Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Razak Ahmad. Show all posts
Showing posts with label Razak Ahmad. Show all posts
Razak Ahmad Bersalah Khalwat, Didenda RM2,900
Razak Ahmad Nafi Peluk, Cium Pemilik Butik
PETALING JAYA: Pelakon, Razak Ahmad pada Khamis, menafikan bahawa dia melakukan perbuatan yang tidak senonoh iaitu memeluk atau mencium wanita berstatus isteri orang yang ditangkap berkhalwat dengannya lima tahun lalu.
Pada keterangannya di Mahkamah Rendah Syariah di sini, Razak, 44, juga menafikan bahawa tujuan dia membuka baju yang dipakainya adalah untuk 'bersama' dengan wanita tersebut, Selamah Sahudin.
Sebaliknya, pelakon drama bersiri Geng Surau itu memberitahu, dia hanya bersinglet semasa diserbu oleh suami Selamah kerana semasa itu dia sedang mengeringkan peluh di dalam bilik utama premis terbabit.
Menjawab soalan yang diajukan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Shafezan Rusli, pelakon itu juga memberitahu, tujuan dia ke premis berkenaan hanya untuk mengambil baju yang mahu ditaja oleh Selamah bagi digunakan dalam satu program televisyen.
Oleh itu Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad menambah, dia mengambil masa selama satu jam setengah di premis itu untuk mencuba tiga pasang baju yang mahu ditaja oleh Selamah.
Pada prosiding itu, Shafezan juga beberapa kali bertanya Razak mengenai hubungannya dengan Selamah dan pelakon tersebut pada awalnya menyifatkan ia seperti seorang penaja dengan seorang pelakon.
Bagaimanapun, dia kemudiannya menukar jawapan dan mengakui bahawa mereka telah berkenalan sejak tahun 1982 iaitu semasa berada di tingkatan tiga di sebuah sekolah.
Dia seterusnya mengakui mereka bukanlah mahram dan dia juga tidak menghalang Selamah yang merupakan seorang ahli perniagaan daripada menutup pintu utama premis terbabit.
Katanya lagi, itu merupakan kali pertama dia datang ke premis itu.
"Saya bergerak dari Pelabuhan Klang (dekat sini) pada pukul 12 malam dan saya banyak menghubungi Selamah bertanyakan arah kerana itu kali pertama saya ke sana," katanya.
Razak yang diwakili oleh peguam syarie Muhamad Azman Karim seterusnya memberitahu, mereka memilih untuk berjumpa di premis itu selepas kedua-duanya bertolak daripada rumah masing-masing.
Dalam kes ini, Razak yang sinonim dengan watak orang baik sedang membela diri atas tuduhan berkhalwat dengan Selamah, 45, pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006 di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat sini.
Bagi kesalahan itu, Razak didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Selamah yang turut menghadapi tuduhan sama telah mengaku salah pada 14 September 2006 dan dihukum denda RM2,850 yang telah dijelaskan olehnya pada hari yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad bersambung pada 10 November depan.
Khalwat : Razak Ahmad Hanya Mahu Ambil Baju
PETALING JAYA: Pelakon, Razak Ahmad memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini, Khamis, kehadirannya di rumah seorang ahli perniagaan berstatus isteri orang pada malam mereka ditangkap berkhalwat hanya disebabkan dia mahu mengambil baju yang ditaja wanita itu untuk satu program televisyen.
Razak, 44, yang sinonim dengan watak orang alim dalam drama televisyen itu menambah, wanita tersebut, Selamah Sahudin, 45, sering menaja baju berunsurkan keislaman seperti baju Melayu, jubah dan kurta yang dipakainya dalam sesuatu program seni.
"Pada masa itu saya dipanggil untuk terlibat dalam siaran langsung di RTM yang sedang membuat percubaan untuk disenaraikan dalam Buku Rekod Malaysia kerana bersiaran selama 60 jam tanpa henti.
"Saya dijemput untuk mengisi slot secara langsung pada pukul 4 hingga 5 pagi dan disuruh untuk bercerita bagaimana seorang yang bergelar Qari boleh menyanyikan lagu-lagu asli dan berlakon," kata Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad.
Tambah Razak, mengikut perancangan asal, dia akan membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menyanyikan lagu Ahmad Jais di dalam program tersebut.
Mengenai kehadirannya di rumah itu pada pukul 1 pagi, Razak memberitahu waktu tersebut ditetapkan oleh Selamah memandangkan dia perlu ke RTM pada pukul 2 atau 3 pagi untuk menjalani latihan.
Tambahnya, itu adalah kali pertama dia berkunjung ke rumah itu yang dianggapnya sebagai tempat stor menyimpan pakaian memandangkan pada hari lain, baju-baju akan diambil dari sebuah kedai milik Selamah pada waktu siang.
Mengimbas kejadian yang berlaku, pelakon drama “Geng Surau” itu memberitahu, Selamah mempelawa dia untuk masuk ke rumah bagi mencuba beberapa baju yang dirasakan sesuai untuk dipakai dalam siaran langsung tersebut.
Katanya lagi, Selamah kemudiannya mengunci pintu jeriji dan menutup pintu utama rumah kerana dua unit yang terletak berhampiran rumah tersebut dijadikan sebagai asrama pekerja-pekerja asing.
Ketika peguam syarie Mohammad Azman Karim yang mewakili dirinya mengenai pakaian yang dipakai oleh Selamah, Razak menjawab wanita itu berpakaian lengkap.
"Dia berpakaian biasa, menutup aurat iaitu bertudung. Saya tidak pernah melihat dia tanpa tudung. Tapi saya tidak beberapa ingat pakaian yang dipakai kerana saya tidak perhatikan, cuma pakaian itu senonoh," katanya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.
Razak seterusnya memberitahu, dia mencuba tiga pasang baju di dalam bilik utama rumah tersebut sebelum memperagakannya kepada Selamah yang berada di ruang tamu bagi memastikan baju tersebut benar-benar selesa.
Malah, dia juga membuat aksi seperti sedang mengaji lengkap dengan Al-Quran dan rehal yang dibawanya sebagai persediaan untuk ke RTM.
Selepas mencuba, Razak kemudiannya kembali ke dalam bilik untuk membuka baju tersebut yang digantung untuk mengeringkan peluh sebelum digosok semula oleh Selamah.
"Saya pula berada di birai katil kerana mahu mengeringkan peluh," katanya sambil menambah, hanya bersinglet dan berseluar pada masa itu.
Pada keterangannya, Razak juga berkata, dia mendengar pintu jeriji digoncangkan dan diberitahu oleh Selamah bahawa suaminya datang ke premis tersebut.
"Saya hanya duduk di dalam bilik. Saya beranggapan yang datang itu suaminya kerana mereka membahasakan diri sebagai mama dan papa. Saya mendengar suami Selamah menjerit menyuruh saya keluar dan mendapati ada anggota polis bersamanya," katanya.
Razak juga memberitahu, dia kemudiannya menyerahkan kad pengenalan dan telefon bimbitnya kepada anggota polis tersebut yang menurutnya 'mengikut' arahan daripada suami Selamah untuk meminta barang-barang tersebut.
Tambahnya, dia diminta untuk ke Balai Polis Seri Kembangan bersama dua anggota polis untuk diambil keterangan dan diarahkan supaya hadir di Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Shah Alam, dekat sini untuk berjumpa dengan pegawai penyiasat.
"Saya terlepas program RTM pada hari tersebut dan hanya dibenarkan balik selepas seorang rakan datang untuk menjamin saya," katanya yang secara tiba-tiba menangis.
Ujarnya, tidak lama selepas hadir di pejabat JAIS, dia kemudiannya dihadapkan ke mahkamah.
Razak didakwa berkhalwat dengan Selamah pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006 di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 14 September 2006, Selamah yang mengusahakan perniagaan butik, mengaku bersalah dan didenda RM2,850 atau penjara tujuh bulan, jika gagal membayar denda itu.Prosiding yang dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JAIS, Shafezan Rusli di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad bersambung pada 6 Oktober depan.
Pelakon Razak Ahmad Ditangkap Di Tempat Terselindung

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Razak Ahmad yang menghadapi pertuduhan berkhalwat dengan seorang wanita berstatus isteri orang dikatakan telah ditangkap di tempat yang terselindung di sebuah rumah.
Pelakuan tersebut yang membawa watak sebagai Tok Imam dalam drama bersiri Geng Surau itu dan wanita terbabit, Selamah Sahudin adalah dihujahkan boleh menimbulkan syak sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral.
Itu adalah sebahagian daripada intipati hujahan bertulis oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli yang difailkannya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.
Selain itu, Shafezan juga menghujahkan bahawa pihaknya telah membuktikan eleman yang diperlukan seperti pertuduhan khalwat, iaitu tertuduh adalah seorang lelaki yang bukan suami atau mahram kepada Selamah.
Hujah beliau lagi, semasa pasukan penguat kuasa Jais membuat serbuan, hanya Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad, 44, yang berada di rumah terbabit bersama Selamah, 45 tahun.
Razak dan Selamah didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006, di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat sini.
Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Razak yang dihadapkan ke mahkamah untuk kali pertama pada 27 Julai 2006 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut manakala Selamah dijatuhkan hukuman denda RM2,850 selepas mengaku bersalah.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Pagar Padi dan tersenarai pada peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 1992 itu akan mengetahui nasibnya, sama ada akan dipanggil untuk membela diri ataupun dilepaskan daripada pertuduhan itu pada 30 Jun ini.
Tarikh keputusan telah ditetapkan oleh Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad pada prosiding sebelum ini.
Sepanjang perbicaraan yang melibatkan tiga saksi pendakwaan, Razak diwakili oleh peguam syarie Mohamad Azman Karim.
Fakta kes yang diakui oleh Selamah yang merupakan seorang ahli perniagaan menyatakan bahawa pintu rumah dan jeriji besi rumah tersebut berada dalam keadaan berkunci manakala rumah dalam keadaan yang agak gelap.
Pintu rumah dibuka selepas beberapa minit diketuk.
Semasa itu, Selamah yang membuka pintu berpakaian lengkap dan pemeriksaan di bilik pertama rumah mendapati Razak sedang tidur dengan hanya berseluar jeans dan tidak berbaju.
Khalwat : Nasib Pelakon Razak Ahmad Diketahui 30 Jun

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Razak Ahmad akan mengetahui sama ada dia akan dipanggil membela diri ataupun dibebaskan daripada pertuduhan berkhalwat dengan seorang wanita berstatus isteri orang pada 30 Jun depan.
Keputusan itu akan diberikan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Wan Mahyuddin Wan Muhammad.
Pada prosiding Khamis, Wan Mahyuddin juga menetapkan 26 Mei ini untuk pihak pendakwaan syarie membalas hujahan yang difailkan oleh peguam syarie kepada Razak.
Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shafezan Rusli memberitahu, pihaknya hanya menerima hujahan itu melalui mahkamah sebelum kes bermula.
Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad, 44, hadir berseorangan di mahkamah dan kelihatan terkejut apabila melihat kehadiran wartawan.
Dia juga ditegur oleh Wan Mahyuddin apabila tidak dapat memberikan alasan ketidakhadiran peguam syarienya, Mohamad Azman Karim pada prosiding itu.
“Sepatutnya apabila kamu melantik seorang peguam, beliau kena bertanggungjawab. Minta peguam untuk hadir pada prosiding akan datang, jika tidak kamu yang akan merana,” katanya.
Wan Mahyuddin meminta pihak-pihak yang terlibat dalam kes itu untuk memberikan kerjasama memandangkan kes itu perlu dipercepatkan ekoran telah terlalu lama iaitu sejak tahun 2006.
Perbicaraan sebelum ini melibatkan keterangan tiga saksi pendakwaan.
Pelakon yang membawakan watak Tok Imam di dalam drama Geng Surau itu didakwa berkhalwat dengan Selamah Sahudin, 45, pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006 di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat sini.
Dia didakwa kali pertama pada 27 Julai 2006 memgikut Seksyen 20 (1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa itu, Razak mengaku tidak bersalah manakala Selamah yang merupakan seorang ahli perniagaan mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut.
Atas pengakuannya, Selamah dihukum denda RM2,850 atau penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda terbabit.
Berdasarkan fakta kes yang dibacakan kepada Selamah, pasukan penguat kuasa Jais bersama beberapa anggota polis pergi ke rumah itu untuk melakukan pemeriksaan setelah menerima maklumat daripada orang awam.
Pintu rumah dan jeriji besi rumah tersebut didapati dalam keadaan berkunci manakala rumah dalam keadaan yang agak gelap dan pintu rumah dibuka selepas beberapa minit diketuk.
Semasa itu, Selamah yang membuka pintu berpakaian lengkap dan pemeriksaan di bilik pertama rumah mendapati Razak sedang tidur dengan hanya berseluar jeans dan tidak berbaju.
Razak juga pernah popular dengan lagu Pagar Padi dan tersenarai pada peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 1992.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
