Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Latiff Ibrahim. Show all posts
Showing posts with label Latiff Ibrahim. Show all posts

Latif Ibrahim Beritahu Isteri 'Teringin Hendak Balik'


PETALING JAYA: Penyanyi Abdul Latif Ibrahim,60, atau lebih dikenali sebagai Latif Ibrahim yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini, Isnin memberitahu isterinya, Masriah Mahadan yang dia “teringin hendak balik”.

Masriah,57, memberitahu, kata-kata itu disuarakan Latif ketika dia dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) IJN pada Sabtu lalu akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk jantung.

“Arwah beritahu saya dia teringin nak balik. Pada masa itu saya tak tahu dia nak balik mana? Tak sangka pula dia rupa-rupanya hendak meninggalkan kita buat selama-lamanya,” kata Masriah kepada mStar Online ketika di temui di rumahnya di AU3, Keramat dekat sini, malam Isnin.

Menurut Masriah, selama 38 tahun menjadi isteri kepada Latif, Allahyarham merupakan seorang suami yang amat penyayang dan sentiasa memenuhi kehendaknya.

Malah Allahyarham juga sentiasa mahu berada di sisinya dan bagaikan tidak boleh berenggang.

“Dia selalu ingin berada di samping saya. Selama perkahwinan kami, saya menganggap arwah sebagai suami yang amat baik dan bertanggungjawab. Saya bersyukur, ketika arwah sakit, saya dapat menjaganya dengan baik sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Sementara itu adik Allahyarham iaitu Datuk Khatijah Ibrahim berkata, Allahyarham sepatutnya bersama keluarga menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah pada 13 Mac depan tetapi hajatnya tidak kesampaian.

"Kami turut sedih kerana arwah bukan sahaja tidak dapat menunaikan impian untuk mengerjakan umrah tetapi dia meninggal dunia tiga hari sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-60 tahun pada Khamis ini," katanya.

Selain penyakit jantung, Allahyarham yang turut menghidap kencing manis dan paru-paru berair pernah menjalani pembedahan pintasan jantung kira-kira 12 tahun lalu.

Bagaimanapun sejak tahun lepas, Allahyarham sudah tiga kali dikejarkan ke IJN akibat serangan yang sama.

Selain menyanyi, Allahyarham juga aktif berlakon dan telah membintangi lebih 15 buah filem termasuklah Hapuslah Air Matamu, Dendang Perantau, Sumber Ilhamku dan Ragam Pemandu.

Filem terakhir Allahyarham ialah 4 Madu arahan A.Razak Mohaideen yang diterbitkan pada tahun 2010.

Beliau turut popular dengan lagu Nora, Pilihklah Aku, Mengenang Dikau Kembali dan lagu joget Manis Kata Di Bibir Saja.

Jenazah dibawa pulang ke rumahnya di AU3, Keramat dekat sini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, selepas kira-kira pukul 10 pagi Selasa.

Selain Masriah, Allahyarham turut meninggalkan dua orang anak iaitu Mohd. Hazriq,35, dan Haznally,34.

Tuduhan Palsu Meninggal Dunia, Latif Ibrahim Stabil Di IJN



HIBURAN
Ahad Februari 19, 2012
Tuduhan Palsu Meninggal Dunia, Latif Ibrahim Stabil Di IJN

Oleh NIEZAM ABDULLAH

Latif Ibrahim

PETALING JAYA: Spekulasi yang mengatakan penyanyi dan pelakon veteran tahun 80-an iaitu Latif Ibrahim meninggal dunia pada Sabtu adalah tidak benar.

Sebaliknya penyanyi itu berada dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini pada Sabtu.

Pelakon Liza Abdullah yang juga rakan beliau berkata, Latif kelihatan bersemangat dan boleh berborak dengannya ketika melawat beliau pada Sabtu malam.

"Keadaannya stabil. Dia boleh berborak dengan saya sambil bertanya saya tak 'shooting' ke?" katanya kepada mStar Online melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) di sini Ahad.

Menurut Liza, dia bergeges ke IJN pada Sabtu selepas mendapat berita kononnya Latif meninggal dunia.

Jelasnya, selepas melihat dan berjumpa Latif secara berdepan barulah dia berpuas hati dan menganggap tuduhan itu adalah palsu.

"Saya geram betul. Kenapalah ada org yang suka sangat buat cerita tak betul. Saya memang tak sedap hati bila dapat tahu cerita tu. Sebab tu saya terus ke IJN untuk melihat kesahihannya," kata Liza.

Tambahnya, Latif merupakan individu yang kuat semangat dalam menempuh penyakit jantung yang di hadapinya itu.

Sehubungan itu Liza meminta semua pihak mendoakan kesejahteraan Latif dan tidak menyebarkan berita palsu pada masa akan datang.

Sementara itu adik penyanyi tersebut iaitu Datuk Khatijah Ibrahim memberitahu kesihatan Latif berada dalam keadaan terkawal.

Pada Sabtu pihak media di khabarkan Latif meninggal dunia selepas ada pihak menyebarkan berita tersebut sehingga menimbulkan suasana panik.

Masalah Jantung, Latiff Ibrahim Perlu RM120,000


PETALING JAYA: Penyanyi terkenal tahun 80-an iaitu Latiff Ibrahim, 60, sedang mengumpul wang berjumlah RM120,000 untuk menjalani rawatan memulihkan jantungnya yang lemah.

Menurut Latiff, walaupun telah lama menjalani pembedahan dia masih perlu hidup dengan bergantung kepada ubat-ubatan.

“Alhamdulillah kerana saya dikurniakan kesihatan yang baik dan doktor tidak menghalang saya daripada aktif dalam karier seni.

“Sejak akhir-akhir ini, saya semakin banyak mendapat jemputan membuat persembahan lebih-lebih lagi saya perlu berusaha untuk mengumpul dana mengubati penyakit jantung ini,” katanya ketika majlis sidang media program hiburan Inilah… di Hotel Hilton di sini, Rabu lalu.

Pada bulan lalu, Latiff baru dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana tekanan darah rendah selain mengidap paru-paru berair.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana undangan nyanyian yang diterimanya tidak pernah putus sejak Hari Raya Aidilfitri lalu selepas keluar dari IJN.

Dalam perkembangan lain, Latiff turut merangka untuk tampil dengan album baru hasil kolaborasi dengan Datuk Ahmad Nawab dan Datuk Captain Gulzar Mohamad.

“Saya akan membuat kemunculan semula selepas 20 tahun tidak menghasilkan album penuh. Semuanya bermula selepas Captain Gulzar meminta saya membuat album baru kerana saya dan dia berkenalan kira-kira enam tahun lalu.

“Album ini akan menampilkan 10 lagu yang memuatkan lagu baru dan lagu lama saya seperti Sabar Menanti dan lagu-lagu nyanyian Broery Marantika. Bagaimanapun, semuanya masih dalam perbincangan dan belum boleh diperkatakan lebih lanjut,” ujarnya lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails