Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Ani Mayuni. Show all posts
Showing posts with label Ani Mayuni. Show all posts
Ani Maiyuni Belum Sedia Bersara
Penyanyi Ani Maiyuni masih belum terfikir untuk meninggalkan dunia nyanyian biarpun persaingan pendatang baharu semakin sengit mewarnai industri muzik ketika ini.
Ani atau nama sebenarnya Aishah An Nur Osman, 35, berkata, jika dia berbuat demikian ia adalah tidak adil kepada para peminat yang sentiasa menyokong kerjayanya selama ini.
"Sekiranya saya mengundurkan diri ia akan mengecewakan peminat kerana sokongan mereka tidak berbelah bahagi dan Alhamdulillah permintaan untuk mengadakan persembahan juga masih ada.
"Tambahan pula nyanyian adalah karier tetap dan saya masih ingin perjuangkan irama dangdut kepada peminat," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Ani berkata, sebagai persediaan dia mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dan memberitahu akan membuka sebuah restoran berkonsepkan kafe pada penghujung tahun ini.
Ani bakal membuka sebuah kafe pada penghujung tahun ini.
Jelas Ani, dia sudah lama berhasrat untuk memiliki sebuah kafe kerana meminati bidang masakan dan bersyukur impian berkenaan bakal terlaksana.
"Alhamdulillah impian saya ingin membuka sebuah kafe hampir terlaksana namun kerana kesibukan dengan pelbagai tugasan saya terpaksa tangguhkan sehingga penghujung tahun ini," katanya.
Sementara itu, Ani berkata, kafe yang bakal diberi nama Mayuni Mini Kafe itu akan menghidangkan snek ringan seperti kek, biskut dan sandwich dan akan diselenggara sendiri olehnya.
"Saya mahu ia menjadi sebuah kafe dengan konsep terbuka di mana pengunjung dapat menghabiskan masa bersama-sama sambil menikmati snek," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ani berkata, dia bakal berangkat ke Sarawak selama sebulan untuk menjalani penggambaran program masakan berjudul Jejak Juadah untuk siaran RTM.
Saksikan video Ani Maiyuni bercerita mengenai harsratnya membuka cafe yang mengambil inspirasi nama datuknya. Sila klik: http://www.mstar.com.my/hiburan/zoom/2014/09/03/video-ani-maiyuni-cafe/
Ani Maiyuni kaki bomoh
Kisah artis dan bomoh ini bukan kisah baharu, tetapi artis jadi bomoh memang satu dalam sejuta. Khabarnya penyanyi Ani Maiyuni kini sudah menjadi bomoh, takut pula Aida dengar pengakuan ini. Jadi siapa-siapa yang pernah buat perhitungan dengan Ani perlu lebih berhati-hati selepas ini, ialah silap hari bulan tidak sempat popular nanti sudah kecundang.
Khabarnya kerjaya Ani ini baharu lagi, tetapi jangan risau menurut Ani dia tidak akan gunakan kelebihannya ini di luar hanya untuk beberapa hari sahaja. Pelik pulak, boleh ya guna untuk seketika sahaja kuasa bomoh-bomoh ini.
Memang saya seorang bomoh.
Tetapi jangan risau, kuasa saya ini terbatas,"katanya.
Aida tanyakan kepada Ani apa bezanya kuasa bomoh Ani dengan bomoh lain, katanya kuasa bomohnya itu hanya menjadi kalau di atas pentas sahaja. Patutlah rupa-rupanya Ani kini sedang giat menjalani latihan untuk teater Bomoh Dharai.
Risau pula kita, kalau artis-artis kini pun sudah sibuk menjadi bomoh, kesianlah bomoh pula terpaksa bersaing. Tetapi jangan terkejut sebenarnya memang ada sebahagian artis kita ini menggunakan perkhidmatan ilmu hitam untuk melariskan kerjaya.
Menurut Ani mungkin kalau ada mereka yang di luar sana mahu melihat kesan sebenar ilmu hitam ini, boleh menonton teater lakonannya yang akan di pentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka pada 22 sehingga 24 Mei depan.
Ani Mayuni masih laris
MESKIPUN sudah lapan tahun tidak merakamkan album baru, Ani Mayuni masih diminati ramai. Buktinya penyanyi dangdut berusia 33 tahun itu terus menerima undangan menyanyi di merata-rata tempat di seluruh negara.
Malah Ani Mayuni atau nama sebenarnya Aishah An Nur Osman berkata, bukan setakat dalam negara, sebaliknya dia turut mendapat banyak tawaran menyanyi di luar negara terutamanya Brunei sejak kebelakangan ini.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu berjudul Sedap, Terang Bulan dan Dasar Buaya Cinta itu adakalanya terpaksa berada di Brunei berminggu-minggu kerana menerima undangan menyanyi di sana.
"Biasanya paling sekejap pun saya akan berada di Brunei selama 14 hari kerana dijemput menyanyi dalam pelbagai jenis persembahan. Kadang-kala saya berada di sana selama sebulan kerana mengadakan persembahan pentas.
"Kali terakhir saya berada di Brunei ialah pada bulan lepas. Persembahan pentas di sana agak banyak kerana ia turut melibatkan persembahan pada majlis-majlis perkahwinan termasuklah membabitkan kerabat diraja Brunei.
"Biasanya saya tidak bersendirian dan akan ditemani beberapa rakan artis seperti Nassier Wahab, Salwa Abdul Rahman dan Azizul Khamis yang turut mengadakan persembahan di sana," katanya kepada Hits pada pertemuan selepas majlis berbuka puasa anjuran Prism Sdn. Bhd. di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur.
Ani berkata dia tidak mampu menolak tawaran tersebut biarpun mengambil masa yang agak lama untuk dijayakan.
Selain itu turut bersyukur kerana masih laris menerima undangan menyanyi biarpun tanpa album baru, apatah lagi itu adalah komitmen yang harus dilaluinya sebagai penyanyi sepenuh masa sejak lebih 10 tahun yang lalu.
Ibu kepada Wirda Viviana, 7, Wirna Airisya, 3, dan Muhammad Emir Oezil, 2, itu juga sanggup berpisah sementara dengan tiga orang anaknya itu jika dia mendapat tawaran mengadakan persembahan di luar negara.
"Biasanya kalau saya memenuhi undangan menyanyi di Brunei, anak sulung saya akan dijaga oleh emak mertua, anak kedua dijaga oleh ibu saudara saya. Sementara itu, anak bongsu saya pula akan dijaga oleh adik saya.
"Kebetulan adik bongsu saya, Nur Afnie Osman, 27, pula sudah dua tahun berkahwin tetapi belum ada anak. Jadi, saya tiada masalah bila tiada di rumah kerana ahli-ahli keluarga memahami kerjaya saya sebagai penyanyi.
"Alhamdulillah mereka banyak membantu saya tolong jaga anak-anak ketika saya tidak ada di rumah terutamanya kalau menyanyi di Brunei sampai sebulan lamanya. Setakat ini saya tiada masalah tentang perkara itu," ujarnya.
Selain Brunei, dia juga menerima banyak undangan menyanyi di negara-negara seperti Indonesia, Thailand dan Singapura sehingga perlu bijak membahagi-bahagikan masanya.
Kata isteri kepada Zairi Azmi, 37, yang juga merupakan bekas anggota kumpulan rock Arrow dan pemuzik undangan, suaminya banyak memberi galakan kepadanya untuk terus menceburi bidang yang diminatinya itu.
"Saya memang kena bijak membahagi-bahagikan masa sebagai penyanyi, isteri dan ibu. Selain Brunei, saya selalu juga mendapat undangan menyanyi di Danok, Hatyai dan Bangkok, Thailand serta Riau, Medan dan Bandung di Indonesia.
"Banyak kelab dan majlis di sana yang mahukan saya menyanyikan lagu-lagu dangdut. Mungkin lagu-lagu itu sesuai dengan tempat-tempat seperti itu biarpun kalau di Thailand bukan semua orang faham lagu-lagu Melayu.
"Ramai peminat ingat saya tidak menyanyi selepas berkahwin dan mempunyai tiga anak. Sedangkan hakikatnya saya masih menyanyi terutamanya di negara jiran," katanya.
Jelas Ani yang kali terakhir muncul dengan lagu duet berjudul Sha La La bersama penyanyi dangdut, Shikin dalam sebuah album kompilasi pada tahun 2004 tidak menafikan dangdut seakan-akan sebati dalam dirinya.
Biarpun ada di kalangan penyanyi dangdut seperti Haiza yang dikatakan cuba beralih arah dengan irama pop namun dia seolah-olah sukar untuk beralih arah kepada genre muzik lain dengan mengikut arus aliran trend hari ini.
"Ramai peminat yang tahu saya memang ligat menari kalau di pentas. Kalau saya tukar kepada genre muzik lain mungkin agak sukar untuk saya menari dan mengekalkan imej saya itu terutamanya kalau menyanyi di pentas.
"Contohnya pada 22 Julai lalu sewaktu saya dan Shikin mengadakan persembahan di Metro Kajang, Selangor ramai peminat yang masih terhibur dengan persembahan lagu-lagu dan joget dangdut kami itu," jelasnya lagi.
Tinggal Berasingan Berjaya Pulihkan Rumah Tangga Ani Mayuni
KUALA LUMPUR: Konflik rumah tangga penyanyi dangdut Ani Mayuni yang berlaku pada awal Februari lalu akhirnya selesai apabila dia dan suaminya Zairi Azmi mengambil pendekatan untuk berjauhan selama sebulan setengah.
Menurut Ani atau nama sebenarnya Aishah An Nur Osman, 33, tindakan itu terbukti berkesan apabila proses berjauhan itu dapat memulihkan keretakan hubungan mereka sebelum ini.
“Selepas insiden itu (dipukul) saya dan suami ambil keputusan untuk berjauhan bagi lebih mengenali diri dan menilai semula baik buruk sikap kami.
“Saya bersyukur, rupanya tempoh berjauhan itu berjaya memulihkan hubungan perkahwinan kami,” katanya ketika ditemui mStar Online di sini, malam Rabu lalu.
Pada 2 Februari lalu, sebuah akhbar harian tabloid melaporkan Ani telah ditendang dan dipukul suaminya yang juga merupakan bekas anggota kumpulan muzik Arrow di rumah mereka yang terletak di Desa Rejang, di sini.
Dalam laporan tersebut, penyanyi dangdut itu mendakwa kepalanya turut dihentak ke dinding hanya kerana dia meminta suaminya membelikan sarapan pagi.
Bagaimanapun, Ani menafikan bahawa dirinya ditendang seperti yang diuar-uarkan di media sebaliknya hanya dipukul selepas bertengkar.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Sedap ini berkata, tempoh berjauhan itu memberikan ruang antara satu sama lain untuk memperbaiki kekurangan masing-masing.
“Apa yang saya boleh katakan, konflik rumah tangga kami sudah pulih dan kehidupan bertambah harmoni. Saya melihat ada hikmah di sebalik kejadian itu.
“Apabila berjauhan selama sebulan setengah, baru saya sedar kesilapan saya dan begitu juga suami. Ia membuatkan kami bermuhasabah diri dan memperbaiki kesilapan masing-masing.
“Insiden itu berpunca daripada emosi kami yang saling memendam rasa selama ini kerana isu masa dan sering berjauhan,” katanya.
Ditanya mengenai kesan insiden itu kepada dirinya, Ani berkata tiada impak negatif dialami kerana kemelut perkahwinannya berjaya diselesaikan dalam keadaan baik.
“Saya memang tidak pernah fikirkan atau mahukan perceraian. Biar seteruk mana pun keadaannya ketika itu, saya cuba bertahan demi anak-anak dan rumah tangga saya.
“Kini keadaan kembali seperti sedia kala, jadi saya tidak perlu berasa trauma atau bimbang. Malah, kehidupan kami sekeluarga semakin bahagia,” katanya.
Ani dan Zairi Azmi atau Ayie, 37, mendirikan rumah tangga pada 5 Jun 2004. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Wirda Viviana, 7, Wirna Airisya, 3, dan Muhammad Emir Oezil, 2.
Insiden Dipukul Suami, Ani Mayuni Enggan Bercerai
PETALING JAYA: Penyanyi Ani Mayuni atau nama sebenarnya Aishah An Nur Osman, 33, memberitahu dia tidak ada niat mahu menuntut cerai walaupun telah membuat laporan polis gara-gara cedera dipukul suaminya Zairi Azmi, 37, pada 2 Februari lalu.
Ani menjelaskan, dia juga tidak pernah terfikir untuk melaporkan kejadian itu kepada polis kerana enggan memperbesarkan keadaan tetapi dinasihatkan berbuat demikian agar boleh membuat pemeriksaan perubatan dengan lebih terperinci.
"Selepas kejadian dipukul pada waktu pagi itu, saya perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin kerana pada sebelah petang, saya perlu menghadiri satu undangan persembahan. Risau juga kalau tak boleh nak menyanyi.
"Tetapi atas nasihat doktor, saya perlu membuat laporan polis supaya dapat membuat pemeriksaan sepenuhnya. Jujur saya katakan, apa yang dilakukan itu bukan kerana niat untuk bercerai," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Isnin.
Sebuah akhbar harian tabloid melaporkan Ani telah ditendang dan dipukul oleh suaminya yang juga merupakan bekas anggota kumpulan muzik Arrow dalam kejadian di rumah mereka di Desa Rejang, Kuala Lumpur pada 2 Februari lalu. Dalam laporan media tersebut, penyanyi dangdut itu mendakwa kepalanya turut dihentak ke dinding hanya kerana selepas dia meminta suaminya itu membeli sarapan pagi.
Bagaimanapun, Ani menafikan bahawa dirinya ditendang seperti yang diuar-uarkan di media sebaliknya hanya dipukul selepas bertengkar.
"Ada beberapa informasi salah tentang kejadian yang berlaku. Suami saya bukannya menghentak kepala dan terajang saya seperti yang dilaporkan.
"Sebenarnya, pertengkaran bermula sejak sehari sebelum itu lagi dan biasalah ada bab-bab merajuk dan saling tak berpuas hati, tambah pula suami yang keletihan dengan kerja-kerja suntingannya, maka pergaduhan kami bertambah besar.
"Masing-masing ada ego dan kesilapan tersendiri. Cuma apabila ia dikeluarkan di dada akhbar, ia menjadi isu besar dan habis seluruh keluarga cuba masuk campur.
"Sedangkan saya minta kepada media yang menemu bual saya supaya tidak menyiarkannya kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan," tuturnya.
Dalam pada itu dia juga sedih apabila terdapat individu yang turut masuk campur tentang hal rumah tangganya agar dia dan suaminya dapat dipisahkan.
"Buat masa ini, saya tinggal di rumah adik. Bagi keadaan reda dahulu, barulah saya pulang ke rumah. Maklumlah, bila dah ada campur tangan keluarga lain sikit.
"Suami pula ada datang menjenguk saya dan anak-anak dan kami saling meminta maaf. Apa-apa pun, semua keputusan terletak pada suami andai kata dia ingin berpisah. Setakat ini, reaksi yang diberikannya tidak ke arah itu, Insya-Allah," ujarnya. Ani dan Ayie telah mendirikan rumah tangga pada 5 Jun 2004. Kedua-dua mereka pernah menyertai program Sehati Berdansa musim kedua terbitan Astro pada tahun 2008.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seramai tiga orang anak iaitu Wirda Viviana, 7, Wirna Airisya, 3, dam Muhammad Emir Oezil, 2.
Pakaian umpama uniform - Ani

MELIHAT kepada penampilan Ani Maiyuni, 33, dan gaya seksinya, pasti ada 'mulut jahat' yang membuat tanggapan sendiri.
Biar apa pun tanggapan masyarakat, Ani Maiyuni yang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni tidak akan berkecil hati kerana beliau lebih senang mengambil sikap profesional.
Katanya, sebagai artis beliau perlu tampil dengan satu imej tersendiri dan apa yang dipakai untuk sesi foto atau persembahan, bukanlah penampilannya semula jadi.
"Kalau hari-hari biasa, seperti wanita lain, Ani akan mengenakan pakaian yang sesuai dan selesa. Takkanlah nak pakai macam ini pergi membeli belah dengan anak-anak.
"Pakaian yang berbeza daripada biasa itu, umpama uniform Ani sewaktu tampil sebagai artis. Imej perlu ada ikut kesesuaian acara," katanya.
Ani yang sudah lama tidak tampil membicarakan hal dunia rakaman suara, kini mengatur strategik untuk kembali aktif sebagai penyanyi rakaman kerana akhir-akhir ini beliau lebih kepada lakonan.
Pemilik nama sebenar Aisyah An Nur Osman yang popular dengan lagu Sedap, menerusi Cherry Talent Management berazam menghasilkan single baru sebagai langkah permulaan.
"Sudah tiba masanya untuk Ani aktif beraksi di pentas nyanyian dan bidang pengacaraan. Bukan Ani saja-saja nak buat penampilan semula secara serius. Semua itu atas permintaan. Selama ini kalau buat show, orang akan tanya bila nak buat album dangdut.
"Kata mereka sudah lama tidak ada album dangdut seperti dulu. Disebabkan kehendak peminat, Ani tekad buat single dulu untuk uji pasaran.
"Ani tidak takut sebab bak kata orang, kalau buka kedai runcit sudah ada pelanggan tetap," katanya.
Ibu kepada Wirda Viviana Zairi, 6, Wirna Airisya, 2, dan Muhamad Emir Oezil, tujuh bulan itu yakin usahanya itu akan mendapat sokongan peminat-peminat setia terutamanya yang meminati dangdut.
Biarpun popularitinya berdasarkan jalur muzik dangdut, namun Ani tidak mahu dibuai terus dengan irama itu kerana namanya popular disebabkan lagu-lagu seperti Sedap, Terang Bulan dan Dasar Buaya Cinta.
Sebagai artis yang sering mengikuti peredaran semasa, Ani bersedia untuk mendendangkan lagu irama lain bagi memastikannya penampilannya mendapat tempat di hati peminat.
"Walaupun ada pengikut tetap namun Ani perlu akur dengan kehendak muzik sekarang. Kalau Ani rakam lagu 100 peratus dangdut, lagu tersebut tidak mungkin disiarkan di corong radio.
"Apa pun Ani tetap akan rakam lagu yang ada elemen irama dangdut agar identiti sebagai penyanyi irama itu tidak hilang," jelasnya yang masih berbincang tentang genre lagu yang bakal dirakam kelak.
Aktif berlakon
Ani yang meminati apa sahaja cabang seni berkata, selain tampil membuat pembaharuan dalam seni suara, beliau juga ingin aktif berlakon.
Sejak akhir-akhir ini penampilannya lebih terarah kepada teater namun ketika Ani teruja berlatih bangsawan Siti Zulaikha, pementasan itu pula berhadapan masalah.
"Siapa yang tidak kecewa apabila berlatih penat-penat tetapi tidak boleh dipentaskan di tempat yang dirancangkan," katanya.
Selain berlakon teater, Ani Maiyuni juga muncul dalam drama-drama tempatan dengan membawa watak antagonis.
Meskipun tidak kisah dengan watak jahat, namun Ani berharap beliau turut diberi peluang membawa watak baik.
"Walaupun Ani tidak kisah diberi watak apa, tapi sesekali nak juga merasa jadi orang baik," katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama Semanis Janji yang bakal disiarkan di RTM kelak.
Ani pernah menjadi pengacara rancangan TV sebelum ini berhasrat untuk meneruskan kerjaya tersebut.
"Ani pernah jadi pengacara tapi sejak dua tahun lalu, terhenti sekejap. Kini mana-mana bidang yang terhenti itu akan Ani sambung semula. Lagipun Ani mendapat sokongan daripada suami, Zairi Azmi (bekas anggota Kumpulan Arrow)," katanya terus terang.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
