Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Nora J. Show all posts
Showing posts with label Nora J. Show all posts

Nora tidak balik beraya di Kelantan


KEBANYAKAN anak Kelantan yang berhijrah dan mencari rezeki di Kuala Lumpur biasanya akan pulang berhari raya di kampung masing-masing termasuklah penyanyi Nora.

Walau bagaimanapun, penyanyi berasal dari Kota Bahru ini berkata, tahun ini dia tidak pulang beraya di Kelantan, sebaliknya hanya di Kuala Lumpur bersama-sama sanak saudaranya yang ramai menetap di sini.

Ini kerana, jelas Nora bagi memberi laluan kepada anak keduanya, Syakir Alif, 12, supaya lebih fokus dalam membuat persiapan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) yang akan didudukinya tidak lama lagi.

“Kebetulan saudara mara saya dan Johan juga banyak yang tinggal di Kuala Lumpur. Jadi, kami saling akan kunjung mengunjungi satu sama lain. Bukan saya sahaja tetapi ramai lagi saudara mara saya yang tidak balik Kelantan.

“Masing-masing ada urusan sendiri. Namun, suasana raya tetap dirasai kerana kami saling berjumpa dan beraya bersama-sama. Kalau ada rezeki tahun depan boleh beraya lagi di Kelantan,” katanya sewaktu ditemui selepas rakaman rancangan Melodi Raya terbitan TV3 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini

Pada pertemuan itu, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Arifin hadir bersama suami, Johan Nawawi dan dua anaknya, Syakir Alif, 12, dan Puteri Nur Dahlia, 7, berkata, biarpun tidak pulang beraya di Kelantan tetapi persiapan rayanya tetap sama.

Dia juga akan memasak sendiri hidangan raya seperti roti jala dan nasi dagang untuk seisi keluarga selain kuih muih raya kerana kurang aktif menyanyi serta mempunyai lebih kelapangan di rumah sepanjang bulan puasa ini.

Berniaga tudung pada Ramadan

Ekoran faktor itu, penyanyi yang popular dengan lagu Naluri itu, pada bulan Ramadan kebanyakan penyanyi termasuklah dirinya tidak banyak menerima undangan menyanyi dan aktivitinya lebih ke arah meningkatkan amal ibadat.

Namun, pada masa sama penyanyi bersuara lantang ini menganggap kedatangan bulan yang mulia itu bukan setakat untuk beramal ibadah semata-mata, tetapi dia turut berniaga bagi menambahkan pendapatannya.

“Terbaru saya menjalankan perniagaan menjual tudung yang saya reka sendiri dengan nama Tudung Nora. Ia direka secara eksklusif dan belum ada tudung yang sama sepertinya di pasaran buat masa ini.

“Saya mereka sendiri gubahan tudung itu, manakala untuk menjahit dan merealisasikannya menjadi sebuah produk, saya telah mengupah seorang pereka fesyen khas. Ia bagi melancarkan penghasilan produk itu.

“Saya hanya mengeluarkan idea bagi menghasilkan gubahan tudung itu. Malah, Tudung Nora hanya saya jual melalui laman sosial Facebook sahaja dan ia dijual dalam edisi yang amat terhad,” ujarnya.

Jelas isteri kepada komposer terkenal Johan Nawawi ini, aktiviti menggubah dan menjual Tudung Nora itu dilakukannya bagi mengisi masa lapangnya sepanjang bulan puasa ini dan ia semakin mendapat sambutan ramai.

Tambah Nora, ideanya menghasilkan Tudung Nora itu tercetus sewaktu dia berkunjung ke Dubai pada tahun 2008 dan terlihat pelbagai jenis tudung di jual di sana yang boleh dipasarkan di negara ini.

“Kebetulan pula pada waktu itu saya pun baru mula hendak bertudung. Jadi, saya kata mengapa tidak saya mencipta sendiri tudung dan kemudiannya menjualnya melalui Facebook. Saya mahu menjadikannya suatu trend dalam bertudung.

“Apatah lagi, Tudung Nora ini cukup praktikal digunakan kerana ia sesuai untuk setiap wanita dan digubah dalam pelbagai bentuk serta warna,” ujarnya yang bercadang membuka butik sendiri pada masa depan.

Selain Tudung Nora, penyanyi yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu, turut menjalankan perniagaan menjual biskut dan kek sepanjang bulan Ramadan ini.

Perniagaan biskut dan kek yang diberi nama Secukup Rasa itu telah dijalankannya sejak lapan tahun lalu itu turut dijual kepada para peminat dan kawan-kawannya di Facebook.

Nora J Tampil Album Solo Selepas Hari Raya


PETALING JAYA: Penyanyi Nora Ariffin atau dikenali sebagai Nora J (gambar) bakal muncul dengan album solo selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Menurut Nora, album ini sudah hampir siap 100 peratus dan memuatkan 10 buah lagu termasuk lagu-lagu yang pernah popular suatu ketika dahulu.

“Selepas tampil dalam album dengan penyanyi kanak-kanak iaitu “Voices of Ummi” (VOU), saya rasa sudah tiba masanya untuk mengeluarkan album solo pula.

"Antara lagu yang dimuatkan adalah Samudera, Tulus dan Secebis Harapan yang merupakan lagu lama manakala lagu baru adalah Terima Kasih Ibu,” katanya.

Berkongsi tentang petua kecantikan itu, Nora mengaku terpaksa mengambil masa selama empat bulan untuk kurus dengan meletakkan beberapa syarat.

“Saya hanya mengamalkan petua ringkas iaitu kurang makan nasi dan makanan bergoreng. Sebaliknya saya lebihkan makan buah-buahan, sayur-sayuran yang dikukus serta salad.

“Selepas badan kembali langsing, saya tidak sangka dapat memakai semula baju-baju lama,” katanya yang berjaya menurunkan berat badan sebanyak 8 hingga 10 kg.

Yang penting, Nora melakukan perkara tersebut bukan kerana terpaksa sebaliknya demi mendapat tubuh badan yang sihat.

Kontroversi Nora J


MENGGUNAKAN huruf J sebagai singkatan kepada Johan untuk digabungkan dengan nama Nora, tidak pernah dilihat akan mengundang satu pandangan yang negatif.

Sebaliknya, gabungan nama penyanyi yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema hanya sekadar nama alternatif untuk mengelakkan kekeliruan apabila melakukan pencarian data maklumat di Internet.

Sayangnya hasrat Nora untuk tampil dengan nama pentas sebagai Nora J dikaitkan dengan pandangan yang cukup negatif.

Ada yang berpendapat, Nora J membawa maksud Nora Janda!

Pedih dengan kaitan istilah janda pada namanya sedangkan maksud huruf J yang sebenar ialah Johan Nawawi (nama suami Nora), Nora tenang dalam memberikan jawapan terhadap soalan-soalan bacul sesetengah pihak.

“Mengapa begitu cetek pandangan orang yang mengaitkan huruf J itu dengan istilah janda pada nama saya?

“Apakah saya tidak boleh mengkomersialkan nama saya sendiri tanpa ada niat untuk mengenepikan nama bapa saya?

“Sebagai anak seni, tidak salah jika saya komersialkan nama saya termasuk mahu dikenali sebagai Nora J iaitu Nora Johan dan bukannya Nora Janda.

“Saya berasa pelik kerana hasrat saya itu turut dikaitkan dengan hukum hakam agama.

“Apakah sebelum ini, tidak pernah ada artis tanah air yang menggunakan nama suaminya di akhir namanya?” soal Nora dalam nada tenang walaupun terpalit rasa kesal kerana dipandang serong oleh mereka yang mudah melabelkan orang lain tanpa menggunakan landasan fikiran yang lebih rasional.

Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Wan Ariffin, 35, berkata, mengapa seniwati Datin Rosnani atau Mak Nani, menggunakan nama pentas yang digabung dengan nama suaminya, Jamil, tidak pernah dipersoalkan?

Begitu juga dengan Norlia Ramli (kini dikenali sebagai Norlia Ghani) dan Aida Khalida yang suatu ketika dahulu, muncul dengan menggunakan nama Aida Rahim, diubah kepada Aida Radzwil tidak pula dipandang serong?

“Kalau berdosa dan hukumnya haram kerana saya menggunakan nama suami sebagai alternatif untuk nama pentas saya, maka artis-artis lain yang sebelum ini melakukan perkara yang sama, pun berdosa dan haramlah hukumnya.

“Bukan saya mahu mengelak daripada memberi jawapan mengapa saya tidak menggunakan nama bapa saya, Ariffin , bukan nama suami dan dikenali sebagai Nora Ariffin.

“Untuk pengetahuan, saya pernah terfikir mahu menggunakan nama Nora Ariffin tetapi apabila disemak dalam Internet, sudah ada yang menggunakan nama itu.

“Apa yang saya cuba lakukan hanyalah untuk memudahkan peminat mencari data mengenai diri saya dalam Internet, bukannya mahu mencetuskan isu.

“Lagipun, Nora J bukannya didaftar atas kad pengenalan atau sijil kelahiran. Ia sekadar nama komersial,” tegas Nora.

Kata isteri kepada komposer Johan Nawawi ini lagi, dia tidak pernah mahu mengundang kontroversi sepanjang 17 tahun bergelar penyanyi.

Tetapi apabila ada pihak yang sengaja mahu mencetuskan isu kontroversi, dia sama sekali tidak senang dengan keadaan itu.

“Saya bukan artis yang mencari publisiti murahan.

“Pengalaman banyak mengajar saya erti kehidupan sebagai anak seni dan saya juga berharap, mereka yang lama berada dalam bidang yang berkaitan dengan hiburan agar membuka minda seluas-luasnya.

“Jangan berada di takuk lama kerana sebagai artis, saya juga perlukan sesuatu yang baru dan segar agar sesuai dengan imej saya hari ini,” ujar ibu kepada tiga orang anak ini bersungguh.

Penyanyi Nora Mahu Dikenali 'Nora J'


KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu popular Desa Tercinta dan Naluri, Nora Ariffin kini mahu dikenali sebagai Nora J.

Jelasnya, perkataan J itu diambil sempena nama suaminya, Johan Nawawi.

"Biasanya orang selalu tertukar dengan orang yang bernama Nora Ariffin kerana di Singapura juga mempunyai seorang model bernama Nora Ariffin.

"Jadi, saya lebih suka menggunakan nama Nora J atau Nora Johan untuk mengelakkan kekeliruan," ujarnya sewaktu majlis pelancaran album Voices of Ummi (VOU) - Erti Al-Fatihah di Saloma Bistro, di sini, Selasa.

VOU merupakan kumpulan penyanyi kanak-kanak yang digabungkan kerana suara mereka juga adalah suara watak-watak utama dalam siri animasi muzikal kanak-kanak berjudul Ummi-Ceritalah Pada Kami.

Mereka adalah dua anak Nora iaitu Alif Johan (Alif), 12, dan Putri Dahlia (Putri), 7, serta Aiman Abbas (Aiman), 14, Hana Hamdan (Hana), 11, dan Jihad Hamdan (Atan), 8.

Selain Nora, artis undangan dalam album itu ialah Bringgo dan Mosyi.

Menurut Nora, anak-anaknya itu mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan sangat berminat untuk menyertai kumpulan tersebut.

"Saya sangat bersyukur dengan anugerah yang diberikan kepada anak-anak saya dan mereka rela melakukan kerja ini tanpa paksaan.

"Saya yakin album ini akan mendapat sambutan kerana ia bukan sahaja disasarkan kepada kanak-kanak tetapi golongan remaja dan dewasa dan lagu-lagu seperti ini harus diberi peluang untuk diputarkan di stesen radio," ujarnya.

Dalam pada itu, suaminya selaku penerbit album berkenaan memberitahu album yang mengambil masa setahun untuk disiapkan itu merupakan album runut bunyi bagi mempromosikan animasi terbitan syarikatnya, Hud Hud Media dan Johan Nawawi Sdn Bhd.

"Album ini menampilkan 13 buah lagu yang akan diedarkan oleh Erama Creative Sdn Bhd dan Erama Records Sdn Bhd melalui portal www.erama.tv menjelang bulan Ramadan ini.

"Animasi Ummi dijangka akan siap pada hujung tahun ini. Jadi, sementara animasi tersebut siap, kami hasilkan lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam animasi ini kerana ia akan diselang-seli dengan lagu berkonsep pop kerohanian," ujarnya yang turut bersedia untuk memasuki pasaran muzik Indonesia jika diberi peluang.

Nora yang menyambut kelahirannya ke-38 Selasa turut diraikan pada majlis tersebut.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails