Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Search. Show all posts
Showing posts with label Search. Show all posts
Search Terpaksa Akur Sering Kali Dituduh Abaikan Yazid
Kumpulan Search terpaksa akur dengan pandangan segelintir masyarakat yang masih menganggap mereka mengabaikan pemain dram kumpulan itu, Yazid Ahmad, 52, yang menderita akibat kegagalan buah pinggang.
Pemain besnya, Nasir Daud berkata, ahli-ahli Search bersikap terbuka dan tidak kisah dengan pandangan tersebut walaupun pada hakikatnya mereka mengambil berat terhadap penyakit yang dilalui Yazid itu.
"Setiap kali Yazid sakit, kami dituduh mengabaikan dia. Tahun lepas pun isu sama juga timbul.
"Sedangkan orang ramai tidak tahu, kami begitu prihatin terhadapnya. Malah wang persembahan yang kami terima, walaupun persembahan berlangsung tanpanya, kami tetap beri (diagihkan kepada lima orang) kerana dia adalah ahli kami.
"Mungkin dia sedikit emosi ketika disoal wartawan. Maklumlah orang sakit mudah sensitif. Baru-baru ini saya melawat dia, kami okey," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada sidang media Konsert Search Panggung Khayalan di Menara KL di sini pada petang Khamis.
Search diminta mengulas kenyataan Yazid menerusi sebuah program televisyen baru-baru ini meluahkan rasa sedih diabaikan ahli kumpulan berkenaan.
Dalam pada itu, vokalisnya, Amy berkata, dia bersyukur apabila ramai pihak yang cuba membantu Yazid dengan mengumpulkan dana untuk disalurkan kepadanya.
Cuma dia risau sekiranya ada pihak yang cuba mengambil kesempatan menggunakan nama Yazid untuk mendapatkan derma daripada orang ramai.
"Kami risau juga jika ada pihak mengambil kesempatan. Apa-apapun, jika ada yang mahu menderma, rasanya lebih baik wang derma tersebut dimasukkan terus ke akaun Yazid. Tidak perlu ada orang tengah," ujarnya.
Sementara itu, mengenai Konsert Search Panggung Khayalan, ia bakal berlangsung pada 24 Oktober depan di Kompleks Sukan EduCity, Nusajaya, Johor.
Amy berkata, mereka memilih lokasi tersebut memandangkan ia boleh memuatkan lebih 10,000 penonton, berbanding lokasi konsert pada tahun lepas di Istana Budaya yang hanya memuatkan penonton pada skala kecil sahaja.
"Kami menjanjikan persembahan yang mantap seperti biasa dan penataan cahaya serta bunyi juga kami pastikan ia memberi kepuasan kepada penonton yang hadir.
"Buat masa ini kami merancang untuk membuat persembahan selama satu jam 45 minit dan akan mempersembahkan lagu-lagu hit bermula dari awal pembabitan Search sehinggalah sekarang.
"Cuma kami tidak pasti adakah Yazid akan terlibat sama untuk konsert kali ini, terpulang pada keadaanya pada ketika itu,"ujarnya.
Tiket konsert serendah RM66 hingga RM756 (tiket VIP Premium) boleh dibeli dengan melayari www.tickethotline.com.my atau boleh didapati di empat cawangan kedai muzik Rock Corner iaitu di The Curve, Subang Parade, The Gardens dan Bangsar Village.
Pemegang tiket VIP Premium akan dijemput hadir ke majlis khas (post party) selepas konsert bersama.ahli-ahli Search.
Tuduhan Search Tidak Pedulikan Yazid Sekadar Emosi - Nasir
Kumpulan Search menyifatkan tuduhan pemain dram kumpulan berkenaan iaitu Yazid Ahmad, 51, yang kecewa kerana tidak dipedulikan oleh ahli-ahlinya selepas terlantar sakit hanyalah kata-kata bersifat emosi.
Pemain besnya, Nasir Daud berkata, ahli-ahli Search tidak pernah mengabaikan Yazid tetapi keadaan yang menyebabkan mereka terlewat melawatnya di hospital.
"Sebenarnya dia sudah memberitahu saya yang dia dimasukkan ke wad di sebuah hospital di Johor pada minggu lalu. Tetapi masa itu kami tak sempat nak melawat, maklumlah masing-masing tengah sibuk dengan urusan keluarga dan Hari Raya. Saya pula berada di Mersing (Johor).
"Kemudian semalam (Rabu), saya hubunginya untuk melawat, dia pula kata sudah berada di HKL (Hospital Kuala Lumpur). Dan kami ada berborak bercerita tentang hal-hal kerja. Dia tak ada pula bercakap tentang rasa kecewanya itu,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Nasir diminta mengulas luahan Yazid dalam sebuah akhbar pada Khamis yang kecewa apabila ahli-ahli Search tidak melawatnya yang sedang dirawat di HKL akibat menderita sakit buah pinggang.
Yazid dilaporkan berkata, ketika sakit, beliau seperti dibuang ke tepi longkang.
Pada Sabtu lalu Yazid dikatakan rebah ketika umat Islam menyambut Syawal ketiga di rumah keluarganya di Kluang, Johor dan terpaksa dipindahkan dari Hospital Johor Bahru ke HKL pada hari yang sama.
Dalam pada itu Nasir berkata, kenyataan yang dibuat Yazid itu mungkin ketika dia sedang beremosi akibat tekanan daripada sakit berkenaan.
Bagaimanapun Nasir tidak berasa hati dengan luahan rakannya itu kerana sudah memahami sifat Yazid sejak sekian lama.
"Mungkin ketika wartawan bertanya, fikirannya terganggu. Maka terkeluarlah kata-kata yang kononnya kami ini tidak prihatin dengannya. Biasalah, orang sakit senang beremosi," ujarnya.
Yazid yang menghidapi penyakit buah pinggang dan darah tinggi pernah dirawat di Hospital Ampang tiga tahun lalu dan kini terpaksa menjalani rawatan dialisis akibat penyakit berkenaan.
Sementara itu, vokalisnya, Amy dalam satu kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) berkata, dia dan keluarga akan melawat Yazid selepas agenda lawatan cuti Hari raya mereka pada minggu ini selesai.
Amy berkata, ketika Yazid dimasukkan ke hospital, dia sedang sibuk berhari raya dan sudah tentu tidak berkesempatan melawat rakannya itu.
"Semasa dia menghubungi saya yang dia dimasukkan ke wad, saya dan keluarga baru balik dari Kulim, Kedah dan sekarang ini saya berada di Pulau Pinang membawa anak-anak bercuti sehingga hujung minggu ini.
"Insya-Allah kami akan melawatnya dan kami tidak pernah membuang Yazid yang sudah pun menjadi ahli keluarga sendiri," ujarnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
