Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Mak Mah. Show all posts
Showing posts with label Mak Mah. Show all posts

Dulu seorang, sekarang berdua - Mak Mah

USIANYA telah mencecah 69 tahun. Sepanjang hidupnya, seniwati Ruminah Sedik atau Mak Mah pernah melalui kegagalan dalam perkahwinan sebanyak empat kali. Setelah 10 tahun terbiasa hidup menggalas status janda, Mak Mah kini ada sebab untuk tersenyum bahagia apabila hidupnya kini tidak lagi keseorangan. Bertemu jodoh bersama pasangannya Al Fatah Rahim, 71, pada Mei lalu, sambutan Aidilfitri tahun ini tentunya mempunyai keistimewaan tersendiri buat Mak Mah dan pasangan. Bertemu di kediaman mereka di Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan tempoh hari membolehkan Pancaindera merakamkan aksi menarik Mak Mah dan Rahim dalam persiapan menyambut Aidilfitri sebagai pengantin baru pada usia emas. Anak-anak beri peluang Masih dirai bagai pengantin baru, Mak Mah mengakui pada awalnya berasa serba salah apabila sambutan Hari Raya tahun ini di kediaman suaminya di Felda Jelai. "Selama ini saya beraya dengan anak-anak. Tiap-tiap tahun anak-anak akan ambil giliran beraya. Macam tahun ini, jatuh di rumah abang kepada Adlin. Jadi patutnya beraya di sana. "Mana nak tahu doa saya untuk bertemu jodoh akhirnya diperkenan Tuhan, jadi anak-anak sudah setuju beralah biarkan saya beraya dengan suami, anak-anak dan keluarga di sini. "Mula-mula sedih juga sebab dah terbiasa raya dengan anak-anak. Tapi mereka kata 'tak apa, mak rayalah dengan suami'. Mereka kata saya tak perlu risau tentang mereka sebab masing-masing pun sudah berkeluarga," katanya yang lega kerana semua anak-anak memahami situasinya. Bahagia seorang isteri Merupakan perkahwinan kali kelima, Mak Mah yang popular dengan filem Jangan Pandang Belakang ini mengakui jodoh kali ini ada kelainannya. "Saya bersyukur kerana dikurniakan suami sekarang. Saya akui banyak bezanya. Orang kata ini cinta orang tua. Pendek kata, segala kasih sayang yang dicurah, semuanya kerana ibadah. "Sentuhan dia satu ibadah. Ciuman dia satu ibadah. Itulah yang dia sentiasa lakukan dari awal kahwin tempoh hari sampai sekarang. "Malah saya rasa amat bahagia kerana Ramadan tahun ini saya dapat menjalankan ibadah dengan teratur. Tak tinggal tarawih, tadarus dan baca Al-Quran bersama suami. Alhamdulillah sangat sebab saya dikurniakan seorang suami yang kuat pegangan agama. "Itulah yang saya doakan selama ini. Tak sangka Tuhan beri saya ‘hadiah’ yang tak ternilai ini," katanya lagi. Bercerita lanjut kata Mak Mah, dia juga kadangkala tersenyum sendirian kerana suaminya itu seorang yang begitu penyayang, bertanggungjawab serta romantis. "Pendek kata saya memang tak perlu risau kalau kurang belacan, kurang beras, apa sajalah, dia akan sediakan. Tak perlu saya susah-susah macam dulu nak beli sendiri. "Kerja rumah juga begitu. Saya memasak pun dia nak tolong. Apa saja yang dia nampak saya tengah buat, kadang-kadang dia tak bagi saya buat sebaliknya dia tolong buatkan. Dia depakan tangan ke dada sambil berkata biar saya buat, ini tanggungjawab saya. Terharu hati seorang isteri bukan?" katanya yang sesekali sempat bermanja dengan suaminya ketika penggambaran dilakukan. Memuji Rahim pandai memasak kata Mak Mah, awal perkahwinan tempoh hari dia kerap menangis kerana kurang mahir cara masakan orang Negeri Sembilan. "Maklumlah orang disini suka makan makanan pedas. Saya pula kurang dari segi itu. Apabila memasak masak lemak cili api dia perhati di belakang, saya jadi tak reti. Akhirnya dia yang masak dan masakan dia memang sedap. Maklumlah memang tukang masak!" puji Mak Mah. Cinta di usia emas Sengaja menggali pandangan Rahim mengenai percintaan di usia emas, kata peneroka Felda ini, tiada salahnya menunjukkan rasa cinta dan kasih sayang biarpun usia sudah senja. Menurut Rahim, itu yang dipraktikkannya sejak dulu biarpun Mak Mah bukanlah wanita pertama dinikahinya. Bagi Rahim perkahwinan perlu sentiasa disuburi dengan kasih sayang serta cinta dan tiada sebab untuk seseorang berasa malu untuk menunjukkannya secara terang-terangan. "Jujurnya saya dengan Mak Mah memang begini setiap hari. Saling bergurau, manja dan berkasih sayang. Setiap masa ucapan ‘saya sayang awak’ tidak pernah kurang daripada mulut saya, begitu juga apabila saya memuji dia cantik. Dia isteri saya kenapa saya perlu malu nak tunjuk rasa itu. "Tugas suami adalah untuk membahagiakan isteri. Lagipun usia semakin senja, dah tiada apa yang kita nak kejarkan di dunia, semuanya demi ibadah dan bekalan untuk dibawa ke akhirat. Kita sayangkan isteri, syurga dekat dengan kita. Tapi kena seiring dengan amalan. Allah SWT juga suka apabila kita buat begitu," ujarnya. Berkongsi pandangan mengenai karakter Mak Mah kata Rahim, dia tidak menyangka, pertemuan mereka di Mekah semasa menjalankan ibadah umrah Mac lalu membawa bahagia buat dirinya. Kata Rahim, Mak Mah memiliki ciri-ciri wanita yang diingininya sebagai isteri setelah setahun lebih hidup menduda dan dijaga oleh cucu perempuannya, Nur Sakina Aisyah Hussain, 18. "Sebenarnya bukan mudah nak pikat hati saya. Selama ini bukan tiada yang cuba nak ketuk pintu tapi hati saya tak terbuka. Tetapi entah kenapa apabila tengok Mak Mah, saya tahu dialah orangnya. "Dia memang isteri yang saya cari selama ini, seumpama kami ini saling melengkapi. Saya amat bahagia dan bersyukur dikurniakan Mak Mah sebagai isteri saya untuk kami saling menyayangi dengan baki sisa hidup yang ada," ujarnya. Dalam pada itu kata Rahim, dia tidak pernah terfikir untuk menghalang isterinya daripada terus berlakon sementelah sedar bahawa isterinya itu seorang seniwati terkenal tanah air. "Sebenarnya kalau boleh kita memang tak mahu berpisah. Setiap kali dia kena pulang ke Kuala Lumpur untuk bekerja, saya sebenarnya bimbang cepat rindu. Tetapi nak buat macam mana, itu kerjaya dia maka saya lepaskan dan reda. Tapi kalau tak ada kerja, memang saya mahu dia ada di rumah ini saja," katanya yang turut berseloroh dan menganggap Mak Mah bertuah kerana kini bergelar seorang penerokawati. Kongsi Rahim lagi, memandangkan ramai yang mengenali siapa isterinya, kadangkala dia mengaku terbit rasa cemburu dalam hatinya tatkala melihat orang ramai memanggil dan mengerumuni isterinya itu. "Pernah berlaku apabila kami berjalan berdua, orang panggil namanya tapi saya yang di sebelah orang macam tak perasan. Apabila orang panggil ‘Ruminah Sidek, Ruminah Sidek!’ makin kuat saya peluk dia, pegang tangan dia. Cemburu juga. "Kadangkala apabila dia dikerumuni orang ramai, contohnya macam dia berdiri di tengah-tengah, entah kenapa saya lihat dia yang paling cantik. Mungkin aura dia barangkali dan anugerah daripada Allah SWT," katanya lagi.

Mak Mah tidak lupa Tompel

Ruminah atau lebih mesra dengan panggilan Mak Mah sentiasa terkenang nostalgia pahit manis meskipun dia hanya sempat menjadi isteri Tompel atau nama sebenarnya Aman Ramlie Jaafar selama dua tahun dua bulan sahaja. Menurut Mak Mah atau nama sebenarnya Rominah Sedik, biarpun tempoh berumahtangga dengan Tompel singkat tetapi banyak perkara positif yang dipelajari daripada pelawak legenda tersebut. "Suami saya meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya di Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 1973. Ketika itu, usianya 56 tahun dan dua anak hasil perkahwinan saya dengannya iaitu Adlin dan Azlan masih kecil lagi. "Sepanjang perkahwinan saya dengan Tompel, saya dapati dia seorang yang baik dan tidak suka memarahi isteri. Selain kelakar orangnya, suami saya itu seorang yang sangat kuat bekerja tanpa mengira siang ataupun malam. "Contohnya, kalau arwah suami saya menulis skrip drama televisyen yang diarahkannya, dia akan menghabiskannya sampai ke pagi. Sifat itu banyak diwarisi oleh anak-anak terutama Adlin," katanya kepada S3 baru-baru ini. Katanya, Adlin anak bongsu daripada dua beradik hasil perkahwinannya dengan Tompel itu paling banyak dipengaruhi sifat bapanya yang rajin bekerja serta meneruskan bakat seni arwah sebagai pelakon, pengarah dan penulis skrip. Jelas Mak Mah, dia bertemu jodoh dengan Tompel sewaktu sama-sama terbabit dalam drama bersiri televisyen terbitan RTM berjudul Keluarga Tompel pada tahun 1969. Dia yang berlakon dalam Keluarga Tompel arahan pelawak itu tertarik dengan sikap suaminya yang kelakar dan kemudiannya menerima lamaran menjadi isteri Allahyarham sewaktu drama bersiri 13 episod itu sedang popular. "Saya merupakan salah seorang daripada tiga isteri arwah. Saya pula sebelum ini pernah berkahwin dengan suami pertama, Mohd. Taib Hussin pada 1961 sebelum berkahwin dengan arwah Tompel tidak lama selepas itu. "Drama bersiri Keluarga Tompel banyak meninggalkan kenangan manis buat saya kerana disitulah saya bertemu jodoh dengan Tompel. Malah saya juga tidak boleh lupakan watak lakonan saya ketika itu. "Dalam drama tersebut, saya melakonkan watak Mak Mah, seorang wanita tua yang berumur 55 tahun walaupun ketika itu umur saya baru 23 tahun. Orang panggil nama saya Mak Mah sejak dari saat itu sampailah sekarang," jelasnya mengimbau nostalgia lampau. Tambah Mak Mah, dia bersyukur kerana bidang lakonan bukan sahaja telah mempertemukan jodohnya dengan insan seni istimewa itu tetapi turut meletakkan namanya sebagai pelakon dalam bidang lakonan tanah air sehingga kini.
Malah filem berjudul Anak Bapak arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang dilakonkannya bersama Tompel pada pertengahan tahun 1960-an itu juga masih diminati ramai sehinggalah ke hari ini. Anak kedua daripada 16 beradik itu tidak menafikan pembabitan awalnya dalam perbahasan dan deklamasi sajak sewaktu zaman persekolahan banyak membantu mengembangkan bakat seninya. "Sewaktu zaman persekolahan saya pada tahun 1956, saya selalu mewakili sekolah dalam pertandingan bahas dan membaca sajak. Saya pernah menjadi juara dalam pertandingan bersyair seluruh Selangor pada 1957. "Saya juga pernah menjadi juara Ratu Kebaya daerah Klang, Selangor pada awal tahun 1960-an. Selepas itu, saya mula terbabit dalam pementasan bangsawan antaranya bertajuk Raden Mas dan Laila Manja. "Pada masa sama, saya aktif dalam pasukan Askar Wataniah dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Majlis Belia Malaysia. Selepas itu, barulah saya terbabit dalam bidang lakonan drama televisyen dan filem sehinggalah sekarang," tuturnya. Anak kelahiran Meru, Klang ini telah berlakon puluhan filem antara yang terbaru, Puteri Gunung Ledang, Jangan Pandang Belakang, Congkak, Pensil, Magika dan yang terbaru, Momok Jangan Cari Pasal. Pada usianya yang mencecah 66 tahun kini, Mak Mah berasa gembira dengan kehidupan yang telah dilalui dalam bidang lakonan selama lebih 40 tahun dan juga di samping keluarganya yang boleh dikategorikan sebagai sebuah keluarga besar. "Saya bersyukur kerana bukan sahaja mempunyai anak-anak sendiri tetapi juga lebih 10 anak tiri hasil perkahwinan bekas-bekas suami saya dengan isteri mereka. Saya seperti menjadi ibu segera yang mempunyai ramai anak pada satu masa. "Saya anggap semua anak tiri saya itu seperti anak-anak saya sendiri. Mereka juga menganggap saya seperti ibu mereka. Saya juga mempunyai tiga lagi anak iaitu Mohd. Ali, Mohd. Ramadan dan Siti Hadijah, hasil perkahwinan saya dengan Ahmad Safari tidak lama dulu. "Selain itu, saya juga dikurniakan seorang anak hasil perkahwinan saya dengan Mohd. Taib iaitu Mohd. Hakim. Daripada tiga perkahwinan itu, saya dikurniakan enam orang anak semuanya," kata nenek kepada lapan orang cucu ini lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails