempengaruhi anak-anak mereka.

Perasaan itu turut terpaut di hati Aishah apabila memikirkan adakah perkara itu juga akan berlaku kepada anak perempuannya pada masa akan datang?

“Entahlah, susah kita nak jangka apa yang akan terjadi kepada anak kita apabila memasuki zaman remaja nanti.

“Sebagai seorang ibu, semestinya saya takut jika Soraya tersilap langkah dalam melalui cabaran kehidupan. Bagaimanapun, saya juga kena sedar bahawa kita tidak boleh menjadi terlalu sempurna dalam mendidik.

“Malah cara mendidik pada zaman kini dan dulu juga lain kerana kanak-kanak sekarang cepat belajar dengan apa yang mereka lihat. Saya pun tidak mahu mengongkong Soraya kerana takut dia memberontak pula,” ujarnya.

Bagaimanapun, Aishah bersyukur kerana bukan sahaja dia yang menjaga anak kesayangannya itu, tetapi ibu kandung dan ibu mertuanya turut membantu dalam cara mendidik anak dengan betul.

“Saya tahu bahawa saya bukanlah ibu yang sempurna lebih-lebih lagi menjadi ibu kepada anak sulung.

“Alhamdulillah, selain suami, ibu dan bapa mertua saya banyak membantu dan menyokong. Malah saya akan hantar ke taska kendalian makcik saya jika mempunyai hal kerja. Sekurang-kurangnya Soraya dijaga oleh orang yang saya percayai,” katanya pengacara The Breakfast Show di ntv7 ini.

Tanam pokok di Mongolia

Seperti umum tahu, Aishah seorang yang begitu peka tentang masalah alam sekitar yang semakin pupus dek kerana kerakusan manusia yang tidak peka dengan penjagaan alam.

Selain menjadi jurucakap Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA), Aishah baru sahaja menandatangani kontrak menjadi duta alam sekitar, Timberland Earthkeepers (TE) pada Jun lalu.

Menariknya, Aishah telah ke Mongolia bersama pihak TE dan beberapa pemenang yang menyertai peraduan soal jawab yang dianjurkan oleh TE, selama dua hari untuk menanam pokok di gurun Horqin.

“Di sana, kami telah menanam sebanyak 800 pokok dan projek ini telah dilakukan sejak 10 tahun yang lalu. Dan dalam masa 10 tahun TE telah menanam sebanyak 1 juta pokok.

“Alhamdulillah, pokok-pokok yang ditanam sudah membesar dan masih lagi hidup hingga sekarang. Sekurang-kurangnya kita dapat menyelamatkan bumi yang kepupusan pokok-pokok hijau,” ujarnya bersemangat.

Selain itu Aishah juga seorang pencinta haiwan dan kata adik kepada pelakon Ashraf Sinclair ini, dia kerap membela kucing yang terbiar dalam jangka masa tertentu.

“Hati saya menjadi kurang senang apabila mendengar kucing mengiau. Saya akan cari kucing itu sampai dapat dan membawanya pulang ke rumah. Lagipun di rumah saya ada kucing dan sangkarnya sekali. Kemudian saya akan serahkan kepada orang yang ingin membelanya.

“Rasanya saya mengikut jejak ayah yang juga tidak senang melihat haiwan terseksa. Dahulu, ketika ayah dalam perjalanan pulang ke rumah, dia melihat seekor anjing didera oleh tuannya. Ayah terus berhentikan keretanya dan marah tuan punya anjing itu,” selorohnya.

Mahu kembali berlakon - Aishah Sinclair


PEMILIK nama Aishah Jennifer Mohamed Sinclair ini adalah antara segelintir pelakon wajah Pan-Asia yang telah mewarnai industri hiburan tanah air. Selain dikenali sebagai model dan pengacara, wanita kacukan Melayu-Inggeris ini juga pernah berlakon dalam beberapa buah drama dan telemovie.

Malah, personaliti ntv7 yang lebih dikenali sebagai Aishah Sinclair ini juga mengikut jejak langkah abangnya iaitu Ashraf Sinclair yang terlebih dahulu bergelar sebagai seorang pelakon dan sedang mengecapi populariti di Indonesia.

Setelah mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan iaitu Shaikh Abdul Shahnaz pada tahun 2006, rezekinya dalam bidang peragaan, pengacara dan pelakon semakin bertambah sehingga semakin dikenali ramai.

Bagaimanapun, setelah mengandung dan melahirkan anak sulung iaitu Soraya Ann pada 15 Ogos, tahun lalu, tiada lagi kelibatnya dalam lakonan. Kali terakhir wajahnya sebagai pelakon muncul di kaca televisyen adalah menerusi telefilem Sos Cili Sos Tiram pada tahun 2009.

Berkesempatan bertemu Aishah baru-baru ini, si empunya diri terus sahaja ditebak dengan soalan sama ada dia masih lagi berminat untuk berlakon atau mahu melupakan terus dunia lakonan dan sekadar memberi tumpuan kepada bidang pengacaraan sahaja.

“Buat masa ini memang saya tidak nafikan begitu selesa untuk menjadi pengacara dan boleh dikatakan sepanjang karier saya lebih banyak mengacara pelbagai program berbanding dengan berlakon.

“Namun jauh di sudut hati saya ini, sebenarnya saya masih lagi berhasrat untuk berlakon dan sejak daripada dahulu lagi memang lakonan adalah satu bidang yang sangat saya minat dan gemari,” luahnya.

Selain berlakon drama dan telefilem, Aishah juga pernah tampil dalam beberapa buah filem seperti Gol dan Gincu The Movie, Bujang Senang dan Kapoww, tetapi sekadar membawa watak kecil sahaja.

Jelas Aishah, sebelum ini dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon yang diterima memandangkan anaknya yang masih kecil, tetapi kini dia bersedia menerima apa sahaja tawaran asalkan bersesuaian dengan watak dan skrip.

Malah, sekarang ini dia juga tidak mempunyai masalah untuk kembali terjun semula ke dunia lakonan memandangkan anaknya itu kini dijaga bergilir-gilir oleh ibu dan ibu mertuanya yang tinggal berhampiran.

“Memang saya sudah sasarkan sekiranya mahu kembali berlakon, saya mahu tunggu anak saya besar terlebih dahulu. Lagipun memang sukar sekiranya hendak berpisah dengan anak yang masih kecil dalam tempoh yang lama,” tegasnya.

Sementara itu, ketika ditanya adakah suaminya akan membenarkannya berlakon semula, Aishah memberitahu suaminya itu tidak keberatan untuk memberi kebenaran asalkan dia tidak mengabaikan rumah tangga.


Ujar Aishah, dia sangat beruntung kerana memiliki seorang suami yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk dia melebarkan lagi sayap sama ada menjadi seorang model, pengacara atau pelakon.

“Saya gembira kerana suami saya seorang yang begitu berfikiran terbuka dan bukan jenis yang mahukan isteri hanya terperap di rumah sepanjang masa. Apa sahaja yang saya lakukan, dia tidak pernah untuk menghalang,” ujarnya.

Di samping itu, dia juga turut mengakui kehidupan rumah tangganya bersama suami tercinta semakin bahagia dan bersinar dengan kelahiran Soraya Ann setelah empat tahun menunggu untuk memiliki cahaya mata.


Syarikat

Selain padat dengan jadual sebagai pengacara dan menguruskan rumah tangga, pada masa yang sama Aishah juga turut memiliki dan mengurus sebuah syarikat iaitu Sinclair Falak Sdn. Bhd.

Menurutnya, syarikat yang telah ditubuhkan sejak tiga tahun yang lalu itu menjalankan perniagaan pengurusan dan penjenamaan artis dan dia berkongsi bersama seorang lagi rakannya yang juga seorang pelakon iaitu Sazzy Falak.

“Setakat ini saya dan Sazzy sama-sama menguruskan syarikat ini. Selain Sazzy dan saya sendiri, antara artis yang berada di bawah Sinclair Falak Sdn. Bhd. adalah suami Sazzy iaitu Nazril Idrus dan Farish Aziz.

“Dalam masa terdekat ini juga, ada tiga orang lagi artis yang akan menyertai kami. Salah seorangnya adalah artis yang kini sudah mempunyai nama kukuh dalam industri hiburan dan dua orang lagi adalah artis baru,” jelasnya.

Menurutnya lagi, selain menjalankan urusan pengurusan dan penjenamaan artis, syarikatnya itu juga turut menganjurkan beberapa buah bengkel lakonan yang khusus kepada mereka yang minat untuk mendalami ilmu lakonan.

Jelasnya, mereka telah mengundang pelakon seperti Zahiril Adzim dan Que Haidar untuk menjadi tenaga pengajar dan boleh dikatakan bengkel lakonan yang dianjurkan mereka mendapat sambutan yang cukup baik.

“Apa yang saya lihat memang ramai yang minat untuk menceburi bidang lakonan dan tujuan kami menganjurkan bengkel sebegini adalah untuk memberi lebih banyak pendedahan kepada mereka menerusi pengalaman yang dimiliki oleh pelakon yang menjadi tenaga pengajar,” ujarnya.

Aishah Sinclair Tak Tentukan Masa Depan Anak


PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Aishah Sinclair tidak akan memaksa dan menentukan masa depan anaknya apabila besar kelak.

Tambah Aishah, dia mahu anaknya, Soraya Ann yang kini berusia tujuh bulan memilih jalan kerjayanya sendiri tanpa dipaksa mana-mana pihak.

"Setiap ibu bapa mahukan anak-anaknya jadi orang berguna, sebagai ibu bapa juga kita hanya mampu untuk beri sokongan dengan apa yang mereka ingin lakukan.

"Saya ikut seperti apa yang dialkukan oleh ibu bapa saya yang tidak pernah melarang saya dan abang (Ashraf Sinclair) untuk menentukan jalan hidup kami sendiri.

"Malahan mereka beri sokongan terhadap kerja yang kami pilih ini, tapi kalau boleh saya mahu Suraya jadi wartawan" katanya sambil ketawa.

Dalam pada itu, Aisyah tutut memberitahu bahawa dia belum bersedia untuk meninggalkan Suraya dalam tempoh masa yang lama.

"Sebenarnya saya belum bersedia untuk bekerja terutamanya yang emmerlukan saya berpisah dengan Suraya dalam tempoh lama.

"Nasib baik, The Breakfast Show hanya bermula pukul 8 pagi hingga pukul 10 pagi sahaja, selebihnya saya akan terus balik ke rumah dan menjaga Suraya.

"Bagi saya kehidupan sangat sempurna selepas menjadi isteri dan ibu," katanya yang masih menyusukaan anaknya.

Bercerita tentang pengalaman tujuh bulan menjadi ibu, Aishah mengakui terlalu banyak perkara yang dipelajarinya sepanjang tempoh tersebut.

"Saya ni cepat buntu bila terjadi apa-apa kepada Suraya, selalunya saya banyak bertanya kepada keluarga tentang hal-hal bayi.

"Saya anggap sekarang merupakan tempoh membelajaran saya tentang pengurusan kanak-kanak, biarpun kadang-kala agak kelam kabut tapi saya bersyukur kerana suami juga banyak ambil peranan menjaga Suraya," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails