Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Mia Sara. Show all posts
Showing posts with label Mia Sara. Show all posts
Mia Sara Mampu Sabar Dibuli Rakan Sekolah
Pelakon kanak-kanak Mia Sara mendedahkan dia sering dibuli rakan-rakan sekolah termasuk diejek dek kerana popularitinya sebagai seorang artis.
Mia, 10, berkata, terdapat juga rakan-rakan yang memukul malah pernah membaling batu ke arahnya namun dia mengambil pendekatan untuk tidak terlalu sensitif dengan sikap mereka itu.
Ini kerana perbuatan itu tidak mendatangkan kecederaan.
"Mereka buli saya, mengejek, baling batu dan pernah juga pukul saya. Saya sedih juga dan kadang-kala rasa geram. Tetapi ayah pesan, biar orang buat kita, tetapi jangan kita buat orang," katanya kepada mStar Online.
Mia ditemui pada majlis rumah terbuka Media Prima Berhad di Hotel Hilton di sini pada Rabu.
Sementara itu, bapa Mia iaitu Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh berkata, walaupun dia tahu anaknya mengalami nasib sedemikian namun dia enggan masuk campur mengenainya kerana ingin Mia melalui proses berdikari.
"Bagi saya apa-apa yang berlaku di sekolah, biar cikgu yang uruskan, saya tak mahu masuk campur.
"Saya nak Mia melalui proses seperti kanak-kanak lain. Lagipun dia seorang selebriti dan bukan mudah untuknya melalui pengalaman itu. Biarlah dia berdikari dan belajar selesaikan masalahnya sendiri.
"Jangan sampai anak saya cedera teruk kena belasah, sudahlah. Bagaimanapun saya akan pastikan dia mendapat nasihat dan motivasi setiap hari. Saya tak mahu dia pulang ke rumah dengan emosi terganggu," ujarnya.
Muhammad Ridhuan bagaimanapun tidak berhasrat mendedahkan nama sekolah tempat Mia belajar.
Dalam perkembangan lain, Mia bakal terlibat dengan penggambaran drama Super Game Boy, untuk siaran Astro Ceria.
Bapa Mia Sara Bengang Anak Dituduh Hipokrit
Bapa kepada pelakon Mia Sara iaitu Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh berasa terkejut apabila anaknya itu terkait dengan gosip kononnya bersikap hipokrit.
Ridhuan berkata, dia berasa pelik dengan segelintir pihak yang sanggup bercakap buruk dan menyebarkan gosip mengenai Mia yang baru berusia sembilan tahun, seperti pelakon-pelakon dewasa lain.
"Sebenarnya saya tidak mempunyai masalah atau terkilan dengan gosip yang timbul kerana ia semestinya tidak benar. Rasa kelakar pula, dengan budak kecil yang masih tidak faham apa-apa pun orang nak jadikan bahan gosip.
"Tidak mengapa, orang bercakap, kita yang dapat pahala. Saya akan tuntut di akhirat nanti," katanya yang dihubungi mStar Online pada Khamis.
Sebuah akhbar mingguan pada 23 November lalu menerusi ruangan pojok melaporkan Mia bersikap hipokrit apabila membuat kenyataan kononnya mengagumi kejayaan pelakon cilik, Balqis yang menang Pelakon Wanita Terbaik di majlis Anugerah Skrin 2014 pada 7 November lalu.
Sedangkan Mia dilaporkan tidak menegur atau bercakap dengan Balqis ketika mereka bekerjasama dalam produksi yang sama sebelum ini.
Sementara itu, Ridhuan berkata, dia sememangnya mendidik Mia untuk tidak terlalu banyak bercakap ketika menjalani penggambaran kerana risau tingkah laku anaknya itu mengundang rasa kurang senang terhadap pihak lain.
Malah, bagi memudahkan perjalanan penggambaran, dia turut menyediakan semua kelengkapan termasuklah set barangan solek, beg dan baju sendiri selain ada orang menjaganya sepanjang berada di lokasi penggambaran.
"Apabila saya sediakan segala kelengkapan untuk Mia, itu pun dah ada orang bercakap kononnya nampak 'poyo'. Walhal saya mahu memudahkan lagi perjalanan produksi dan tidak mahu kerana anak saya, orang lain pula bermasalah.
"Pada masa sama saya turut memberitahu Mia untuk tidak banyak bercakap di set dan hanya fokus pada kerja. Dan yang paling penting jangan menyampuk apabila orang sedang bercakap.
"Sebagai seorang bapa yang tidak selalu menemani Mia di set, sudah pasti saya akan berasa risau, kerana anak kecil itu sedang belajar setiap perkara yang ada di persekitarannya," Muhammad Ridhuan.
Fokus kepada peperiksaan - Mia Maisarah
MENJADI pelajar paling popular di sekolah, Mia atau nama sebenarnya Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 7, tidak pernah melahirkan rasa benci selalu dikelilingi oleh rakan-rakan di sekolahnya.
Malah, barang-barang Mia turut diambil oleh rakan-rakannya kerana terlalu menyukai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-24 menerusi filem Sekali Lagi itu.
"Pernah satu tahap dia dikelilingi ramai rakan sekolahnya ketika waktu rehat, tetapi dia tidak kisah dan boleh makan seperti biasa," ujar bapa Mia, Muhammad Ridhuan Muhammad Salleh ketika ditemui pada majlis sambutan hari ulang tahun Mia yang ketujuh di restoran pizza dan pasta Italiannies, pusat beli-belah Paradigm, Kelana Jaya, Selangor Ahad lepas.
Mia yang berada di samping bapanya itu hanya mengangguk dan memberitahu, antara barang-barang yang diambil terdiri daripada pensel dan pemadam miliknya.
Ditanya berapakah belanja yang dibekalkan bapanya setiap kali pergi ke sekolah, kata Mia, dia akan memperoleh sebanyak RM10 atau RM20 sehari, tetapi menasihatinya agar menggunakan hanya RM2 sahaja untuk berbelanja.
"Walaupun saya pesan belanja hanya RM2, tetapi dia tetap menghabiskan wang yang saya beri. Saya beri dia belanja yang banyak bukan untuk bermewah, tetapi untuk mengajar dia supaya pandai pegang dan uruskan duit sendiri," luah Ridhuan.
Bercerita mengenai jadual seni Mia, ungkap Ridhuan, buat masa ini Mia terpaksa berehat daripada berlakon kerana ingin fokus pada peperiksaan penggal akhir yang akan bermula pada 8 Oktober ini.
"Mia sudah berehat daripada berlakon sejak bulan Ramadan lalu. Sepanjang tempoh berehat, Mia tidak mengambil sebarang tawaran berlakon drama, filem atau iklan. Kecuali jika ada sesi fotografi atau majlis yang memerlukan Mia menghadirkan diri, dia akan menyertainya. Mia perlu juga menonjolkan diri pada majlis-majlis media supaya nama dia tidak dilupakan," jelas Ridhuan.
Tidak mengabaikan pelajaran anaknya, menurut Ridhuan, dia akan memastikan Mia turut berjaya dalam pelajaran selain berjaya dalam bidang lakonan.
"Sekarang ini pelajar-pelajar sangat kompetitif. Saya tidak mahu dia buat sambil lewa, tetapi dalam masa yang sama saya juga tidak mahu paksa dia untuk buat yang terbaik," jelasnya lagi.
Tidak hanya memantau pelajaran anaknya, Ridhuan juga akan mengupah tutor untuk datang ke rumah mengajar Mia bagi mata pelajaran yang lemah.
Ditanya apakah mata pelajaran yang paling Mia suka, kata Ridhuan, Mia paling menyukai Matematik.
Ridhuan turut ditanya mengenai pembabitan Mia yang kini dilihat kurang muncul dalam iklan komersial. Ulas Ridhuan, dia terpaksa selektif memilih kerana kebanyakan iklan memerlukan Mia pergi melakukan uji bakat.
"Bukan saya sombong tidak mahu Mia melakukan uji bakat untuk iklan, tetapi saya kena selektif untuk kebaikan dirinya," ujarnya lagi.
Sombong
Gembira menyambut hari ulang tahun yang ketujuh, pelakon dan juga model iklan itu mengakui ingin meraikannya dalam keadaan meriah setiap tahun.
Sempena sambutan hari ulang tahunnya pada hari itu, Mia juga berkesempatan membuat pizanya sendiri.
"Mia suka ramai orang. Kalau boleh Mia mahu sambut hari jadi macam ini tiap-tiap tahun. Kawan-kawan juga ramai yang datang. Mia juga dapat buat piza sendiri. Biasanya, kita makan sahaja tetapi kali ini Mia boleh pilih sendiri bahan-bahan untuk hias di atas piza," ceritanya teruja.
Mengakui gembira ramai rakannya hadir pada majlis sambutan hari ulang tahunnya, Mia juga berasa teruja kerana artis kesayangannya iaitu Lisa Surihani dan suaminya, Yusry KRU turut hadir.
Malah, pelakon cilik yang memang kerap berganding dengan Lisa dalam banyak filem dan drama itu turut menerima hadiah berupa barangan Zara daripada Lisa.
Selain Lisa, Iqram Dinzly, Fouziah Gous, Melissa Saila, Shaheizy Sam dan juga Dina Nazir Nadzir hadir pada sambutan hari lahir Mia.
Ditanya apakah hadiah yang paling disukai Mia selain daripada hadiah Lisa, ujarnya, dia sangat menyukai hadiah daripada Iqram dan Fouziah yang memberinya seutas rantai emas putih. Begitu juga hadiah pemberian Dina iaitu iPod..
Ditebak soalan mengenai kelakuan Mia yang kini dikhabarkan semakin sombong dan lebih selektif melayan orang yang ingin menemubualnya, ujar Ridhuan, Mia bukan sombong, cuma sebagai seorang kanak-kanak dia tidak diam setempat dan mungkin tidak selesa jika dipanggil tanpa ahli keluarganya berada bersamanya.
"Memang sikap dia macam itu (lari-lari ketika dipanggil). Dia hanya dengar bila saya atau ahli keluarga yang lain panggil," bidas Ridhuan mengenai sikap Mia yang dikatakan sudah berubah.
Mengulas mengenai masa depan Mia, tutur Ridhuan, dia tidak terfikir Mia akan berlakon selama-lamanya dan sudah membuat perancangan untuk anaknya itu.
Pupon
Berkesempatan menemu bual ibu Mia, Rafidah Abd. Hamid, dia memberitahu, memanggil Mia dengan panggilan manja iaitu Pupon kerana sejak lahir lagi wajah Mia seperti anak Jepun.
Mempunyai darah campuran Cina pada sebelah bekas suami dan juga dirinya, jelas Rafidah, walaupun Mia kini berada di bawah jagaan bapanya selepas mereka bercerai, tetapi dia akan memastikan untuk menghubungi Mia setiap hari selain bertemu anaknya sebulan sekali.
"Saya tinggal di Johor tetapi dalam sebulan, sekali atau dua kali saya akan ke Kuala Lumpur bertemu Mia," ujar Rafidah.
Berkongsi rahsia ketika mengandungkan Mia, Rafidah memberitahu, dia sangat suka minum susu dan makan ikan. Selain itu, dia juga selalu berbual dengan Mia dan memberinya mendengar muzik menggunakan fon kepala.
Ditanya apakah perubahan terbesar Mia selepas menjadi artis, ungkap Rafidah, Mia tidak menunjukkan perubahan ketara kerana sebelum menjadi artis dia juga sering mendapat perhatian setiap kali keluar daripada rumah.
Ditanya adakah anaknya pernah mengadu penat berlakon, cerita Rafidah, pernah juga Mia mengadu kepadanya penat berlakon, tetapi dia juga mengakui sangat seronok menceburi bidang tersebut.
Mengulas mengenai pembabitan Mia dalam bidang seni, ujar Rafidah, kalau ikutkan dia tidak berapa suka Mia berlakon kerana kasihan dengan anaknya yang sering kelihatan penat, tetapi dia juga tidak menjangkakan peluang yang anaknya peroleh dalam bidang seni begitu mudah.
Mia yang aktif
Saya tak makan hasil duit Mia Sara
MEMIKUL tanggungjawab bapa kepada pelakon cilik popular, Mia Sara Nasuha bukan satu perkara mudah. Macam-macam kerenah yang perlu dilayan kerana anak kecilnya itu memerlukan perhatian sang bapa. Tambahan pula kali pertama berurusan dengan orang industri.
Bagaimanapun, kewajipan itu tidak sesukar jika dibandingkan dengan pandangan masyarakat sekeliling terhadap dirinya. Anak kecil berusia enam tahun itu disifatkan sebagai lubuk emas.
Tambahan pula banyak tawaran yang datang, sekali gus menaikkan saham dirinya sebagai orang tua kepada Mia Sara.
Lantaran itu, tersebar cerita berbaur cemburu mengenai kewibawaan dirinya yang dikatakan memakan hasil pendapatan anak sendiri. Itu termasuk meminta Mia Sara bekerja sampai lewat 2 atau 3 pagi bagi menjayakan sebuah drama bersiri.
“Saya bukan seorang bapa zalim. Membiarkan darah daging sendiri bekerja siang dan malam tanpa belas kasihan,” bicara awal Muhammad Ridhuan Muhammad Salleh membuka cerita gosip membabitkan namanya itu.
Terus-terang, dia sudah menjangkakan penyebaran cerita tidak berasas itu seawal dia membawa masuk anak ke dalam industri seni tanah air tahun lalu.
Cuma menunggu masa sahaja untuk membiarkan dirinya ‘ditembak’ dengan persoalan sedemikian rupa. Lantaran itu, Muhammad Ridhuan mengambil pendekatan bertenang menjawab semua persoalan sewaktu bertemu di sidang akhbar pelancaran drama bersiri komedi Cuak untuk siaran Astro Ceria di Ampang, Kuala Lumpur, Selasa lalu.
“Saya tahu, pasti akan ada cerita kurang manis macam ini sewaktu awal melangkah masuk dalam industri lagi. Pasti akan keluar cerita kurang senang tentang saya yang tak bekerja tetap.
“Sebenarnya, saya bekerja sebagai pegawai pemasaran dahulu tapi berhenti kerja semata-mata memberikan tumpuan kepada Mia.
“Saya memang seorang cukup cerewet dalam penjagaan Mia. Saya kena pastikan waktu rehat, tidur dan keperluan vitamin mencukupi supaya dia boleh membesar normal seperti kanak-kanak lain,” katanya lagi.
Bapa tunggal ini juga menafikan dia menggunakan sumber pendapatan berlakon Mia Sara untuk menyara tiga lagi anaknya iaitu Adriana Izzati, 10, Muhammad Danish Iman, 7, dan Amani Iman, setahun.
“Tak adil menuduh saya sebegitu seolah-olah nampak sangat teruk,” tingkah Muhammad Ridhuan menolak dakwaan tersebut.
Demi keselamatan anak ketiganya itu, Muhammad Ridhuan juga sanggup mencari penjaga wanita yang bertindak sebagai peneman Mia Sara. Walaupun hakikatnya, dia sukar untuk percayakan orang lain.
“Dia masih memerlukan saya untuk melayan kehendak dirinya. Sudah pasti cara kita melayan anak orang berbeza dengan kita melayan anak sendiri.
“Sebab itu, saya pastikan dia sentiasa dalam lingkungan pemerhatian saya. Hadir pada setiap waktu makan dia dan bagi sediakan air andai dia kehausan, walaupun terpaksa berulang ke set lokasi berulang kali,” ceritanya.
Ditanya adakah dia mengetahui gerangan siapa yang mencacatkan kredibiliti dirinya sebagai bapa Mia Sara, lelaki ini terdiam. Katanya, dia tidak mahu menuduh mana-mana pihak tetapi lebih gemar bersikap memaafkan.
Baginya, kebenaran pasti akan diketahui kelak. Apa yang mampu dibuat adalah berdoa keselamatan anaknya.
Anak jati Melaka ini juga menjelaskan bahawa dia tidak mengabaikan tanggungjawab memberi pendidikan terbaik buat Mia Sara.
“Saya tak mahu dia terlalu leka dengan lakonan dia. Memang saya ada rancang sesuatu untuk masa depan Mia. Seperti mana yang dilakukan oleh mana-mana bapa di dunia ini,” katanya penuh optimis sebelum mengakhiri pertemuan.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
