Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Hanis Zalikha. Show all posts
Showing posts with label Hanis Zalikha. Show all posts

Hanis Zalikha Belum Hamil, Bakal 'Lahirkan' Cakenis

Pelakon Hanis Zalikha yang dikatakan hamil selepas dia memuat naik status ingin memperlahankan aktiviti seni sebenarnya sedang menantikan "kelahiran" produk tudung jenama Cakenis yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Hanis berkata, dia dan suaminya pelakon Hairul Azreen juga sedang sibuk mengembangkan perniagaan sedia ada selain beberapa produk baharu di bawah jenama mereka. "Saya belum hamil dan kalau sudah mengandung saya akan beritahu, sekarang cuma sibuk meneruskan perniagaan sedia ada dan yang terbaharu bakal melancarkan perniagaan tudung Cekenis," ujarnya kepada mStar Online, menerusi kiriman mesej di sini pada Isnin. Hanis diminta mengulas mengenai beberapa komen pengikut laman sosial Instagramnya yang mengucapkan tahniah kerana menyangkanan dia sedang hamil selepas memuat naik status perkembangan seninya.
Pasangan yang baharu sahaja pulang berbulan madu di pulau Bora Bora, Perancis pada bulan lalu itu disangka bakal mendapat cahaya mata. "Tentang gambar berkepsyen perkembangan terkini, saya dan suami lebih ke arah mengembangkan perniagaan kami buat masa sekarang dengan beberapa jenama yang akan dikeluarkan. "Saya lebih selektif dalam aktiviti seni sebab lebih fokus komitmen rumah tangga dan perniagaan," ujarnya. Pasangan berkenaan bernikah pada pada 5 Jun lalu di kediaman Hanis di Bukit Jelutong, dekat sini.

Hanis Zalikha Yakin Hairul Azreen Jaga Batas Sebagai Suami

Pelakon Hanis Zalikha yakin suaminya Hairul Azreen sentiasa menjaga batasan sebagai seorang suami ketika menjalani penggambaran sesebuah drama. Hanis berkata, sepanjang mengenali suaminya itu, Hairul tidak pernah melakonkan adegan yang keterlaluan sehingga boleh menimbulkan rasa kurang senang dan cemburunya. "Sebagai seorang perempuan sudah tentu saya ada sifat cemburu itu, tetapi saya yakin pada dia kerana sebelum ini dia tidak pernah ada adegan bersentuhan yang keterlaluan. "Saya percaya dia tahu menjaga batasannya sebagai suami. Dia bukan baru dalam industri, perkara seperti itu dia sendiri faham tentang," katanya. Dalam pada itu, bercerita tentang alam perkahwinan, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 5 Jun lalu itu berkata, dia kini masih menunggu rezeki dikurniakan cahaya mata. Selain itu, Hanis berkata, mereka juga merancang untuk berbulan madu selepas Aidilfitri nanti di sebuah lokasi di luar negara. Sementara itu, ditanya tentang sambutan Hari Raya Aidilfiti kali ini, Hanis berkata, kemeriahannya pasti berganda berikutan keluarga semakin besar. Katanya, paling ketara ialah persiapan raya dibuat untuk dua pihak keluarga. "Raya tahun ini sudah tentu lebih kemeriahan berganda, kami buat persiapan untuk dua keluarga sekali gus. "Saya beruntung kerana dia juga orang Lembah Klang dan tiada masalah untuk balik raya. Mengikut perancangan, pada malam raya kami akan berada di rumah saya di Shah Alam, manakala pagi raya di rumah Hairul di Serdang," ujarnya.

"Hairul Tiada Niat Riyak Tunjuk Kemewahan" - Hanis Zalikha

Pelakon Hanis Zalikha memberitahu tindakan suaminya pelakon Hairul Azreen, 27, memuat naik gambar-gambar barangan peribadi yang dimiliki bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kemewahan. Hanis, 25, berkata, tujuan sebenar suaminya berbuat demikian adalah untuk memberi inspirasi kepada anak-anak muda lain supaya berusaha keras bagi mencapai apa yang mereka impikan. "Hairul jenis yang sangat suka beri inspirasi kepada orang lain, apa yang dia dapat itu adalah satu pencapaian. Dia anggap dirinya wakil kepada golongan mat rempit kerana dia juga seperti mereka dulu. Sebab itu kejayaannya adalah dorongan kepada orang lain juga. "Contohnya, dia sudah dapat wanita yang dia idamkan, jadi dia mahu orang lain juga boleh dapat jika mereka berusaha, dia mahu orang jadikan dia sebagai ikon," katanya kepada mStar Online.
Hanis ditemui pada majlis berbuka puasa Safi Ramadan Al-Mubarak, di Hotel Royale Bintang, di sini, malam Khamis. Hanis diminta mengulas tentang tindakan suaminya Hairul Azreen yang dikatakan sengaja memuat naik gambar-gambar barangan mewah untuk menunjukkan kemewahan. Perkara tersebut telah menimbulkan rasa tidak senang dan mengundang komen negatif pengikut-pengikutnya di Instagram. Tambah Hanis, mereka pernah berbincang tentang perkara tersebut dan membenarkan gambar-gambar berkenaan dimuat naik selepas mendapat penjelasan daripada Hairul sendiri. "Saya pernah bertanya dan meminta dia tidak menunjukkan gambar-gambar yang boleh menimbulkan persoalan orang ramai, namun dia ada alasan sendiri. "Orang lain mungkin ada pandangan dan penilaian mereka sendiri. Dia juga ada pandangan dan niat yang baik sebab itu saya sebagai isteri, benarkan," ujarnya. Dalam pada itu, Hanis berkata, dia tidak tertekan dengan pandangan serong segelintir masyarakat terhadap tindakan suaminya itu yang dikatakan sebagai riyak. Katanya, sebagai isteri dan orang yang rapat dengan Hairul, dia yakin bahawa orang ramai memerlukan masa untuk menerima mesej sebenar yang ingin disampaikan Hairul. "Saya tidak tertekan dengan komen orang di Instagram kerana saya faham apa yang cuba disampaikan itu, cuma orang ramai mungkin perlu masa untuk terima. "Pada saya apa yang dia lakukan itu bukan menunjuk pun, semua orang yang ada akaun Instagram pun buat perkara yang sama iaitu ambil gambar apa sahaja yang mereka mahu dan kongsi bersama pengikut lain," katanya. Pasangan Hairul Azreen dan Hanis Zalikha selamat diijab kabul pada 5 Jun 2015 di kediaman wanita itu di Bukit Jelutong dekat sini.

Hanis Zalikha Tidak Teruja Balik Kampung

Pelakon dan pengacara Hanis Zalikha mengakui kemeriahan beraya di kampung sudah tidak lagi dirasai selepas pemergian datuk dan neneknya kedua-dua belah orang tuanya. Bagaimanapun, Hanis berkata, dia akan menangis setiap kali pagi Syawal bila teringatkan suasana di kampung halamannya. "Sudah hampir tiga tahun saya tidak balik beraya di kampung Johor dan Kedah kerana datuk dan nenek sebelah kedua-dua orang tua saya sudah meninggal dunia. "Saya dan keluarga hanya beraya di Shah Alam sahaja. Memang agak sedih juga sehinggakan saya menangis apabila terkenang suasana beraya di kampung dahulu," ujarnya. Menceritakan pengalaman setiap kali lebaran, Hanis berkata, dia rindu saat untuk balik kampung bagi menyambut Hari Raya. Katanya, perkara paling dinanti-nantikan ialah perjalanan balik beraya daripada Johor ke Kedah yang mengambil masa hampir sembilan jam. "Saya tidak boleh lupa dulu setiap kali raya saya dan keluarga akan ada aktiviti perjalanan yang panjang iaitu lepas balik kampung di Johor, kami akan terus balik kampung di Kedah. "Adik beradik saya ada enam orang, bayangkan selama sembilan jam perjalanan itu membuatkan kaki kami jadi kejang," ujarnya. Sementara itu, menyentuh tentang persiapan raya, Hanis berkata, semua telah disiapkan oleh ibunya. Katanya, dia hanya dipertanggungjawabkan dalam hal menghias rumah sahaja. "Ibu sudah beli kain berela-ela warna biru, saya tidak tahu fesyen apa kami berayapada tahun ini kerana semua sudah diuruskan oleh ibu. "Daripada segi persiapan makanan juga biasanya ibu akan masak ayam masak merah dan kuah lodeh sebagai makanan wajib," katanya.

Hanis Zalikha Mengaku Rapat Dengan Hairul Azreen

Pelakon dan pengacara Hanis Zalikha tidak menafikan aktor Hairul Azreen adalah lelaki paling rapat dengannya ketika ini. Hanis, 23, berkata, dia selesa berkawan dengan Hairul kerana pemuda itu adalah kenalan lamanya selain sifat dia yang cukup mengambil berat terhadap orang lain. "Saya rapat dengannya kerana kami sudah berkenalan sebelum bergelar artis lagi dan Hairul boleh dikatakan senior dalam bidang lakonan. "Jadi dia sering menjadi tempat rujukan apabila saya ingin bertanya sesuatu mengenai lakonan dan kami berkongsi banyak minat sama yang membuatkan kami selesa berkawan," jelasnya kepada mStar Online. Bagaimanapun kata Hanis, keakraban itu tidak bererti dia dan Hairul mempunyai hubungan cinta sebaliknya dia menganggap Hairul seperti abangnya. "Saya tidak mempunyai abang dan dia banyak mengajar perkara-perkara baharu kepada saya dan hubungan baik kami tidak lebih daripada sekadar teman biasa," jelasnya. Hanis berkata, buat masa ini dia belum terfikir untuk mencari teman lelaki kerana baginya kerjaya adalah keutamaan dan perlu diberi perhatian.
"Soal cinta saya tolak ke tepi dahulu kerana ia adakah perkara terakhir akan saya fikirkan buat masa ini tambahan pula saya masih muda dan ingin mengejar cita-cita terlebih dahulu," jelasnya. Sementara itu, Hanis berkata, dia terkilan apabila terpaksa meninggalkan program Mad Market yang telah menaikkan namanya dalam bidang pengacaraan kerana tidak dapat mengikuti jadual penggambaran rancangan itu. Kata Hanis, dia berat hati untuk meninggalkan program yang disiarkan di TV9 itu namun terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu menimbulkan masalah lain kepada produksi dan dirinya sendiri. "Sudah tentu saya sedih kerana terpaksa meninggalkan program berkenaan tetapi kerana jadual dan masa yang terhad saya terpaksa meninggalkan Mad Market. "Namun saya lega apabila penggantinya nanti merupakan sahabat baik saya dan dia sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk menyertai program itu," katanya. Malah kata Hanis, pihak pengurusannya juga iaitu Astro Talent terpaksa menolak semua tawaran untuknya sehingga penghujung November ini kerana jadualnya yang terlalu padat. Dalam perkembangan lain, Hanis berkata, selain sibuk mengacarakan Diari Akademi Fantasia 2013 dia kini turut terlibat dalam rakaman program travelog iaitu Pertama Kali With Air Asia X dan Raikan Cinta.

Hanis Zalikha Akui Janggal Kongsi Kisah Peribadi

Pelakon Hanis Zalikha berasa janggal dan tidak selesa apabila kisah peribadinya dipaparkan menerusi media. Hanis, 23, yang mula dikenali menerusi filem Gangster Celop berkata, pada mulanya dia cuba menyembunyikan kisah peribadi tetapi akhirnya terpaksa akur kedudukannya sebagai seorang selebriti tidak memungkinkan dia boleh berbuat demikian. "Diakui, memang saya rasa pelik apabila kisah cinta dipaparkan di media, tetapi saya harus akur dunia seni bukan sahaja memaparkan hal-hal kerjaya selebriti tetapi juga kisah dalaman mereka. "Keadaan ini membuatkan saya lebih berjaga-jaga agar hal-hal saya tidak terlalu didedahkan kepada umum, takut lain pula jadinya. "Lagipun saya menyertai dunia seni kerana mahu melihat sejauh mana bakat saya mampu pergi. Tak naklah disebabkan hal remeh, karier pula terganggu," katanya. Tambah Hanis, bagaimanapun, dia tetap bersyukur walaupun tidak sampai setahun berada di bidang hiburan, namanya sudah pun dikenali dan ia memberi peluang kepadanya untuk terus maju dalam kerjaya berkenaan. Selain itu, Hanis turut mengakui dia mula menjaga imejnya ketika keluar rumah agar tidak dipandang negatif oleh masyarakat. Sementara itu, Hanis bakal menjadi pengacara acara karpet merah Anugerah Blokbuster pada 15 Jun depan yang akan berlangsung di Stadium Tertutup MBJB (Majlis Bandaraya Johor Bahru), Johor pukul 9.00 malam. "Alhamdulillah, ini merupakan salah satu tawaran mengacara yang memberi cabaran buat saya di mana saya akan mengendalikan acara karpet merah bersama dengan Tasha Shila, Hafizul dan Hefny secara langsung. "Mujurlah kami diberi kelas intensif sebagai persediaan sebelum acara tersebut. "Diharap saya dapat melunaskan tanggungjawab itu dengan baik, Insya-Allah," ujarnya.

Tetapkan pendirian Hanis

OH! Patutlah selama ini Hanis Zalikha beria-ia menafikan dia bercinta pelakon Hairul. Rupa-rupanya hatinya dimiliki oleh orang lain. Miss J diberitahu yang pelakon ini sedang bahagia dengan kekasihnya yang juga seorang juruterbang. Orangnya kacak dan sepadan sangat dengan Hanis yang cantik itu. Miss J tumpang gembira dengan kebahagiaan yang dikecapi Hanis. Cuma Miss J tertanya-tanya juga apa sudah jadi dengan pendirian Hanis yang dia tak akan berkongsi cerita peribadi kepada khalayak. Bukannya apa, Miss J tengok banyak gambar-gambar mesra Hanis dengan abang juruterbang ini dikongsi kepada khalayak? Walaupun gambar-gambar itu bukan daripada akaun Instagram Hanis tapi takkan Hanis tak sedar impak daripada pendedahan gambar tersebut. Kalaupun Hanis betul-betul tak nak kongsi cerita peribadi pada umum, simpanlah cerita cinta Hanis itu betul-betul. Pesan juga pada abang juruterbang, jangan muat naik di Instagram. Jangan bagi rahsia bocor! Sebenarnya Miss J tak ada masalah dalam bab-bab cinta artis ini. Malah Miss J memang suka tengok artis-artis kita bahagia. Tapi yang masalahnya bila artis berdegar-degar cakap tak mahu itu ini tapi akhirnya yang jadi terbalik. Lagi pun orang sekarang dah semakin terbuka bila seseorang artis itu buat pengakuan cinta. Iyalah, artis pun manusia juga kan. Ada hati dan perasaan.

Hanis Zalikha perlukan ruang

SEBELUM ini pemilik nama Hanis Zalikha Zainal Rashid hanya dikenali sebagai seorang penulis blog yang pernah disenaraikan sebagai antara yang tercantik. Namun, kini mungkin tuah menyebelahi anak jati Kuala Lumpur ini, apabila langkahnya memasuki dunia seni tempatan telah meletakkan dia ke satu tahap yang tidak pernah dijangkanya. Sebagai seorang pendatang baharu dan masih hijau dalam industri seni, Hanis Zalikha atau lebih mesra disapa sebagai Hanis, memberitahu dia memerlukan 'tulang belakang' yang kuat untuk menguruskan kariernya. Pada waktu banyak orang masih belum mengenal dirinya, Hanis yang pernah tampil sebagai pelakon utama dalam filem arahan Ahmad Idham yang berjudul Gangster Celop, kini telah diikat sebagai artis residen stesen televisyen tersebut. Semuanya gara-gara kesibukannya yang sukar menguruskan karier seninya sendiri. Ujar gadis berusia 23 tahun ini, selepas mengambil kira dari semua sudut dan membuat pertimbangan sewajarnya, dia telah mengambil keputusan untuk menerima tawaran Astro untuk menjadi artis bawah naungan stesen televisyen gergasi tersebut. Bukan wajah eksklusif Astro Walaupun kini Hanis telah berada di bawah naungan Astro Talent Management, namun Hanis bukan merupakan wajah eksklusif Astro. Ini kerana, pihak Astro hanya menguruskan karier seni Hanis dan menyusun jadual dalam bidang hiburan yang diceburinya ini. "Saya masih akan meneruskan tawaran dan karier saya dengan pihak produksi lain dan sebagai contoh saya masih akan mengendalikan program Mad Markets di TV 9. "Menjadi artis bawah naungan Astro ada kelebihannya bagi pendapat saya. Ini kerana saya bukan wajah eksklusif, jadi saya masih boleh terima mana-mana tawaran dari pihak luar dan bukan pihak Astro sahaja. "Semasa Astro menawarkan untuk menguruskan saya, saya terima kerana saya fikir Astro ialah sebuah jenama yang cukup kuat untuk mengendalikan karier saya," tutur Hanis pada sidang akhbar memperkenalkan wajah baharu Astro di Restoran Delicious, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini. Tambahnya, berada di bawah naungan Astro bakal membawa dirinya lebih jauh untuk membina nama dalam industri hiburan tempatan. Selain itu, dia berasa Astro merupakan sebuah platform untuk dirinya maju selangkah ke hadapan. "Jika bergerak sendiri, mungkin penilaian saya kurang profesional berbanding berada di bawah pihak pengurusan. Saya mahu profesionalisme Astro untuk membawa saya ke arah yang lebih berjaya," bicara Hanis ringkas. Masih aktif menulis Walaupun kini dia telah membina karier dalam bidang hiburan tanah air, namun Hanis tidak pernah melupakan asal usul dirinya yang sebelum ini merupakan seorang penulis blog. Tuturnya, menulis blog ialah salah satu minat yang wujud dalam dirinya dan tidak mungkin berhenti walaupun mungkin kini agak sibuk menguruskan karier dalam bidang yang berlainan. "Tentang laman blog saya, ia masih lagi di bawah Nuff Nag dan saya masih akan menulis blog seperti biasa. Ini kerana, setelah memasuki bidang baharu iaitu lakonan dan pengacaraan, saya rasa seperti banyak yang ingin diceritakan dan dikongsi. "Sebenarnya, jika mahu diikutkan terlalu banyak benda yang saya ingin berkongsi tapi mungkin tidak dinafikan mungkin mempunyai sedikit kekangan masa. Bagaimanapun, saya masih akan mengemaskini blog saya kerana itu merupakan titik-tolak saya berada dalam industri kini," akuinya tentang permulaan rezeki dalam bidang lakonan. Kelas lakonan Mungkin pada mulanya, Hanis meminati bidang pengacaraan, namun setelah terlibat dalam bidang lakonan, Hanis akui minatnya terhadap lakonan semakin mendalam. "Mula-mula saya mungkin rasa tidak yakin, namun lama-kelamaan, saya rasa suka pula dengan lakonan. Tapi saya mengaku lakonan saya masih lemah dan perlu diperbaiki. ' "Oleh sebab itu, saya ada merancang untuk menghadiri kelas lakonan bagi memperbaiki mutu lakonan saya. Saya perlukan ruang untuk memperbaiki lagi diri kerana memang saya masih terlalu hijau dalam industri," jelasnya tentang perancangan pada masa akan datang. Walaupun ada di antara segelintir peminat seni hiburan tanah air mengatakan Hanis diterima dalam industri berdasarkan kecantikan yang menjadi kelebihan dirinya, ia disangkal oleh gadis tinggi lampai ini. Jelasnya, dia langsung tidak merasakan dirinya cantik dan akan membuktikan kepada masyarakat bahawa dia sebenarnya ingin terus kekal dalam industri kerana bakat yang wujud dalam diri.

Tak kesal jadi selebriti - Hanis Zalikha

PENULIS blog terkenal, iniblogsaya.blogspot.com, Hanis Zalikha Zainal Abidin kini sedang meniti populariti setelah terjun ke dalam bidang lakonan. Sebelum terlibat dalam dunia perfileman, Hanis, 23, sebenarnya telah berlakon dalam drama Memberku Hawa dan telefilem Mariam Kampung Putat. Namun, bakat lakonannya bakal diuji menerusi kemunculannya dalam filem Gangster Celop menerusi karakter seorang anak gengster yang baru sahaja pulang dari London. Zalikha mengakui dirinya berdebar-debar menantikan respons peminat terhadap lakonannya dalam filem arahan Ahmad Idham, lakonan utama Syamsul Yusuf dan Kamal Adli itu yang dijadualkan mula ditayangkan pada 21 Februari ini. "Saya sudah tidak senang duduk sekarang. Kalau (lakonan) tidak menjadi nanti mesti kena kutuk. Namun kalau kena kutuk sekali tidak mengapa. Mana-mana yang kurang nanti, saya akan cuba atasi dengan latihan pada masa depan," jelasnya ketika ditemui pada majlis final Cabaran Switch For Xtra di Kuala Lumpur baru-baru ini. Tambahnya, pengarah filem tersebut, Ahmad Idham telah banyak memberi tunjuk ajar kepadanya dalam menghayati watak lakonannya itu dan selebihnya dia menyerahkan kepada penonton untuk menilai bakat dirinya. Dalam meniti populariti dengan pakej yang ada pada dirinya itu, Hanis turut tidak terlepas daripada dicemuh atau dikritik. Dia sebelum ini dikejutkan dengan tindakan bekas teman lelakinya (yang enggan didedahkan namanya) telah bertindak mencanang cerita kepada umum mengenai karakter sebenar dirinya yang didakwa suka propa (menipu) dan berlagak. Dia yang baru sahaja ingin mencipta nama telah dijengah kontroversi kurang enak, graduan Diploma Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu tidak cepat melatah. Dia sebaliknya menganggap kontroversi itu sebagai asam garam dunia glamor yang perlu dihadapinya sekarang ini. "Saya tidak menyesal masuk ke dalam dunia seni. Sekarang, baru saya tahu apa yang perlu dihadapi oleh selebriti lain. Tidak semua gosip yang dibaca sebelum ini benar belaka," ujarnya. Tambah wanita berbintang Libra ini, selepas ini dia akan lebih berhati-hati dengan setiap kelakuan, percakapan dan apa sahaja yang dilakukan kerana ia akan menjadi bahan perbincangan umum pada kemudian hari. "Sudah kena gosip begitu ketika mula-mula hendak masuk ke dalam bidang lakonan membuatkan saya rasa sudah tiba masanya saya kena membiasakan diri dengan semua perkara, tidak boleh jadi macam dahulu lagi," ujarnya.
Blog Sibuk dengan pelbagai undangan majlis sosial sebagai seorang selebriti dan tawaran lakonan, Hanis mengakui dirinya sudah tidak kerap menulis blog lagi. "Kalau dahulu, setiap hari ada sahaja perkara baharu yang saya hendak tulis. Sekarang, disebabkan sibuk kadang-kadang dua minggu sekali baru saya mengemas kini perkembangan terbaharu dalam blog," ujarnya. Dia menjelaskan, walaupun banyak perkara yang dilakukan setiap hari selepas bergelar selebriti boleh dijadikan bahan bacaan dalam blognya, namun kekangan masa membuatkan dia kadangkala terlewat menulis. Mengakui penulisannya turut mendapat kritikan peminatnya bukan kerana lambat mengemas kini blog, sebaliknya adalah kerana gaya penulisan yang tidak 'gila-gila' seperti dahulu lagi. "Pembaca blog saya terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Pembaca remaja ada yang merungut mengatakan tulisan saya tidak lagi macam dahulu. Namun, mereka kena terima hakikat bahawa saya sudah meningkat usia, tulisan juga kena matang," katanya yang malu dengan gaya penulisannya pada awal penulisan dalam blognya dahulu. Solo Walaupun mempunyai rupa paras yang menawan, Hanis mendedahkan dirinya masih solo dan tidak terfikir untuk mencari teman hidup dalam masa terdekat ini. "Saya mahu beri tumpuan kepada karier yang sedang saya bina ini dalam industri lakonan. Buat masa sekarang, saya tidak mahu ada komitmen dengan sesiapa," katanya jujur. Mahu bergerak bebas tanpa terikat dengan mana-mana lelaki, dia menganggap jika mempunyai teman lelaki akan membuatkan dirinya terikat dengan kerjaya baharunya yang memerlukan banyak masa untuk diri sendiri. "Kalau ada teman lelaki, ia akan melukakan hati orang. Kalau solo macam ini senang, mood saya juga tidak terganggu. Ia tidak jejaskan kerjaya saya nanti," tambahnya. Namun bagi Hanis, itu bukan bermakna dia menolak jodoh sebaliknya dia mahu segala perkara berkaitan komitmen dirinya itu berlaku secara semulajadi.

Siapa yang cemburukan Hanis tu?

BARU-baru ini Joyah sempat lepak bersama kawan-kawan. Tiba-tiba muncul satu topik membabitkan penulis blog tanah air yang jadi model, pelakon, pengacara, Hanis Zalikha. Dengarnya, ada orang tak suka hati dengan kejayaan yang diraih Hanis sekarang ni. Maklumlah, dalam tempoh sekelip mata saja Hanis dah popular. Bukan setakat dapat masuk surat khabar, dapat juga masuk TV. “Joyah yang kepoh, ni aku nak beritahu kau yang sekarang ini ada orang dah pangkah Hanis. Ini pangkah yang tak baik. Budak ni dah lama aim Hanis. Dengarnya dia pernah ada hubungan cinta dengan Hanis. Sama ada bekas kekasih atau tidak, aku tak pasti. Aku dengar dia ada pakwe tapi dah putus. Kau koreklah sikit cerita dia Joyah. Aku nak tahu sangat yang Hanis tu jenis propa atau macam mana," tanya teman Joyah penuh teruja baru-baru ini. Joyah tak berapa kenal Hanis. Jadi Joyah tak boleh komen. Lagi pun Joyah tak nak terjebak dengan cerita yang bukan-bukan tentang hal artis ni. Sekarang ni pun dah hujung tahun. Joyah dah pasang tanam azam nak jadi tukang cerita yang berhemah pada tahun depan. Masalah ada orang cemburu, suka atau tidak pada artis itu memang perkara biasa. Alah, namanya pun manusia biasa. Orang yang bercakap itu pun paling kuat pun tulis di Facebook atau Twitter. Tak terjejas pun diri kalau terkena pada sesiapa yang dia dengki itu. Sabar jelah. Lagi satu, artis kalau tak tahan kena kutuk atau sembur dengan orang baik tak payah jadi artis. Nak-nak yang artis baru itu. Tak payahlah nak berlagak sangat. Kalau berjalan pandang dan tegurlah orang yang ada di kiri kanan tu. Mana tahu ada peminat yang nak ambil gambar. Nanti tersentap pula dan cakap artis baru tertentu itu sombong. Kalau dah terkena nanti, jangan cari kawan-kawan Joyah nak mengadu okey.

Sombong, tamak si Hanis Zalikha

CUMA satu perkataan pantas muncul dalam fikiran. Cantik! Namun, cantik sahaja masih belum cukup untuk menghuraikan cerita di sebalik gahnya nama Hanis Zalikha Zainal Rashid ini. Siapa dia? Apa istimewanya dia? Hentikanlah bertanya soalan-soalan begini kerana faktanya, wanita berusia 22 tahun ini sebenarnya sudah punya status tersendiri di mata dan perhatian mereka yang mengaku peminat setia Hanis Zalikha sejak tiga tahun lalu. Dikenali sebagai antara penulis blog popular tanah air, wanita yang mesra disapa dengan panggilan Hanis ini ada fenomenanya sendiri selepas aktif menulis blog dalam tempoh itu. Kini, dia tak cuma memegang satu gelaran. Tuah Hanis sudah mula bercambah dari hari ke hari apabila dia kini mula dikenali sebagai seorang model, pelakon dan pengacara program televisyen. Umpama sudah punya segala-galanya, Hanis dianggap memiliki kehidupan yang sempurna. Jadi mengapa perlu tamak merangkul semua gelaran dalam satu masa? Itu andaian sesetengah pihak apabila melihat Hanis bagai terlalu mengejar populariti sehingga semua benda mahu dilakukannya serentak. Sebagai pendatang baru, mungkin ada yang faham bahawa inilah masa yang sesuai untuk Hanis melakukan perkara yang disukai apalagi ketika kudrat mudanya masih ada. Namun, tak semua orang boleh melihat satu perkara itu dengan pendapat dan pandangan yang sama. Manusia berciri negatif pasti gemar mencari salah orang lain dan Hanis juga tidak terkecuali. Menolak andaian dirinya tamak, Hanis memandang apa yang dilakukannya sekarang adalah rezeki yang datang tanpa diduga. “Saya bukan tamak, cuma saya buat apa sahaja yang termampu dilakukan sementara masih boleh. Lagipun inikan rezeki, “ katanya. Mengaku pada awalnya tidak berminat dengan dunia lakonan, anak kedua daripada enam beradik ini tidak menyangka di tempat yang tidak disukainya inilah dia berdiri sekarang. Mula berlakon dalam drama Memberku Hawa sebaris dengan pelakon Faezah Elai dan Nad Zainal, bakat Hanis kemudian dikembangkan menerusi filem Gangster Celop arahan Ahmad Idham. Berkongsi perasaan ketika pertama kali menerima tawaran berlakon, kata Hanis, dia seboleh-bolehnya enggan terlibat dengan dunia lakonan kerana ada satu persepsi kurang senang baginya. “Sebenarnya, saya takut nak masuk dalam dunia lakonan walaupun saya seperti dapat meramalkan bahawa satu hari nanti lambat laun ia akan terjadi juga pada saya. “Bukan apa, sejak aktif dalam bidang peragaan lagi dah ada yang tawarkan pada saya. Tapi saya selalu tolak sebab tak minat. “Sampaikan ibu marah dan geram dengan saya sebab seringkali menghampakan permintaan mana-mana pengarah dan pihak produksi. “Masa tu, apa yang saya fikir, dunia lakonan ni bukan untuk saya sebab saya memang tak berbakat. Jadi lebih baik beri peluang pada yang nak jadi pelakon. “Namun, selepas melihat kesungguhan Ahmad Idham, saya terbuka hati untuk cuba berlakon dan sekarang, saya berada di sini, “ katanya. Pun begitu, cerita Hanis, Khalid Nazri yang merupakan adik kepada Ahmad Idham adalah pengarah yang berjaya membuka minatnya dalam dunia lakonan. “Sejak berlakon dalam telemovie Mariam Kampung Putat, saya dah mula minat berlakon. Seronok bekerja dengan Khalid. Dia santai dan sempoi orangnya. “Tak tertekan dan dari situ saya sedar yang saya sudah mula meminati dunia lakonan berbanding dulu," katanya. Tak apa, kritiklah Menyedari bahawa masyarakat sering meletak jangkaan tinggi terhadap pendatang baru sepertinya, akui Hanis, dia tidak mampu memuaskan hati semua orang. Maka kerana itu, kata wanita berbintang Libra ini, dia tahu bahawa dia tidak dapat lari daripada kritikan. Bagaimanapun, umpama sudah bersedia, kata Hanis, dia tidak kisah jika ada yang mahu mengata dan mengkritiknya kerana menganggap perkara itu bukan pertama kali perlu dihadapinya. “Biasalah, ada yang memuji, ada yang mengkritik. Saya tak kisah pun sebab saya tahu kritikan mereka ada baik dan buruknya. “Sebenarnya, saya dah biasa kena kritik dan paling dekat dengan saya adalah menerusi dunia penulisan blog! “Saya menulis dan orang mengkritik, saya dah biasa dengan semua itu. Ada keburukan bila popular datang dulu daripada lakonan. “Saya dah popular menerusi dunia blog dan orang ramai kenal saya dengan itu. Jadi bila tiba-tiba saya berlakon dan mungkin lakonan saya tak capai jangkaan mereka, maka kritikanlah yang saya kena hadapi. “Kadang-kadang kritikan mereka agak kasar juga, tapi saya cuba untuk tidak fikirkannya dengan mendalam sangat, memang sikap saya begitu. Ambil kritikan yang perlu sahaja. “Saya tak kisah sebab sebelum orang kritik, saya sendiri kritik lakonan saya. Tak pernah rasa puas hati. Rasanya, semua pelakon pun macam tu, “ ujarnya. Terasing? Sengaja melayangkan pertanyaan sama ada setakat ini dia menerima layanan yang baik atau tidak daripada kalangan penggiat seni dalam industri. Bukan apa, kadangkala sebagai pendatang baru, tak ramai yang mahu menoleh atau melayan sangat. Biasalah, persepsi `budak baru’ atau junior seakan sukar dikikis daripada mereka yang terlebih dahulu berada dalam industri. Barangkali ada yang bimbang atau `goyang’ dengan kehadiran muka-muka baru yang semakin lama semakin ramai mewarnai dunia hiburan kita. Dalam riak wajah tenang, kata Hanis, dia bersyukur kerana setakat ini menerima layanan yang baik daripada teman-teman dalam industri. Menganggap mereka tak lokek membantu dirinya yang masih hijau dalam dunia lakonan, Hanis tidak berasa sulit untuk menyesuaikan diri dan berada di kalangan mereka. “Tak pula terasa terasing sebab mereka layan saya dengan baik. Setakat ini, saya masih berhubung dengan mereka yang pernah berlakon bersama. Alhamdulillah saya diterima baik oleh semua," katanya. Mengaku dirinya adalah seorang yang naif dan mudah percaya pada orang, Hanis sukar mengelak untuk meletak jurang dalam soal itu. Disebabkan itu, kata Hanis, dia telah dinasihatkan oleh teman-teman artis yang rapat mengenai beberapa perkara yang perlu diketahui dan diambil berat olehnya sebagai pendatang baru. Sememangnya bukan mudah, namun Hanis cuba mengikut pesanan mereka yang lebih arif demi memastikan dirinya tak hanyut dan terjebak dalam kontroversi yang mungkin boleh berlaku. “Macam-macam yang mereka pesan. Biasalah, orang lama lebih tahu bukan. Tapi kata mereka, apa-apa pun, yang penting, saya perlu jaga disiplin dan jangan merungut sangat. “Susah juga, sebab saya ni jenis orang yang penuh tanda-tanya. dan banyak dengan persoalan. Tapi bila dah dipesan begitu, saya akan cuba ikut," katanya.

'Gangster Celup' Buat Hanis Zalikha Lebih Teruja

KUALA LUMPUR: Pelakon baru, Hanis Zalikha menganggap penyertaannya ke dalam industri seni membuatkannya teruja lebih-lebih lagi dipilih menggalas watak utama dalam filem Gangster Celup. Hanis, 22, berkata, selain melihat sejauh mana dia mampu mengetengahkan bakat lakonan, dia juga dapat menambah kenalan daripada kalangan penggiat filem. "Ini merupakan kali pertama saya menggalas watak penting dalam filem dan saya begitu teruja menyertai bidang ini. "Bagi saya, dunia perfileman ternyata satu bidang yang saya berlainan berbanding dengan kerja-kerja profesional lain. Antaranya, saya dapat menambah kenalan daripada orang industri pula," katanya. Tambah Hanis, pada mulanya, dia enggan terlalu serius di bidang lakonan dan menolak pelbagai jenis tawaran, namun tawaran yang diberikan oleh pengarah Ahmad Idham dalam Gangster Celop membuatkan dia mula terbuka hati untuk berlakon. Bagaimanapun, Hanis tidak mahu peminat-peminat menerusi blognya iaitu inibelogsaya.blogspot.com menganggap kehadiran dia ke dalam industri hiburan tempatan akan menjadi satu bidang kerja yang serius pada masa akan datang. "Saya seorang wanita yang suka mencuba pelbagai perkara termasuklah bekerja dalam industri hiburan tempatan. "Kalau boleh, saya mahu orang mengenali saya sebagai Hanis Zalikha, yang mampu melakukan apa-apa sahaja termasuklah menulis di blog, berlakon, mengacara dan berbagai lagi perkara lain yang akan diterokai nanti," ujarnya. Selain Hanis, filem Gangster Celop yang menelan belanja sebanyak RM1.7 juta itu turut dibarisi pelakon Syamsul Yusof, Kamal Adli, Azad Jazmin dan Reen Rahim. Dalam pada itu, Hanis juga bakal muncul di televisyen, mengendalikan sebuah program terbaru, Mad Market yang akan ditayangkan pada September depan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails