Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Kat Hassan. Show all posts
Showing posts with label Kat Hassan. Show all posts

Kat beralih arah

ENAM tahun menyepikan diri, bukan satu tempoh yang singkat. Enam tahun jugalah Kat Hassan tidak keluar dengan apa-apa produk sehinggalah pertengahan tahun ini, dia mengeluarkan album mini yang berjudul Menggoda. Bukan merajuk dengan industri yang sedikit prejudis terhadap bintang realiti sepertinya tetapi kata Kat, dia lebih suka menyepikan diri seketika kerana tidak ada apa yang perlu diberitahu kepada umum. Dengan kehilangan Kat selama itu, ramai yang beranggapan Kat sebenarnya sudah tidak mahu terlibat dalam industri hiburan. Banyak juga dakwaan yang cukup menghiris kalbu wanita ini bila ‘kehilangannya’ mula menjadi tanda tanya. “Sebenarnya saya masih ada di dalam industri. Masih menyanyi dan sesekali mengambil tawaran berlakon. Tidak ada istilah merajuk mahupun berkecil hati. Cuma mungkin tidak ada produk baru untuk saya ketengahkan. “Kalau nak ikut memang saya masih ada undangan nyanyian selama ini. Mungkin sebab tak banyak publisiti yang diberikan, maka orang anggap saya sudah tiada dalam senarai penyanyi tempatan. “Dalam tempoh masa itu, saya banyak belajar tentang industri. Menubuhkan syarikat sendiri dan sekarang saya bangga sebab sudah ‘melahirkan’ album pertama yang baru sahaja dilancarkan," jelas Kat. Tapi benarkah dakwaan yang mengatakan ada orang yang menaja pembikinan album Kat? Kalau melihat kepada album berkenaan, jumlah wang yang dilabur bukan sedikit. Menepis dakwaan tersebut, bekas protege kepada Datuk Siti Nurhaliza dalam program Mentor musim kedua ini berkata, dia mengumpul wang untuk menyiapkan album tersebut. “Setahun satu lagu. Enam tahun enam lagu. Lebih kurang macam itulah saya berusaha untuk merealisasikan impian sendiri. Kalau nak harap pada orang lain, alamatnya memang tak akan siaplah album ini. “Paling tidak saya tahu ini adalah hasil titik peluh sendiri. Album ini pun dibuat di bawah syarikat Kat Entertainment Sdn. Bhd., jadi saya yang uruskan segala-galanya sendiri. “Orang yang paling banyak membantu usaha ini termasuklah Amy Search, ahli keluarga dan kawan-kawan yang tak pernah jemu-jemu beri tunjuk ajar pada saya. “Memang saya akui modal besar telah dikeluarkan semata-mata nak tengok album ini ada. Bila dah ada, sudah tentu saya rasa bangga memandangkan apa yang saya impikan dah jadi kenyataan. “Lagi satu, saya sudah boleh menyanyi lagu sendiri di mana-mana acara. Sampai bila saya harus menyanyi lagu orang," kata Kat. Cabaran Bersaing dengan nama-nama besar walaupun membuatkan Kat gusar namun mengambil itu sebagai cabaran untuk menempatkan diri sebagai antara penyanyi wanita terbaik di negara ini. Biarpun masih terlalu jauh untuk mencapai semua itu, Kat yakin dengan usaha yang berterusan dia mampu melakukannya. Jika ada yang masih ingat, di awal kemunculan penyanyi ini, dia lebih banyak tertumpu kepada genre rock tetapi untuk album ini dia sudahpun beralih ke irama pop balada yang lebih segar dan mudah diterima ramai. Menjelaskan hal tersebut, Kat tidak menanggap itu sebagai satu perubahan yang besar terhadap kerjayanya tetapi dia mahu mencuba sesuatu yang baru memandangkan pop balada mempunyai ramai pengikut. “Nak memilih lagu pun bukan mudah. Nak kena ikut selera sendiri, selera pendengar dan selera stesen radio. Jadi apa yang dipersembahkan dalam album ini rasanya memang mudah untuk diterima oleh semua. “Alhamdulillah buat masa ini ada juga stesen radio yang sudah memutarkan lagu saya. Walaupun tidak kerap tapi itu merupakan perjalanan yang harus saya tempuh," kata Kat lagi.

Kat Hassan Tidak Yakin Jadi Penyanyi

KUALA LUMPUR: Penyanyi Kat Hassan mengakui pernah mengalami kemurungan kerana tidak yakin untuk memulakan kerjaya nyanyian selepas menyertai program Mentor musim kedua pada 2006. Kat atau nama sebenarnya Siti Khatijah Hassan, 25, berkata kekecewaan itu timbul kerana dia berasakan seolah-olah tidak mempunyai peluang untuk bergelar artis rakaman. "Tiga tahun pertama selepas saya menyertai Mentor 2 adalah tempoh yang menyakitkan. Saya murung dan sedih kerana berasa seperti tiada harapan untuk berkembang sebagai penyanyi profesional. "Ketika itu saya pernah terfikir apa yang patut dilakukan untuk maju ke hadapan namun saya buntu untuk memulakan kerjaya," katanya kepada mStar Online. Kat berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran album pertamanya berjudul Menggoda di Hard Rock Cafe, di sini, petang Selasa. Tambah Kat, dia bagaimanapun berterima kasih kepada keluarganya atas sokongan dan kepercayaan yang tidak berbelah bagi terhadap potensi dirinya. "Saya bersyukur kerana ibu bapa, kakak saya iaitu Nourish dan abang ipar Amy (Search) sentiasa memberikan semangat untuk saya terus berusaha mencapai impian bergelar penyanyi. "Daripada situ saya berusaha mengumpulkan wang dengan berlakon dan menerima sebanyak mungkin persembahan pentas untuk menerbitkan album sendiri," kongsinya.
Bercerita mengenai album yang mengambil masa selama enam tahun untuk dihasilkan ini, Kat berkata proses tersebut memakan masa yang lama kerana faktor kewangan. "Saya perlu mengumpulkan duit untuk menerbitkan album sendiri. Sebab itu selama enam tahun saya sepi daripada publisiti kerana sibuk dengan lakonan dan persembahan pentas di merata tempat. "Untuk album ini, saya perlu kumpulkan lagu-lagunya secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan. "Ia mengambil masa yang lama kerana saya mahukan sebuah album yang terbaik dan istimewa, berbaloi dengan penantian peminat," ujarnya. Album terbitan syarikat produksinya sendiri, Kath Entertainment ini memuatkan lima buah lagu iaitu Chiki, Hilang, Menggoda, Senjakala dan Lepaskan. Turut disertakan adalah cakera digital versatil (DVD) yang mengandungi klip video Chiki dan Hilang. Album ini sudah berada di pasaran sejak 17 April lalu edaran Warner Music Malaysia.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails