Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Ayda Jebat. Show all posts
Showing posts with label Ayda Jebat. Show all posts
Ayda Jebat Tidak Rimas Dikaitkan Dengan Zul Ariffin
Pelakon Ayda Jebat tidak sedikit pun berasa rimas apabila sering dikaitkan dengan aktor Zul Ariffin biarpun umum mengetahui pemuda berkenaan sudah mempunyai teman wanita.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 22, berkata, sebagai artis dia sentiasa bersikap profesional apabila melibatkan urusan kerjayanya dan menganggap cakap-cakap buruk mengenai mereka sebagai lumrah dunia hiburan.
"Rasa rimas itu tidak ada kerana ia perkara biasa dan saya tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya tambahan pula umum mengetahui Zul sudah pun ada kekasih.
"Sebagai artis saya profesional apabila ia berkaitan dengan kerjaya tambahan pula gandingan kami berjaya dan digemari peminat," katanya kepada mStar Online.
Nama Ayda dan Zul Ariffin mula meniti dibibir peminat selepas mereka pertama kali digandingakan dalam drama bersiri Rindu Awak 200% pada tahun lalu.
Dalam pada itu, Ayda berkata, dia sentiasa bersikap terbuka untuk kembali bergandingan dengan Zul sekiranya diberi peluang malah banyak menerima tawaran daripada produksi tempatan.
"Sehingga hari ini banyak produksi yang ingin kami bersama dalam sebuah projek dan saya sebenarnya terbuka mengenai perkara itu kerana kemunculan kami berjaya memikat hati penonton.
"Saya profesional dan begitu juga Zul jadi saya tidak nampak sebarang masalah mengapa kami tidak boleh bergandingan dalam mana-mana projek selepas ini hanya kerana ada yang tidak suka.
"Lihat seperti gandingan Ogy Ahmad Daud dan Azmil Mustapha yang menjadi fenomena dahulu tetapi mereka bukanlah pasangan di dunia realiti tetapi orang suka. Begitu juga saya melihat gandingan saya dengan Zul," jelasnya.
Bagaimanapun kata Ayda, buat masa ini dia terpaksa menolak tawaran yang ingin menggandingkan mereka kerana jadualnya padat sehingga penghujung tahun ini.
Kali terakhir mereka bergandingan dalam siri berjudul M.A.I.D. yang disiarkan di saluran Astro pada tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Ayda baharu sahaja pulang dari Amsterdam kerana menjalani penggambaran drama bersiri Sesal Separuh Nyawa yang menggandingkannya dengan Aiman Hakim.
Ayda Jebat Resah Jika Gagal Balas Komen Peminat
Pelakon Ayda Jebat berjaya meraih populariti luar biasa kerana sikapnya yang sanggup mencari masa terluang membalas komen-komen peminat di laman sosial meskipun sibuk dengan penggambaran.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 22, berkata, disebabkan perkara itu dia akan menjadi resah apabila berada di kawasan yang tidak boleh mengakses internet atau tiada rangkaian telefon.
"Saya akan menjadi 'gila' jika kawasan yang saya pergi tiada liputan untuk mengakses internet. Buatkan saya tak senang duduk. Saya akan tertekan dibuatnya hanya kerana perkara itu lebih-lebih lagi apabila sudah membaca komen-komen peminat, tetapi belum membalas komen mereka lagi," katanya kepada mStar Online.
Tambah Ayda, dia seorang yang begitu peka dan menjaga hati peminat-peminatnya sehingga sanggup mencari waktu untuk membaca setiap komen-komen mereka dan kemudian membalasnya.
Kata pelakon yang popular dengan drama Rindu Awak 200% ini, dia menganggap cara itu adalah yang terbaik bagi membalas jasa peminat-peminat yang menyokongnya.
"Mungkin ada yang menganggap saya tidak baca komen-komen yang diberi di laman sosial Instagram dan Facebook. Tidak... saya seorang artis yang membaca komen peminat tidak kira ia baik atau buruk.
"Kalau mereka sanggup menghabiskan masa dan wang untuk menyokong kita, apa salahnya jika kita menggembirakan mereka. Bagi saya, hanya itu saja cara untuk membalas jasa-jasa mereka," ujarnya.
Menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2014) lalu, Ayda memenangi Artis Baru Wanita Popular manakala dua anuerah pada Anugerah Meletop Era iaitu Artis Baru Meletop dan Top Top Meletop (wanita).
Dia juga mempunyai lebih 500 ribu pengikut di Instagram.
Ayda Jebat Ditegur Kerana Semakin 'Bulat'
Pelakon Ayda Jebat menyedari berat badannya meningkat dua kilogram ketika berlakon dalam telefilem drama Diva yang ditayangkan pada 7 Februari lalu di Astro Ria.
Ayda, 23, berkata, biarpun peningkatan tersebut tidak terlalu banyak, namun ia mengubah wajahnya dan kelihatan berbeza berbanding kemunculan dalam drama Rindu Awak 200% akhir tahun lalu.
"Berat badan saya 45 kilogram dan menyedari berat badan naik sedikit kerana ketika penggambaran drama itu selera makan saya lebih daripada biasa.
"Ia naik dalam dua kilogram sahaja tetapi malangnya ia lebih menonjol di bahagian muka menyebabkan saya nampak tembam. Ada yang menegur wajah saya sudah sama seperti pelakon Rosnah Mat Aris," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.
Ayda berkata demikian ketika diminta mengulas tentang keadaan fizikalnya yang dilihat semakin berisi dalam drama terbaharu berjudul Diva sehinga mengubah bentuk wajahnya.
Tambah Ayda, lebih memburukkan keadaan drama tersebut memerlukan dia untuk memakai rambut palsu yang tidak sesuai dengan bentuk mukanya yang agak bulat.
"Muka saya sudah bulat ditambah pula rambut palsu yang tidak sesuai memang lagi buruklah jadinya.
"Pengarah ada tegur perkara itu, namun itu sahaja pilihan yang ada, lagi pula watak yang saya bawa itu memang memerlukan saya menjadi hodoh," ujarnya.
Dalam pada itu, Ayda berkata, ada beberapa kenalannya yang menyarankan untuk dia melakukan pembedahan muka bagi membuang lemak dan menjadikan lebih cantik.
Namun, dia menolak cadangan itu berikutan usia yang terlalu muda dan selesa dengan wajah yang dimilikinya kini.
"Ada juga rakan-rakan yang menyuruh saya buat rawatan muka untuk bagi nampak lebih cantik tetapi saya menolak.
"Saya muda lagi untuk buat itu semua dan saya masih yakin dengan apa yang saya ada sekarang ini tanpa perlu membuat pembedahan atau rawatan," katanya.
Dalam pada itu, Ayda mengakui menerima teguran daripada pengarah Micheal Ang agar dia menguruskan badan sebelum mula penggambaran di bawah arahannya tidak lama lagi.
"Sekarang ini saya tidak diet atau buat apa-apa untuk kurus, tetapi mungkin nanti bulan depan sebelum mula penggambaran dengan Micheal Ang saya cuba berdiet.
"Sebab dia sudah beri amaran supaya tidak kelihatan seperti Rosnah Mat Aris ketika dalam skrin nanti," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ayda bakal keluar dengan drama terbaharu berjudul Suami Sebelah Rumah terbitan JS pictures bermula pda 2 Mac depan di slot Airis, TV3.
Ayda Jebat Tak Kesal Dibuang Universiti Kerana Jadi Artis
Pelakon Ayda Jebat pernah diberhentikan daripada sebuah universiti awam selepas dia membuat membuat keputusan untuk menceburi bidang seni pada dua tahun lalu.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 22, berkata, perkara tersebut berlaku kerana pihak universiti tidak membenarkannya bercuti bagi menyertai program realiti Akademi Fantasia musim 9 (AF9) yang menganggu komitmennya sebagai seorang pelajar.
"Ketika saya dipilih untuk menyertai Akademi Fantasia 9 pada tahun 2011 saya masih belajar di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan muzik tetapi pihak universiti tidak benarkan untuk saya mengambil cuti khas bagi menyertai mana-mana rancangan realiti.
"Setelah fikir secara masak-masak saya pilih untuk menyertai AF9 dan dalam masa yang sama pihak universiti terpaksa memberhentikan saya dan ketika itu saya tinggal lagi dua semester sahaja untuk tamat pengajian diploma. Saya memang sedih sangat dan menangis tidak henti ketika itu," ujarnya.
Ayda ditemui pada tayangan akhir Drama Rindu Awak 200% yang diadakan di Bucida Court, di sini, malam Isnin.
Ayda melayan peminat-peminatnya yang hadir pada majlis tayangan akhir drama Rindu Awak 200%.
Bagaimanapun Ayda berkata, dia tidak pernah menyesal dengan tindakan yang diambil itu kerana apa yang dipelajari di universiti tersebut adalah persiapan untuk dia berada dalam industri seni.
Malah, katanya, beberapa rakan yang menghabiskan pengajian di universiti dalam bidang tersebut masih lagi mencari-cari pekerjaan dan peluang untuk berada dalam industri.
"Saya tidak menyesal dengan keputusan saya itu biarpun nasib saya sebagai penyanyi tidak begitu menyerlah, namun saya terima rezeki dalam industri seni ini sebagai seorang pelakon.
"Saya lihat kawan-kawan saya yang habis belajar masih lagi mencari-cari kerja, ada yang menghubungi saya semula untuk mendapatkan peluang," ujarnya.
Sementara itu, Ayda turut mengakui selepas dikenali melalui drama Rindu Awak 200% ini, dia lebih menjaga penampilan dan berpakaian sopan untuk menghormati peminat-peminatnya terutama golongan dewasa dan kanak-kanak.
"Saya jaga cara pemakaian sebab saya rasa tidak manis untuk berpakaian seksi kerana dalam drama saya mengenakan tudung dan berpakaian sopan.
"Lagi pula peminat saya banyak daripada golongan makcik-makcik dan wanita bertudung," ujarnya.
Majlis yang dianjurkan oleh kelab peminatnya Ayda Jebat Screamer itu dihadiri lebih 200 peminat bagi menonton drama episod akhir slot Akasia itu.
Drama Rindu Awak 200% mula disiarkan pada 15 Julai lalu pada Isnin hingga Khamis pukul 7 malam di TV3.
Ayda Jebat Minta Kontroversi Fotonya Dengan Zul Ariffin Tidak Disensasikan
Pelakon Ayda Jebat meminta orang ramai agar tidak memperbesarkan isu foto mesranya bersama aktor Zul Ariffin yang dimuatkan dalam Instagram miliknya.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 22, berkata, foto-foto tersebut adalah sekadar promosi drama Rindu Awal 200% yang tidak bertujuan mencetuskan sebarang kontroversi atau melukakan hati mana-mana pihak.
"Jujurnya, saya tidak berniat nak timbulkan isu dengan setiap gambar yang dimuat naik dengan Zul di Instagram. Itu semua sekadar promosi drama sahaja. Dan foto-foto tersebut diambil ketika kami berada di lokasi penggambaran.
"Mengenali Zul, dia seorang yang 'moody'. Dan pihak penerbit sendiri dah bagitahu awal-awal supaya pastikan lakonan saya dan dia ada keserasian. Maklumlah, saya kan orang baru. Selepas dua minggu penggambaran, baru dia okay. Itu yang saya ambil gambar tu. Tak ada apa-apa niat pun.
"Jika orang komen berkaitan dengan agama, saya tidak boleh nak cakap apa-apa kerana saya bukannya warak pun. Di harap foto-foto yang itu tidak lagi menjadi isu," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.
Drama bersiri Rindu Awak 200% disiarkan di TV3, menerusi slot Akasia, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7 malam.
Foto mesra Ayda dan Zul membuatkan ramai yang mengkritik kedua-dua pelakon tersebut.
Baru-baru ini, Ayda mendapat kritikan daripada pengikut Instagram miliknya kerana memuat naik foto-foto mesra bersama Zul di laman sosial berkenaan.
Pelakon muda itu turut dihentam apabila salah satu foto mereka diambil dalam kedudukan begitu rapat memandangkan mereka bukan muhrim yang disifatkan tidak manis untuk dipaparkan kepada umum.
Sementara itu, Ayda berkata, walaupun pada awalnya dia sedikit berkecil hati dengan komen-komen negatif tersebut, namun dia mengambil pendekatan berfikir secara positif dengan setiap komen yang diberikan.
"Saya senang saja, fikir sahaja komen-komen itu ke arah yang positif kerana ada juga komen negatif yang boleh dijadikan sebagai pengajaran.
"Apa-apapun, setiap foto yang dimuat adalah kehendak saya sendiri. Cuma mungkin selepas ini saya akan lebih berhati-hati. Entahlah, saya pun hanya jadi diri sendiri. Apa yang dilihat dalam Instagram, itu adalah (diri) saya," ujarnya.
Dalam pada itu, Ayda berkata, dia bersyukur, populariti yang diraih menerusi drama tersebut membuatkan dirinya dilantik sebagai duta produk kecantikan Aurawhite Bubbly.
"Alhamdulillah, saya pun tidak sangka drama itu banyak memberikan saya peluang rezeki di dalam karier seni termasuklah menjadi duta produk kecantikan. Untuk Aurawhite Bubbly, ia lebih ditujukan kepada golongan remaja yang ingin kelihatan cerah dan berseri.
"Alang-alang mahu mempromosikan produk tersebut, saya merancang untuk bertemu peminat-peminat menerusi aktiviti-aktiviti tertentu. Atau akan ke sekolah-sekolah kerana produk itu khas untuk golongan remaja sahaja," tuturnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
