Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Farrah Adeeba. Show all posts
Showing posts with label Farrah Adeeba. Show all posts

Beraya cara sederhana - Farrah Adeeba

AIDILFITRI tahun ini paling istimewa buat personaliti kacukan Arab ini. Masakan tidak, baru pertama kali keluarganya yang berada di Pulau Pinang turut sama merayakan Aidilfitri di Kuala Lumpur. "Pada pagi raya, saya akan mengacara rancangan Assalamualaikum siaran TV Al-Hijrah. Kemudian, saya akan balik rumah beraya dengan keluarga di Kuala Lumpur. Pada tahun ini, keluarga saya dari Pulau Pinang akan datang ke Kuala Lumpur. Suasana tentu berbeza dan meriah," ujar Farrah Adeeba Mohamed Ashraf, nama yang tidak asing lagi dalam dunia penyiaran. Lulusan Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini kini sepenuh masa menguruskan keluarga dan perniagaan, Najjah. "Walaupun kini saya ialah pengacara bebas dan hanya mengacara untuk satu rancangan di TV Al-Hijrah, ia masih memberikan kepuasan. "Sebenarnya, sejak berkeluarga, saya banyak menumpukan perhatian kepada keluarga terutamanya anak saya, Muhammad Razique Rafique," ujarnya. Di sebalik itu, Farrah menggambarkan kebahagiaan hidup berkeluarga terasa lebih bermakna menyambut Aidilfitri dalam suasana sederhana. Ujar Farrah, dia dan suami, Muhammad Rafique Rashid Ali, sangat sederhana. "Ini bukan isu mampu atau tidak untuk membeli baju baru. Dalam Islam, kita diajar memilih baju tercantik atau terelok pun sudah memadai. Kami semua suka yang ringkas. Bahkan, kami tidak membeli yang baru. "Apa yang ada, kami pakai balik. Saya pula banyak memakai baju butik sendiri iaitu Najjah. Suami dan anak pula akan memakai jubah putih yang kosong," tambahnya sambil tersenyum. MenuBercerita tentang menu hari raya, selain rendang ayam, antara menu 'wajib' yang ada di pagi raya - bamiah dan harisa. "Tahun ini keluarga akan memasaknya di Kuala Lumpur. ''Walaupun cara memasaknya rumit, tetapi ia menu dan juadah istimewa bagi kami. Menu Arab lebih meriah sekiranya kami beraya di Pulau Pinang," katanya. Ditanya keseronokan anaknya, Muhammad Razique Rafique, 3, menyambut raya, Farrah dan suami banyak mendidik anak mereka tentang Islam dan kesederhanaan. "Dialah yang paling banyak mendapat perhatian kerana dia generasi yang paling muda. Semua beri perhatian termasuk nenek, makcik-makcik dan sepupu saya. Tetapi kami tidak mahu ajar dia berlebihan kerana yang paling penting dia faham serba sedikit erti Syawal," ujarnya. Pada hari ini jugalah, perniagaan Najjah turut ditutup dan pekerja-pekerja dapat bercuti selama empat hari. "Mereka ialah orang yang paling kuat bekerja selama sebulan sebelum raya. Jadi, cuti ini adalah hadiah buat mereka," katanya yang turut melancarkan produk kecantikan klinikal baru yang diberi nama, Srinuansa. Tambahnya, Najjah turut membuka cawangan baru di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dengan butik yang lebih luas dan selesa. Ini berdasarkan permintaan penggemar busana Muslimah yang semakin meningkat khususnya warga kota.

Farrah Adeeba Bongkar Dakwah Islam


KUALA LUMPUR: Selepas lebih setahun tidak ke luar negara atas urusan kerja, mulai bulan Disember ini, pengacara Farrah Adeeba akan memanjang langkahnya ke Brunei untuk membongkar tentang dakwah Islam di bumi Melayu.

Farrah turut bergerak ke beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk mengacarakan program dokumentari berjudul Titian Ombak yang akan disiarkan pada tahun depan di stesen televisyen terbaru, TV AlHijrah.

Disebabkan itu juga, dia terpaksa akur untuk meninggalkan anak angkat kesayangan, Mohammad Razique Abdullah yang berusia setahun buat seketika.

Namun, dia agak bersyukur kerana team produksi memberikan sedikit kelonggaran kepadanya untuk sekali-sekala pulang bertemu anaknya jika ada kelapangan.

Titian Ombak mengisahkan tentang pendekatan dakwah yang menggunakan nilai-nilai murni di alam Melayu.

“Kita cuba mendekati dan mendalami cara saudagar-saudagar Islam menyampaikan dakwah mereka. Pembesar dan pemerintah memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan agama Islam dan saya rasa program seperti ini sangat bagus kepada anak-anak kita untuk menangkis pandangan negatif bahawa Islam itu disebarkan melalui mata pedang sedangkan pada hakikatnya tidak.

“Kita akan buktikan melalui fakta sejarah dan apa yang sebenarnya berlaku melalui teori dan kami akan pergi ke setiap lokasi bagi membongkar maklumat dan dokumentasi yang jelas,” katanya kepada mStar Online.

Penggambaran program ini melibatkan beberapa lokasi alam Melayu di Semenangjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Brunei dan dijangka mengambil masa hampir dua bulan setengah.

“Kita akan mengunjungi kawasan yang terpencil dan kampung-kampung untuk melihat jika terdapat proses gali cari artifak bagi mencari fakta yang jelas tentang kedatangan Islam di alam Melayu,” tambahnya.

Selain itu, Farrah menerbitkan program realiti kanak-kanak berjudul Sekolah Saya Hebat di bawah syarikat produksinya, Miracle Sdn Bhd iaitu pertandingan yang menggarap elemen sains dan teknologi, pidato umum serta seni persembahan.

“Saya perhatikan kanak-kanak mempunyai kepandaian yang berbeza iaitu dari segi sains, artistik, jadi kita garapkan semua elemen ini dalam sebuah pertandingan.

“Saya pun sudah bergelar ibu. Jadi, apa yang saya fokuskan lebih kepada apa yang kita mahukan untuk anak-anak agar mereka menjadi insan yang lebih baik apabila dewasa nanti.

“Kita akan membuat rakaman program ini pada Disember ini sebelum disiarkan pada Januari depan,” ceritanya yang pernah mengacarkan program Wanita Hari Ini (WHI), Akademi Al-Quran (AQ) dan Cari Menantu.

Biarpun menjalinkan hubungan kerja dengan TV AlHijrah, Farrah akui masih bekerja dengan stesen televisyen TV9 yang mencungkil bakat pengacaraannya terlebih dahulu.

“Saya hanya bekerja secara bebas dengan TV AlHijrah dan tidak sesekali melupakan TV9 yang melahirkan saya dalam bidang pengacaraan. Apa yang saya lakukan untuk TV AlHijrah lebih kepada menyediakan kandungan program seperti program kanak-kanak.

“Sekarang saya lebih berminat untuk menerbitkan program kanak-kanak,” ujarnya lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails