Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Azlan (The Typewriter). Show all posts
Showing posts with label Azlan (The Typewriter). Show all posts
Azlan (The Typewriter) Kurang Menonjol Untuk Kekal Lama
Penyanyi Azlan (The Typewriter) mengaku dia semakin kurang menonjolkan diri di khalayak sejak akhir-akhir ini.
Azlan atau nama sebenarnya Nor Azlan Rosle, 32, berkata, dia lebih selesa dengan keadaan itu kerana ia merupakan strategi untuk kekal lama dalam industri hiburan.
"Saya hanya akan keluar di khalayak apabila ada produk terbaharu untuk dikongsi dengan menampilkan lagu-lagu yang berkualiti.
"Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dibuat mengenai artis-artis tempatan dan antarabangsa, saya nampak, mereka akan kekal lama jika jarang berada di khalayak melainkan tampil dengan produk muzik terkini mereka. Jadi saya pun ingin menggunakan konsep itu," katanya kepada mStar Online.
Tambah Azlan lagi, sudah tiba masanya dia mengubah haluan dan gaya muzik mengikut genre yang disukai agar dapat diterima oleh peminat yang lebih luas.
Sebagai strategi baharu, Azlan merancang mahu mengeluarkan dua album berbeza di mana album terbaharunya berjudul Akuarium akan dijual buat peminat-peminat yang menggemari muzik underground.
Sebanyak lima buah lagu yang dimuatkan iaitu Akuarium, Bukan Ugutan, Pasar Karat, Analisa dan Ohh Ooo.
Manakala untuk pasaran komersial pula, Azlan akan muncul dengan single lagu terbaharu iaitu Kunci Jiwa.
"Saya sengaja cuba memperkenalkan konsep muzik yang berbeza bersama kumpulan The Typewriter menerusi album Aquarium dan ia khas buat peminat-peminat yang menggemari muzik underground.
"Selain itu, dalam album Aquarium, ia juga merupakan muzik yang saya terokai dengan cara penyampaian yang tersendiri manakala Kunci Jiwa akan menjadi sebuah lagu yang lebih komersial. Sesuai buat pendengar-pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat," tuturnya.
Hidup Azlan (The Typewriter) Berubah Selepas Dapat Anak
KUALA LUMPUR: Penyanyi Azlan & The Typewriter mengakui pengalaman bergelar bapa sejak empat bulan lalu mengubah dirinya menjadi insan yang lebih baik.
Azlan atau nama sebenarnya Nor Azlan Rosle, 30, berkata kelahiran anak perempuan sulungnya, Laura Lutfea bagaikan satu keajaiban dalam dirinya.
"Anak ini satu keajaiban bagi saya. Percaya atau tidak, semuanya berlaku secara tanpa disangka.
"Kelahirannya banyak mengubah hidup saya secara peribadi termasuk pemikiran dan sikap sejak empat bulan lalu," katanya.
Azlan ditemui pada pelancaran klip video Idola yang merupakan lagu runut bunyi filem terbaru, Hoore! Hoore!.
Azlan berkata perkara terbaik sejak kelahiran Laura Lutfea apabila dirinya menjadi semakin matang.
"Setiap kali menatap wajahnya ketika tidur fikiran saya akan menerawang memikirkan banyak perkara mengenai masa depannya.
"Apa yang paling penting, saya perlu mengukuhkan kewangan keluarga agar masa depannya lancar dan terjamin," kata Azlan.
Azlan dan Normala Hassan, 29, diijabkabulkan pada 2 Januari 2011 di Surau Al-Munir, Batu 14, Hulu Langat.
Beralih pada perkembangan kerjaya, Azlan memberitahu lirik lagu Idola ciptaan Audi Mok itu ditulis olehnya mengambil inspirasi Allahyarham Datuk Sudirman.
"Lirik lagu itu mengambil masa empat bulan untuk dihasilkan. Penulisannya lebih komersial, tidak boleh terlalu mendalam dan puitis.
"Saya perlu membuat kajian dengan menonton filem lakonannya Kami dan mendengar lagu-lagu Allahyarham bagi mendapatkan ilham," katanya.
Azlan (The Typewriter) Akui Takut Didik Anak
KUALA LUMPUR: Penyanyi Azlan dari kumpulan Azlan & The Typewriter meluahkan rasa gembira dan teruja untuk menimang anak yang dijangka akan dilahirkan pada 2 Januari tahun depan.
Menurut Azlan, kandungan isterinya, Normala Hassan, sudah berusia enam bulan dan dia seolah-olah tidak sabar untuk melihat wajah anaknya yang bakal lahir itu.
"Beberapa hari lepas, saya dan isteri telah membuat imbasan dan berkemungkinan besar kami akan mendapat anak perempuan.
"Cuma harapan saya biarlah isteri dan bakal anak perempuan saya ini menjalani proses kelahiran dengan selamat," katanya.
Tambah Azlan, bagaimanapun dia risau jika gagal menjadi seorang bapa yang baik daripada segi mental memandangkan dia tidak berpengalaman menjaga kanak-kanak.
"Walaupun berasa seronok dan teruja, pada masa yang sama, saya begitu takut untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang bapa.
"Lebih-lebih lagi dari segi didikan, cara zaman dahulu dan sekarang lain. Kanak-kanak sekarang lebih bijak dan pada masa yang sama sukar dikawal jika tersilap cara ajarannya," katanya yang begitu prihatin dengan penjagaan kesihatan isterinya itu.
Sementara itu, dalam penantian kelahiran anak sulung itu, Azlan juga sibuk dengan pembikinan album baru serta sedang membuat pengubahsuaian untuk mendirikan sebuah studio rakaman di Jalan Gurney, dekat sini.
"Tahun ini memang macam-macam perancangan yang saya ada. Saya juga akan membuka sebuah studio berkonsepkan hotel, di mana bagi sesiapa yang ingin membuat rakaman di studio, boleh membuat pakej penginapan sekali.
"Maklumlah, bila buat rakaman, masa yang digunakan mencecah ke waktu pagi. Jadi, bagi yang letih dan ingin berehat, kami memberikan bilik yang ruangnya amat selesa. Saya percaya, ramai yang akan menyukai lokasi studio ini kerana ia begitu tenang dan strategik. Malah, studio itu juga boleh dijadikan sebagai lokasi penggambaran drama atau filem," katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
