Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Dia Fadila. Show all posts
Showing posts with label Dia Fadila. Show all posts

Dia Fadila & Redza Sah Bergelar Suami Isteri


KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, penyanyi Nur Nadia Fadila Abu Bakar atau Dia Fadila, 26, sah bergelar isteri kepada Redza Hj Abdullah Sanusi, 33, dalam satu majlis pernikahan serba ringkas yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh Imam dan Jurunikah masjid tersebut iaitu Al-Hafizan Ibrahim kira-kira pada pukul 9.45 pagi dengan disaksikan oleh ibu bapa, keluarga dan sahabat-handai kedua-dua mempelai.

Dia Fadila kelihatan anggun sementara suaminya tampak kacak apabila mengenakan persalinan berwarna krim rekaan Bill Keith.

Pada majlis itu, Dia Fadila menerima mas kahwin berupa senaskhah Al-Quran, sepasang telekung dan wang tunai sebanyak RM 2309.84 sebagai simbolik kepada tarikh hari lahir penyanyi itu.

Bagaimanapun, tiada pertukaran dulang hantaran dilakukan atas persetujuan kedua-dua belah keluarga pengantin yang lebih mengutamakan perkara-perkara wajib dalam majlis pernikahan sahaja.

Apabila ditanya tentang jumlah wang hantaran, ibu kepada penyanyi itu Azanah Abd Raof, 52, bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar dan mengakui jumlah tersebut dipersetujui oleh kedua-dua belah keluarga.

Menurut Dia Fadila yang juga pensyarah vokal di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), majlis pernikahan ini cukup istimewa kerana ia diadakan sempena sambutan ulang tahun kelahiran suaminya yang ke-33.

"Majlis pernikahan ini istimewa buat saya kerana tarikh hari ini adalah hari ulang tahun kelahiran suami yang ke-33 dan kami sengaja pilih tarikh ini supaya ia akan jadi satu kenangan yang manis buat kami.

"Redza menjadi pilihan saya kerana ciri-ciri dirinya yang sempurna dalam segala aspek. Sebagai isteri, saya yakin dia seorang lelaki yang bertanggungjawab dan mampu untuk memimpin bahtera perkahwinan kami dengan baik, insya-Allah," katanya.

Dia Fadila yang mengakui gembira dan bersyukur kerana telah bergelar isteri, bagaimanapun masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk berbulan madu dalam masa terdekat.

"Selepas bertunang sejak Mac lalu, kami tidak mahu bercinta terlalu lama dan memutuskan untuk berkahwin secepat mungkin. Saya bersyukur dan gembira kerana tempoh perhubungan kami yang agak pendek ini berakhir dengan satu ikatan yang sah.

"Saya akan terus mengajar dan menyanyi selepas ini seperti biasa kerana suami tiada sebarang halangan. Tentang berbulan madu, memang kami ada pilih beberapa destinasi tapi yang pasti bukan dalam masa terdekat sebab kami sedang sibuk dengan komitmen tugas masing-masing," katanya yang merancang berbulan madu tahun depan.

Bermula sebagai kenalan biasa, pasangan ini menjadi semakin intim sejak November 2009. Atas keserasian itu, mereka memutuskan untuk bertunang Mac lalu dan hanya mengambil masa sekitar enam bulan sebelum melangkah ke jinjang perkahwinan, hari ini.

Majlis resepsi pasangan ini akan diadakan di Dewan Siti Hasmah (Rumah Puspanita), Jalan Wisma Putra, Kuala Lumpur pada 3 Oktober pukul 8 malam. Selepas berkahwin, Dia Fadila dijangka akan berpindah mengikut suaminya ke Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Dia, Redza membilang hari


MEREKA pernah lepak semeja, namun kurang berbual. Mungkin sengaja membataskan pergaulan kerana ketika itu masing-masing menghormati status sebagai kekasih orang.

Bagaimanapun November 2009 membuka lembaran baru dalam perhubungan mereka. Saat kedua-duanya masih bersedih dengan cinta yang tidak kesampaian, cinta baru pula bertandang di hati.

Hanya empat bulan menyemai kasih penyanyi lagu Aku Masih Setia, Nur Nadia Fadila Abu Bakar (Dia), 26, dan Redza Abdullah, 33, seorang eksekutif pemasaran di sebuah firma, mengambil keputusan untuk bertunang Mac lalu.

Sedar tiada gunanya bercinta lama-lama, pasangan ini sepakat untuk mengakhiri hubungan untuk diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri pada 1 Oktober ini.

Akui Dia yang juga seorang pensyarah vokal di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), dia sudah bersedia melangkah ke satu lagi fasa kehidupan sekali gus melambai pergi zaman solonya.

"Saya sebenarnya dah lama bersedia untuk berkahwin. Dulu saya angan-angan nak kahwin paling lewat bila umur 25 tahun tapi nampaknya dah terlajak satu tahun.

"Syukur alhamdulillah akhirnya saya temui lelaki yang sesuai. Keluarga kami pun merestui hubungan ini," katanya.

Istimewa Redza di mata Dia hanya mampu diungkapkan dengan sepotong ayat oleh Artis Baru Wanita Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2005 ini.

"Tak tahulah orang lain tapi satu ayat paling sesuai diungkapkan mengenai Redza - dia cukup sempurna buat saya. Redza memiliki segala yang diinginkan seorang wanita dalam mencari pasangan hidup. Redza matang dan jujur.

"Kalau ikutkan, kami kenal antara satu sama lain sejak dua tahun lalu tapi jarang sekali dapat berbual. Saya tak nafikan suka lihat wajah dan cara Redza tapi taklah sampai termimpi-mimpi sebab masing-masing ketika itu masih berpunya.

"Kami pernah terputus hubungan dan November lalu Redza menyapa dalam satu ruangan 'chatting' di Internet. Kami bertanya khabar dan masa itulah saya dapat tahu Redza dah kembali solo. Kebetulan pula saya juga baru putus cinta.

"Lalu satu hari Redza ajak saya keluar. Temujanji kami adalah di Solaris, Mont Kiara dan itulah kali pertama kami 'dating'.

"Pada pertengahan Februari, Redza datang ke majlis anjuran keluarga saya dan selepas bertemu ibu dan ayah saya, Redza cakap dia mahu melamar saya. Justeru, kami memilih Mac untuk melangsungkan pertunangan," katanya.

Kata Dia lagi, apa yang mengejutkannya, Redza tidak kekok berjumpa dengan ayahnya yang disifatkan seorang yang cukup tegas.


>PROFIL
Nama Sebenar: Nur Nadia Fadila Abu Bakar
Tarikh Lahir: 23 September 1984
Asal: Selangor
Kerjaya: Penyanyi, pengacara dan pensyarah vokal di Aswara
Album: Dia (2004), Na Na Na Kataku (2007) dan kompilasi Dia Fadila Terbaik Dariku
Pengacaraan: Bintang RTM dan Hitz 1.
Akademik: Ijazah Sarjana Muda Muzik (Persembahan), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Pencapaian: Artis Baru Wanita Terbaik di APM 2005, Juara Kategori Pop, Festival Melodi Emas Asean 2008 yang berlangsung di Ho Chi Minh, Vietnam pada 16 Oktober 2008.
Lagu Popular: Aku Masih Setia, Andai, Tangisan Marhaenis (duet bersama Hattan).
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails