Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Ary Malik. Show all posts
Showing posts with label Ary Malik. Show all posts

Ary bangga dipanggil 'chef'


LIMA tahun menyepi daripada dunia seni, tiba-tiba dia muncul. Tetapi kali ini bukan seperti lazimnya sebagai personaliti televisyen sebaliknya menjadi peserta francais program realiti masakan terkenal, MasterChef versi Malaysia.

Ya, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa si kecil molek ini pandai memasak dan Ary Malik mengakui penyertaan dalam program kulinari popular itu turut mengubah pendirian dan hala hidupnya ketika ini.

Bukan mahu melupakan bidang seni, kerjaya yang dicintai dan telah diceburinya lebih dua dekad itu tetapi sejak terlibat dalam MasterChef Malaysia, ada keinginan lain yang bersarang dimindanya.

"Saya mahu menerbitkan buku masakan dan merancang untuk membuka sebuah restoran," katanya membuka rahsia.

"Perancangannya dalam tahun ini. Buat masa ini, saya sedang mencari penerbit untuk mengedarkan buku resipi saya dan untuk restoran pula, saya masih merencana persediaan dan sedang meninjau lokasi yang sesuai," tambahnya.

Bersama-sama suami, seorang pengarah kreatif yang dikenali sebagai Sha Bromo serta tiga anak perempuan, Nuhr Zoe Iman, 14, serta Dinda Pelangi Timor, lapan dan Ratu Chinta Mecca, enam, Ary yang ditemui baru-baru ini bagaimanapun memberitahu, keluarga tetap menjadi keutamaannya.

"Menjadi isteri dan mommy tetap nombor satu dan sepenuh masa. Dunia seni pula sudah menjadi sebahagian darah daging saya sejak melangkah masuk dalam bidang pengiklanan pada usia remaja.

"Saya amat mencintai dunia seni kerana ia luas. Bukan sahaja sebagai pelakon dan penerbit, saya juga suka melukis bersama suami dan anak-anak," katanya.

Sudah terlibat selama 23 tahun dalam bidang seni, antara iklan yang pernah disertainya termasuk Coca-Cola, Maxwell House, Lipton Tea, Colgate, Pantene dan juga Peter Stuyvesant Travel.

Kata pemilik nama sebenar, Nurita Maliha Aryanee Malik itu lagi, sebagai seorang seni, dia juga amat menghargai adat dan budaya dan kini baginya, sudut seni yang paling digemari adalah berada di dapur menghasilkan suatu hidangan.

"Jika ada yang bertanya, saya selalu mengatakan bahawa tugas pertama saya adalah sebagai isteri/mommy, kedua sebagai seorang artis dan penerbit dan jika diizinkan-Nya serta murah rezeki, insya-Allah tahun ini ada tugas ketiga iaitu sebagai seorang chef dan sekali gus menceburi bidang kulinari," katanya sambil tersenyum manis.

Menghilang diri

Ditanya mengenai 'kehilangannya' dalam industri seni tempatan, Ary memberitahu, dia berada di Singapura mengikut suaminya yang mempunyai tugas di republik tersebut.

Sepanjang di sana, kata Ary, dia dan suaminya berkesempatan menerbitkan beberapa produksi dari pelbagai genre seperti rancangan realiti, rancangan muzik, drama dan filem.

Bertindak sebagai penerbit bersama suaminya, Ary juga berlakon dalam beberapa terbitan yang diarahkan oleh Sha.

"Sempat juga kami memenangi beberapa anugerah pada Anugerah Pesta Perdana untuk terbitan Drama Bersiri berjudul Mandai United meliputi Videografi/Sinematografi Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Reka Imej Terbaik.

"Bagaimanapun, selepas beberapa lama di sana, saya dan suami berbincang dan bersetuju untuk kembali menetap di Kuala Lumpur," cerita Ary.

Menurut aktres itu yang juga merupakan kakak kepada penyanyi Flora Cinta, Min Malik, keputusannya kembali ke tanah air telah memberinya peluang menyertai MasterChef Malaysia.

Malah anak-anaknya merupakan insan yang beria-ia menggalakkan dia untuk terlibat dalam program kulinari popular itu dan anak sulungnya jugalah mencari dan mengisi borang penyertaan secara online.

"Saya sememangnya seorang yang suka berada di dapur. Saya boleh menghabiskan masa berjam-jam di ruang itu dan biar sibuk mana sekalipun, saya akan tetap cuba menyediakan masakan untuk keluarga.

"Dan satu keluarga juga tahu bahawa saya amat menggemari rancangan masakan di televisyen. Saya selalu berseloroh dengan anak-anak tiap kali menonton rancangan Masterchef dan berkata 'Oh, Mommy knows how to do that...maybe one day I will enter the show'.

"Tidak sangka, franchise Masterchef dikembangkan sehingga ke Malaysia dan apabila saya dan keluarga pulang ke tanahair, anak sulung saya (Zoe Iman) memberitahu bahawa ada uji bakat untuk Masterchef Malaysia.

"Zoe jugalah yang begitu bersungguh membuka Internet dan mencari secara online borang penyertaannya. Anak saya yang bongsu, Ratu Chinta juga mencadangkan kepada saya supaya tukar kerjaya yang menjadi pilihannya, menjadi Famous Chef!

"Anak kedua saya, Pelangi Timor juga menyokong cuma dia seorang yang hatinya agak lembut, jadi pada dua tiga minggu yang pertama (sewaktu Masterchef Malaysia bermula), hari-hari Pelangi menangis kerana merindui saya.

"Kata Zoe, setiap hari dia tidur memakai baju saya sehinggakan dia tidak mahu menukar baju tidur dan keluar bersama Dadanya untuk ke kedai dengan mengenakan pakaian itu," katanya.

Ary Malik Kembali Berlakon Selepas Lima Tahun Menyepi


PETALING JAYA: Pelakon Ary Malik, 41, kembali bergiat aktif dalam bidang lakonan selepas hampir lima tahun menyepi di persada seni tanah air.

Ary berkata, dia amat merindui suasana penggambaran lebih-lebih lagi sejak dia memberi fokus pada bidang perniagaan penerbitan program televisyen di bawah syarikat suaminya, Shahrul Bromo, di Singapura.

"Saya telah membuat keputusan untuk kembali ke tanah air selepas merasakan jiwa seperti kosong, mungkin kerana tinggal di negara orang, tak serupa seperti di negara sendiri.

"Sepanjang lima tahun berada di Singapura, saya dan suami menjalankan perniagaan menerbitkan pelbagai program televisyen di sana.

"Jujur saya katakan, waktu itu saya amat merindui untuk berlakon di samping rakan-rakan seperjuangan yang lain," katanya.

Selain kembali aktif di dunia seni lakonan, Ary juga sedang merancang untuk membuka sebuah perniagaan restoran memandangkan pelakon ini meminati bidang masakan.

Menjadi finalis 'MasterChef Malaysia' sehingga minggu ketujuh juga telah memberikan semangat untuknya meneruskan impian melakukan sesuatu di bidang masakan yang selama ini ia hanya dikongsi dengan keluarga dan teman-teman rapatnya sahaja.

"Selain impian mahu membuka sebuah restoran, saya juga ingin mempelajari selok-belok menerbitkan buku masakan, semua itu masih lagi dalam proses.

"Menyertai 'MasterChef' memberikan saya ilmu yang tak mungkin boleh didapati di luar sana.

"Dan menjadi finalis program itu sahaja menjadi pemangkin semangat saya untuk teruskan impian melakukan sesuatu di bidang masakan. Maklumlah, dulu saya hanya masak untuk keluarga dan teman-teman rapat dan sekarang ini, saya akan berkongsi masakan saya itu kepada semua," ujarnya

Dalam pada itu, sebagai seorang personaliti televisyen juga, menghasilkan rancangan memasak sendiri juga merupakan sebahagian daripada impian Ary.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails