Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Amar Asyraf. Show all posts
Showing posts with label Amar Asyraf. Show all posts
Amar Asyraf terkilan
PENONTON sudah dijanjikan dengan kemunculan Uqasha Senrose, Syazwan Zulkifly dan Syatilla Melvin menerusi teater Kompilasi Ronggeng Volume 2. Bagaimanapun, hingga usai pementasan baru-baru ini, kelibat ketiga-tiga pelakon tersebut tidak kelihatan.
Situasi tersebut menyebabkan penonton berasa tertipu, tambahan pula, bayaran yang dikenakan kepada penonton bukannya murah.
Teater ke-10 yang dipentaskan rumah produksi Projek Ronggeng itu telah meletakkan tanggungjawab kepada pelakon drama bersiri Setia Hujung Nyawa, Amar Asyraf sebagai penerbit.
Sebelum ini, Projek Ronggeng pernah mementaskan beberapa naskhah popular teater antaranya Kompilasi Ronggeng Volume 1, Option, Burung Cahaya Merah, Banduan Terhormat, Si Tora Harimau Jadian dan Arghhh!
Bertemu dengan Amar selepas tamat pementasan di Auditorium Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) Kelana Jaya, baru-baru ini, Kosmo! mendapatkan penjelasan lanjut daripada penerbit merangkap pengarah teater itu.
KOSMO!: Di sebalik kejayaan pementasan naskhah ke-10 Projek Ronggeng baru-baru ini, terdapat isu berbangkit berhubung ketiadaan beberapa pelakon terkenal seperti yang dijanjikan menerusi poster teater Kompilasi Ronggeng Volume 2 beberapa minggu sebelum ini. Apakah komen anda?
AMAR ASYRAF: Mereka mempunyai komitmen saat akhir sehingga terpaksa tarik diri daripada pementasan kali ini. Sejujurnya, tiada masalah lain selain daripada percanggahan jadual.
Saya menganggap hal ini perkara biasa dan tiada rezeki untuk kami bekerjasama. Saya tidak boleh menunggu lama untuk mendapatkan tarikh lain daripada mereka, jadi projek itu harus diteruskan.
Bilakah perjanjian itu dibuat dan bila pula mereka memberitahu mengenai penarikan diri tersebut?
Perjanjian dibuat secara lisan sekitar awal bulan September lalu dan mereka telah menarik diri sekitar tiga minggu lepas.
Adakah kalian sudah menjalani sesi latihan bersama selepas perjanjian tersebut?
Semua sesi latihan belum sempat melibatkan tiga pelakon berkenaan kerana menunggu kata putus daripada pengurusan masing-masing. Malangnya, selepas jadual mereka keluar, berlaku pula pertindihan waktu menyebabkan mereka terpaksa tarik diri.
Meletakkan nama artis berkenaan di poster mengundang banyak tanda tanya apabila tiada seorang daripada mereka terlibat dalam pementasan. Mungkinkah penonton akan rasa tertipu?
Saya meletakkan nama mereka selepas ketiga-tiganya memberikan persetujuan, namun berlaku masalah yang tidak dapat dielakkan. Saya tidak boleh berbuat apa-apa, memandangkan poster juga telah siap dan diedarkan. Saya anggap itu masalah teknikal dan tidak menyalahkan sesiapa pun.
Adakah anda terkilan dengan penarikan diri pelakon-pelakon yang sudah berjanji tentang komitmen mereka?
Sedikit terkilan kerana ini impian saya untuk membawa pelakon televisyen dan filem masuk ke pentas teater. Melalui cara ini mereka akan melihat perspektif lain dalam lakonan.
Apakah kesan terhadap penarikan diri tiga artis berkenaan?
Penjualan tiket terjejas dan saya terpaksa memulangkan semula sejumlah wang yang telah dibayar untuk menonton teater ini. Silap saya juga kerana keluarkan poster terlalu awal. Saya sepatutnya menunggu sekurang-kurangnya sehingga mereka (pelakon) memberikan kata muktamad.
Kenapa perjanjian itu tidak diikat dengan kontrak?
Kami cuma amalkan konsep budi bicara dan perkara itu normal. Saya cuba membawa pelakon lain menyertai produksi ini dan merasai cara bekerja seperti keluarga. Ada juga beberapa pelakon yang berminat untuk menyertai pementasan di bawah produksi Projek Ronggeng, misalnya Jay Iswazir dan Izham Ismail, namun jadual juga tidak mengizinkan.
Adakah anda mengambil inisiatif lain seperti memanggil pelakon gantian?
Masalah itu berlaku pada saat akhir manakala pelakon lain pula sibuk dengan penggambaran. Jadi, saya anggap kali ini bukan rezeki saya. Latihan pula memerlukan tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu kerana teater tidak sama seperti berlakon di depan kamera. Kalau saya menggantikan mereka dengan pelakon lain, akan lebih memburukkan keadaan.
Adakah anda serik untuk menjemput pelakon popular lagi selepas ini untuk menyertai Projek Ronggeng?
Saya tidak serik dan akan terus mengajak pelakon lain lagi selepas ini. Saya mahu menjadikan teater sebuah industri. Sekarang, teater sekadar suatu hobi. Sebenarnya saya okey, lagipun Syazwan Zulkifly turut datang menyaksikan teater ini tempoh hari.
Takkan Cium Perempuan Lain - Amar Asyraf
Sejak bergelar suami kepada Arna Salleh pada 7 Jun lalu, aktor yang semakin meningkat naik namanya, Amar Asyraf mengakui dia kini lebih menjaga batasan dalam melakonkan sesuatu watak. Apatahlagi jika dia diberikan watak yang bertul-betul memaksa dia bersentuhan atau babak intim dengan pasangannya, awal-awal lagi dia sudah memaklumkan babak tersebut kepada isterinya.
Malah kata pelakon yang berjaya mencuri tumpuan ramai peminat drama tempatan menerusi lakonannya dalam siri fenomena, Setia Hujung Nyawa ini, dia sebolehnya akan mengelak daripada melakonkan adegan mencium dahi dan pipi pelakon wanita.
"Perempuan mana yang tiada perasaan cemburu, kan. Kalau tak banyak, sikit mesti ada. Sebab tu, kalau ada adegan intim yang saya kena lakonkan, saya pasti akan beritahu dia awal-awal supaya dia tak terkejut. Sekurang-kurangnya nanti kalau dia tengok lakonan saya di televisyen, tak lah dia terkejut sangat. Dia pun pernah cakap, jangan bagi dia terkejut.
"Kalau kena juga lakonan babak romantik atau nak pegang-pegang pun ada batasnya. Tapi saya tak akan lakonkan adegan ciuman, misalnya cium dahi atau pipi mana-mana aktres. Sebab bagi saya, ciuman saya eksklusif untuk isteri saya saja.
"Sebenarnya semua ini atas kemahuan saya sendiri. Isteri saya sedia memahami kerja saya. Malah dia dah tahu awal-awal, kalau dia berkahwin dengan saya, ada banyak perkara yang perlu dihadapi. Dan saya rasa penting untuk saya jaga hati dia", katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan pelancaran program-program terbaik Anugerah Syawal TV3, di Hotel Istana, Kuala Lumpur, semalam.
Amar dan Arna sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan mereka yang diadakan di kampung halaman isterinya, di Bidor, Perak.
Bulan Madu di Pulau
Berkongsi serba sedikit mengenai kehidupan sekarang, Amar berkata di awal-awal perkahwinannya, dia berasa kekok menjalani hidup berdua sebumbung. Arna pun baru memahami cara kerjaya Amar sebagai seorang pelakon.
"Mula-mula tu kekok tapi lama-lama okay. Isteri saya pun baru tahu cara kerja saya dan dia dapat menerimanya. Dia rasional dan bijak. Sesekali tu ada juga dia kritik lakonan saya. Sekarang ni dia baru mulakan perniagaan butik pengantin dan hamper bersama rakan kongsinya", ujar Amar.
Belum berkesempatan berbulan madu dek kerana kesibukannya menjalani penggambaran. Bagaimanapun Amar sudah merancang mahu membawa Arna bercuti di Selatan Thai selepas selesai majlis resepsi sebelah pihak lelaki yang akan diadakan pada 17 Ogos ini, di Masjid Tanah, Melaka.
"InsyaAllah selepas selesai majlis resepsi nanti, kami akan pergi berbulan madu. Kami berdua suka pulau. Jadi kami rancang nak berbulan madu di pulau Krabi atau Koh Samui", katanya yang akan membawa Arna pulang beraya di Melaka kemudian baru pulang ke rumah mertuanya di Bidor, Perak.
Perkembangan lain, Amar bakal muncul menerusi telemovie khas raya, Setia Hujung Nyawa Raya di saluran TV3. Manakala selepas Aidilfitri nanti dia bakal memulakan penggambaran drama bersiri untuk slot Aksi di TV3. Drama arahan Khabir Bahtia itu turut menampilkan pelakon hebat seperti Remy Ishak dan Faizal Hussein.
- mD
Perkahwinan Tidak Jejaskan Kerjaya Amar Asyraf
PETALING JAYA: Pelakon baru Amar Asyraf menganggap perancangan untuk berkahwin pada Aidilfitri 2013 tidak akan menjejaskan perjalanan karier lakonannya yang baru berkembang.
Amar atau nama sebenarnya Amar Asyraf Zailuddin, 26, berkata, dia percaya bahawa keputusan untuk memperisterikan wanita bernama ‘A’ yang dikenali sejak dua tahun lalu itu akan menambahkan rezekinya dalam bidang seni kelak.
“Saya percaya perkahwinan tidak akan menghalang kerjaya saya daripada terus berkembang.
“Benar, nama dan kerjaya saya baru bermula tetapi kalau diperhatikan ramai sahaja pelakon atau penyanyi yang semakin berjaya selepas berkahwin,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.
Pelakon yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka itu berkata, dia merahsiakan status pertunangannya sebelum ini demi menghormati keputusan tunangnya yang enggan menghebohkan perkara itu kepada khalayak.
Kata Amar, majlis pertunangan pada Aidilfitri ketiga lalu berlangsung secara kecil-kecilan tanpa sebarang hebahan kerana keluarga tunangnya belum bersedia untuk mendapat publisiti dan perhatian umum.
“Dia (A) bekerja dalam bidang perbankan dan bukan orang seni pun. Saya perlu hormati keputusannya dan keluarga yang tidak mahu majlis pertunangan kami dihebohkan kepada khalayak kerana dia belum bersedia untuk semua ini (perhatian umum).
“Lainlah kalau majlis perkahwinan kami nanti, sudah tentu saya akan beritahu semua,” katanya yang tertarik untuk memperisterikan ‘A’ kerana sikapnya yang memahami.
Mengenai kerjaya lakonan, Amar berkata, kehadirannya di persada seni semakin mendapat perhatian penerbit dan pengarah apabila dia mula ditawarkan watak penting dan utama dalam drama televisyen (TV) dan filem.
“Alhamdulillah, orang mula nampak kewujudan saya. Sekarang saya sedang terlibat dalam penggambaran drama bersiri Setia Hujung Nyawa untuk TV3 sebagai watak utama.
“Insya-Allah, selepas komitmen drama ini selesai pada hujung Januari depan, saya ditawarkan watak utama untuk sebuah filem arahan Shirin Khuzaimi pada Februari depan pula,” katanya.
Drama Setia Hujung Nyawa arahan Amie Maziah turut membariskan antaranya Nelydia Senrose, Raja Ema, Zila Bakarin, Hilal Azman, Talha Harith dan Bea Rameshan.
Ia akan ditayangkan bermula 24 Disember ini pada setiap Isnin hingga Khamis pukul 7 malam menerusi slot Akasia di TV3.
Amar Asyraf Bikin Orang Keliru
KUALA LUMPUR: Pelakon baru Amar Asyraf mengakui sering disalah anggap oleh segelintir pihak yang menyangkanya sebagai pelakon Amar Baharin atau Ammar Alfian Aziz kerana persamaan pada pangkal nama mereka.
Amar atau nama sebenarnya Amar Asyraf Zailuddin, 26, berkata, keadaan itu berlaku kerana populariti nama Amar itu yang terlebih dahulu “dibawa” oleh dua aktor tersebut.
“Saya akui orang ramai masih tidak mengenali siapa Amar Asyraf. Banyak pihak sering keliru dan tersalah anggap kerana mereka sangka saya adalah Amar Baharin atau Ammar Alfian Aziz kerana persamaan pada pangkal nama kami.
“Namun, saya tidak berkecil hati kerana maklumlah saya orang baru dalam bidang lakonan berbanding mereka. Cuma, saya berharap selepas ini orang ramai akan menyedari kewujudan saya,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.
Bekas graduan Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara) ini berkata, dia masih berdepan kesukaran untuk menonjolkan diri selepas hampir dua tahun menceburi bidang seni.
“Saya pun tidak tahu di mana silapnya kerana sampai ke hari ini, saya perhatikan populariti itu agak perlahan dan susah sikit.
“Malah, saya sering tidak mendapat apa-apa tawaran lakonan mungkin disebabkan nama saya yang masih tidak dikenali umum,” tuturnya.
Ditanya apakah perancangan bagi melonjakkan populariti diri, Amar berkata, dia hanya berserah kepada nasib dan rezeki, selain memastikan mutu kerjanya disenangi dan mendapat perhatian khalayak.
“Menjadi popular dan dikenali memang penting tetapi saya seperti tidak kisah mengenai aspek itu selama ini. Malah, saya selesa bergiat aktif di pentas teater jika tiada tawaran lakonan.
“Mungkin sebelum ini saya agak memilih tawaran yang diberikan kerana kecenderungan itu kuat kepada dunia teater.
“Namun, selepas ini saya perlu imbangi perkara itu dan kena banyak bersabar sementara menunggu peluang saya untuk menyerlah tiba,” ujarnya yang bakal muncul dalam drama bersiri Dalam Hati Ada Taman.
Siri itu akan disiarkan bermula 29 Oktober ini pada setiap Isnin pukul 9.30 malam di Astro Ria (saluran 104).
Selain menantikan tayangan filem Qada pada tahun depan, pemuda yang berasal dari Melaka ini juga sedang mengacarakan program berjudul Dinamik di TV2.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
