Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Osman Kering. Show all posts
Showing posts with label Osman Kering. Show all posts

Al-Fatihah buat Osman Kering

PENDERITAAN pelawak tanah air, Osman Kassim atau lebih dikenali sebagai Osman Kering, 58, akhirnya sampai ke penghujung kelmarin. Terlantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras sejak 11 Jun lalu, Osman yang menghidap penyakit batuk kering itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3.45 petang, Jumaat lalu di katil hospital berkenaan. Allahyarham meninggalkan balu, Che Norhayati Che Omar serta anak-anak, Mohd. Al Anas, 28, Mohd. Amin, 26, Nor Ain, 25, Nor Hidayah, 23, Habriyah, 16, Mohd. Al Adnin, 13, Mohd. Al Ajmim, 10 serta empat orang cucu. Sepanjang kariernya sebagai anak seni, nama Osman tidaklah segah pelawak tersohor seperti Allahyarham Zami Ismail dan Allahyarham Muhammad Abdullah (Pak Busu), namun kecintaan Osman terhadap bidang seni telah meletakkan namanya sebagai pelakon veteran yang aktif sehingga hujung usia. Sejak awal melangkahkan kaki menjadi pelakon bermula lewat 1970-an hingga pertengahan 1980-an, arwah hanya dikenali dengan nama sebenarnya, Osman Kassim. Barangkali kurang nilai populariti, nama itu tidak melekat di hati peminat. Selepas 10 tahun menjadi artis, dia kemudian bertukar kepada Osman Kering ekoran satu insiden lucu bersama rakan pelawak, Mek Habsah. Nama Osman Kering itu terpacul keluar daripada mulut Mek Habsah dalam satu persembahan yang sama-sama mereka sertai pada pertengahan tahun 1980-an. Ketika itu, Osman, Mek Habsah dan Datuk Yahya Sulong bergandingan dalam kumpulan Asam Pedas. Mek Habsah yang secara spontan menyebut nama Osman sebagai Osman Kering sehingga menyebabkan penonton ketawa. "Kena pula dengan badan saya yang kurus kering ini. Sejak saat itu, saya menggunakan nama Osman Kering sebagai nama pentas kerana ia lebih mudah diingati serta semakin popular pula pada ketika itu dan kekal hingga kini. "Saya gunakan nama itu kerana bunyinya lebih komersial. Nama itu juga seperti memberi tuah kepada saya sebagai pelakon kerana ia sesuai dengan saya dan terus popular sehinggalah ke hari ini," memetik kata-kata arwah seperti yang tersiar dalam Mingguan Malaysia, Mei lalu. Tidak termasuk drama televisyen, sepanjang bergelumang dalam dunia lakonan, pelakon kelahiran Bachok, Kelantan itu pernah menjayakan puluhan filem termasuklah Senario The Movie 1, Man Laksa, Tentang Bulan, Si Jantung, Adik, XX-Ray, Ringgit Kasorrga dan Cinta Rosevilla. Dia turut menyerikan filem lain seperti Superstar, Raja Melewar, Soal Hati, Lagi-Lagi Senario, Mr. Cinderella, Gila-Gila Pengantin, Kemarau Cinta, 9 September, Antoo Fighter dan terbaharu, Kantoi. Arwah pernah melahirkan rasa syukur selepas 33 tahun bergelar pelakon kerana dia masih terus mendapat tawaran melakonkan pelbagai watak sama ada dalam drama televisyen atau filem. Tidak ditawarkan watak atau karakter yang menyumbang konflik utama ke dalam sesebuah karya, tetapi sesuatu yang ketara, datuk kepada empat cucu itu mampu menarik perhatian para penerbit serta pengarah bagi mengambilnya berlakon dalam produksi mereka. Arwah pernah berkata: "Antara sebab mengapa saya tidak putus-putus menerima tawaran berlakon adalah kerana tidak berkira soal bayaran. Begitu juga dalam persembahan pentas, asalkan ia berpatutan, maka saya akan terimanya dengan hati yang terbuka sejak dahulu hingga kini. "Apa yang penting, saya seronok dan mudah untuk bekerja dengan mana-mana juga syarikat produksi. Sebab itu, saya masih terus berlakon sehingga kini dan mata pencarian saya hanyalah lakonan," kata-kata itu membuktikan arwah Osman berkhidmat sebagai pelakon sehingga ke nafas terakhirnya. Dalam soal kebajikan serta meluahkan pandangan terhadap kepincangan dunia seni, kehadiran arwah Osman pada majlis Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! yang berlangsung pada Julai 2011 membuktikan komitmennya yang tidak pernah pudar. Dalam sinikal dan lelucon lakonannya yang pernah menghiburkan penonton tempatan, Osman juga ada pandangan yang kritis terhadap nasib pelakon sepertinya. Perkara itu dibangkitkan Osman dan disuarakan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis berkenaan. Biarlah jasad dikandung tanah, semoga kehadiran Osman Kering yang pernah mencetuskan rasa terhibur rakyat Malaysia itu akan terus subur di hati kita semua. Al-Fatihah.

Hajat Osman Kering Mahu Meninggal Dunia Di Sisi Isteri Makbul

PETALING JAYA: Anak ketiga pelakon dan pelawak Allahyarham Osman Kering iaitu Nor Ain berkata dia sekeluarga berasa lega apabila hasrat terakhir Allahyarham untuk meninggal dunia di pangkuan isterinya Che Norhayati Che Omar, 48, termakbul. Allahyarham atau nama sebenarnya Osman Kassim, 58, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, dekat sini kira-kira pukul 3.45 petang, Jumaat selepas koma sejak 11 Jun lalu akibat kegagalan fungsi otak. Menurut Nor Ain, 25, dia sekeluarga menerima berita kematian itu dengan reda dan tenang kerana sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan sejak bapanya koma selepas mengalami batuk berdarah di rumah mereka di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, dekat sini. “Kami reda dan tenang menerima kematian ayah kerana sudah bersiap sedia sejak dia koma lagi. Pernafasannya yang terhenti kira-kira 20 minit pada masa kejadian mengakibatkan otaknya membengkak kerana ketiadaan udara dan sekali gus menjejaskan sistem organ dalaman. “Namun sebelum dia koma, ayah sempat berpesan dia mahu meninggal dunia di pangkuan ibu. Kebetulan pada hari tersebut, ayah rebah di pangkuan ibu dan terus koma selepas itu. Pada hari ini (Jumaat), ayah meninggal dunia di sisi ibu dan kami anak beranak,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat petang. Ditanya mengenai kenangan dan pesanan terakhir Allahyarham sebelum koma, Nor Ain berkata, ayahnya begitu sinonim dengan keletah suka bergurau bersama anak-anak.
“Tiada ada apa-apa yang dapat kami berkongsi dengan ayah pada saat-saat terakhir hayatnya kerana dia sudah berada dalam keadaan koma. Cuma sebelum koma, ayah pernah berpesan kepada anak-anaknya agar menjaga ibu dengan baik. “Malah, dia juga pernah bercakap kepada saya sama ada dia berpeluang untuk melihat cucu keempatnya yang sedang saya kandungkan pada waktu ini. Ayah akan terus diingati kerana sikapnya yang suka bergurau senda dan mengusik anak-anak,” kongsinya. Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Najihin, Taman Tasik Permaisuri, Cheras selepas solat Maghrib, Jumaat dan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Tandang di sini, malam yang sama. Sebelum ini terdapat khabar angin berita kematian Allahyarham tetapi pelakon itu hanya dimasukkan ke Unit Penjagaan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana berada dalam keadaan kritikal dan bergantung pada alat bantuan pernafasan di hospital berkenaan. Allahyarham yang berasal dari Bachok, Kelantan mula menceburi bidang lakonan secara serius selepas dinobatkan naib juara pertandingan Bakat TV di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1979. Pada awal pembabitannya, Allahyarham menggunakan nama Osman Kassim tetapi kurang dikenali ramai. Nama jolokan Osman Kering yang diberikan secara spontan oleh pelawak Mek Habsah ketika mereka mengadakan persembahan pentas pada pertengahan 1980-an, terus melekat dan membawa tuah kepadanya sehingga kekal digunakan ke akhir hayatnya. Allahyarham sudah membintangi lebih daripada 30 buah filem dan puluhan drama televisyen. Antara filem lakonannya adalah XX-Ray, Ringgit Kassorga, Soal Hati, Mr Cinderella, Gila-Gila Pengantin dan Man Laksa. Filem terakhir lakonannya berjudul Oh Mak Kau (OMK) arahan Nurul Ain Nordin menjalani penggambaran pada Mei lalu dan dijangka ditayangkan pada penghujung tahun ini. Allahyarham atau nama sebenarnya Osman Kassim, 58, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, dekat sini kira-kira pukul 3.45 petang, Jumaat selepas koma sejak 11 Jun lalu akibat kegagalan fungsi otak. Selain Che Norhayati, Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak berusia antara 10 tahun hingga 28 tahun dan tiga orang cucu.

Nama Osman Kering idea Mek Habsah

OSMAN Kering mula melakar nama dalam bidang lawak jenaka dan lakonan drama televisyen (TV) serta filem tempatan sejak 33 tahun lalu. Dia mula menceburi bidang lakonan secara serius selepas muncul naib juara pertandingan Bakat TV yang dianjurkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1979. Bagaimanapun, Osman tidak mencipta populariti menerusi nama Osman Kering, sebaliknya sejak 1979 sehinggalah pertengahan tahun 1980-an dia lebih dikenali dengan nama sebenarnya, Osman Kassim. Sayangnya, nama itu seakan-akan kurang dikenali ramai peminat dalam bidang lakonan. Menurut anak seni berusia 58 tahun ini, dia lebih dikenali sebagai Osman Kering pada pertengahan tahun 1980-an iaitu selepas hampir 10 tahun menjadi pelakon. Sudah tentu dia bersyukur kerana nama Osman Kering yang diberikan pelakon dan pelawak, Mek Habsah itu kekal sehingga hari ini. “Nama Osman Kering itu terpacul keluar dari mulut Mek Habsah dalam satu persembahan yang kami adakan bersama pada pertengahan tahun 1980-an. Ketika itu, saya dan Mek Habsah serta Yahya Sulong (sekarang Datuk) bersama dalam kumpulan lawak jenaka, Asam Pedas. “Pada persembahan itu, Mek Habsah secara spontan telah menyebut nama saya sebagai Osman Kering sehingga menyebabkan para penonton ketawa. Mungkin ia kena dengan keadaan badan saya yang kurus kering menyebabkan timbul gelaran tersebut. Sejak saat itu, saya menggunakan nama Osman Kering sebagai nama pentas kerana ia lebih mudah diingati serta semakin popular pula pada ketika itu dan kekal hingga kini. “Saya gunakan nama itu kerana ia lebih komersial bunyinya. Nama itu juga seperti memberi tuah kepada saya sebagai pelakon kerana ia sesuai dengan saya dan terus popular sehinggalah ke hari ini," katanya kepada S3 sewaktu ditemui di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini. Bapa kepada Mohd Al Anas, 28, Mohd. Amin, 26, Nor Ain, 25, Nor Hidayah, 23, Habriyah, 16, Mohd. Al Adnin, 13, dan Mohd. Al Ajmim, 10, ini bersyukur kerana selepas 33 tahun bergelar pelakon, dia masih terus mendapat tawaran melakonkan pelbagai watak sama ada dalam drama TV atau filem. Tambah datuk kepada empat orang cucu ini, dia juga bersyukur kerana meskipun lebih banyak ditawarkan melakonkan watak sampingan dalam drama dan filem, tetapi dia mampu menarik perhatian para penerbit serta pengarah bagi mengambilnya berlakon dalam produksi mereka. “Saya rasa, antara sebab mengapa saya tidak putus-putus menerima tawaran berlakon adalah kerana tidak berkira soal bayaran. Begitu juga dalam persembahan pentas, asalkan ia berpatutan, maka saya akan terimanya dengan hati yang terbuka sejak dulu hingga kini. “Pada masa sama, saya juga tidak suka bersikap sombong dengan peminat. Contohnya, kalau saya menjalani penggambaran drama di sesebuah kampung, saya akan melayani para peminat yang datang untuk bergambar atau mendapatkan tandatangan walaupun ketika itu sedang sibuk. “Selain itu, saya juga suka bergaul dengan semua orang dan tidak memilih watak-watak yang diberikan. Apa yang penting, saya seronok dan mudah untuk bekerja dengan mana-mana juga syarikat produksi. Sebab itu, saya masih terus berlakon sehingga kini," ujarnya. Biarpun cuma sekadar pelakon tambahan, tetapi Osman sentiasa memberi komitmen yang padu setiap kali terbabit dalam penggambaran drama dan filem yang disertainya demi memastikan setiap watak yang dilakonkannya itu mampu menghidupkan lagi jalan ceritanya. Pelakon berasal dari Bachok, Kelantan ini misalnya sanggup membotakkan kepalanya sewaktu berlakon dalam filem XX Ray II arahan Aziz M. Osman pada pertengahan 1990-an semata-mata bagi menghidupkan lagi wataknya. “Saya juga pernah sakit pinggang kerana terpaksa belajar menunggang kuda dalam filem Ringgit Kassorga arahan Shuhaimi Baba (sekarang Datin Paduka) kerana watak lakonan itu memerlukan saya berbuat demikian," tuturnya. Osman yang telah membintangi lebih 30 buah filem termasuk yang terbaru berjudul Omak Kau berharap dia akan terus mendapat tawaran berlakon drama atau filem meskipun pada usia emas. Ini kerana katanya, bidang lakonan sudah sebati dalam dirinya sejak tiga dekad lalu. Apatah lagi tambahnya, ramai pelakon seangkatannya seperti Yahya Sulong semakin kurang aktif berlakon kerana masalah kesihatan, selain persaingan dengan ramai pelawak generasi baru yang dilahirkan daripada pertandingan Raja Lawak dan Maharaja Lawak Mega terbitan Astro. “Buat masa ini, mata pencarian saya adalah dalam bidang lakonan. Kalau dulu saya bekerja di sebuah agensi pelancongan selain bekerja sebagai pelakon tetapi kini mujurlah anak-anak pun sudah besar dan bekerja di mana duit berlakon sedikit sebanyak membantu kehidupan saya," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails