Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Emma Akma Yunus. Show all posts
Showing posts with label Emma Akma Yunus. Show all posts

Emma Akma Terpaksa Saman Malu Bekas Kekasih


PETALING JAYA: Pelakon Emma Akma Yunus,42, tidak akan berdiam diri sebaliknya akan mengambil tindakan berupa saman malu terhadap pelakon tambahan Raffi Husin, 24 yang cuba melemparkan pelbagai tuduhan palsu terhadapnya di dalam beberapa buah akhbar, Rabu.

Emma Akma berkata tindakan itu terpaksa dibuat kerana dia berasa malu dan kecewa dengan perbuatan tidak bertanggungjawab lelaki yang sebelum ini dikatakan kekasihnya itu.

"Perkara ini tidak boleh didiamkan kerana dia telah menjatuhkan maruah saya apabila menafikan hubungan cinta kami. Malah dia juga menuduh saya dengan pelbagai dakwaan seperti saya yang tergila-gilakannya.

“Saya mempunyai bukti yang kukuh iaitu mesej-mesej yang dihantar kepada saya selama ini bukan atas dasar seorang kawan sebaliknya kekasih,” katanya kepada mStar Online.

Emma diminta mengulas kenyataan pelakon lagak ngeri tersebut dalam akhbar yang cuba menafikan hubungan mereka.

Dalam kenyataan itu juga Raffi mengatakan bahawa Emm Akma sebenarnya tergila-gilakan dia termasuklah dengan rela hati menjaganya di hospital selepas insiden kebakaran ketika penggambaran filem Bara Jiwa, baru-baru ini.

Emma turut menganggap pelakon tersebut cuba mencari publisiti murah dengan “menjual nama Emma Akma” bagi mendapat tempat dalam dunia seni.

Dia juga menjelaskan segala kenyataan yang diberikan Raffi adalah tidak benar sebaliknya berniat jahat iaitu untuk mencari publisiti dengan sekelip mata supaya kehadirannya mendapat tempat sebagai seorang pelakon.

Tambah Emma, selama ini segala perbelanjaan harian termasuk bayaran sewa rumah pelakon itu ditanggungnya kerana Raffi tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Dia hanya ingin mempergunakan saya sahaja termasuk menggunakan duit saya. Sebelum ini saya sudah dengar tentang keburukannya yang suka mengikis duit perempuan.

“Malah saya dapat tahu ada juga laporan yang dibuat pihak-pihak tertentu kepada Persatuan Seniman mengenai perangai buruk Raffi yang gemar mempergunakan perempuan untuk kepentingannya.

“Tapi ketika itu atas dasar cinta saya tidak peduli perkara itu sehinggalah ia betul-betul terjadi kepada saya dan perkara ini saya tidak akan diamkan,” katanya kesal.

Bagi Emma, tindakan Raffi mencari publisiti murahan itu bukan sahaja menjatuhkan maruahnya sendiri, malah membuktikan bahawa dia seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Mengulas tentang persepsi keluarga lelaki tersebut, Emma mendakwa sebelum ini dia mempunyai hubungan baik dengan keluarga Raffi terutama sekali ibunya.

Namun sebaliknya berlaku apabila masing-masing ingin membersihkan nama lelaki tersebut dan menganggap tidak mengetahui tentang hubungan cinta mereka.

“Saya tidak faham kenapa dia melibatkan keluarga? Jika dia rasa keluarga dia malu, bagaimana dengan keluarga saya?

“Sebelum ini ibu dia yang merayu agar saya menjaga Raffi di hospital untuk beberapa hari dan mereka tahu tentang hubungan kami. Tapi mengapa mereka juga menafikannya?

“Malah ibunya turut merayu agar bukti rakaman kecurangan Raffi tidak disebarkan kepada umum,” katanya yang akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu, Khamis (hari ini).

Emma Mahukan Kontroversi

mStar Online turut menyiarkan enam soalan panas buat Raffi berhubung penafian tentang percintaannya dengan Emma.

1. Sejauh manakah hubungan Raffi dengan Emma selama ini?

Sebenarnya kami adalah kawan baik. Kenyataan yang mengatakan kami adalah pasangan bercinta, datang daripada dia sebaliknya saya tidak pernah mengaku. Bila Emma mengatakan yang dia bengang kerana saya curang dengannya, saya terkejut.

2. Kalau Emma bukan kekasih Raffi, mengapa sebelum ini bila Emma membuat kenyataan sedemikian Raffi tidak membantah dan menjelaskan hal sebenar?

Memang sebelum ini dia selalu mengaku yang saya kekasih dia dan kebanyakan majlis yang dihadiri, saya turut menemaninya. Tapi dia kata kenyataan itu sekadar untuk menjadikan sedikit kontroversi, jadi saya ikutkan saja.

3. Kenapa selalu kehulu-hilir bersama Emma selama ini?

Saya mengikutnya ke majlis pun sebab dia menghantar SMS kepada saya dengan berkata, "Raffi di mana? Sibuk tak?" dan saya pun cakaplah yang saya tak sibuk. Kemudian dia akan berkata "wartawan nak jumpa awaklah Raffi". Saya pun ikut sajalah. Memang waktu itu saya berterima kasih sangat kepada Emma yang cuba untuk membantu saya. Tapi bila keluar di akhbar, nama Emma pula yang naik dikontroversikan. Itu maksudnya bukan saya yang terhegeh-hegeh.

Lagi satu dia selalu mengajak saya ke mana-mana dengan berkata wartawan nak jumpa saya. Saya pun tak faham apa tujuan dia.

4.Kalau bukan berkasih, kenapa tak jelaskan pada Emma yang kamu ada kekasih lain?

Sebenarnya saya masih solo. Masa saya terlantar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat melecur gara-gara insiden kebakaran ketika penggambaran filem Bara Jiwa J anuari lalu, memang ada beberapa wanita yang datang menjenguk saya, tetapi mereka sekadar kawan biasa sahaja.

Bayangkan, bila Diana Danielle melawat saya dengan memberikan hadiah patung kepada saya, Emma mula cemburu. Sedangkan perhubungan kami tidak lebih daripada seorang teman.

Sebelum ini, dia pernah berkata mahu berkahwin dengan saya sedangkan waktu itu kami baru saja lima bulan kenal. Saya menolak kerana mahu fokus dengan kerjaya.

5. Benarkah dakwaan Emma bahawa Raffi suka mengambil kesempatan terhadapnya?

Andai benarlah saya mengambil kesempatan terhadap Emma, kenapa perlu dia berkawan dengan saya? Siapa yang mengambil kesempatan terhadap siapa sekarang ini? Lagipun saya masih ada wang simpanan sendiri untuk mengeluarkan perbelanjaan harian.

Simpanan itu juga datangnya daripada hasil pendapatan sebagai seorang pengurus sebuah syarikat minyak dan gas di Labuan. Pada masa yang sama, saya turut meminta wang daripada ibu bapa saya jika terdesak. Tapi biasalah kalau kami saling belanja makan, sekali sekala.

6. Apa tindakan Raffi selepas ini?

Entahlah. Saya cuma mahu membersihkan nama saya sahaja. Saya harap Emma tidak berkelakuan melebihi batas. Saya sayang Emma, tetapi tidak lebih dari kawan.

Emma kesal sikap Raffi


KETIKA ini, hati dramatis Emma Akma terguris dengan perbuatan dan kata-kata penghinaan bekas kekasihnya, Mohd Raffi Hussin. Raffi adalah pelakon tambahan yang juga stuntman (pelakon lagak ngeri) yang tercedera apabila set penggambaran filem Barajiwa meletup secara tiba-tiba menyebabkannya melecur pada badan, tangan kiri dan muka, baru-baru ini.

Ketika Raffi terlantar sakit di hospital, Emma menjaga dan menguruskannya, malah dramatis itu jugalah memperjuangkan hak supaya Raffi mendapat pembelaan sewajarnya daripada produser dan SENIMAN. Bagaimanapun, nampaknya pengorbanan Emma hanya sia-sia. Bukan saja tidak dihargai, malah dirinya dihina dan dicaci selepas perangai tak elok bekas kekasihnya itu terbongkar. Lebih mengguriskan hati apabila Emma dapat menangkap Raffi bersama gadis lain di hospital ketika masih terlantar sakit. Siang, Emma bersusah payah menjaganya, malamnya pula terisi dengan kegembiraan bersama gadis lain. Jika ikutkan, Emma tidak mahu memperbesarkan hal ini, tetapi melihat laman facebook Emma, ramai yang mahu Raja mengorek cerita daripadanya. Tidak dinafikan, Raja agak rapat dengan Emma, tetapi tidak mudah memujuknya membuka mulut. Apa yang diceritakan kepada Raja sekadar mahu mempertahankan diri yang dianiaya dan ditipu. Soal hati yang dilukai tidak lagi menjadi hal terbesar, tetapi apabila maruah dan harga diri dicarik-carik, Emma tidak mampu menahan sabar.

“Saya kesal dengan Raffi. Kami serius menjalinkan hubungan sejak enam bulan lalu. Saya sanggup bersengkang mata menjaganya di hospital, menguruskan segala keperluan, makan dan minum ketika sakit, tetapi apa yang saya dapat? Saya rasa diri bagaikan sampah apabila Raffi mula menjaja cerita dan menghina saya. Ia disebabkan saya meminta putus hubungan selepas dapat menangkapnya bersama gadis lain di hospital.

“Saya terguris dengan kata-kata penghinaan yang dilemparkan. Depan saya, Raffi cakap lain, belakang saya lain pula yang berlaku. Kerjanya asyik menipu dan memutar belit. Saya bersyukur Tuhan tunjuk perangai dan tingkah laku buruknya awal-awal lagi, kalau tidak sampai mati pun, saya kena tipu. Sebenarnya cerita Raffi kaki perempuan dah lama timbul, tetapi saya tidak mempercayainya, malah jururawat di hospital pun ada memberitahu Raffi membawa gadis lain pada waktu malam. Bagaimanapun, kuasa Tuhan, saya tengok sendiri depan mata dan merakam pengakuan mereka.

“Saya tidak mahu memperbesarkan hal ini, saya tutup mata, pekakkan telinga dan meninggalkan Raffi. Walaupun dirayu berkali-kali kerana tiada siapa yang mahu menjaganya di hospital, saya tidak mungkin kembali. Saya rasa diri dikhianati. Bagaimanapun, hal ini tidak berakhir walaupun saya hanya mendiamkan diri. Saya dihentam, dikutuk dan dihina, malah ada seorang gadis yang menggelarkan Ninie Manja sanggup mewujudkan satu blog untuk mengaibkan saya. Selidik punya selidik rupanya gadis itu antara gadis yang menjadi mangsanya. Patutlah dia begitu membenci saya.

“Apa yang membuatkan saya lebih kesal, Raffi memburukkan saya pada gadis-gadis yang memujanya. Salah seorang daripadanya kini menjadi kawan saya dan kami sering berkongsi cerita. Bagi saya, cukup-cukup Raffi, bukanlah saya nak mengungkit, tapi kalau tidak disebabkan saya yang memperkenalkannya dengan pengarah dan produser, ada ke orang nak ambil berlakon?
“Saya sedar Raffi mengambil kesempatan, berkawan dengan saya atas dasar mahu mencari ruang dalam dunia lakonan. Manakan tidak, apa saja acara dan majlis membabitkan hiburan, dia sentiasa bersama saya, malah sanggup menemani saya di lokasi penggambaran.

“Jangan fikir saya tidak tahu, dia mengutuk saya macam-macam. Katanya, saya dah tua, terhegeh-hegeh dengannya, suka mencari publisiti murahan dan macam-macam lagi. Tapi saya nak tanya, kenapa dulu nak berkawan dengan wanita tua berusia 42 tahun ini dan mengekor ke mana saja saya pergi?

“Saya cukup kecewa apabila Raffi menafikan hubungan kami. Dia mendakwa saya mencari publisiti murahan ketika menjaganya di hospital kerana ramai wartawan di situ, tapi saya nak tanya, ada sesiapa yang nak menjaga dan menguruskannya kalau bukan saya? Bercakaplah ikut akal, bukan kepala lutut!” kata Emma penuh emosi.

Yalah, kalau sesiapa pun berada di tempat Emma, hati dah tentu terbakar. Sabarlah Emma, kumbang bukan seekor. Tak payah difikirkan sangat, ada ke orang kenal Raffi tu?

Emma Akma ganti Ani Maiyuni


SETELAH seminggu Raja Azrey atau nama sebenarnya, Raja Azri Raja Kamaruzzaman yang menerajui pementasan bangsawan Siti Zulaikha membuat sidang media tergempar, semalam, pihak penganjurnya iaitu Pertubuhan Teater Klasik Perak dan Pertubuhan Kebajikan 1Malaysia tampil memberi penjelasan yang mengejutkan.

“Secara rasminya, kumpulan yang diterajui oleh Raja Azrey tidak akan ke Melaka pada 26 dan 27 Februari di Panggung Sari, Taman Budaya Ayer Keroh, Melaka nanti untuk melakukan persembahan.

“Sebaliknya, kumpulan di bawah arahan saya sendiri akan membuat persembahan tersebut dan akan diterajui oleh Emma Akma sebagai teraju utama iaitu Siti Zulaikha,” ujar Muhammad Rizan Tohid yang menggantikan Raja Azrey selaku peneraju dan pengarah Siti Zulaikha.

Muhammad Rizan mendakwa pembatalan tersebut dilakukan kerana Raja Azrey meletak jawatan sebagai pengarah pada minggu lalu.

Sehubungan itu, sebagai peneraju Pertubuhan Teater Klasik Perak dan Pertubuhan Kebajikan 1Malaysia, Muhammad Rizan menjelaskan sudah menjadi tanggungjawabnya meneruskan pementasan tersebut.

Ketika mengadakan sidang akhbar tergempar di Kelab Kilat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Lumpur iaitu lokasi berlangsungnya latihan kumpulan di bawahnya, dia menjelaskan kemelut tersebut disebabkan beberapa faktor.

“Apa yang terjadi sebenarnya, memang terdapat dua kumpulan (selain kumpulan Raja Azrey) yang menjalani latihan bangsawan Siti Zulaikha.

“Tetapi kumpulan yang diarahkan saya akan melakukan persembahan di Semarak Universiti Kuala Lumpur (UniKL) , bukan di Melaka. Kumpulan Raja Azrey sememangnya akan membuat pementasan di Melaka,” katanya.

Namun katanya, apabila terlalu banyak isu yang timbul dan klimaksnya Raja Azrey meletakkan jawatan dan semua tenaga produksi termasuk pelakon utamanya, Ani Maiyuni menarik diri, Muhammad Rizan memutuskan untuk menggantikan kumpulan Raja Azrey bagi pementasan di Melaka.

“Bukan sahaja melibatkan masalah teknikal dan pengurusan, malah kunci utama ialah pelakon kumpulan asal (kumpulan Raja Azrey) gagal menggunakan lenggok bahasa bangsawan supaya Siti Zulaikha benar-benar asli sepertimana dipersetujui pihak penganjur,” katanya.

Namun, apabila Raja Azrey tidak dapat memenuhi permintaan penganjur untuk menjelmakan bangsawan secara asli, ia memberi impak kepada semua pihak yang terbabit.

Muhammad Rizan memberitahu, dia telah berusaha membetulkan dialog pelakon-pelakon kumpulan Raja Azrey selama dua minggu, namun mereka gagal melakukannya dengan baik.

“Saya faham susah payah pelakon yang telah menjalani latihan selama sebulan itu namun ia tidak menepati apa yang dikehendaki.

“Apabila Raja Azrey meletak jawatan dengan mengatakan dia tidak lagi mampu menerajui Siti Zulaikha, saya mengajak para pelakon kumpulan Raja Azrey untuk bersama-sama menjayakan pementasan tersebut,” jelasnya.

Namun, mereka menarik diri dengan alasan tidak mampu membawa watak seperti yang diinginkan Muhammad Rizan.

Mengenai dakwaan Raja Azrey bahawa pihaknya tidak pernah datang ke latihan yang dijalankan oleh Raja Azrey, katanya itu adalah tidak benar.

Tegas Muhammad Rizan, sepanjang sebulan lebih latihan kumpulan Raja Azrey dijalankan di Bangunan MAS di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, dia sentiasa hadir walapun tidak setiap hari.

“Sebab itu saya tahu ada yang tidak kena dan perlu diperbetulkan terutama dialog pelakon-pelakonnya,” tegasnya.


Bagi pelakon watak utama Siti Zulaikha versi Muhammad Rizan, Emma Akma terpilih menggantikan Ani Maiyuni.

Menurutnya, dia ditawarkan watak tersebut dua minggu lalu.

“Saya terus menerima tawaran tersebut dan tiga hari kemudian, baru saya tahu mengenai kontroversi bangsawan ini,” katanya yang turut serta pada sidang media tersebut.

Namun menurut Emma Akma, tidak akan timbul masalah antaranya dengan Ani Maiyuni kerana ia adalah keputusan pihak pengurusan.

“Fokus saya sekarang, menjalani latihan sebaik mungkin untuk membawa watak utama tersebut. Yang lain-lain, saya serahkan kepada pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Selain Emma Akma, Md. Hussin akan membawa watak Sultan Zainal Ulong menggantikan DJ Pool, manakala Mas Muharni menggantikan Azza AF untuk watak Puteri Nur Manjalela.

Emma bercerai untuk kali ketiga


KUALA LUMPUR: Perkahwinan secara senyap bekas suaminya dengan gadis Surabaya, Indonesia membuat dramatis Emma Akma Yunus nekad untuk bercerai buat kali ketiga di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini.

Hari ini, Kamal telah melafazkan cerai talak satu di hadapan hakim syarie, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di Keramat, Wan Mahyuddin Wan Muhammad.

Penceraian Mohd Kamal-Emma dibuat di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Syariah Negeri Selangor 2003.

Peguam Emma, Abdullah Anuar Sahri memberitahu mahkamah membenarkan perceraian atas alasan Emma-Kamal sudah tidak tinggal bersama selama 11 bulan dan kerana 'siqah' (perbalahan yang berterusan).

Sebelum ini, pasangan ini telah bercerai sebanyak dua kali tetapi setiap kali mereka akan rujuk kembali selepas pujuk rayu bekas suami Mohd Kamal Jaafar Sidek, 35.

Tahun lalu, Emma terpalit dengan kontroversi apabila media melaporkan hidungnya cedera akibat ditumbuk oleh bekas suaminya Mohd Kamal. Akibat laporan media itu, Emma dilarang memberitahu familinya yang mereka telah rujuk kembali.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Emma memberitahu dia memutuskan untuk berpisah selama-lamanya dengan bekas suaminya demi kebaikan bersama.

"Ini yang terbaik... (sambil teresak-esak) Bila tahun lalu kami cerai dan kemudiannya rujuk kembali, kami tak beritahu sesiapa pun. Saya terpaksa berbohong kepada media atas permintaannya.

"Atas sebab peribadi, saya terpaksa merahsiakan kisah saya rujuk semula itu daripada familinya atas permintaan dia juga walaupun kasih sayang masih wujud.

"Saya telah memberi peluang kepadanya sebanyak dua kali dengan harapan dia tidak akan buat saya lagi macam ini.

"Dalam tempoh 11 bulan kami tidak tinggal bersama, macam-macam saya lalui. Saya fikir sampai bila....oleh itu saya buat keputusan dan berbincang dengannya untuk berpisah.

"Dah banyak kali dia pujuk saya minta jangan bercerai kali ketiga sebab talak ketiga. Tetapi sampai bila sedangkan saya juga yang makan hati," kata Emma dalam esakan.

Pasangan Emma-Mohd Kamal berkahwin pada 1 Januari 2005 dan mereka mempunyai seorang anak angkat Dayang Izzati Kamal, 4 yang kini tinggal bersama dengan Mohd Kamal.

Mereka bercerai kali pertama pada 29 Oktober 2008 dan kali kedua pada 23 Mac 2009. Pasangan ini rujuk buat pertama kali pada Nov 2008 dan kali kedua pada akhir bulan Mac 2009.

Walaupun sudah rujuk kembali buat kali kedua, Emma dan Kamal tidak tinggal bersama.

Dalam pada itu, Emma memberitahu, dia memilih tarikh hari ini iaitu 29 Oktober ini untuk penceraian kali ketiganya dengan Mohd Kamal bagi melengkapi genap setahun dia bercerai kali pertama dengan bekas suaminya.

"Sudah genap setahun, famili dia tak tahu, orang tak tahu.. Saya pilih tarikh ini sebab cukuplah.. dah tak ada ruang atau tempat untuk dia di sanubari saya.

"Siapa-siapa pun tak nak diperlakukan macam 'perempuan simpanan'," jelas Emma dengan linangan air mata bercucuran dari matanya.

Ditanya kenapa bekas suaminya melarang dia memberitahu rujuk semula itu, Emma menjelaskan: "Dia kata famili dia tak suka saya, benci saya pasal laporan media kes pukul tahun lepas."

"Dia kata saya telah mengaibkan familinya. Kalau orang biasa, media tak nak ambil tahu. Mungkin kerjaya saya membuatkan saya mendapat liputan media. Sekurang-kurangnya saya boleh meminta maaf kerana berbohong mengatakan saya single pada masa itu. Saya terpaksa berbuat begitu kerana kehendak dia.

"Sebab paling utama saya meminta maaf kerana famili dia tak tahu kami telah merujuk kembali dan kedua, dia sendiri telah berkahwin dengan orang lain. Jadi kenapa saya nak seksa diri saya lagi," katanya.

Mengenai kerjaya seninya, Emma memberitahu dia tidak mendapat apa-apa tawaran berlakon sejak bulan puasa lalu. Selain itu, katanya, dia ingin berehat selepas melalui episod pahit ini dalam dirinya.

"Terlalu banyak perkara berlaku dalam setahun ini. Ada yang memberitahu saya semakin kurus. Saya nak berehat selepas ini," katanya yang bersyukur kerana orang lain tidak akan menyimpan persepsi negatif terhadap dirinya lagi.

Emma berpendapat, penceraiannya hari ini tidak akan berlaku sekiranya bekas suaminya itu tahu mengutamakan isterinya.

"Malah dia tahu kes tahun lepas pun bukan salah saya. Lepas kes cerai, dia minta maaf, menangis, peluk saya. Saya tahu bukan niat dia nak pukul saya...," katanya yang berlakon dalam drama 'Kepadamu Kekasih' yang disiarkan di TV9 setiap Sabtu, jam 8.30 malam.

Emma juga turut tampil dalam iklan-iklan di kaca televisyen seperti iklan pati haruan Poleney, Marina Nugget, Nestle, Celcom, DiGi dan Tahun Melawat Singapura.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails