Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Jins Shamsuddin. Show all posts
Showing posts with label Jins Shamsuddin. Show all posts
Anak Jins Shamsuddin Sayu Tengok Reaksi 'Kosong' Ayah
Anak bongsu kepada pengarah dan pelakon Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Putera Hang Nadim sayu apabila melihat reaksi 'kosong' bapanya semasa tayangan perdana filem Bukit Kepong versi definasi tinggi (HD) yang diadakan pada malam Selasa.
Hang Nadim, 24, berkata, Jins langsung tidak mengingati tentang filem arahannya itu malah tidak mengenali dirinya sendiri yang turut berlakon dalam filem berkenaan.
"Pada awal filem itu ditayangkan dia teruja kerana namanya terpapar di skrin tetapi selepas itu dia langsung tidak mengingati tentang Bukit Kepong.
"Dia kelihatan bersungguh menonton tetapi saya tahu pandangan diberikan adalah kosong malah dia tidak mengenali dirinya sendiri dalam filem berkenaan," katanya kepada mStar Online.
Hang Nadim berkata demikian selepas ditemui pada tayang perdana filem berkenaan yang diadakan di Golden Screen Cinemas (GSC) Pavilion di sini.
Selain Jins, turut hadir pada majlis berkenaan adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim, penerbit dan Datuk Yusof Haslam.
Bukit Kepong versi HD arahan Jins pada tahun 1981 dengan kos RM1 juta berjaya dinaik taraf melalui proses membaik pulih visual dan audio yang dilakukan oleh anak syarikat KRU iaitu Prodigital Lab Sdn Bhd.
Bukit Kepong HD bakal ditayangkan semula di pawagam bermula 27 Ogos ini di pawagam terpilih bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke 58.
Dalam pada itu, Hang Nadim yakin sekiranya kesihatan bapanya masih baik, bekas Ahli Dewan Negara itu pasti bangga dengan usaha dilakukan oleh pihak KRU terhadap filem berkenaan.
"Sebagai anak saya yakin beliau pasti bangga melihat filem arahannya dinaik taraf malah ditayangkan semula di pawagam biarpun untuk masa singkat.
"Sayu juga saya melihat reaksinya seperti tidak memahami apa yang berlaku tetapi Alhamdulillah biarpun dengan keadaannya beliau masih berkesempatan untuk berada pada hari bersejarah itu," katanya.
Selain Bukit Kepong, Hang Nadim berkata, tiga lagi filem arahan bapanya iaitu Menanti Hari Esok, Esok Masih Ada dan Tiada Esok Bagimu akan menjalani proses sama.
Sementara itu, bercakap mengenai keadaan terkini Jins, Hang Nadim berkata, selain penyakit Alzheimer kesihatan bapanya berada dalam keadaan baik.
Bagaimanapun kata Hang Nadim, ingatan bapanya semakin merosot namun masih mengenalinya dan abangnya Hang Jebat.
"Ayah hanya mengenali saya dan abang (Hang Jebat), jadi kami kena sentiasa berada dekat dengannya agar dia tidak berasa terasing tanpa mengenali sesiapa.
"Alhamdulillah kesihatannya berada dalam keadaan baik dan sehingga kini langsung tiada masalah jantung, darah tinggi atau kencing manis seperti mana biasa di alami oleh golongan tua sepertinya," jelasnya.
Jins Shamsuddin Hanya Ingat Kerja - Isteri
Isteri bukan peminat - Jins Samsuddin
WALAUPUN ketika mudanya, wajah kacak bergaya Jins menjadi dambaan hati banyak wanita, tetapi tidak bagi anak kelahiran Temerloh,Pahang ini.
"Saya peminat Ahmad Mahmud dan Aziz Jaafar. Jins Shamsuddin saya tak pernah minat pun sebab dia selalu main watak jahat," beritahu Puan Seri Halijah Abdullah dalam ketawa yang sarat mesra.
Halijah, anak campuran Cina dan Melayu berkahwin dengan Jins yang ketika itu sudah lebih 20 tahun membujang setelah bercerai dengan seniwati Rahmah Rahmat.
Majlis pernikahan mereka berlangsung dalam diam tanpa diketahui banyak orang meskipun ketika itu Jins berada di puncak populariti dengan kejayaan filem-filem lakonan dan arahannya.
"Selepas agak lama, barulah orang tahu berita pernikahan kami. Masa tu, hanya wartawan Bahyah Mahmood dan suaminya Abi (Ahmad Idris) serta arwah Aimi Jarr yang menulis tentang pernikahan kami," beritahu Halijah mengimbas kenangan.
Dilihat tegas oleh peminat dan anggota masyarakat, bagi Halijah, suaminya adalah seorang yang biasa-biasa saja.
"Di rumah, anak-anak tak adalah 'gerun' sangat pada ayah mereka. Dia tak banyak cakap. Memang tak pernah bergurau, susah hendak lihat dia senyum.
"Tapi dia tak garang pun. Sepanjang kami bernikah, tak pernah sekali pun saya tengok dia 'naik tangan' pada anak-anak atau keluarga lain, jentik pun tak pernah," katanya.
Tapi secara jujur Halijah mengakui suaminya bukan seorang yang romantis.
"Dia tak garang tapi nak tengok romantis tu, tak adalah dalam diri dia. Dalam rumah nak bercakap pun susah.
"Masa terluang nak ajak keluar berjalan-jalan makan angin ke mana-mana sekalipun, susah sebab dia kata berjalan tu rugi, membuang masa, lebih elok buat kerja.
"Dia memang menghambakan dirinya kepada kerja sampai langsung tak ada istilah bercuti bagi dirinya sepanjang zaman sihatnya," katanya lagi.
Gagal Kenali Rakan, Ingatan Jins Shamsuddin Semakin Lemah
PETALING JAYA: Keadaan ingatan seniman veteran Tan Sri Jins Shamsuddin dilaporkan semakin lemah apabila pelakon itu sudah tidak lagi mengenali rakan-rakan yang menziarahinya pada Rabu.
Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli berkata, Jins sukar untuk mengingati orang sekelilingnya termasuklah mereka yang pernah berurusan dengannya sebelum ini.
"Dari segi fizikal beliau sangat cergas dan tidak mempunyai masalah kesihatan namun ingatannya semakin lemah dan beliau sukar mengingati orang di sekeliling," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini selepas menziarahi pelakon tersebut di Hulu Klang dekat sini, pada Rabu.
Antara yang hadir ialah Pengerusi Papita, Datuk M. Daud Wahid, penggiat seni hiburan Ong Peng Chu, Presiden Profima, Khir Mohd Noor dan beberapa ahli jawatankuasa Gafim.
Jurey menjelaskan pada lawatan itu, Jins kelihatan ceria dan menyambut kedatangan mereka dengan baik tetapi sudah tidak mengingati mereka lagi.
"Walaupun sudah tidak ingat beliau tetap melayan kami dengan baik seperti tiada apa-apa yang berlaku," ujarnya.
Pada lawatan itu, pihaknya sempat menyampaikan sumbangan berbentuk hamper serta sumbangan wang tunai sebagai ingatan sempena kedatangan bulan Ramadan.
Dalam pada itu, Jurey memberitahu walaupun keadaan ingatan Jins semakin lemah tetapi memorinya mengenai industri perfileman tidak pernah luntur.
Sepanjang pertemuan itu Jins banyak bercerita mengenai sejarah tentang studio Jalan Ampas, peranannya dalam penubuhan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Gafim.
"Hairannya beliau masih mengingati dengan jelas mengenai kisah lampau beliau sebagai pelakon serta mampu berkongsi dengan kami semua kisahnya dengan baik," ujarnya.
Tambah Jurey, Jins turut memberitahu masih ingin berkhidmat dan memberi sumbangan kepada industri selain mahu kembali bekerja seperti biasa.
"Sekarang ni memang beliau hanya duduk di rumah dan berehat namun keinginannya untuk kembali bekerja dan berkhidmat kepada negara masih tinggi," katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
