Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Ramlah Ram. Show all posts
Showing posts with label Ramlah Ram. Show all posts

Ramlah Ram Anggap Tak Manis Cakap Soal Jodoh

Penyanyi Ramlah Ram menganggap tidak manis bagi wanita pada usia sepertinya untuk bercakap soal jodoh apabila ditanya mengenai perkara itu. Ramlah, 49, berkata, ini kerana dia tidak pernah berfikir untuk mencari pengganti sejak bercerai dengan suaminya lima tahun lalu. "Pada usia saya sekarang tidak manis hendak bercakap soal jodoh malah saya tidak pernah berfikir mengenainya. "Bagaimanapun sekiranya dipertemukan jodoh pada masa akan datang saya tidak menolak kerana ia adalah ketentuan," katanya kepada mStar Online. Penyanyi itu ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-50 syarikat rakaman EMI di Saloma Bistro di sini, Isnin. Ramlah dan Kamal Roslim, seorang Penerbit Sukan RTM bercerai pada 20 Mei 2010.
Mereka terdahulu berkahwin pada 3 November 2000 di Muar, Johor dan perkahwinan selama 10 tahun itu tidak dikurniakan cahaya mata. Dalam pada itu, Ramlah berkata, dia tidak pernah berasa sunyi kerana kehidupannya sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti. Malah kata Ramlah, jika tidak mempunyai sebarang persembahan dia akan meluangkan masa bersama ibu yang tinggal berdekatan dengannya. "Hidup saya tidak sunyi kerana sentiasa sibuk dan jika tidak ada apa-apa saya akan ke rumah ibu untuk bersamanya. "Malah hubungan saya dengan anak-anak saudara sangat rapat dan mereka tempat saya menumpang kasih," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Ramlah berkata, dia kini sedang dalam proses mencari lagu sesuai sebagai single terbaharunya. Bagaimanapun dia tidak terburu-buru kerana ingin memastikan lagu yang dilancarkan mampu memberi impak kepada peminat. "Insya-Allah kalau boleh saya mahu keluarkan lagu baharu tahun ini tetapi saya tidak mahu terburu-buru kerana ingin mencari karya terbaik buat peminat," jelasnya.

Ramlah Ram Tidak Rasa Susah Bawa Gelaran Janda

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ramlah Ram tidak terganggu dengan status janda yang digalasnya selama hampir tiga tahun. Sebaliknya, Ramlah, 47, berkata, kehidupan itu membolehkan dia memberikan tumpuan penuh pada kerjaya dan keluarga. "Saya tidak rasa susah pun (bergelar janda). Saya reda dengan apa yang sudah terjadi (perceraian) dan lalui kehidupan seperti biasa. "Kerjaya saya sibuk jadi tidaklah berasa sunyi sangat. Lagipun saya banyak isi masa bersama ibu dan keluarga," katanya kepada mStar Online. Ramlah ditemui pada pelancaran album terbaharunya berjudul Aspirasi Hati bertempat di Neway Karaoke Box di Fahrenheit 88, Bukit Bintang di sini, petang Selasa. Pada majlis sama, kelab peminat Ramlah Ram Group (RRG) turut meraikan sambutan hari lahir ke-47 penyanyi dari Muar, Johor itu yang jatuh pada Selasa. Ramlah dan bekas suami Kamal Roslim, seorang Penerbit Sukan RTM bercerai pada 20 Mei 2010. Mereka berkahwin pada 3 November 2000 di Muar, Johor. Diusik mengenai pengganti, Ramlah berkata, pada usia mencecah lewat 40-an dia lebih senang menyerahkan soal jodoh kepada Tuhan. "Bukan kata sudah serik (kahwin semula) cuma saya tak nak fikirkan. Kalau ada, adalah. "Siapa kita untuk kata tidak kalau esok lusa ada jodoh baharu pula," luahnya yang mengakui lebih berhati-hati dalam mengenali lelaki susulan keretakan rumah tangga lalu. Beralih pada album, Ramlah berkata, dia berasa sebak dan terharu dengan usaha kelab peminatnya yang bersungguh-sungguh menampung kos penerbitan sebanyak RM75,000 itu. "Ini (album) adalah hasil usaha peminat yang bersungguh-sungguh dan ikhlas menyiapkan segala-galanya. "Saya terharu dan sebak dengan hasrat mereka yang mahu saya mengeluarkan album selepas tiga tahun. "Saya tidak ambil keuntungan album ini nanti tetapi dimasukkan ke dalam tabung RRG untuk kegunaan akan datang," terangnya. Album yang memuatkan 12 trek lagu itu dipasarkan sejak November tahun lalu edaran FMC. Antara lagu yang dipertaruhkan adalah Sesaat Kau Datang menampilkan kumpulan SleeQ, Takdir Cinta duet bersama protegenya Ana Syuhada, Seandainya dan 5:00 Minit menampilkan penyanyi rap Caprice yang sedang popular di corong-corong radio.

Ramlah Ram Diugut Selepas Akaun Facebook, Twitter Digodam

PETALING JAYA: Penjenayah siber berjaya menggodam beberapa laman sosial milik penyanyi Ramlah Ram sehingga meletakkan status serta mesej berbaur ugutan terhadap penyanyi itu dan juga beberapa artis lain. Presiden Kelab Peminat Ramlah Ram Group (RRG), Idmiszal Soaid berkata, dia menyedari perkara itu pada pagi Sabtu lalu apabila terbaca di sebuah blog yang mengatakan laman Twitter milik Ramlah digodam. "Tidak lama kemudian iaitu pada pukul 3 petang hari yang sama penggodam itu menghantar mesej berbaur ugutan dalam Twitter Ramlah yang ingin memusnahkan semua akaun laman sosial milik Ramlah termasuklah Facebook, E-mel dan akaun YouTube.
"Lebih menakutkan apabila penggodam mengugut (di Facebook) mahu menggodam telefon bimbit serta komputer riba Ramlah bertujuan untuk mendedahkan foto-foto peribadi miliknya," katanya yang dihubungi mStar Online di sini petang Selasa. Tambah Idmiszal, Ramlah yang baru pulang dari Terengganu pada malam Sabtu lalu terus membuat laporan polis di Balai Polis Kajang kira-kira pukul 1 pagi (Ahad) selepas mendapat tahu kejadian tersebut. Malah, sebagai langkah keselamatan, Ramlah bertindak menghubungi beberapa bank bagi menyekat akaun-akaunnya agar segala urusan dihentikan buat sementara waktu.
"Selain Ramlah, saya juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Kajang dan dua orang ahli RRG membuat laporan serupa di Taman Pelangi, Johor kerana akaun laman sosial kami juga digodam. "Malah penggodam itu telah menghantar mesej kepada saya dengan mengatakan dia tidak sukakan sebarang promosi yang berkaitan Ramlah. Peliknya, orang yang menghantar mesej itu daripada seorang lelaki negara luar. "Dia siap ugut mahu menggodam laman sosial artis-artis lain pula seperti Azwan Ali, Lisa Surihani dan Fazura," ujarnya. Ditanya keadaan Ramlah, Idmiszal berkata, penyanyi itu menjadi fobia sehingga dia tidak berani untuk menjawab sebarang panggilan telefon. "Dia masih lagi fobia tambahan pula pelbagai ugutan yang diterima. Begitu juga dengan kami, takut juga apabila ada yang cuba dengki mahu menjatuhkan reputasi Ramlah. "Tambah pula dia album barunya iaitu Aspirasi Cinta akan dipasarkan pada Jumaat ini yang diterbitkan sendiri oleh RRG. Saya takut ada yang tidak senang hati," ujarnya. Sementara itu Ramlah Ram yang dihubungi tidak menjawab panggilan telefon bagi mengulas kejadian tersebut.

Ramlah Ram Enggan Fikir Soal Kahwin Selepas Bercerai

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ramlah Ram tidak mahu lagi memikirkan soal kahwin selepas kegagalan rumah tangga bersama Penerbit Rancangan Unit Sukan di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kamal Roslim dua tahun lalu. Ramlah, 47, berkata, pada ketika ini pemikirannya tidak lagi tertumpu kepada soal tersebut sebaliknya mahu memberi tumpuan yang lebih mengenai kerjaya dan masa depan. "Saya tidak pernah terfikir pun pasal jodoh kerana saya terlalu sibuk dengan perkara lain apatah lagi ketika usia sudah mencecah 40-an, perkahwinan bulan lagi menjadi keutamaan saya," ujarnya kepada mStar Online semasa ditemui selepas rakaman program Fenomena Raya di Angkasapuri di sini. Bagaimanapun kata Ramlah, jika ada jodoh daripada Allah suatu hari nanti, dia tidak akan menolaknya. "Nak kata serik berkahwin tidak sama sekali, namun kalau sudah ditakdirkan saya bertemu jodoh saya terima sahaja," katanya. Dalam pada itu, Ramlah berkata, walaupun bersendirian dia tidak pernah berasa sunyi kerana kehidupannya sering dikelilingi dengan anak saudara dan kaum keluarga. Malah kata Ramlah, keluarganya juga tidak pernah membangkitkan soal perkahwinan dan menyerahkan sepenuhnya kepada dia. "Anak-anak buah saya ramai untuk menceriakan saya dan membolehkan saya menumpang kasih sayang. Soal kahwin untuk kali kedua tidak pernah menjadi isu kepada saya malah keluarga juga sentiasa berada di belakang menyokong saya," katanya. Sementara itu, Ramlah berkata, dia bakal muncul dengan single terbaru berjudul Seandainya hasil ciptaan ID Mifzal dan Zie Syafruddin yang pernah menghasilkan lagi Sesaat Kau Datang. Ramlah berkata, dia sangat bersyukur apabila kelab peminatnya iaitu Ramlah Ram Group (RRG) yang telah bertungkus lumus bagi memastikan lagu terbarunya itu siap. "RRG adalah tulang belakang saya yang banyak membantu menghasilkan lagu, promosi, publisiti dan sebagainya untuk saya. Mereka bukan sekadar peminat setia tetapi adalah sahabat baik saya. "Jasa mereka tidak mampu saya balas sehingga akhir hayat," ujarnya. Dalam perkembangan sama, Ramlah memberitahu, RRG juga merancang untuk menghasilkan sebuah album mini yang akan dipasarkan selewat-lewatnya penghujung tahun ini. Ramlah menjelaskan, sebanyak lima lagu akan dimuatkan dalam album itu nanti seperti Cinta Gila, Benar Mencintai, Sesaat Kau Datang, Seandainya dan Sejadah Cinta.

'Jatuh air muka saya' - Ramlah Ram


BIARPUN sudah berusia 24 tahun, lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu tidak pernah pudar popularitinya.

Dalam tempoh itu, penyanyinya, Ramlah Ram berdepan banyak transformasi. Terkenal dengan gimik lampu berbentuk hati, Ramlah kini berhijrah kepada fesyen muslimah.

Biarpun berimej Islamik tatkala usianya menjengah separuh abad, Ramlah kini didakwa bercinta dengan lelaki muda berusia 20-an.

Tidak mahu diam, Ramlah tampil memberikan penjelasan dan menafikan mengenai cerita yang menghebahkan dirinya membela 'anak ikan' seperti mana tersebar di internet.

"Cerita ini tidak benar. Kalau ikutkan saya malas nak ulas pasal gosip ini kerana ia memalukan diri saya dan keluarga.

"Jatuh air muka saya apabila gosip mengarut seperti ini tersebar. Di usia begini saya tidak memikirkan soal cinta," kata Ramlah sedikit beremosi ketika sidang akhbar Mentor 6 di Sri Pentas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Ramlah, lelaki yang dikenali sebagai Hafiz itu merupakan pengurus peribadinya yang sudah dua tahun berkhidmat secara profesional bersamanya.

Hafiz juga seperti didakwa Ramlah mempunyai hubungan persaudaraan dengannya dan mengambil lelaki itu berkerja selepas dia tamat belajar di sebuah kolej.

Ramlah tidak mahu tunduk dengan kontroversi murahan seperti itu. Justeru anak kelahiran Muar, Johor itu tidak berhasrat untuk mengambil tindakan kepada mereka yang terbabit menyebarkannya.

"Saya tahu siapakah dalang yang menyebarkan cerita ini. Bagaimanapun saya tidak bercadang untuk mengambil tindakan terhadap orang tersebut kerana tidak mahu membesar-besarkan cerita ini.

"Penulis itu pun sudah meminta maaf. Cuma sebagai manusia yang tidak sempurna tetap ada perasaan geram dalam hati saya," kata juara Bintang RTM 1985 itu.

Menafikan gosip bercinta dengan orang muda tidak bermakna Ramlah mahu kelihatan tua dalam industri hiburan.

Sebagai bukti mahu mendekatkan diri dengan peminat generasi kini, Ramlah tampil dengan sebuah lagu single berentak terbaharu berbanding lagu-lagunya sebelum ini.

Diberi judul Sesaat Kau Datang, lagu itu dinyanyikan bersama kumpulan anak muda dari Singapura, Sleeq.

Ramlah Ram Bela ‘Anak Ikan’?


Lebih 20 tahun pembabitannya sebagai anak seni belum ada lagi mana-mana cerita kontroversi mahupun gosip panas menghimpitnya. Meski dulu dia dilabel ‘artis kampung’, sedikitpun persepsi ‘sinis’ masyarakat itu tidak dibiarkan menjadi kudis dalam diri.

Namun bila pelantun lagu hits, ‘Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu’ ini dilaporkan menjalin hubungan cinta dengan pengurusnya peribadinya yang berusia 20-an atau lebih senang bela ‘anak ikan’, terjentik juga sedikit amarah Ramlah Ram atau mesra disapa Kak Melah.

Berkesempatan bertemu empat mata dengan Ramlah sewaktu sidang media Mentor musim keenam semalam, penyanyi berusia 46 tahun ini nyata terkejut dengan laporan akhbar baru-baru ini yang menyatakan dia mempunyai hubungan istimewa dengan pengurus peribadinya, Hafiz.

Malah dia turut menyifatkan dakwaan liar ini sebagai gosip ‘busuk’ dan secara tidak langsung telah menjejaskan reputasi bersih sepanjang lebih 20 tahun dia berada dalam industri hiburan.

“Semua itu fitnah. Sebenarnya saya malas nak ulas gosip ini panjang kerana ia telah memalukan diri saya dan keluarga. Saya telah berjumpa dengan penulis artikel tersebut dan menjelaskan situasi yang sebenar,” ujarnya kepada pihak media.

Jelasnya lagi, memang benar Hafiz sudah dua tahun bekerja untuknya sebagai pengurus peribadi dan mereka bekerja secara profesional tidak langsung menjalin hubungan istimewa seperti yang didakwa.

“Lagipun usia saya semakin meningkat, malu dibuatnya apabila gosip mengarut seperti ini disebarkan kepada masyarakat umum.

“Saya tahu siapa dalang yang menyebarkan fitnah ini. Cuma tidak pasti dan bagaimana dan apa puncanya cerita tersebut boleh tiba-tiba muncul. Barangkali orang tersebut tidak berpuas hati dengan saya dari soal kerja. Walaubagaimanapun saya tidak bercadang untuk mengambil tindakan terhadap individu tersebut kerana tidak mahu memperbesar-besarkan hal ini lagi,” jelasnya lagi.

“Perkara ini memang memalukan. Cukup-cukuplah. Tolong hentikan fitnah ini. Penulis itu pun telah meminta maaf. Cuma sebagai manusia kita ini tidak sesempurna mana, memang kita sudah memaafkan tapi dalam hati saya masih rasa geram lagi,” ujarnya yang juga merupakan salah seorang mentor untuk program realiti Mentor musim keenam.

Cintai Lelaki Muda, Ramlah Ram Kenal Pasti Penyebar Fitnah


PETALING JAYA: Penyanyi Ramlah Ram, 46, terkejut apabila dikaitkan mempunyai hubungan dengan pengurus perubadinya yang berusia 20-an seperti dilaporkan akhbar baru-baru ini.

Ramlah berkata, gosip yang dianggap 'busuk' itu telah menjejaskan reputasinya sebagai seorang penyanyi yang sentiasa menjaga rekod bersih sepanjang berada dalam industri hiburan tempatan.

"Gosip tersebut adalah tidak benar sama sekali. Saya malas nak ulas gosip ini panjang lebar kerana ia telah memalukan diri saya dan keluarga. Buat masa ini, saya telah berjumpa dengan penulis artikel tersebut dan menjelaskan situasi yang sebenar.

"Memang Hafiz sudah dua tahun bekerja untuk saya tetapi dia bukanlah seperti yang didakwa itu. Malah kami bekerja secara profesional. Dengan usia saya yang sudah meningkat begini, agak malu dibuatnya apabila gosip mengarut seperti ini disebarkan kepada khalayak," katanya yang ditemui pada sidang akhbar Mentor 6 di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, Rabu.

Tambah Ramlah yang baru sahaja muncul dengan single baru, Sesaat Kau Datang (kolaborasi dengan duo Sleeq), dia tahu siapa dalang yang menyebarkan fitnah tersebut.

Bagaimanapun, dia tidak berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap individu tersebut.

"Perkara ini memang telah memalukan saya. Hati ini masih ada rasa geram," ujarnya yang menjadi mentor dalam pertandingan realiti Mentor musim keenam pada tahun hadapan.

Bercerita tentang tanggungjawab barunya sebagai mentor itu, Ramlah sudah bersedia untuk mencari bakat baru yang memiliki kriteria-kriteria yang diingini untuk diasah menjadi seorang penyanyi profesional yang hebat.

"Antara ciri-ciri utama protege yang saya inginkan, mereka mempunyai gaya dan personaliti yang tersendiri dan tidak menjadi klon kepada mana-mana penyanyi yang tersedia ada.

"Apa-apa pun, ia satu tugasan yang besar buat saya untuk mengasah bakat seseorang dengan jangka masa yang pendek dan ia bukan senang, lebih-lebih lagi melibatkan markah daripada undian khidmat pesanan ringkas (SMS)," jelasnya.

Selain Ramlah, antara selebriti yang menggalas tanggungjawab sebagai mentor untuk musim terbaru ini ialah Faizal Tahir, Ferhad, Ella, Ogy Ahmad Daud, dan Adam (AF).

Uji bakat akan berlangsung bermula di negeri Sabah dan Sarawak iaitu pada tarikh 13 Januari depan di Hotel Promenade, Tawau dan 15 Januari (Hotel Promenade, Kota Kinabalu), 20 Januari (Hotel Imperial, Miri) serta 22 Januari di Hotel merdeka Palace , Kuching.

Pada bulan Februari pula, uji bakat bersama setiap mentor akan diadakan di Sri Pentas TV3 iaitu Fauziah Ahmad Daud atau Ogy (4 Februari), Faizal Tahir (5 Februari), Ramlah Ram (11 Februari), Ferhad (12 Februari), Ella (18 Februari) dan Adam AF (19 Februari).

Hasrat Ramlah Ram Bertudung Sudah Lama Dipendam



PETALING JAYA: Penyanyi Ramlah Ram muncul dengan penampilan barunya ketika menjadi artis undangan pada Separuh Akhir Muzik Muzik 25 yang berlangsung di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Isnin.

Ramlah yang tampil sopan dengan menutup aurat dan mengenakan tudung telah menarik perhatian penonton yang menyaksikan pertandingan tersebut.

Ramlah menyampaikan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu. dan Ketentuan.

Kata Ramlah, ini adalah masa yang paling sesuai untuk dia menunaikan hasrat yang sudah lama terpendam itu.

“Hajat untuk bertudung sudah lama, tapi mungkin ketika itu belum bersedia sepenuhnya. Pada awalnya saya cuba pakai tudung ketika keluar tetapi tidak selalu.

“Secara rasminya saya bertudung baru beberapa minggu lalu dan sudah beberapa persembahan saya muncul dengan penampilan baru ini,” katanya.

Tambah Ramlah, penampilan barunya ini tidak mungkin membataskan aktiviti seni yang selama ini menjadi darah dagingnya.

“Saya masih Ramlah Ram yang lama, saya masih aktif menyanyi. Apa yang membezakan hanyalah penampilan saya.

“Saya rasa inilah imej yang sesuai dengan usia sekarang. Lagi pula saya rasa tenang selepas bertudung ini. Dari segi rezeki pula, saya hanya serahkan kepada Allah. Saya yakin saya masih boleh mencari rezeki dengan penampilan sebegini,” katanya.

Menurut Ramlah, keluarga dan peminat memberi maklum balas yang baik terhadap penghijrahannya ini.

“Keluarga sangat gembira dan menyokong saya untuk berubah. Begitu juga peminat yang beri respons positif ketika saya membuat persembahan dengan penampilan baru ini,” katanya.

Ujar Ramlah, tiada sebab yang lebih kukuh selain niat dalam hatinya untuk berubah kearah ini.

“Saya berubah bukan kerana kecewa dalam hubungan yang lalu atau menerima galakkan dari seorang lelaki baru tapi niat dalam hati yang betul-betul kuat menyuruh saya untuk menutup aurat.

“Berhubung pakaian dan persembahan, saya akan tampil dengan pakaian yang bersesuaian dengan lagu yang akan dibawa. Sekarang saya masih lagi mencari satu identiti atau trade mark yang sesuai,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ramlah juga berhasrat untuk merakamkan lagu-lagu keislaman bersesuaian dengan imej dan usianya kini.

Ramlah Ram dipinggirkan!


SELAMA 25 tahun dalam industri baru pertama kali dapat buat konsert solo?

saya tidak kisah pun, tapi bersyukur dengan apa yang dah buat selama ini. saya tak kisah sangat semua tu.

Tempat pula kecil macam ni saja? Tak sedih?

Memang saya tak dapat buat di tempat yang besar kerana ia dianjurkan oleh peminat saya, Ramlah Ram Group (RRG). Tempat kecil pun saya tetap bersyukur.

Memang tak pernah dapat peluang langsung ke buat konsert solo besar-besaran?

Memang saya tak pernah dapat peluang. Saya pun tak tahu kenapa. Mungkin juga dulu saya diuruskan oleh syarikat rakaman dan waktu itu tak terfikir nak buat konsert. Padahal kalau buat konsert mungkin senang dapat penaja kerana nama tengah ada pada masa itu.

Tak teringin ke buat konsert solo di Istana Budaya atau Dewan Filharmonik?

Siapa yang tak nak, mestilah nak. Tapi tak mengapa, konsert pertama ni merupakan langkah permulaan kepada konsert solo yang lebih besar. Insya-Allah, kalau ada rezeki nanti.

Sheila Majid sambut ulang tahun ke-25 dalam industri muzik dapat buat konsert kat Dewan Filharmonik, cemburu tak?

Baguslah kalau ada orang nak taja konsert Sheila. Itu rezeki dia. Buat apa nak terkilan. Saya tak suka dengki dengan artis lain. Rezeki masing-masinglah.

Mungkin penaja susah nak taja Ramlah pasal imej kampung kuat sangat kot?

Tak tahulah saya, siapa yang melabel saya macam tu dan atas apa penilaian itu dibuat? Yang penting, sambutan peminat saya tidak pernah putus-putus sampai hari ini. Saya pun dah berjaya buktikan dapat bertahan sampai 25 tahun dan ada juga menang anugerah. Sebenarnya semua artis di Malaysia ni tak banyak, sikit mesti ada nilai imej kampung. Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi pun lagu dia orang ada unsur-unsur kemelayuan. Bidang muzik ni mana ada imej kampung dan orang sahaja yang menilainya.

Maksud saya, Ramlah tak cakap bahasa Inggeris dan tak seksi sangat, tak tayang lengan dan dada serta pakai skirt pendek. Tak nampak ciri-ciri antarabangsa kononnya, tu yang penaja tak nak?

Mungkin juga. Tapi terserahlah kepada para penaja. Saya hanya hendak menjadi diri sendiri dan tak nak tiru siapa-siapa. Kalau tak, takkan saya boleh bertahan sampai 25 tahun. Saya tetap bersyukur walaupun dapat buat konsert pertama di hotel je.

Sepanjang minggu ni ada dua konsert antarabangsa, Maher Zain dan Adam Lambert di Kuala Lumpur. Senang sangat artis luar buat konsert di sini, setuju tak?

Itulah, kalau artis tempatan macam-macam alasan beri takut tiket tak boleh jual. Tapi orang luar boleh pula taja, dah tu buat promosi besar-besaran. Biarkanlah. Saya tak marah, saya tak cemburu. Saya faham sikap manusia ni banyak kerenah.

Sepanjang 25 tahun dalam industri tanah air, ada tak rasa dianaktirikan?

Dianaktiri oleh siapa? Konsert solo pertama saya ni pun dibuat oleh peminat dan syarikat rakaman. Habis tu nak salahkan siapa lagi? Saya sebenar perlu bersyukur kerana ramai artis yang sezaman saya dah senyap, tapi saya masih aktif menyanyi lagi.Hidup ni kena banyak bersyukur, tak boleh asyik nak komplen saja.

Soalan akhir ni, masalah rumah tangga dengan Kamal dah selesai ke?

Kami dah sah bercerai pada Mei lalu. Walaupun tidak berhubung, tapi kami tak gaduh cuma sibuk dengan kerja masing-masing. Lagi pun tak ada benda yang perlu hingga nak berhubung setiap hari.

Dah jumpa pengganti Kamal?

Saya tak terfikir pun sampai ke situ (ketawa). Seluruh hidup saya ini kini hanya untuk kerjaya seni saja. Tapi jodoh semua di tangan Tuhan. Nanti saya cakap lebih-lebih, tiba-tiba jodoh datang cepat pulak. Tak boleh cakap juga tu.

Debaran Ramlah Ram


UMUM mengetahui penyanyi Ramlah Ram sudah bercerai dengan Penerbit Sukan RTM, Kamal Roslim sejak Julai lalu. Meraikan sambutan raya kali ini tanpa bekas suaminya, Ramlah bagaimanapun tidak banyak merasakan perbezaannya.

Beraya di rumah ibunya yang terletak di Muar, Johor, Ramlah memberitahu, satu-satunya perbezaan raya tahun ini adalah dia tidak pulang ke rumah bekas mertuanya. “Tahun ini saya beraya sepenuhnya di rumah ibu. Perceraian itu tidak membuatkan sambutan raya saya kurang meriah.

“Apa yang berlainan cuma saya tidak pulang ke rumah mertua. Nasib baik keluarga saya juga sudah mengetahui dan mereka memahami situasi saya. Jadi tidak ramai yang bertanya mengenainya,” kata Ramlah ketika ditemui di studio Utusan, baru-baru ini.

Mahu memberi fokus kepada kariernya, Ramlah yang popular menerusi lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu kini sedang bersedia untuk Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram yang bakal berlangsung pada 9 Oktober di Hotel Impiana KLCC, Kuala Lumpur.

“Setakat ini lebih 50 peratus meja sudah habis dijual. Atas permintaan ramai di laman sosial Facebook, kami juga membuka ruangan baru yang mana peminat hanya membayar RM50 untuk berhibur tanpa menjamu selera. Cuma ruangan itu hanya akan memuatkan lebih kurang 70 peminat,” tambah Ramlah.

Persembahan itu juga hanya menjual 26 buah meja dengan harga di

antara RM200, RM300, RM500 dan RM700. Dianjurkan oleh kelab peminatnya, Ramlah Ram Group (RRG), persembahan kali ini dikirakan antara majlis terbesar dalam sejarah pembabitannya sebagai penyanyi.

Memandangkan tarikh persembahan semakin dekat, Ramlah mula membuat persediaan lebih terutama dari segi stamina. “Sekarang musim batuk dan demam. Jadi saya kena jaga dari segi pemakanan kerana ada kalanya tekak saya tidak sihat.

“Selebihnya saya hanya akan berlatih dengan band seminggu sebelum persembahan. Band saya telah berlatih selama tiga bulan. Latihan perlu dibuat rapi kerana ini merupakan persembahan paling penting saya dengan peminat.

“Lagipun saya tidak pernah menyanyi begitu banyak lagu dalam satu malam. Memang saya rasa berdebar dan risau. Tapi memikirkan saat menghiburkan peminat itu memberikan saya semangat,” ujarnya lagi.

Bakal menjemput mereka yang pernah membantu dalam kariernya, Ramlah sudah memilih seleksi lagu yang ingin disampaikan malam tersebut. Ada juga di antara lagu yang dipilih merupakan permintaan peminat di laman sosial Facebook.

“Selain daripada permintaan peminat, saya juga akan menyampaikan lagu daripada album pertama serta beberapa lagu semasa awal penglibatan saya dalam industri. Menariknya, lagu-lagu lama itu akan diberi gubahan baru dan lebih segar,” katanya yang akan menyampaikan lebih 25 buah lagu.

Bagi mereka yang berminat untuk membeli tiket persembahan Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram, anda boleh menelefon Mirul di talian 016-288 2891, Rizal di talian 012-300 9928 atau Fazli di talian 019-215 2306. Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web www.ramlahram.com.

Kami sudah bercerai Mei lalu - Kamal (bekas suami Ramlah Ram)


DIA bukan lagi isteri saya lagi. Kami tiada jodoh,’’ katanya lelaki bernama Kamal Roslim itu dalam

bicara kami Khamis

lalu. Satu kenyataan yang cukup mengejutkan kerana dua hari sebelumnya, Ramlah Ram mengumumkan tentang tuntutan cerai yang dibuatnya di Mahkamah Shah Alam pada Mei lalu. Sebaliknya pendedahan Kamal kepada Pancaindera berbeza sama sekali apabila lelaki itu mendakwa bahawa mereka bukan lagi suami isteri semenjak Mei lalu. Meminta Kamal untuk mengulas perkara itu, awalnya dia berkeras tidak mahu. Kata Kamal, dia menolak untuk bercerita kerana semuanya telah diperjelaskan oleh Ramlah sendiri.

‘‘Sungguh, saya tidak pernah mengharapkan kisah rumah tangga saya dijaja atau menjadi bahan bualan dari saat awal perkahwinan sehingga ke hari ini. Tambahan pula, saya sedar asal usul diri ini, hanya orang biasa sahaja. Cuma bertuah kerana beristerikan penyanyi wanita yang cukup terkenal pada tahun 80-an,’’ katanya yang hanya mahu berkongsi cerita ini melalui talian telefon.

Diminta untuk merakamkan gambar terbarunya, penerbit Rancangan Unit Sukan TV di Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu berkeras enggan kerana merasakan tidak perlu berbuat sedemikian.

Katanya, cukuplah publisiti dari media kepadanya sebelum ini dan ia tidak diteruskan lagi.

“Jujurnya saya amat bencikan perpisahan. Acap kali saya berdoa agar rumah tangga kami berkekalan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, tetapi takdir membawa kami kepada perpisahan.

‘‘Bohonglah kalau saya tidak sedih dengan penceraian itu. Ia umpama mimpi ngeri dan berulang kali saya mengatakan pada diri bahawa saya bukan lagi milik dia.

Kamal dan Ramlah bernikah pada 3 November 2000 pada ketika Ramlah berada di singgahsana populariti sebagai artis ternama.

Kenapa bercerai?

Sebenarnya bukan mudah mengajak Kamal membuka mulut bercerita tentang perceraian dirinya dan Ramlah. Justeru lelaki yang cukup dikenali dengan imej pendiam, tidak banyak cakap dan ‘penyimpan’ ini sama sekali tidak akan menjelaskan secara terperinci kenapa dan mengapa mereka berpisah.

Apa yang hanya dijelaskan lelaki berusia 41 tahun ini bahawa dia tidak sesekali menuding jari kepada Ramlah berkaitan hal perceraian itu.

“Saya meletakkan semua kesalahan di atas bahu sendiri, tentang apa sahaja tanggungjawab yang telah terabai buat dia atau apa sahaja.

“Biarlah hanya saya dan dia saja yang tahu kerana sebab musabab itu adalah rahsia rumah tangga kami. Terlalu peribadi untuk diceritakan kepada umum,” beritahunya lagi.

Bagi Kamal, adalah lebih baik sekiranya berfikir untuk mencari kehidupan yang lebih baik selepas kembali solo.

Telan derita sendiri

Diterjah dengan macam-macam spekulasi yang kurang enak didengar termasuklah keupayaannya sebagai suami, Kamal juga tidak peduli dengan kata-kata kejian atau pandangan serong diberikan masyarakat. Bisik hatinya, tanggungan penderitaan di jiwa, biarlah dia seorang yang mengetahui, tidak perlu dikecohkan.

Maka seboleh-bolehnya, dia mahu tunjukkan kepada semua orang keceriaan meskipun terpaksa berbuat sedemikian. Kehidupan mesti diteruskan dan dia tidak boleh terus mengenang kisah lampau.

Pengubat terbaik untuk melupakan seketika permasalahan tersebut adalah menyibukkan diri dengan tugasan harian. Apatah lagi dengan suhu darjah Piala Dunia 2010 yang semakin meningkat memaksanya untuk bekerja lebih masa. Macam-macam program yang diterbitkan untuk unit sukan sejak April lalu setelah diamanahkan sebagai penyelaras program. Kamal perlu memastikan penonton RTM merasai Sorakan 1Malaysia 1Dunia. Apatah lagi selepas RTM menjadi penyiar berlesen untuk acara sukan berprestij tersebut.

‘‘Kini, hidup saya hanya untuk kerja sahaja. Tidak ada yang lain. Kerja adalah kaedah paling berkesan untuk memastikan diri saya tidak berfikir bukan-bukan. Kerja seminggu tujuh hari pun saya rela kerana ini adalah bidang yang paling diminati. Fokus kini tertumpu kepada program Fiesta Sokker Koors yang disiarkan setiap 12.30 malam hingga 1.30 pagi. Ia seperti rancangan hiburan melibatkan artis tempatan tetapi penuh dengan kuiz berkaitan Piala Dunia 2010.

‘‘Saya bertuah kerana mempunyai teman rapat yang banyak memberi sokongan dan semangat kepada saya. Boleh usir sedikit memori sedih saya bukan seketika,’’ katanya.

Ditanya apakah rancangan Kamal selepas ini, dengan nada gembira dia memberitahu tentang tugasan ke Johannesburg, Afrika Selatan pada 29 Jun hingga 14 Julai nanti. Ia merupakan lokasi impian buat peminat tegar Piala Dunia 2010 untuk melawat ke situ.

Apa yang diharapkan Kamal agar dia mendapat ketenangan dan menghidupkan semangat baru sekembali pulang ke tanah air.

Pun dalam masa yang sama, ada doa dihantar untuk wanita bernama Ramlah Ram. Pengharapannya, biarlah wanita yang pernah menghuni hatinya itu terus sukses, dimurahkan rezeki dan dalam keredaan Illahi sentiasa.

Ramlah Ram Sahkan Mahu Bercerai


KUALA LUMPUR: Desas desus keretakan rumah tangga penyanyi Ramlah Ram,45, yang dibina dengan Penerbit Sukan RTM, Kamal Roslim akhirnya terjawab apabila penyanyi itu hari ini mengesahkan untuk berpisah.

Ramlah yang ditemui pada sidang media Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram berkata, kemelut rumah tangganya dengan Kamal tidak dapat diselamatkan lagi sehingga membuatkan mereka terpaksa mengambil keputusan tersebut.

“Kami sudah tiada persefahaman dan jalan terbaik ialah berpisah,” katanya.

Tanpa mahu menyalahkan sesiapa terhadap apa yang berlaku, keputusan berkenaan telah dipersetujui oleh kedua belah pihak serta mendapat restu keluarga masing-masing.

Menurut Ramlah, selama ini dia telah mendapatkan khidmat kaunseling untuk menyelamatkan rumah tangganya itu tetapi sayang sekali hasrat berkenaan tidak menjadi kenyataan.

“Saya sayangkan rumah tangga saya dan cuba sedaya-upaya untuk menyelamatkannya tetapi tidak berdaya. Pada saya, soal jodoh, ajal dan maut itu adalah ketentuan Tuhan,” katanya.

Ujar Ramlah lagi, walaupun telah berusaha sebanyak mungkin tetapi jika telah ditakdirkan sudah tiada jodoh, mereka tidak boleh berbuat apa-apa.

Walau perpisahan bakal terjadi dia tidak menyesal kerana perkahwinan tersebut dilakukan adalah atas dasar suka sama-suka.

Ramlah yang juga pemenang Juara Lagu 1988 menerusi lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu itu berkahwin dengan Kamal Roslim pada tahun 2000 tanpa dikurniakan cahaya mata.

Krisis keretakan rumah tangga Ramlah dan Kamal telah kedengaran sejak sekian lama tetapi Ramlah cuba menafikan khabar angin tersebut.

Bekas juara Bintang RTM tahun 1985 ini bagaimanapun berjanji akan memaklumkan statusnya dengan Kamal apabila kes berkenaan dibawa ke mahkamah syariah nanti.

Ralat tidak penuhi permintaan bapa


APABILA membicarakan kemampuan artis yang mampu mempertahankan kedudukan mereka dalam tempoh yang lama memang boleh dibilang dengan jari. Nama-nama seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Jamal Abdillah, Amy (Search), Datuk Sharifah Aini, Datuk Sheila Majid, Jay Jay, Aishah, Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza antara mereka yang utuh membina populariti.

Apakah rahsia mereka mampu bertahan sehingga kini dan terus menjadi pujaan hati peminat-peminat mereka?

Memang tidak dinafikan, bakat merupakan aset utama mereka untuk terus berdiri teguh di persada seni tanah air.

Berbeza bagi penyanyi bersuara lantang, Ramlah Ram. Dia mempunyai rahsia lain sehingga berjaya meletakkan namanya sebagai satu jenama isi rumah selama suku abad.

"Bagi saya, apa yang penting ialah menjadi diri sendiri. Kerana itu, peminat mudah menerima kita dan terus menyokong kita sampai bila-bila selain bakat yang ada dalam diri kita.

"Saya bersyukur kerana mempunyai kelompok peminat yang tidak pernah jemu menyokong saya sejak 25 tahun hingga ke hari ini," katanya merendah diri sewaktu ditemui pada majlis sambutan hari jadinya yang ke-43 di Restoran Tupai-Tupai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kemeriahan keraian yang dianjurkan kelab peminat Ramlah yang menggelarkan diri mereka sebagai Ramlah Ram Group (RRG) turut disertai oleh beberapa rakan artis lain seperti Alyah, Hafiz Hamidun dan Yusrizan Usop atau lebih dikenali sebagai Bob.

Jika diselak lembaran seni Ramlah, sememangnya tidak dinafikan penyanyi ini memiliki vokal mantap dan hebat.

Bakat seni yang ada padanya meletakkan dirinya sebagai salah seorang penyanyi wanita terbaik negara yang pernah dilahirkan.

Kerana kelebihan itu jugalah, dia pernah diberi jolokan sebagai Whitney Houston Malaysia kerana kebolehannya menyanyi dalam nada tinggi sehingga mencapai nota F Sharp.

Ramlah juga pernah mencatatkan sejarah apabila menjadi penyanyi wanita pertama negara yang mencatatkan penjualan album sebanyak 350,000 salinan menerusi album keduanya, Kau Kunci Cintamu (Di Dalam Hatimu).

Tidak keterlaluan juga dikatakan, Ramlah juga boleh dilihat sebagai seorang ikon fesyen kerana berani tampil dengan pelbagai pembaharuan saban tahun biarpun dikecam dan dikritik dengan hebat sebaik sahaja bergelar juara Bintang RTM 1985.

Sudah menghamba diri dalam bidang seni selama 25 tahun dan memiliki rangkaian lagu-lagu yang cukup popular dan malar segar, tidak dinafikan Ramlah memang sudah layak untuk mengadakan sebuah konsert berskala besar.

Perancangan

Biarpun sudah berusia 43 tahun, namun Ramlah masih lagi mampu membuktikan kredibiliti dan kehebatan vokalnya yang cukup mantap serta bertenaga itu.

"Saya tidak ada apa-apa rahsia. Cuma, saya memang elak minuman berais dan berkarbonat. Semua petua itu saya amalkan sejak dulu lagi dan ia juga merupakan amalan penyanyi-penyanyi senior yang lain," tuturnya saat ditanya tentang petua menjaga suaranya itu.

Sempat juga Ramlah ditanya, tidakkah dia teringin untuk mengadakan sebuah persembahan besar untuk peminat-peminatnya bagi meraikan sambutan jubli perak pembabitannya dalam bidang seni suara.

Dengan pantas, penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Kau Kunci Cintaku (Di Dalam Hatimu) ini memberitahu, perancangan itu sudah tercatat dalam diari seninya untuk tahun ini.

Cuma, kini dia dan pihak syarikat rakamannya, Fantasia Music City (FMC) sedang berbincang tentang lokasi yang sesuai bagi mengadakan persembahan tersebut.

Tidak mengimpikan mahupun terlalu berharap untuk beraksi di sebuah pentas besar, kata Ramlah, memadailah tempat itu kelak dapat menghimpunkan semua peminatnya agar mereka berasa puas menikmati alunan lagu-lagunya.

"Dengan adanya teknologi moden hari dan rangkaian laman web sosial seperti Facebook dan YouTube, ia dapat merapatkan lagi hubungan saya dengan peminat.

"Saya memuji dan kagum dengan usaha yang dilakukan oleh RRG yang tidak pernah putus menganjurkan pelbagai aktiviti dan acara untuk saya meluangkan masa bersama-sama mereka.

"Malah, majlis hari jadi ini juga adalah inisiatif mereka untuk meraikan saya.

"Apa yang membuatkan saya terharu ada seorang peminat setia saya yang datang jauh dari Kemanan, Terengganu semata-mata mahu menyertai sambutan ini," katanya yang dilahirkan pada 19 Februari 1967 itu dalam nada terharu.

Sempena sambutan jubli peraknya itu juga, Ramlah berasa besar hati seandainya bekas syarikat rakamannya, BMG Music (kini Sony Music) mengambil inisiatif untuk mengeluarkan album kompilasi khas atau box set yang merangkumi album pertamanya hingga terakhir bersama syarikat itu.

Sedang rancak berbicara, tiba-tiba nada suara anak kelahiran Kesang, Muar, Johor ini berubah apabila mengenang ayahanda tercinta, Allahyarham Ram Mohammed yang menemui Ilahi pada 29 Januari lalu.

Meninggal dunia pada usia 70 tahun, Ramlah memberitahu ayahnya itu meninggal dunia kerana sakit tua dan jenazahnya dikebumikan di kampung halamannya di Muar, Johor.

Sehingga kini, Ramlah masih lagi terngiang-ngiang bicara arwah bapanya yang seolah-olah tahu bahawa dia akan pergi selama-lamanya.

"Ketika itu, kami semua berada di rumah kakak saya di Cheras dan kami semua mahu keluar sebentar.

"Abah tidak dapat ikut sekali kerana keadaannya yang tidak mengizinkan dan ketika itulah, dia memujuk saya agar tidak keluar.

"Arwah abah tanya tidakkah saya mahu berbual lagi dengannya kerana sudah lama kami tidak duduk berbual dan bermesra.

"Kalaulah saya tahu itu permintaannya yang terakhir, pasti akan saya tunaikan kerana sejak akhir-akhir ini saya begitu sibuk sehingga tidak dapat berbual panjang seperti kebiasaannya," kata Ramlah penuh ralat kerana arwah bapanya itu merupakan penyokong setia dan pembakar semangatnya sejak 25 tahun lalu.

Kerana itu juga, Ramlah meminta sambutan hari jadinya ditangguhkan selepas genap 40 hari pemergian arwah bapanya.

Kesedihan anak keempat daripada enam beradik ini tidak terhenti setakat itu sahaja kerana tidak sampai sebulan selepas bapanya meninggal, salah seekor daripada lapan kucingnya pula menemui ajal.

"Memang bertimpa-timpa kesedihan yang saya alami dan kucing yang bernama Tom itu merupakan yang paling saya sayang.

"Tetapi, syukurlah, kerana seminggu sebelum dia mati, ada seekor kucing yang datang ke rumah saya bagai memberi tanda akan berganti nyawa," kata pelantun lagu Selamat Jalan Romeo dan Zapin Yang Tinggal ini kembali senyum.

Mengenai perkembangan seni terbarunya, Ramlah sedang berusaha untuk mencari material terbaru dan terbaik selepas kejayaan album Ketentuan yang mendapat sambutan menggalakkan.

"Mungkin saya akan muncul dengan single terlebih dahulu sebelum melahirkan sebuah album penuh," ujarnya ringkas.

Ramlah Ram menangis kerana Aznil


Ditulis oleh ManggaMuda
Kesian Ramlah Ram... dia menangis di belakang pentas gara-gara pengacara paling popular Aznil Nawawi. Macam mana boleh jadi macam itu?
Macam ni ceritanya. Mereka dan ramai lagi artis mengadakan persembahan dalam satu majlis baru-baru ini.

Aznil bukanlah sengaja membuat kesilapan sehingga mengguris hati Ramlah dan dua artis lagi yang sama-sama membuat persembahan. Malah Aznil sudah meminta maaf kerana kesilapan itu.

Macam ni ceritanya. Ramlah dan dua lagi penyanyi seangkatannya sepatutnya muncul dalam persembahan terakhir majlis tersebut. Bermakna semasa mereka muncul Aznil sudah tamat kerjanya.

Tapi apabila Aznil mengumumkan tugasnya berakhir, dia terlupa mengumumkan persembahan sebenarnya masih ada.

Apabila Aznil melambai tangan dan turun pentas serta bersalam dengan tetamu yang duduk di meja hadapan, semua yang hadir ke majlis itu ingatkan majlis sudah selesai.

Penganjurlah yang terpinga-pinga kerana hanya mereka yang tahu masih ada artis yang akan muncul.

Ramlah dan rakan artis lain tersentaplah. Malah pada mulanya keberatan untuk naik ke pentas. Ramlah sudah meraung di belakang pentas kerana rasa terhina. Yalah pada masa itu orang sedang angkat kaki.


Ibaratnya mereka menyanyi untuk mengiringi orang balik, bukannya menghiburkan. Itulah kisahnya.

Aznil mengakui dia terlupa untuk mengumumkan nama Ramlah dan penyanyi lain kerana terburu-buru untuk ke satu majlis lain.

Difahamkan penganjur juga sudah tahu yang Aznil harus meninggalkan majlis pada waktu tersebut. Akibat mengejar masa, Aznil sampai terlupa nak umukan nama mereka.

Siapa yang salah. Mangga Muda nak pinjam kata-kata Nabil, Lu Fikirlah Sendiri...

Mangga Muda: Semua orang melakukan kesilapan, tapi janganlah pula cuba meletakkan kesalahan kita kepada orang lain.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails