Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Elly Suriati. Show all posts
Showing posts with label Elly Suriati. Show all posts

Elly Suriati Sambung Mengarah Sehari Selepas Keguguran


PETALING JAYA: Pengarah filem Penanggal, Elly Suriati enggan berehat walaupun diberikan cuti oleh pihak pengurusannya setelah dibenarkan keluar daripada Hospital Kuala Kangsar pada tengah hari Khamis lalu kerana mengalami keguguran.

Suaminya, pelakon Azri Iskandar berkata, isterinya mengambil keputusan untuk kembali ke lokasi penggambaran kerana tidak mahu berasa sedih dengan kehilangan bayi mereka dan ingin menumpukan kepada kerja.

"Elly masih sedih dan belum dapat menerima hakikat sepenuhnya atas kehilangan bayi kami dan disebabkan itu juga dia ingin kembali ke lokasi bagi melupakan kesedihan itu," ujarnya kepada mStar Online pada Jumaat.

Dalam pada itu, Azri berkata, sebagai suami dia berasa berat untuk melepaskan isterinya terus bekerja tetapi terpaksa membenarkan Elly meneruskan kerjanya kerana tidak mahu membiarkan isterinya itu berasa tertekan akibat peristiwa tersebut.

Bagaimanapun dia sentiasa mengawasi pergerakan isterinya itu supaya tidak menimbulkan sebarang implikasi akibat daripada keguguran yang dialami.

Terdahulu, pada Rabu lalu, hasrat Elly untuk memperoleh anak keempat tidak kesampaian apabila dia mengalami keguguran ketika sedang sibuk mengarahkan filem sulungnya itu di Kuala Kangsar, Perak.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari semasa Elly hendak membuang air kecil dan tiba-tiba berlaku pendarahan.

Elly sebelum ini dilaporkan sedang mengandung empat bulan dan hasil perkongsian hidup mereka pasangan itu dikurniakan tiga orang anak namun anak keduanya telah meninggal dunia.

Sementara itu, Azri berkata, produksi filem itu akan terus berada di Kuala Kangsar bagi menyelesaikan penggambaran di sana sehingga 25 Januari depan sebelum bergerak ke Terengganu.

Penanggal adalah filem pertama usaha sama antara Astro Shaw dan Grand Brilliance Sdn Bhd dan dibarisi oleh pelakon seperti Zul Ariffin, Umi Shazera, Fasha Sandha dan Datuk Sharifah Aini.

Elly Suriati Menangis Kerana Keguguran


PETALING JAYA: Pelakon, Azri Iskandar memberitahu isterinya, Elly Suriati sering menangis kerana tertekan selepas mengalami keguguran ketika mengarahkan filem Penanggal di Kampung Sayong, Kuala Kangsar, Perak pada Rabu.

Azri berkata, isterinya seolah-olah tidak boleh menerima kenyataan kerana kehilangan bayi ketika usia kandungan itu telah mencecah empat bulan.

"Saya bimbang Elly tertekan dengan apa yang berlaku dan saya sering menyatakan kepadanya bahawa ia bukan salah sesiapa kerana itu adalah ketentuan Allah SWT. Walaupun sedih saya berusaha untuk menenangkan dia," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, Elly dikatakan menyedari mengalami keguguran apabila hendak membuang air kecil dan secara tiba-tiba berlaku pendarahan yang memaksanya di bawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Azri berkata, selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan Elly mengalami keguguran dan terpaksa ditahan di Hospital Kuala Kangsar.

Elly ketika kejadian Elly baru sahaja selesai merakamkan adegan pada waktu malam filem itu yang berakhir sehingga lewat pagi.

"Penggambaran filem habis lewat sehingga pukul enam pagi. Keguguran itu berlaku mungkin disebabkan dia terlalu aktif dan lasak ketika di lokasi namun itu adalah suratan daripada-Nya," kata Azri.

Terdahulu sebelum ini, Elly dan Azri berkongsi khabar gembira apabila memberitahu mereka bakal menimang cahaya mata keempat dan pengumuman itu dibuat semasa pelancaran filem Penanggal baru-baru ini.

Elly yang ditemui nyata gembira dengan kehadiran orang baru dalam keluarga mereka dan memberitahu yakin dapat melakukan kerja-kerja pengarahan walaupun sedang berbadan dua.

Hasil perkongsian hidup pasangan itu dikurniakan tiga orang anak namun anak keduanya telah meninggal dunia.

Dalam perkembangan lain, Azri berkata, penggambaran filem Penanggal yang turut menampilkannya sebagai pelakon akan dihentikan buat beberapa hari sementara menunggu keadaan kesihatan Elly kembali pulih.

Penanggal adalah filem arahan pertama Elly dan dibarisi oleh pelakon seperti Zul Ariffin, Umi Shazera, Fasha Sandha dan Datuk Sharifah Aini.

Suami 'Risau', Elly Suriati Mengandung Empat Bulan


KUALA LUMPUR: Pelakon berbakat, Azri Iskandar memberitahu risaukan keadaan isterinya, pelakon dan pengarah, Elly Suriati yang sedang mengandung empat bulan.

Azri berkata, kerisauannya itu disebabkan Elly kini sedang sibuk dalam kerja-kerja pengarahan filem sulungya, Penanggal yang baru memulakan penggambaran pada 10 Disember lalu.

"Saya bimbang dia akan tertekan dan akan memberi kesan kepada kandungan dengan sikapnya yang tidak mahu mendengar kata ketika mengandung.

"Tetapi dia adalah seorang yang bersemangat dan teliti apabila melakukan sesuatu," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran filem tersebut di sini, Jumaat.

Azri berkata, isterinya tidak mengetahui sudah berbadan dua sehinggalah dia dan beberapa krew produksi filem Penanggal membuat lawatan ke lokasi penggambaran.

Ujarnya, keadaan isterinya yang kurang sihat selepas membuat lawatan lokasi telah memaksanya untuk melakukan rawatan dan doktor memberitahu bahawa Elly sedang mengandung.

"Masa Elly dapat tawaran mengarahkan filem ini dia masih tidak tahu keadaan dirinya sedang mengandung dan hanya mengetahui selepas itu.

"Walaupun sedikit risau tetapi saya yakin dia dapat menjaga dirinya dengan baik tambahan pula saya turut berlakon di dalam filem sama. Jadi dapatlah memerhatikan dirinya," ujarnya.

Dalam pada itu, Azri menolak dakwaan bahawa dia diambil berlakon sebagai watak utama dalam filem tersebut hanya kerana hubungan suami isteri antara mereka.

Ujarnya dia perlu menghadiri uji bakat yang diadakan oleh pihak produksi sebelum diterima berlakon.

"Benar filem berkenaan adalah idea, hasil tulisan dan arahannya tetapi saya sendiri tidak mendapat jalan mudah kerana perlu menghadiri uji bakat bersama-sama pelakon lain.

Sementara itu, Elly ketika ditemui berkata, dia tetap mahu meneruskan penggambaran filem tersebut walaupun sedang mengandung dan memberitahu tidak mempunyai sebarang alahan di peringkat awal kandungannya itu.

Elly berkata, kesibukan di lokasi kadang kala menyebabkan dirinya terlupa bahawa dia sedang berbadan dua kerana teruja dengan buah tangan pertamanya itu.

"Ada kalanya saya terlupa tetapi itu tidak bermakna saya tidak menjaga kesihatan diri dan tahu batas saya sebagai seorang ibu mengandung.

"Insya-Allah semuanya dalam keadaan terkawal dan doakan agar semuanya selamat buat saya," katanya.

Filem usaha sama antara Astro Shaw dan Grand Brilliance itu adalah filem pertama menggunakan khidmat pengarah wanita dan menelan belanja sebanyak RM2.1 juta.

Selain Azri, Penanggal turut dilakonkan oleh Ummi Nazeera, Zulkifli Ariffin, Normah Damanhuri, Fauziah Nawi, Rozie Othman dan sebagainya.

Ia masih dalam proses penggambaran dan dijangka akan ditayangkan pada tahun hadapan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails