Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Mark Adam. Show all posts
Showing posts with label Mark Adam. Show all posts
Mark Adam Berang Isteri Ditendang Perompak, Kereta Dicuri
Penyanyi Mark Adam meluahkan rasa sedih apabila isterinya Nor Azah Redzuan, 35, ditendang oleh perompak dalam satu kejadian kecurian kereta di Batu Caves, Gombak pada Khamis lalu.
Mark, 35, berkata, lebih membuatkan dia geram apabila ketika kejadian itu, dia tiada bersama isterinya.
"Kejadian berlaku ketika isteri saya ingin pulang ke rumah kami di Batu Caves di mana sebuah kereta jenis Hilux telah melanggar kereta yang dipandu isteri iaitu Honda CRV dari arah belakang.
"Apabila isteri saya keluar kereta, terdapat tiga lelaki turut keluar dari Hilux tersebut dan salah seorang daripada mereka menendang isteri saya pada bahagian perut manakala seorang lagi terus membawa lari kereta kami.
"Rasa ralat dibuatnya kerana ketika itu saya tiada di sisi isteri," katanya yang dihubungi mStar Online pada Jumaat.
Tambah Mark, salah seorang daripada perompak tersebut telah ditahan polis selepas dia bersama isteri membuat laporan polis di Balai Polis Selayang.
Kata Mark lagi, kejadian itu membuatkan isterinya masih trauma, ditambah pula kesan tendangan itu membuatkan isterinya kerap mengadu sakit perut.
Sementara itu, Mark berharap kejadian yang berlaku pada isterinya dijadikan pengajaran buat orang ramai untuk lebih berhati-hati ketika di jalan raya.
"Sekarang ini macam-macam cara orang nak rompak kereta dan salah satunya mereka melanggar kereta di depan sebelum merompak.
"Kalau nak cakap tentang kereta hilang, ia ada insuran, tetapi bagaimana jika nyawa yang melayang?
"Saya harap kejadian ini dapat menjadi pengajaran buat semua. Buat masa ini saya tidak membenarkan isteri memandu. Lagipun dia masih trauma," ujarnya.
Mark Adam Belum Fasih Berbahasa Malaysia
Penyanyi kelahiran Filipina iaitu Mark Adam mengakui masih mengalami masalah untuk bertutur dalam Bahasa Malaysia biarpun sudah 13 tahun menetap di negara ini.
Mark bagaimanapun berkata, dia sentiasa menggunakan bahasa tersebut dalam pergaulan sehariannya sebagai salah satu cara memantapkan kemahiran selain mendapat tunjuk ajar daripada isterinya sendiri.
"Saya faham apabila orang bercakap dalam Bahasa Malaysia tetapi saya masih belum betul-betul fasih sepenuhnya namun setiap hari adalah proses pembelajaran buat diri saya.
"Isteri adalah guru saya dan dialah yang banyak membantu dan memperbetulkan sebutan sehingga kadang-kadang dia terpaksa mengajar saya berulang kali," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Mark berkata, atas dasar itu juga dia masih belum berani untuk menulis lirik lagu nyanyiannya dalam Bahasa Malaysia kerana bimbang maksud yang ingin disampaikan berbeza daripada idea asalnya.
Jelas Mark, dia lebih selesa menulis lirik dalam Bahasa Inggeris dan meminta bantuan rakan-rakannya untuk menterjemahkannya ke dalam Bahasa Malaysia sebelum ia dirakamkan.
Mark dan Waris bergabung untuk lagu tema filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut yang berjudul Sampai Bila.
"Lirik-lirik lagu dalam Bahasa Malaysia kebanyakannya indah selain cukup puitis tapi saya masih belum sampai ke tahap itu untuk menulis lirik.
"Insya-Allah suatu hari nanti saya ingin mencipta sendiri lirik dalam Bahasa Malaysia dan itu memang menjadi hasrat saya," jelasnya yang turut bertugas sebagai guru vokal di The Singing Shop.
Dalam perkembangan lain, Mark menganggap populariti yang dikecapinya dalam masa singkat bukan bermaksud dia boleh bermegah diri sebaliknya terus bekerja kuat dalam menghasilkan produk terbaik untuk peminat.
Kata Mark lagi, dia menganggap sokongan peminat terhadapnya sebagai luar biasa dan tidak menyangka dapat diterima baik dalam masa singkat.
"Tanpa mereka mungkin saya tiada di sini dan sokongan yang ditunjukkan bukanlah untuk saya lupa diri tetapi lebih bekerja keras pada masa hadapan," katanya.
Sementara itu, Mark berkata, dia kini sedang dalam proses menerbitkan album pertamanya yang dijangka akan dipasarkan pada awal tahun depan.
Jelas Mark, selain menggunakan material sendiri dia turut bergabung dengan DJ Fuzz sebagai penerbit albumnya itu nanti.
"DJ Fuzz adalah seorang yang berbakat besar dan peluang bekerjasama dengannya adalah satu penghormatan buat saya. Kini kami masih lagi dalam proses menyiapkan album berkenaan dan harap-harap ia dapat dilancarkan pada awal tahun hadapan," ujarnya.
Gara-Gara Sibuk Menyanyi, Mark Adam Hilang Pelajar
Penyanyi baharu kelahiran Filipina, Mark Adam, mengakui kesibukannya memenuhi undangan persembahan membuatkan dia yang sebelum ini guru vokal di sebuah akademi muzik 'kehilangan' pelajar.
Mark atau nama sebenarnya Fikri Mark Adam, 34, berkata, dia terpaksa akur dengan situasi itu bagaimanapun bersyukur kerana pelajarnya memahami bahawa dia kini lebih fokus terhadap kerjaya nyanyiannya.
"Sejak lagu single Pencuri mula popular, diakui jadual saya padat dengan undangan nyanyian hinggakan saya tidak ada masa nak mengajar vokal.
"Malah saya juga kehilangan pelajar kerana sibuk menyanyi. Tetapi nak buat macam mana bukan, dalam hidup kita perlu pilih antara satu, yang mana harus kita beri fokus," katanya kepada mStar Online.
Mark juga merupakan guru vokal kepada penyanyi Mizz Nina, Salma dan Asmidar.
Sementara itu, beritahu Mark, walaupun lagu Pencuri dan Katak mendapat respons baik daripada peminat muzik tempatan, namun dia masih belum berpuas hati dengan pencapaiannya itu.
"Baru dua tahun saya dalam industri muzik tempatan, rasanya saya masih hijau dalam bidang ini.
"Tetapi saya menyimpan cita-cita mahu dikenali sebaris nama besar dalam bidang ini seperti Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah. Mungkin ketika itu saya akan berpuas hati," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Mark kini dalam proses menyiapkan album yang akan memuatkan 13 lagu, selain merancang menghasilkan dua lagu khas untuk dipasarkan di negara kelahirannya tidak lama lagi.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
