Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Mel (Wings). Show all posts
Showing posts with label Mel (Wings). Show all posts

Pesan arwah ibu, bapa ubah Mel


IBU bapa yang baik sentiasa menasihati dan mendoakan kesejahteraan anak-anaknya. Cuma sama ada anak-anak mengambil kisah atau sebaliknya, terhadap segala budi baik yang telah dicurahkan oleh ibu bapa masing-masing.

Sebagai anak yang sentiasa mendengar dan memikirkan segala nasihat ibu bapanya, bekas vokalis kumpulan rock Wings, Mel turut tidak terkecuali mendapat teguran agar menjadi insan yang selamat dunia akhirat.

Menurut Mel atau nama sebenarnya, Ismail Zainuddin, biarpun ibu bapanya telah lama meninggal dunia tetapi dia tetap mengingati setiap nasihat yang diberi kepadanya selama ini.

Malah, penyanyi berasal dari Teluk Intan, Perak ini tidak menafikan nasihat kedua-dua orang tuanya itulah yang menyebabkannya berubah. Dia kini mahu menjadi Mel yang lebih baik dari sebelumnya.

“Saya berubah secara sedikit demi sedikit. Cuma paling ketara adalah sejak lima tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun sejak bapa saya, Zainuddin Mohamad meninggal dunia pada tahun 1978 saya sudah mula terfikir untuk berubah.

"Maksud berubah di sini ialah menjadi orang yang lebih baik dari segi amalan hidup di dunia ini. Juga bagi mencari bekalan untuk akhirat. Pada 1993, ibu saya Rafeah Mat Akhir pula meninggal dunia.

"Ia menambahkan lagi rasa keinsafan saya. Apatah lagi, apabila teringat pesan ibu bapa saya supaya jangan tinggal solat. Pesanan seperti itu terngiang-ngiang di telinga saya sampai sekarang," katanya.

Bapa kepada Ikhwal, 19, dan Rabiatul Adawiyah, 12, ini kini jauh berubah bukan sahaja daripada segi tutur katanya yang semakin lembut, imejnya yang sederhana tetapi juga aktiviti sehariannya.

Bekas penyanyi rock berusia 45 tahun ini tidak membuang jauh bidang nyanyian yang diceburinya suatu masa dulu, tetapi dia cuba memanfaatk annya dengan cara lebih baik.

"Kalau dulu saya hanya menyanyi sahaja tetapi sekarang saya lebih utamakan bidang ceramah agama dan motivasi yang saya adakan di seluruh negara sejak tahun lalu. Sambil menyanyi saya berceramah.

"Imej saya sebagai bekas penyanyi rock sukar dikikis. Ini kerana, walau di mana saya berceramah orang tetap mahu dengar saya menyanyi. Contohnya lagu Semalam Yang Hangat yang pernah dipopularkan bersama Wings," ujarnya.

Mel yang kali terakhir muncul dengan album solonya berjudul Dunia Baru pada 2006 kini semakin ligat memenuhi undangan berceramah di tempat-tempat umum termasuklah jemputan daripada agensi-agensi kerajaan seluruh negara.

Dia yang banyak mengaji di sekolah-sekolah pondok di sekitar Sungai Siput, Perak dan Pulau Pinang berasa begitu tenang kerana dapat berkongsi ilmu serta mengajak para hadirin ke arah jalan kebaikan.

"Minggu lepas misalnya, saya telah dijemput mengadakan ceramah agama di Akademi Laut Malaysia selama hampir dua jam. Saya lihat ramai hadirin yang menyambut baik kedatangan saya walaupun saya bekas penyanyi rock.

"Saya bersyukur kerana mahu berubah dan pengalaman itulah yang ingin saya kongsi dengan semua orang. Bagi saya semua orang mahu berubah. Cuma mungkin hidayah belum sampai. Semua itu kuasa Allah," jelasnya.

Sungguhpun sibuk memenuhi undangan berceramah di merata-rata tetapi tetapi nalurinya sebagai penyanyi masih belum padam.

Mel kini sedang dalam proses menghasilkan album solo terbarunya berjudul Antara Dua Jalan.

Album yang berunsurkan lagu-lagu ketuhanan seperti yang pernah dibawakan oleh Ramli Sarip dan mengandungi 10 buah lagu itu, katanya, kemungkinan besar akan berada di pasaran sebelum hujung tahun ini.

Mel (Wings) Selesa Jadi Pendakwah


KUALA LUMPUR: Bekas vokalis kumpulan Wings, Mel atau nama sebenarnya Ismail Zainuddin, 45, mengakui selesa menjalani kehidupan sebagai pendakwah bebas selepas berundur sebagai penyanyi kira-kira sepuluh tahun lalu.

"Selepas meninggalkan dunia nyanyian, saya selesa dengan kehidupan hari ini iaitu berdakwah dan mengadakan ceramah di merata tempat.

"Selain itu, saya juga aktif menyanyikan lagu-lagu berbentuk ketuhanan tetapi tidak lagi di pentas komersial," kata bapa kepada penyanyi remaja Ikhwal ini.

Mengulas tentang kemunculannya dalam konsert Wings Opera Hidup Rockestra di Istana Budaya baru-baru ini, Mel berkata:

"Saya menyanyi di konsert tersebut semata-mata untuk memeriahkan konsert itu. Ia adalah tanda sokongan dan penghargaan kerana saya pernah bersama Wings satu waktu dulu.

"Namun, ia bukan bermakna saya ingin aktif kembali dalam bidang nyanyian. Saya selesa dengan kehidupan sekarang."

Bersama Wings, Mel sempat menghasilkan sebuah album iaitu Orang Asing (1995) yang menampilkan lagu-lagu popular seperti Lena Diulit Intan dan Semalam Yang Hangat.

Selepas itu, Mel bergerak sebagai penyanyi solo dengan dua album Mencari Enigma Lagu (1996) dan Sukma’98 (1998), sebelum berundur diri untuk menumpukan perhatian pada bidang keagamaan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails