Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Anis Aneesa. Show all posts
Showing posts with label Anis Aneesa. Show all posts

Anis Aneesa Sudah Kahwin Dengan Lelaki Syria

Penyanyi Anis Aneesa mengakui dia sudah pun berkahwin dengan lelaki kelahiran negara Syria pada Oktober 2012 dan kini memiliki seorang anak lelaki bernama Mohd Kaiser, tiga bulan. Anis atau nama sebenarnya Nuranishazwani Mushidi, 27, bagaimanapun berkata, suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Mr.K itu bukanlah lelaki sama yang yang bertunang dengannya pada Januari 2012 dan berharap agar tiada pihak yang keliru. "Saya ini, bertunang dengan lelaki Iran, kahwin pula dengan lelaki Syria pada Oktober tahun lalu. Tak sangka kan, bercakap tentang jodoh, segala kemungkinan boleh berlaku. "Tetapi semua ini berpunca selepas saya mendapat tahu bekas tunang saya itu cuba mengambil kesempatan terhadap diri dan keluarga. Selepas empat bulan putus, saya mengenali Mr.K dan tanpa melengahkan masa kami terus rancang untuk berkahwin. "Alhamdulillah, saya dan suami sudah pun memiliki seorang anak lelaki dan dia merupakan pelengkap rumah tangga kami ," katanya kepada mStar Online.
Tambah Anis, kehadiran anaknya itu juga membuatkan dia dan suami berasa lebih bertanggungjawab dan bersifat lebih matang dalam melalui proses kehidupan sebagai suami isteri. Sementara itu, Anis juga baharu sahaja mengadakan majlis cukur jambul Kaiser di kediamannya di Selayang Baru dekat sini pada Sabtu lalu dengan kehadiran kira-kira 100 orang tetamu. Kata penyanyi Qasidah Cinta itu, dia tidak sangka dan bersyukur, walaupun tidak terlalu kerap meraih publisiti sebagai penyanyi, namun dia masih lagi menerima beberapa penajaan bagi menjayakan majlis cukur jambul itu. "Syukur, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penaja Ayubi Catering, Mama Danish Deco & Craft, Little Big Shot Photography dan Es Studio KL kerana sudi menaja majlis kami. "Dalam pada itu, saya tidak sangka ramai yang hadir memeriahkan majlis ini, Alhamdulillah," tuturnya. Bagaimanapun, dirinya yang baharu saja kehilangan bapa, Mushidi Desa, 52, pada 1 September lalu mengakui berasa sedih kerana tidak dapat bersama meraikan anak lelakinya itu. "Memang terasa sangat apabila majlis ini diadakan tanpa arwah ayah, tetapi saya reda dan hanya mendoakan yang terbaik buat dirinya," kata Anis.

Anis Aneesa Tidak Sedar, Bapa Meninggal Dalam Kereta

Penyanyi Anis Aneesa tidak dapat melupakan detik-detik terakhir apabila bapanya, Mushidi Desa, 52, meninggal dunia di dalam kereta tanpa disedari ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di hospital Selayang pada 1 September lalu. Anis atau nama sebenarnya Nuranishazwani Mushidi, 27, berkata, sebelum kematian, Allahyarham meminta Anis membawanya ke hospital untuk menambah darah dalam badan kerana masalah penyakit gout yang dihidapi. "Ayah saya memang sudah lima tahun menghidapi penyakit gout tetapi tidaklah begitu serius. Permintaannya untuk ke hospital bagi menambah darah juga adalah perkara normal yang sering dibuat. "Ketika dalam perjalanan saya duduk di hadapan dan ibu yang memandu, dan ketika itu tidak terdetik pun nak menjenguk ke belakang sepanjang perjalanan kami sehingga kami tidak sedar ayah sudah tiada. “Ketika sampai di hospital, badan ayah dah ‘kejung’ dan jururawat mengesahkan ayah dah meninggal dunia," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.
Tambah Anis, kematian itu membuatkan dia dan ibunya, Sharifah Yunus, 49, benar-benar terkejut malah ibunya juga masih sukar menerima kenyataan kehilangan itu. Bagaimanapun selepas beberapa minggu, kata Anis, dia dan ibunya kembali tenang dan reda atas dugaan yang berlaku. "Memang pada mulanya ibu susah nak terima kenyataan. Ialah, siapa sangka ayah pergi begitu cepat. Tambah pula kami sebuah keluarga yang sangat rapat dan jaga antara satu sama lain. "Pemergian ayah juga membuatkan saya terpaku, entah susah mahu menggambarkan perasaan itu," ujarnya. Dalam pada itu Anis turut menceritakan detik manis bersama bapanya apabila arwah sentiasa bersama-sama dia setiap kali melakukan aktiviti nyanyian termasuklah sanggup melaburkan sejumlah wang dalam penerbitan lagu serta menganjurkan majlis pelancaran album. "Ayah memang dari dulu minat dunia seni dan kerana itu dia sentiasa memberi sokongan penuh setiap kerja seni saya dan sanggup menemani ke mana sahaja saya pergi. "Malah ayah juga yang mengeluarkan sejumlah wang bagi melancarkan urusan kerja muzik saya. Nampaknya sekarang ini saya perlu terima hakikat yang ayah tidak akan menemani saya lagi," tuturnya.

Anis Aneesa Tak Peduli Soal Populariti


KUALA LUMPUR: Penyanyi Anis Aneesa berkata dia tidak pernah ambil peduli atau bimbang mengenai populariti dirinya yang masih tidak dikenali ramai selepas lima tahun menceburi bidnag nyanyian.

Sebaliknya, Anis atau nama sebenarnya Nuranishazwani Mushidi, 25, berkata apa yang lebih penting adalah memastikan kerjaya nyanyian berjalan dengan lancar dan mendapat undangan nyanyian secara konsisten.

“Saya sedar kurang popular dan dikenali berbanding kebanyakan penyanyi baru yang lain kerana saya tidak lahir daripada program realiti nyanyian.

“Namun, ia bukan alasan untuk saya berputus asa dan mengalah untuk terus berjuang dalam bidang yang saya cintai ini,” katanya.

Anis menambah, walaupun kurang dikenali dia berasa bertuah kerana terus dihujani pelbagai jemputan nyanyian daripada majlis-majlis korporat di dalam dan luar negara.

“Dalam persaingan yang sengit dunia nyanyian tanah air hari ini, apa yang lebih penting adalah untuk memastikan saya mendapat tawaran nyanyian secara konsisten.

“Setakat ini, alhamdulillah saya tidak pernah mengalami 'musim kontang' tanpa tawaran nyanyian langsung,” katanya.

Anis berkata sebagai usaha dalam memastikan kelangsungan kerjaya nyanyiannya, dia tidak pernah lelah untuk mencuba genre lagu yang segar dan kontemporari, selain bereksperimen dengan pelbagai imej.

“Jika sebelum ini, menerusi projek khas bersama Ajai, saya mengetengahkan konspe ‘world music’, pada tahun ini saya ingin mengeluarkan dua lagu ‘single’ melibatkan kerjasama dengan kumpulan Wali Band dan Matta Band.

“Insya-Allah saya akan memasukkan vokal pada April depan dan mempromosikan lagu-lagu itu di Indonesia dulu sebelum melancarkannya di Malaysia pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Anis Aneesa Bertunang Dengan Lelaki Iran


KUALA LUMPUR: Penyanyi Anis Aneesa mengikat tali pertunangan dengan ahli perniagaan dari Iran, Ali Hedayati (Alex) dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Hotel Quality, di sini, malam Jumaat.

Bercerita tentang perkenalannya dengan lelaki berusia 32 tahun itu, Anis atau nama sebenarnya Nuranishazwani Mushidi, 25, berkata dia berasa yakin untuk menerima lamaran kekasihnya itu kerana berasa selesa dan selamat setiap kali bersama.

"Kalau diikutkan kami baru sahaja berkenalan kira-kira enam bulan yang lalu di satu majlis sambutan hari lahir seorang kawan saya.

"Tempoh perkenalan kami yang singkat tidak menjadi isu atau halangan kerana saya yakin dan percaya dengannya.

"Sikap penyayang dan mengambil berat dalam dirinya itu menepati kriteria lelaki yang saya cari," katanya yang ditemui selepas majlis pertunangan itu, di sini.

Penyanyi lagu Qasidah Cinta ini berkata mereka hanya bertunang untuk tempoh yang singkat dan sudah merancang untuk bergelar suami isteri kira-kira enam bulan selepas itu.

"Buat apa hendak tangguh lama-lama ikatan pertunangan jika kami sudah bersedia untuk berkahwin.

"Umur saya juga akan mencecah 26 tahun pada tahun ini. Saya sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri," katanya.

Diusik pula tentang keistimewaan Anis di matanya, Alex berkata faktor bahasa, budaya dan bangsa yang berlainan tidak menjadi isu kerana dia tertawan dengan kelembutan dan latar belakang penyanyi itu yang rapat dan mengutamakan keluarga.

"Saya senang dengan sikapnya yang baik, bersopan-santun dan mengutamakan keluarga," katanya.Pada majlis yang bertemakan malam Arab/Maghribi itu, pasangan tersebut mengenakan sepersalinan pakaian tradisional Melayu berwarna merah.

Selain dihadiri ahli keluarga dan rakan-rakan rapat pasangan itu, majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan artis termasuklah Ayati Tasrip, Yantzen dan ramai lagi.

Penyanyi remaja masih simpan SMS Jamal pelawa keluar makan, kahwin

ENTAH dari mana puncanya, tiba-tiba saja nama penyanyi remaja, Anis Aneesa, 23, diperkatakan dalam dunia hiburan apabila dituduh mendera bapa sendiri, Mushid Desa, hingga mendapat perhatian program hiburan sensasi TV3, Melodi. Khabarnya, antara penderaan yang dilakukan Anis kepada bapanya ialah membasuh coli dan seluar dalamnya sehingga bapanya jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital.

Tidak lama selepas itu, menerusi Melodi juga, pendedahan kononnya Anis bercinta dengan Raja Pop, Jamal Abdillah turut menjadi perhatian. Kononnya mereka kini tidak lagi berhubungan.

Pun begitu, ada beberapa laporan media menyebut, Anis sengaja mereka dua cerita sensasi itu untuk meraih perhatian pihak wartawan, seterusnya mencari publisiti murahan! Anis dikatakan mereka cerita dengan tujuan memperoleh populariti dalam sekelip mata. Dia juga didakwa sebagai artis yang sangat terdesak memasang strategi yang kurang bijak untuk melonjakkan namanya. Kini, makin ramai yang mula mengenali Anis.

Anis yang ditemui B*Pop minggu lalu mengakui, dia tiada tempat untuk mempertahankan dirinya apabila satu pihak saja melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya. Kehadirannya di Balai Berita, Anis turut membawa bersamanya Surat Pengesahan Masuk Wad dari Hospital Selayang bertarikh 11 Mei 2009 yang mengesahkan bapanya dimasukkan ke wad kerana penyakit gout dan tekanan darah tinggi, membuktikan dia tidak pernah mendera bapanya.

Mengenai hubungan Anis dengan Jamal sehingga Raja Pop itu dikaitkan 'berkasih' dengan seorang artis muda, ternyata Jamal yang kini berusia 50 tahun tenang memberikan jawapannya seperti disiarkan Harian Metro pada 3 Julai lalu. Difahamkan artis muda yang dimaksudkan itu ialah Anis Aneesa.

Dalam laporan itu, Jamal dilaporkan berkata, memang dia mengenali gadis itu dan keluarganya, tetapi tidak pula sampai mereka jatuh cinta.

"Malah, sebenarnya hubungan kami pun hanya sebagai rakan sesama artis saja. Sesuaikah dia (artis muda) untuk saya jadikan isteri? Dalam soal sekarang, saya mahu memberi tumpuan sepenuhnya pada karier nyanyian," kata Jamal seperti disiarkan menerusi Harian Metro.

Kenyataan Jamal menerusi sebuah majalah hiburan, turut melaporkan perkara hampir sama apabila dia menegaskan: "Saya memang kenal dia (difahamkan merujuk kepada Anis) dan biasa jumpa ibu bapanya. Tapi tak adalah pula kami nak bercinta. Dia bukan cita rasa saya. Takkanlah wanita sebegini saya nak buat isteri."

Justeru, apabila Anis pernah memberitahu pihak media massa mengenai dirinya berkawan baik dengan Jamal, memperlihatkan dia seolah-olah seorang saja bertepuk sebelah tangan, sebaliknya Jamal tidak pernah menganggapnya sebagai teman istimewa, apatah lagi untuk menjadi calon isteri!

Anis mendakwa masih menyimpan beberapa kiriman SMS daripada Jamal kepadanya dan mempamerkan kepada penulis. Antaranya, SMS Jamal bertarikh 27 Oktober 2008, jam 4.30 petang, Jamal pernah mempelawa Anis makan tengah hari bersamanya di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Jamal juga didakwa pernah mengirimkan SMS kepada Anis bertarikh 12 Februari lalu jam 12.41 tengah hari, mempelawa penyanyi itu berkahwin dengannya!

Tidak cukup dengan SMS, Anis yang pada hari itu turut ditemani ibunya, Sharifah Yunus, 44, sempat memperlihatkan kepada penulis rakaman kamera video, dia sedang berkaraoke dengan Jamal di pusat hiburan yang terletak di premis sebuah hotel di Kuala Lumpur. Anis mengakui rakaman itu dibuat pada 31 Oktober 2008, kira-kira jam 8.30 malam.

Bukan bertujuan membuka aib sesiapa, Anis mengakui, dia terkilan dengan kenyataan Jamal sebelum ini mengenai perhubungan mereka yang diibaratkan perigi mencari timba, walhal kedua-duanya pernah berkawan rapat sehingga Jamal dikatakan pernah melamarnya untuk berkahwin!

'Saya tak reka cerita'

"Kebanyakan media massa menuduh saya sengaja mereka cerita untuk mendapatkan perhatian daripada mereka apabila dua kali tersiar cerita perihal peribadi saya di Melodi, baru-baru ini. Pertamanya, saya didakwa mendera bapa sendiri. Tuduhan kedua apabila kisah saya bercinta dengan Jamal dikatakan suatu cerita rekaan.

Baru-baru ini, menerusi sebuah akhbar tabloid, tersiar gosip mendakwa saya sangat terdesak mencari publisiti. Kononnya kedua-dua cerita di Melodi itu sekadar ingin menaikkan nama saya semata-mata. Cerita itu dibuat kononnya bertujuan mencari publisiti murahan berdasarkan kisah yang direka-reka.

Rata-rata pihak wartawan mendakwa Anis menipu sedangkan mereka tidak pernah mendengar penjelasan daripada saya, sekadar mendengar cerita daripada satu pihak saja. Ayah saya dimasukkan ke Hospital Selayang kerana penyakit gout yang dideritai kira-kira tiga tahun lalu. Di sini saya melampirkan Surat Pengesahan Masuk Wad dari Hospital Selayang bertarikh 11 Mei 2009. Sebenarnya ayah saya masuk hospital bukan kerana dia jatuh sakit akibat penderaan yang saya lakukan. Cerita itu adalah fitnah daripada anggota keluarga saya sendiri yang mungkin bertujuan memburuk-burukkan nama saya."

Jamal pernah ajak Anis kahwin

"Sebenarnya hubungan saya dengan Jamal bermula apabila kami bertemu di sebuah majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Karyawan. Kami bertukar-tukar nombor telefon. Jamal mempelawa saya keluar dengannya dan sebagai artis baru saya menerima pelawaan itu kerana menghormati permintaannya sebagai penyanyi senior. Ketika itu kami berkenalan atas dasar artis sama artis, ingin mengenali antara satu sama lain.

Bagi saya sekadar nak berkawan, apa salahnya. Justeru, apabila kami sering bertemu, hubungan itu menjadi semakin rapat. Dari sehari ke sehari perkenalan kami, Jamal pernah meluahkan hasratnya untuk menjadikan saya lebih daripada seorang kawan. Dia juga pernah mengajak saya berkahwin, tapi minta saya tunggu sehingga kes perceraiannya di mahkamah selesai.

Saya bukannya sekadar mereka cerita, di sini saya mempamerkan beberapa kiriman SMS daripada Jamal menceritakan mengenai perhubungan kami selama ini. Antara SMS daripadanya ialah mempelawa saya makan tengah hari, ajak kahwin dan macam-macam lagi. Maknanya bukan saya yang terhegeh-hegeh. Saya bukannya bertepuk sebelah tangan, kami berkawan dan lama kelamaan perhubungan kami menjadi rapat.

Apabila Jamal meluahkan hasratnya untuk memperisterikan saya, saya sekadar memberitahunya, kalau ada jodoh tak ke mana. Namun, selepas berlakunya satu insiden, saya mengambil keputusan untuk menjauhkan diri daripadanya. Namun, yang paling mengecewakan saya apabila Jamal membuat kenyataan menerusi sebuah majalah hiburan mendakwa: 'Takkanlah wanita sebegini saya nak buat isteri.'

Bukan bertepuk sebelah tangan

Jamal juga pernah membuat kenyataan dalam Harian Metro bertarikh 3 Julai apabila dia berkata: 'Malah, sebenarnya hubungan kami pun hanya sebagai rakan sesama artis saja. Sesuaikah dia untuk saya jadikan isteri?' Bagi saya, kenyataan seperti ini mempersendakan diri saya, seolah-olah saya seorang saja terhegeh-hegeh dan seolah-olah dia tahu cerita luar dan dalam diri saya. Sepatutnya saya yang bertanya begitu.

Perhubungan kami memang tidak pernah berlaku situasi bertepuk sebelah tangan. Kedua-duanya memberi maklum balas yang baik. Justeru, apabila hubungan kami menjadi renggang, kami tidak pernah bergaduh. Maknanya kami tidak lagi bertemu dengan kerap seperti sebelum ini.

Kami juga pernah berkaraoke. Ini rakaman kamera videonya (sambil menunjukkan rakaman kamera video Jamal sedang berkaraoke). Ketika itu kami ditemani pembantu peribadi Jamal yang dikenali sebagai Ismail. Adakah situasi itu juga mengatakan saya hanya bertepuk sebelah tangan?

Ini membuktikan kami pernah berkawan baik. Beberapa kali Jamal pernah meluahkan hasrat untuk menjadikan saya sebagai kekasihnya, ajak kahwin, tapi saya kata tunggu masa yang sesuai.

Justeru, apabila segelintir pihak media menuduh saya hanya mereka cerita, kononnya saya bercinta dengan Jamal semata-mata untuk meraih publisiti, saya benar-benar terkilan. Ini bermakna, dua cerita peribadi saya yang pernah disiarkan menerusi Melodi sebelum ini, bukan rekaan semata-mata, sebaliknya ia kisah benar!"

INFO Anis

•NAMA PENUH: Anis Aneesa Mushid.
•TARIKH LAHIR: 14 Julai 1986.
•ASAL: Kuala Lumpur.
•KELUARGA: Sulung daripada dua beradik.
•DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu) dan ibu (Siam Kelantan).
•ALBUM: Dang Dang Dut 3 (2005), Anis Aneesa (2007), Anugerah (awal 2009) dan terbaru masih dalam pembikinan, terbitan Wake The Baby, dijangka berada di pasaran akhir 2009.
•PENGACARA: Cuti-Cuti Famili, RTM1 (2007).
•DUTA: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) 2008.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails