Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Hujan. Show all posts
Showing posts with label Hujan. Show all posts

Komitmen Punca Noh & Geng Hujan Renggang

Vokalis Kumpulan Hujan iaitu Noh Salleh mengakui komitmen terhadap keluarga dan studio rakaman yang baharu dibuka agak membatasi aktivitinya bersama kumpulan tersebut. Noh, 29, berkata, namun perkara tersebut tidak mengganggu perjalanan kumpulan tersebut terutamanya dalam persiapan mengadakan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 2 Disember depan. "Aktiviti Hujan agak kurang kerana kami masing-masing ada komitmen sendiri. Macam saya sudah berkeluarga dan baru buka sebuah studio. Memang agak sibuk sedikit. "Begitu juga yang lain-lain ada projek sendiri, namun kami masih lagi bersama lebih-lebih lagi untuk konsert di DFP dan tumpuan kepada album kompilasi Hujan yang akan dikeluarkan tidak lama lagi," katanya kepada mStar Online.
Noh berkata demikian ketika diminta mengulas tentang dakwaan anggota kumpulan tersebut tidak sehaluan dan akan berpecah. Sementara itu, jelas Noh, penglibatannya bersama dalam kumpulan Da Vagabonds adalah sebagai projek sampingan semata-mata dan tidak menjejaskan perjalanan kumpulan Hujan. "Kami masing-masing ada projek kumpulan lain namun ia bukanlah keutamaan, bukan saya sahaja, malah AG Coco dan Izat juga ada komitmen dan kumpulan mereka sendiri," katanya. Dalam perkembangan lain, Noh berkata peluang mengadakan konsert di DFP merupakan satu penghargaan buat Hujan sebagai artis berkumpulan pertama yang akan beraksi di pentas tersebut. "Kami mohon untuk buat konsert di sana sejak 2011 lagi tapi baru sekarang dapat dan ia merupakan satu peluang yang akan kami gunakan sebaik mungkin. "Hujan merupakan kumpulan pertama yang dibawa ke pentas DFP itu dan saya rasa sangat berbangga," ujarnya.

Kumpulan Hujan Juara Versus

SHAH ALAM: Dengan undian sebanyak 50.6 peratus, kumpulan Hujan berjaya merebut gelaran juara pertandingan Versus, yang diadakan secara langsung di Space U8, Shah Alam, malam Jumaat. Hujan telah mengalahkan kumpulan Go Gerila yang mendapat undian sebanyak. 49.6 peratus sekaligus menerima wang tunai sebanyak RM200,000. "Alhamdulillah, kemenangan ini hasil daripada usaha kami yang tidak henti-henti sejak menyertai Versus dari minggu pertama. "Memang kami nak menang sebenarnya, tapi tak sangka memang ia benar-benar jadi realiti kerana sebelum ini markah undian daripada penonton tak tinggi berbanding kumpulan-kumpulan lain," kata vokalis Hujan, Noh, pada sidang akhbar selepas konsert berlangsung. Pada konsert tersebut, terdapat dua segmen iaitu 'medley Mash-Up' dan persembahan lagu baru. Bagi medley 'Mash-Up', Hujan membawakan lagu Dan Bila Esok dan Lamunan Terhenti, Black and Parallax (Merisik Khabar dan Sekadar Di Pinggiran), Go Gerila! (Biso Bonar dan Curiga), Sofazr (Basikal dan Inilah Nasibku) dan 6ixth Sence (Warisan dan Fiona).
Manakala untuk lagu baru pula Hujan membawakan lagu Ke Selatan, Black and Parallax (Aku vs Kamu), Go Gerila (Hadiah), Sofazr (Berakhir) dan 6ixth Sence (Hossi). Sistem penilaian Versus adalah berdasarkan undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan permarkahan juri profesional. Ia membariskan penggiat muzik Jennifer Thompson selaku ketua juri, komposer Loque sebagai juri tetap dan seorang jurijemputan mingguan. Pada setiap minggu, setiap kumpulan perlu menggubah lagu lama yang diberikan mengikut tema tertentu. Dalam tempoh seminggu, para peserta perlu membuat persiapan dan mempersembahkan lagu tersebut pada konsert mingguan sebagai medan penilaian. Konsert akhir Versus telah bersiaran langsung menerusi saluran TV9 itu akan diacarakan oleh Aidid Marcello dan Hunny Madu.

HUJAN semakin matang


REVOLUSI muzik yang dilakukan oleh kumpulan Hujan sememangnya memberikan impak yang cukup besar bagi industri muzik sejak empat tahun lalu. Ketika itu kebanyakan peminat masih lagi mengagungkan muzik luar terutamanya dari Indonesia yang begitu mendapat sambutan hangat daripada masyarakat tempatan.

Namun kemunculan kumpulan-kumpulan yang menggelarkan diri mereka indie memberikan impak yang begitu mengagumkan sehingga khalayak beralih 360 darjah ke arah muzik indie.

Di celahan kebangkitan itu, kumpulan Hujan turut menempatkan diri bersama yang lain. Mempertaruhkan alternatif rock sebagai tunjang utama, sasaran mereka tepat kerana Hujan boleh dikategorikan antara kumpulan yang berjaya pada masa kini.

Sudah empat tahun nama Hujan terpahat dalam industri muzik negara ini. Sebagai sebuah kumpulan indie, Hujan juga telah berjaya meraih pelbagai anugerah dan pencapaian terbaik. Namun dalam meniti kejayaan tersebut, terpalit juga kisah negatif yang sedikit sebanyak mencalarkan nama Hujan.

Mereka dikatakan sukar untuk memberikan kerjasama dengan pihak media terutamanya apabila diminta hadir ke sesi fotografi dan pelbagai tuduhan lain yang bisa mencalarkan reputasi mereka.

Usah diselak kembali apa yang telah terjadi. Walaupun klise tetapi ia masih relevan, apa yang berlaku sudah pasti memberikan pengajaran dan pelajaran yang berguna kepada mereka.

Berpegang kepada prinsip itu Hujan kini kembali berada di atas landasan sebenar. Mereka kini sedang sibuk dalam rangka jelajah ke seluruh Malaysia dan negara Singapura.

Pada 7 Oktober lalu merupakan tarikh bersejarah bagi kumpulan yang popular dengan lagu Pagi Yang Gelap ini. Mereka berjaya menerobos angkasa muzik Kota Singa itu apabila berpeluang membuat konsert di The Republic Polytechic Cultural Central, Woodlands, Singapura.

Sudah pasti Hujan yang terdiri daripada Noh (vokalis), AG Coco (gitar utama), Am (drum) dan Hang Dimas (keyboard) teruja dengan sambutan peminat terhadap mereka.

Walaupun ada kata-kata kurang enak kedengaran kononnya persembahan mereka kurang mendapat sambutan, Dimas menyatakan sebaliknya.

“Alhamdulillah, setiap kali membuat jelajah kami dapat lihat sendiri siapakah sebenarnya peminat Hujan dan yang pasti ramai yang memberikan respons yang baik kepada album Mencari Konklusi.

“Kami hanya mencetak 2,000 unit CD sahaja. Tak sangka dalam masa tiga minggu semuanya habis dijual. Sekarang kami sedang membuat cetak baru dan sangat berpuas hati dengan sambutan peminat,” kata Dimas selaku jurucakap Hujan.

Bagi Dimas, cabaran utama Hujan pada masa ini ialah untuk menguruskan pentadbiran, kewangan, persembahan pentas dan pelbagai lagi yang selama ini dipandang remeh.

Tambahnya, sudah tentu dia mengharapkan Hujan akan menjadi lebih profesional memandangkan karier seni mereka semakin berkembang maju.

Sehingga kini, Hujan sudahpun mempunyai lima orang krew yang akan bersama mereka di setiap lokasi persembahan dan juga dua pembantu yang menguruskan segala hal pentadbiran dan promosi.

Bagi Dimas, walaupun nama Hujan telah menerobos ke United Kingdom (UK) tetapi itu bukanlah satu jaminan untuk mereka terus bertahan di sana.

“Kita akui untuk memasarkan album ke luar negara seperti di UK bukanlah satu perkara yang mudah memandangkan kesemua lagu kita dalam bahasa Melayu.

“Tapi dalam tahun hadapan kami telah membuat perancangan untuk membuat jelajah seluruh Amerika Syarikat dan berjumpa dengan semua pelajar Malaysia di sana.

“Dalam pada itu tumpuan kami terhadap peminat tempatan tidak pernah pudar sebaliknya pelbagai perancangan yang telah di aturkan termasuklah mempromosikan Hujan melalui portal online,” kata Dimas

Sehingga kini Hujan telah membuat persembahan di lima buah tempat termasuklah di Singapura, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Terengganu. Pada bulan November ini mereka akan ke Pahang, Kelantan dan berakhir di Kuala Lumpur pada 22 November akan datang.

Bagi peminat yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut boleh melayari www.metamobile.com.my, www.hujanband.com atau www.hujan.org untuk maklumat lanjut.

Strategi Hujan


Namun, entah mengapa tindakan mereka itu seakan-akan memakan diri sendiri apabila Hujan dikatakan tidak lagi dihormati pengikut ‘underground’ yang masih terikat dengan pemikiran skeptikal dan menganggap muzik underground hanya berhak dinikmati golongan tertentu saja.

Pembabitan band indie dalam arena arus perdana disalah tafsir dan dianggap melanggar prinsip kerana mengejar glamor walhal jarang yang melihatnya sebagai satu usaha mengembangkan muzik serta kemampuan luar biasa golongan kreatif ini.

Bagi peminat yang berpatah arang mahupun menentang Hujan, vokalis kumpulan ini Mohamad Noh Salleh atau Noh, 24, berkata, itu bukan lagi sesuatu yang perlu difikirkan kerana mereka ada misi lebih penting yang perlu difikirkan.

“Itu hak mereka. Apa yang boleh saya katakan, mereka tidak melalui apa yang kami lalui dalam mengharungi kehidupan sebagai anak seni. Lagipun, yang berkata begitu bukan pemuzik. Sekarang ini Hujan akan menerima teguran yang positif saja demi kemajuan karier muzik kami,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album kedua, Mencari Konklusi, baru-baru ini.

Akui Noh, meskipun mengembangkan karier di arena arus perdana yang memungkinkan mereka berhadapan pelbagai kontroversi bertentangan prinsip penggiat bebas, Hujan sedikit pun tidak berubah.

Mereka masih menghormati peminat seperti sahabat sebagaimana dulu. Malah, terus menghasilkan lagu dan menerbitkan karya mereka sendiri.

“Kami tidak pernah menandatangani kontrak dengan mana-mana syarikat rakaman kerana tidak mahu ada campur tangan dalam soal pembikinan muzik kami.

“Disebabkan itu, kami hanya bekerjasama untuk edaran album saja seperti usaha sama yang dijalinkan dengan syarikat rakaman Fantasia Music City (FMC) sebelum ini dan sekarang Metadome membantu kami dalam penjualan digital. Kami juga membantu dan menanggung kos promosi album,” katanya.

Pada majlis pelancaran Mencari Konklusi di Hard Rock Cafe, Hujan turut memperdengarkan lagu baru mereka seperti Sangkar Besi Hatiku, Romantik dan Mencari Konklusi. Album terbaru ini kedengaran sedikit asing dan berbeza daripada apa yang pernah ditampilkan sebelum ini.

Selepas memikat perhatian dengan lagu balada yang kuat dengan unsur alternatif rock seperti Pagi Yang Gelap dan Bila Aku Sudah Tiada, perubahan yang dilakukan dalam album kedua ini lebih agresif. Pendek kata, Hujan semakin mengganas.

Kata Noh, album pertama dulu dikira lebih versatil kerana terdapat pelbagai genre muzik walaupun lagu balada lebih menyerlah.

“Cara kami menerbitkan album itu juga berbeza apabila mengumpul semua EP lagu lama kemudian memuatkannya dalam satu album. Namun, untuk pembikinan album kedua ini, semua lagu adalah baru dan tidak pernah diedarkan di mana-mana.

“Penampilan muzik kami juga lebih agresif dan inspirasi kami peroleh sewaktu membuat persembahan di United Kingdom tidak lama dulu. Tidaklah meniru, tetapi sekadar mahu mencuba sekali gus mengikuti trend muzik global.

“Mengelak peminat berasa bosan, Hujan sendiri memutuskan untuk tampil lebih gagah, garang dan energetik di pentas setiap kali membuat persembahan.

“Apa yang boleh saya katakan untuk pembikinan album ini kami lebih fokus dan menemui konsep sesuai yang akan menjadi panduan kepada karya kami seterusnya,” katanya.

Mengenai risiko yang harus dilalui apabila memilih untuk tampil dengan perbezaan besar, Noh menegaskan, inilah masanya untuk menilai siapakah peminat setia mereka.

“Saya buat lagu ikut kemahuan diri atau syok sendiri kata orang (ketawa). Bagi saya tiada masalah pada perubahan yang dilakukan selagi masih mengekalkan identiti Hujan.

“Melaluinya kita dapat menilai apakah peminat kita itu sebenarnya peminat yang setia? Kami percaya andai mereka pengikut tegar Hujan, kami akan terus mendapat sokongan daripada mereka tidak kira apa pun perubahan dibawa,”

Mencari Konklusi mula berada di pasaran sejak 18 Ogos lalu dan ia terbitan Noh Phrofile. Untuk album ini, Hujan bekerjasama dengan Metadome yang akan membuat promosi dan memasarkan album itu secara digital.

Menampilkan tujuh lagu, selain Mencari Konklusi, ia turut memuatkan 2ndairwave, Obsesi, Kau Harus Ada, Benci Romantik dan Sangkar Besi Hatiku.

Mengapa hanya tujuh lagu dimuatkan tidak seperti album pertama 10 lagu? Noh berkata, memandangkan keadaan penjualan album secara fizikal kurang memberangsangkan, tujuh adalah angka paling ideal.

“Untuk apa kami bazirkan lagu dengan memuatkan 10 lagu sedangkan sudah tahu realiti industri muzik.

“Lebih baik lagu kami simpan dan gunakan untuk pembikinan album seterusnya kerana proses menyiapkan satu lagu termasuk

mastering dan mixing menggunakan modal yang besar,” katanya.

Terbaru mengenai kumpulan ini, Hujan dipilih sebagai ‘Artiste Of The Month’ oleh Maxis bagi Oktober sekali gus menjadi muka depan ‘webpage’ dan ‘wap page’ Maxis.

Hujan yang dianggotai AG selaku pemain gitar utama, Am@Acer (dram), Dimas (keyboard) dan anggota baru, Izzat (gitar), akan mengadakan siri jelajah di seluruh Malaysia bermula di Singapura pada 7 Oktober lalu, diikuti Universiti Malaysia Perlis, Kangar (16 Oktober); Carnivall Kelab Golf Cinta Sayang, Sungai Petani (17 Oktober) dan Hard Rock Hotel, Batu Feringgi, Pulau Pinang.

Seterusnya ke Taiping dan Ipoh pada 23 dan 24 Oktober diikuti Kuala Terengganu (31 Oktober), Kuantan (1 November) dan Melaka (8 November). Hujan juga merancang mengadakan siri jelajah di Kuching, Sibu, Miri, Kota Kinabalu dan Tawau termasuk Indonesia tidak lama lagi.

Ditanya apakah mereka yakin persembahan jelajah ini akan mendapat sambutan tambahan pula kebelakangan ini tersebar berita kononnya peminat memulaukan peminat.

“Tidak kisahlah walaupun cuma tiga orang yang menonton, kami tetap akan meneruskan persembahan kerana siapa tahu mereka inilah yang menyumbang pada kejayaan karier muzik kami.

“Kami amat menghargai sokongan ‘Raingers’ (peminat) dan mahu memanfaatkan peluang itu untuk bertemu dan menghiburkan mereka.

“Contohnya, persembahan di Singapura yang kami jayakan baru-baru ini. Terus-terang kami ke sana hanya untuk memperkenalkan nama Hujan dan tidak pernah fikir berapa jumlah penonton yang datang menyaksikan persembahan kami.

“Namun, kami terkejut kerana sambutan diberikan di luar jangkaan. Ini memberi keyakinan siri persembahan jelajah ini mampu memperkenal dan mendekatkan sebuah band itu dengan peminat mereka,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails