Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Arwahyarham P. Ramlee. Show all posts
Showing posts with label Arwahyarham P. Ramlee. Show all posts

Syiling Memperingati P. Ramlee Dilancar


KUALA LUMPUR: Seiring dengan usaha dan kempen untuk memperingati seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, KL Mint Sdn Bhd mengeluarkan syiling tokoh seni itu dalam tiga koleksi yang bersalut emas, perak dan tembaga.

Menurut Pengarah Projek KL Mint, Mohd Saiful Abd Latif perancangan untuk mengeluarkan koleksi syiling yang julung kali dilakukan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memartabatkan P. Ramlee.

"Seperti yang kita semua maklum, P. Ramlee adalah legenda seni yang agung. Sebelum ini, memang tiada lagi koleksi syiling dikeluarkan khas untuk karyawan seni tanah air.

"Jadi, kami mengambil inisiatif untuk mengeluarkan koleksi syiling ini sebagai tanda penghargaan kepada tokoh itu dan juga untuk disimpan sebagai warisan seni negara," katanya.

Mengulas lanjut, Saiful berkata, keputusan untuk mengeluarkan koleksi syiling itu adalah berdasarkan nilai dan keistimewaannya yang bukan saja menjadi buruan para pengumpul syiling malah ia juga tahan lama.

"Kami memilih untuk mengeluarkan koleksi syiling berbanding poster, poskad atau barangan koleksi lain adalah kerana nilai dan ciri-ciri wang syiling yang boleh diwariskan kepada generasi seterusnya.

"Jika hendak dibandingkan dengan koleksi peribadi yang lain seperti poster, poskad atau album, nilai wang syiling ini lebih tahan lama dan menjadi idaman bagi penggemar koleksi wang syiling," katanya.

Bercerita tentang idea pencetakan syiling tersebut, Saiful berkata, projek yang dirancang sejak awal tahun 2010 itu diilhamkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KL Mint sendiri iaitu Othman Abdullah sebelum mendapat kerjasama daripada pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Persatuan Karyawan Malaysia dan Balai Seni Lukis Negara.

Koleksi syiling peringatan itu setiap satu dijual dengan harga RM3,500 untuk syiling emas, RM250 (perak) dan RM50 (tembaga). Menariknya, bagi setiap pembelian syiling emas, pembeli juga bakal mendapat syiling perak dan tembaga.

Katanya, koleksi syiling emas dan perak hanya akan dicetak masing-masing 1,000 keping manakala bagi syiling tembaga pula bergantung pada permintaan.

Sebahagian daripada hasil jualan koleksi syiling itu akan disalurkan kepada tabung Karyawan dan Yayasan P. Ramlee.

Pameran dan jualan koleksi syiling ini akan berlangsung selama sebulan di Balai Seni Lukis Negara bermula Jumaat (hari ini).

Pelancarannya yang diadakan di Balai seni Lukis Negara, Khamis, disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Ia turut dihadiri Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez.

Sebak di pusara Seniman Agung


Biarpun sudah lama arwah pulang ke Rahmatullah, khazanah seni peninggalannya bukan saja cukup bernilai pada saat ini, malah sentiasa mendapat perhatian kerana kualiti jalan cerita di samping pelakonnya menggamit sesiapa saja yang menonton.

Mengambil keberkatan Ramadan lalu, sahabat baik arwah iaitu pelakon, pengarah filem, pelawak dan penulis skrip, Datuk Aziz Sattar bersama bekas jurugambar hiburan yang kini jurugambar politik, Roslay Raffie mengadakan majlis tahlil pada 13 Ogos lalu di tanah perkuburan Islam Ampang bagi mengingati pengorbanan arwah selama ini.

Majlis itu turut diadakan untuk Puan Sri Saloma, bekas isteri, Norizan dan anak arwah Nasir serta sahabat, AR Tompel.

Antara artis veteran yang turut hadir Datuk Mustapha Maarof, Datuk M Daud Wahid, Mariani bersama anaknya, Rozita Rohaizad serta anak-anak arwah Nasir.

Bagi Aziz, 84, perasaan sebak tidak dapat lari tatkala menziarahi pusara rakan baiknya itu.

Malah, setiap tahun menjelangnya Ramadan, Aziz berusaha mengadakan majlis tahlil biarpun ia secara kecil-kecilan.

"Walaupun arwah sudah lama meninggalkan kita, sebagai sahabat saya tidak pernah lupa menziarahi pusaranya. "Selain arwah P Ramlee, kubur isterinya, Saloma dan AR Tompel turut dikebumi di sini. Mereka semua adalah antara yang rapat dengan saya.

"Justeru, sebagai sahabat menjadi tanggungjawab mendoakan mereka yang sudah pergi agar segala dosa diampunkan dan diterima Allah s.w.t.

"Majlis tahlil seperti ini sudah lama saya buat. Sebelum ini, di Masjid Al-Huda kerana saya menetap di Shah Alam. Tetapi, apabila pindah di Kuala Lumpur tahun lalu, saya meminta pertolongan Roslay untuk mengadakan majlis tahlil di tanah perkuburan Ampang ini," katanya.

Mustapha yang juga Presiden Persatuan Seniman berkata, walaupun hanya bergandingan sekali dengan arwah P Ramlee dalam filem Hang Tuah, ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

"Setiap kali selepas sembahyang raya, saya akan pergi ke sini (tanah perkuburan Ampang) untuk menziarah pusara isteri, Rose Yatimah dan juga anak.

"Apabila teringat kembali, memang rasa syahdu sangat. Bagi saya, arwah P Ramlee adalah seorang sahabat baik, jadi kehilangannya begitu dirasai.

"Memang sukar dapat pengganti sepertinya walaupun ketika ini industri hiburan mempunyai ramai penggiat," katanya.

Bagi pelakon veteran, Mariani, 76, mengunjungi pusara arwah memberi tanda ingatan bahawa insan yang disayanginya sudah lama kembali ke Rahmatullah.

"Kalau tidak pergi kubur, rasa arwah masih hidup lagi. Apatah lagi, saya paling rapat dengan arwah Saloma. Jadi, setiap kali ziarah kubur Saloma saya juga tidak lupa untuk bacakan Yasin untuk arwah P Ramlee.

"Sebab itu, setiap kali selepas sembahyang raya atau ada masa kelapangan, saya akan singgah kubur mereka. "Rasa sedih sudah tentu, tetapi hendak dibuat bagaimana lagi kerana itu sudah ajalnya. Sebagai seorang yang rapat, hanya mampu mendoakan dan baca apa yang patut untuk kesejahteraan arwah," katanya.

Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), M Daud Wahid, 56, terkenang pengalaman bersama arwah P Ramlee yang memberi peluang kepadanya untuk mencungkil bakat sebagai pelawak ketika menziarahi kubur arwah.

"Saya tidak pernah tahu yang diri boleh berlawak. Tetapi, apabila arwah menyuruh saya menjayakan persembahan pentas di Jitra bersama Ling Husin dan Mariani, barulah tahu yang diri berbakat sebagai pelawak.

"Cuma, agak terkilan kerana tidak dapat bersama arwah untuk terbabit dalam persembahan pentas di Parit Buntar disebabkan ada majlis kahwin yang perlu dihadiri. Ketika menziarah pusara arwah, saya teringat kembali sejarah bersamanyam," katanya.

Bagi anak seniwati Mariani, Rozita Rohaizad, 52, yang juga penyanyi, mengenali arwah P Ramlee sebagai seorang suami yang baik kepada emak saudaranya iaitu biduanita negara, Saloma.

"Apabila menziarah pusara arwah Saloma, teringat kembali pengalaman hidupnya bersama P Ramlee.

"Setahu saya, arwah P Ramlee tidak pernah menyusahkan. Saloma menyuruhnya membuat pelbagai kerja rumah. Mereka saling hidup bahagia dan apabila P Ramlee meninggal dunia, saya dapat lihat emak saudara saya itu rasa sudah tiada lagi erti hidup," katanya.

Selain tahlil, majlis yang diadakan jam 5 petang itu turut memperelokkan kubur Allahyarham Mohamad Nasir, iaitu anak Seniman Agung P Ramlee dengan Junaidah Daeng Harris yang meninggal dunia tahun lalu akibat kompilikasi jantung serta penyakit kencing manis.

Menurut Roslay, majlis petang itu adalah cadangan dari Aziz dan dia membantu apa yang patut seperti mengumpul artis veteran dan anak Nasir yang ingin turut serta.

"Saya sudah lama kenal dengan abang Aziz dan amat rapat dengan arwah Nasir. Jadi, dia minta saya kumpul sesiapa yang ingin datang ke majlis itu," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails