Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Orchid Abdullah. Show all posts
Showing posts with label Orchid Abdullah. Show all posts

Rakan Artis Hiba Pemergian Orchid Abdullah


KUALA LUMPUR: Pemergian penyanyi ghazal veteran, Datin Orchid Abdullah, 64, pada tengah hari Jumaat, begitu dirasai oleh rakan baiknya penyanyi Aspalela Abdullah, 67, kerana kelembutan dan sikap lurus Allahyarham.

Kata Aspalela, sepanjang mengenali Orchid lebih 30 tahun lalu, penyanyi itu sering menjadikan dirinya tempat mengadu dan berkongsi cerita.

"Hubungan kami terlalu rapat seperti adik-beradik. Saya lebih tua daripadanya, jadi dia menganggap saya seperti kakaknya.

"Allahyarham seorang insan dan kawan yang berhati baik. Dia begitu lemah lembut dan tidak pernah bercakap kasar, tidak pandai sindir-menyindir dan lurus bendul," katanya yang ditemui di Masjid Al-Ansar, AU1, Taman Keramat, Jumaat.

Seorang lagi teman rapat yang juga menganggotai kumpulan Kawan, pelakon Maimunah Ahmad atau Mak Jah, berasa sedih dan redha dengan pemergian Allahyarham.

"Saya redha dengan pemergiannya. Ketika saya mandikan jenazahnya tengah hari tadi (Jumaat), saya dapati kulitnya sangat bersih.

"Dia memang insan yang lemah-lembut dan berhati mulia," katanya.

Dalam pada itu, promoter persembahan popular, Mas Omar menyifatkan kematian penyanyi itu sebagai kehilangan satu butir bintang yang bersinar.

"Allahyarham adalah insan yang tersendiri kerana muzik yang diperjuangkannya iaitu ghazal dan tradisional. Ketika ramai penyanyi 60-an yang lain tampil dengan muzik pop yeh-yeh, Orchid berani menyanyikan lagu tradisional.

"Sebab itu, namanya terus kukuh sehingga ke akhir hayat. Namun, saya terkilan kerana tidak sempat menunaikan hajatnya untuk merakamkan semula lagu Penawar Rindu versi duet dengan Mawi kerana dia sudah sakit," katanya.

Kelembutan penyanyi itu turut diakui oleh seorang jurusolek veteran RTM, Sharifah Bee Merican yang sering menyolek wajah Allahyarham ketika mengadakan persembahan di stesen televisyen itu.

"Dia seorang yang lemah-lembut dan langsung tidak cerewet tentang solekan yang dilakukan pada wajahnya," imbasnya.

Timbalan Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Fatimah Ahmad turut hadir merakamkan ucapan takziah dan memberi sumbangan sumbangan bagi pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sebanyak RM5 ribu kepada keluarga beliau.

Allahyarham meninggal dunia pada pukul 12.40 tengah hari Jumaat di Hospital Ampang selepas tiga tahun menderitai penyakit ketumbuhan hormon yang tidak stabil (paraganglioma).

Penyanyi veteran itu meninggalkan suami Datuk Mokhtar Omar, 70 dan empat orang anak iaitu Nur Shalina, 42, Md. Nor Shareen, 39, Mohd. Noor Shafri Mokhtar, 35 dan Nur Shafinaz Mokhtar, 31.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Taman Keramat, di sini selepas solat Asar, petang Jumaat.

Penyanyi Orchid Abdullah Meninggal Dunia


KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran Datin Orchid Abdullah, 64, meninggal dunia di Hospital Ampang dekat sini kira-kira pukul 12.40 tengah hari Jumaat.

Menurut anak bongsu Allahyarham, Nur Shafinaz Mokhtar,31, menerusi akaun Twitter miliknya, jenazah akan dimandikan di hospital tersebut dan dibawa ke Masjis Al-Ansar, AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur untuk disembahyangkan.

"Doakan dia (Orchid) dirahmati Allah dan ditempatkan dengan golongan orang yang beriman," katanya pada Twitter tersebut.

Penyanyi yang popular dengan lagu Penawar Rindu itu menghidap ketumbuhan hormon yang tidak stabil atau paraganglioma sejak tiga tahun lalu.

Beliau telah dibawa ke hospital tersebut pada pukul 3 pagi, Khamis.

Setelah tiba di hospital, Allahyarham yang pada mulanya ditempatkan di wad biasa dipindahkan pula ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemeriksaan lanjut.

Selain Shafinaz, Allahyarham turut meninggalkan tiga orang anak yang lain iaitu Nur Shalina, 42, Md. Nor Shareen, 39, dan Mohd. Noor Shafri Mokhtar,35.

Suami Allahyarham Datuk Mokhtar Omar,70, yang sedang dirawat di Unit Rawatan Jantung (CCU) di hospital yang sama kerana komplikasi kesihatan yang serius.

Difahamkan, ibu saudara Shafinaz yang rapat dengan keluarganya, Rogayah Yaakob, 59, juga ditempatkan di hospital sama sejak Jumaat lalu kerana penyakit asma.

Sementara itu, jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Taman Keramat, di sini, selepas solat Asar.

Antara rakan selebriti yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir termasuklah pelakon veteran Datin Umi Kalthum dan Datuk Sarimah Ahmad, penyanyi 60-an Datuk Jeffrydin, promoter persembahan Mas Omar dan penyanyi muda Nadia Aqilah.

Anggota kumpulan marhaban dan zanji yang dianggotai oleh Allahyarham iaitu Kawan turut hadir seperti Aspalela Abdullah, Datuk Yusni Hamid, Zalifah Ibrahim, Hamidah Urip, pelakon Maimunah Ahmad (Mak Jah) dan ramai lagi.

Penyanyi Orchid Abdullah Terlantar Sakit Akibat Tumor


AMPANG: Penyanyi veteran Datin Orchid Abdullah,64, yang popular dengan lagu Penawar Rindu berada dalam keadaan uzur akibat menghidap penyakit tumor yang dikenali “paraganglioma” sejak beberapa tahun lalu.

Menurut anak bongsunya Eenaz Mokhtar, 31, keadaan ibunya semakin kritikal selepas menjalani pembedahan di perut pada Februari tahun lalu dan mula tidak boleh bergerak beberapa bulan selepas itu.

"Selepas ibu menjalani pembedahan dia mula sukar bergerak. Doktor mengesahkan dia mengalami penyakit “paraganglioma” yang jarang berlaku di kalangan pesakit.

“Kata doktor penyakit ini hanya boleh dirawat di Hospital Putrajaya sahaja," ujarnya yang bergilir-gilir menjaga Orchid bersama-sama dua abang dan seorang kakaknya.

Tambah Eenaz doktor menasihati ibunya dibawa ke sebuah hospital di Maryland, Amerika Syarikat tetapi keadaannya tidak mengizinkan untuk bergerak jauh.

“Untuk membawa dia mengambil angin di luar rumah pun dia tak tahan, apatah lagi nak membawanya menaiki kapal terbang. Jadi, kami hanya melakukan rawatan tradisional seperti memberinya jus beri, sayur-sayuran dan buah-buahan,” katanya.

Terdahulu Persatuan Karyawan Malaysia bersama rakan-rakan artis turut melawat Orchid di rumahnya di Dataran Ukay di sini, Rabu

Kunjungan tersebut turut disertai Presiden persatuan itu Datuk Freddie Fernandez, Datuk Sarimah Ahmad, Julie Sudiro, Aspalela Abdullah dan Shamsudin Lamin.

Freddie serta empat artis tersebut turut menghulurkan sumbangan berupa wang tunai kepada Orchid selain mendoakan kesihatan Orchid agar cepat sembuh.

Sementara itu menurut Freddie, skim pencen Karyawan untuk artis veteran terpaksa dihentikan sementara kerana persatuan itu mengalami masalah kewangan.

Katanya, skim yang telah dianjurkan sejak enam tahun lalu itu ditangguhkan sejak enam bulan lalu untuk membolehkan pihaknya mencari semula dana.

Sebelum ini, lebih 30 artis veteran telah menerima sumbangan berupa pencen bulanan berupa wang tunai sebanyak RM500 sebulan.

"Kami akan menganjurkan beberapa aktiviti seperti pesta lawak “The Return of Pi Mai Pi Mai Tang Tu” pada Jun ini untuk mengumpul dana skim tersebut.

"Kami tahu ramai artis veteran yang mengeluh kerana tidak menerima sumbangan sebanyak RM500 sebulan seperti yang diberikan sebelum ini. Bagaimanapun kami berharap mereka bersabar," ujarnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails