Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Azma Aizal. Show all posts
Showing posts with label Azma Aizal. Show all posts

Azma Hanya Anggap Sharifah Amani Seperti Adik


KUALA LUMPUR:Pelakon dan pengarah Azma Aizal Yusoof memberitahu hubungannya dengan pelakon Sharifah Amani hanya sekadar rakan baik sahaja.

Dia berkata, rasa sayang yang ada pada mereka adalah seperti perasaan adik beradik dan tidak lebih daripada itu.

“Dia adalah kawan yang sangat dekat dengan saya. Saya sayang dia seperti sayang kepada adik beradik sendiri.

“Masa kontroversi yang hampir menjatuhkan saya, keluarga mereka yang banyak beri semangat dan menjaga saya,” ujar Azma pada sidang media drama Cita dan Cinta, Khamis.

Azma menjelaskan perkara tersebut selepas timbul gosip mengatakan dia kini bercinta dengan pelakon filem Sepet itu.

Katanya, perkara tersebut berikutan dia meletakkan status hubungannya dengan Sharifah Amani dalam laman sosial Facebook miliknya.

Jelas Azma, dia tidak mahu hubungan baik tersebut rosak kerana masalah yang diperkatakan.

“Walaupun kami serasi dan rapat tapi tidak sampai bercinta. Saya tidak mahu cerita cinta merosakkan hubungan ini.

“Bagaimanapun kita tidak menolak jodoh yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Azma selaku pengarah Cita dan Cinta turut menampilkan Amani sebagai teraju utama drama tersebut.

Jelasnya, dia lebih selesa mengambil pelakon-pelakon yang rapat dengannya bagi memudahkan kerja penggambaran tersebut.

“Memang saya ambil pelakon-pelakon yang saya rapat sebab mudah untuk kerja dengan mereka. Saya seorang yang sangat cerewet dan mereka sangat memahami kehendak saya.

“Lagi pula mereka merupakan pelakon-pelakon terbaik dan saya sendiri kagum dengan bakat mereka,” katanya.

Drama remaja dan konflik percintaan tersebut turut membariskan pelakon lain seperti Chomel Fana, Beto Khusyairi, Nadia Aqilah dan Keifli Idir.

Menurut Azma, drama ini menyelitkan mesej bagaimana konflik yang berlaku di kalangan remaja sekarang.

“Apa yang saya cuba paparkan ialah masalah remaja dan bagaimana mereka atasinya. Begitu juga bagaimana mereka mengejar cita-cita dengan pelbagai cara.

“Lokasi penggambaran ialah di Kampung Baru, Kuala Lumpur kerana tempat ini sangat sesuai dengan apa yang saya sampaikan,” katanya.

Drama Cita dan Cinta bakal bersiaran pada setiap Khamis bermula 21 April, pukul 8.30 malam di TV9.

Dadah: Azma Aizal Enggan Terjebak Lagi


KUALA LUMPUR: Aktor dan pengarah Azma Aizal Yusoof, 30, yang dikenali sebagai Isma Yusoof sebelum ini berkata hidupnya lebih bermakna selepas setahun bebas daripada pengaruh dadah.

Susulan pengalaman hitam yang dilaluinya pada 2009 itu, pemilik nama sebenar Muhamad Ismaizal Yusoof ini sudah menyimpan kemas kesilapan tersebut.

Kini pemenang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin 2010 ini hanya ingin menumpukan perhatian pada karier seni yang kembali bersinar.

"Saya sudah simpan pengalaman hitam terjebak dengan dadah iaitu ganja dan tidak mahu dikenang lagi. Saya belajar banyak perkara daripada kealpaan dan kesilapan itu.

"Kini, saya sangat bersyukur kerana terus diberi peluang oleh Tuhan, keluarga dan masyarakat. Sebab itu, sekarang saya gunakan nama Azma Aizal Yusoof dan mahu mulakan fasa baru dalam kehidupan," katanya.

Kata pengarah drama bersiri Merah Puteh ini lagi, walaupun kerjayanya pernah terumbang-ambing pada tahun lalu, dia bersyukur apabila diberi kepercayaan oleh pelakon dan penerbit filem Dilarang Masuk (DM) iaitu Esma Daniel untuk membintangi filem itu.

"Tiga bulan karier saya tidak menentu ekoran pengakuan tentang ketagihan ganja. Namun saya bersyukur kerana Esma Daniel memberi peluang untuk membintangi filem DM.

"Dia minta saya hadiri ujibakat untuk salah satu watak dalam filem itu. Saya datang untuk mencuba nasib tetapi tak sangka pula berpeluang untuk bawa watak utama," imbasnya.

Justeru itu, Azma menganggap DM begitu istimewa dan bermakna kerana bukan saja dia berpeluang menjadi hero buat pertama kali, malah filem itu juga adalah platform untuknya kembali aktif di arena lakonan.

"Filem ini sangat bermakna kerana ini adalah pertama kali diberi kepercayaan sebagai hero sejak lima tahun terlibat dalam bidang seni.

"Ia juga adalah permulaan bagi kemunculan semula saya dalam dunia lakonan selepas fasa hitam yang pernah dilalui sebelum ini. Kini saya mahu kerja keras dan fokus terhadap bidang ini," katanya.

Selain Azma, DM yang mengetengahkan isu pendermaan organ secara haram itu turut dibintangi oleh Shiqin Kamal, Isma Hanum Husein, Muniff Isa dan Esma Daniel.

Filem arahan Jeffrey Chiang itu sedang ditayangkan di pawagam bermula 7 April lalu.

Hikmah Azma Aizal Selepas Ambil Dadah


KUALA LUMPUR: Pelakon Azma Aizal Yusof, 28, atau sebelum ini dikenali sebagai Isma tidak kesal dengan sejarah hitamnya yang pernah terjerumus dengan najis dadah beberapa tahun lalu.

Beritahu Azma, dia percaya kehidupannya dengan dadah sebelum ini pasti ada hikmah di sebaliknya kerana ia mampu menjadikan dia lebih matang.

Malah Azma tidak malu untuk berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan mahupun masyarakat di sekeliling yang ingin menjadikan kisahnya sebagai iktibar.

"Kini, hidup saya lebih sempurna. Sudah setahun saya bersih dari dadah dan saya langsung tidak menyesal dengan apa yang telah kerana ia mempunyai hikmah buat saya.

"Sebelum ini saya pernah rasa gagal dan ingin berhenti daripada dunia seni. Tetapi saya cuba bangkit dari kegagalan hidup dan ingin menjadi manusia yang lebih berguna.

"Alhamdulillah, kini saya lebih sihat dan mengabdikan diri kepada Tuhan agar tidak lagi lalai seperti dulu.

"Mungkin pada ketika itu saya rasa muda dan kononnya ingin tunggu seru, tapi sebenarnya salah tanggapan itu kerana kita sebagai seorang manusia yang perlu mengejar seru untuk hidup lebih positif dan matang," katanya yang memenangi Pelakon Pembantu Lelaki terbaik menerusi drama Antara Garisan dalam Anugerah Skrin 2010 (ASK) pada 24 Disember lalu.

Tambah Azma, dia mungkin akan menghasilkan sebuah drama berkisarkan tentang kehidupannya yang lepas agar dapat dipertontonkan kepada masyarakat untuk dijadikan pengajaran.

Malah anak kelahiran Kuala Lumpur itu ingin berkongsi penderitaannya sepanjang pengambilan dadah yang sering tidak cukup wang pada ketika itu.

"Sebagai seorang pengarah, apa yang berlaku pada diri saya sebelum ini agak menarik untuk dijadikan sebagai sebuah drama kerana terlalu banyak perkara yang telah saya lalui.

"Saya ingin visualkan apa yang saya rasa dan apa yang saya pelajari, di mana pada masa yang sama juga saya ingin dikelilingi oleh orang yang berfikiran positif agar dapat naikkan semangat saya.

"Selain itu, saya juga mula berzakat," selorohnya yang bakal mengarah drama berjudul Kashaf Imani sempena dengan sambutan Maulidur Rasul.

Sementara itu, kejayaan Azma meraih anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama ternyata menggembirakannya dan kemenangan itu dijadikan sebagai pembakar semangat pelakon itu untuk menjadi anak seni yang lebih kreatif.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails