Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Maulana. Show all posts
Showing posts with label Maulana. Show all posts

Saya tak merajuk pun - Maulana

TIDAK ramai artis berani bersuara mempertikaikan tempat mencari rezekinya selama ini dan sewenang-wenangnya membandingkan dengan tempat baru yang bakal diduduki di luar negara satu masa nanti. Biarpun rancangan berhijrah itu masih kabur tetapi mengundang rasa senang segelintir pihak apabila ia dihebahkan kepada umum. Tambahan pula negara pilihannya untuk berhijrah ialah United Kingdom (UK), negara yang sudah maju dan punya taraf hidup penduduk yang tinggi. Kenapa pula tidak dipilih negara-negara membangun seperti China atau Indonesia, mudah sikit urusan migrasi dan kerenah birokrasi penghijrahan. Apa pun, itu semua pilihan penyanyi bernama sebenar Muhd. Firdaus Maulana Mohamed atau lebih glamor dengan nama pentas Maulana. Bintang kelahiran rancangan realiti televisyen Akademi Fantasia Kelapan (AF8) ini semakin jelas dengan keputusannya untuk meninggalkan tanah air dan membina penghidupan baru di negara asing. Apa yang membuatkan Maulana nekad untuk berhijrah? “Saya dah bosan dengan budaya kerja orang industri kita yang sentiasa caras mencaras antara satu sama lain. Tawaran kecil pun nak berebut. Itu belum masuk bab bayaran. Sangat teruk dan berterusan setiap kali ada tawaran. “Itu belum masuk lagi bab kronisme dan pilih kasih penganjur acara hiburan yang asyik bagi muka-muka yang sama untuk show mereka. Walaupun artis itu tak berbakat, tapi atas dasar hubungan akrab, mereka akan dapat tawaran demi tawaran," dedahnya. Takkan atas dua sebab itu lelaki berusia 24 tahun ini merajuk hati dan mahu meninggalkan tanah kelahiran sendiri? Menjawab persoalan ini, Maulana memberitahu itu bukan pucuk pangkalnya. Ada yang lebih serius dari dua perkara itu. “Kalau nak tahu artis kita suka turunkan harga bayaran mereka. Bukan sikit-sikit, tapi separuh harga, malah lebih dari itu. Saya dah banyak kali terkena. Memang patut letak harga murah, tapi janganlah tak sepadan dengan bakat yang ada. “Semua perangai itu yang membusukkan nama industri kita. Sebab itu saya berani cakap lantang dan juga penyebab artis baru macam saya ini susah nak naik. “Saya tahu saya tak popular, tak menang apa-apa anugerah pun. Tapi bila saya ada pilihan untuk berhijrah, kenapa saya tak manfaatkan peluang itu? Lebih-lebih lagi bila tempat baru itu lebih menghargai bakat macam saya," luah Maulana lagi. Kecewa Adakah rancangan penghijrahan Maulana berkait rapat dengan kejadian tawaran pembiayaan untuk ke peringkat seterusnya pada program X Factor Britain Got Talent di UK pada hujung Januari lalu ditarik balik saat-saat akhir. “Ye, benar. Tapi tak apalah, mungkin bukan rezeki saya. Sama juga situasinya bila saya tersenarai sebagai finalis untuk World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS). “Tapi benda itu dah lepas. Tak apalah, apa yang penting sekarang ini masa depan saya. Kena kerja kuat dari sekarang. Saya kena ubah nasib saya, tak kan nak goyang kaki, tunggu perkara ajaib berlaku," nekadnya. Pemegang watak Adua dalam teater Primadona... Perahu Mimpi ini juga menegaskan bahawa rancangan penghijrahan ke UK satu masa nanti itu dibuat secara teliti termasuk memikirkan apa yang bakal dilakukan sewaktu bergelar pendatang asing. “Saya nak buka kedai makan yang ada diselitkan acara hiburan sekali. Apa pun benda ini masih dalam perancangan. Nanti bila dah siap semua, saya akan beritahu," ujar penyanyi album Youth di bawah Majlis Belia Malaysia dengan kerjasama Orlaith ini mengakhiri perbualan.

Dunia Hiburan Banyak Kerenah, Maulana Bawa Diri Ke U.K

PETALING JAYA: Penyanyi Maulana (AF8) mahu membawa diri ke United Kingdom (U.K) pada tahun ini selepas kecewa dengan kerenah industri hiburan tempatan. Penyanyi lagu RSVP ini berkata, keputusan itu sudah lama dipertimbangkan sejak dia mula menyedari kedudukannya sebagai penyanyi yang tidak stabil dan terumbang-ambing. “Saya berasa terkilan apabila melihat keadaan industri muzik tempatan yang terlalu banyak kerenah tetapi kurang menyokong perkembangan bakat-bakat pelapis. “Realitinya, amalan kronisme di kalangan penggiat dan penganjur acara hiburan kita hanya memberikan peluang kepada muka-muka yang sama. Sekalipun artis berkenaan kurang berbakat tetapi atas dasar hubungan akrab, mereka akan dapat tawaran demi tawaran. “Saya tidak mempertikaikan peluang yang diterima artis-artis lain kerana itu adalah rezeki masing-masing tetapi saya sendiri berasa seperti disisihkan dan sukar untuk berkembang dalam keadaan yang positif dalam industri sendiri,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, baru-baru ini. Penyanyi berusia 24 tahun itu berkata, dia mahu mencabar dirinya dengan mencari peluang di negara berkenaan selepas pernah terpilih dalam peringkat pertama uji bakat program nyanyian X Factorpada hujung Januari lalu. “Saya mahu menguji pasaran dan penerimaan orang luar terhadap bakat saya. Kejayaan saya apabila layak mara ke peringkat kedua uji bakat program X Factor di U.K pada Januari lalu membuktikan saya mungkin berpeluang untuk mengembangkan bakat negara itu. “Namun, saya terpaksa lepaskan peluang tersebut kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk berulang-alik ke sana. Secara kebetulan juga saya mempunyai saudara-mara dan kenalan untuk saya menumpang bagi membolehkan saya mencari peluang untuk memulakan karier nyanyian,” katanya. Maulana menambah, selain hasrat itu, dia turut merancang untuk memulakan perniagaan restoran makanan Melayu di U.K. “Alang-alang hendak mencari peluang nyanyian di sana, saya dan keluarga merancang untuk memulakan perniagaan restoran. Secara kebetulan, saya mempunyai pakcik dan beberapa kenalan yang boleh membantu,” katanya.

Maulana Berniaga Pakaian Secara Dalam Talian


PETALING JAYA: Penyanyi Maulana mula berjinak-jinak menceburi perniagaan pakaian dalam talian pada awal bulan lalu.

Maulana berkata, dia memulakan perniagaan ini secara kecil-kecilan sebelum meneruskan cita-citanya untuk membuka butik pakaian.

“Para peminat boleh melayari laman Facebook ‘Maulana Clothing’ untuk melihat koleksi pakaian yang dijual.

“Setakat ini saya baru menjual pakaian wanita seperti gaun labuh dan kaftan. Dengan izin Allah, saya teringin untuk membuka butik pakaian untuk lelaki dan perempuan,” katanya kepada mStar Online.

Menurutnya, selain menyanyi dia akan menjadikan perniagaan ini sebagai punca pendapatan sampingan.

Selain itu, dia mengambil peluang ini kerana mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w yang menggalakkan umat Islam berniaga.

“Orang-orang tua cakap ikut sunnah Nabi seperti berniaga pasti berjaya. Insya-Allah,” katanya.

Maulana Tunai Nazar Untuk Ibu


SHAH ALAM: Penyanyi Maulana Mohamed menunaikan nazar untuk ibunya, penyanyi pop yeh yeh 60-an, S.Mariam selepas setahun menyimpan hasrat itu ketika memasuki Akademi Fantasia musim kelapan.

Sehubungan itu, penyanyi lagu RSVP dan Muzika Melodi Cinta ini akan menganjurkan showcase sempena hari ibu yang dinamakan 'Ratu Hatiku' pada 8 Mei ini, pukul 8 malam di Pusat Konvensyen di sini.

Showcase tersebut turut menampilkan S.Mariam sebagai penyanyi jemputan dan Azrul Zaidi (Raja Lawak) untuk mengacara majlis.

"Sejak saya memasuki AF8, saya sudah bernazar untuk berkongsi pentas dengan ibu. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat juga usahakan impian ini sendiri dengan bantuan syarikat pengurusan acara, Lensa Creative dan sokongan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

"Nama 'Ratu Hatiku' dipetik daripada senikata lagu Ibu nyanyian P.Ramlee," katanya ketika sidang media di Pusat Konvensyen di sini, Jumaat.

Maulana akan mempersembahkan hampir 20 buah lagu seperti lagu RSVP, Muzika Melodi Cinta, rangkaian lagu popular P.Ramlee dan Datuk Shiela Majid serta lagu Inggeris baru dan lama.

"Saya sudah biasa menyanyikan lagu P.Ramlee dan Shiela Majid dan merasakan lagu kedua-dua penyanyi itu sesuai dengan sasaran tetamu yang berusia antara 40 hingga 50 tahun.

"Saya juga akan memilih lagu yang berkisarkan tentang cinta yang bersifat subjektif seperti lagu Mencintaimu nyanyian Kris Dayanti. Selain itu, lagu Jeritan Batinku dan Madu Tiga dari P.Ramlee, Dia dan Sinaran (Sheila) serta Just The Way You Are (Bruno Mars).

"Persembahan tersebut memang khas untuk ibu saya yang berstatus ibu tunggal dan membesarkan kami enam beradik seorang diri.

"Saya tidak sabar untuk mengabadikan kenangan itu bersama-samanya buat kali pertama di persembahan itu nanti kerana saya akan berduet dengannya dalam dua atau tiga buah lagu," ujarnya lagi.

Pihak penganjur juga akan mengundang tetamu-tetamu istimewa yang terdiri daripada warga emas dan ibu-ibu tunggal dengan kerjasama pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lain-lain Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan.

Tambahnya: "Saya akan membuat persembahan dengan iringan muzik 'live band' menggunakan tujuh jenis alat muzik termasuk saksofon dan trumpet yang dimainkan oleh pihak Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara).

"Nyanyian dengan iringan 'live band' akan membuatkan sesebuah persembahan itu lebih menyentuh jiwa."

Selain nyanyian dan hidangan makan malam, tetamu turut berpeluang menerima cenderahati, hadiah cabutan bertuah termasuk LCD dan mutiara serta 'kejutan'.

Tiket sudah mula dijual berharga RM2,500 setiap meja VIP, RM188 setiap orang (meja platinum) dan RM158 setiap orang (meja emas).

Ia boleh didapati di SACC ataupun hubungi 03-55118858 (SACC) atau 03-62099858 (Lensa Creative).
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails