Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor. Show all posts
Showing posts with label Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor. Show all posts

BELLA KINI BERUSIA 2 TAHUN

"Saya macam tak percaya, anak saya Bella sudah berusia 2 tahun semalam," demikian kata Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar. Sehubungan itu, semalam beliau telah menghadiahkan kek kecil buat Bella selepas sembahyang Tarawih. Apa yang membanggakan angkasawan itu, Bella juga tidak pernah meninggalkan sembahyang Tarawih sejak Ramadhan bermula. Anak ayah katakan..!

Inilah Anak Kedua Angkasawan Negara, Sophea Natasha!

KUALA LUMPUR, 13 FEB 2013: Sophea Natasha Binti Sheikh Muszaphar, itulah nama puteri kedua angkasawan negara, Dato' Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang telah diumumkan secara rasmi menerusi blog peribadi isterinya, Dr Halina Mohd Yunos, pada hari semalam. Selain berkongsi nama puterinya itu, Dr Halina turut menyelitkan beberapa keping gambar menarik puteri kecilnya itu sewaktu mereka menjayakan setu sesi fotografi oleh jurukamera Azmir Khalid. Difahamkan sesi fotografi tersebut telah diadakan di kediaman pasangan ini dan ia juga merupakan kali pertama mereka merakamkan gambar keluarga bersama. Azmir Khalid juga merupakan jurukamera yang sama mengambil gambar puteri sulungnya, Bella sewaktu anak sulung mereka itu baru dilahirkan.

Gambar terbaru bayi angkasawan


Ini adalah gambar terbaru Sophea Isabella, bayi kepada angkasawan negara. Menurut Datuk Dr. Sheikh Mudzaphar, Sophea kini berusia tujuh minggu dan beratnya sudah 4.5 kg.

Isteri Sheikh Muszaphar Disahkan Hamil 12 Minggu



PETALING JAYA: Isteri Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha disahkan sedang hamil 12 minggu.

Menurut laporan akhbar, Sheikh Muszaphar ketika mengesahkan berita tersebut berkata, beliau bersama isteri, Dr Halina Mohd Yunos serta keluarga kedua-dua belah pihak berasa cukup gembira.

“Sukar untuk saya gambarkan perasaan tetapi saya bersyukur dengan zuriat daripada Allah dan ini hadiah yang terbaik untuk kami,” katanya, Sabtu.

Sheikh Muszaphar turut memberitahu beliau mengimpikan anak yang ramai iaitu 10 orang.

Pasangan ini berkahwin pada 10 Oktober 2010.

Angkasawan Negara Sah Bergelar Suami


PUTRAJAYA: Dengan sekali lafaz, Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor sah bergelar suami kepada Dr Halina Mohd Yunos dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, Ahad.

Majlis akad nikah disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Yunos Mohd Ali dengan bersaksikan Ketua Pendaftar Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali.

Ia dilakukan kira-kira pada pukul 11.45 pagi di hadapan, keluarga dan sahabat-handai kedua-dua mempelai.

Pasangan yang bertunang pada 1 Januari lalu itu menzahirkan rasa syukur kerana majlis berkenaan berjalan dengan lancar.

"Alhamdulilah semuanya berjalan seperti yang dirancangkan. Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat dan masyarakat yang datang meraikan majlis ini.

"Perancangan saya selepas ini adalah untuk meneruskan tugas yang diamanahkan di samping tanggungjawab sebagai seorang suami," kata Sheikh Muszaphar.

Manakala Dr Halina turut mengakui perasaan gemuruh dan gembira bercampur baur ketika melalui upacara akad nikah.

"Syukur semua sudah selesai, perasaan saya ketika ini bercampur baur sama ada gembira sedih dan terharu kerana melangkah setapak lagi ke fasa hidup berumah tangga," ujarnya.

Ketika ditanya tentang harapan menimang cahaya mata, pasangan ini memberitahu menyerahkan segalanya kepada Allah. Mereka juga dijangka akan menunaikan umrah sambil berbulan madu.

Pada majlis tersebut Dr Halina tampil anggun sementara suaminya tampak kacak apabila mengenakan persalinan berwarna putih rekaan Putra dari butik Cosry.

Sheikh Muszaphar menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas 11 berona putih gading dan perak. Hiasan hantaran turut diserikan dengan warna biru muda.

Bagaimanapun jumlah wang hantaran tidak dimaklumkan atas kehendak kedua-dua belah pihak.

Majlis persandingan akan diadakan malam ini di Putrajaya International Convention Centre (PICC) bertemakan "pahlawan Melayu di istana kayangan".

Lebih 1,000 jemputan akan hadir yang terdiri daripada kerabat diraja, orang kenamaan, ahli keluarga, rakan rapat termasuk 100 angkasawan dari 35 negara serta 20 media antarabangsa.

Tunai haji selepas nikah-Dr. Sheikh Muszaphar Shukor


MENGHITUNG waktu tujuh hari lagi ke jenjang pelamin, lelaki ini sepatutnya hanya perlu menunggu waktu akad dilafazkan dalam keadaan tenang.

Hari ini, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berada di Riyadh, Arab Saudi untuk memberi ceramah sejak Khamis lalu sebelum pulang ke tanah air, esok.

“Saya ada lapan ceramah yang perlu dihadiri sebelum majlis pernikahan. Selepas ini, saya perlu menghadiri satu lagi ceramah. Dan kita hanya ada 30 minit untuk sesi wawancara ini,” katanya ramah kepada saya ketika ditemui di Restoran Rebung, Bangsar pada petang Selasa lalu.

Begitulah sibuknya lelaki yang mesra dipanggil ‘Dr Angkasawan’ ini sejak bergelar Angkasawan Negara pertama pada 10 Oktober 2007.

Namun sibuk bagaimanapun, tiada yang lebih membahagiakan bagi dirinya dan Dr. Halina Mohd. Yunos apabila cinta yang disemai sekian lama bakal menemui titik noktah.

Tarikh 10 Oktober ini akan menyaksikan penyatuan cinta mereka menerusi majlis pernikahan pukul 11 pagi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, Kuala Lumpur.

Pada sebelah malam, kemuncak cinta pasangan sama padan itu akan terungkap pada majlis persandingan yang akan dilangsungkan penuh gilang-gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dianggap ‘Perkahwinan Gemilang Abad Ini’, kesucian sebuah cinta yang disulam sejak lapan tahun itu pastinya ingin dikongsikan Sheikh Muszaphar bersama seluruh rakyat Malaysia pada hari bersejarah itu.

“Saya secara peribadi ingin menjemput seluruh rakyat Malaysia, orang Melayu, Cina dan India hadir pada majlis pernikahan kami pada 10 Oktober ini bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang.

“Hanya menerusi jemputan ini sahaja saya dapat membalas jasa seluruh rakyat Malaysia yang sebelum ini mendoakan kesejahteraan saya ketika berada di angkasa lepas.

“Usah bimbang jika tidak mempunyai kad jemputan atau makanan dan minuman yang tidak mencukupi kerana saya menjangkakan seramai 10,000 tetamu akan hadir, ” katanya menghulur undangan ikhlas buat semua yang mahu meraikan hari bahagianya.

Sementara majlis persandingan pula dikhaskan kepada 1,000 tetamu jemputan yang terdiri daripada golongan diraja, orang kenamaan, ahli keluarga dan rakan rapat termasuk 100 angkasawan dari 35 buah negara dan 20 media antarabangsa.

Bertemakan pahlawan Melayu di istana kayangan akan menyaksikan kemunculan bintang dan bulan di dalam dewan persandingan.

“Dengan kehadiran ramai angkasawan luar negara yang turut berpakaian Melayu dan media asing, saya ingin menonjolkan ciri-ciri budaya Melayu yang tidak tolok bandingnya bermula sejak zaman dahulu kala.

“Pada malam itu, tetamu juga boleh menyaksikan acara kesenian seperti gurindam, zapin dan tarian dalam usaha membuka mata dan tarikan istimewa kepada tetamu luar negara ,” katanya.

Pada majlis memotong kek yang berkonsepkan sebuah roket, pereka fesyen terkenal Datuk Bernard Chandran akan menyediakan satu pakaian khas yang cukup istimewa.

Sempena perkahwinan itu juga, Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada persidangan Association of Space Explorers pada 5 hingga 10 Oktober ini.

Debaran tidak sama

Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha mengikat pertunangan dengan Halina yang berusia 29 tahun pada 1 Januari lalu.

Mengimbau kisah cinta mereka, Halina yang kini bertugas sebagai doktor bius di Hospital Selayang, Kuala Lumpur merupakan bekas pelajar angkasawan itu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ditanya perasaan apabila akhirnya bertemu dengan cinta sejati selepas tiga kali putus cinta sebelum ini, Sheikh Muszaphar mengakui dirinya sudah tidak sabar-sabar untuk berumahtangga.

Jelas doktor bedah ortopedik itu, apatah lagi umurnya kini sudah menjangkau 38 tahun dan memiliki sifat penyayang terhadap kanak-kanak.

“Alhamdulillah, masanya sudah tiba untuk saya menamatkan zaman bujang selepas lapan tahun berkenalan dengan Halina.

“Malah tarikh 10.10.10 merupakan tarikh yang sesuai sempena ulang tahun ketiga saya ke angkasa lepas menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

“Pada masa sama, kontrak saya bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang sudah tamat pada 31 Disember lalu turut membolehkan saya untuk berkahwin,” katanya.

Sempat diusik apakah perasaan sama yang dialami dirinya sewaktu hendak berlepas ke angkasa lepas dan majlis akad nikah nanti, Sheikh Muszaphar diam seketika sambil tersenyum.

Dia yang kini bertugas sebagai Penyelidik Utama di Institut Sains Negara, UKM berkata, dia tidak perlu risau untuk memikirkan hari bersejarah yang semakin hampir itu kerana perkahwinannya merupakan penyatuan satu ikatan cinta suci.

“Sudah tentu perasaan saya ketika ini tidak sama apabila hendak berlepas ke angkasa lepas tiga tahun lalu.

“Memang di dalam televisyen ketika itu, penonton dapat melihat wajah saya yang gementar dan tertekan tetapi sebenar ketika itu kaki saya hampir kejang kerana sudah berada dalam kapsul kapal angkasa Soyuz tiga jam sebelum berlepas.

“Ini kerana kedudukan kapsul itu yang sempit dan kecil. Lagi pun, sebelum itu saya sudah dilatih agar tidak takut dengan sebarang kegagalan walau apa pun terjadi,”katanya ketawa apabila mengenangkan memori yang paling tidak dapat dilupakan dalam hidupnya.

Diajak berkongsi cerita pula mengenai buah hatinya itu, Sheikh Muszaphar memberitahu, dia memilih seorang wanita itu sebagai calon isteri berdasarkan kecantikan dalaman yang dimiliki.

Apa yang penting, pemilihan Halina dibuat mengikut ajaran Islam yang menggaris panduan ciri-ciri memilih calon isteri kerana agama, keturunan, rupa dan harta.

“Walaupun saya kahwin agak lewat dan semua adik-beradik sudah pun berumahtangga, sebenarnya jodoh itu tidak boleh dipaksa.

“Paling utama apabila saya hendak menamatkan zaman bujang ini, hidup saya sudah stabil dan memiliki jiwa yang tenang,” kata anak kedua daripada lima beradik.

Jemputan khas

Putera Mahkota

Selepas bernikah pasangan ini akan melakukan ibadah haji pada bulan depan atas jemputan khas Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Sultan Salman.

“Sambil mengerjakan ibadah haji, kami akan berbulan di Tanah Suci,” katanya yang sudah dua kali menunaikan ibadah haji atas jemputan Putera Mahkota berkenaan.

Kata angkasawan ke-438 di dunia itu, sejak pertama kali merasai pengalaman mengerjakan haji, dia sudah menyimpan impian untuk berkunjung ke sana saban tahun.

Jelasnya, ini kerana tiada perasaan yang dapat diungkap dengan kata-kata apabila dapat melihat jutaan jemaah mengelilingi Kaabah dari istana kerabat diraja itu.

“Itulah perasaan sama yang dialami apabila bulu roma saya meremang ketika pertama kali berada di ruang angkasa lepas.

“Ia merupakan satu perasaan yang luar biasa dan mengagumkan apabila berada di Tanah Suci,” katanya yang kini berkawan rapat dengan Putera Sultan Salman yang merupakan orang Islam pertama ke angkasa lepas.

Dalam debaran menanti detik disatukan dengan tunangannya, Halina yang sudah pasti paling sibuk menguruskan banyak perkara. Seperti pasangan pengantin lain, sebagai wanita banyak perkata bermain di benak fikir Halina menjelang tarikh pernikahannya minggu depan.

Pun begitu, Halina mengakui sangat mencintai dan menerima tunangannya itu sepenuh hati. Sheikh Muzaphar adalah insan yang diyakini mampu membawa dirinya ke alam rumah tangga yang bahagia dan melahirkan zuriat mereka sendiri ketika tiba detiknya nanti.

Justeru, kata Halina dia sanggup menunggu selama lapan tahun sebelum mereka dapat disatukan.

“Kalau sayangkan seorang itu, kita sanggup buat apa saja asalkan dia bahagia,” ucap Halina ringkas namun penuh bermakna.

Bagi pemilik wajah manis ini, Sheikh Muszaphar menjadi pilihan hatinya kerana sejak bertemu lelaki itu, dia tetap lelaki yang sama dikenali lapan tahun lalu walaupun kini sudah menjadi orang terkenal dan milik masyarakat.

“Sheikh Muszaphar tidak pernah lupa memberi dorongan kepada saya dalam apa jua situasi. Itu yang membuatkan saya sanggup mengharungi apa jua cabaran bersamanya,” kata wanita kelahiran Kluang, Johor.

Menurut Halina, dia dan Sheikh Muszaphar sepatutnya sudah melangsungkan pertunangan tiga tahun lalu sebelum Sheikh Muszaphar dipilih untuk berlepas ke angkasa lepas.

Namun atas nama tanggungjawab kepada negara, mereka sanggup mengorbankan impian itu bertahun-tahun lamanya dan menangguhkan detik membina kehidupan bersama.

Untuk Dr Angkasawan dan cinta hatinya, selamat pengantin baru daripada kami di Pancaindera dan pembaca-pembaca semua.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails