Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Malek Noor. Show all posts
Showing posts with label Malek Noor. Show all posts
Cinta untuk dijaga - Malek Noor
DATUK Malek Noor yang berkahwin buat pertama kali pada usia 57 tahun menasihatkan 'bujang-bujang terlajak' agar tidak putus asa dan berusaha menyempurnakan fitrah diri sebagai manusia.
Beliau berkata, perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW dan martabat seorang lelaki menjadi tinggi apabila mengahwini seorang wanita solehah.
"Mesej saya kepada para bujang terlajak ingatlah, ini sunnah Nabi Muhammad SAW. Kita naikkan martabat kita sebagai lelaki dan kita naikkan martabat seorang wanita menjadi isteri.
"Nabi pun tak mengaku umat jika kita tidak kahwin. Sebab itu saya minta kepada bakal bapa-bapa tua tu, kahwinlah," katanya dalam satu pertemuan dengan Mega di kediamannya di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Malek yang berkahwin dengan Datin Dr. Wan Asma Wan Ismail pada 12 Mac tahun lalu berkata, walaupun beliau memperisterikan seorang ibu tunggal yang memiliki tujuh anak, beliau tidak merasakan dirinya telah berkahwin dengan seorang 'janda'.
Tarikh tersebut dipilih sendiri oleh Malek kerana pada tarikh sama beliau berdoa di hadapan Kaabah setahun sebelumnya (12 Mac 2011) memohon untuk mendapat seorang isteri solehah.
"Kalau niat kita itu betul kerana Allah, nescaya Dia melindungi semua baik buruk perkahwinan.
"Saya tidak rasa saya kahwin dengan janda. Orang di sekeliling pun tidak menyindir saya, malah mereka gembira dan mengucapkan tahniah.
"Mungkin jika saya pernah kahwin dengan orang lain ketika muda Allah akan uji dengan perbalahan dan perceraian. Tetapi Allah takdirkan saya kahwin pada usia ini dan mendapat isteri yang baik," katanya.
Ketika ditebak persoalan zuriat dan kemungkinan beliau berpoligami, Malek dengan tegas berkata, beliau percaya Allah memberi anugerah cinta untuk dijaga dan bukan menyakiti hati perempuan untuk diduakan.
Katanya, beliau sudah ada seorang anak angkat dan tujuh anak tiri serta enam cucu tiri yang memanggilnya 'papa' untuk berkongsi kasih sayang dan perhatian.
"Saya minta maaf. Bagi saya lelaki zaman ini yang mahu berpoligami sebenarnya lebih bermotifkan kebendaan dan hawa nafsu.
"Poligami itu sunnah Rasulullah SAW. Tetapi lihatlah wanita bagaimana yang baginda kahwini dan apa tujuan di sebalik pernikahan baginda.
"Lagipun bagi saya, saya sudah mengikut sunnah baginda dengan berkahwin dan Insya-Allah saya akan jaga satu-satunya isteri saya, buat segala yang Allah perintah dan tinggal larangan-Nya. Soal kepuasan dunia bukan lagi keutamaan saya," katanya.
Tambahnya lagi, beliau akan tetap mengingati janjinya dengan arwah bapa mentua, Wan Ismail Wan Ahmad yang baru sahaja meninggal dunia pada tarikh 5 Ramadan baru-baru ini pada usia 88 tahun.
"Sebelum majlis akad nikah, arwah menggenggam tangan saya dan berpesan menjaga anak perempuannya itu baik-baik. Saya ingat lagi arwah menyebut 'mu jaga anak aku molek'," katanya.
Malek Noor Akhirnya Jadi Suami Kepada Pakar Pediatrik
PETALING JAYA: Hanya dengan sekali lafaz, bekas ahli bina badan negara Datuk Malek Noor akhirnya selamat bergelar suami kepada Pakar Pediatrik, Dr Wan Asma Wan Ismail.
Kedua-dua pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Wan Ismail Wan Ahmad,87, di kondominium, Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini kira-kira pukul 11 pagi, Isnin.
Dr Wan Asma,52, bertugas di Hospital KPJ Pakar Perdana, Kota Bharu manakala Malek atau nama sebenarnya Abdul Malek Mohamaed Noor,56, kelihatan berseri-seri dengan pakaian sedondon berwarna putih gading.
Menariknya pada perkahwinan tersebut pengantin lelaki hanya memberikan senaskhah al-Quran sebagai mas kahwin tanpa wang hantaran disertai lima dulang hantaran berbalas sembilan daripada pengantin perempuan.
Dr Wan Asma memberitahu beliau tidak memerlukan wang hantaran kerana segala kelengkapan sudah beliau miliki.
Apa yang penting beliau berharap perkahwinan mereka berdua kekal bahagia sehingga ke akhir hayat.
“Kami berdua bersetuju tiada wang hantaran kerana saya tidak perlukan semua itu,” katanya.
Dalam pada itu Dr Wan Asma berkata, beliau tidak berhasrat berpindah ke ibu negara mengikut suaminya kerana sudah selesa dengan pekerjaannya di pusat perubatan tersebut. Bagaimanapun setiap hujung minggu dia akan berjumpa dengan suaminya di Kuala Lumpur.
“Saya akan pergi ke Kuala Lumpur untuk berjumpa suami setiap hujung minggu. Kalau suami ada masa, dia akan datang ke Kota Bharu pula,” ujarnya.
Sementara itu Malek berharap agar perkahwinan tersebut menjadi yang pertama dan terakhir dalam dirinya selepas sekian lama hidup membujang.
Dr Wan Asma mempunyai tujuh orang anak berusia 11 hingga 30 tahun serta empat orang cucu dan sudah tiga tahun menjanda manakala Malek memiliki seorang anak angkat iaitu Nik Nuramalin Aisyah Nik Mahmud berusia 2 tahun.
Pasangan tersebut berkenalan selepas berhubung atas urusan perniagaan pada November tahun lalu sehinggalah Malek membuat keputusan merisik pada Februari lepas.
Majlis resepsi perkahwinan mereka akan diadakan di Hotel Renaissance, pada malam Isnin.
Selain aktif dalam sukan bina badan, Malek pernah berlakon beberapa buah filem termasuklah Ujang (1989), Juara (1991), Rimba Malam (1992) dan Sahabat (1992).
Malek Noor Nikah Doktor Pakar 12 Mac 2012
PETALING JAYA: Bekas juara bina badan Asia, Datuk Malek Noor akan menamatkan zaman bujangnya dengan seorang doktor pakar.
Malek berkata, majlis pernikahannya dengan ibu kepada lima orang anak itu akan diadakan secara sederhana di rumah keluarga perempuan di Kota Baharu, Kelantan pada 12 Mac depan.
Majlis resepsi perkahwinan pula akan diadakan sehari selepas itu di Hotel Renaissance, Kota Baharu.
Menurut Malek, dia amat bersyukur ketika berusia 56 tahun, Allah menemukan jodohnya dengan seorang wanita yang benar-benar mengambil berat terhadapnya selain bersifat penyayang.
“Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana membuka pintu hati saya untuk berkahwin dan menemukan saya dengan wanita yang benar-benar baik untuk dijadikan seorang isteri,” katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.
Malek yang masih mahu merahsiakan identiti wanita tersebut berkata, dia mengenali doktor berkenaan yang bekerja di sebuah hospital swasta dekat sini sejak empat bulan lalu ketika membincangkan urusan perniagaan.
Katanya, selepas pertemuan itu mereka sering berhubung sehinggalah wanita tersebut bertanyakan sama ada selesa atau tidak untuk berkawan.
Kata Malek, secara jujurnya dia membalas pertanyaan wanita yang berusia 52 tahun itu dengan baik sehinggalah timbul perasaan sayang dalam diri masing-masing.
“Sejak hari itu kami sering memanggil diri kami dengan perkataan “sayang” sehinggalah saya membuat keputusan untuk menjadikannya sebagai isteri,” katanya.
Menurut Malek lagi, dia bertambah gembira kerana kelima-lima bakal anak tirinya yang ada di antaranya sudah bekerja dan berumah tangga boleh menerimanya dalam keluarga mereka.
Sementara itu menurut Malek, dia memilih tarikh 12 Mac 2012 sebagai detik terindah untuk bergelar suami kerana mahu mengimbas perjalanannya ke Tanah Suci, Mekah pada tarikh sama tahun lalu untuk mengerjakan umrah.
Katanya, semasa di Mekah, dia memohon doa kepada Allah agar memberi hidayah kepadanya serta petunjuk termasuklah mengenai calon isteri.
Selepas pulang daripada mengerjakan ibadah tersebut kata Malek, perjalanan hidupnya menjadi semakin mudah sehinggalah dia bertemu dengan wanita berkenaan.
“Wanita itu berjaya mengubah hati saya untuk bergelar suami. Segala-galanya selepas Allah mempermudah doa-doa saya. Syukur sekali,” katanya.
Selain aktif dalam sukan bina badan, Malek pernah berlakon beberapa buah filem termasuklah Ujang (1989), Juara (1991), Rimba Malam (1992) dan Sahabat (1992).
Beliau sebelum ini mengaku tidak pernah melakukan ibadat selama 34 tahun tetapi akhirnya mendapat hidayah selepas mendengar azan Maghrib dari masjid KLCC yang terletak berdekatan rumahnya di sebuah kondominium mewah di kawasan terbabit.
Erti puasa Malek Noor

ADA yang bertanya mengapa Malek Noor menjadi figura pertama untuk ditemu bual pada hari pertama Ramadan Al Mubarak yang bermula hari ini.
Relevannya mudah. Barangkali ada yang beranggapan bekas jaguh bina badan negara ini terlalu ‘senior’ untuk dijadikan bahan utama. Namun bukan itu yang Kosmo! pedulikan.
Sebaliknya, kami mahu berkongsi cerita tentang pengalaman puasa bagi figura yang mengaku tidak pernah berpuasa sepanjang usianya sehingga menjangkau usia tua.
Sebelum ini, umum tahu Malek telah membogelkan kisah hidupnya yang tidak pernah hidup berlandaskan jalan Islam. Tidak solat, memakan makanan haram termasuk daging khinzir dan meminum arak adalah hal bukan tabu bagi dirinya.
Begitu juga soal kewajipan berpuasa. Malek tidak berasa penting untuk dia berpuasa sedangkan ia adalah rukun Islam kedua yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam.
Namun selepas mendapat hidayah sekitar usia 46 tahun, kehidupan Malek kini berubah secara total. Dia telah lama meninggalkan segala yang haram dan berusaha menjadi umat Islam yang baik dengan menunaikan sebanyak mungkin kewajipan yang disyariatkan, termasuklah berpuasa di bulan Ramadan.
Tahun ini, baru genap 10 tahun Malek Noor berpuasa penuh. Dia tidak malu untuk mengaku hal tersebut walaupun kini usianya sudah menjangkau 55 tahun.
Banyak cerita yang dikongsi Malek tentang keterujaannya berpuasa. Bagi figura yang baru pulang mengerjakan umrah pada awal tahun ini, nikmat berpuasa tidak boleh ditukar ganti.
“Alhamdulillah, sejak selepas bertaubat, saya masih belum pernah tertinggal satu hari pun puasa. Malah saya juga melakukan puasa sunat seperti puasa enam dan sebagainya.
“Saya kini berusaha sehabis baik untuk menggantikan semua dosa tidak berpuasa yang pernah saya lakukan dahulu,” ujarnya sambil tersenyum.
Malek memberitahu, sewaktu zaman dia tidak mempedulikan kewajipan berpuasa, dia akan makan pada waktu siang hari seperti biasa.
“Tapi saya masih hormat orang lain yang berpuasa, jadi saya tidak makan di tempat umum. Lagi pula saya pun dikenali orang, saya harus menjaga nama juga pada waktu itu. Jadi saya hanya akan makan di rumah seperti biasa dan tidak mempedulikan tentang ibadat ini,” luahnya jujur.

Mengenang semula proses pertama kali dia berpuasa, ujar Malek dia sangat teruja untuk melaksanakan ibadat tersebut. Justeru, ia tidak menjadi masalah buatnya untuk memulakan puasa walaupun tidak pernah berpuasa selama lebih 40 tahun sebelum itu.
Malah kini sepanjang Ramadan, selain menahan lapar dan dahaga, apa yang dititikberatkan oleh anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini juga adalah amalan-amalan sunat yang dapat meningkatkan pahalanya.
Mengaku jarang bersahur, ujar Malek: “Aktiviti saya di bulan Ramadan banyak dihabiskan dengan membaca al-Quran, Yassin dan berwirid. Saya berusaha sebaik mungkin bukan sahaja menahan lapar berpuasa, sebaliknya mencuci segala keburukan diri sebersih-bersihnya.”
Bagaimanapun kata Malek, amalan tersebut bukan sekadar dilakukan pada bulan Ramadan, sebaliknya ia juga harus diteruskan pada setiap masa. Ini termasuklah menjaga pertuturan atau bersedekah.
Ditanya tentang menunaikan solat tarawih, seperti ‘melompat’ daripada satu masjid ke masjid lain, Malek ternyata mempunyai persepsi sendiri.
Dia memberitahu, dia bukan individu yang mengejar jemaah tarawih. Bukan tidak menyedari ganjaran yang dijanjikan Allah S.W.T, namun kata Malek, dia lebih gembira jika solat wajib lima waktu dilaksana sempurna dan dijaga baik, sebelum melakukan solat sunat.
“Saya akui, ada masa, saya akan ke masjid menunaikan solat tarawih, tetapi bukanlah setiap hari saya ke masjid, kerana kadang-kadang saya memang terlepas ke masjid melakukan tarawih secara berjemaah.
“Jadi saya akan lakukannya secara berseorangan di rumah. Secara peribadi, bagi saya sendiri, saya amat menitikberat soal solat wajib lima waktu. Apa yang penting solat wajib ini tidak tercicir hanya kerana mahu mengejar ganjaran bertarawih,” katanya jujur.
Sementara itu, ditanya tentang juadah berbuka, Malek tidak memilih juadah, cukup sekadar kurma pembuka selera dan sesekali dia mahu merasa nasi beriani, itu sudah memadai baginya.

Bukan ulama
Mengajak Malek berkongsi serba sedikit tentang transformasi dirinya kini, dia tidak mahu khalayak melihatnya sebagai seorang alim ulama, sebaliknya cukup sebagai salah seorang manusia yang pernah melakukan terlalu banyak khilaf dan sudah bertaubat nasuha untuk kembali patuh ke jalan-Nya.
Mengaku menjalani transformasi negatif kepada positif secara berperingkat-peringkat, perkara keji yang dilakukan secara drastik sebaik mendapat hidayah adalah berhenti memakan daging khinzir dan meminum arak. Sementara hal-hal buruk lain seperti pergi ke kelab malam dan sebagainya dilakukan secara berperingkat.
“Selepas saya mendedahkan kehidupan lampau saya, saya telah mendapat pelbagai respons daripada banyak orang.
“Ada yang menyokong, ada yang sebaliknya mengatakan saya memalukan diri dan keluarga kerana membuka aib yang tidak akan dibuka oleh orang lain.
“Ingin saya tegaskan di sini, saya bukan mahu memalukan keluarga atau membuka aib, sebaliknya saya mahu berterima kasih kepada Allah S.W.T kerana masih memberi saya ruang untuk memperbaiki diri dengan menyedarkan saya tentang khilaf yang dilakukan sebelum saya meninggal dunia dalam kesesatan.
“Saya juga tidak malu mengaku keburukan lampau kerana saya tidak takut atau malu dengan pandangan masyarakat, sebaliknya saya mahu dan takut hanya pada Allah S.W.T sahaja,” tegasnya.
Biarpun sudah berubah paksi, itu tidak bermakna Malek melupai duniawi terus. Dia memberitahu kadang-kala masih bertemu teman-teman lama dan masih mengunjungi karaoke.
Katanya: “Sebab itu saya kata saya bukan alim ulama. Kehidupan saya banyak berubah tetapi saya juga harus menyeimbangi kehidupan duniawi asal ia tidak berlebihan dan sentiasa mementingkan akhirat.”
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
