Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Randy Pangalila. Show all posts
Showing posts with label Randy Pangalila. Show all posts
Puas berlakon di Malaysia - Randy
SAYA puas berlakon di sini. Bukan sahaja jalan cerita yang bagus tetapi sebagai pelakon saya mampu membawakan watak mengikut kehendak saya," luah Randy Pangalila baru-baru ini.
Tidak pernah menyangka namanya bakal popular secepat ini di Malaysia, Randy tidak menafikan impak drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang dan Dalam Hati Ada Taman (DHAT) membawanya sampai ke tahap kini.
Malah dia merasa megah melihatkan makin ramai peminat di sini yang ternanti-nanti kehadirannya dengan produk baru untuk pasaran tempatan.
Jika di Indonesia, saya terpaksa berlakon sehingga beratus-ratus episod untuk sesebuah sinetron. Kita bukan lagi mengejar kualiti tetapi perlu fokus untuk menghabiskan saja.
Biasanya sampai ke episod 25 sahaja perasaan teruja itu datang. Waktu itu skrip masih lagi segar dan ceritanya juga masih menarik.
Selepas itu kita terpaksa mengejar masa sampai satu tahap berlakon di tempat yang sama sahaja. Yang berubah hanyalah set pengambaran dan konflik yang diulang-ulang untuk menarik perhatian peminat.
Walaupun perkara itu kurang memberangsangkan tetapi peminat di sana masih menerima. Berlakon ala kadar sekalipun, rating tetap tinggi dan itu yang semua pelakon kena kejar.
Berbanding di sini, kita akan berubah lokasi hampir setiap hari. Pelakon juga diberi skrip dan boleh menggayakan watak itu dengan cara mereka. Mana babak sedih atau gembira kita boleh tahu dahulu.
Tidak ada batas untuk saya mengembangkan bakat dengan cara sendiri. Ternyata berlakon di sini lebih memberikan kepuasan kepada saya," kata Randy.
Kehadirannya di Kuala Lumpur minggu lalu sempena majlis ramah mesra bersama para peminat setia dan meraikan episod akhir drama DHAT.
Biarpun kesuntukan masa dengan jadual penggambaran yang ketat, Randy tidak mahu melepaskan peluang apatah lagi acara itu sudah dirancang sebelum DHAT ditayangkan lagi.
Tidak mahu terus gelojoh menerima pelbagai tawaran yang datang, Randy hanya mahu fokus kepada beberapa perkara yang sudah direncanakan sebelum ini.
Mengakui dia menerima banyak tawar- an oleh beberapa produksi di sini, Randy hanya memilih satu sahaja tawaran tersebut yang dianggap cukup sesuai buat dirinya.
Micheal Ang (pengarah DHAT) ada beritahu beberapa produksi berminat mengambil saya berlakon di sini. Melalui apa yang dikatakan itu, saya mungkin akan menerima satu sahaja filem jika mengambil kira faktor masa.
Saya tak mahu gelojoh. Mungkin setahun satu atau dua projek di sini sahaja yang akan saya ambil kerana fokus masih tetap di Indonesia. Saya juga risau kalau peminat di sini bosan melihat wajah saya selalu," katanya tertawa.
Sensasi
MENGULAS lanjut mengenai isu drama tidak berkualiti yang dibangkitkan oleh Julia Perez baru-baru ini, Randy menganggap apa yang dikatakan oleh Jupe itu merupakan pandangan peribadinya semata-mata.
Ini dunia sensasi. Apa yang dikatakan oleh Jupe itu satu perkara yang sensasi dan jadi popular dengan isu berkenaan. Cuma kita kena lihat kembali apa yang diperkatakan oleh Jupe.
Semua negara pun ada menayangkan drama yang berkualiti dan tidak. Sama seperti Hollywood sekalipun, masih ada filem-filem yang ditayangkan jelik dan tidak berkualiti. Bergantung kepada orang yang membuatnya.
Di Indonesia misalnya, ramai yang anggap ada sinetron yang tak bagus tetapi kalau lihat pada beberapa filem di sana, memang hebat. Contohnya Ayat-Ayat Cinta, Ada Apa Dengan Cinta dan banyak lagi.
Itu antara contoh filem yang memang berkualiti dan bagus. Saya anggap apa yang diperkatakan Jupe hanyalah pandangan dia terhadap apa yang dilihat, bukan pandangan umum," tegas Randy yang lebih popular di layar kaca daripada layar perak.
Kontroversi permit dan cium Randy
SEJUJURNYA, sebelum nama Randy Pangalila menjadi satu topik hangat kerana isu permit yang dibangkitkan oleh Presiden Seniman, Zed Zaidi, bukan satu industri, jauh sekali satu Malaysia mengenali pelakon tersebut. Mendengar namanya sahaja sudah pelik.
Jika ada yang mengenalinya pun, golongan tersebut merupakan pelanggan saluran berbayar Astro yang menyiarkan kisah romantik pasangan kekasih antara dia dengan pelakon genit Elfira Loy menerusi telefilem Mimpi Sampai Ke Bintang yang ditayangkan pada tahun lalu.
Namun, selepas isu tersebut dibangkitkan, nama Randy naik mendadak. Dalam laman blog dan internet, ramai yang mencari siapa gerangan pelakon Indonesia yang dipertikai permit kerjanya di Malaysia oleh Presiden Persatuan Seniman (Seniman), Zed Zaidi. Maka, hari ini, semakin ramai yang mengenali, malah terus jatuh cinta dengan sosok kacak Randy.
Randy, 22 tahun, berasal Surabaya, Indonesia cukup bertuah. Dia masuk ke dalam bidang seni Indonesia secara tidak sengaja apabila dipelawa oleh sebuah agensi yang melihat potensi dirinya mampu menjadi seorang pelakon yang baik beberapa tahun lalu.
Maka, sejak itu, dengan bakat lakonan yang ada, Randy mendaki populariti menerusi banyak sinetron termasuk yang telah mempopularkannya, sinetron Nada Cinta dan Cinta Fitri yang dibuat sebanyak 1000 episod selama empat tahun.
Pada pandangan mata kasar dalam pertemuan pertama kali pada sidang media drama bersiri Dalam Hati Ada Taman yang bertempat di Flora Café, Amp Walk, Kuala Lumpur, baru-baru ini, tidak hairan mengapa dia boleh menjadi begitu popular.
Seorang yang cukup merendah diri, sopan dan peramah, Randy petang itu melayan segala persoalan yang dilontarkan dengan cukup baik. Antara yang dijawab Randy adalah berkenaan isu permit, tentang kekasih hati, serta kepuasannya berlakon bersama produksi di Malaysia, khususnya bekerjasama dengan penerbit Michael Ang serta Elfira Loy.
Isu pertama yang diajukan kepadanya berkaitan dengan kontroversi permit.
Sambil menghela nafas, dengan tenang Randy mula memberi hujah bagi mempertahankan dirinya. Mengaku dia sedar tentang isu permit yang ditimbulkan, ujar Randy, ia sebenarnya tidak lebih daripada salah faham sahaja.
“Saya melihat isu ini sebagai satu salah faham sahaja. Jadi saya tidak mahu memperbesarkan isu ini. Sebenarnya, daripada pihak produksi Micheal Ang, mereka telah mendapatkan semua keizinan untuk saya berlakon di sini kerana bagi saya itu perkara paling utama buat diri saya.
“Sebelum hadir ke Malaysia untuk berlakon, soalan pertama yang saya tanyakan ialah adakah saya telah mendapat keizinan berlakon di sini (Malaysia).
“Ini kerana saya sedar saya pelakon luar dan tidak mahu menjadi seperti pendatang. Saya rasa semuanya telah jelas dan permasalahan ini hanyalah salah faham,” jelas Randy panjang lebar.
Sementelah, akui Randy, dia begitu selesa berlakon di Malaysia. Bukan kerana mendapat layanan istimewa, jauh sekali menerima bayaran lumayan melebihi bakat seni anak tempatan, sebaliknya, cara kerja produksi di sini membuat dia jatuh cinta dan tidak menolak untuk berlakon dengan mana-mana produksi tempatan.
“Sebagai seorang pelakon, mengikut dari segi kepuasan bekerja, saya akui lebih gemar dengan cara di Malaysia. Ini kerana saya mampu membaca skrip dan menghayati serta menjiwai watak yang diberi dengan lebih baik kerana waktu kerja yang tidak terburu-buru membuat saya boleh lebih fokus.
“Namun, pada hakikatnya, di mana-mana juga (bekerja di Indonesia atau Malaysia) sama. Cuma di sini, saya suka kerana dapat mengetahui pengakhiran cerita berbanding di Indonesia,” ujar Randy yang telah terlibat dalam dua buah karya Michael Ang setakat ini.
Randy bagaimanapun kemudian memberitahu, secara jujur, dia memperoleh pendapatan yang lebih lumayan di Indonesia.
Katanya: “Jika mengikut bayaran pula, bayaran yang diterima di Indonesia lebih lumayan kerana kami menerima bayaran setiap hari. Ini kerana penggambaran dilakukan dalam tempoh yang lama sehingga boleh mencecah setahun atau dua tahun.”
Beralih bicara kepada soalan peribadi, dia saat diajukan tentang teman wanita, Randy hanya tersenyum. Tanpa berselindung, dia mengaku sudah punya kekasih hati dan telah dua tahun menyulam cinta dengan seorang pelakon sinetron.
“Ya, saya sudah punya cewek (teman wanita) di Indonesia dan kami sudah berpacaran sejak dua tahun lepas. Dia juga merupakan seorang aktres di Indonesia dan kami pernah berlakon bersama dalam sinetron Nada Cinta,” ujar Randy tenang.
Randy yang pada mulanya agak keberatan dan segan untuk berkongsi siapa sebenarnya wanita yang telah mencuri hatinya, akhirnya akur dengan ‘peluru soalan’ media.
Jelas Randy sedikit segan: “Namanya Michella Putri dan berumur 19 tahun. Tapi, kami sudah sebulan tidak bertemu kerana masing-masing sibuk dengan jadual karier. Sudah tentu saya rindukannya dan mengerti kesibukan masing-masing. Kini kami hanya berhubung melalui Skype.”
Ditebak persoalan tentang perancangan masa depannya bersama aktres muda itu, bicara Randy, walaupun mereka serius bercinta, namun perancangan untuk ke fasa seterusnya belum direncanakan lagi. Tambahnya, dia sendiri menyasarkan untuk berkahwin dalam masa tiga tahun, namun tetap menyerahkan segalanya pada Tuhan.
Adegan cium
Bercerita tentang penampilan terkininya bersama Elfira Loy dalam drama bersiri Dalam Hati Ada Taman, Randy terpaksa berhadapan pula dengan isu salah satu babak bercium bersama pelakon tersebut.
Menjawab isu tersebut, tutur Randy, drama tersebut berlandaskan genre romantik komedi. Jadi, kewujudan babak cium tersebut dilihat relevan dengan genre romantik yang diketengahkan.
“Saya bukan mencium Elfira betul-betul, kerana itu hanyalah sudut kamera yang pintar dan kreatif yang telah menampakkan seperti saya mencium dia. Ini merupakan sebuah naskhah romantik komedi, jadi mungkin babak seperti itu hanya mahu meperlihatkan sisi romantik itu sendiri. Itu sahaja. Tidak lebih daripada itu,” jelas Randy tentang kontroversi tersebut.
Drama bersiri 13 episod yang turut menampilkan Amy Mastura, Sharifah Shakinah, Rizman Khuzaimi dan Amar Asyraf akan mula bersiaran pada 29 Oktober ini di saluran Astro Ria, pukul 9.30 malam.
Usah Besarkan Isu Permit Kerja - Randy Pangalila
KUALA LUMPUR: Pelakon Indonesia, Randy Pangalila berkata isu yang mempertikaikan kedatangannya untuk berlakon di negara ini disebabkan faktor salah faham oleh pihak tertentu.
Randy atau nama sebenarnya Randy Dionisius Pangalila, 22, berkata, sebagai pelakon asing yang mencari peluang lakonan Malaysia, dia enggan memberikan ulasan lanjut atau membesarkan isu terbabit.
"Isu itu timbul kerana salah faham dan komunikasi pihak tertentu. Saya tidak mahu bercerita lanjut kerana ia akan memburukkan keadaan sahaja.
"Sebagai pelakon asing, saya begitu menekankan aspek permit dan peraturan untuk berlakon di sini. Sebelum memulakan penggambaran lagi, saya sudah memenuhi semua keperluan itu," katanya.
Randy berkata demikian bagi mengulas pertikaian Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi tidak lama dulu mengenai kehadirannya yang diberikan program khas pada Hari Raya lalu iaitu Randy! Oh My Raya yang mungkin dilakukan tanpa prosedur yang betul.
Malah, Zed turut mempertikaikan pelakon itu yang tidak menjadi ahli Seniman, di mana ia adalah peraturan wajib bagi seseorang yang ingin terlibat dalam produksi di negara ini.
Mengenai hubungannya dengan aktres sinetron Nada Cinta iaitu Michella Putri, Randy berkata, mereka sudah bercinta sejak dua tahun lalu.
"Saya sudah ada kekasih iaitu Michella Puteri. Hubungan kami berada dalam keadaan baik walaupun masing-masing sibuk dengan lakonan.
"Gosip yang mengaitkan saya dengan pelakon Malaysia iaitu Elfira Loy tidak menggugat hubungan saya dengan kekasih kerana ia hanya cerita kosong dan bukan perkara serius," katanya yang berkunjung kali keempat ke negara ini.
Randy yang pernah bergandingan dengan Elfira dalam telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang sebelum ini, sekali lagi berpasangan untuk drama bersiri terbaru Dalam Hati Ada Taman.
Terbaru, dia sedang sibuk dengan penggambaran sinetro berjudul Raja dan Aku di Indonesia.
Jangan buruk sangka - Michael Ang
Sementara itu Pengarah dan penerbit drama Michael Ang berharap semua pihak tidak buruk sangka terhadap Randy Pangalila yang ditawarkan berlakon dalam banyak drama arahannya.
Katanya, tawaran dalam beberapa projek termasuk drama Dalam Hati Ada Taman adalah strategi perniagaan berdasarkan respons dan permintaan terhadap aktor itu di negara ini.
"Saya harap jangan ada pihak yang salah faham atau buruk sangka dengan keputusan saya. Saya menawarkan peluang lakonan kepadanya dalam projek-projek saya atas strategi perniagaan.
"Sebagai penerbit, tentulah saya perlu melihat formula yang berkesan untuk karya-karya saya. Kebetulan, Randy digemari ramai di sini, jadi mengapa tidak saya menggunakan formula itu.
"Soal mengagungkan atau memberikan tawaran kepada pelakon luar tidak timbul kerana saya juga membuka peluang kepada ramai anak seni tempatan selama ini," katanya
Selain Randy dan Elfira Loy, drama bersiri 13 episod itu turut dibantu Amy Mastura, Riezman Khuzaimi, Liza Abdullah, Didie Alias, Amar Asyraf dan Hanez Suraya.
Ia bakal disiarkan bermula 29 Oktober ini pada setiap Isnin pukul 9.30 malam di Astro Ria (saluran 104).
Menyambung perbualan, Michael berkata, perkara tersebut tidak wajar dipertikaikan kerana dia peka dan menekankan peraturan bagi sesebuah penggambaran.
"Saya peka dan menjaga aspek perlesenan, permit mahu pun peraturan dalam menjalankan sesebuah penggambaran di negara kita," katanya.
Mengenai drama tersebut Michael berkata, ia menjanjikan kelainan menerusi syot yang dipaparkan seperti dalam sesebuah produksi filem.
"Saya banyak memaparkan syot yang besar, luas berbanding syot biasa dan jarak dekat dalam majoriti drama televisyen," katanya yang berhasrat menerbitkan versi filem jika drama itu mendapat sambutan yang baik kelak.
Drama yang menjalani penggambaran pada Mei hingga Jun lalu di Paris, Perancis dan Kuala Lumpur itu mengambil masa selama 35 hari.
Terbaru, Michael bakal memulakan penggambaran telefilem berjudul Demi Kau Cinta yang menggandingkan Erra Fazira dan Hanez Suraya.
Menerusi syarikat produksi, Cube Film Sdn Bhd, Michael juga akan menerbitkan dua filem iaitu Darah Daging dan KL Meroyan menjelang hujung tahun ini.
Michael Ang Anggap Zed Zaidi Mahu Rosakkan Kerjaya Randy Pangalila
PETALING JAYA: Pengarah drama Michael Ang meluahkan rasa kecil hati terhadap Zed Zaidi yang mempersoalkan kemunculan pelakon dari negara seberang, Randy Pangalila yang didakwa bekerja tanpa permit termasuklah ketika muncul dalam rancangan Randy! Oh My Raya siaran Astro Ria baru-baru ini.
Michael berkata, walaupun Zed yang merupakan Presiden, Persatuan Seniman (Seniman) itu tidak menyatakan namanya dalam kenyataan yang diberi, namun dia menyedari rasa tidak puas hati tersebut ditujukan kepadanya.
"Zed sepatutnya berjumpa atau menghubungi saya untuk bertanyakan tentang isu ini. Bukannya “main redah” saja nak buat kenyataan kepada media. Ia dilihat seolah-olah Zed terlalu mengejar publisiti.
"Bukankah lebih mudah jika dia bertanya kepada saya terus tentang status Randy. Boleh saja saya jelaskan kerana saya yang membawanya ke sini (Malaysia) untuk drama Biar Bintang Sampai Ke Bulan (disiarkan di Astro Ria pada tahun lalu).
"Saya enggan memberi kenyataan di sini sama ada Randy ada permit atau tidak. Dia boleh datang kepada saya dan tanya. Atau melainkan jika isu ini sudah besar, baru saya akan jelaskan perkara yang sebenar secara terbuka," katanya kepada mStar Online.
Pada minggu lalu, Zed menerusi laman Twitter miliknya mempersoalkan tentang kehadiran Randy sebagai rakyat Indonesia yang diberikan satu program khas Hari Raya, Randy! Oh My Raya yang mungkin dilakukan tanpa prosedur yang betul.
Malah Zed juga mempertikaikan pelakon itu yang tidak menjadi ahli Seniman yang mana ia adalah peraturan wajib bagi seseorang yang ingin terlibat dalam produksi di negara ini.
Hal ini membuatkan Zed menganggap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) telah terlepas pandang mengenai prosedur wajib yang dikenakan bagi pelakon luar negara yang bekerja di Malaysia, begitu juga dengan pihak produksi yang mengambil ringan tentang isu berkenaan.
Sementara itu, Michael pula mempersoalkan sebab-sebab utama Zed yang dilihat seperti tidak sabar ingin merosakkan nama Randy yang tidak bersalah tentang isu yang ditimbulkan.
"Bagi saya, Zed ada hak untuk mempertikaikan apa-apa saja yang dilihat boleh merosakkan industri hiburan tempatan kita, tetapi selidik atau tanyalah kepada orang yang berkenaan dahulu sebelum membuat tindakan melulu.
"Nampaknya, Zed tidak belajar daripada kesilapannya dahulu yang pernah mempertikaikan pelakon Aaron Aziz yang kononnya bekerja tanpa permit. Dan Kemudian, dia juga yang segan apabila Aaron kini menjadi penduduk tetap di negara ini," ujarnya.
Bagaimanapun kata Michael, isu yang ditimbulkan Zed itu langsung tidak menggugatnya untuk mengambil pelakon dari luar negara sekiranya perlu pada masa akan datang.
Malah, dia baru sahaja selesai mengarahkan sebuah lagi telefilem yang membabitkan Randy dan Elfira Loi yang berjudul Dalam hati Ada Taman yang akan disiarkan pada Oktober depan di saluran Astro Ria.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
