Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Juhara Ayob. Show all posts
Showing posts with label Juhara Ayob. Show all posts

Watak lakonan dorong Juhara bertudung


PELAKON Juhara Ayob tidak menyangka kecenderungannya melakonkan watak-watak gadis bertudung dalam drama-drama televisyen (TV) sedikit sebanyak memberi inspirasi kepadanya untuk bertudung.

Kata pelakon berusia 41 tahun ini, dia banyak menerima tawaran melakonkan watak-watak wanita bertudung dalam drama, telemovie, filem dan teater yang dilakonkannya sejak terbabit dalam bidang itu pada tahun 1989.

Bagaimanapun menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan dari Universiti Malaya ini, hatinya hanya tergerak untuk bertudung tiga tahun lalu iaitu selepas 19 tahun terlibat dalam bidang yang penuh dengan glamor itu.

“Sejak terbabit dalam dunia lakonan banyak kali saya terima tawaran melakonkan watak-watak yang bertudung dalam drama walaupun ketika itu saya belum bertudung. Contohnya, menerusi drama bersiri, Nun Di Sana Cintaku.

“Drama bersiri lebih 13 episod itu memerlukan saya bertudung dalam penggambaran yang diadakan selama beberapa minggu. Dari situlah saya sudah terbiasa memakai tudung walaupun hanya untuk berlakon.

“Lama-kelamaan saya mula terbiasa bertudung dan berasa selesa pula dengan imej ini,” katanya kepada S3 sewaktu ditemui sewaktu sesi latihan teater terbaru lakonannya bertajuk Mak Dara Nyonya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Teater arahan Rosminah Tahir lakonan Misha Omar, Sarimah Ibrahim, Fara Fauzana, Sherry Abdullah, Norzizi Zulkafli dan Zaifri Husin itu akan dipentaskan di Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur dari 6 sehingga 12 Julai ini.

Sungguhpun biasa bertudung di lokasi penggambaran dan dalam drama-drama lakonannya, Juhara tidak menafikan jauh di lubuk hatinya memang sudah lama mahu berubah imej.

Jelas anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini, biarpun hidayah itu mula bersinar di hatinya tetapi ketika itu dia tidak mahu terburu-buru berubah secara drastik sebaliknya meminta pendapat suaminya, Mohamad Fairuz, 44.

“Suami minta saya berubah secara perlahan-lahan kerana dia tidak mahu saya hanya hangat-hangat tahi ayam. Saya kuatkan azam dan yakin mahu bertudung. Ini memang datangnya dari hati sendiri dan bukannya sebab lain.

“Saya ambil masa hampir sebulan membuat persediaan untuk bertudung termasuklah membeli sedikit demi sedikit tudung. Selepas membeli hampir 10 pasang tudung akhirnya pada 1 Ramadan tiga tahun lalu saya pun bertudung.

“Saya sengaja memilih tarikh itu kerana mahu ambil berkat atas penghijrahan saya. Kebetulan ketika itu saya sedang mengandungkan anak ketiga, Nurul Qairina. Kini selepas tiga tahun saya tiada masalah untuk bertudung,” ujarnya.

Selepas tiga tahun bertudung, Juhara yang sebelum ini pernah berlakon dalam filem seperti Jogho dan Wanita Bertudung Hitam mengakui bukan sahaja lebih selesa tetapi juga mudah untuk bergerak ke sana ke mari.

Malah, tambah pensyarah sambilan dalam bidang Teater Tradisional di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini dia juga dapat menjimatkan banyak belanja mendandan dan merawat rambut selepas bertudung.

“Dulu kalau mahu keluar rumah saya mengambil masa sampai satu jam untuk mendandan rambut. Tetapi sekarang ini kalau mahu keluar rumah saya terus memakai tudung dan tidak perlu ambil masa yang lama untuk berdandan.

“Selain itu, saya juga mudah untuk mengenakan tudung dengan pelbagai pilihan warna yang banyak dijual di pasaran. Secara tidak langsung ia tidak menghalang saya untuk berfesyen tetapi dalam gaya yang lebih sopan,” tuturnya.

Paling ketara jelas ibu kepada Nurul Imanina, 6, Muhammad Fawwaz, 4, dan Nurul Qairina, 2, imej bertudung itu tidak menghalangnya daripada terus terbabit dalam bidang lakonan yang menjadi kariernya sejak dua dekad lalu.

Namun, dia tidak berkecil hati jika tiada tawaran melakonkan watak-watak yang sesuai untuknya dalam drama, filem mahupun teater hanya kerana bertudung, sebaliknya menyerahkannya kepada rezeki yang telah ditentukan oleh Allah.

“Biasanya sebelum menerima tawaran berlakon, saya akan berbincang dengan pengarah sama ada imej saya bertudung itu sesuai ataupun tidak dengan jalan cerita sesebuah produk lakonan saya. Kalau tidak sesuai saya akan tolak.

“Saya reda dengan apa yang saya lalui sekarang ini kerana selain berlakon saya juga bekerja sebagai pensyarah sambilan sebagai satu lagi sumber pendapatan saya. Kalau tidak berlakon, saya isi masa dengan mengajar,” katanya lagi.

Juhara Takut Bawa Kereta, Trauma Kemalangan Maut


PETALING JAYA: "Saya tidak tahu sama ada boleh bawa kereta lagi atau tidak," ujar dramatis, Juhara Ayob (gambar) yang masih trauma akibat terbabit dalam satu kemalangan maut kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam di Jalan Kuching dekat Pasar Borong Selayang.

Dia yang masih terkejut dengan tragedi itu sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Selayang Baru ke Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA) di ibu kota.

"Saya dalam perjalanan ke ASWARA kerana ada kelas pukul 1 petang, saya tak sedar bagaimana kehadiran mangsa kerana tiba-tiba sahaja saya sudah melanggarnya.

"Saya masih terkejut dan takut untuk memandu. Bukan sebab kereta saya hancur tetapi kerana mangsa tersebut meninggal dunia di tempat kejadian," jelasnya kepada mStar Online dalam nada sedih di sini semalam.

Juhara telah membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Bandar kira-kira pukul 6 petang tadi.

Bagaimanapun, dia yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish berwarna kelabu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa seorang wanita dipercayai warga Myanmar sedang berjalan kaki telah mengalami kecederaan dalaman dan meninggal dunia di tempat kejadian.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails