Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Nassier Wahab. Show all posts
Showing posts with label Nassier Wahab. Show all posts
Nassier Wahab tak suka rap
SIAPA tidak kenal dengan penyanyi terkenal era 80-an, Nassier Wahab dan lagu Memori Cinta Luka yang menaikkan namanya kembali sekitar tahun 2006 dahulu.
Kini, Nassier, 50-an telah muncul dengan album penuh terbaharu, Cinta Farhat - Air Mata dan Doa sejak September lalu dan mempertaruhkan lagu Cinta Farhat sebagai lagu hit terbaharunya.
Dalam album berkenaan, terdapat 10 lagu baharu dan enam lagu hitnya sebelum ini yang dimuatkan dalam satu album.
“Saya memang mahu buat album penuh. Saya tidak mahu ikut trend macam artis lain yang hanya buat single sahaja,” ujarnya yang mendapat kepuasan apabila menghasilkan album penuh.
Nassier yang tidak pernah mengeluarkan single setakat ini menambah, dia sebenarnya selesa dengan caranya sendiri apabila berani mengeluarkan album penuh yang jarang dilakukan oleh artis sekarang.
“Saya terbitkan album yang berkualiti sahaja, biarlah penyanyi lain nak buat single, saya dapat kepuasan dengan buat album penuh, janji peminat saya puas hati,” kata penyanyi kelahiran Kota Kuala Muda, Kedah ini.
Bercerita lanjut mengenai perkembangan dunia seni sekarang, apabila ditanya mengenai trend penyanyi yang seangkatannya telah berduet atau membuat penampilan khas dalam lagu penyanyi yang lebih urban, Nassier menjawab:
“Saya tidak minat, saya tidak suka genre rap, lagi pun saya tidak mahu rosakkan lagu sebab ada lagu yang sesuai buat begitu dan ada yang tidak sesuai.”
Sungguhpun begitu, dia berkata, dia meminati lagu Apo Kono Eh Jang 2012 nyanyian Datuk AC Mizal bersama Rafidah Ibrahim dan Stellar Band serta menganggap kolaborasi itu berjaya.
Baginya, dia lebih selesa untuk menyanyi secara solo tanpa membuat penampilan khas mana-mana artis yang lebih muda dan lebih dikenali namanya pada zaman sekarang.
“Kalau nak ikut trend, macam-macam trend lain kita boleh buat, tidak semestinya hendak berduet, ada juga trend baharu dalam buat lagu misalnya,” ulasnya yang tidak pernah terfikir untuk berduet dengan mana-mana artis tanah air.
Mengakui agak sukar untuk memasarkan lagunya dalam stesen radio sekarang berbanding dahulu, Nassier menganggap itu satu cabarannya untuk bekerja keras seperti ketika mempopularkan lagu Memori Cinta Luka dahulu.
“Saya mengakui memang payah, walaupun ada stesen radio yang terima lagu baharu saya ini tetapi ada yang tidak terima, tidak mengapa, saya sudah sebati dengan cabaran ini, banyak sudah dugaan yang pernah saya lalui,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai prinsip mengekalkan namanya dalam persada seni agar masih utuh hingga ke hari ini, Nassier tidak lokek berkongsi.
Katanya, dia berpegang kepada pesanan Datuk D J Dave ketika dia mula mencipta nama dahulu agar membuatkan semua pihak yang berurusan senang bekerja.
“Kalau berurusan dengan media atau pihak-pihak lain kita jangan buat perkara senang jadi payah dan jaga hati semua orang agar semua puas hati dengan kerja kita.
“Saya masih ingat pesanan itu sampai sekarang, walaupun nama kita naik perlahan-lahan, kita jangan lupa diri, insya Allah nama kita akan diingati selamanya,” jelasnya ketika berkunjung ke Kosmo! baru-baru ini.
Eja betul-betul - Nassier Wahab
SALAH eja dalam penulisan sama ada di akhbar atau majalah-majalah yang bersepah di pasaran rasanya bukan perkara pelik. Memang setiap media ada editor yang kerjanya jaga ejaan dan tatabahasa tapi sifat wajib manusia itu tidak boleh lari daripada kelalaian.
Diva sendiri selalu salah eja dan keliru bila bertembung dengan nama-nama artis atau perkataan yang jarang digunakan, sebab itu selalu buka kamus dan rujuk Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bukan itu sahaja kadang-kadang nama artis lama-lama macam Nassier Wahab pun masih banyak lagi yang dieja salah. Kalau tidak, tidaklah Nassier Wahab mengadu terkilan dan kecil hati apabila namanya masih dieja salah walaupun sudah berabad lamanya dia wujud dalam industri.
"Tajuk salah, dalam artikel pun salah, keterangan gambar pun salah juga, terus saya tak jadi baca surat khabar walaupun ceritanya pasal saya," luah penyanyi lagu Memori Cinta Luka itu terkilan.
Kata Nassier juga, bukan ejaan dalam media sahaja bahkan ejaan namanya di poster-poster persembahan nyanyian juga banyak yang salah. Makan hati dibuatnya. Untuk tahun 2013 nanti, Nassier Wahab (eja betul-betul) harap tiada lagi kes salah eja berlaku. Ejalah namanya sebagai Nassier Wahab bukan Nasir atau Nasseer seperti yang selalu benar terpampang selama ini.
Nyaris Maut, Nassier Wahab Trauma
PETALING JAYA: Penyanyi Nassier Wahab tidak dapat melupakan peristiwa ngeri yang berlaku kepadanya dan keluarga apabila terlibat dalam kemalangan di kilometer 433.7 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Bukit Beruntong pada Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, Nassier berkata, kereta Honda Accord miliknya yang dipandu oleh seorang pembantu peribadi melanggar pembahagi jalan berulang kali.
"Pada waktu itu hujan turun dengan lebat dan kami sekeluarga sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan nyanyian.
"Entah macam mana tiba-tiba kereta itu hilang kawalan dan terus melanggar pembahagi jalan. Mujurlah kami selamat. Cuma isteri saya yang duduk di bahagian belakang bersama anak patah tulang bahu.
"Ketika kereta sedang berpusing, saya hanya berserah kepada Tuhan dan berdoa supaya tiada kereta lain yang melanggar kami. Sehingga ke hari ini kami masih trauma dengan kejadian itu," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Khamis.
Tambah Nassier, dia kecewa kerana tidak sempat mengucapkan terima kasih kepada sepasang suami isteri warga emas yang sanggup meredah hujan bagi membantu kami," katanya.
Sementara itu menurut Nassier, beliau terus dihantui trauma apabila dia dan abangnya yang pulang dari bengkel kereta pada Khamis (hari ini) sekali lagi nyaris terlibat dalam kemalangan.
"Ketika kami dalam perjalanan, saya ada bercakap kepadanya yang kita patut bersyukur kepada Allah kerana masih memberi kehidupan di dunia ini dan redha dengan apa yang berlaku.
"Sebaik sahaja kami menukar lorong ke kanan, tiba-tiba sebuah lori telah melanggar beberapa kereta di lorong tengah.
"Kami terkejut dan mujurlah Allah menggerakkan hati kami untuk beredar dari lorong tersebut," tuturnya.
Dalam nada syukur, Nassier turut melahirkan rasa sedih apabila kereta kesayangannya itu remuk dan menelan kos sebanyak RM10,000 untuk membaikinya.
"Memang saya menangis melihat kereta saya hancur kerana ia dibeli hasil daripada titik peluh saya menyanyi. Tetapi bila fikir semula, duit boleh dicari, nyawa pula tiada pengganti.
"Bagaimanapun, berdasarkan apa yang berlaku, saya ingin menasihati semua untuk berhati-hati ketika memandu terutamanya ketika hujan," ujarnya.
Nassier Wahab Amal 44 Jenis Akar Kayu

SEKALI pandang, pasti ada di antara kita akan memikirkan lelaki bermisai nipis dan berkaca mata ini berusia dalam lingkungan awal 40-an.
Itu bagi sesiapa yang tidak mengenali penyanyi Nassier Wahab atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Abdul Wahab.
Ironinya, dia yang masih diminati sehingga kini menerusi lagu popularnya seperti Pesona Cinta, Pak Pandir Moden, Lambaian Perpisahan, Bayangan Wajah Duka dan Memori Cinta Luka ini sebenarnya sudah mencecah usia 49 tahun.
Istimewanya anak kelahiran Pulau Pinang ini tidak makan usia. Bukan itu sahaja, suaranya juga kekal seperti pada awal kemunculannya sewaktu era 80-an.
Percaya atau tidak, kalau kita menyaksikan persembahan Nassier, ramai yang akan terpegun dan tertanya-tanya adakah dia menyanyi secara mimik (miming) ataupun sedang membuat persembahan secara langsung? Sedangkan dalam sejarah penglibatan Nassier sebagai seorang penyanyi, dia lebih selesa membuat persembahan secara langsung kerana mutu suara yang dimilikinya tidak pernah berubah walaupun ketika peningkatan usia.
Sapu minyak zaitun
Bagi lelaki ini, penjagaan kesihatan luar dan dalam amat penting untuk seseorang.
Apatah lagi ketika usia semakin lanjut, penjagaan makanan yang teratur amat penting supaya kehidupan menjadi lebih sihat selain membolehkan seseorang itu kelihatan sentiasa muda.
Sebagai seorang yang mendambakan diri seratus peratus dalam bidang seni, Nassier mengakui dia amat mementingkan penjagaan kesihatan kerana ia adalah satu anugerah yang amat bernilai buat semua umat manusia tanpa mengira siapa mereka.
“Sejak 15 tahun lalu, saya selalu amalkan menyapu muka dengan minyak zaitun sebelum tidur pada setiap malam. Dalam sebotol minyak zaitun itu biasanya digunakan sehingga sebulan setengah.
Selepas itu saya banyak berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW kerana saya percaya tentang doa yang boleh membantu menambahkan seri seseorang.
“Selain itu, saya juga sudah sepuluh tahun mengamalkan meminum madu yang di campur dengan 44 jenis akar kayu yang telah direbus dan dijemur. Akar kayu itu dibuat oleh kenalan saya iaitu Wak Khalid yang saya anggap seperti tok guru dan doktor. “Tentang pemakanan, saya kurang makan nasi dan banyak mengambil suplemen untuk tenaga,” kata Nassier kepada Mingguan mStar ketika di rumahnya di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor.
Penyanyi yang baru muncul dengan single terbaru berjudul Andai Kau Di Sini itu turut tidak keberatan untuk memperlihatkan bilik mandinya yang menghimpunkan banyak produk keperluan harian yang digunakannya.
Antara jenama produk yang menjadi pilihannya adalah Nivea, St. Ives, Olay dan Listerine.
Disebabkan skop kerjanya sebagai selebriti, Nassier amat mementingkan penampilan apabila keluar dari rumah.
“Saya akan meletakkan bedak pada muka agar tampak sentiasa kemas dan rapi kerana kadangkala apabila berada di luar ada kalangan peminat yang mahu bergambar.
“Saya tidak mahu dilabel sebagai artis selekeh. Lebih-lebih lagi saya selalu mempunyai persembahan pada setiap Jumaat dan Sabtu.
“Selepas kembali ke rumah, saya akan pastikan muka dibersihkan sebelum tidur. Jika mempunyai masa lapang, saya membuat rawatan muka,” ujarnya lagi.
Di samping menjaga penampilan luaran, Nassier juga berkongsi tentang petua lain yang melibatkan jiwa dan muhasabah diri.
Nassier juga mengakui dia turut mengamalkan petua tidak suka menyimpan masalah dan sentiasa berusaha untuk sentiasa gembira kerana ia boleh menyebabkan dia kelihatan lebih muda dari usianya.
“Jika sesiapa sahaja yang rapat dengan saya dan orang itu nampak murung, saya akan tegur dan beri nasihat agar dia menyelesaikan masalah itu.
“Jadi apabila melihat orang lain gembira, secara automatik perasaan itu akan refleks kepada kita.
“Selain itu, saya mengamalkan doa yang diberikan oleh ibu seperti doa Nabi Yusuf yang dibaca sebelum tidur dan selepas sembahyang,” ceritanya.
Dalam masa yang sama Nassier juga gemar berpuasa kerana cara itu turut membuatkan seseorang bertambah sihat.
Katanya, amalan berpuasa bukan hanya untuk orang Islam semata-mata sebaliknya kaum-kaum lain juga boleh melakukan amalan serupa. Perkara itu turut diakui oleh doktor-doktor perubatan.
Borong baju batik
Beralih kepada pakaian, Nassier gemar berbelanja lebih untuk membeli pakaian. Antara pakaian yang menjadi pilihannya adalah kemeja batik Terengganu.
Ada di antara kemeja tersebut berharga mencecah ribuan ringgit dan prinsip Nassier ialah membeli apa sahaja barangan asal dia meminatinya selain perlu cantik pada pandangan mata.
“Sebagai artis saya tidak akan membeli pakaian yang biasa dibeli oleh orang lain dan kadangkala pakaian itu ada yang ditempah eksklusif.
“Saya akan ke Terengganu setiap bulan semata-mata untuk memborong baju batik,” ujarnya.
Menyelak sedikit perkembangan seninya, Nassier bakal muncul dengan dua lagu baru berjudul Jangan Biar Aku Pergi dan Ungkapan Hati.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
