Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Farahdhiya. Show all posts
Showing posts with label Farahdhiya. Show all posts

Sering Gagal Buat Farahdhiya Takut Bercinta

Pelakon Farahdhiya memberitahu masih belum mempunyai teman lelaki istimewa selepas kegagalan dalam percintaan pada dua tahun lalu. Farahdhiya atau nama sebenarnya Farahdhiya Mohamed Amin, 30 berkata, dia masih takut untuk bercinta berikutan sukar mempercayai lelaki selepas dua kali putus cinta. "Saya mengakui bahawa sudah dua tahun tidak bercinta selepas pengalaman dua kali percintaan dahulu gagal membuatkan saya berasa lebih berhati-hati untuk mendekati lelaki apatah lagi untuk bercinta". "Semua ini terjadi bersebab dan apa yang berlaku itu adalah kenangan yang membuatkan saya susah untuk jatuh cinta" ujarnya kepada mStar Online. Farahdhiya berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton Drama bersiri 'Super Game Boy' di Golden Screen Cinemas (GSC), The Gardens, di sini, Selasa. Drama bersiri 'Super Game Boy' bakal disiarkan setiap Sabtu, pukul 11.00 pagi, bermula 21 Mac ini menerusi saluran Astro Ceria (611) dan Maya HD (135). Sementara itu, Farahdhiya berkata, fokusnya terhadap kerjaya lakonan membataskan dia untuk mengenali mana-mana lelaki. "Dua tahun lepas saya sibuk dengan lakonan dan tahun ini saya banyak memberi ruang kepada diri sendiri untuk berehat," ujarnya. Dalam pada itu, Farahdhiya turut memberitahu, dia enggan berkongsi terlalu banyak tentang kehidupan peribadi terutama berkaitan kekasih kepada umum. Katanya, ia berikutan tidak mahu terlalu mendedahkan hubungan yang belum pasti diakhiri dengan perkahwinan. Mengulas mengenai penglibatannya dalam bidang nyanyian, katanya, dia masih aktif dan kini sibuk mempromosi single terbaharu berjudul Ku Tak Rela.

Nafi berkelakuan diva - Farahdhiya

ANGIN tiada ribut tiada tiba-tiba nama pelakon putih melepak, Farahdhiya Mohamed Amin atau Farahdhiya kembali meledakkan industri seni. Semuanya gara-gara dia didakwa berperangai diva ketika menjalani penggambaran drama bersiri Perempuan Dalam Pasungan. Cerita tentang sikap berlagak pelakon yang pernah popular menerusi drama Chinta itu ditulis oleh seorang wartawan senior sebuah akhbar tempatan selepas menerima aduan daripada pihak produksi drama tersebut iaitu Darkwave Picture Sdn. Bhd. Tidak mendedahkan siapakah gerangan individu yang bertanggungjawab menyebarkan cerita tersebut, Farahdhiya dituduh bersikap diva kerana meminta bayaran penuh sebelum selesai penggambaran. Bukan itu sahaja, pelakon berusia 29 tahun itu juga didakwa tidak mahu bercampur dengan orang dan gagal memenuhi waktu penggambaran. Nafi Farahdhiya turut dikatakan tidak mahu terbabit dengan penggambaran waktu malam disebabkan ingin bermain badminton bersama teman-teman malah sering merungut apabila pengurus produksi menukar lokasi penggambaran. Enggan berterusan menghukum pelakon cantik yang semakin langsing itu, Kosmo! menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan tersebut. Biarpun tenang sahaja suaranya kedengaran di corong telefon, terdapat kekecewaan besar yang dirasai oleh Farahdhiya. Farahdhiya turut mengakui tidak terkejut dengan cerita itu kerana dia tahu siapakah si penyebar fitnah tersebut. Menjawab perkara itu, dia menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan tersebut, malah dengan berani pelakon berwajah Pan-Asian itu mendedahkan dia ada berselisih faham dengan penerbit drama tersebut yang turut berlakon dalam drama Perempuan Dalam Pasungan iaitu Datuk Rafiena Ezanee. "Sebenarnya bila saya dapat tawaran berlakon drama tersebut, saya sedang menjalani penggambaran untuk sebuah telefilem. Saya dapat jadual yang mana watak saya terlibat untuk enam hari sahaja. "Walau bagaimanapun, satu tarikh yang mereka berikan bertembung dengan tarikh penggambaran telefilem yang sedang saya jalani. "Mereka kata tiada masalah dan boleh ubah tarikh tersebut. Lagipun kata mereka penggambaran untuk watak saya cuma dilakukan pada sebelah siang. "Jadi, saya fikir tiada masalah untuk saya terima tawaran tersebut disebabkan ia tidak lagi bertembung dengan waktu penggambaran saya yang lagi satu. "Bila perkara itu selesai saya diberitahu pula bayaran watak saya untuk satu hari cuma RM400. Saya tidak boleh terima dan mengatakan bajet tersebut terlalu rendah. Akhirnya, mereka setuju dengan bayaran yang diminta saya," jelasnya.
Penerbit datang lambat Disangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari, ketika hari penggambaran, Farahdhiya yang hadir pada pukul 9 pagi di lokasi penggambaran terpaksa menunggu Rafiena selama hampir tiga jam! Luahnya: "Waktu penggambaran saya dengan penerbit (Rafiena) sebenarnya pukul 9 pagi, tetapi pukul 11.30 pagi baru dia sampai. Sebelum terima tawaran lagi saya sudah cakap kalau boleh sebelum waktu makan tengah hari saya harus ke lokasi lagi satu. "Mereka telah setuju perkara itu, tetapi malangnya penerbit sendiri buat hal datang lambat. Sudahlah lambat, boleh pula dia bersolek dulu dan bercerita yang dia pergi menunggang kuda pagi itu." Tiada perkataan maaf daripada penerbit tersebut, Farahdhiya yang tidak berpuas hati mengadu perkara tersebut kepada pembantu pengarah iaitu Diana tetapi malangnya aduan itu tidak diendahkan. Tidak cukup dengan itu, luah Farahdhiya, dia juga terpaksa menjalani penggambaran di Shah Alam, Selangor sedangkan pada asalnya dia diberitahu cuma menjalani penggambaran di Kuala Lumpur. Bukan kerana enggan menjalani penggambaran jauh, tutur Farahdhiya, dia tidak suka terkejar-kejar ke penggambaran lain dan tidak mahu datang lambat ke lokasi tersebut. "Pasal bayaran pula, memang sepatutnya saya dibayar 50 peratus ketika mula penggambaran dan 50 peratus lagi pada akhir penggambaran. "Saya tiada masalah cuma ketika habis penggambaran, sekali lagi dia (Rafiena) datang lambat. Saya menunggu dia tiga jam untuk bayaran tersebut," ungkapnya yang mengakui tidak bercampur dengan orang produksi ketika makan kerana dia sememangnya diet daripada makan nasi. Ditebak mengenai perasaannya dituduh bersikap diva, Farahdhiya akui, sebagai manusia dia berasa sakit hati kerana semua tuduhan yang dilemparkan kepadanya tidak benar. Mengulas lanjut, ujar Farahdhiya, dia tidak pernah berdepan dengan insiden seperti itu (dituduh diva di lokasi) selama hampir 10 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan. "Saya tidak pernah ada masalah disiplin selama hampir 10 tahun berlakon. Apa yang disuruh dan sudah tertera dalam kontrak saya akan ikut. "Tanyalah pada penerbit A. Aida yang sememangnya orang tahu dia seorang yang tegas dan garang, bagaimana cara saya di lokasi. Berapa banyak projek yang saya buat dengan dia tanpa ada masalah," ujarnya yang berani bersumpah semua perkara yang ditulis wartawan akhbar terbabit adalah tidak benar.

Farahdhiya mengamuk di hotel


BETUL ke Farahdhiya mengamuk di hotel? Terkejut juga Syed dengar cerita yang disampaikan oleh peminat daripada Pantai Timur ni.

Kata mereka penyanyi yang popular dengan lagu Bertakhta Di Hati tu memang cukup marah dengan layanan yang diterimanya dalam satu pertunjukan fesyen di sana.

Kata mereka Farahdhiya memang dijemput ke satu pertunjukkan fesyen di sana. Tapi berlaku salah faham yang menyebabkan penyanyi itu terpaksa menunggu di lapangan terbang sampai satu jam.

Alamak, lama tu. Kalau Syed di tempat Farahdhiya pun Syed akan marah. Tapi yang tak sedapnya bila sampai sahaja di hotel dia terus mengamuk dan memarahi petugas yang sedia ada di situ.

Kalau mengikut sumber yang memberitahu Syed macam-macam perkataan yang tak sedap didengar keluar daripada mulut Farahdhiya sampaikan semua orang yang ada terdiam begitu sahaja.

Mujur ada orang yang berjaya mententeramkan dia dan bawa masuk bilik. Lepas tu berlaku lagi satu insiden yang sepatutnya tak patut berlaku. Ketika sesi nak cuba baju, dia hanya mengenakan seluar jeans dan baju yang sedikit seksi.

Iyalah, kalau dah berada di negeri yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah tu, memang perkara macam ni akan menjadi satu isu. Lantas menyebabkan pihak penganjur rasa kecewa dengan tindakannya itu.

Entahlah, Syed yang mendengar cerita ni pun rasa serba salah. Bukan apa sebab tak sangka Farahdhiya sanggup buat macam tu. Harap-harap cerita yang disampaikan oleh sumber Syed ini tak benar sebab rasanya dia tak macam tu.

Syed: Selalu amuk nyamuk.

Farahdhiya tidak propa


Farahdhiya tak kisah dituduh berlagak diva, mulut jahat

LELAKI mana yang tidak akan terkesima menjeling pandang susuk tubuh mungil penyanyi dan pelakon putih gebu ini. Malah, kaum sejenisnya sepertinya juga pasti ramai mengagumi di samping mencemburui kecantikan dan keseksian yang dimiliki gadis kelahiran Sarzana, Itali bernama Farahdhiya ini.

Semakin meningkat usia dan baru genap usianya 27 tahun pada 28 April lalu, penyanyi lagu Bertakhta ini dilihat semakin pandai bergaya seiring peredaran masa. Kulit putih gebu dan badan bergetah menjadi idaman ramai sang arjuna yang begitu memujanya. Dengan dua persalinan koleksi peribadinya, termasuk menggunakan khidmat jurusolek kegemarannya iaitu kakak kesayangan penyanyi rock Ella, Saidatulnisa Aminuddin, Farahdhiya hadir ke Balai Berita dengan gaya berani. Itu pun secara kebetulan mendapat cuti sehari daripada berlakon.

Sudah lama tidak bersua, pelbagai cerita mahu dikorek dengan empunya badan. Malahan kalau ada yang masih ingat Farahdhiya menarik perhatian ramai pada malam kemuncak Anugerah Bintang Berita Harian mengenakan catsuit sendat rona biru turquise daripada fabrik lycra.

Pendek kata, dia yang mesra disapa Farah ini semakin berani bereksprimentasi dengan gaya. Bukan saja gaya, sebelum ini juga Farah juga dikatakan berani dan lantang dalam bercakap. Timbul juga cerita kononnya Farah berlagak diva dan lebih teruk daripada itu, dia dituduh bermulut jahat.

Paling menjadi perhatian apabila berlaku ‘drama realiti sebabak demi sebabak’ yang muncul dan menjadi bualan tatkala dia terbabit dalam pementasan teater muzikal Terima Kasih Cinta buat julung kalinya di Istana Budaya, Februari lalu. Sengketa ketika dalam produksi itu dikatakan membabitkan dirinya dan beberapa pelakon yang turut beraksi sama dalam teater berkenaan.

“Saya tidak takut untuk sebarang tuduhan. Apa yang tahu saya seorang yang telus dan tidak suka berpura-pura. Kalau saya cakap tak suka, tak sukalah jawabnya. Saya bukan kaki propa dan itu memang langsung tidak menjadi diri saya yang sebenarnya.
“Saya barangkali mewarisi sikap ini daripada ibu saya (daripada keluarga orang putih). Saya lebih suka berterus terang. Itulah warna diri saya sebenarnya. Kalau orang baik dengan kita, takkan kita nak jahat pula dengannya. Begitulah sebaliknya,” katanya kepada B*POP.

Tambahnya yang kini berada di lokasi penggambaran drama untuk slot Samarinda TV3, Anissa terbitan Zeel Production, manusia di luar sana bebas menghukum tanpa usul periksa. Tapi itu tidak menjadi kekangan buatnya untuk melakukan apa yang dirasakan ingin dilakukan.

“Saya tak pernah rasa diri ini macam diva. Kerjaya saya juga menuntut aspek profesionalisme seperti kerjaya lain seperti peguam dan doktor. Cuma selepas waktu kerja, saya hanya manusia biasa yang menginginkan kehidupan normal seperti orang lain.

“Bapa saya sendiri pernah berpesan, jangan terlalu memikirkan apa orang kata hingga menghalang apa yang kita nak buat. Sebab itu, saya tidak terlalu mudah mempercayai orang. Barangkali saya susah untuk difahami. Tapi yang mengenali saya itu kenal siapa diri saya sebenarnya.

“Kalau ada orang kata saya bermulut jahat, saya sendiri tak dapat mengingati kejadian atau adegan mengatakan saya begitu. Saya bukan jenis manusia suka mengumpat dan saya pun tak ramai kawan dengan golongan artis. Saya akan jadi tak selesa dengan orang yang suka mengumpat,” katanya yang sudah tujuh tahun bergelar anak seni.

Diajak berkongsi tips kecantikan diamalkannya, Farahdhiya sedia berkongsi pandangan. Tapi jangan pula ada memandai-mandai mengatakan kecantikan dimilikinya itu palsu semata-mata. Ia sememangnya tulen.

“Saya mencuri masa untuk ke gim. Kalau tak sempat ke gim, saya akan berlari di taman di sekitar kawan rumah. kalau tidak pun saya akan bersenam menggunakan mesin treadmill di rumah saja. Saya juga lebihkan memakan sayur-sayuran dan buah-buahan. Saya cuba menolak makanan bergoreng. Nasi pula, sebulan sekali pun belum tentu saya akan sentuh.

“Saya bersyukur dengan apa dikurniakan Tuhan. Setakat ini, saya belum terlintas mengubah atau menggunakan apa saja rawatan komersial untuk menjadi lebih daripada apa yang sudah dimiliki. Tapi untuk masa depan, saya belum mampu menduga apa bakal terjadi. Kawan saya sendiri ada mencantikkan wajah dan kulit dengan suntikan vitamin C contohnya. Untuk saya, minta maaf dan kirim sajalah. Tengok jarum pun saya sudah naik takut,” jelasnya sambil ketawa.

Farahdhiya belum bertemu pengganti

MENGULAS mengenai hubungan dengan rakan, Farahdhiya menjelasakan, dia kini berkawan baik dengan tiga wanita yang sudah bergelar isteri. Mereka yang dimaksudkan ialah dua artis - Zizie Ezette dan Datin Illyka selain wanita bernama Jue (bukan artis). Akuinya, Zizie sudah dikenali Farah sejak 10 tahun lalu.

Malah, panggilan B terhadapnya ialah singkatan kepada Baby di kalangan mereka yang rapat dengannya, membuatkan ada yang sudah salah sangka bahawa Farahdhiya kembali di ambang bahagia. Akuinya, dia kini masih solo dan belum mempunyai kekasih.

Umum tahu percintaan Farah dengan seorang lelaki selama hampir empat tahun yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini berakhir dengan perpisahan. Tetapi Farah tetap tabah menempuhi kegagalan itu dengan tangan dan hati terbuka.

“Saya masih ada kerjaya, kawan dan keluarga yang masih memenuhi ruang lingkup hidup saya. Bersama kawan baik yang saya sebut tadi, semestinya saya paling muda dan manja. Biarpun mereka sudah berkahwin, saya tak rasa langsung pun jurang itu.

“Kalau ada masa, kami akan keluar bersama. Mereka ditemani suami masing-masing, saya pula sesekali tidak keseorangan dan akan membawa teman. Teman itu tak semestinya kekasih. Apa yang boleh saya katakan saya belum bertemu pengganti. Setakat kawan-kawan itu adalah,” katanya sambil memberi penekanan bahawa dirinya masih bersendiarian tanpa ada teman lelai istimewa.

Ungkap penyanyi lagu Kau Telah Pergi itu lagi, dia bukannya serik untuk bercinta lagi. Cintanya masih ada untuk mereka yang bergelar lelaki. Apatah lagi, dia juga cukup menyukai kanak-kanak. Namun, buat masa ini dia belum terdesak untuk memikirkan soal perkahwinan secara serius.

“Saya masih menunggu seseorang untuk membuka hati saya kembali. Saya bersyukur dan yakin setiap apa yang terjadi termasuk perpisahan lalu memberi ruang untuk saya mencari lelaki lebih baik daripada sebelumnya. Yang lalu biarlah berlalu. Bayangkan dalam tempoh sembilan tahun, saya melalui tiga fasa percintaan yang kecundang di tengah jalan. Dalam tempoh itu, empat tahun saya bercinta dengan seseorang kemudian putus. Kemudian setahun pula dan terbaru hampir empat tahun.

“Ibaratnya saya rasa seperti membazir masa. Saya letih untuk melalui benda sama. Tapi itulah rentak perjalanan kehidupan. Saya sendiri tidak sabar menjadi ibu dan ada anak sendiri. Harapnya lelaki yang saya bakal temui nanti akan sehidup semati dengan saya,” katanya yang baru saja selesai menjalani penggambaran drama Puteri Santubong untuk siaran RTM.

INFO: Farahdhiya

•Belum ada rezeki berlakon filem. Tapi akui Farahdhiya selalunya disebabkan faktor masa dan komitmen diberikan kepada medium TV, dia terpaksa melepaskan tawaran berlakon filem.

•Dia memang teringin berlakon filem kerana bidang itu saja belum dipenuhinya. Selain menyanyi, dia juga pernah menceburi bidang pengacaraan.

•Teruja menanti kemunculan telefilem, Mat Latah kerana buat pertama kalinya dia perlu menjadi gadis melatah.

•Dalam hal nyanyian pula, dia sudah menandatangani kontrak selama setahun dengan Millenium Art Sdn Bhd dan dijangka muncul dengan album memuatkan lima lagu. Namun disebabkan kesibukannya dalam lakonan, Farah belum sempat melunaskan baki dua lagu lagi.

•Akui Farahdhiya, Fasha Sandha cukup meminati lagu Kau Telah Pergi dan tidak kisah untuk tampil sebagai model klip video lagu itu.

•Pandai memasarkan dirinya untuk tidak terikat dengan sebuah stesen TV saja. Wajah dan bakat lakonannya menjadi pilihan TV3, Astro dan RTM.

Anggap Biadab, Farahdhiya Tidak Hormat Deja Moss


PETALING JAYA: Pelakon jelita Farahdhiya menyifatkan penyanyi Deja Moss merupakan seorang pelakon senior yang tidak layak untuk dihormati.

Ini berikutan kejadian pada pementasan teater Terima Kasih Cinta (TKC) Sabtu lalu di mana Deja Moss telah memesan sebanyak 10 jambangan bunga untuk diberikan kepada pelakon-pelakon utama teater tersebut sempena penutup pementasan berkenaan.

Bagaimanapun, Deja Moss dikatakan cuba memalukan Farahdhiya dan Norish Karman di hadapan penonton dengan merancang untuk menyerahkan jambangan bunga tersebut kepada pelakon lain kecuali dua pelakon tersebut.

Farahdhiya memberitahu semasa di pentas, pelakon Shajiri dan Tony Yusof yang menerima bunga berkenaan telah menyerahkannya kepada dia dan Norish tanpa menyedari ia bukan untuk mereka berdua.

"Kebetulan pula ketika habis pementasan Deja berdiri di sebelah saya dan saya tanya pada dia, siapa yang beri bunga itu? Dan Deja kata, “saya yang beri”.

"Kerana tidak sedar dengan apa yang berlaku, saya terus mengucapkan terima kasih kepadanya kerana saya bermati-matian menyangka Deja memberikannya untuk saya.

"Kemudian, bila saya dan Norish berehat di bilik bersama, tidak sangka pula Deja menyuruh Tony mengambil jambangan bunga itu semula kerana ia bukan milik kami.

"Tak ke nampak kelakar apabila Deja berkelakuan sebegitu? Sebenarnya saya tak rasa malu langsung seperti yang dia mahu lakukan. Tetapi saya malu melihat diri dia yang berkelakuan seperti kanak-kanak.

"Saya tak sangka dan terkejut, seorang pelakon senior buat macam itu. Memang sejak kejadian itu saya tidak lagi menghormati mahupun mahu menegur dia," tegasnya yang dihubungi mStar Online, Selasa.

Tambah Farahdhiya sepanjang latihan TKC, dia dan Deja tidak mempunyai sebarang masalah antara satu sama lain dan kejadian tersebut membuatkan dia tertanya-tanya, apa punca Deja bersikap sedemikian.

"Memang sehingga kini saya berasa bingung dengan apa yang dia lakukan dan menganggap Deja sebagai tidak beradab.

"Tambah pula, industri seni kita bukannya besar mana kerana kita selalu akan bertentang mata. Jika benarlah niat dia mahu malukan kami berdua, Tuhan maha adil. Deja boleh teruskan perbuatan itu tetapi bukan kepada saya.

"Jangan pula ingat saya sengaja ingin hebohkan hal ini? Saya bercerita pun selepas pihak media yang tanya," tuturnya yang sibuk membuat promosi single lagu barunya yang berjudul Kau Telah Pergi.Farahdhiya kini mahu berehat dalam jangka masa sebulan untuk bercuti ke luar negara.

Sementara itu usaha mStar Online untuk mendapatkan komen Deja tidak kesampaian kerana dia tidak menjawab panggilan telefon.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails