Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Nabil Ahmad. Show all posts
Showing posts with label Nabil Ahmad. Show all posts
Lalui Pengalaman Haji Jadikan Nabil Lebih Bersyukur
Pengalaman mengerjakan ibadah haji buat kali pertama menjadikan Nabil Ahmad lebih bersyukur selepas melihat pelbagai kesusahan dilalui jemaah lain untuk melengkapkan rukun Islam kelima itu.
Nabil, 32, berkata, terdapat jemaah haji yang serba kekurangan melaksanakan tanggungjawab mereka termasuklah ada yang terpaksa tidur di tepi-tepi jalan dalam keadaan serba kekurangan.
"Saya paling terkesan apabila melihat jemaah haji lain yang bersusah payah ke sana (Mekah) dalam keadaan serba kekurangan. Mereka tidur di tepi jalan.
“Saya naik bas ke Mina, mereka berjalan kaki dalam keadaan panas terik. Bukan semua orang senang seperti jemaah Malaysia yang diurus dalam keadaan sempurna,” ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.
Nabil berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan haji menerusi penerbangan akhir iaitu pada 29 September lalu dan tiba ke tanah air kira-kira pukul 3 petang Khamis.
Kata Nabil sepanjang mengerjakan Haji Ifrad itu, ibadah yang dilakukannya berjalan lancar dan sempurna.
Namun dia hanya menghadapi ujian berhadapan cuaca yang panas sehingga nyaris demam.
"Cuaca di sana sangat panas dan saya hampir nak demam. Mujurlah saya makan macam-macam ubat untuk memastikan badan sihat agar dapat beribadat dengan sempurna," katanya.
Mengenai insiden rempuhan ketika jutaan umat Islam sedang menunaikan ibadah melontar Jamrah di Mina pada 24 September lalu, kata Nabil, dia menerima kejadian itu dengan hati yang terbuka dan positif.
"Apa yang saya boleh katakan, saya terima kejadian itu dengan hati terbuka. Bagi saya, kejadian itu hanya penyebab sahaja dan saya cemburu kerana mereka dapat meninggal dunia di Mekah ketika sedang beribadat," tuturnya.
Kejadian rempuhan itu berlaku di kawasan perkhemahan jemaah negara-negara Arab yang terletak kira-kira empat kilometer daripada perkhemahan jemaah Malaysia.
Gelagat Anak-Anak Buatkan Nabil Ahmad Hilang Penat
Pelawak Nabil Ahmad menyifatkan anak-anaknya iaitu Naira Mikayla, 2, dan Leyla Medyna yang berusia empat bulan ibarat seperti pengubat penat setiap kali pulang daripada bekerja.
Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 31, berkata, melihat gelagat mereka terutamanya telatah Leyla membuatkan dirinya berasa sangat bahagia dan bersyukur dengan kehadiran dua cahaya mata itu.
"Mereka buatkan saya terus hilang penat. Lebih-lebih lagi sejak Leyla hadir dalam kehidupan keluarga kami, Naira sudah menunjukkan sikapnya sebagai seorang kakak.
"Kadang-kala gelagatnya akan membuatkan saya dan isteri ketawa. Mana taknya, kalau awal dua minggu kelahiran Leyla, dia cukup cemburu.
"Tetapi tidak lama selepas itu, dia yang melebih-lebih jadi kakak. Bayangkan, bila adik dia menangis, dia pula yang beria angkat baju nak bagi susu.
"Ataupun dia akan tanya isteri saya, 'puting mana puting?' jika adiknya menangis," katanya.
Tambah Nabil, sikap Naira yang begitu prihatin terhadap adiknya membuatkan dia bersyukur mempunyai seorang anak yang bijak dan matang berbanding usianya.
Sementara itu, Nabil berkata, kehadiran dua anaknya itu juga membuatkan rezeki keluarganya semakin murah.
"Alhamdulillah, sejak kehadiran mereka dalam kehidupan saya dan isteri, ada saja rezeki yang datang, dalam pelbagai cara.
"Malah persiapan menyambut Hari Raya juga tidak perlu nak pening-pening kerana ada pihak yang menaja baju-baju kami," ujarnya.
NABIL AHMAD MOHON MAAF - AZWAN ALI BALAS DENGAN KATA-KATA KESAT
Artis kontroversi Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA telah memaki hamun pelawak dan pengacara Nabil Ahmad menerusi akaun twitternya. Punca Azwan bertindak demikian dipercayai kerana Nabil tidak menegur dirinya di KLIA sewaktu pulang dari mengerjakan umrah.
Meskipun dimaki hamun dengan kata-kata kesat, namun Nabil bertindak memuat naik status memohon maaf terhadap Azwan. Tindakan Nabil ini dipuji ramai kerana bersikap profesional dalam menangani kontroversi seperti ini.
"Saya sebenarnya tidak nampak kelibat dia pun di Jeddah sampai ke KLIA. Jadi, bagaimana saya hendak menegur beliau kerana saya tak nampak pun dia (Azwan)?
"Tak pernah lagi saya tak menegur orang kalau sudah nampak depan mata. Saya malas nak melayan isu ini dan kalau boleh hendak menjauhkan diri daripada perkara negatif.
"Lagipun saya baru pulang dari rumah Allah, malaslah hendak bergaduh. Oleh itu, saya memilih untuk memohon maaf di Twitter. Saya rasa tindakan itu paling tepat untuk dilakukan oleh saudara Islam kepada saudara Islam," ujar Nabil dipetik sebagai berkata.
Namun begitu permohonan maaf Nabil kepada Azwan ini agak sia-sia kerana maaf tersebut cuma diendahkan dan dibalas dengan maki hamun.
Sementara itu, Nabil turut meluahkan rasa gembiranya kerana berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci selama tempoh 10 hari.
Baginya, pengalaman 10 hari di Tanah Suci itu sangat berharga dan sukar untuk diungkap dengan kata-kata.
"Alhamdulillah, saya berjaya menunaikan umrah untuk tempoh 10 hari. Pengalaman berada di sana begitu menakjubkan dan saya bersyukur kerana dipanggil menjadi tetamu ke rumah Allah.
"Keadaan agak sibuk di sana kerana orang berkejar untuk malam Lailatul Qadar. Kenangan beribadat untuk 10 malam terakhir itu memang tak dapat saya lupakan.
"Pada mulanya saya risau juga hendak meninggalkan isteri dengan dua orang anak saya. Kami pun tak pernah berenggang namun semuanya berjalan dengan lancar," jelasnya.
Kerana Badan Nabil Ahmad Pernah Dituduh Ambil Dadah
Pelawak Nabil Ahmad mendedahkan dia pernah dipandang serong kononnya terlibat dengan pengambilan dadah gara-gara mempunyai tubuh badan yang terlalu kurus.
Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 31, berkata, walaupun terasa dengan tuduhan itu, namun dia tidak pernah mengambil serius mengenianya kerana sudah biasa dengan ejekan sesetengah orang.
"Dulu, masa saya kurus 'keding' macam-macamlah orang ejek saya. Malah saya pernah dituduh terlubat dengan dadah. Pelik saya. Asalkan 'kering' nak kaitkan dengan dadah.
"Tetapi nak buat macam mana, saya menerima tuduhan itu dengan fikiran yang terbuka," katanya kepada mStar Online.
Nabil ditemui pada majlis pra tonton filem Tranformers: Age of Extinction dalam versi Bahasa Melayu untuk siaran HBO di Hotel Le Meridian di sini pada Selasa.
Sementara itu, kata Nabil, perubahan tubuh badannya banyak memberi impak positif dalam kerjayanya malah penampilan dia itu turut memberi persepsi positif oleh orang sekeliling.
"Itulah, apabila sudah berubah penampilan, persepsi orang terhadap kita juga berubah. Alhamdulillah ia menambahkan lagi rezeki saya. Ada sahaja tawaran yang datang.
"Pelik kan? Kalau pelakon bertubuh sasa, tak nampak pelik sangat. Tetapi apabila pelawak berbadan sasa, perhatian daripada khalayak juga lain jadinya, hahaha," ujarnya.
Mengenai filem Transformers: Age Of Extinction seramai 16 pelakon terlibat dengan lakonan alih suara filem terbabit.
Selain Nabil pelakon lain yang terlibat termasuklah Fahrin Ahmad, Hisyam Hamid, Sharnaaz Ahmad, Ray, Izzue Islam, Haniff Hamzah, Akim Ahmad,Faizal Ismail, Elizabeth Tan dan Syazwan Zulkifly.
Transformers: Age Of Extinction bakal disiarkan pada 17 Julai depan menerusi siaran HBO (411).
"Saya Bukan Pemalas" - Nabil Ahmad
Pelawak Nabil Ahmad meminta orang ramai tidak melihat konsep jenaka stand up comedy yang ditampilkannya iaitu melakukan lawak secara sendirian sebagai pemalas.
Nabil, 30, berkata, masyarakat harus faham ia adalah konsep lawak stand up comedy yang masih lagi baharu bagi penonton yang gemar menyaksikan lawak di televisyen.
"Mereka selalu kata saya pemalas dan ambil jalan mudah untuk berada di pentas sendirian tidak seperti kumpulan pelawak lain.
"Sebenarnya mereka tidak tahu konsep stand up comedy yang mana ia lagi susah untuk dilakukan tanpa sebarang ‘prop’ ketika berada di atas pentas," katanya kepada mStar Online.
Nabil berkata demikian ketika diminta mengulas tentang penyertaannya dalam Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) yang bakal membuka pentasnya bermula Jumaat ini di Teater Selangor, Shah Alam.
Dalam pada itu, Nabil berkata, pada asalnya dia agak ragu-ragu untuk kembali bertanding, namun kerana minat yang mendalam terhadap bidang lawak dia meneruskan perjuangan tersebut.
Bagaimanapun, dia tidak pernah mengharapkan kemenangan kerana pertandingan tersebut hanya berdasarkan populariti.
Jelas Nabil, apa yang dikesalkan setiap musim pertandingan tersebut, reaksi penonton yang datang seolah-olah tidak menghargai pelawak-pelawak yang bertanding.
Katanya, perkara tersebut juga menyebabkan pelawak yang kurang mempunyai peminat berasa tidak bersemangat untuk memberi persembahan yang terbaik.
"Saya juga kesal dengan penonton yang kebiasaannya daripada kumpulan peminat yang tidak memberi sokongan kepada pelawak lain.
"Misalnya ketika AR Badul dan Imuda dahulu keluar untuk buat lawak tiada penonton yang memberi tepukan serta tiada respons lawak mereka sehingga mereka merasakan persembahan tersebut tidak bagus.
"Saya minta biarlah penonton yang datang kali ini memberi sokongan pada semua pelawak yang keluar untuk buat persembahan mereka," ujarnya.
Isteri mengandung, Nabil 'sentap'
Nabil Ahmad Jelaskan Isu Disingkir Dari Meletop
Pelawak Nabil Ahmad menyifatkan gosip dia bakal disingkirkan sebagai pengacara program hiburan Meletop dalam masa terdekat ini adalah mengarut.
Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 30, terkejut dengan berita tersebut sedangkan dia baru saja menandatangani perjanjian bagi menyambung kontrak selama dua tahun bagi mengendalikan program berkenaan.
"Siapalah yang buat gosip macam ini, apa salahnya tanya saya dahulu?
"Terkejut saya apabila membaca gosip tersebut. Saya terus bertanyakan pihak produksi Meletop adakah ia benar sedangkan saya baru saja menyambung kontrak dengan mereka.
"Pihak produksi pun terkejut dengan berita itu kerana apa yang dinyatakan dalam gosip itu adalah salah dan tidak benar," tegasnya yang dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.
Minggu lalu, sebuah akhbar menerusi ruangan pojok melaporkan Nabil bakal disingkirkan daripada Meletop oleh pihak produksi memandangkan pengacara gandingannya, Neelofa mahu menarik diri mengendalikan program berkenaan.
Meletop disiarkan pada setiap Selasa, pukul 10 malam di saluran Astro Ria.
Laporan tersebut turut menyatakan tempat Nabil akan digantikan dengan pelawak popular, Zizan Razak.
Perkara itu membuatkan Nabil berasa hati dengan keputusan yang dibuat pihak produksi kerana ia dilakukan tanpa melakukan perbincangan dengannya.
Dalam pada itu, Nabil berkata, sehingga kini gosip mengatakan Neelofa bakal menarik diri juga tidak diketahuinya kerana dia bersama pengacara wanita itu masih lagi menjalankan tugas masing-masing seperti biasa.
"Saya ada dengar juga mengatakan Neelofa mahu tarik diri. Tetapi sehingga kini pihak produksi tak cakap apa-apa lagi. Peliklah, macam-macam spekulasi pula yang muncul.
"Apa-apapun, saya percayakan pada rezeki. Jika pihak produksi masih lagi mahu saya terus mengendalikan Meletop, itu rezeki. Dan jika mereka enggan menggunakan khidmat saya pun tidak apa. Yang penting biarlah segala urusan dibuat dengan betul," ujarnya.
Sementara itu, Nabil berkongsi berita gembira bahawa dia bakal menimang anak kedua tidak lama lagi.
Kata pelawak itu, isterinya, Nazirah Ayub, 26, kini sedang hamil dua bulan dan berita itu membuatkan dia lebih bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki agar lebih stabil pada masa akan datang.
Nabil dan Nazirah turut mempunyai seorang anak bernama Naira Mikayla yang berusia dua tahun.
Nabil Ahmad Tukar Nombor Kereta Takut Jadi Sasaran Penjenayah
Pelawak Ahmad Nabil Ahmad, 30, mengambil keputusan untuk menukar nombor plat keretanya kerana bimbang menjadi sasaran penjenayah selepas kenderaannya itu dipecah masuk pada Isnin lalu.
Nabil berkata, dia nekad berbuat demikian kerana ketika ini nombor plat kereta Mitshubishi Lanser miliknya itu menggunakan kombinasi huruf yang ada persamaan dengan namanya.
"Ini merupakan pengalaman pertama apabila kereta saya dipecah masuk dan ia membuatkan saya risau apa yang bakal terjadi pada masa depan jika penjenayah atau sesiapa sahaja mengetahui ia adalah kereta saya kerana nombor pendaftarannya.
“Tindakan itu juga bagi menjamin keselamatan saya dan keluarga," katanya kepada mStar Online.
Nabil ditemui di Hotel Istana di sini pada Selasa sempena majlis pengumuman barisan artis yang bakal membuat persembahan dalam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) yang akan berlangsung pada 14 Disember depan.
Dalam kejadian Isnin lalu, Nabil menyedari keretanya dipecah masuk oleh penjenayah selepas dia bersama isteri, Nazirah Ayub, 25, dan anak mereka Naira Mikayla yang berusia setahun selesai makan malam di sebuah restoran di Sungai Buloh, dekat sini.
Kejadian itu disedari ketika Nabil hendak mengundurkan keretanya apabila dia melihat cermin belakang sebelah kanan keretanya pecah.
Selain kad pengenalan, beg galas yang diisi baju sukan turut dilarikan penjenayah.
Sementara itu, Nabil menyifatkan memiliki nombor plat kenderaan yang mempunyai persamaan dengan nama sendiri terutamanya bagi seseorang selebriti boleh mengundang bahaya tanpa sedar.
Beritahunya, walaupun nombor itu dilihat unik dan glamor, tetapi ia lebih memudahkan individu yang berniat tidak baik untuk melakukan jenayah.
"Saya nasihatkan buat para artis, walaupun seronok memiliki nombor plat seperti yang diinginkan, tetapi ia sebenarnya membahayakan. Lebih baik kita menggunakan nombor biasa sebagai langkah keselamatan," tegasnya.
Kereta Nabil Ahmad Dipecah Masuk Penjenayah
Kereta pelawak Nabil Ahmad, 30, jenis Mitsubishi Lancer dipecahkan penjenayah kira-kira pukul 11 malam Isnin dalam kejadian di Sungai Buloh dekat sini.
Nabil berkata, kejadian tersebut berlaku ketika dia bersama isterinya Nazirah Ayub, 25, dan anak mereka Naira Mikayla yang berusia setahun sedang makan malam di kawasan tersebut.
"Selepas selesai makan, kami ke kereta untuk pulang dan pada awalnya kami tidak sedar sehinggalah ketika saya nak mengundurkan kereta, baru saya perasan cermin di tempat duduk kanan sebelah belakang pecah.
"Saya terkejut kerana risau jika ada pihak yang tidak puas hati sengaja memecahkan cermin tersebut. Lepas itu isteri beritahu yang beg galas saya hilang," katanya.
Nabil ditemui pada majlis pengumuman barisan artis yang membuat persembahan serta pengacara bagi acara Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM 20) di Hotel Istana di sini pada Selasa.
Tambah Nabil, dalam kejadian itu kad pengenalannya dan beg galas yang diisi baju sukan hilang.
Nabil membuat laporan di Balai Polis Damansara dekat sini sejurus selepas kejadian.
Nabil Ahmad Terkejut Dapat Rumah Lebih RM1 Juta
Hasrat pelawak Nabil Ahmad untuk membeli sebuah kondominium Antara di Persiaran Gurney, Kuala Lumpur membawa tuah apabila pemaju perumahan itu bersedia memberikan rumah berkenaan secara percuma bernilai RM1.036 juta.
Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 29, berkata, pada mulanya dia sekadar ingin bertanya mengenai kondominium yang ingin dibelinya itu tetapi pihak pemaju, sanggup memberikannya satu unit percuma jika dia bersedia menjadi duta perumahan itu.
"Saya terkejut kerana pada asalnya saya sekadar melakukan 'house hunting' dan berminat dengan sebuah unit di kondominium Antara yang bernilai RM600,000 kerana harganya murah berbanding dengan perumahan lain yang agak mahal.
"Selepas membuat perbincangan, tiba-tiba pihak pemaju (Faber Development Holdings Sdn. Bhd) berminat pula untuk menjadikan saya sebagai duta kondominium tersebut selama setahun dan menawarkan sebuah unit bernilai RM1.036 juta secara percuma pada 23 Oktober lalu," katanya.
Tambah Nabil, kondominium tersebut masih lagi dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2016.
Dalam pada itu, Nabil menyifatkan pemberian kondominium tersebut merupakan hadiah terbesar yang pernah diterima sejak bergelar selebriti, lima tahun lalu.
Malah ia juga sebahagian daripada rezeki anaknya, Naera Mikayla yang akan berumur setahun pada 25 November ini.
Sementara itu, Nabil berkata, dia kini bergiat aktif dalam membuat pelaburan hartanah selepas didorong oleh rakan-rakannya dan sudah memiliki tiga buah rumah termasuklah kondominium berkenaan.
"Saya juga banyak belajar daripada seorang lelaki yang hebat dalam pelaburan hartanah bernama Ahyat Ishak.
"Dan setakat ini saya telah membeli sebuah kondominium di Jalan Duta (Kuala Lumpur), dan rumah itu dihadiahkan kepada emak saya. Manakala sebuah lagi di Ara Damansara yang mana di situ saya tinggal bersama isteri (Nazirah Ayub)," tuturnya.
Nabil juga merupakan duta kepada kasut jenama Vans sejak dua tahun lalu.
Nabil Ahmad Hidup Selesa Apabila Kurang Popular
Pelawak Nabil Ahmad mengakui berasa lebih selesa menjalani kehidupan secara sederhana berbanding berada dalam suasana popular seperti yang penah dialaminya selepas menjuarai program Raja Lawak pada 2008.
Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 29, berkata, dia menikmati kehidupannya kini dengan damai dan mempunyai masa yang cukup bersama keluarga.
"Saya akui sekarang sudah tidak sepopular dahulu tetapi hidup saya lebih baik dan mempunyai masa untuk isteri, anak dan keluarga saya.
"Biarpun tawaran yang datang tidak sehebat ketika popular dahulu tapi saya bersyukur rezeki masih tidak putus," katanya kepada mStar Online.
Sementara itu, bercerita pengalaman ketika berada di kemuncak kerjayanya, Nabil berkata dia pernah beberapa kali ditipu oleh pelbagai pihak.
"Susah kalau popular sangat, ramai yang cuba ambil kesempatan dan sentiasa fikir kita banyak duit.
"Saya pernah ditipu ketika ingin ubahsuai rumah ibu di kampung, kontraktor Melayu meletakkan harga yang tidak masuk akal walaupun dia kata peminat saya," katanya.
Dalam pada itu, Nabil berkata dia kini sedang berjinak-jinak dalam bidang pengurusan majlis dan menubuhkan syarikat Nabil Ahmad Enterprise.
"Saya buat macam-macam sekarang bukan hanya berlakon sahaja tapi lebih kepada menguruskan majlis dan artis-artis.
"Sudah setahun syarikat tersebut beroperasi dan Alhamdulillah dapat juga membantu artis-artis veteran yang dilupakan segelintir pihak," katanya.
Jelasnya, penubuhan syarikat tersebut adalah untuk jangka panjang kerjayanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]



