Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Dang Suria. Show all posts
Showing posts with label Dang Suria. Show all posts

Dang Suria Tiada Niat Tinggalkan Dunia Penyiaran

PETALING JAYA: Bekas personaliti Astro Awani, Dang Suria Zainuddin menjelaskan dia tidak pernah berniat untuk meninggalkan dunia penyiaran sepenuhnya walaupun telah beralih kepada kerjaya baru. Dang Suria berkata, dia masih terlibat dalam dunia penyiaran cuma tidak mahu terikat dengan mana-mana stesen buat masa ini. "Saya tinggalkan bidang penyiaran adalah kerana ingin memberikan tumpuan kepada keluarga dan anak-anak yang sedang membesar kerana bekerja dalam sektor ini memerlukan masa yang panjang. "Pada usia dan komitmen sekarang saya perlu membuat keputusan dan keluarga menjadi keutamaan saya," katanya kepada mStar Online. Tambah Dang Suria, kerjaya baru yang disandang sekarang iaitu sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah hotel terkemuka di ibu negara sejak setahun lalu telah banyak memberikannya ruang untuk bersama keluarga terutama pada hujung minggu. "Dulu memang jarang dapat bercuti pada hujung minggu dan erti balik kampung untuk balik berhari raya memang tiada kerana tahu akan berkerja pada hari tersebut. "Bagaimanapun kerjaya baru ini banyak memberi ruang kepada saya walaupun banyak perkara baru yang perlu saya belajar. Sekurang-kurangnya masa bersama suami dan anak-anak tidak terabai," katanya. Dalam pada itu, Dang Suria memberitahu dia bakal muncul sebagai pengacara untuk sebuah program di Astro dalam masa terdekat. Dang Suria memberitahu, itu adalah sebagai bukti dia tidak pernah meninggalkan dunia penyiaran yang dicintainya sejak sekian lama selain tidak menggangu jadual hariannya. "Saya sudah berada dalam industri ini selama 15 tahun dan tidak mungkin meninggalkannya begitu saja dan kembalinya saya untuk mengacarakan program tersebut bagi mengubat kerinduan saya," katanya. Sementara itu bercakap mengenai penglibatannya sebagai tenaga pengajar program On Air, Dang Suria memberitahu dia akan lebih menekankan kepada jenama para peserta itu dan meneliti kekuatan mereka secara individu. Walaupun dia ada menerima pelbagai komen negatif mengenai kemunculannya dalam program tersebut sebelum ini, Dang Suria berkata dia hanya menjalankan tugas dan berlaku jujur tanpa niat lain. "Tiada niat untuk saya menjatuhkan sesiapa tetapi hanya berlaku jujur selain berkongsi pengalaman saya sebagai orang lama. "Bagi saya seseorang yang ada niat baik kepada seseoang itu sahaja akan bersikap jujur dengan kata-katanya. "Jadi komen dan nasihat saya itu hanya untuk menjadi kawan yang baik kepada mereka dan bukan berpura-pura atau pun hipokrit," katanya. Siaran pertama On Air akan dimulakan dengan Diari On Air di Astro RIa (saluran 104) pada setiap Rabu hingga Sabtu bermula 23 Mei ini, pukul 10 malam. Studio On Air pula bakal bersiaran selama lapan minggu di Astro Ria pada setiap Ahad bermula 27 Mei ini, pukul 10 malam.

Lancang Dang Suria bersebab


'DANG SURIA memang berani, dia jujur berkata benar dan tidak mahu memberi harapan palsu kepada peserta,' itu luahan peribadi Aznil Nawawi berhubung kontroversi yang tercetus gara-gara komen-komen Dang Suria yang dianggap bermulut lancang selaku juri pencarian peserta uji bakat On Air.

Khamis lalu, nama pengacara popular, Dang Suria Zainordin tiba-tiba memuncak dan menjadi bahan cemuhan penonton serta peminat yang menyaksikan episod pengenalan On Air. Ia disiarkan setiap Rabu, 9 malam di saluran Astro Ria bermula 1 Februari lalu.

Sebaik tamat siaran, penonton yang menyaksikan episod pengenalan kedua On Air semasa pencarian di Johor Bahru itu mula naik marah. Masing-masing menggunakan saluran Facebook, Twitter serta blog-blog mengecam pendekatan Dang Suria yang dianggap kasar, biadab serta mengkritik peserta hanya bersandarkan rupa paras dan penampilan fizikal.

Paling menyakitkan hati umum apabila Dang Suria menggunakan perkataan gemuk dan muka tidak kacak yang tidak sedap didengar ketika mengkritik penampilan peserta.

Selaku ketua juri serta mentor program pencarian bakat pengacara berkenaan, Aznil sendiri diminta memberi penjelasan.

Dang Suria dikecam para penonton akibat komen-komennya yang dianggap sangat negatif, anda sendiri berpendirian bagaimana?

AZNIL: Bila Dang Suria beri komen pasal gemuk dan tidak kacak, ia tidak habis di situ, tapi disunting maka jadilah seolah-olahnya Dang Suria hanya beri komen sebegitu sahaja. Itulah yang dikatakan program realiti. Apa jua implikasinya, saya yakin Dang Suria cukup sedar dengan setiap patah perkataan yang digunakan, dia sangat bersedia dengan impak yang sedang dihadapinya. Jika Dang dilihat hanya beri komen tentang penampilan sahaja, itu bukan silap dia, memang tugas Dang hanya komen aspek penampilan sebab saya sendiri akan nilai secara umum manakala Shuhaimi Sulaiman pula menilai tahap pemikiran peserta.

Pandangan anda terhadap penonton yang marahkan Dang Suria?

Penonton tempatan masih berada dalam situasi menafikan realiti. Mereka menidakkan sesuatu yang sebenarnya mereka sedari. Ada yang bagi contoh Oprah Winfrey boleh jadi terkemuka sedangkan fizikalnya gempal, tetapi itu sekarang walhal pada awal kerjaya beliau Oprah ialah seorang gadis yang sangat cantik. Mahu atau tidak, penonton tetap akan melihat penampilan dahulu. Sebab itulah On Air meletakkan syarat permohonan penampilan menarik yang membawa maksud kacak atau cantik.

Kontroversi pasti ada pro dan kontranya?

Ya. Saya lihat, positifnya On Air sedang diperhatikan, dinanti-nantikan dan mula diperkatakan. Sebagai program ciptaan baharu, On Air dapat lepasi tahap kebiasaan program-program sedia ada. Dari sudut lain pula, rasanya komen-komen lepas geram penonton di FB, Twitter serta blog-blog internet itu sebenarnya lebih celupar dan tidak bermoral malah lebih mengaibkan orang lain berbanding komen Dang Suria sendiri.

Jadi, adakah apa yang berlaku itu strategi atau gimik untuk tarik perhatian dan rating program?

Saya cuma boleh katakan: Teruskan menonton sebab banyak lagi kejutan yang akan kami tampilkan. Di hujung pencarian nanti, bukan rupa sahaja yang dinilai, ada yang berbadan gempal, gadis bertudung turut terpilih. Akhirnya On Air tetap akan cari bakat yang besar kalau sekadar cantik atau tampan tapi tanpa bakat, mereka tetap disingkirkan.

Bagaimana pula seandai gimik sepanjang pencarian ini akan membuatkan penonton meluat dengan On Air?

Saya tak fikir begitu sebab akan ada banyak emosi dan faktor yang akan membuatkan penonton jatuh cinta dengan On Air, akan ada klip-klip kehidupan peserta yang dekat dengan penonton akan kami paparkan.

'On Air' : Kritikan Pedas Dang Suria Bukan Kerana Kejam


PETALING JAYA: Pengacara popular Dang Suria Zainordin menjelaskan kritikan pedas mengenai paras rupa dan fizikal peserta dalam uji bakat rancangan On Air ada sebab-sebabnya yang tersendiri, bukan sengaja mahu bertindak kejam.

Dang Suria yang dihubungi mStar Online pada Khamis berkata, apa yang telah ditonton di televisyen menerusi saluran Astro Ria tidak seperti yang terjadi ketika uji bakat berlangsung sebaliknya ia banyak disunting bagi meraih rating penonton.

"Biasalah dalam show business sesebuah program itu akan disunting untuk menampakkannya lebih menarik. Dan ya, saya nampak kejam dalam On Air, tetapi tak kisah tentang hal itu kerana ia adalah perkara normal dalam sesebuah penerbitan televisyen walaupun saya sebenarnya tidaklah sekejam seperti yang ditonton.

"Malah, anak perempuan saya marah dan menganggap saya seorang juri yang teruk ketika itu," selorohnya.

On Air yang telah memulakan siarannya pada pukul 9 malam Rabu lalu itu mendapat kritikan hebat daripada penonton selepas menyaksikan komen-komen pedas daripada salah seorang jurinya, Dang Suria.

Kata-kata pengacara itu dianggap biadab sekali gus telah menjatuhkan maruah beberapa peserta kerana mengkritik mengenai fizikal dan paras rupa.

Mengakui mengenai kritikan itu sedikit kasar, Dang Suria enggan memberi harapan palsu kepada para peserta yang bersungguh-sungguh mencuba dalam uji bakat tersebut sebaliknya mahukan ia menjadi satu pembakar semangat buat mereka.

"Kadang kala, kebenaran adalah perkara yang menyakitkan. Saya hanya bercakap jujur kepada para peserta dan tidak mahu memberi harapan menggunung kepada mereka.

"Ini kerana, apabila kita cakap berlapik, jangan terkejut jika mereka (peserta) akan ke lokasi-lokasi lain untuk mencuba nasib lagi.

"Saya tak mahu melihat mereka sanggup datang dari jauh dan ada yang datang tanpa wang yang mencukupi semata-mata untuk mencuba nasib walaupun kita tahu hakikatnya, mereka gagal pada uji bakat pertama.

"Begitu juga dengan kritikan mengenai fizikal terhadap salah seorang peserta wanita, saya tahu dia memiliki paras rupa yang cantik dan apabila saya menegur dengan memintanya menguruskan badan, sepatutnya dia perlu berfikiran positif dan ambil ia sebagai satu cabaran.

“Kritikan yang diberikan itu mungkin nampak kejam, tapi ia adalah untuk kebaikan mereka juga," tegasnya.

Tambah isteri kepada penulis lirik Ad Samad ini, para peserta juga perlu melalui kritikan daripada awal lagi kerana apabila menyertai dunia hiburan, sekurang-kurangnya mereka telah bersedia daripada segi mental.

"Apabila menyertai dunia hiburan, banyak lagi dugaan yang perlu dilalui lebih-lebih lagi kritikan daripada masyarakat.

"Saya bertegas dalam hal penampilan kerana seperti yang kita ketahui, masyarakat kita cepat sangat menilai diri seseorang pada pandangan mata yang pertama.

"Dan jika ia tidak sedap mata memandang, maka secara langsungnya seseorang itu akan dikritik tentang, penampilan dan fizikalnya sebelum memandang pada bakat," katanya.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli berkata, kritikan yang diberikan oleh Dang Suria sepatutnya tidak perlu dijadikan isu kerana pengacara itu sememangnya ditugaskan untuk membuat penilaian daripada segi penampilan.

Selain Dang Suria, pengacara Suhaimi Sulaiman, Normala Samsudin dan Aznil Nawawi turut ditugaskan sebagai juri dalam iji bakat On Air yang diadakan di beberapa lokasi terpilih sebelum ini.

Dang Suria Tinggalkan Awani Kerana Anak


PETALING JAYA: Personaliti Astro Awani, Dang Suria Zainordin telah menamatkan tugasnya di saluran televisyen itu bermula Ogos lalu untuk memberi perhatian terhadap keluarga dan anak-anak.

Dang Suria berkata, tugas di stesen penyiaran bukannya mudah kerana dia perlu berkhidmat lebih masa selain sukar mendapat cuti.

“Saya membuat keputusan itu kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga. Kadang-kadang nak hantar anak perempuan saya pergi ke kelas fardu ain pun tak sempat,” katanya.

Kata Dang Suria, keputusan meninggalkan saluran televisyen itu bukan bermakna dia tidak berminat lagi dalam bidang penyiaran sebaliknya akan menerima tawaran menjadi pengacara sambilan jika mendapat peluang.

Menurutnya, selepas meninggalkan Astro, dia mendapat tawaran bekerja sebagai Pengurus Perhubungan Awam di Hotel Royale Bintang The Curve, dekat sini.

Jelasnya tugas barunya itu hanya memerlukan dia berkhidmat pada waktu pejabat berbanding sebelum ini.

“Saya bersyukur dan seronok dengan kerja baru walaupun pernah menceburi bidang penyiaran selama 15 tahun. Banyak perkara baru yang saya perlu pelajari memandangkan bidang perhubungan awam agak berbeza dengan bidang penyiaran,” katanya

Ketika di Astro Awani, Dang Suria mengendalikan program WW dan Awani Pagi.

Dia juga yang berkahwin dengan penulis lirik AD Samad dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Yusha yang kini berusia 10 bulan dan juga Sara, berumur 10 tahun hasil perkahwinan terdahulu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails