Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Raja Azmi. Show all posts
Showing posts with label Raja Azmi. Show all posts
Ditegur Suami Penyebab Perceraian Raja Azmi
roduser filem Raja Azmi Raja Sulaiman mendedahkan teguran suaminya, Mohd Eddie Ghazali antara penyebab dia memohon untuk bercerai selepas 13 bulan berumahtangga.
Raja Azmi, 55 berkata, walaupun mengakui kesilapannya kerana keluar rumah tanpa izin, namun cara teguran suaminya itu membuatkan hatinya benar-benar terluka dan sukar untuk diubati semula.
"Apabila dimarahi, hati saya terluka kerana saya terasa dengan tegurannya itu. Rasa sedih sangat-sangat. Dia (Eddie) telah pun memohon maaf dan memujuk, tetapi luka saya itu tidak terubat.
"Bagi saya, jika tidak boleh bertolak ansur mengenai perkara seperti ini, saya akan berterusan menjadi isteri yang derhaka. Lebih baik kami berpisah.
"Dia ada berusaha untuk mengekalkan rumah tangga ini, cuma mungkin saya yang langsung tidak berusaha," katanya kepada mStar Online.
Raja Azmi ditemui selepas di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada petang Selasa selepas Mohd Eddie, 46, melakukan lafaz cerai di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin kira-kira pukul 3.05 petang.
Mohd Eddie menceraikan Raja Azmi dengan talak satu dan wanita itu diperintahkan untuk melalui tiga bulan tempoh edah atau tiga kali suci.
Dalam pada itu, Raja Azmi turut mengakui, sejak berkahwin pada 13 Oktober 2013, dia mendapati pelbagai percanggahan pendapat antaranya dengan Eddie terutamanya mengenai kehidupan.
"Kami kerap bergaduh hanya kerana percanggahan pendapat masing-masing. Dan perkara ini membuatkan perhubungan kami semakin sukar untuk diteruskan.
"Tetapi apabila tidak sebumbung, kami boleh pula berkomunikasi macam biasa. Apa yang saya nampak, mungkin kami lebih sesuai berhubung sebagai sahabat," ujarnya.
Sementara itu, Eddie pula berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya apabila terpaksa melalui dugaan bercerai dan perkara itu membuatkan dirinya sedikit sebak.
Bagaimanapun, kata Eddie, masalah perkahwinannya dengan Raja Azmi dijadikan sebagai pengajaran agar lebih berdiplomasi dalam menegur seorang isteri.
"Kesilapan saya adalah daripada segi teguran yang kasar sehingga mengundang sebelah pihak terasa hati. Tetapi nak buat macam mana, ia sudah pun berlaku dan hidup mesti diteruskan seperti biasa," tuturnya.
Eddie yang popular dalam kumpulan CRK dengan lagu Cinta Dan Air Mata (tahun 1990-an) bernikah dengan Raja Azmi pada 13 Oktober 2013 dengan sekali lafaz.
Majlis akad nikah dilakukan di Laman Beringin, Istana Budaya dekat sini.
Raja Azmi sebelum ini pernah berkahwin dengan jaguh badminton negara, Mohd Jalani Sidek dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 30, Puteri Suaida, 26, dan Megat Deli, 21.
Eddie pula memiliki dua orang anak bersama arwah isterinya iaitu Daniel, 23, dan Effy, 21.
Raja Azmi Fail Cerai Selepas Setahun Kahwin
Desas-desus keretakan rumah tangga Raja Azmi Raja Sulaiman dengan suaminya, Mohd Eddie Ghazali sampai ke kemuncak apabila produser filem itu memfailkan permohonan cerai.
Peguam Raja Azmi iaitu Nailah Ramli berkata, permohonan berkenaan dikemukakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini pada pagi Isnin.
Sehubungan itu pihak mahkamah menetapkan pada Selasa (esok) untuk sebutan kes berkenaan.
Terdahulu desas-desus keretakan rumah tangga Raja Azmi, 55, dengan gitaris kumpulan CRK iaitu Mohd Eddie, 46, sudah kedengaran sejak beberapa bulan lalu dan mereka dilaporkan mengambil keputusan untuk tidak tinggal sebumbung.
Eddie yang popular dalam kumpulan berkenaan dengan lagu Cinta Dan Air Mata (tahun 1990-an) bernikah dengan Raja Azmi pada 13 Oktober 2013 dengan sekali lafaz.
Majlis akad nikah dilakukan di Laman Beringin, Istana Budaya dekat sini.
Raja Azmi sebelum ini pernah berkahwin dengan jaguh badminton negara, Mohd Jalani Sidek dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 30, Puteri Suaida, 26, dan Megat Deli, 21.
Eddie pula memiliki dua orang anak bersama arwah isterinya iaitu Daniel, 23, dan Effy, 21.
Raja Azmi berusaha selamatkan perkahwinan
BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah nasib yang melanda penerbit filem yang sering diselubungi kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman.
Siapa sangka mahligai kedua yang dibina atas dasar cinta bersama pemain bass band CRK, Mohd. Eddie Ghazali, 45, pada 13 Oktober 2013 itu kini dilanda badai.
Raja Azmi sewaktu dihubungi enggan menjelaskan punca keretakan rumah tangganya itu. Dalam nada sedih, penerbit yang berusia 55 tahun itu, tidak berselindung, mereka kini sudah sebulan tidak tinggal sebumbung.
“Masalah sudah berlaku selama sebulan dan dalam tempoh itu kami telah tinggal secara berasingan. Bukan untuk lari daripada masalah tetapi kami memerlukan ruang untuk berfikir tentang masa depan rumah tangga kami.
“Saya tidak akan berkongsi punca masalah rumah tangga kami. Biarlah hanya kami berdua sahaja yang tahu. Banyak hati yang harus dijaga, saya bimbang jika saya berkata lebih akan mengguris hati banyak pihak,” kata Raja Azmi mohon difahami.
Kesedihan hati Raja Azmi jelas terpancar menerusi nada suaranya yang tidak ceria seperti selalu. Terangnya, tiada perkataan yang boleh menggambarkan gundah hatinya ketika ini.
“Jujur saya tidak tahu bagaimana mahu menerangkan dengan perkataan tepat tentang keadaan saya ketika ini. Memang saya sedih, siapa yang tidak sedih apabila perkahwinan yang dibina atas dasar cinta menghadapi masalah.
“Semua orang berkahwin kerana ingin bahagia, sama juga seperti saya. Namun, apa daya saya apabila dugaan datang dalam keadaan saya tidak bersedia untuk menghadapinya,” ujarnya.
Terang penerbit filem ...Dalam Botol itu, beliau kini sedang berusaha untuk menyelamatkan rumah tangganya dan belum membawa masalah rumah tangga mereka ke peringkat mahkamah syariah lagi.
“Buat masa sekarang kami berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga dan belum terfikir untuk ke mahkamah syariah lagi.
“Jika boleh, saya mahu rumah tangga kami pulih seperti biasa tetapi saya bersedia dan reda dengan segala kemungkinan yang ditulis oleh Allah untuk saya,” terangnya tentang perkahwinan yang dibina sejak 11 bulan yang lalu.
Dalam pada itu, Raja Azmi yang lantang bersuara dalam segala isu itu sudah terbiasa dilanda kontroversi. Hatinya cukup kental dan tidak kisah dengan risiko yang dihadapinya selepas mengeluarkan sebarang kenyataan.
Bagaimanapun kali ini amat berbeza. Raja Azmi tidak lantang seperti selalu. Nada suaranya juga suram, malah, beliau juga gagal menyusun ayat untuk memberi jawapan yang terbaik tanda tekanan yang amat besar sedang dihadapinya.
“Memang saya sudah biasa dengan kontroversi. Saya tidak kisah orang mahu berkata apa sahaja tentang saya kerana sebelum ini kontroversi hanya melibatkan saya seorang sahaja.
“Namun, kali ini berbeza kerana membabitkan rumah tangga dan keluarga saya. Memang saya akui, dalam banyak kontroversi yang melanda, masalah rumah tangga ini memberikan tekanan paling besar buat saya.
“Saya minta maaf andai saya tidak dapat memberi kerjasama kepada pihak media yang cuba menghubungi saya. Saya harap semua pihak dapat mendoakan yang terbaik buat saya dan Eddie,” luahnya.
Raja Azmi dan Eddie berkenalan pada Februari tahun lalu ketika menonton persembahan band NRG. Sejak itu, mereka menjalinkan hubungan cinta dan bertunang pada 15 Julai tahun yang sama.
Hubungan Raja Azmi dan Eddie bukan sahaja direstui oleh keluarga, malah bekas suaminya, Mohd. Jalani Sidek turut hadir ke majlis perkahwinan gilang gemilang yang berlangsung pada 13 Oktober tahun lalu di Laman Beringin, Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Eddie merupakan suami keduanya. Sebelum itu, Raja Azmi pernah mendirikan rumah tangga selama 27 tahun bersama pemain badminton negara, Mohd. Jalani Sidek.
Mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Puteri Suraya, 29, Puteri Suaida, 25, dan Megat Deli, 20 dan bercerai pada 27 Jun 2012. Eddie mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan terdahulunya, Daniel, 22, dan Effy, 20.
RUMAH TANGGA BERMASALAH - EDDIE MASIH SAYANGKAN RAJA AZMI
Berikutan kemelut rumah tangga yang melanda Raja Azmi Raja Sulaiman dan Mohd Eddie Ghazali atau Eddie, di mana mereka kini membawa haluan masing-masing kerana perlukan ruang untuk berfikir serta memperbaiki diri, Eddie bagaimanapun mengakui yang dia masih sayangkan Raja Azmi.
Semuanya bermula gara-gara salah faham hingga mencetuskan masalah dalaman antara Raja Azmi dengan Eddie yang juga pemain bass kumpulan CRK hingga rumah tangga mereka dilanda badai.
"Apa yang saya boleh katakan di sini, apa yang berlaku di antara kami berdua, bukan salah sesiapa tetapi keadaan yang membuatkan kami jadi begini.
"Disebabkan itu, berilah masa dan ruang kepada kami untuk menangani masalah peribadi kami ini dan kalau boleh saya tidak mahu mengulas apa-apa lagi.
"Biarkan saya berdiam diri dahulu. Saya rasa hanya ini saja jalan yang terbaik dalam usaha menyelamatkan rumahtangga kami berdua. Apa yang boleh saya katakan di sini, saya memang cukup menyayangi Raja Azmi," ujarnya dipetik sebagai berkata.
Penjelasannya itu rintitan kenyataan Raja Azmi yang berkata selagi dia mampu bertahan, dia akan cuba bertahan serta berusaha sedaya upaya untuk perbaiki serta selamatkan rumahtangganya.
"Apapun saya reda dengan segala ketentuan Allah SWT," tambah Raja Azmi pada media.
Untuk rekod, Eddie dan Raja Azmi bernikah dan bersanding di Laman Beringin Istana Budaya pada 13 Oktober 2013.
Masing-masing memiliki cahaya mata sendiri menerusi perkahwinan terdahulu. Raja Azmi memiliki 3 anak bersama bekas suami, Mohd Jailani Sidek yang juga merupakan pemain badminton negara iaitu Puteri Suraya, 29, Puteri Suaida,25, Megat Deli, 20. Manakala Eddie pula memiliki 2 anak bersama arwah isterinya iaitu Daniel, 22, dan Effy, 20.
Ada Pihak Masih Pertikaikan Raja Azmi Bertudung
Penerbit filem Raja Azmi memberitahu masih ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dan cuba mempertikaikan niatnya bertudung.
Raja Azmi atau nama sebenarnya Raja Azmi Raja Sulaiman, 55, bagaimanapun berkata, dia reda dengan segala persepsi buruk yang diberikan kepadanya kerana dia yakin Tuhan lebih mengetahui niatnya untuk berubah.
"Persepsi orang, kita tak boleh nak bendung dan saya tak risau pun jika masih ada lagi yang mahu mempersoalkan niat saya berhijrah.
"Macam mana saya nak nafikan bahawa keputusan berhijab adalah kerana mahu membuat bisnes tudung? Sedang itu yang saya rasakan ketika itu, hasrat bertudung dan berbisnes datang seiring.
"Saya lebih risau dengan persepsi Allah terhadap diri ini. Yang penting Allah tahu saya ikhlas," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun tambah Raja Azmi, kritikan yang diberikan oleh segelintir pihak tidak pernah membuatkan dia berkecil hati sebaliknya lebih bersikap positif untuk berdepan dengan setiap perkara.
Sementara itu, ditanya pula mengenai kehadiran bulan Ramadan pada tahun ini, Raja Azmi berasa gembira kerana ini adalah pertama kali dia berpuasa bersama suami baharunya, Mohd Eddie Ghazali.
"Ini merupakan Ramadan fasa kedua saya di mana yang pertama adalah ketika bersama bekas suami saya dahulu iaitu Jalani Sidek dan kemudian fasa kedua pula saya berpuasa tanpa suami. Ketika itu rasa sedih saja lebih-lebih lagi apabila mahu berbuka puasa.
"Dan pada fasa ketiga ini, Alhamdulillah, Allah memberikan kebahagiaan untuk menjalani Ramadan dengan Eddie bersama lima orang anak kami (dua daripada merupakan anak Eddie daripada perklahwinannya terdahulu).
"Saya berharap agar kebahagiaan ini akan kekal sampai bila-bila," ujarnya.
Dalam pada itu, Raja Azmi berkata, bulan Ramadan turut menjadi satu keistimewaan buat keluarganya kerana dia akan memasak pelbagai juadah kegemaran anak-anaknya seperti kari hijau, sambal daging dan kupang serta sayur Sabah.
"Saya ini bukanlah seorang yang suka memasak. Kadang-kadang sebulan hanya dua hingga tiga kali sahaja saya akan ke dapur.
"Tetapi apabila tibanya bulan Ramadan, saya akan rajin sikit untuk memasak dan anak-anak pun seronoklah," selorohnya.
Raja Azmi Mengaku Berhijab Kerana Bisnes Tudung
Penerbit filem Raja Azmi menjelaskan salah satu sebab kenapa dia membuat keputusan bertudung adalah kerana mahu mengembangkan perniagaan bisnes berkenaan.
Raja Azmi atau nama sebenarnya Raja Azmi Raja Sulaiman 55, berkata, dia tidak dapat menafikan perkara tersebut tetapi niat berkenaan turut datang serentak dengan hasrat untuk berubah.
"Adakah saya berhijab kerana mahu mulakan bisnes rekaan tudung? Ada kebenarannya perkara itu.
"Saya tak berani nak nafikan tentang perkara itu kerana niat bertudung dan mahu menjalani bisnes rekaan tudung datang seiring," katanya kepada mStar Online.
aja Azmi ditemui pada majlis pelancaran tudung Raja Azmi For Variente Hijab di butik tersebut di Bangsar, di sini pada Rabu.
Sebelum ini Raja Azmi dalam satu kenyataan menjelaskan keputusan dia berhijab kerana keceluparannya mempersoalkan dakwaan wanita tidak bertudung akan masuk neraka.
Raja Azmi berkata, selepas membuat sembahyang sunat tahajud selama tiga malam, barulah dia mendapat jawapan dan terbuka hati agar bertudung.
Dalam perkembangan berkaitan Raja Azmi memberitahu dia tidak kisah sekiranya ada pihak cuba mempertikaikan niat sebenar dia bertudung kerana dia percaya Allah lebih tahu tentang isi hatinya itu.
Mengenai rekaan tudung terbaharu tersebut, Raja Azmi berkata, dia menjalinkan kerjasama dengan butik Variante dan menghasilkan tujuh jenis selendang inspirasi daripada 'headband'.
"Sebelum bertudung, saya memang suka memakai 'headband'. Jadi saya mengambil inspirasi `headband’ itu ke dalam rekaan selendang.
"Harganya pun tidak berapa mahal iaitu RM70 sehingga RM250," ujarnya.
Tambah Raja Azmi, jika ia mendapat sambutan, dia akan membuat rekaan terbaharu dalam masa terdekat nanti.
Tudung-tudung berkenaan boleh didapati di 11 cawangan butik Variante sekitar Lembah Kelang.
Mulut Celupar Bawa Rahmat, Raja Azmi Bertudung
Produser kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman mendedahkan keceluparannya mempersoalkan dakwaan wanita tidak bertudung akan masuk neraka antara punca dia terbuka hati untuk berhijab.
Raja Azmi, 55, berkata, selepas membuat kenyataan itu yang disiarkan di TV9 bulan lalu, dia mula terfikir adakah kenyataan yang dibuatnya itu betul atau sebaliknya.
“Semasa saya buat kenyataan itu, saya tiba-tiba terfikir apa yang saya cakap itu betul atau tidak? Dan saya juga membuat sembahyang tahajud tiga hari tiga malam dan akhirnya saya mendapat jawapan serta terbuka hati untuk berhijab,” katanya.
Raja Azmi berkata demikian dalam rancangan hiburan h live! saluran Astro Ria dan Maya HD pada Ahad malam.
Produser itu ditemubual oleh pengacara Datuk Aznil Nawawi dalam program yang disiarkan secara langsung bermula pukul 8.30 malam itu. Ulangan rancangan berkenaan disiarkan menerusi saluran Awani pada pukul 10.30 malam.
Sebelum ini Raja Azmi menimbulkan kontroversi apabila dia mempersoalkan pendapat orang yang tidak bertudung akan masuk neraka.
Beliau membuat kenyataan berkenaan apabila ditanya wartawan Galaksi, TV9, adakah dia mahu bertudung selepas kembali mengerjakan umrah pada Februari lalu.
Malah dia juga berkata, orang yang bertudung pula tidak semuanya menjaga adab mereka sebagai muslim sejati.
Dalam pada itu Raja Azmi berkata, dia tidak terkesan dengan segala kritikan orang ramai terhadap kenyataannya sebelum ini tetapi dia bersyukur kerana mendapat ‘teguran’ Allah yang akhirnya membuatkan dia mengambil keputusan bertudung.
Langkah menukar imej kata beliau, adalah sebahagian daripada keinginannya untuk terus beribadah dan juga mahu mengenali Islam itu dengan lebih mendalam.
“Insya-Allah, niat saya untuk berhijab sehingga memakai kain kapan,” katanya.
Tambah Raja Azmi, dia akan berusaha untuk mendekatkan diri dengan Allah terutamanya menjaga waktu solat lima waktu yang sebelum ini tidak dilaksanakan dengan sempurna.
Ditanya oleh Aznil bagaimana reaksi keluarganya selepas membuat keputusan itu Raja Azmi berkata, anak-anaknya gembira dengan perubahan berkenaan manakala suaminya Mohd Eddie Ghazali, 45, pula menepuk bahunya sambil berkata; “I love you.”
Beliau turut menambah, keputusan memakai tudung juga memperluaskan rezekinya apabila dia mendapat peluang menghasilkan rekaan tudung yang akan diusahakan bersama rakannya.
Dalam rancangan itu juga Raja Azmi turut memberi nasihat kepada penonton agar mencontohinya untuk berubah kerana perubahan itu akan membuatkan seseorang umat Islam akan mendapat lebih pahala.
“Pakailah hijab kerana bila kita berhijab, kita akan dapat lebih banyak pahala,” katanya.
Raja Azmi tak kisah dikritik
HUJUNG minggu lalu, penerbit Raja Azmi sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan berbunyi: “Kalau betul tak pakai tudung satu dosa yang amat besar sampai orang kata kalau orang perempuan tak tutup rambut akan masuk neraka, Kak Mi tak boleh terima semua itu.”
Kenyataan yang dikeluarkan pada satu temu bual dalam sebuah program hiburan mengenai kesediaannya bertudung selepas menunaikan umrah baru-baru ini telah menerima pelbagai reaksi negatif.
Ada yang beranggapan, kenyataan Raja Azmi yang juga selesa dipanggil Kak Mi itu sebagai kurang waras dan cetek ilmu agama.
Sementelah memakai tudung atau menutup aurat itu merupakan suatu kewajipan yang nyata untuk setiap wanita beragama Islam.
Perintah memakai tudung sememangnya jelas seperti yang dinyatakan dalam suruh An-Nur ayat 31 yang menyatakan setiap wanita beragama Islam mestilah bertudung meliputi dada dan kedua telapak tangan.
Ulama juga telah bersepakat bahawa isu pemakaian tudung merupakan perkara wajib seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran dan hadis.
Namun, wanita berusia 55 tahun itu tetap dengan pendirian dan menegakkan kenyataannya sebagai tidak bersifat semborono.
Dia dengan tegas juga memberitahu lebih menitik beratkan soal solat lima waktu, berbanding memakai tudung atau menutup aurat.
Raja Azmi bercakap kepada Kosmo! tentang isu tersebut. Bagi penerbit filem ...Dalam Botol itu, dia mempunyai alasan dan prinsip sendiri untuk tidak memakai tudung walaupun dikecam hebat oleh orang ramai.
Kosmo!: Bagaimanakah pandangan Raja Azmi berhubung kecaman orang ramai mengenai kenyataan anda yang mengatakan isu pemakaian tudung itu tidak wajib?
RAJA AZMI: Saya tetap dengan pendirian saya, mungkin orang ramai salah faham berhubung isu tersebut.
Pemakaian tudung merupakan pilihan masing-masing tetapi hal ini melibatkan keikhlasan hati, kita perlu betulkan perkara asas seperti solat lima waktu dahulu.
Adakah anda tidak bersedia untuk memakai tudung?
Saya telah bersedia pada bila-bila masa untuk memakai tudung. Namun, buat masa ini saya akan bertudung pada masa tertentu sahaja. Insya-Allah, saya berusaha untuk melakukan perubahan sedikit demi sedikit demi kebaikan saya.
Apakah tindakan yang diambil untuk kebaikan diri anda pada masa akan datang?
Bagi saya, apa yang perlu ditekankan buat masa sekarang adalah perkara asas dahulu. Saya perlu tunaikan solat lima waktu dengan teratur terlebih dahulu. Kalau solat lima waktu pun compang-camping, macam mana hendak melakukan kebaikan lain.
Jadi sebenarnya apakah pendirian anda mengenai isu bertudung?
Ia merupakan pilihan masing-masing. Jika hanya memakai tudung pada luaran tapi hakikatnya berperangai tidak baik, saya kira itu tidak menjadi juga. Apa yang penting adalah keikhlasan hati dan kebersihan hati itu sendiri. Mungkin disebabkan saya seorang yang dikenali, perkara ini diperbesarkan.
Apakah nasihat anda kepada orang ramai yang mengecam pendirian anda itu?
Ya, saya akui isu tersebut merupakan isu yang sensitif. Cuma saya ingin katakan di sini ialah perbaiki dahulu perkara asas agama dan saya percaya, kemudian segalanya akan beransur ke arah kebaikan.
Adakah anda terkesan dengan kecaman daripada orang ramai mengenai isu tersebut?
Tidak, saya sedikit pun tidak terkesan dengan kecaman orang ramai. Mungkin mereka salah faham dengan kenyataan tersebut. Saya ingin membetulkan diri saya dahulu tapi mungkin ia memakan sedikit masa.
Adakah suami anda memarahi anda jika tidak bertudung?
Tidak, suami saya tidak pernah memarahi saya jika saya tidak bertudung. Dia merupakan seorang yang memahami diri saya.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Kini saya sedang dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah program televisyen yang berbentuk realiti televisyen iaitu Main Masak-Masak. Saya juga ingin berehat daripada menerbit dan mengarahkan filem memandangkan industri filem sekarang dipenuhi dengan filem yang tidak berkualiti.
Raja Azmi Tangguh Bulan Madu Kerana Sibuk
Produser filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman terpaksa menangguhkan hasrat berbulan madu bersama suaminya, Mohd Eddie Ghazali di Desaru, Terengganu kerana jadualnya terlalu pada sehingga awal tahun hadapan.
Raja Azmi, 54, berkata, selain bakal menyertai program Master Chef Selebriti All Star dia juga akan terlibat dalam penerbitan konsert penyanyi Salamiah Hassan di Istana Budaya yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 12 Januari tahun depan.
"Kami merancang untuk bercuti di dalam Malaysia sahaja tetapi kesibukan saya dengan beberapa projek menyebabkan ia terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.
"Nasib baik suami memahami situasi saya dan dia pun tidak kisah bulan madu kami ditangguhkan buat sementara waktu," katanya kepada mStar Online.
Raja Azmi dan Mohd Eddie bernikah dengan sekali lafaz pada 13 Oktober lalu di Laman Beringin, Istana Budaya.
Eddie yang merupakan pemain bes kumpulan rock 1990-an iaitu CRK sudah pun menduda sejak lima tahun lalu selepas isterinya meninggal dunia pada Januari 2008.
Manakala Raja Azmi pernah berkahwin dengan jurulatih badminton negara, Jalani Mohamad Sidek dan mereka bercerai dengan talak satu pada 27 Jun 2012.
Dalam pada itu, Raja Azmi mengakui berasa teruja apabila bilangan ahli keluarganya bertambah besar selepas berkahwin dan tidak mempunyai masalah untuk menerima dua anak suaminya daripada perkahwinan terdahulu.
Jelas Raja Azmi, walaupun tanggungjawabnya semakin besar namun dia tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah kerana kesemua anak-anaknya sudah dewasa.
"Rasa gementar itu sudah tentu ada tetapi perasaan gembira melebihi segala-galanya kerana kehadiran mereka menambahkan kebahagian saya," katanya.
Hasil perkahwinan pertama Eddie, dia dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohd Daniel, 21 dan Mohd Effy, 19 manakala Raja Azmi pula mempunyai tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 28, Puteri Suaida, 24, dan Megat Deli, 19.
Raja Azmi Sah Bergelar Isteri Eddie (CRK)
Produser filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman sah bergelar isteri kepada gitaris kumpulan CRK iaitu Mohd Eddie Ghazali, 45, dengan sekali lafaz dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di Laman Beringin, Istana Budaya di sini pada malam Ahad.
Akad nikah berkenaan telah disempurnakan oleh Imam Masjid Jamek Ul-Ihsan Mejar (B) Ismail Wan Ahmad kira-kira pukul 9.20 malam.
Pengantin perempuan diwakil walikan oleh abangnya iaitu Raja Azman Raja Sulaiman serta bersaksikan oleh adik bongsunya, Raja Azizdin Raja Sulaiman dan menantunya, Mohammad Shadan Hashim.
Raja Azmi, 54, telah menerima mas kahwin sebanyak RM300 manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.
Rombongan lelaki turut membawa satu dulang hantaran mengandungi senaskah Al Quran, mas kahwin dan gelang tangan emas putih.
Manakala pihak perempuan membalas tiga dulang hantaran berupa manis-manisan seperti cokelat, biskut dan jeli.
Upacara membatalkan air sembahyang dilakukan sejurus selepas akad nikah dengan Eddie menyarungkan gelang emas putih ke tangan Raja Azmi.
Pasangan ini terdahulu telah mengikat tali pertunangan pada 15 Julai lalu di kediaman wanita tersebut di Ukay Perdana, Ampang.
Sementara itu, Raja Azmi yang ditemui bersyukur dan lega kerana majlis berkenaan berjalan lancar walaupun berasa gementar.
"Kami mula berkenalan pada 15 Januari lalu. Apa yang menggembirakan saya, anak-anak dapat menerima hubungan ini. Mereka mahu lihat ibunya gembira dan saya cukup terharu.
"Walaupun perkenalan kami cukup singkat, saya yakin Eddie adalah lelaki yang sesuai buat saya," katanya.
Eddie yang merupakan pemain bes kumpulan rock 1990-an iaitu CRK sudah pun menduda sejak lima tahun lalu selepas isterinya meninggal dunia pada Januari 2008.
Hasil perkahwinan pertama Eddie, dia dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohd Daniel, 21 dan Mohd Effy, 19.
Manakala Raja Azmi pula mempunyai tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 28, Puteri Suaida, 24, dan Megat Deli, 19, hasil perkahwinannya dengan jurulatih badminton negara, Jalani Mohamad Sidek.
Mereka bercerai dengan talak satu pada 27 Jun 2012.
Kumpulan CRK pernah popular dengan lagu Cinta Dan Air Mata.
Raja Azmi yakin Eddie pilihan terbaik
DALAM tempoh setahun bergelar janda setelah bercerai pada Jun 2012, penerbit kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan beberapa orang lelaki.
Namun begitu, bekas isteri kepada bekas pemain badminton negara, Jalani Sidek itu akhirnya memilih Mohd. Eddie Ghazali, 45, sebagai teman hidupnya.
Setelah lima bulan bercinta, kedua-duanya mengikat tali pertunangan dalam satu majlis yang diadakan di rumah penerbit tersebut di Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, Selangor pada 15 Julai lalu.
Ketika ditemui selepas majlis pertunangan tersebut berakhir, ternyata penerbit yang popular menerusi filem ... Dalam Botol itu tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya setelah menjadi tunangan Eddie.
“Sebelum majlis berlangsung saya agak gemuruh dan gementar, maklumlah ini kali kedua saya merasai pengalaman bertunang. Namun begitu, saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar.
“Pada masa yang sama, saya rasa diri ini merupakan insan yang paling bertuah kerana tidak ramai yang dapat bertunang dua kali. Saya anggap ini anugerah yang paling besar daripada Allah,” ujarnya.
Majlis pertunangan yang bermula sekitar pukul 6 petang itu dimulakan dengan acara merisik yang membabitkan perbincangan antara anak sulung Raja Azmi, Puteri Suraya Jalani, 28, dan anak sulung Eddie, Muhammad Daniel, 21.
Selepas itu, majlis pada petang tersebut diteruskan dengan acara menyarung cincin yang disempurnakan oleh ibu Eddie iaitu Mariah Abu Samah, 73.
Dalam majlis yang sama, pihak perempuan menerima tiga dulang hantaran seperti buah-buahan, coklat dan telekung serta senaskah al-Quran yang menggantikan wang hantaran. Ia dibalas dengan lima dulang hantaran iaitu beg duit, jam tangan, baju kemeja, kek dan coklat.
Ketika ditanya apakah yang menyebabkan dia memilih Eddie sebagai bakal suami, Raja Azmi menyatakan sepanjang lima bulan bercinta dia melihat Eddie seorang lelaki yang baik dan tidak pernah kisah dengan status dirinya.
“Pada usia sekarang bukanlah wang ringgit yang saya cari, tetapi lebih kepada kasih sayang. Saya yakin Eddie adalah pilihan yang terbaik dan dia mampu memberi sepenuh kasih sayang kepada saya,” jelasnya.
Mengenai majlis pertunangan yang diadakan pula, penerbit itu menyatakan bahawa ia adalah kehendak anak-anak yang mahu melihat dia dan Eddie menjalinkan ikatan yang lebih kukuh.
Ujarnya, pemilihan angka ‘15’ sebagai tarikh pertunangan dan perkahwinannya pula dibuat kerana dia dan Eddie kali pertama bertemu dan bertentang mata pada 15 Februari lalu.
“Mungkin ramai yang agak pelik apabila saya mengambil keputusan untuk bertunang pada usia sekarang, tetapi saya rasa ia tidak salah.
“Lagipun ini permintaan anak-anak yang mahu melihat sejauh mana Eddie serius dengan saya. Kini, Eddie telah membuktikan yang dia memang mahu mengambil saya sebagai isteri,” ujarnya.
Untuk majlis perkahwinannya yang akan berlangsung pada 15 September nanti, Raja Azmi memberitahu, dia mahu mengadakan majlis secara besar-besaran dengan mengundang lebih ramai tetamu.
Tidak kisah
Sementara itu, Eddie yang ditemui pada majlis pertunangan tersebut menyatakan dia memilih Raja Azmi sebagai teman hidupnya kerana sifat-sifat keibuan yang dimiliki oleh penerbit itu.
Menurut pemain bass kumpulan CRK itu, sepanjang lima tahun bergelar duda setelah kematian isteri pada tahun 2008, dia memang pernah terfikir untuk mencari pengganti.
“Saya tidak menyangka bahawa Raja Azmi merupakan wanita yang bakal mengisi kekosongan hati saya. Kali pertama bertemunya dahulu saya sudah jatuh cinta pandang pertama dengannya.
“Walaupun kami mengambil keputusan untuk bertunang dan berkahwin dalam tempoh yang singkat, saya rasa ia langkah yang terbaik dan percaya dia wanita terbaik untuk saya,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia tidak kisah untuk memperisterikan seorang wanita yang selalu dilanda kontroversi, Eddie menyatakan dia langsung tidak kisah dan menerima Raja Azmi seadanya.
“Biarlah apa yang orang hendak cakap termasuk segala kontroversi yang pernah melanda dirinya sebelum ini. Sudah tentu kontroversi ini akan lenyap apabila kami berkahwin nanti,” jelasnya.
Tak Salah Kalau Nak Miang - Raja Azmi
Bohong kalau kata, beliau tidak mendengar dan tipu kalau beliau tidak terasa dengan cakap-cakap sesetengah pihak yang mengatakan beliau miang dan tidak sedar diri - dah tua-tua pun nak bertunang lagi.
Namun bagi produser terkenal, Raja Azmi Raja Sulaiman atau lebih mesra dengan panggilan Kak Mi ini, kata-kata itu sedikit pun tidak membantutkan hasratnya untuk mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, pemain basis kumpulan CRK, Mohd Eddie, 42, pada Isnin lalu. Malah beliau berasa bersyukur dan bertuah kerana diberi kesempatan untuk bertunang buat kali kedua.
Selain kerana mahu mengikut adat dan ia juga atas desakan anak-anak, Raja Azmi berharap pertunangannya ini sebagai contoh terutama bagi kalangan wanita yang sudah berumur dan masih bujang supaya golongan iu tidak risau dan takut kalau mahu bercinta dan bertunang.
"Rasa diri Kak Mi paling bertuah atas anugerah Tuhan. Apa yang berlaku hari ini adalah Tatu anugerah tuhan yang sangat besar. Bukan semua orang dapat merasa saat-saat begini untuk kali kedua dan Kak Mi dapat rasakannya.
"Pertunangan ini juga adalah sebagai mengikut adat. Selain anak sulung saya yang mendesak. Katanya, kalau Eddie betul-betul serius, mintalah dia datang ke rumah secara adat. Sebab kami masing-masing sudah berumur, tetapi adat
tak mengenal usia.
"Mungkin ada yang akan kata, ala dah tua-tua, gatal ganyut pun nak bertunang lagi. Kak Mi rasa, tak salah kalau kita nak miang, kan? (gelak)", kata wanita berusia 54 itu ketika ditemui sejurus usai upacara menyarungkan cincin.
Raja Ami memberitahu majlis pertunagannya itu tambah bermakna kerana tarikh 15 Julai siknifikan dengan tarikh perkenalan dan detik jatuh cinta pandang pertama antara mereka berdua iaitu pada 15 Februari lalu.
Malahan Raja Azmi mahu kisahnya ini dijadikan pengajaran dan contoh teladan yang baik oleh masyarakat. Lebih-lebih lagi bagi wanita yang sudah berusia dan masih bujang, agar jangan takut untuk bercinta, bertunang dan berkahwin.
"Kak Mi nak kisah baik buruk perjalanan hidup Kak Mi ini dijadikan tauladan dan tontonan umum. Kak Mi anggap dengan berkongsi kisah hidup Kak Mi, ia juga sebagai satu sedekah.
"Diharapkan Kisah Kak Mi boleh jadi contoh yang positif. Harap lepas ni perempuan-perempuan yang berusia di luar sana yang teringin nak bercinta lagi atau nak bertunang, silakan. Ianya satu anugerah yang besar dari Allah. Tak perlu nak sorok-sorok", katanya.
Selain itu, Raja Azmi berkata tempoh bertunang selama dua bulan ini dapat memberi ruang yang lebih untuk beliau mengenali bakal suami beliau itu.
"Kenapa kami tak nikah saja terus? Sebab bagi Kak Mi, dalam tempoh pertunangan ini lah akan terserlah perangai masing-masing dan memberi peluang kami mengenali dengan lebih rapat sebelum bergelar suami isteri. Kami juga perlu cekal dan banyak bersabar sepanjang dalam tempoh dua bulan ini.
"Kak Mi ni sebenarnya seorang yang tak sabar tetapi Eddie seorang yang sangat sabar. Mudah-mudahan dengan sikap kami yang bebeza ini bawa satu yang positif, sehingga kami benar-benar nak dinikahkan dan biar ia kekal hinga ke akhir hayat.", ujar beliau yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan duda anak dua itu pada 15 September depan.
Meskipun perkenalan mereka hanya baru enam bulan, namun Raja Azmi yakin Eddie boleh menjaganya dan memberikan kasih sayang kepada diri beliau.
"Kak Mi yakin Eddie boleh menjaga Kak Mi. Walaupun mungkin dia tidak dapat memberikan kesenangan pada Kak Mi dari segi wang ringgit dan harta benda tapi dia akan berikan kasih sayang.
"Terima kasih juga pada anak-anak yang sanggup layan kerenah ibunya ni. Susah nak cari anak-anak macam mereka. Kak Mi nampak mereka ikhlas dan dapat menerima Kak Mi bersama Eddie", tuturnya dengan nada sebak.
Anak-Anak Raja Azmi Akui Ambil Masa Terima Eddie
Sebelum ini mereka melihat lepas satu, satu hubungan cinta ibu mereka, Raja Azmi Raja Sulaiman tidak berpanjang. Sementelah sebagai anak-anak, Puteri Suraya dan adik-adiknya turut bersedih. Namun perkenalan ibunya dengan pemain bass kumpulan CRK, Mohd Eddie Ghazali atau Eddie sejak enam bulan lalu, memberi persepsi berbeza kepada mereka.
Apatahlagi melihat ibu mereka yang nampak begitu bahagia lalu Suraya bersama adiknya Putera Suaida dan Megat Deli merestui hubungan pasangan itu. Pun begitu, Suraya mengakui pada mula sukar untuk menerima hubungan cinta ibu mereka itu. Tetapi lama kelamaan mereka terima malah mendesak ibunya mengikat tali pertunangan dengan lelaki yang mereka panggil dengan panggilan uncle Eddie itu.
"Pada mulanya memang susah kami nak terima uncle Eddie. Kami ambil masa juga. Tapi bila kami lihat mama semakin bahagia sejak kenal uncle. Akhirnya kami fikir, asal kan mama bahagia, kami okay saja. Kami harap uncle Eddie dapat melengkapi mama.
"Kira-kira dua bulan lepas mama ada aturkan temujanji makan tengahari bersama uncle Eddie. Dan ketika itulah pertama kali kami jumpa uncle Eddie dengan anak lelakinya. Sejak itu perlahan-lahan kami kenal uncle. Uncle seorang yang simple dan lemah lembut. Karakter uncle yang simple buat mama sentiasa gembira.", kata anak sulung raja Azmi, Puteri Suraya ketika ditemui pada majlis pertunangan ibunya, malam tadi.
Teruja tatkala ibu mereka bakal menjadi tunangan Eddie, tambah Suraya segala persiapan majlis diaturkannya sendiri mereka tiga beradik. Oleh kerana mahu memberi kejutan pada ibunya, Suraya sendiri berusaha mengubah barang-barang hantaran.
Begitu pun, sedia maklum dengan dugaan orang bertunang, Suraya turut mendoakan agar ikatan pertunangan ibunya bersama Eddie berkekalan ke majlis ijabkabul mereka yang akan berlangsung pada 15 September depan.
Dalam pada itu Suraya memberitahu bapanya, Mohd Jailani Sidek juga pernah dipertemukan dengan Eddie. Malah beliau turut dijemput pada majlis tersebut. Namun bekas jaguh kebangsaan itu tidak dapat hadir kerana terpaksa menghadiri mesyuarat.
"Papa juga dah pernah jumpa uncle Eddie. Papa seorang yang sporting dan terbuka. Papa juga selalu mengingatkan kami adik beradik agar sentiasa menjaga hati mama", ujar ibu kepada dua cahaya mata ini, Muhammad Akid, 2 dan Muhammad Ariq, 7 bulan.
{Baca lagi} Foto: Raja Azmi & Eddie Selamat Bertunang, Nikah 15 September Ini
- mD
Raja Azmi Selamat Bertunang Dengan Eddie (CRK)
Produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, telah mengikat tali pertunangan dengan seorang gitaris, Mohd Eddie Ghazali, 45, dalam satu majlis yang diadakan di kediaman wanita itu di Ukay Perdana, Ampang di sini pada Isnin.
Majlis dimulakan dengan acara merisik diiringi dengan ucapan perbincangan oleh anak sulung kedua-dua pasangan itu iaitu Mohd Daniel, 21, bagi pihak ayahnya iaitu Eddie dan Puteri Suraya Mohd Jalani, 28, mewakili Raja Azmi.
Pada majlis tersebut pihak lelaki menyerahkan tiga dulang hantaran yang berupa buah-buahan, manisan dan coklat serta telekung.
Manakala pihak perempuan membalas dengan dulang hantaran terdiri daripada jam tangan dan beg duit jenama Fossil, kemeja, kek, coklat dan biskut.
Eddie yang merupakan pemain bes kumpulan rock 1990-an iaitu CRK sudah pun menduda sejak lima tahun lalu selepas isterinya meninggal dunia pada Januari 2008.
Hasil perkahwinan pertama selain Daniel, Eddie memiliki seorang lagi anak bernama Mohd Effy,19.
Manakala Raja Azmi pula mempunyai tiga orang anak iaitu Puteri Suaida, 24, dan Megat Deli, 19, hasil perkahwinannya dengan jurulatih badminton negara, Jalani Mohamad Sidek.
Mereka bercerai dengan talak satu pada 27 Jun 2012.
Pada majlis bertunang itu, turut dilakukan ialah majlis menyarung cincin yang disempurnakan oleh ibu Eddie, iaitu Mariah Abu Samah.
Sementara itu, Raja Azmi yang ditemui bersyukur dan lega kerana majlis berkenaan berjalan lancar.
Biarpun membina hubungan istimewa dalam tempoh yang singkat sebelum mengambil keputusan mengikat tali pertunangan, Raja Azmi yakin lelaki tersebut adalah pilihan yang tepat buat dirinya.
"Kami mula berkenalan pada 15 Januari lalu. Apa yang menggembirakan saya, anak-anak dapat menerima hubungan ini. Mereka mahu lihat ibunya gembira dan saya cukup terharu.
"Walaupun perkenalan kami cukup singkat, saya yakin Eddie adalah lelaki yang sesuai buat saya," katanya.
Pasangan tersebut merancang akan bernikah pada 15 September depan.
Kumpulan CRK pernah popular dengan lagu Cinta Dan Air Mata.
Raja Azmi Bakal Bertunang 15 Julai
Penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman mengesahkan bakal mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Mohd Eddie Ghazali pada 15 Julai ini.
Menurut laporan Kosmo! pada Selasa, Raja Azmi, 54, akan mengadakan acara pertunangan itu di kediamannya di Ampang kira-kira pukul 6 petang dan diikuti solat Maghrib berjemaan serta majlis berbuka puasa.
Tambahnya lagi, desakan daripada anak-anaknya yang mahu melihat hubungannya dengan Eddie mempunyai ikatan yang lebih kuat membuatkan dia mengambil keputusan untuk bertunang.
"Pada usia saya sekarang ini, sudah tentu tidak sesuai untuk bertunang tetapi menerusi perbincangan bersama anak-anak, mereka mendesak saya supaya ada ikatan yang lebih kuat antara saya dan Eddie.
"Tujuan mereka mendesak saya bertunang kerana mahu melihat sejauh mana Eddie serius dengan saya. Apabila saya menyatakan perkara ini kepada Eddie, akhirnya dia bersetuju untuk masuk meminang," ujarnya.
Raja Azmi swbelum ini pernah berkahwin dengan bekas jaguh badminton negara iaitu Jailani Sidek sebelum bercerai talak satu pada 27 Jun tahun lalu di Mahkmah Syariah Rendah Gombak Timur selepas 28 tahun berumah tangga.
Saya tidak malu bercinta - Raja Azmi
CINTA dan air mata akan selama-lamanya menjadi teman setia buat semua wanita. Begitu juga dengan penerbit wanita sensasi yang sangat dikenali ramai, Raja Azmi Raja Sulaiman.
Biarlah bermacam-macam dugaan, berhujan api kejian serta rentetan kontroversi yang pernah jatuh ke mukanya, wanita berumur 54 tahun itu tetap berpegang kepada prinsip hidup mesti diteruskan.
Dia juga tidak pernah malu membuka kisah hidup untuk tatapan umum. Terbaharu, Raja Azmi mengaku dia bercinta lagi. Patah tumbuh hilang berganti, selepas putus cinta dengan seorang lelaki muda sekitar Januari 2013, pengarah filem ...Dalam Botol itu kemudian membuat pengumuman untuk mengakhiri zaman jandanya.
Lelaki pilihannya itu ialah Eddie, pemain gitar yang pernah menyertai kumpulan CRK sekitar tahun 1990-an dulu.
Pada usia 54 tahun dan bersulam hidup yang sarat dengan kontroversi ditangkap basah, bermalam di lokap dan bercerai dengan bekas pemain badminton, Jailani Sidek, itu semua tidak pernah menghalang mata Eddie untuk jatuh cinta dan melihat Raja Azmi sebagai wanita terpilih untuk menjadi suri di dalam hatinya.
"Masa mula-mula kenal saya pun risau juga. Banyak yang dibaca melalui media tetapi sepanjang saya mengenali dirinya, dia seorang yang ceria dan banyak mendatangkan inspirasi kepada saya.
"Ingat sekadar untuk berkawan tetapi dalam usia saya pun sudah 45 tahun, kami lebih banyak bercakap tentang perkara yang serius. Masing-masing juga mempunyai anak-anak.
"Selama ini, sejak isteri saya meninggal, sayalah ibu dan bapa kepada anak-anak tetapi sejak dia muncul, situasi menjadi agak berlainan. Anak-anak saya senang dengan sikapnya.
"Apa yang anak-anak selesa, itulah yang paling penting untuk saya," ungkap Eddie tentang Raja Azmi yang bakal disunting sebagai tunangannya pada 15 Julai nanti.
Eddie atau nama sebenarnya Mohd. Eddie Ghazali merupakan duda selepas isterinya meninggal dunia. Dia mempunyai dua orang anak lelaki, Mohd. Daniel, 21, dan Mohd. Effy Ashley, 19.
Kembali ke alam percintaan dan berkongsi kisah cinta untuk tatapan khalayak, Raja Azmi tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk.
"Saya sedar mungkin ramai yang akan memandang sinis dalam hal ini. Mungkin ada yang berkata, sudah tua-tua pun masih bercinta-cinta.
"Saya cuma mahu katakan, sejak berpisah dengan Jailani, hidup saya sunyi tanpa cinta dan sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan lelaki yang menyintai saya dan memimpin saya di dunia dan akhirat.
"Cinta juga tidak mengenal usia dan saya tidak akan pernah berhenti mencari cinta, cinta kepada Tuhan, anak-anak dan keluarga.
"Semoga cinta ini dan jodoh saya dengan Eddie nanti akan dirahmati Ilahi," jelas Raja Azmi yang merancang mengadakan majlis pertunangannya mengikut adat biarpun masing-masing sudah berusia dan mempunyai anak.
Katanya: "Walaupun sudah tua, kami tetap nak buat majlis pertunangan. Apa-apa pun kena ikut adat, adat juga tak mengenal usia. Lagipun saya masih mempunyai ibu dan wali.
"Majlis pada 15 Julai nanti akan berlangsung secara sederhana selepas kedua-dua buah keluarga bertemu dan berbuka puasa bersama-sama di rumah saya."
Raja Azmi dan Eddie merancang untuk berkahwin sekitar September. Menurut ibu kepada tiga cahaya mata serta dua orang cucu itu, dia merancang melangsungkan perkahwinan selepas pembikinan filem terbaharunya Anak Ikan selesai dilakukan.
Ditanya tentang tempoh membahagiakan yang sedang dilalui kini, Raja Azmi tertawa: "Saya jatuh cinta pandang pertama."
Eddie menambah: "Sejarah perkahwinan terdahulu bukan persoalan buat kami, rasanya seperti kembali muda."
Gitaris Kumpulan Rock Cinta Terbaharu Raja Azmi
Pelakon Baru Buat Laporan Difitnah Raja Azmi
Raja Azmi ditampar, disamun
Raja Azmi Enggan Dipalit Kontroversi Penghasilan Filem 'Anak Ikan'
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]



