Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Ellie Suriaty. Show all posts
Showing posts with label Ellie Suriaty. Show all posts
Ada Hikmah Disebalik Keguguran Ellie Suriaty
Pengarah filem Penanggal, Ellie Suriaty menganggap rezeki kerana kemenangannya meraih anugerah Pengarah Harapan pada Malam Perasmian, Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) merupakan hikmah disebalik keguguran yang dialami ketika penggambaran filem tersebut.
Ellie berkata, dia tidak pernah menyesali kejadian yang berlaku penghujung tahun 2011 itu kerana menganggap ia hanya sebagai ujian yang diberikan oleh Allah.
"Saya tidak terlalu bersedih atas kejadian tersebut kerana filem Penanggal ini saya buat tentang filem seram dengan berunsur ketuhanan jadi saya anggap ia sebagai ujian daripada Allah.
"Saya tahu Allah ambil anak saya dan letakkannya di syurga dan sekarang ini hikmah yang Allah gantikan kepada saya," ujarnya ketika ditemui selepas acara itu di Hotel Empire Subang, di sini, malam Rabu.
Ellie memenangi anugerah tersebut dengan menewaskan empat calon lain iaitu Nam Ron (Psiko Pencuri Hati), Syed Hussein (Langgar), Nik Amir Mustapha (KIL) dan Esma Daniel (Zaiton Ceritaku).
Dalam pada itu, Ellie berkata, kejayaan tersebut memberi semangat kepadanya untuk mengarah lebih banyak lagi filem jika diberi kepercayaan pihak penerbit.
Dia juga dalam perancangan untuk menghasilkan sekali lagi filem genre seram seperti Penanggal.
"Sudah tentu semangat saya membuak-buak untuk berkarya dengan lebih baik lagi, saya harap orang tidka muak untuk tonton filem seram saya sekali lagi.
"Walaupun cerita hantu tetapi ada mesej berat yang saya ingin sampaikan dan bukannya hanya hantu semata-mata," ujarnya.
Sementara itu, Ellie turut mengakui penglibatan Allahyarham Datuk Sharifah Aini dalam filem itu memberi aura dan kelebihan terhadap karya berkenaan.
Katanya, Allahyarham merupakan seorang yang mudah memberikan kerjasama dalam pembikinan filem tersebut.
"Saya beritahu penerbit untuk ambil Allahyarham kerana saya mahu pinjam kekuatan aura gelaran Sharifah yang ada pada dia.
"Selepas itu saya sendiri berjumpa dengan dia dan memberitahu tentang tawaran itu. Alhamdulillah, dia terima dan memberi kerjasama yang sangat baik," katanya.
Selain memenangi Pengarah Harapan, filem tersebut turut membolot anugerah Penataan Seni Terbaik melalui Nazrul Asraff.
Saling membantu - Ellie Suriaty
LAMA sudah tidak mendengar kisah keluarga pasangan pelakon Azri Iskandar dan Ellie Suriaty Omar. Kehidupan bahagia mereka yang kekal sehingga hari ini pasti ingin diketahui oleh ramai orang.
Gerbang perkahwinan yang dibina hampir sepuluh tahun itu kukuh sehingga dikurniakan empat orang anak pasti menguatkan lagi tiang seri keluarga Azri dan Ellie. Namun, nasib mereka tidaklah sebagus pasangan selebriti yang lain kerana telah kehilangan dua orang cahaya mata kesayangan.
Yang pasti, Azri dan Ellie tidak menjadikan kehilangan itu sebagai bebanan untuk mereka. Jika dilihat, mereka masih bertahan menjadi pelakon hingga ke hari ini. Malah Ellie berani membuka langkah sebagai seorang pengarah.
Membuka bicara ketika sesi fotografi yang diatur dalam rangka mempromosikan filem Penanggal arahan Ellie yang ditayangkan sejak 28 November lalu, menitis air mata Ellie berkongsi cerita mengenai kisah kehilangan anak bongsunya, Ahmad Muhammad Iskandar ketika dalam kandungan lima bulan. Kejadian itu benar-benar menikam kalbu, katanya.
"Arwah anak saya dikebumikan di Kuala Kangsar. Semangat dia masih bersama dengan saya dan saya tidak mahu kehilangannya menjadi sia-sia. Saya menjadi kuat untuk dia. Syurga Allah itu luas dan syukur Alhamdulillah, anak bongsu kami ditempatkan di syurga.
"Menjalani kehidupan sebagai seorang ibu, ia merupakan satu pengalaman yang cukup manis dan indah," katanya penuh syahdu.
Menyeka air mata yang terus mengalir, si suami, Azri Iskandar pula mula membuka topik lain untuk dibicarakan. Bercerita mengenai resipi kebahagian rumah tangga, Azri memberitahu, sikap tolak ansur dan bersabar adalah dua perisa yang terus membuatkan kasih sayang antara suami, isteri dan anak-anak menjadi kuat.
"Rumah tangga tidak akan pernah rosak sekiranya kesilapan yang dibuat dibincang bersama. Pasti ada jalan penyelesaian. Begitulah yang diaplikasikan oleh saya dan Ellie.
"Ada masalah, pasti kami akan bincang bersama. Kami akan cuba dapatkan nasihat dari orang yang betul," katanya yakin.
Tambah Azri, sepanjang bergelar ibu dan ayah, mereka tidak pernah mengambil orang gaji untuk menjaga anak-anak. Hanya ada mengambil untuk membantu membuat kerja di rumah seperti membersih kawasan rumah.
"Sebab itu, saya dan Ellie kadang-kadang membawa anak ke lokasi penggambaran. Kami akan menjaga mereka dengan baik," katanya.
Seronok mendengar kisah hidup mereka. Ellie teruskan perbualan dengan keistimewaan yang dimiliki anak sulungnya, Azrell Omar Iskandar yang berusia sembilan tahun. Katanya, Azrell kini sudah pandai menulis.
"Tidak menyangka anak saya mempunyai kemahiran itu. Dia ada menulis senaskah skrip berjudul Seminggu Ku Menghilang Di Tasik Biru. Memang saya akan membimbing anak saya hingga dia berjaya suatu hari nanti," ujarnya walaupun mempunyai perbezaan pendapat dengan Azri yang tidak mahu anaknya terlibat di dalam bidang seni.
Azri banyak membantu
Kesibukan juga tidak menghalang Ellie dan Azri terus menjaga anak masing-masing. Sikap saling membantu itu terus ditanam dalam diri mereka. Azri juga mengakui mengorbankan seketika kerjaya lakonannya untuk menjaga anak di rumah. Apatah lagi ketika itu mereka berdepan masalah pembantu rumah yang kritikal.
"Pada tahun 2009 saya ada terima tawaran berlakon, manakala tahun 2010 langsung tiada. Bermula dari April 2009 saya mula jaga anak di rumah. Pada 14 September tahun sama, Ellie melahirkan anak kedua. Memandangkan karier dia semakin bagus, saya setuju jaga sendiri anak.
"Tak dinafikan perasaan rindu untuk berlakon memang ada masa itu kerana sudah jadi rutin hidup saya tapi terpaksalah sabar seketika kerana memang susah untuk mencari pembantu rumah waktu itu.
"Bagaimanapun, itu tak bermakna saya memencilkan diri kerana tetap mengikuti perkembangan yang berlaku dalam dunia seni.
"Maklumlah ia masih lagi jadi kerjaya saya. Kalau tak nak pun, seni sudah menjadi sebahagian hidup saya," katanya sambil mengakui kadangkala tercabar berada di rumah kerana sifat seorang ketua keluarga sepatutnya mencari rezeki.
Bercerita mengenai projek filem pertama Ellie iaitu Penanggal, Azri banyak membantu mencari fakta yang diperlukan.
"Sambil jaga anak, saya bekerja keras cari fakta untuk watak Yusof dalam filem itu. Saya juga dapatkan info tahun 1930-an yang menjadi latar filem ini.
"Kami sama-sama berkongsi idea untuk filem ini agar menimbulkan kesan kepada peminat.
"Apatah lagi ia menjadi pertaruhan besar Ellie untuk bergelar pengarah filem," katanya yang berharap masyarakat menyokong filem itu.
Menjelaskan perasaannya bekerja di bawah arahan isteri sendiri, Azri berkata ia bukanlah satu masalah besar. Baginya soal perasaan ditolak tepi seketika kerana yang penting ialah kerja mereka berjalan lancar.
UNTUK menyiapkan praproduksi filem Penanggal, masa dua tahun telah diambil dan akhirnya naskhah yang diberi judul The Curse of the Malayan Vampire dalam bahasa Inggeris itu menelan belanja bernilai kira-kira RM2.8 juta. Penanggal mula menjalani penggambaran pada bulan Disember 2011 sehingga Januari 2012.
"Musim hujan sering terjadi di bulan Disember. Semasa menjalani penggambaran, Alhamdulillah, cuaca sangat baik. Tapi apabila kami selesai, hujan baru hendak mula turun," cerita Ellie tentang filem yang membariskan pelakon-pelakon berbakat seperti Ummi Nazeera, Azri Iskandar, Zul Ariffin, Fasha Sandha dan ramai lagi.
Sedikit kekesalan terus diluahkan Ellie yang baru pertama kali mengarah filem apabila terlalu banyak potongan babak terpaksa dilakukan untuk memenuhi klasifikasi P13. Siapa sahaja yang bergelar pengarah, jika ada babak yang dipotong dalam filemnya, mereka pasti akan sedih. Begitu juga dengan Ellie.
"Memang sedih apabila babak demi babak terpaksa dipotong untuk memenuhi kehendak P13 yang ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) selain untuk memenuhi tempoh filem dan produser perlukan klasifikasi tersebut untuk mendapatkan kutipan.
"Tetapi saya tidak mahu menyalahkan pada mana-mana pihak. Apabila sesetengah babak dipotong, pastinya jalan cerita akan berubah. Sesungguhnya, soal kepuasan peribadi saya letak ke tepi," ujarnya yang menganggap tiada cabaran untuk menyudahkan filem itu kerana tenaga produksi telah memberikan usaha sebanyak 500 peratus.
"Saya tidak boleh berdiri seorang dan filem ini tidak akan berjaya tanpa adanya penerbit, tenaga produksi, barisan pelakon dan semua yang terlibat dalam usaha menjadikan filem ini realiti. Terima kasih saya ucapkan," tutur Ellie sambil menyangkal kenyataan sesetengah pengkritik filem yang menyifatkan Penanggal sebuah karya yang kacau-bilau, bercelaru dan tidak disunting sempurna atas dasar potongan babak.
"Ini sebuah filem mistik dan adalah wajar untuk meletakkan unsur semiotik (hubungan antara tanda dan lambang dengan benda atau idea yang dimaksudkan) dan Penanggal juga sebuah filem konseptual yang tidak bermaksud untuk membuatkan penonton keliru.
"Oleh itu, teknik suntingan tertentu perlu dilakukan terhadap sebuah filem konseptual seperti ini," jelasnya.
Sementara itu, Ellie turut mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak yang menyifatkan Penanggal memuatkan terlalu banyak elemen terutama latar masyarakat Melayu, Jawa dan Arab.
"Latar masa filem ini adalah di sekitar tahun 1930-an. Orang Arab sudah lama bertapak di sini, begitu juga orang Jawa yang datang ke Tanah Melayu. Menarik untuk saya selami dan meneroka budaya-budaya tersebut dalam filem ini," ulas Ellie.
Memandangkan Penanggal sebuah filem seram, tidak salah jika Ellie turut berkongsi pengalaman mistik sepanjang penggambaran.
Katanya, kru produksi berdepan detik cemas apabila sebatang pokok berhampiran tempat jurusolek kesan khas melakukan kerja, tumbang sejurus salah seorang pelakon siap ditatarias.
"Sudah tentu setiap kali sebelum penggambaran, tenaga produksi akan memastikan aspek keselamatan dan memasang âpendindingâ daripada gangguan makhluk halus terutama ketika berada di hutan," kata Ellie.
Bukan besar kepala - Ellie Suriaty
PENAMPILAN Ellie Suriaty Omar amat sederhana jika dibandingkan dengan pelakon wanita lain yang sentiasa melawa di mana sahaja berada.
Namun namanya sentiasa mengatasi barisan pelakon wanita lain jika berkaitan lakonan kerana dia adalah antara yang terhebat. Beri apa sahaja watak, pasti Ellie dapat melakonkannya dengan berkesan.
Sampai sekarang peminat drama masih ingat dengan watak Pah Bedah, lakonannya dalam drama bersiri Orang Gaji 41, tidak kering gusi penonton dibuatnya.
Bagaimanapun dia berubah menjadi wanita berhati batu dalam drama Syurgamu Ramadhan menerusi watak Datuk Paduka Halimaton dan pada ketika lain, kesengsaraan Ellie yang sering dianiaya oleh suami menerusi drama Kaki pula mendapat simpati penonton.
Kali ini Ellie tampil meruntun hati penonton menerusi watak Suffiah, seorang ibu yang tidak dihargai oleh anaknya dalam drama yang hangat di saluran TV3, 7 Ramadan.
Lakonan Ellie yang pernah diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 untuk filem Soalnya Siapa? itu pasti membuat penonton menitiskan air mata.
Namun jelasnya, hampir setahun dia tidak terlibat dalam mana-mana penggambaran drama mahupun filem gara-gara sibuk dengan 'anak sulungnya', Penanggal.
Masakan tidak, filem Penanggal merupakan buah tangan sulungnya dalam berkarya di layar lebar.
"Saya tidak besar kepala atau sengaja menolak tawaran. Penolakan itu ada sebabnya," katanya yang bergelar pengarah bagi filem tersebut.
Tambah Ellie: "Saya tidak suka menyusahkan orang lain. Walaupun sudah selesai (penggambaran) di lokasi tapi kerja-kerja saya untuk filem Penanggal belum habis sepenuhnya.
"Andai kata saya terima tawaran kerana rindu nak berlakon, sudah pasti kerja-kerja pemerosesan filem itu tergendala.
"Untuk kerja-kerja offline saya perlu berada di sebelah penyunting. Sekarang ini kerja-kerja yang perlu dilakukan mengikut jadual, sudah saya lepasi," katanya.
Justeru isteri kepada pelakon Azri Iskandar itu berkata, dia bersetuju berlakon dalam 7 Ramadan kerana bukan sahaja kerja-kerja pemprosesan filemnya sudah selesai. Lebih penting dia mengagumi karya Shahrulezad Mohameddin yang bermutu.
Malah kata Ellie, jika pengarah dan penulis skrip tersebut menawarnya berlakon drama terbitan Radius One Sdn. Bhd., dia pasti tidak menolak.
"Saya yakin apa yang dihasilkan oleh Ezad berkualiti dan drama-dramanya banyak memberi pengajaran. Selain berlakon, saya pun rasa puas hati kalau hasil kerja yang ditonjol sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada penonton.
"Kebetulan, waktu dia menawarkan saya watak tersebut, kerja-kerja rumit untuk filem Penanggal telah selesai. Jadi dapatlah saya berlakon. Sekarang ini bila selesai penggambaran 7 Ramadan, saya akan tumpu kembali pada Penanggal," ceritanya.
Meskipun dalam 7 Ramadan, dia terus membawa watak ibu malang namun Ellie tidak kisah kerana yang penting cara pembawakan karakter tersebut.
Katanya, untuk melakonkan watak yang dapat menyentuh hati penonton bukanlah mudah. Sehingga kini, jika diberi watak sedemikian, Ellie sentiasa bersedia dan memberikan yang terbaik.
"Tanggungjawab saya adalah memuaskan hati pengarah. Kalau pengarah tidak dapat terima lakonan saya, macam mana pula dengan penonton.
"Sebelum orang lain tengok dan menilai, sebagai pelakon saya perlu mengenal pasti watak itu terlebih dahulu dan apabila berlakon nampak natural," katanya.
Penanggal bagai anak
SEPANJANG menjalani proses penggambaran filem pertama arahannya, pelbagai dugaan yang dialami oleh Ellie Suriaty. Biarpun begitu, dia tetap tabah bagi memastikan Penanggal selesai seperti yang dijadualkan.
Pengalaman pertama mengarah filem, membuatkan Ellie begitu berhati-hati dan cerewet dalam semua segi. Semua itu dilakukan demi mendapat hasil yang berkualiti.
"Memandangkan ini arahan pertama, macam bayi pertama, sudah pasti saya mahukan yang terbaik. Bagi saya apa yang berlaku adalah sebahagian daripada dugaan.
"Lagipun pihak Tayangan Unggul dan Grand Briliance Sdn. Bhd. sudah memberi kepercayaan kepada saya, jadi apa sahaja rintangan yang mendatang, kerja perlu disiapkan mengikut perancangan," katanya.
Semasa pembikinan filem bergenre romantik seram itu, Ellie juga telah mengalami keguguran ketika menjalani penggambaran di Kampung Sayong, Kuala Kangsar, Perak.
Tidak dinafikan Ellie mengalami tekanan bukan kerana bebanan kerja tapi sedih kerana anak keempat yang dikandungnya itu gugur ketika berusia empat bulan, Disember lalu.
Namun Ellie tidak mahu berduka lama. Selepas sihat dia kembali memberi tumpuan pada filem Penanggal yang membariskan pelakon seperti Ummi Nazeera yang membawa watak sebagai Murni, Azri Iskandar (Syed Yusof), Fasha Sandha (Sharifah Zaharah), Zul Ariffin (Syed Umar), Datuk Sharifah Aini (Sharifah Aminah) dan Normah Damanhuri (Mak Ajeng).
Elly Suriati Kagum Dengan Sharifah Aini
PETALING JAYA: Pengarah filem Penanggal, Elly Suriati memberitahu begitu kagum dengan sikap profesional Biduanita Negara iaitu, Datuk Sharifah Aini ketika menjalani penggambaran untuk filem tersebut.
Elly berkata Sharifah Aini sangat komited dalam menjayakan watak Sharifah Aminah Jamalulai dalam filem tersebut yang sedang menjalani penggambaran di Kuala Kangsar, Perak.
"Setakat ini kita baru buat satu adegan dengan Kak Pah bersama Fasha Sandha dan komitmen beliau sebagai seorang pelakon sangat dikagumi dan tidak timbul sebarang masalah semasa di lokasi.
"Beliau juga sangat mesra dan gemar bergaul dengan semua orang ketika berada di set penggambaran. Kehadirannya cukup untuk memberikan semangat kepada saya dan semua kru terlibat," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Elly berkata, dia berasa amat rendah diri apabila melihat kelibat Sharifah Aini di lokasi kerana tidak menyangka penyanyi itu bersetuju untuk berlakon di dalam filem arahannya.
Ujarnya, walaupun bergelar Biduanita Negara, penyanyi yang popular dengan lagu Seri Dewi Malam itu mudah mesra dengan orang lain selain tidak lokek berkongsi pendapat dan pandangan.
"Pada mulanya saya sangat gementar kerana Sharifah Aini berada di lokasi dan perlu memberi arahan kepadanya tetapi perasaan itu hilang kerana sifat ramahnya membuatkan semua pihak selesa dengan beliau," ujarnya.
Sementara itu, Elly memberitahu dia cukup gembira dan berterima kasih dengan semua pelakon dan krew produksi terlibat dalam pembikinan “Penanggal” yang sudah pun 75 peratus siap.
"Kita masih ada dua minggu lagi sebelum semuanya selesai dan setakat ini saya berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pelakon.
"Pujian harus diberikan kepada mereka dapat menyelesaikan kerja dalam masa yang ditetapkan," ujarnya.
Ditanya mengenai sebarang kejadian pelik yang berlaku di lokasi, Elly berkata setakat ini dia tidak mengalami sebarang gangguan dan berharap dijauhkan dengan perkara-perkara demikian.
"Setiap individu berbeza tetapi untuk diri saya, Alhamdulillahlah tidak pula sebarang perkara yang aneh berlaku dan berharap segalanya dapat selesai dengan baik," ujarnya.
Selain Sharifah Aini, Penanggal turut dibarisi oleh pelakon terkenal seperti Azri Iskandar, Zul Ariffin, Umi Nazeera dan Fasha Sandha.
Ada ``hantu'' mahu takutkan saya... - Ellie Suriaty

PELAKON Ellie Suriaty menyatakan rasa kecewa apabila langkah awalnya untuk bergelar penulis lakon layar dan skrip filem sulungnya bergenre seram klasik, Penanggal disabotaj. Lebih buruk lagi, individu yang ‘kejam’ itu ialah seseorang yang cukup berpengaruh dalam industri perfileman tanah air.
Perbuatan tersebut dipercayai angkara penerbit dan pengarah filem serta drama tanah air yang cukup sensasi dengan kisah-kisah kontroversi menerusi hasil kerjanya. Lelaki yang berasal dari negeri utara itu dikatakan berniat jahat untuk menjejaskan kredibilitinya, dengan cubaan mempengaruhi pihak pembiaya lain agar tidak terlibat dalam projek filem pertamanya itu.
‘‘Saya cukup terasa dengan perbuatan keji dia dengan memburukkan niat dan naskah yang dihasilkan sejak tiga tahun lalu. Rupa-rupanya dia adalah ‘hantu besar’ di luar sana.
‘‘Tindakan tidak berhemah itu secara tidak langsung telah menjejaskan maruah saya di mata pembiaya filem yang sudi membiayai filem saya itu,” reaksi awal wanita ini ketika meluahkan rasa tidak puas hatinya.
Pelakon Wanita Terbaik di Cinefan International Film Festival New Delhi India 2002 menerusi filem Spinning Gasing itu hanya menyedari perbuatan buruk individu berkenaan setelah dimaklumkan oleh rakan terdekat yang turut mengetahui perkara berkenaan.
Menceritakan semula kejadian tersebut, ibu kepada Azrell Omar Iskandar, 6, dan Nur Azreen Omar Iskandar, setahun ini memberitahu bahawa penerbit dan pengarah filem itu tiba-tiba telah menyertai perjumpaan dengan pembiaya berpotensi untuk Penanggal baru-baru ini.
Bagaimanapun, di belakang pengetahuan Ellie, dia telah menyatakan keburukan dan kekurangan naskah skrip Penanggal kepada pembiaya berpotensi berkenaan.
‘‘Saya akan lebih menghargai kalau individu itu bersemuka secara empat mata dengan saya bukan dengan cara menikam dari belakang. Wakil pihak pembiaya juga pernah menyarankan supaya dia bertemu dengan saya sendiri tetapi dia mengatakan, ‘tak apalah, artis ini kan sensitif’. Apa maksud dia sebenarnya? Rupa-rupanya dia dah ada niat tersirat di sebalik sikapnya itu.
‘‘Saya tak pernah meminta dia menilai naskah saya sebab dia bukan pembiaya projek ini. Malahan, naskah ini sudah dinilai oleh golongan cendekiawan dan profesional termasuklah Prof. Dr. Asiah Sarji dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Johari Shaarani.
‘‘Perlu ditekankan di sini bahawa skrip itu bukan untuk dia dan saya sendiri tak minta dia untuk menilai. Saya diberitahu dia hanya penjaga studio milik pembiaya berpotensi itu. Paling menyakitkan hati, ada pula tuduhan yang mengatakan saya ini seolah-olah ada niat nak ‘songlap’ duit pembiaya daripada bajet projek tersebut,” katanya penuh berapi.
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-16 (FFM16) menerusi filem Soalnya Siapa ini menjelaskan bahawa Penanggal sudah ada penerbit dan pasukan sendiri ketika ini. Apa yang dilakukan Ellie hanya mencari rakan kongsi di pihaknya untuk turut menjadi rakan kongsi projek tersebut.
Bagaimanapun pelakon filem Paloh ini belum bersedia untuk mendedahkannya kepada umum. Apa yang boleh dikongsi filem tersebut mempunyai gabungan unsur Melayu Arab dan Jawa yang diadun mengikut versi mitos asal Penanggal.
Tak perlu mengutuk
Anak kelahiran Selangor ini turut menjelaskan bahawa dia punya pengalaman cukup bagi melakonkan watak utama filem Penanggal. Biarpun dicemuh kerana dilihat tidak layak melakonkan watak utama sedemikian, Ellie punya alasan.
‘‘Jangan risaulah, saya hanya berlakon watak penanggal saja, bukan puteri mana-mana hikayat. Lagi pun, watak yang saya bawa ini kena dengan jalan cerita. Tak payahlah nak ‘kondem’ saya macam-macam dengan cakap saya tak cukup komersial untuk bawa watak berat sebegitu.
‘‘Sebelum ini pun, saya ada beralah apabila diminta oleh seorang pengarah untuk memberi laluan kepada adiknya untuk melakonkan watak utama. Tak apalah, saya anggap itu bukan rezeki saya. Cukup-cukuplah saya mengalah dalam hal melibatkan periuk nasi saya ini.
‘‘Jujurnya, saya tak kisah dikritik. Saya terbuka menerima pandangan orang ramai, tapi biarlah dengan kritikan yang membina, bukan dengan cara sabotaj,” tambah Ellie lagi.
Dalam perkembangan yang sama, Ellie pernah membawa watak penanggal sebelum ini dalam satu persembahan teater di Jepun yang dijalankan secara kerjasama di antara pihak Setagaya Public Theater dengan Five Arts Center di bawah pengarah teater Inggeris Jo Kukatas. Teater tersebut dibiayai oleh Japan Foundation yang dipentaskan tahun 2006 lalu.
Projek tersebut juga mengetengakan kolaborasi pelakon-pelakon dari Malaysia, Singapura dan Jepun.
Perlu peka
Ditanya pandangan Ellie tentang kewujudan penyakit hasad dengki dalam industri perfileman tanah air, wanita ini dilihat cukup tenang sekali.
Baginya, industri ini memerlukan orang-orang yang telus dalam industri seni kreatif dan penyelewengan seperti itu tidak berlaku.
‘‘Kita harus ke peringkat lebih tinggi bagi memastikan pengeluaran yang berkualiti daripada insan-insan seni kreatif negara. Barulah kita boleh jadi masyarakat seni atau tulang belakang yang bijak menilai seni dan peka kepada sensitiviti.
‘‘Masyarakat seni juga perlu akrab dan saling mendokong antara satu sama lain. Bantu orang-orang baru buat filem ke atas. Bukan cuba menenggelamkan saya dengan cara begini. Kalau ada sikap ‘hantu’ sebegini, susahlah industri nak berjaya.
“Contohi orang-orang filem seperti di Thailand yang cukup menjaga pasaran seni mereka. Tidak membenarkan ada pihak lain yang cuba membolosi jaringan pasaran industri mereka melainkan jika ada kerjasama, mahu pun ada pelakon mereka yang terlibat dalam sesuatu projek itu,” hujah pelakon Syukur 21 ini panjang lebar.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
