Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Hafiz Suip. Show all posts
Showing posts with label Hafiz Suip. Show all posts
Hafiz Suip Turuti Permintaan Keluarga Lalui Proses Perkahwinan Ikut Adat
Penyanyi Hafiz Suip memberitahu bahawa dia menuruti permintaan orang tuanya untuk melalui proses perkahwinan mengikut peraturan dan adat Melayu sebenar.
Hafiz, 25, berkata, perkara itu dilakukan bagi menghormati permintaan kedua-dua ibu bapanya yang mahu ianya dijalani secara berperingkat-peringkat mengikut adat.
"Kalau ikutkan, saya hanya mahu terus sahaja berkahwin dan tidak perlu melalui tempoh bertunang.
"Tetapi ibu dan bapa saya serta keluarga dia mahu ianya berlangsung mengikut proses adat Melayu iaitu merisik, bertunang dan kemudia berkahwin," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Hafiz dan kekasihnya Nureffy Jasreel Abdullah, 22, mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis yang diadakan di Hotel Pullman, Kuching, Sarawak, malam Jumaat.
Dalam majlis tersebut Hafiz memberi 11 dulang hantaran, manakala pihak perempuan membalas dengan 16 dulang hantaran.
Sementara itu, Hafiz mengakui sudah bersedia untuk melalui proses tempoh pertunangan yang sering dikatakan mencabar.
Kata Hafiz, dia percaya prinsip yang diamalkan selama ini iaitu berkomunikasi dengan baik, sentiasa bersabar dan setia menjadi panduan untuk mempertahankan hubungan itu.
"Insya-Allah saya sudah bersedia untuk melalui ombak yang datang bersama-sama, dan saya percaya kalau niat itu betul Allah akan mempermudahkannya," ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya tentang perancangan perkahwinan, Hafiz berkata, mereka belum menetapkan sebarang tarikh untuk perkara itu.
Tambahnya, dia juga memberi peluang kepada wanita itu untuk menghabiskan pengajiannya terlebih dahulu sebelum berumah tangga.
"Insya-Allah, sehingga dia tamat belajar iaitu pada petengahan tahun depan tetapi saya beri dia peluang untuk tengok dunia terlebih dahulu.
"Kalau ikutkan memang nak percepatkan perkahwinan itu, namun saya hormati permintaannya untuk tamatkan belajar dan bekerja dahulu," katanya.
Majlis pertunangan yang berlangsung pada pukul 9 malam itu dihadiri oleh sanak saudara terdekat kedua-dua belah pihak termasuk rakan artis seperti Aril Pilus dan Hazama.
Majlis tersebut juga dipilih pada ulang tahun hari jadinya yang ke25.
Hafiz Suip Hakis Sikap Boros Selepas Bertunang
Penyanyi Hafiz Suip menjelaskan dia kini lebih banyak bermuhasabah diri tentang pelbagai aspek dalam kehidupannya semenjak mengikat tali pertunangan dengan Nureffy Hasreel Abdullah, 22 pada 27 Februari lalu.
Hafiz, 25, berkata, pada tahap sekarang dia perlu memikirkan secara serius tentang kehidupannya selain meninggalkan sifat buruk yang ada pada dirinya sebelum bergelar suami.
"Semenjak bertunang saya banyak bermuhasabah diri dan ingin menjadi seorang insan yang lebih bertanggungjawab terutama kepada diri sendiri sebagai persediaan melangkah ke alam perkahwinan," katanya kepada mStar Online.
Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Sophie Secret di Hotel Royale Chulan di sini, Selasa.
Pasangan itu melangsungkan pertunangan di Hotel Pullman, Kuching, Sarawak dan akan melangsungkan perkahwinan dalam tempoh setahun.
Terdahulu, majlis merisik telah diadakan di rumah wanita tersebut di Kuching, Sarawak pada 21 Disember tahun lalu.
Dalam pada itu, Hafiz mengakui sukar menghakis sikap boros dan minatnya kereta namun menyedari bahawa dia perlu mula menabung demi masa depannya selepas berumah tangga.
Malah kata Haifz, ibu dan tunangnya banyak menasihatinya agar lebih beringat dalam berbelanja dan mendahulukan perkara yang lebih penting berbanding kemahuannya.
"Saya sebenarnya seorang yang boros dan begitu meminati kereta dan pada usia sekarang macam-macam perkara yang ingin saya lakukan.
"Tetapi saya sedar bahawa sudah sampai masanya untuk saya berubah dan bersikap matang," katanya.
Sementara itu, Hafiz berkata, dia masih belum menetapkan tarikh untuk melangsungkan perkahwinan dengan Nureffy kerana ingin menunggu wanita berkenaan menamatkan pengajiannya terlebih dahulu.
Bagaimanapun kata Hafiz, dia bercadang untuk disatukan dengan Nureffy pada ulangtahun wanita berkenaan pada Mei tahun hadapan.
"Saya sebenarnya seorang pelupa dan atas sebab itu juga saya memilih tarikh hari jadi saya untuk mengikat tali pertunangan agar mudah untuk mengingati hari istimewa itu.
"Barangkali saya patut pilih tarikh hari jadi Nureffy untuk melangsungkan perkahwinan kami tetapi itu hanya perancangan saya," katanya.
Bercakap mengenai pelantikannya sebagai duta produk Sophie Secret, Hafiz berkata, dia bersetuju menerima tawaran tersebut kerana ingin menjelaskan bahawa kaum lelaki juga menitikberatkan soal kesihatan dan kecantikan.
Malah kata Hafiz, dia sendiri telah mencuba dua produk keluaran jenama itu dan mendapati perubahan ketara kepadanya hanya dalam masa singkat.
"Saya faham, sebelum ini lebih banyak selebriti wanita diambil menjadi duta produk kesihatan dan kecantikan namun pemilihan saya adalah bukti produk ini sesuai untuk lelaki dan wanita.
"Sebelum bersetuju saya sendiri telah mencuba dan Alhamdulillah ia memberi kesan ketara terutamanya pada stamina saya," katanya.
Hafiz Suip Diarahkan Jalani Fisioterapi Setahun
Penyanyi Hafiz Suip terpaksa akur apabila perlu menjalani rawatan fisioterapi selama setahun di sebuah hospital swasta di Subang Jaya dekat sini akibat kecederaan pada bahagian tulang belakangnya (slipped disc) bulan lalu.
Hafiz, 25, berkata, biarpun kecederaan tersebut sudah pun pulih namun dia masih perlu melakukan rawatan tersebut bagi memastikan dia benar-benar bebas penyakit itu.
"Kecederaan slipped disc itu telah menghimpit beberapa saraf lain pada badan saya. Biarpun ia semakin pulih namun doktor mahu saya menjalani rawatan fisioterapi selama setahun bagi memastikan masalah itu tidak berulang.
"Biarpun perlu berulang-alik ke hospital dalam jangka masa setahun ini tetapi saya akur demi kesihatan saya," katanya kepada mStar Online.
Terdahulu, Hafiz dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit pada bahagian belakang badannya akibat tercedera semasa bermain futsal.
Dalam pada itu, Hafiz berkata, biarpun dia kini kelihatan sihat namun dia dinasihatkan tidak melakukan sebarang kerja berat selain berdiri terlalu lama.
"Kesakitan yang saya alami sebelum ini memang teruk dan Alhamdulillah sekarang saya semakin pulih dan mengikut semua arahan yang doktor berikan.
"Pun begitu saya kini kembali aktif mengambil undangan nyanyian tetapi lebih berhati-hati dalam pergerakan saya," katanya.
Pembaca mStar Online Temui Mikrofon Hafiz Suip
Kegelisahan penyanyi Hafiz Suip ekoran kehilangan mikrofon kesayangannya pada Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) yang berlangsung pada 7 November lalu akhirnya terlerai selepas peralatan itu ditemui oleh seorang pembaca mStar Online.
Individu tersebut, Junaidi Kargo, 39, ketika dihubungi berkata, dia menemui mikrofon tersebut berhampiran tempat letak kereta Hotel Seri Pacific yang terletak bersebelahan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di mana acara itu berlangsung ketika dalam perjalanan pulang selepas menyaksikan anugerah itu.
"Ketika menemui mikrofon tersebut saya tidak tahu ia milik Hafiz biarpun pada kotaknya ada tertera namanya tetapi langsung tidak menyangka ia milik seorang penyanyi.
"Apabila membaca laporan mStar Online yang mengatakan Hafiz kehilangan mikrofon selepas ASK baharulah saya tahu ia milik penyanyi tersebut," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Komen yang ditinggalkan oleh Adila pada ruangan komen di mStar Online.
Hafiz dalam laporan mStar Online bertarikh 24 November lalu berkongsi rasa sedih akibat kehilangan alatan tersebut yang dibelinya sejak setahun lalu kerana ia mempunyai nilai tinggi.
Bagaimanapun Hafiz mengakui kehilangan tersebut bukan disebabkan kecurian sebaliknya atas kecuaian dirinya sendiri yang meletakkan kotak mikrofon tersebut di bumbung keretanya.
Ekoran kejadian tersebut, Hafiz turut membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada hari berikutnya.
Difahamkan mikrofon itu bernilai puluhan ribu ringgit.
Selain Hafiz, beberapa artis tempatan lain turut mempunyai mikrofon sendiri seperti Datuk Siti Nurhaliza dan juga Misha Omar.
Dalam pada itu, Junaidi berkata, selepas membaca laporan kehilangan tersebut di mStar Online, dia meminta bantuan adik iparnya yang dikenali sebagai Adila untuk mendapatkan nombor telefon pihak pengurusan Hafiz bagi membolehkan dia memulangkan semula peralatan berkenaan.
Adila dalam ruangan komen berita itu di mStar Online memaklumkan mikrofon tersebut berada dalam simpanannya serta meninggalkan nombor telefon Junaidi dengan harapan pihak Hafiz menghubungi mereka.
"Asalnya isteri saya yang baca artikel berkenaan dan mula menyedari bahawa mikforon yang kami jumpa itu miliknya dan meminta bantuan adiknya untuk menghebahkan perkara itu di laman sosial supaya peralatan berkenaan dapat dipulangkan.
"Alhamdulillah selepas beberapa hari pihak Hafiz menghubungi saya dan pada malam Khamis (semalam) dia datang sendiri ke rumah saya di Sentul untuk mengambil alatan tersebut," katanya.
Sementara itu, Junaidi berkata, Hafiz kelihatan cukup gembira apabila menerima mikrofon tersebut dan tidak henti-henti mengucapkan terima kasih.
Dia juga berbesar hati dapat membantu Hafiz dan yakin mikrofon berkenaan mempunyai makna besar dalam karier penyanyi itu.
"Syukur mikrofon berkenaan dapat dipulangkan kepada tuannya dan paling tidak sangka Hafiz datang ke rumah kami malah menghabiskan masa lebih sejam untuk beramah mesra dengan kami sekeluarga.
Adila memaklumkan dalam laman Twitter miliknya Hafiz sudah mengambil mikrofon berkenaan.
"Hafiz seorang yang sangat merendah diri dan cukup mesra. Anak-anak saya paling teruja dapat bertemu dengannya," ujar Junaidi.
Dalam perkembangan sama, Hafiz menerusi laman Instagram miliknya melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Junaidi sekeluarga atas keikhlasan dan kejujuran yang ditunjukkan kerana bersungguh-sungguh untuk memulangkan mikrofon tersebut.
"Alhamdulillah... terima kasih saya ucapkan kepada abang Junaidi kerana telah menemui mikrofon kesayangan saya dan kepada seluruh ahli keluarganya kerana menyambut kedatangan saya dengan hati yang terbuka.
"Insya-Allah, mikrofon tersebut akan digunakan pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) yang akan berlangsung tidak lama lagi," ujarnya.
Kekasih Hafiz Suip Penuntut Universiti, Kenal Empat Tahun Lalu
Penyanyi Hafiz Suip membuat pengakuan sedang berkawan rapat dengan seorang wanita yang dikenalinya sejak empat tahun lalu namun masih belum bersedia mendedahkan identiti individu berkenaan.
Hafiz atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Mohd Suip, 24, berkata, dia terpaksa merahsiakan individu itu kerana menghormati privasi wanita tersebut selain mengambil kira statusnya yang masih seorang penuntut di sebuah universiti tempatan.
"Apa yang boleh saya katakan kami sedang berkawan malah telah mengenali sejak empat tahun lalu tetapi demi menghormatinya dan keluarga saya tidak dapat mendedahkan identiti dia buat masa ini," katanya kepada mStar Online.
Hafiz ditemui pada majlis doa kesyukuran bersempena kejayaannya sepanjang 2013 yang diadakan di Hotel Hilton di sini pada malam Rabu.
Penyanyi lagu Ku Akui itu mengulas gosip yang mengatakan dia dan wanita berkenaan hadir sewaktu pertandingan akhir Maharaja Lawak Mega 2013 baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, Hafiz berkata, buat masa ini masih terlalu awal untuk dia bercakap mengenai perkembangan hubungan mereka kerana ia masih di peringkat awal.
Malah kata Hafiz, dia tidak mahu mengganggu tumpuan temannya itu terhadap pengajian selain ingin memberikan tumpuan kepada kariernya pada tahun ini.
"Kami rapat tapi belum serius sebagai pasangan dan rasanya kisah ini tidak perlu diperbesar-besarkan dan Insya-Allah kalau ada jodoh mungkin saya sedia berumah tangga sebelum mencapai usia 30 tahun.
Sementara itu, Hafiz berkata, bersempena dengan sambutan hari lahirnya pada 27 Februari, dia berazam untuk mengembangkan karier nyanyiannya seperti mana dilakukan oleh Datuk Siti Nurhaliza, Yuna dan Shila Amzah di luar negara.
Malah kata Hafiz, dia juga berhasrat untuk mengadakan sebuah konsert solo berskala besar pada tahun ini khas buat para peminatnya.
"Masih banyak perkara yang saya mahu lakukan dalam mengembangkan lagi karier saya dan harap-harap semua impian itu terlaksana pada tahun ini," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Hafiz berkata, dia akan diraikan dalam satu acara santai bersama 50 peminatnya pada 2 Mac ini bersempena sambutan hari lahirnya itu.
Acara itu bakal diadakan di Bukit Cerakah, Shah Alam dan ibu bapanya iaitu Mohd Suip dan Halizawati Salleh akan turut memeriahkan majlis.
"Majlis itu diadakan secara santai sahaja sambil kami menikmati keindahan alam semula jadi di Bukit Cerakah," katanya.
Hafiz Perjelas Gambar Mesra Bersama Adira
Penyanyi Hafiz menjelaskan gambar mesra dia bersama bekas kekasihnya, Adira yang dimuat naik menerusi Instagram milik penyanyi wanita itu hanyalah foto biasa sahaja.
Hafiz atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip, 23, berkata, foto tersebut diambil ketika bertemu di sebuah majlis perkahwinan rakan mereka pada minggu lalu.
"Itu gambar biasa sahaja. Kami tiada apa-apa hubungan pun, hanya sekadar rakan sekerja. Harap mana-mana pihak tidak salah anggap berdasarkan foto yang dimuat naik itu," katanya kepada mStar Online.
Hafiz berkata demikian ketika diminta mengulas sekeping gambar mesranya dengan Adira yang dimuat naik melalui Instagram milik Adira. Foto tersebut turut memaparkan dua lagi rakan di samping mereka.
Dalam pada itu Hafiz meminta mana-mana pihak tidak mengaitkannya lagi dengan Adira kerana bimbang khabar angin tersebut melukakan hati kekasih penyanyi wanita itu.
"Memanglah dahulu saya dan dia (Adira) bercinta. Tapi itu tiga tahun lepas dan sekarang ini kami hanya kawan.
"Rasanya tak manis jika kami dikaitkan lagi. Nanti apa pula kata pasangannya yang mungkin terluka dengan gosip sebegini," ujarnya.
Sementara itu, Hafiz berkata dia akan berduet dengan penyanyi Indonesia Datuk Rossa menerusi lagu terbaharu berjudul Salahkah, ciptaan Charly Van Houten (Setia Band).
Penyanyi yang popular dengan lagu Bahagiamu Deritaku itu telah pun bertolak ke Jakarta pada Isnin (semalam) untuk mengadakan sesi rakaman sekali gus penggambaran klip video di sana.
"Jika sebelum ini saya berduet dengan Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu Muara Hati kini saya dapat berduet pula dengan Rossa. Kerjasama ini adalah satu penghargaan yang besar buat diri saya.
"Saya harap lagu ini akan membuatkan para pendengar berpuas hati. Tambah pula komposer yang mencipta lagu ini bukan calang-calang orang," tuturnya.
Kontraktor Rumah Tipu Hafiz Suip
Penyanyi Hafiz Suip kesal selepas tiga kali ditipu oleh kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan pengubahsuaian rumah ibu bapanya di Kuching, Sarawak.
Hafiz, 23, berkata, disebabkan perkara itu juga, dia terpaksa menanggung kerugian yang agak besar.
"Akhirnya rumah ibu bapa saya di Kuching siap diubah suai setelah tiga kali saya ditipu oleh kontraktor.
"Mereka tidak menghabiskan kerja dan lari setelah menerima bayaran. Ia berlaku mungkin juga kerana tiada pengawasan daripada kami sebab semua sudah berpindah ke Semenanjung," katanya.
Tambah Hafiz, proses membesar dan pengubahsuaian rumah tersebut merupakan antara sumbangannya kepada keluarga daripada hasil nyanyian.
"Rumah itu sangat bermakna kepada saya, saya dilahirkan dan dibesarkan di rumah itu dan itu niat saya ketika awal menceburi industri ini.
"Sebab itu saya tetap mahu mengubahsuaikannya walaupun kami sekeluarga mempunyai sebuah lagi rumah berdekatan kawasan rumah yang diubahsuai itu," katanya.
Tambah Hafiz, dia akan menjadikan rumah tersebut sebagai tempat berkumpul dan perjumpaan keluarga serta peminat terutamanya pada Hari Raya Aidilfitri
"Buat masa ini, adik saya yang masih menuntut di UiTM Kota Samarahan tinggal dan menjaga rumah itu.
"Tapi kalau ada kelapangan dan cuti kami sekeluarga akan balik ke sana. Saya juga lebih senang untuk membuat rumah terbuka pada setiap kali Hari Raya Aidilfitri di situ kerana ramai peminat yang sudah tahu lokasi rumah itu,” katanya.
Takut Malu, Hafiz Suip Enggan Kongsi Kisah Peribadi
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
