Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label David Teo. Show all posts
Showing posts with label David Teo. Show all posts
"Penyanyi Usah Bimbang, Stesen Radio Tidak Lagi Penting" - David Teo
Penerbit filem David Teo menyifatkan stesen-stesen radio tempatan pada masa kini tidak lagi menjadi peranan penting dalam memberi populariti pada sesebuah lagu baharu.
Justeru itu, David berkata, penyanyi-penyanyi yang gagal mendapat tempat di mana-mana stesen untuk memutarkan lagu mereka tidak perlu risau kerana medium utama pada ketika ini adalah internet dan laman sosial.
"Jangan putus asa jika radio tidak mahu memainkan lagu-lagu anda kerana medium pada zaman ini lebih luas di mana anda hanya boleh meraih populariti menerusi YouTube.
"Saya tahu ada yang kecewa apabila lagu-lagu yang ingin dipromosikan tidak diputarkan radio kerana saya pun pernah merasainya sebelum ini apabila single lagu pertama saya, Kacang tidak dimainkan radio. Kononnya lagu tersebut kurang berkualiti.
"Tetapi apa yang saya lihat, tanpa sokongan radio sekalipun, Kacang masih lagi menjadi viral di YouTube sehingga ia menjadi parodi," katanya kepada mStar Online.
Tambah David, stesen radio juga kini banyak mencari lagu bakat-bakat baru daripada laman YouTube untuk dikeudarakan.
Sementara itu, tanpa rasa putus asa, David terus muncul dengan single lagu kedua pula bersempena dengan sambutan Aidilfitri berjudul Kawan Lama Salam Hari Raya, menampilkan penyanyi Yasin Sulaiman.
Katanya, lagu tersebut adalah sangat istimewa kerana liriknya dihasilkan sendiri manakala lagu dicipta oleh Yasin.
"Memandangkan saya begitu rapat dengan golongan Melayu, maka saya mahu hadiahkan sebuah lagu yang bermakna buat mereka iaitu sebuah lagu Hari Raya.
"Mengenai lagu ini ia mengisahkan tentang kawan-kawan lama yang jarang kita jumpa kerana kesibukan kerja dan sambutan Aidilfitri akan mengingatkan kita kepada mereka.
"Pada masa sama, ketika Raya barulah kita dapat bermaaf-maafan dengan mereka.
"Saya lihat ramai yang tidak mahu melaburkan wang untuk memiliki lagu Hari Raya. Jadi saya laburkan RM35,000 untuk menghasilkan lagu termasuk klip videonya sekali," ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon Atikah Suhaime turut ditampilkan sebagai penyanyi latar.
"Tuduhan Aeril Zafrel & Wawa Zainal Mengarut" - David Teo
Penerbit filem Metrowealth International Group (MIG) iaitu David Teo menyifatkan isu pihaknya tidak menjelaskan bayaran baki duit lakonan Aeril Zafrel dan isteri, Wawa Zainal termasuk duit duta produk yang bernilai puluhan ribu ringgit sebagai mengarut.
David berkata, memandangkan pasangan itu menamatkan kontrak lebih awal tanpa membuat perbincangan, mereka tidak layak bertanyakan sebarang bayaran yang tertunggak.
"Kedua-dua mereka tidak mengikut kontrak dan menamatkan perjanjian serta-merta tanpa sebarang perbincangan dengan MIG.
"Sedangkan pihak kami meminta mereka datang untuk berbincang perkara ini dengan lebih lanjut, tetapi baik Aeril mahupun Wawa, mereka buat tak endah sahaja," katanya kepada mStar Online.
David Teo diminta mengulas mengenai dakwaan Aeril menerusi laporan media mengatakan pihak MIG masih lagi berhutang dengannya dan isteri bernilai puluhan ribu ringgit.
Sebelum itu, timbul juga isu Aeril menerusi Instagram miliknya meminta agar pihak MIG memulangkan kembali pakaian serta dokumen penting mereka di dalam kenderaan jenis Suzuki Swift yang dilaporkan hilang setahun lalu.
Kereta itu difahamkan sudah ditemui semula oleh pihak MIG yang merupakan pemilik kereta terbabit.
Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Suhari, 27, meninggalkan MIG pada akhir tahun 2012, diikuti pula dengan Wawa atau Nur Hawa Zainal Abidin, 23, yang keluar daripada syarikat pengurusan tersebut pada Oktober 2013.
Mereka membuat keputusan meninggalkan MIG sebelum tamat kontrak selepas kedua-duanya mengumumkan perkahwinan rahsia mereka.
Pasangan itu telah bernikah sebanyak dua kali masing-masing pada 25 Februari 2012 dan 4 Februari 2013 di Taman Datuk Harun, di sini.
Sementara itu, David berkata, dia tidak tahu apa-apa mengenai dokumen mahupun pakaian yang berada dalam kereta tersebut dan berasa pelik apabila Aeril masih lagi memperbesarkan isu kehilangan kereta itu dengan menuduh MIG menjadi puncanya sedangkan kenderaan berkenaan milik syarikat itu sepenuhnya.
Kata David, pihak MIG pada mulanya telah membelikan kereta itu untuk dipinjamkan kepada Wawa dengan konsep skim sewa beli, memandangkan pelakon itu tiada kenderaan.
Bagaimanapun disebabkan Wawa bukan lagi menjadi artis naungan MIG, maka pihak syarikat berhak mengambil semula kereta tersebut.
"Di MIG, saya mengamalkan konsep seperti pihak kerajaan buat bagi membantu golongan susah menerusi skim sewa beli di mana kami menyediakan rumah dan kereta buat para pelakon menerusi skim tersebut.
"Memandangkan Wawa tidak lagi membayar sewa kereta, maka kereta tersebut sudah semestinya dipulangkan kepada kami. Itu pun kami jumpa kereta itu selepas Wawa memberitahu tentang kehilangan kereta itu," ujarnya.
Sementara itu, David berkata, dia penat dengan sikap Aeril yang tidak sudah-sudah memfitnahnya. Perkara itu membuatkan pihaknya dinasihatkan oleh peguam untuk mengumpul segala bukti berkaitan isu-isu membabitkan Aeril dan Wawa.
Bagaimanapun, David belum terfikir lagi untuk membuat sebarang tindakan undang-undang terhadap pasangan itu.
"Walaupun macam-macam terjadi, saya masih lagi menganggap mereka sebagai anak-anak yang mahu membesar. Dan saya percaya setiap kesilapan yang dilakukan akan menjadi pengajaran. Begitu juga dengan mereka, yang masih lagi belajar tentang kehidupan," tuturnya.
David Teo Tidak Berdendam Dengan Wawa Zainal
Kontroversi isu status perkahwinan pasangan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang pernah menuduh Metrowealth International Group (MIG) menjadi salah satu punca utamanya hubungan itu dirahsiakan tidak pernah melunturkan semangat Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Teo, untuk menaikkan nama Wawa kembali.
David berkata, dia langsung tidak menyimpan dendam terhadap artis naungannya itu kerana yakin Wawa, 22, masih kurang matang dalam isu-isu pengurusan kerjaya terutamanya.
"Saya alu-alukan kedatangan Wawa apabila dia sudah bersedia untuk kembali aktif di bidang lakonan. Ini kerana kami masih sayangkan dia sebagai anak didik, seperti artis-artis naungan lain.
"Dalam perkara sebegini, saya dalam MIG sering menjadi bapa kepada artis-artis saya dan biasalah kalau ada 'anak' yang memberontak. Pihak MIG langsung tidak berdendam dengannya, malah mahu menaikkan namanya semula selepas kontroversi yang pernah berlaku," katanya.
Terdahulu, Aeril dilaporkan sudah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Wawa Zainal atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, secara senyap dan hasil perkahwinan itu, mereka mendapat anak yang lahir pada 24 Ogos lalu dan diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar.
Perkahwinan itu pada mulanya dirahsiakan gara-gara Wawa takut dimarahi David kerana berasa sudah melanggar kontrak yang dianggap artis naungan MIG tidak boleh bercinta atau berkahwin jika status hubungan mereka diketahui.
Dan kerana itu mereka bercadang akan memberitahu perkara status mereka sebagai suami isteri pada tahun 2015, selepas kontrak aktres itu tamat.
Sementara itu, David berkata, selepas kontroversi tersebut, Wawa telah menghubunginya pada pagi Jumaat lalu meminta maaf atas kesilapan yang dilakukannya.
"Wawa telah menghubungi saya dan sebagai seorang 'ayah' saya sudah memaafkan dia. Cuma sekarang ini pihak MIG menantikan kehadirannya ke pejabat.
"Sebelum ini 'kehilangan' Wawa selama hampir setahun telah banyak meninggalkan kesan terhadap kerjayanya apabila banyak tawaran lakonan termasuklah projek sebagai duta beberapa produk terpaksa ditolak begitu sahaja.
"Tidak kisahlah imej macam mana sekalipun dia bakal tampilkan (bertudung atau tidak), pihak MIG akan kembali menaikkan namanya semula. Kerana saya percaya Wawa boleh berjaya pada masa depan nanti," tegas David.
Aeril Zafrel & Wawa Zainal Mohon Maaf Tipu Kahwin
Pasangan pelakon Aeril Zafrel, 25, dan Wawa Zainal, 22, memohon maaf kerana mengambil langkah menipu peminat dan pihak media mengenai status hubungan mereka yang sebenarnya sudah menjadi suami isteri sejak tahun lalu.
Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Suhari, berkata, mereka menyesal kerana tidak mendedahkan berita berkenaan lebih awal sehingga rahsia berkenaan bocor dan dilaporkan oleh pihak media.
"Saya memohon maaf kerana merahsiakan perkara ini. Pada perancangan asal, kami ingin mengumumkan status perhubungan ini dua tahun lagi iaitu selepas Wawa menamatkan kontraknya dengan Metrowealth International Group (MIG) pada tahun 2015.
"Jadi saya menghormati permintaan Wawa untuk merahsiakan perkara ini kerana takut dimarahi pihak pengurusan. Tetapi tidak sangka pula perkahwinan kami dilaporkan lebih awal," katanya dalam satu majlis yang diadakan di restoran Western 114 di Neo Damansara, di sini petang Jumaat.
Dalam majlis itu, kedua-dua pasangan ditemani bapa Wawa iaitu Zainal Abidin Sulong, pengurus Aeril, Shahriman Wahab dan peguam, Zulhasmi Zakaria.
Majlis yang dipenuhi pihak media itu agak tegang apabila Aeril pada mulanya banyak berkias dalam memberikan setiap jawapan sehingga sikapnya itu ditegur oleh para wartawan.
Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin pula pada majlis itu tampil bertudung litup menjawab setiap persoalan dengan berterus terang namun ada beberapa masa air matanya bergenang selepas diasak pelbagai soalan.
Dalam pada itu, pasangan berkenaan berkata tujuan mereka menyembunyikan status pernikahan itu adalah berpunca daripada peraturan MIG yang melarang artis naungan syarikat itu untuk bercinta.
Untuk rekod, Aeril pernah menjadi artis MIG tetapi mengambil keputusan untuk keluar sebelum tamat kontrak kerana ingin mendalami ilmu agama Islam selain mengambil keputusan untuk berdikari.
Dalam sidang media berkenaan Aeril mendedahkan mereka telah bernikah sebanyak dua kali masing-masing pada 25 Februari 2012 dan 4 Februari lalu di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya di sini.
Pernikahan kali pertama dibuat tanpa didaftarkan dengan pejabat agama tetapi terpaksa melangsungkan akad nikah kali kedua untuk menghormati permintaan keluarga perempuan sebelum ia didaftarkan secara rasmi. Hasil perkahwinan itu mereka telah mendapat anak yang lahir pada 24 Ogos lalu dan diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar.
mStar Online menyiarkan jawapan Aeril dan Wawa berhubung kontroversi berkenaan serta penjelasan David Teo yang dituduh menjadi punca perkahwinan itu terpaksa dirahsiakan.
AERIL:Saya kenal Wawa pada tahun 2010 ketika sama-sama membintangi filem Klik pada 2010 dan selepas itu kami mula bercinta tetapi dihalang oleh pihak pengurusan MIG. Dan kerana itu apabila pihak media dapat menghidu perhubungan ini kami tidak mengaku bercinta.
Kemudian pada tahun 2011 banyak hal berlaku termasuklah saya menerima penyakit keturunan dan selepas itu barulah saya mendekatkan diri kepada Tuhan. Selepas itu pada 2012 saya terus berjumpa bapa Wawa meluahkan hasrat untuk menikahi Wawa. pada masa sama saya tahu kami tak boleh kahwin sebab akan dimarahi pihak pengurusan. Ye lah sedangkan kami tidak boleh bercinta, apalagi berkahwin.
Maka saya membuatkan keputusan untuk menghalalkan perhubungan ini dengan menikahi Wawa pada 25 Februari 2012 di rumah pengurus saya, Shahriman, mengikut syariat Islam, bukan undang-undang negara. Jadi, status anak saya yang dihebohkan selama ini sudah terjawab.
Mengenai penyakit misteri yang dialami Wawa sehingga terpaksa pulang ke kampung di Lahat Datu, Sabah seperti yang dikatakan itu bohonglah?
WAWA: Tidak! Penyakit misteri itu memang betul. Demi Allah, saya dan adik beradik terkena sihir pada awal tahun ini. Jika ada yang menuduh kononnya saya cuba menutup rahsia perkahwinan dengan penyakit misteri, itu tidak benar. Bagaimanapun Alhamdulillah saya sudah kembali pulih.
Tentang anak pula, apa komen kalian?
AERIL: Setiap pasangan pasti akan diberikan anak. Begitu juga dengan kami. Selepas mendapat tahu Wawa mengandung, saya memutuskan untuk menikah sekali lagi pada 4 Februari 2013 di Masjid Jumhuriah, Taman Dato' Harun, Petaling Jaya dan kali ini mengikut undang-undang pula kerana risau anak kami nanti tidak boleh berbinkan nama saya. Dan Alhamdulillah anak kami lahir pada 24 Ogos lalu dan butirannya sama seperti berita yang dilaporkan.
Kenapa nikah dua kali?
AERIL: Sebelum ini kami nikah kerana mahu menghalalkan hubungan. Bukankah kita perlu mendahulukan agama? Kerana jika diikutkan syariat, kami sah sebagai suami isteri.
Kiranya kalian melanggar undang-undang pada mulanya?
AERIL: Kami mahu menghalalkan hubungan sahaja dan mengikut syariat. Cuma tidak didaftarkan sahaja.
Kenapa ambil masa setahun, kemudian baru nak daftar?
AERIL: Kerana Wawa sudah mengandung dan saya perlu memikirkan masa depan anak saya.
Kenapa tipu apabila wartawan tanya tentang perhubungan kalian?
AERIL: Saya nafikan perkara ini kerana hormat permintaan Wawa. Dia takut dimarahi MIG. Sebab itu kami terpaksa rahsiakan. Lagi pun memang kami ada rancang untuk memberitahu hubungan ini selepas tamatnya kontrak Wawa dengan MIG pada 2015. Tetapi ia dibongkar terlebih dahulu oleh pihak media. Sekarang ini saya rasa seperti dalam peperangan ketika menghadapi situasi ini.
WAWA: Macam ini, kami meminta maaf kepada semua kerana penafian ini. Apa yang dilakukan semuanya bersebab.
DIKUARANTIN PIHAK MIG
Kenapa nak takut dengan David Teo (Ketua Pegawai Eksekutif MIG) pula?
WAWA: Kamu semua tidak tahu bagaimana cara pengurusan MIG. Memang saya takut dimarahi David. Mereka pernah kuarantin saya selama sebulan semata-mata mahu menghalang saya berjumpa dengan Aeril. Dan bukan senang untuk saya keluar daripada MIG.
Jadi kontrak sekarang macam mana?
WAWA: Saya masih mahu meneruskan karier lakonan, tetapi tentang kontrak saya tak pasti.
Sebelum ini Wawa kata kena sihir dan pada masa sama Wawa mengandung. Macam mana pula ceritanya itu?
WAWA: Saya terkena sihir ketika bulan Mac (2013) dan masa itu memang sedang mengandung. Alhamdulillah penyakit saya itu sudah sembuh sebelum melahirkan anak lagi.
Menyesal kerana tidak mendedahkan perkara ini lebih awal?
AERIL: Ya saya menyesal kerana tidak mendedahkan status perhubungan ini lebih awal dan pada masa sama tertanya-tanya apakah tujuan wartawan itu mendedahkan hal kami? Mengaku atau tidak, itu hak kami untuk memberitahu.
Saya sedih apabila banyak tohmahan dilemparkan kononnya anak saya tidak sah taraf. Apabila tengok anak sedang tidur, saya menangis sedih kerana anak itu dianggap anak haram. Saya tak kisah diri ini dihina, tetapi disebabkan pihak itu mendedahkan anak saya tanpa kebenaran, buatkan saya sedih.
DAVID TEO NAFI HALANG CINTA AERIL & WAWA
Sementara David Teo yang dihubungi pula menafikan dakwaan pihaknya tidak memberi kelonggaran kepada artis naungan mereka berkahwin.
Katanya, walaupun dalam kontrak menjelaskan seseorang artis di bawah jagaan MIG dilarang bercinta, tetapi mereka tetap memberi kelonggaran sekiranya artis tersebut mengesahkan status masing-masing.
Adakah benar David menghalang cinta Aeril dan Wawa?
DAVID: Saya menafikan sekeras-kerasnya. Memang dalam kontrak kami tidak membenarkan artis bercinta. Tetapi mereka boleh membuat pengesahan kepada pihak pengurusan sekiranya mereka sudah berkahwin.
Kami membuat perkara ini bagi menjaga maruah artis itu dan untuk mengelak perkara yang tidak diingini seperti ditangkap khalwat selain menjaga nama baik syarikat, itu sahaja. Cuba lihat artis-artis sebelum ini seperti Lisa Surihani, Farid Kamil dan terbaharu, Diana Amir, mereka semua membuat pengesahan dengan pihak syarikat mengenai status diri masing-masing.
Adakah benar MIG sendiri pernah mengkuarantin Wawa?
DAVID: Tidak mungkin! Itu tuduhan mengarut. Jika benar di kuarantin, macam mana Wawa boleh menyelinap keluar daripada kediaman yang pihak MIG sediakan untuk berjumpa dengan Aeril? Dan jika di kuarantin, maka mereka tidak mungkin boleh ada anak, bukan?
Dalam situasi sekarang ini, adakah David masih menerima Wawa sebagai artis MIG?
DAVID: Setakat ini dia tidak melanggar kontrak. Cuma dia tidak membuat pengesahan mengenai statusnya sebagai isteri dan ibu. Ya, saya masih menerimanya kerana kejelitaannya yang dilihat boleh pergi jauh dalam industri seni tempatan.
Hanya Artis Yang Tak Ada Otak Kutuk Saya - David Teo
Pekida Minta David Teo, Yusof Haslam Mohon Maaf

PUTRAJAYA: Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Wilayah Persekutuan, Datuk Paduka RoslanDahaman memberi tempoh seminggu kepada kedua-dua penerbit filem Kongsidan KL Gangster untuk meminta maaf secara terbuka.
Kedua-dua penerbit itu ialah Datuk Yusof Haslam dari Skop Production yang menerbitkan KL Gangster dan David Teo dari Metrowelth Movie Productions (Kongsi).
Katanya, jika kedua-dua penerbit filem tersebut enggan berbuat demikian mereka akan membawa perkara berkenaan kepada pihak atasan termasuk ke Parlimen.
"Isu kedua-dua filem ini telah menyentuh sensitiviti pertubuhan Pekida. Kami memberi masa selama tujuh hari untuk kedua-dua penerbit itu meminta maaf secara terbuka.

"Mereka yang menimbulkan perkara ini dan sepatutnya bertanggungjawab. Kami hanya meminta mereka meminta maaf secara terbuka atas kesilapan tersebut," ujarnya pada sidang di pejabat Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM), di sini, Jumaat.
Majlis sidang media tersebut diadakan berikutan isu penggunaan dialog dan pekara-pekara lain dalam filem tersebut telah menyentuh perjuangan Pekida.
Tambah Roslan, pihaknya tidak mahu perkara berkenaan berulang kembali sehingga menjadi ikutan kepada penerbit filem tempatan dalam menghasilkan karya masing-masing.
"Saya tidak mahu apa yang dihasilkan dalam dua filem itu menjadi trend penerbit lain apabila mereka mmenghasilkan filem seumpama itu," tuturnya.
Dalam pada itu, Pengerusi LPFM, Datuk Mohd Hussain Shafie berkata penapisan trhadap filem berkenaan dibuat mengikut garis agensi itu.
"Pihak kami membuat tapisan mengikut empat garis panduan utama iaitu mengambil kira soal keselamatan, kententeraman awam, sensitiviti agama dan tatasusila masyarakat.
"Kedua-dua filem tersebut melepasi keempat-empat tapisan tersebut dan selepas dinilai seramai 70 ahli penal LPFM," katanya.
Bagaimanapun Hussain berkata pihaknya meminta maaf dan mengaku kesilapan mereka melepaskan kedua-dua filem tersebut.
"Saya dan ahli panel yang menilai filem ini tidak arif tentang sensitiviti yang berkaitan dengan apa-apa juga pertubuhan seperti yang dipaparkan dalam filem ini.
"Kami berjanji selepas ini pemantauan lebih ketat akan dilakukan terutamanya melibatkan sensitiviti segelintir pihak," jelasnya.
Katanya, dia akan membuka peluang kepada ahli Pekida untuk menjadi ahli panel bagi filem-filem akan datang sekiranya ia menjurus kepada pertubuhan tersebut.
David Teo, Yusof Haslam Sangkal Dakwaan Pekida

PETALING JAYA: Penerbit filem KL Gangster dan Kongsi, Datuk Yusof Haslam dan David Teo, menjelaskan filem-filem terbitan syarikat produksi mereka itu tiada kaitan dengan sebarang aktiviti mana-mana pertubuhan bukan kerajaan seperti yang didakwa oleh Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida).
Penerbit Skop Productions, Yusof menegaskan, dia tidak mahu melayan dakwaan buruk terhadap filem arahan anaknya, Syamsul Yusof itu kerana ia hanyalah perkara remeh yang boleh merunsingkan fikiran.
"Kalau hendak fikirkan pelbagai komen orang terhadap filem atau drama terbitan saya, memanglah orang akan cakap macam-macam.
"Perkara ini bukan satu isu yang perlu diperbesar-besarkan. Filem KL Gangster hanyalah sebuah cerita rekaan dan tiada kena-mengena dengan mana-mana orang perseorangan atau pertubuhan.
"Kita sudah mendapat penapisan dan kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) dan Kementerian Dalam Negeri sebelum ia ditayangkan. Jadi saya tidak mahu layan perkara seperti ini," katanya yang dihubungi mStar Online, Khamis.

Sementara itu, penerbit Metrowealth Movies Production yang menerbitkan filem Kongsi, David Teo berkata, filem arahan Farid Kamil itu dihasilkan atas tujuan hiburan dan bukan untuk mempersendakan mana-mana pihak.
"Filem Kongsi hanyalah rekaan semata-mata dan tiada kaitan dengan mana-mana pihak pun. Kita sama sekali tiada niat untuk mempersendakan mana-mana individu menerusi tema yang di paparan.
"Hakikatnya, isu gengsterisme berlaku di mana-mana negara atau bangsa pun dan bukan merujuk kepada pertubuhan tertentu.
"Ia tidak sepatutnya menjadi isu tetapi saya tidak boleh kata apa kerana itu hak mereka (Pekida). Cuma, kalau isu ini timbul lebih awal, pasti ia akan lebih membantu publisiti Kongsi," katanya.
Pekida berhasrat untuk menyaman penerbit dan pengarah dua filem berkenaan kerana mendedahkan beberapa perkara sulit yang digunakan dalam pertubuhan tersebut melalui filem mereka.
Pertubuhan itu akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi, Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM), Datuk Husin Shafie, Jumaat (hari ini) bagi mendapatkan penjelasan sebenar dan menuntut agar filem-filem yang sedang ditayangkan itu ditarik balik serta merta selain dilakukan penapisan semula.
Suka hati sayalah - David Teo

Isu bonus kepada kakitangan dan artis yang berlakon dalam filem terbitan MIG tak habis-habis orang masih bercakap lagi. Apa komen David?
Saya anggap isu bonus dah habis. Kenapa? Ada orang bercakap lagikah?.
Masih lagi berbunyi kerana ada yang kata bonus yang MIG bagi tak ikhlas. Betulkah?
Saya tidak tahu siapa yang cakap tu. Semua ni tak ada kena mengena dengan orang luar kerana yang dapat bonus orang dalam syarikat saya. Orang luar jangan masuk campur. Yang penting mereka yang dapat bonus berterima kasih dan bersyukur. Cara pembahagian bonus tu ikut suka hati saya. Shaheizy Sam pun dah buat penjelasan. Yang pelik, tuan badan tak bising orang luar yang bising.
Maksud David orang luar yang cemburu terlebih dengan pembahagian bonus oleh MIG?
Memang orang luar yang cemburu. Sepatutnya mereka datang jumpa saya untuk interviu kerja dengan MIG. Nanti saya akan bagi bonus juga kepada mereka. Hal bonus ni memang tak ada isu pun. Saya memang hairan. Orang yang tak dapat bonus cemburu mungkin kerana Shaheizy Sam dapat lebih atau sesiapa yang tak dapat dia untuk berlakon dalam filem mereka.
Jadi, dakwaan mengatakan bonus rumah semi-D dua tingkat tu tak ikhlas kerana Shaheizy sudah beli rumah tu sebenarnya dan MIG hanya langsai baki bayaran bulanan adalah tidak betul?
Itu saya tak pasti. Saya punya hal syarikat, orang luar jangan masuk campur. Cara pembayaran bonus, orang luar tak ada hak nak tanya. Ini yang saya tak faham kerana ia satu gosip aneh dan tak betul langsung.
Satu lagi, dakwaan bonus pemberian kereta rupa-rupanya MIG hanya bayar wang pendahuluan sahaja, macam mana pula?
Saya tak boleh buat apa kalau orang cakap macam tu. Selagi ada manusia di muka bumi, selagi tu fitnah tidak akan pupus. Saya beri bonus ikhlas, orang yang terima pun ikhlas cuma orang luar yang tak ikhlas. Yang penting saya ikhlas dengan Tuhan.
Memang tak betullah semua dakwaan tu?
Betul tak betul, tak penting. Polisi syarikat saya tak boleh dedah kepada orang ramai, pihak wartawan dan termasuk rakan-rakan saya. Saya pun tak akan tanya bonus awak dapat berapa? Malah saya tahu awak pun tak akan bagi tahu berapa gaji awak? Semua benda tu privasi dan saya tak boleh kongsi dengan orang ramai.
Ada juga yang kata David Teo ni kedekut di tahap gaban. Betulkah?
Awak gilakah? Saya tak boleh cakap saya bagus dan pemurah. Orang luar yang menilai saya. Saya kedekut tak penting. Saya tahu apa yang saya buat dengan syarikat saya dan tak perlu nak heboh dan menunjuk-nunjuk.
Ni berkaitan isu anak syarikat, MIG Talent yang menguruskan ramai artis sangat. Sampai 52 artis. Perlukah jumlah ramai macam tu?
Saya pegang prinsip bintang dicipta dan bukan dilahirkan. Ada yang datang dengan ibu bapa penuh ikhlas ke pejabat, saya tidak boleh menolak harapan mereka untuk jadi bintang. Saya bagi peluang setahun lebih kepada mereka, kalau gagal popular juga saya boleh lepaskan mereka.
Tapi ada yang merungut dan sudah menyesal pasal MIG ambil komisyen tinggi sangat iaitu 30: 70. Ada yang kata MIG nak buat duit dengan menjaga artis?
Sebelum sign kontrak dengan MIG Talent, kita dah briefing artis bersama ibu bapa dan peguam. Kita bagi mereka fikir masak-masak sebelum sign kontrak. Ini kerana mereka akan akan jadi rakan kongsi saya dan saya bagi pecahan saham sangat besar kepada mereka. Kalau mereka tak puas hati dengan kandungan kontrak, kita tak akan ambil mereka. Satu lagi saya nak ingat, saya buat duit dengan filem dan drama terbitan saya dan bukannya dengan menjaga artis. Saya hanya bagi peluang sahaja kepada mereka.
Dengar ramai nak keluar?
Bila-bila masa sahaja mereka boleh minta dilepaskan. Saya seorang yang terbuka dan boleh datang ke pejabat saya untuk berbincang. Cuma kalau yang pegang watak hero atau heroin kena tunggu sampai filem keluar di pawagam dulu. Yang pegang watak kecil, saya boleh lepaskan mereka. Tak payah cakap belakang, jumpa wartawan mengadu tak puas hati.
Dengarnya salah seorang yang dah keluar, Azad Jasmin? Ada bergaduhkah atau ada benda tak puas hati dengan MIG?
Kes Azad, dia sendiri yang minta dilepaskan apabila habis tanggung jawab dengan MIG. Saya tak boleh halang dia. Tapi dia belum ambil surat pelepasan lagi. Kita sudah telefon suruh datang ambil surat itu. Kalau dia ada benda yang tak puas hati, saya tak tahulah.
Macam mana dengan hubungan Ahmad Idham? Dengar macam ada masalah juga?
MIG dengan Ahmad Idham bekerjasama by project basis dan dia baru habis penggambaran dengan MIG menerusi filem, 8 Jam. Setakat ini, hati saya very open dengan semua orang dan selesa dengan siapa sahaja.
Soalan akhir, apa nasihat David kepada orang luar yang sibuk ambil tahu hal syarikat David?
Apa yang berlaku baru-baru ini bukan isu besar. Kepada semua orang luar termasuk wartawan boleh datang kerja dengan saya kalau nak bonus. Tak payahlah bersubahat dengan mereka yang tak puas hati dengan saya. Lagi baik bantu saya memajukan industri. Apa pun, saya sentiasa memaafkan orang yang fitnah saya dan datanglah interviu dan kerja di MIG kalau nak bonus.
Cerita restoran David Teo

DIVA sudah beberapa kali merasa masakan di restoran David Teo di The Mines Shopping Center.
Diva pilih lokasi tersebut kerana ia terletak berdepan dengan taman. Bagi Diva makanan di situ enak-enak belaka.
Tetapi baru-baru ini seorang teman mengadu hal yang kurang enak kepada Diva. Dia baru sahaja pulang dari Restoran Lemon milik David di Kajang.
Katanya: "Saya kecewa betul dengan makanan di sana, sudahlah mahal.
"Saya ni tahu jugalah bab masakan dan sebab itu pilih Lemon kerana diuar-uarkan makanannya sedap-sedap.
"Tetapi apa yang saya dapat?" ujarnya yang menaruh jangkaan yang tinggi sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam restoran tersebut.
Diva tahu ini bukan salah David. David memang seorang yang menitikberatkan banyak aspek.
Mungkin setelah Diva menyuarakan kekecewaan teman Diva, dapatlah David berbuat sesuatu dan memantau pekerja-pekerjanya. Jangan marah ya, David.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
