Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Hazama. Show all posts
Showing posts with label Hazama. Show all posts
Ibu Hazama Puji Bakal Menantu Berbudi Bahasa
Ibu kepada Hazama Azmi iaitu Hasmah Zahari, merestui hubungan cinta antara anaknya dengan pemuzik Genervie Kam selepas penyanyi itu mendedahkan bakal bernikah selepas Hari Raya Aidilfitri depan.
Hasmah, 59, berkata, pihaknya merestui hubungan pasangan berkenaan dan menerima baik kehadiran Genervie untuk menjadi sebahagain daripada ahli keluarga mereka.
"Makcik restu hubungan Hazama dengan Genervie. Alhamdulillah, dia (Genervie) seorang yang berbudi bahasa dan ramah orangnya.
"Makcik tidak halang untuk Hazama dan Gevervie kahwin," katanya
Terdahulu Hazama, 32, dilaporkan telah membuka mulut untuk menikahi Genervie Kam, 36, selepas Syawal nanti dalam satu majlis tertutup yang bakal dihadiri oleh ahli keluarga terdekat sahaja.
Langkah mengadakan majlis secara tertutup itu kerana tidak mahu memberi tekanan kepada Genervie yang dijangka memeluk Islam pada Ramadan nanti.
Bagaimanapun Hazama yang hampir tiga tahun bercinta dengan wanita berkenaan belum menetapkan tarikh untuk mereka diijabkabulkan.
Dalam pada itu ditanya mengenai keistimewaan Genervie pada pandangan mata seorang ibu, Hasmah berkata, dia tertarik dengan sikap wanita berkenaan yang ‘lebih Melayu’ berbanding orang Melayu sendiri.
Kata Hasmah, Genervie pandai memasak dan antara makanan kegemarannya ialah ikan patin dan juga masakan tempoyak.
"Dia macam orang Melayu. Kadang-kadang lebih Melayu berbanding orang Melayu sendiri. Bayangkanlah… tempoyak pun dia suka makan dan juga ikan patin.
"Ada sesetengah orang Melayu pun tak suka tempoyak," katanya memuji bakal menantunya itu.
Jelas Hasmah, dia sudah beberapa kali bertemu dengan Genervie dan tidak kekok untuk mereka berbual bersama-sama.
Ujar Hasmah, sebagai seorang ibu dia mengharapakan hubungan anaknya dan Genervie akan berakhir sebagai suami-isteri dan sentaisa mendoakan kebaikan mereka berdua.
"Makcik serahkan segala-galanya kepada Hazama untuk buat pilihan mengenai calon isteri dia. Sebagai orang tua, makcik doakan yang terbaik buat mereka," katanya.
"Saya Bukan Manusia Jenis Itu" - Hazama
Penyanyi Hazama berasa pelik apabila dikatakan mula bersikap sombong dan tidak mengetahui bagaimana ada pihak yang melabelnya seperti itu.
Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 31, berkata, dia tidak pernah merasakan dirinya terlalu hebat sehingga sanggup bersikap demikian terhadap orang lain.
"Saya cukup terkejut apabila didakwa sedemikian dan pada masa sama berasa pelik kerana saya tidak pernah bersikap seperti mana didakwa.
"Malah rasanya saya dikenali sebagai peramah dan mudah mesra dengan orang lain.
"Jika benar saya seorang yang sombong pasti temu bual ini pun saya tidak akan layan," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Hazama berkata, dia tidak mahu memikirkan soal berkenaan kerana tidak mampu menilai dirinya sendiri.
Baginya, rakan-rakan terdekat mengetahui sifat sebenarnya dan menganggap pihak yang menyebarkan kononnya dia semakin sombong mempunyai masalah peribadi dengannya.
"Dari dulu sampai sekarang sama sahaja namun terpulang kepada orang lain yang ingin menilai kerana saya tidak mempunyai kuasa tentang perkara itu.
"Barangkali pihak yang mendakwa itu mempunyai masalah peribadi dengan saya atau dia memang tidak sukakan saya," katanya.
Malah kata Hazama, sepanjang melibatkan diri dalam industri seni suara dia belum pernah mendapat rungutan tentang sikapnya.
Dalam perkembangan lain, Hazama berkata, dia bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Sampai Mati yang juga akan menjadi lagu tema sebuah drama bersiri di TV3.
Hazama Enggan Paksa Kekasih Peluk Islam Kerana Cinta
Penyanyi Hazama Ahmad Azmi menjelaskan tidak pernah memaksa kekasihnya Genervie Kam, 33, untuk mendalami dan memeluk agama Islam semata-mata untuk berkahwin denannya.
Hazama, 29, berkata, dia mahu wanita itu yang ketika ini beragama Kristian mendekati Islam dengan hati terbuka dan keinginan tersebut datang bukan kerana terpaksa.
"Saya tidak mahu memaksa dia untuk mendalami Islam dan memaksa dia untuk memeluk agama Islam semata-mata kerana saya.
"Kalau boleh biar dia sendiri yang memilih untuk mempelajarinya untuk diri dia sendiri. Namun apa yang saya lihat dia banyak bertanya tentang Islam dan budaya kita," katanya kepada mStar Online, ketika ditemui di Hotel Istana di sini, Khamis.
Hazama mengakui sedang mengenali hati budi seorang wanita yang juga pemuzik dan pemain biola terkenal.
Kata Hazama, dia selesa berkawan dengan wanita itu apatah lagi mereka selesa untuk berbincang mengenai muzik dan kerjaya masing-masing.
"Kami banyak berbincang tentang kerja dan dia seorang yang matang selain banyak mengajar saya tentang muzik. Bukan hanya bercinta sahaja," katanya.
Dalam pada itu, Hazama berkata, kedua-dua belah keluarga sudah mengetahui hubungan mereka dan tidak menghalang.
"Keluarga saya sudah kenal dia dan saya juga sudah bertemu keluarga dia, bagi pihak keluarga saya tiada apa-apa masalah," katanya.
Bagaimanapun dia masih belum bersedia untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
"Saya belum bersedia lagi untuk berkahwin, kalau boleh buat masa ini saya ingin fokus kepada kerjaya terlebih dahulu," katanya.
Hazama Akui Rapat Dengan Pemuzik Wanita
Penyanyi Hazama mengakui sedang mengenali hati budi seorang pemuzik wanita yang dikenali sebagai Genervie Kam sejak empat bulan lalu.
Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 29, berkata, persahabatan yang terjalin diantara mereka itu sedang menuju ke arah percintaan dan enggan menyorokkan perkara itu daripada pengetahuan peminat walaupun tidak selesa berbuat demikian.
"Benar saya sedang berkawan rapat dan mengenali hati budi Genervie sejak empat bulan lalu dan sedang ke arah percintaan namun masih diperingkat awal.
"Ia masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana hubungan ini masih lagi baru walaupun kami sudah lama mengenali antara satu sama lain," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.
Hazama mengulas mengenai laporan sebuah akhbar mingguan pada Ahad yang mengatakan dia dan Genervie sentiasa menghabiskan masa bersama dan keluar bersama.
Tambah Hazama, dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengembar-gemburkan cerita peribadinya untuk tatapan umum namun menyedari dirinya milik masyarakat dia perlu berterus terang.
Jelasnya, dia tidak mahu menipu tentang statusnya yang pada kemudian hari akan merosakkan karier seninya.
"Saya seorang yang berterus terang dan tidak suka menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan peminat jika ia benar kerana saya sedar kedudukan sebagai seorang selebriti.
"Tetapi pada masa sama saya tidak mahu ia terlalu mendapat perhatian sehingga kerjaya saya tenggelam dengan kisah-kisah peribadi," tuturnya.
Sementara itu, Hazama berkata, dia selesa berkawan dengan Genervie kerana sifat wanita itu yang matang dan berkongsi minat sama terutama muzik.
Jelas Hazama, wanita itu juga tidak lokek ilmu tentang pengetahuannya dalam bidang muzik menyebabkan mereka menjadi rapat sejak empat bulan lalu.
"Muzik merapatkan kami kerana dia sering berkongsi ilmu tentang bidang tersebut selain sikapnya yang matang membuatkan saya selesa," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Hazama berkata, dia baru sahaja melancarkan album terbaharunya berjudul Penglipur Lara dan sedang sibuk mengadakan aktiviti promosi album berkenaan di seluruh negara.
Selain itu katanya, dia juga baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah filem arahan Ahmad Idham berjudul Hantu Nan Sempit.
Jadi suami? Belumlah! - Hazama
Menurut Hazama, ada sebab kenapa dalam usia yang sudah hampir memasuki 30 dekad dia masih tidak mempunyai isteri. Hazama juga menegaskan buat waktu ini dia tidak mahu terlalu berfikir tentang persoalan jodoh dan perkahwinan kerana baginya, dia belum sesuai untuk bergelar suami dalam waktu terdekat.
"Saya memang belum sedia untuk pikul tanggungjawab itu. Sungguhpun usia saya kini sudah mencecah 29 tahun, belum lagi layak untuk menjadi seorang suami dalam waktu terdekat ini.
"Bagaimanapun ini bukan bermakna saya tidak pernah memikirkan soal berkahwin. Tetapi buat waktu ini saya mahu fokus untuk mengukuhkan karier seni terdahulu, soal nikah kahwin ini perlu ditangguhkan dahulu," katanya.
Meskipun belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga, Hazama tidak menafikan yang dirinya kini sudah mempunyai kekasih hati. Secara jujur dia mengaku, seorang wanita kini telah bertakhta di hatinya dan mereka kini dalam fasa percintaan yang indah.
Bercakap tentang Hazama, sebenarnya, juara Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9) ini adalah antara penyanyi yang mudah didekati dan tidak kurang kelakar orangnya.
Namun dalam sifat yang terpuji itu,agak mengecewakan apabila dia juga dikaitkan sebagai seorang yang suka melebih-lebih ataupun dalam bahasa pasar yang digemari anak muda, seorang yang menjengkelkan.
Hazama mengakui sebelum ini pernah mendengar cerita-cerita kurang manis seperti itu berhubung dirinya, tetapi tidak merasakan perbuatannya selama ini membolehkan dia tergolong dalam individu yang dibaca dalam bahasa slanga sebagai 'poyo'.
"Banyak kali juga saya dengar orang mengatakan Hazama seorang yang 'poyo', tetapi secara jujur saya hanya menjadi diri saya dan bukannya mahu menjadi orang lain.
"Tidak dinafikan mungkin ada segelintir masyarakat luar yang kurang menyenangi cara saya, tetapi secara individu itu adalah cara saya berkomunikasi dengan mereka, khususnya peminat-peminat.
"Lagipun saya sertai bidang ini dengan tujuan untuk berhibur dan menghiburkan orang lain. Saya percaya, perlakuan saya selama ini lebih banyak mendatangkan hiburan yang elok berbanding yang negatif," katanya pada majlis pelancaran album sulungnya berjudul Penglipur Lara, baru-baru ini.
Jelas Hazama lagi, mungkin sesetengah masyarakat mempunyai tanggapan yang salah terhadap dirinya berhubung perkara tersebut sebenarnya dia seorang individu yang mudah didekati.
"Mungkin mereka beranggapan sedemikian kerana tidak pernah bersemuka dengan saya dan hanya mengetahui perihal saya daripada media-media massa sahaja.
"Tetapi sekiranya mereka pernah bertemu dengan saya, mereka akan mengerti siapakah diri saya dan inilah cara saya berkomunikasi dengan peminat," katanya yang turut mengadakan sebuah konsert mini sewaktu melancarkan album barunya itu.
Album Penglipur Lara sudahpun berada di pasaran sejak seminggu lalu dan memuatkan sekitar sembilan buah lagu bergenre pop-rock Melayu antaranya lagu-lagu seperti, Ulek Sayang, Dengarlah, Majnun, Akhir Ceritera dan Penglipur Lara.
Mahu jadi penghibur serba boleh
Bagi Hazama, selain menyanyi sudah tentu dia mahu menampilkan persembahan pentas secara langsung dengan begitu baik demi memuaskan hati peminat.
Ternyata, perkara tersebut sedang diusahakan oleh anak muda kelahiran Ipoh, Perak ini agar dia dapat memberikan yang terbaik bukan sahaja buat peminatnya, tetapi juga buat dirinya sendiri.
"Selama tujuh tahun saya berusaha untuk menapak dalam industri ini, dan kini setelah mendapat peluang tersebut, saya mahu memberikan yang terbaik.
"Terbaik yang saya maksudkan di sini bukan hanya sekadar bernyanyi, tetapi juga sewaktu berkomunikasi.
"Ini kerana saya bercita-cita mahu menjadi seorang penyanyi yang versatil, yang akan meninggalkan kenangan manis kepada peminat yang hadir menyaksikan persembahan saya," katanya lagi.
Hazama pilih laluan sukar
PERJALANAN seninya bermula apabila dia menyertai program realiti nyanyian Akademi Fantasia musim empat. Bagaimanapun pada waktu itu kelibatnya hanya kekal sebagai peserta sebelum gugur di awal pertandingan.
Lima tahun berlalu dia sekali lagi memberanikan diri berada di pentas yang sama dan akhirnya kekecewaan yang pernah menyelubungi diri diganti dengan kejayaan paling manis buat kariernya sebagai penyanyi.
Menjadikan pengalaman lalu sebagai asas paling kukuh untuk dia terus berusaha mencapai apa yang pernah diimpikan selama ini, Hazama mempunyai percaturan tersendiri.
Namun apa yang dia pelajari, menyandang gelaran juara untuk sebuah program realiti popular bukan tiket mudah untuk merangkul populariti dalam sekelip mata.
Sedar pendakiannya agak berliku dan berbeza dari rakan-rakannya yang lain, Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi mengakui sikapnya memainkan peranan besar dalam perjalanan kariernya.
Mempunyai personaliti yang agak keras menurut Hazama, sombong bukan perkataan yang sesuai untuk dirinya. Menyedari langkahnya masih lagi jauh, dia tahu sikap negatif seperti itu hanya akan memakan diri sahaja.
"Sombong? Saya juga hairan bagaimana sikap ini dikaitkan dengan saya.
"Benar saya seorang artis kini namun hakikatnya saya hanya manusia biasa yang masih kekal mempunyai sikap malu. Mungkin sebab saya tidak begitu ramah menyebabkan saya dilabel begitu," katanya yang hadir untuk sesi fotografi di Studio Utusan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berkeras mahu menjadi dirinya sendiri menurut Hazama, proses pembelajarannya baru sahaja bermula. Setelah hidup sebagai seorang remaja biasa, populariti yang baru diraih dalam sekelip mata ini sedikit sebanyak mengubah persepsinya tentang masyarakat.
"Sebelum ini masyarakat memandang saya bukan siapa-siapa, mungkin sudah terbiasa dengan keadaan itu saya juga memberi reaksi yang sama seperti sebelum saya bergelar artis.
"Bagaimanapun saya akan tetap cuba belajar kerana saya tahu itu merupakan satu tuntutan dalam kerjaya saya untuk menerima budaya baru.
"Tetapi tidaklah sehingga menghilangkan identiti saya sebelum ini. Saya akan cuba diadaptasi kehidupan saya mengikut kesesuaian dan saya harap peminat di luar sana dapat bersabar," katanya lembut.
Tidak mahu terlalu runsing dengan kenyataan yang mengatakan sikap sombong itu yang menyebabkan namanya lambat dikenali, bagi Hazama dia mempunyai alasan yang lebih baik untuk diberikan.
Bukan sebab sikap sombongnya tetapi dia lebih suka untuk mendapat kejayaan itu secara perlahan-lahan.
"Saya tahu ada di antara mereka di luar sana mempertikaikan kenapa nama saya agak lambat berada di atas seperti juara-juara sebelum ini. Itu bukan sesuatu yang perlu saya takut sebenarnya kerana saya percaya ini laluan karier yang paling sesuai untuk saya.
"Saya pernah jatuh sebelum mencuba di pentas AF semula, dalam jangka waktu itu saya banyak belajar untuk bersabar, sudah berada di tahap ini kini, saya yakin saya akan terus berusaha sehingga mencapai apa yang saya ingin kelak," kata bekas juara AF musim terakhir ini.
Masa depan
Berbicara tentang masa depan, antara persoalan yang tidak mahu Hits terlepas peluang bertanya adalah kisah cintanya dengan seorang gadis. Setelah enam tahun menjalin hubungan Hazama mengakui cintanya kini semakin mendalam.
"Memang saya pernah letak dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang saya mahu berkahwin.
"Tetapi sebagai manusia kita hanya berada di kelompok perancang, penentunya hanya Allah. Beri saya masa untuk buktikan karier ini benar-benar menjamin masa depan keluarga saya nanti. Saya pasti wanita yang saya cintai itu memahami apa yang sedang saya lalui," katanya.
Mengusik sisi 'jiwang' di dalam hatinya, Hazama akui ada episod gelora yang pernah menerpa hubungan cintanya. Bagaimanapun memuji sikap kekasihnya yang hanya dikenali sebagai Noor itu, Hazama lega kerana wanita itu setia menjadi 'pemberat' dalam kehidupannya agar sentiasa stabil.
"Bercakap tentang wanita yang saya sudah kenali selama enam tahun ini, antara kelebihannya adalah dia mampu mengelakkan saya daripada berada dalam situasi yang tidak mampu saya kawal. Dia ibarat titik tengah di antara kehidupan lalu dan kini saya.
"Setiap kali berlaku apa-apa dia mampu memberi kestabilan dalam hidup saya. Itu antara sebab mengapa saya masih kekal sebagai diri saya kini, mungkin tanpa dia, saya sudah terkena kejutan budaya," katanya ketawa.
Sibuk membetulkan kembali strateginya untuk dikenali sebagai penyanyi, pada masa yang sama Hazama yakin untuk mencuba sesuatu yang baru sebagai permulaan yang asing buatnya.
Berlakon bukan kepakarannya namun sikap ingin mencuba memberi ruang buat dirinya dikenali sebagai seorang pelakon kini.
Sudah pun muncul dengan filem pertamanya pada Oktober lalu untuk filem Apa Celop Toqq dan kini dia sedang menanti reaksi peminat untuk filem terbarunya berjudul Lari.
"Saya tahu ramai yang tidak yakin dengan keputusan saya untuk berlakon namun bila saya mengambil keputusan untuk berlakon, saya tahu saya hanya mahu mencuba dan tiada apa yang salah dengan itu.
"Bagaimanapun setelah diberi peluang oleh pengarah Ahmad Idham saya yakin nyanyian masih menjadi fokus utama saya kini," katanya yang turut berlakon dalam telemovie Ady Velentino yang ditayangkan baru-baru ini.
Pentas AJL
Bakal beraksi di pentas akhir Anugerah Juara Lagu 27 pada 6 Januari depan, Hazama mengakui agak gementar.
Di sebalik kegembiraan, Hazama bagaimanapun tidak dapat lari daripada kata-kata pedih sesetengah pihak yang mengatakan kelayakannya ke pentas berprestij itu hanyalah disebabkan lagu berjudul Simetri dibawa bersama penyanyi tersohor Amy Search.
"Saya tidak kisah dengan kata orang dan saya juga tidak kisah sebenarnya untuk dikatakan menumpang nama Amy Search.
"Bukan apa, ini merupakan peluang yang ditunggu ramai orang termasuk saya berada di atas satu pentas bersama Amy Search sudah cukup membanggakan saya," katanya.
Bukan sahaja mencari kemenangan, bagi Hazama kehadirannya ke pentas AJL nanti bakal mencatatkan sejarah tersendiri buatnya.
"Kelebihan dapat ke pentas akhir ini saya anggap sebagai bonus buat kerjaya saya.
"Selain persembahan vokal yang mantap, kami juga bakal memberikan satu pengalaman berbeza buat peminat pada pentas akhir nanti dengan menyediakan pakaian serta aksesori yang mampu mengimbau kembali saat-saat kegemilangan Abang Amy," katanya.
Selain sibuk dengan persiapan akhir AJL itu, Hazama juga kini tidak sabar lagi untuk berkongsi album terbarunya yang akan dilancarkan tahun ini. Di dalam album tersebut peminat Hazama bakal dihidangkan dengan sembilan buah lagu bersama empat bonus track.
"Saya akui saya mengambil masa yang agak lama untuk muncul dengan album. Perlu saya katakan di sini saya juga pernah menjadi seorang peminat dan melalui itu saya tahu apa yang di mahukan peminat.
"Buat masa ini hanya tinggal 20 peratus lagi dan keistimewaan album ini adalah penggunaan gabungan alatan muzik tradisional Melayu seperti seruling dan gambus menjadikan irama lagu pop saya itu lebih unik," katanya.
Hazama Belum Bersedia Untuk Berkahwin
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Hazama menjelaskan dirinya masih belum bersedia untuk menamatkan zaman bujangnya dalam masa terdekat.
Hazama, 28, berkata, tumpuannya kini adalah kepada kerjaya seninya yang sedang meningkat naik selain perlu memikirkan soal lain sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
"Bukan senang nak kahwin tambahan pula saya belum bersedia dari segi kewangan dan masih banyak yang saya perlu perbaiki tentang diri saya," jelasnya kepada mStar Online.
Tambah Hazama, perkahwinan adalah satu institusi yang cukup mulia di sisi agama dan dia seboleh-bolehnya mahu mempersiapkan diri sebelum melangkah ke alam rumah tangga.
Dalam pada itu, Hazama berkata, jika diizinkan dia bertemu jodoh, dia berhasrat untuk terus melangsungkan perkahwinan tanpa perlu bertunang kerana mahu mengelak rintangan yang terdapat dalam tempoh itu.
"Rasanya tak payah bertunanglah terus bernikah terus kerana itu yang wajib," katanya.
Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan terbarunya, Hazama berkata, dia kini sedang sibuk dengan proses rakaman album terbarunya yang kini dalam proses akhir.
Hazama berkata, ia bakal menggabungkan muzik rock dan alatan muzik tradisional Melayu seperti untuk memberikan kelainan pada album itu nanti.
"Saya yakin ia akan dapat diterima ramai kerana kelaianan yang ditampilkan dan sekarang saya sedang dalam proses terakhir rakaman album itu, " katanya.
Enggan jaja kisah peribadi - Hazama
KALAU melihat kepada perkembangan kerjaya Hazama Ahmad Azmi, ternyata bukan mudah buatnya untuk menempatkan diri sebagai salah seorang penyanyi popular seperti yang dikecapinya sekarang.
Misalnya, kegagalan sewaktu menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia 4 (AF4) dahulu, langsung tidak pernah melunturkan semangat Hazama. Sebagai bukti dia telah diangkat sebagai juara AF9 pada tahun lalu.
Ketika hadir menjalani sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, penyanyi itu meluahkan rasa puas hatinya dengan pencapaian yang diperoleh, meskipun cerita mengenai dirinya kurang didedahkan.
“Semenjak kebelakangan ini ada yang berkata, saya seolah-olah seperti menyepi dalam industri kerana jarang keluar di media. Namun, itu bukan bermakna saya mendiamkan diri sahaja kerana sibuk dengan kerja belakang tabir serta mengumpul bahan untuk album baharu.
“Lagipun saya kurang gemar jika kisah peribadi terlalu digembar-gemburkan semata-mata mahu popular. Saya lebih suka sekiranya orang memperkatakan tentang produk yang saya hasilkan,” ujar penyanyi berusia 28 tahun itu.
Tidak menafikan populariti juga sangat penting kepada seseorang artis, Hazama menyatakan, dengan kerjayanya sekarang sebagai seorang penyanyi sudah banyak membantu dirinya dikenali ramai.
Tambah Hazama, dia seboleh-bolehnya mahu menjadi artis yang dikenali ramai kerana bakat dan kebolehan, bukannya dengan menjaja kisah peribadi kerana ia boleh memberikan impak yang buruk kepada kerjayanya.
“Contohnya semasa cerita mengenai saya yang dikatakan berlagak sombong semasa makan di sebuah hotel beberapa bulan lalu.
“Apabila cerita tersebut tersebar ia membuatkan diri saya berasa sedikit tertekan dan kecewa sehingga takut untuk berhadapan dengan peminat,” jelasnya.
Ketika diminta menceritakan perkara sebenar tentang peristiwa yang berlaku, Hazama menegaskan, dia langsung tidak berniat mahu bersikap sombong terhadap para pekerja di hotel berkenaan.
Jelas penyanyi itu, perbuatannya yang tidak menghabiskan makanan yang telah dihidangkan bukanlah disebabkan mahu berlagak. Sebaliknya, secara kebetulan makanan berkenaan tidak menepati seleranya.
“Saya pernah bekerja di hotel tersebut dan mempunyai ramai rakan di sana. Namun, secara kebetulan saya dilayan oleh pekerja baharu dan rakan-rakan saya pula tidak bekerja pada masa itu,” ujarnya.
Tidak mahu dilabel sebagai penyanyi sombong dalam kalangan peminatnya memandangkan kariernya kini yang semakin berkembang, Hazama menyatakan dia mahu memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya dan akan melayan para peminatnya dengan sebaik mungkin.
Ada kekasih
Mengenai status dirinya sekarang, penyanyi yang popular menerusi lagu Cinta Teragung itu mendedahkan bahawa dia memang mempunyai kekasih yang sudah dikenalinya sejak sebelum menyertai AF lagi.
“Kami sudah bercinta selama enam tahun dan memang ada perancangan untuk berkahwin. Ia bagaimanapun bukan dalam masa terdekat ini kerana banyak perkara lagi yang perlu saya lakukan sebelum bergelar suami.
“Kekasih begitu memahami keadaan saya sekarang yang sedang berusaha keras dalam kerjaya. Jadi, dia tidak pernah memaksa saya dan kami tetap selesa dengan keadaan sekarang,” jelasnya.
Bagaimanapun, dia tidak mahu ramai pihak salah sangka apabila mengaku sudah mempunyai kekasih, sedangkan dia bertekad untuk tidak mahu mendedahkan kisah peribadinya kepada umum.
“Rasanya tidak salah kalau beritahu yang saya sudah lama ada kekasih sebagai seorang artis yang menjadi public figure, sudah tentu pergerakan saya akan selalu diperhatikan.
“Jadi, kalau ada orang lihat saya keluar bersama kekasih sudah tentu mereka tidak akan bercerita yang bukan-bukan.
“Lagipun saya tidak mahu dedahkan identiti kekasih saya kepada umum semata-mata mahu menarik perhatian,” tegasnya.
Pengalaman berlakon
Selain sibuk dengan kerjayanya sebagai penyanyi, kini Hazama melangkah setapak lagi dalam karier seninya apabila muncul sebagai seorang pelakon yang akan tampil menerusi filem sulungnya berjudul Apa Celop Toqq.
Ujarnya, ketika ditawarkan berlakon oleh Ahmad Idham dia sendiri mengaku agak terkejut, apatah lagi membawakan watak yang besar serta menjadi pelakon utama dalam filem tersebut.
“Saya akui pada mulanya seperti tidak percaya kerana langsung tiada pengalaman dalam dunia lakonan. Apabila difikirkan sudah tentu saya yang akan rugi kalau menolaknya kerana peluang sebegini tidak datang selalu.
“Apa pun saya puji dengan tindakannya yang berani mengambil risiko dengan menawarkan saya berlakon. Maka, saya perlu membalas segala kepercayaan yang telah diberikan dengan menampilkan lakonan yang terbaik,” jelasnya berasa gugup ketika hari pertama berlakon.
Menurut Hazama, sepanjang menjalani penggambaran filem berkenaan selama sebulan, beberapa tawaran nyanyian yang diterima terpaksa ditolak semata-mata mahu memberi sepenuh komitmen.
Ujarnya, dia tidak mahu bersikap tamak dengan melakukan terlalu banyak kerja dalam satu masa kerana ia boleh mengganggu tumpuan sehingga menjejaskan kerja-kerja yang dilakukannya.
“Memandangkan kali pertama saya berlakon filem sudah tentu saya perlu memberikan komitmen seratus peratus kerana inilah masanya untuk membuktikan apa yang saya lakukan tidak sia-sia.
“Kalau saya tidak mendatangkan sebarang masalah sepanjang penggambaran, tidak mustahil akan ada lagi tawaran yang datang. Buktinya, saya sekarang diberi peluang berlakon filem kedua saya berjudul Lari,” ujarnya.
Hazama Malu Tonton Lakonan Sendiri
PETALING JAYA: Penyanyi Hazama Azmi mengakui malu menonton lakonan pertamanya dalam filem Apa Celop Toqq semasa tayangan perdana filem arahan Ahmad Idham itu malam Selasa lalu.
Hazama bagaimanapun berkata, dia tidak menyangka akan bergelar pelakon kerana tidak pernah mendapat tawaran daripada mana-mana pengarah sebelum ini.
"Saya berasa malu sebenarnya melihat lakonan saya sendiri kerana gementar dengan reaksi orang lain yang melihat saya di skrin besar itu," katanya kepada mStar Online.
Hazama yang memegang watak utama dalam filem berkenaan turut digandingkan dengan Intan Ladyana, Taiyuddin Bakar dan Azad Jazmin.
Apa Celop Toqq mengisahkan mengenai seorang anak muda lakonan Hazama yang sering terlibat dengan mat rempit namun memasang impian untuk menjadi penyanyi.
Ia akan di tayangkan di 68 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei bermula Khamis (hari ini).
Dalam pada itu, Hazama berkata, walaupun mengalami sedikit kesukaran ketika berada di set penggambaran dia bersyukur kerana dikelilingi oleh ramai pelakon-pelakon yang banyak membantu dirinya dalam memberikan hasil terbaik untuk filem itu.
Kata Hazama, Idham selaku pengarah juga banyak memberikan input kepadanya supaya lebih fokus terhadap penggambaran.
"Saya tidak pernah menyangka akan ada pengarah yang berani mengambil saya untuk berlakon kerana saya langsung tidak ada pengalaman.
"Bagaimanapun ini adalah satu pengalaman dan proses pembelajaran buat saya untuk menjadi artis yang lebih baik," katanya.
Tambah Hazama, dia tidak berfikir lama untuk bersetuju terlibat dalam filem berkenaan kerana yakin ia akan memberi pengalaman baru buat dirinya.
Sementara itu, Hazama memberitahu dia mahu lebih serius dalam dunia lakonan selepas ini namun nyanyian masih menjadi keutamaan.
Dalam perkembangan lain, Hazama bakal muncul dengan filem keduanya berjudul Lari arahan Idham selain sedang merakamkan album pertamanya yang akan dilancarkan pada akhir tahun ini.
Hazama Tidak Mahu Jadi Pelakon Sepenuh Masa
PETALING JAYA: Penyanyi Hazama Azmi (AF9) tidak berhasrat untuk bergelar pelakon sepenuh masa kerana pembabitannya dalam bidang itu sejak kebelakangan ini hanya untuk berehat daripada cabang nyanyian.
Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 28, berkata, kekerapannya berlakon hanya untuk mengisi masa dan ruang sementara menunggu proses rakaman album sulungnya, selain berpeluang menimba pengalaman baru.
“Nyanyian sentiasa menjadi keutamaan kerana kepuasannya berbeza. Mungkin orang nampak saya semakin aktif berlakon tetapi pada hakikatnya saya baru berlakon dalam dua filem iaitu Apa Celop Toqq dan terbaharu Lari di mana kedua-duanya adalah arahan Ahmad Idham.
“Percubaan dalam lakonan boleh diibaratkan tempoh bercuti daripada nyanyian. Ia hanya untuk menimba pengalaman baru dan mengisi masa. Terus-terang, saya tidak terfikir untuk jadi pelakon sepenuh masa selepas ini,” katanya.
Hazama berkata, peluang yang diberikan Ahmad Idham menerusi filem Apa Celop Toqq (sebelum ini dikenali Cinta Atas Tar) pada tahun lalu tidak disia-siakan bagi memperoleh pendedahan baru.
“Idham mahu beri peluang, apa salahnya saya mencuba. Ia membantu saya sebenarnya untuk lebih menjiwai sesebuah lirik dan lagu itu.
“Lakonan membuka pintu buat saya agar lebih dikenali oleh khalayak lebih besar selepas ini. Bukan apa, manalah tahu jika orang tak nak tengok saya menyanyi lagi, saya sudah ada profil lakonan juga,” katanya.
Kata penyanyi lagu Majnun ini, pengalaman berlakon di depan kamera dan pergaulan di lokasi penggambaran turut membantunya mengatasi masalah pemalu yang dialaminya.
“Berlakon membantu saya mengatasi masalah pemalu dan perasaan segan dalam diri selama ini. Sekarang, sifat itu beransur hilang dan ia berjaya melancarkan lagi proses berkomunikasi.
Terbaru, Hazama kini berada di lokasi penggambaran filem Lari yang turut menggandingkannya dengan Aaron Aziz, Dira Abu Zahar dan Erin Malek.
Filem aksi yang menelan kos produksi sebanyak RM2.5 juta ini menjalani penggambaran di Perlis, Kuala Lumpur dan Ipoh, Perak selama 35 hari. Ia dijangka ditayangkan pada 2013.
Hazama Cuba Nasib Jadi Pelakon
PETALING JAYA: Penyanyi Hazama memberanikan diri pertaruhkan bakat sebagai pelakon menerusi filem Cinta Atas Tar, arahan pengarah Ahmad Idham.
Hazama, 28, berkata selepas enam tahun bergelar penyanyi sudah tiba masa untuk dia memberanikan diri bergelar pelakon setelah merasakan dirinya juga perlu mencuba sesuatu yang baru.
"Dah alang-alang saya berada dalam bidang seni, apa salahnya kalau saya kembangkan bakat dalam lakonan mahupun tarian. Lagipun ia merupakan satu proses pembelajaran sebagai seorang anak seni.
"Dan pada masa sama, saya boleh melihat sejauh manakah kemampuan bakat yang boleh ditonjolkan. Bagaimanapun, tak sangka Idham berani mengambil saya sebagai pelakonnya dalam 'Cinta Atas Tar'," katanya.
Tambah juara Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) ini, dia sebenarnya agak gementar untuk berlakon dalam filem yang telah pun selesai penggambarannya pada Mac lalu dan risau jika lakonan yang dibawakan gagal memikat hati penonton.
"Jujur saya katakan, walaupun menerima tawaran Idham dengan hati terbuka, jauh di sudut hati, saya risau dengan persembahan lakonan yang diberikan, adakah ia mencapai tahap keinginan penonton atau tidak," ujarnya.
Bercerita mengenai pengalamannya yang pertama kali berlakon bersama-sama dengan Intan Ladyana, Taiyuddin Bakar, Shenthy Feliziana dan Azad Jazmin, Hazama menganggap lakonan dan nyanyian ternyata sebuah bidang yang agak jauh berbeza.
"Walaupun banyak masa dihabiskan dengan menunggu, banyak juga ilmu yang saya peroleh daripada para pelakon serta kru-kru di belakang tabir.
"Saya mahu menjadi seorang pelakon profesional dan tidak kisah diberikan apa saja watak asalkan ia dapat mengasah bakat lakonannya," tuturnya.
Mengenai perkembangan nyanyian pula, single lagu terbaru Hazama berjudul Majnun , berkonsepkan balada, kini sudah pun dimainkan di radio dan mendapat sambutan yang bagus daripada para pendengar.
Beritahu Hazama, buat masa ini, dia akan mencuba pelbagai genre muzik bagi melihat sejauh mana kemampuannya bagi sesebuah genre muzik itu.
"Sekarang ini, saya masih lagi tercari-cari muzik yang benar selesa dengan jiwa saya.
"Namun, melihatkan respons daripada peminat, mereka sukakan Majnun dan mungkin balada ada muzik 'cari makan' saya," tuturnya.
Memang saya berlagak! - Hazama
TIDAK berkesudahan isu sombong dan berlagak Hazama diperkatakan. Betulkah Hazama begitu?
Sombongkah saya? Berlagakkah saya? Saya pun tak faham macam mana isu tak tegur-menegur ni boleh timbul. Ya, masa cerita ni keluar, saya ada terbaca dan sedia maklum mengenainya. Cuma saya tertanya-tanya, orang yang menyampaikan cerita ni betulkah kenal dengan saya? Betulkah dia kawan saya?
Difahamkan, mereka adalah rakan-rakan awak. Boleh terangkan, apa sebenarnya kaitan awak dengan mereka yang bekerja di hotel itu?
Saya mengaku pernah bekerja di hotel berkenaan sebelum menyertai AF9. Lebih kurang lima tahun saya bekerja sebagai pembantu dapur di hotel itu. Bukan saya saja, ibu saya dan beberapa ahli keluarga saya pun bekerja di hotel itu. Jadi, saya memang kenal dengan kebanyakan pekerja di situ. Tak ada sebab untuk saya sombong dan berlagak dengan mereka sebab saya dengan pekerja-pekerja di sana ibarat kawan rapat. Dah lama kenal.
Kalau betul Hazama mengenali mereka mengapa semua ini terjadi? Apa masalah Hazama sehingga tidak bertegur sapa dengan mereka?
Saya tak rasa yang menyampaikan cerita ni adalah kawan saya. Kalau dia betul kawan, dia sepatutnya lebih mengenali saya. Saya sendiri dah tanya pada kawan-kawan saya di hotel itu dan saya percaya mereka tak bawa cerita-cerita mengarut macam ni. Tak ada sebab untuk saya sombong dengan orang, apatah lagi dengan mereka yang saya kenali. Ya saya memang berlagak. Tapi saya berlagak di atas pentas semasa saya menyanyi saja. Itu pun atas dasar menjiwai lagu dan nak berikan persembahan yang terbaik pada penonton.
Ada yang mendakwa, Hazama jadi begitu kerana semasa kejadian sedang bersama seorang wanita. Itu teman wanita Hazama ke?
Ya, dia memang teman wanita saya. Kami dah berkawan sebelum saya menyertai AF9 lagi. Kalau saya bersama wanita pun, tak ada sebab untuk saya berlagak. Rasa kelakar pula.
Siapa nama dia? Orang seni jugakah?
Maaf. Saya tak boleh dedahkan siapa nama dia. Biarlah itu jadi kisah peribadi saya. Dia bukan orang seni.
Apa komen Hazama bila ada yang mendakwa, Hazama bertindak begitu untuk mengaburi mata orang sekeliling kerana Hazama dan teman wanita menginap di hotel itu?
Kalau saya nak buat jahat, buat apa saya nak cari pasal di hotel yang kebanyakan kakitangannya mengenali saya? Ini bukan isu nak coverline. Saya tak buat begitu. Satu lagi, biarlah saya berterus-terang. Sebenarnya, isu ni dah lama berlaku. Saya hairan, kenapa sekarang baru timbul?
Maksud Hazama ada pihak yang mahu menjatuhkan Hazama dengan isu-isu yang memalukan ini?
Saya tak menolak ada kemungkinannya. Tapi siapalah saya nak menuduh. Mungkin juga sekarang ni saya sibuk dengan program Mania, jadi ada yang tak suka tengok saya senang dan mahu mengganggu emosi saya dengan benda-benda macam ni.
Tertekan dengan isu ini?
Ya. Sedikit sebanyak, isu ini mengganggu fikiran saya. Sebenarnya isu ni tak perlu dibangkitkan namun saya cuba pandang ia dari perspektif positif. Mungkin saya terlalu sibuk sampai terlepas pandang hal-hal seperti ini dan ada pihak mahu menegur saya. Saya terima teguran orang. Sekarang ni ada banyak perkara yang perlu saya fokuskan. Ini mungkin dugaan untuk saya. Terima kasihlah pada yang sudi menegur.
Apakah dengan kejadian ini membuatkan Hazama serik untuk makan di hotel bersama teman wanita?
Tak adalah. Sebenarnya, masyarakat perlu ubah persepsi mereka tentang artis. Kami artis pun macam manusia biasa lain. Mahu jalani kehidupan normal seperti orang lain. Kami pun ada keinginan nak pergi ke sana sini, buat itu ini macam orang lain. Bila perhatian terlalu banyak, itu yang membuatkan artis tertekan. Sebab itulah isu makan di hotel dan tak bertegur sapa pun boleh jadi isu. (melawak)
Oh...jadi Hazama ni popularlah ya? Sana sini jadi perhatian?
Saya tak kata saya popular pun.
Hazama Rancang Kahwin Dalam Masa Tiga Tahun
PUTRAJAYA: Juara Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), Hazama Ahmad Azmi atau Hazama, 27, akan berkahwin dengan kekasihnya dalam masa tiga tahun lagi.
Hazama berkata, perancangan tersebut akan dilakukan selepas dia menamatkan pengajian jarak jauh, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Universiti Utara Malaysia (UUM).
"Ketika diserapkan ke AF9, saya terpaksa menangguhkan pengajian buat seketika dan selepas ini saya akan sambung semula sehingga tamat pengajian dalam jangka masa tiga tahun.
"Selepas itu barulah boleh kahwin. Alhamdulillah, saya sudah selangkah ke depan dalam memajukan karier nyanyian serta kehidupan saya," katanya.
Tambah Hazama, sebahagian wang tunai sebanyak RM200,000 yang dimenanginya itu, akan disimpannya termasuklah untuk menguruskan soal perkahwinan.
"Inilah kali pertama saya menerima sejumlah wang yang besar. Terlalu banyak perkara yang difikirkan. Selain menyimpan, mungkin saya akan menggunakannya berkaitan dengan kerjaya muzik saya," tuturnya.
Sementara itu, sejak Hazama tampil dengan gaya bercelak sepanjang membuat persembahan pada konsert mingguan AF9, dia bercadang untuk mengekalkan imej tersebut.
Ini kerana imej tersebut membantu dirinya menjadi lebih yakin ketika berada di atas pentas.
"Bermula hari ini, saya akan muncul dengan imej bercelak, sama seperti pengetua kami, Amy Search.
"Apa-apa pun, kalau boleh saya mahu menjadi individu yang membawa imej berkenaan mahupun muzik kepada umum," ujarnya yang mempunyai single lagu terbaru, Cinta Teragung.
Hazama Rancang Kahwin Dalam Masa Tiga Tahun

PUTRAJAYA: Juara Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), Hazama Ahmad Azmi atau Hazama, 27, akan berkahwin dengan kekasihnya dalam masa tiga tahun lagi.
Hazama berkata, perancangan tersebut akan dilakukan selepas dia menamatkan pengajian jarak jauh, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Universiti Utara Malaysia (UUM).
"Ketika diserapkan ke AF9, saya terpaksa menangguhkan pengajian buat seketika dan selepas ini saya akan sambung semula sehingga tamat pengajian dalam jangka masa tiga tahun.
"Selepas itu barulah boleh kahwin. Alhamdulillah, saya sudah selangkah ke depan dalam memajukan karier nyanyian serta kehidupan saya," katanya.
Tambah Hazama, sebahagian wang tunai sebanyak RM200,000 yang dimenanginya itu, akan disimpannya termasuklah untuk menguruskan soal perkahwinan.
"Inilah kali pertama saya menerima sejumlah wang yang besar. Terlalu banyak perkara yang difikirkan. Selain menyimpan, mungkin saya akan menggunakannya berkaitan dengan kerjaya muzik saya," tuturnya.
Sementara itu, sejak Hazama tampil dengan gaya bercelak sepanjang membuat persembahan pada konsert mingguan AF9, dia bercadang untuk mengekalkan imej tersebut.
Ini kerana imej tersebut membantu dirinya menjadi lebih yakin ketika berada di atas pentas.
"Bermula hari ini, saya akan muncul dengan imej bercelak, sama seperti pengetua kami, Amy Search.
"Apa-apa pun, kalau boleh saya mahu menjadi individu yang membawa imej berkenaan mahupun muzik kepada umum," ujarnya yang mempunyai single lagu terbaru, Cinta Teragung.
Hazama Juara AF9

PUTRAJAYA: Pelajar Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 26, dinobatkan sebagai juara pada konsert akhir yang berlangsung di Dataran Putrajaya di sini, malam Ahad.
Dengan kemenangan itu, Hazama membawa pulang wang tunai sebanyak RM200,000 beserta sebuah piala sumbangan Astro.
Dia turut menerima sebuah kamera Sony Handycam bernilai 3,299 sumbangan Sony serta hamper dan wang tunai bernilai RM5,000 sumbangan Power Root.
Pelajar kelahiran Perak ini telah diundi masuk pada konsert AF9 minggu ketiga, selepas pelajar Aida dan Amir digugurkan dalam program itu.

Pada konsert akhir itu, Hazama telah membawakan dua buah lagu iaitu Pukau, nyanyian Tomok dan Cinta Teragung.
Selepas diumumkan kemenangannya, bekas peserta prelude AF4 itu berterima kasih kepada para pengundi yang memberi peluang kedua kepadanya untuk terus bersaing di AF8 sekali gus menjadi juara.
Sementara itu, Lena (Lenaber Haidir), 22, yang menjadi naib juara AF8 menerima wang tunai berjumlah RM50,000 beserta sebuah piala sumbangan Astro.

Dia turut membawa pulang sebuah kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499 sumbangan Sony serta hamper dan wang tunai sebanyak RM2,000 sumbangan Power Root.
Lena mendendangkan lagu Dunia, nyanyian Bunkface dan lagu baru, Sisa Kisah Kita, ciptaan Kucidemak.

Sebagai pemenang tempat ketiga, Fina atau nama sebenarnya ialah Nur Shafinaz Jebat, 18, menerima wang sebanyak RM20,000 beserta sebuah piala sumbangan Astro.
Selain itu, Fina menerima sebuah kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499 sumbangan Sony serta hamper dan wang tunai sebanyak RM1,000 sumbangan Power Root.

Fina membawakan lagu barunya, Menangis Lagi, ciptaan Edrie Hashim dan Satu Harapan , nyanyian Jaclyn Victor.
Bagi Mohamad Azri Abdullah (Azri), 23, yang mendapat tempat keempat pula, dia membawa pulang wang tunai sebanyak RM5000 beserta sebuah piala sumbangan Astro serta sebuah kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499 sumbangan Sony.

Azri menyanyikan lagu Ku Tak Bisa, nyanyian Slank dan lagu baru, Niskala, ciptaan Omar K dan Zel.
Hazama juara AF9?

DEMAM dan kerisauan tentang konsert akhir Akademi Fantasia (AF) musim ke-9 semakin membara di jiwa peminat-peminat rancangan realiti tersebut ketika ini.
Keadaan itu juga turut melanda empat peserta yang telah berjaya melangkah keperingkat akhir ini sehingga mereka sendiri cuba untuk menenangkan diri mereka masing-masing.
Latihan serta persediaan yang dilakukan selama ini bakal disaksikan oleh berjuta rakyat Malaysia. Persembahan dan penyampaian lagu terbaik akan meletakkan salah seorang daripada mereka sebagai juara Akademi Fantasia musim terakhir ini.
Jika dilihat melalui pengalaman serta persembahan yang menyakinkan tentu sahaja jejaka dari Kuala Lumpur, yang dikenali sebagai Hazama dijangka akan menjuarai musim terakhir AF.
Melalui persembahan yang disampaikan pada konsert-konsert sebelum ini, Hazama dilihat memberikan persembahan yang memenuhi kriteria kriteria sebagai seorang juara.
Sebelum ini, Hazama pernah dibuang dari menjadi peserta AF musim ke-4, dengan pengalaman yang ditimba dalam tempoh beberapa tahun ini, Hazama telah menampilkan satu persembahan yang matang berbanding pelajar-pelajar lain.
Walaupun begitu, Hazama berkata, dia masih lagi merasakan dirinya berada dalam mimpi kerana telah berjaya melangkah ke peringkat akhir.
“Saya rasa saya masih bermimpi. Dalam konsert akhir ini saya lebih fokus dan tidak lagi hanya ‘suka-suka’ seperti sebelum ini.
“Saya sebenarnya adalah orang yang serius dalam melakukan sesuatu pekerjaan, dalam konsert akhir ini saya mahu lakukan sesuatu kelainan berbanding sebelum ini,’’ ujarnya.
Ditanya mengenai persediaannya selepas keluar dari akademi ini katanya, dia ingin bekerjasama dengan artis-artis senior bagi menaikkan lagi industri muzik tanah air sehingga peringkat antarabangsa.
“Tidak perlulah kita ingin bersaing dengan mereka, apa yang lebih penting adalah kerjasama yang erat, dengan cara ini, industri kita akan turus berjaya dari satu peringkat hingga peringkat yang lain.
“Saya juga ingin buktikan kepada semua bahawa kami dari akademi ini adalah bukan artis ‘mi segera’ yang sering diperkatakan orang sebelum ini.
“Ilmu yang telah kami pelajari di sini telah banyak menjadikan kami sebagai seorang penyanyi yang serba boleh, kami bukan setakat boleh menyanyi tapi boleh melakukan apa sahaja,’’ kata Hazama ketika ditemui di pusat latihan AF9 di AEON AU2 Setiawangsa, Rabu lalu.
Namun, persembahan bertenaga tiga lagi finalis menjadi halangan besar kepada Hazama, antaranya, Lena yang tidak sabar untuk menunjukkan persembahan terbaiknya dalam pentas akhir nanti.
“Saya akan menyampaikan lagu Dunia yang dipersembahkan oleh Bunkface, secara jujurnya saya tidak pernah dengar lagu ini, namun setelah kali pertama mendengarnya, lagu ini terus menusuk ke jiwa saya, lagu ini sangat menarik.
“Saya berharap saya akan berjaya dalam persembahan kali ini, segala dugaan dan cabaran yang pernah saya alami sebelum ini menjadikan saya lebih matang dan lebih bijak untuk menangani segalanya ketika ini,’’ ujar anak jati Sabah ini.
Salah seorang finalis yang dikatakan bayangan kepada Faizal Tahir, Azri yang mempunyai suara yang sangat lantang juga mempunyai kelebihan yang tersendiri bagi menghalang Hazama muncul sebagai juara musim ini.
Mempunyai pakej lengkap dengan suara yang lantang dan raut wajah yang tampan akan membuatkan semua pendengar dan penonton terpesona dengan persembahannya.
“Dalam konsert akhir ini, saya mahu buktikan keupayaan saya yang sebenar, dalam konsert-konsert sebelum ini saya telah melakukan yang terbaik, jadi dalam konsert terakhir ini saya mahu lakukan sesuatu yang lebih baik.
“Bayangan Faizal Tahir itu sendiri sedang menghantui. Perlu buktikan yang saya adalah salah seorang pelajar yang mempunyai kreativiti tersendiri,’’ katanya.
Kelincahan yang dimiliki oleh seorang lagi finalis, Fina yang baru sahaja berusia 18 tahun ini juga mampu untuk muncul sebagi juara kali ini.
Jelasnya, menjelang konsert akhir ini, apa yang penting adalah mental perlu kuat, kerana konsert akhir ini berbeza dari sebelumnya apabila diadakan secara terbuka.
“Saya tidak pedulikan itu semua, saya berjanji pada diri sendiri ingin lakukan sesuatu yang terbaik,’’ ujarnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]



