Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Shahrizal Jaszle. Show all posts
Showing posts with label Shahrizal Jaszle. Show all posts

Shahrizal Jaszle Alami Alahan Gara-Gara Isteri Hamil 4 Bulan

Pelakon Shahrizal Jaszle mengalami alahan teruk sejak isterinya, Hanis Husna Mohamad Nadzree disahkan hamil empat bulan. Shahrizal, 27, berkata, pada awalnya dia pelik dengan kerana alahan tersebut berlaku sebelum dia mendapat tahu isterinya sedang berbadan dua. "Saya pada mulanya pelik dengan diri sendiri sebab selalu berasa loya dan muntah sehingga kadang-kadang ia menggangu kerja di set penggambaran. "Bagaimanapun saya mula faham situasi itu apabila isteri disahkan hamil empat bulan tetapi peliknya dia tidak mengalami sebarang alahan sepanjang tempoh itu," katanya kepada mStar Online.
Shahrizal ditemui pada sidang media pelancaran drama bersiri lakonan terbaharunya, Maria Terindah di Menara Kuala Lumpur di sini, Rabu. Drama 30 episod itu diarahkan oleh Kabir Bhatia dan turut menampilkan barisan pelakon seperti Sharifah Sakinah, Redza Rosli dan Shakila Koriri. Ia sudah pun mula bersiaran sejak 5 Oktober lalu setiap hari Isnin dan Selasa, pukul 9 malam di HyppSensasi, HyppTV saluran 116. Tambah Shahrizal, biarpun berasa kurang selesa dengan alahan dialaminya namun dia tidak menganggap ia sebagai satu bebanan. Sebaliknya, dia bersyukur dapat berkongsi kepayahan bersama isterinya dan situasi itu adalah penghargaan dikurniakan oleh Tuhan. "Bukan semua suami dapat merasai dan berkongsi apa yang dialami isteri yang hamil dan saya bertuah sebenarnya. "Sekurang-kurangnya dapat menanggung bebannya yang sedang mengandungkan anak sulung kami," jelasnya. Terdahulu, Shahrizal mengejutkan peminatnya apabila mengambil keputusan berkahwin dengan Hanis yang juga seorang model pada 1 Mei lalu selepas mendedahkan hubungan mereka di Instagram miliknya.
Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia gembira apabila mendapat tahu isterinya hamil selain tidak sabar untuk menanti kehadiran orang baru dalam keluarga mereka. Ditanya soal jantina anak, Shahrizal berharap dapat menimang anak lelaki namun menyerahkan perkara itu kepada takdir. "Alhamdulillah setakat ini keadaan isteri dalam keadaan baik cuma dia selalu mengidam sahaja tetapi tidaklah benda-benda yang pelik. "Apa-apa pun saya bersyukur bakal bergelar bapa kerana saya memang inginkan cahaya mata dan sudah bersedia memikul tanggungjawab itu pada usia muda," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Shahrizal kini terpaksa berehat selama beberapa hari selepas jari kelinking kirinya retak ketika dia menjalani penggambaran drama bersiri Maria Terindah. Jelas Shahrizal, kejadian berlaku ketika dia sedang melakonkan babak merentap cadar di atas katil sehingga ia mencederakan jarinya. "Saya pun pelik bagaimana cadar boleh menyebabkan jari saya retak tetapi itulah yang berlaku. Mungkin saya rentap terlalu kuat. "Ikutkan saya perlu masa sebulan untuk sembuh tetapi penggambaran drama berkenaan masih ada baki lagi dan saya akan tetap teruskan," katanya. "Bagaimanapun kata Shahrizal, dia puas dapat berlakon dalam drama berkenaan kerana watak Aris dipegangnya sangat mencabar. "Saya suka dengan watak sebagai Aris kerana dia seorang yang psiko dan ia memberi cabaran kepada saya sebagai pelakon. "Melalui Maria Terindah juga penonton dapat melihat transformasi saya daripada berbadan gempal kepada kembali bentuk asal selepas berusaha mengamalkan diet dan senaman," ujarnya.

Shahrizal Jaszle Berdiam Diri, Elak Kontroversi

Pelakon Shahrizal Jaszle menjelaskan dia tidak pernah melarikan diri ekoran namanya sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi sebelum ini. Shahrizal, 27, sebaliknya berkata, sikapnya yang merendah diri dan tidak gemarkan publisiti murahan menyebabkan dia mengambil sikap berdiam diri bagi mengelakkan sesuatu isu yang timbul mengenainya terus diperbesarkan. "Jika dikaji kembali publisiti yang saya dapat sebelum ini pun oleh kerana orang lain yang bercakap dan saya sentiasa mengambil sikap berdiam diri. "Saya tidak larikan diri tetapi memang sejak dari dahulu saya lebih selesa bersikap low-profile untuk mengelakkan sesuatu isu itu terus diperbesarkan," katanya kepada mStar Online. Tambah Shahrizal, biarpun sedar kepentingan populariti untuk seseorang selebriti namun dia tidak mahu hanyut dalam situasi itu dan ingin fokus terhadap kerjayanya sebagai pelakon.
Shahrizal kini sedang dalam proses perbicaraan kes khalwat dengan seorang pegawai bank, Farah Nurizzati Salleh, 23 selepas ditahan pihak berkuasa pada 16 Mei 2013. Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini memerintahkan pelakon itu membela diri atas tuduhan tersebut selepas mengaku tidak bersalah sebelum ini. Terdahulu, Shahrizal mengejutkan peminatnya apabila mengambil keputusan berkahwin dengan model Hanis Husna Mohamad Nadzree pada 1 Mei lalu selepas mendedahkan hubungan mereka di Instagram miliknya. Ketika itu, pelakon itu didakwa masih lagi mengikat tali pertunangan bersama Redzwani Puteri. "Lakonan adalah kerjaya saya dan tidak pernah anggap ia sebagai satu populariti kerana bagi saya pelakon itu sama seperti pekerjaan lain," ujarnya. Dalam pada itu, Shahrizal mengakui semakin bahagia melayari alam perkahwinan bersama isterinya sejak lima bulan lalu. Kata pelakon itu, kehidupannya kini lebih teratur dan bermakna dalam menjadikan dia seorang lelaki lebih bertanggungjawab. "Dari dahulu lagi saya memang mahukan kehidupan berkahwin dan Alhamdulillah rumah tangga yang dibina semakin bahagia.
"Masa bujang dahulu lain tetapi apabila sudah berkahwin kehidupan lebih teratur dengan adanya isteri di sisi," ujarnya. Sementara itu, Shahrizal mengakui sering ditegur berhubung perubahan fizikalnya yang semakin berisi sejak berkahwin. Bagaimanapun katanya, produksi tidak mempunyai masalah dengan perkara itu namun dia tidak berasa selesa melihat dirinya di skrin membuatkannya nekad untuk berubah. "Sebelum ini berat badan saya hanya 74 kilogram dan naik mendadak kepada 80 kilogram membuatkan saya sering ditegur atas perubahan mendadak itu. "Saya sendiri berasa tidak puas hati apabila melihat diri sendiri dalam skrin yang kelihatan lebih besar daripada biasa sehingga membuatkan saya nekad untuk mengurangkan berat badan. "Alhamdulillah berkat senaman dan tidak menjamah nasi berat badan kini kembali turun kepada angka asal," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Shahrizal berkata, dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 30 episod berjudul Maria Terindah untuk siaran Hyppe TV.

Shahrizal Jaszle Curang Lagi! Tunang Enggan Komen

Belum pun selesai kontroversi kes tangkap khalwatnya, pelakon Shahrizal Jaszle muncul dengan kisah panas baharu apabila dia dikatakan curang selepas gambar mesranya bersama seorang wanita tersebar di laman sosial Instagram. Lebih memeranjatkan, pelakon itu yang juga dikenali sebagai Shahz Jaszle pada Sabtu lalu turut mengesahkan wanita berkenaan adalah kekasihnya walaupun dia masih tunangan orang. “Hey @jijiezainal, dia gf (girlfriend) kita la skrg (sekarang),” katanya menjawab pertanyaan salah seorang pengikut laman sosial itu menerusi akaun wanita yang dikaitkan iaitu Hanis Husna (@hanis_husna). Bagaimanapun, Shahrizal, 26, tidak menjelaskan status pertunangannya dengan, Redzwani Puteri, 26, sebaliknya Hanis pula menyatakan bahawa pemuda itu sudah pun putus tunang.
Pada foto tersebut, wanita berkenaan memuat naik foto mesra mereka dengan kapsyen-kapsyen romantis. Tidak lama kemudian Shahrizal turut memuat naik foto dia bersama Hanis di laman Instagram miliknya pula . Namun dia meminta kepada pengikutnya supaya tidak mengkritik foto berkenaan. “Saya tidak kisah apa yang akan kamu (pengikut Instagram) katakan. Jika ingin komen, sila jaga kata-kata kamu. Kerana kamu tidak tahu apa yang telah saya lalui sebelum ini,” ujarnya dalam bahasa Inggeris.
Foto tersebut turut mendapat perhatian Redzwani sendiri apabila dia memberi komen ‘Apa ini?’, namun komen tersebut telah dipadamkan oleh Shahrizal. Redzwani yang dihubungi mStar Online pada petang Ahad enggan memberi sebarang komen berkaitan perkara itu. Sebelum ini dia pernah berkata hatinya tetap mempercayai kejujuran Shahrizal walaupun pelakon itu pernah ditangkap khalwat. Shahrizal pula gagal dihubungi. Terdahulu, pada 10 April lalu, Redzwani memberitahu mStar Online hubungannya dengan Shahrizal masih lagi baik walaupun tunangnya itu sedang menghadapi perbicaraan kes khalwatnya di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini.
Pelakon itu ditangkap khalwat ketika serbuan dilakukan sekumpulan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sebuah apartmen di Taman Sri Subang dekat sini pada 16 Mei 2013. Insiden itu juga menyebabkan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan tetapi telah disambung semula pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu. Sebelum ini Shahrizal pernah dikaitkan dengan pelakon Miera Liyana dan Maria Farida.

Ditangkap Pakai 'Boxer', Cinta Tunang Shahrizal Jaslze Tetap Teguh

Cinta Redzwani Puteri terhadap tunangnya Shahrizal Jaszle tidak pernah goyang walaupun pelakon itu ditemui hanya memakai ‘boxer’ bersama seorang wanita semasa serbuan penguat kuasa agama Islam di sebuah apartmen pada 16 Mei 2013. Redzwani, 26, tetap mempercayai Shahrizal Jaszle atau sebelum ini dikenali sebagai Shahz Jaszle berada pada pihak yang benar apabila mendengar penjelasan pelakon itu selepas kejadian berkenaan berlaku. "Tidak ada apa-apa yang perlu saya cakap. Saya percayakannya dan terserah kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada dia berada di pihak yang benar atau salah. "Sehingga kini, kami masih lagi berpasangan. Lagipun kami masing-masing sibuk, tidak sempat untuk bercakap mengenai perkara ini," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Rabu. Redzwani diminta mengulas dakwaan Pegawai Penguat Kuasa Agama, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Radzi Saliman yang melihat pelakon itu hanya memakai ‘boxer’ (seluar dalam) di dalam bilik ketika serbuan dilakukan sekumpulan pegawai Jais di sebuah apartmen di Taman Sri Subang dekat sini pada 16 Mei 2013.
Mohd Radzi merupakan saksi pertama dalam kes perbicaraan melibatkan Sharizal, 26, dengan seorang pegawai bank, Farah Nurizzati Salleh, 22, di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini yang berlangsung pada Selasa lalu. Pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 29 (a)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan. Mohd Radzi dalam keterangannya mendakwa Shahrizal turut mengaku wanita yang bersamanya dalam sebuah bilik ketika diserbu itu adalah teman wanitanya selepas disoal sama ada mereka mempunyai ikatan sah sebagai suami isteri. Pada sebutan kes pada 13 November tahun lalu padangan khalwat Shahrizal iaitu Farah Nurizzati telah mengaku salah terhadap tuduhan tersebut dan mahkamah memerintahkannya membayar denda maksimum iaitu RM3,000 atau penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda. Mahkamah turut memerintahkan Shahrizal membayar wang jaminan sebanyak RM1,500 selepas pelakon itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan khalwat yang dikenakan. Sementara itu, Redzwani berkata, dia juga tidak akan terkejut dengan sebarang cerita yang bakal didedahkan dalam mahkamah sepanjang perbicaraan kes berkenaan berlangsung. "Sebelum dia (Shahrizal) dibicarakan, dia sudah menjelaskan segala-galanya kepada saya. Dan seperti yang saya katakan tadi, saya terima apa saja keputusan. "Lagipun perkara ini sudah pun lepas. Apa yang saya boleh cakap, tiada manusia yang dapat lari daripada kesilapan," ujarnya. Terdahulu insiden tangkap khalwat itu juga menyebabkan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan tetapi telah disambung semula pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu. Hakim Syarie, Abd. Halim Abu Samah yang mendengar kes itu menetapkan 10 Jun depan bagi menyambung semula perbicaraan.

'Saya Tetap Lawan Untuk Pertahankan Diri' – Shahrizal Jaszle

Pelakon Shahrizal Jaszle nekad untuk memastikan kebenaran berpihak kepadanya selepas membuat pengakuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini pada Selasa atas tuduhan khalwat. Shahrizal atau nama sebenarnya Shahrizal Jaszle Jasmin, 25, berkata, walaupun pasangan khalwatnya Farah Nurizzati Salleh, 21, mengaku bersalah terhadap tuduhan itu, dia tetap akan membuktikan telah diperangkap oleh wanita berkenaan. "Saya tidak akan mengaku kalah dengan menyatakan diri saya bersalah atas tuduhan itu kerana ia tidak benar. "Saya sebenarnya sudah diperangkap dan kini sedang mengumpulkan bukti-bukti untuk meneruskan kes ini," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Selasa. Beritahu Shahrizal, pengakuan bersalah wanita itu di mahkamah membuatkan kerjanya menjadi lebih mudah untuk mengendalikan kes tersebut. "Sekarang ini saya hanya fokus kepada pihak saya sahaja dan kini saya dan peguam, Asyraf A.Ranee akan membentangkan beberapa perkara kepada pihak mahkamah agar mereka menilai semula kes saya ini," ujarnya. Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada Selasa memerintahkan Shahrizal Jaszle membayar wang jaminan sebanyak RM1,500 selepas pelakon itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan khalwat dengan Farah Nurizzati, seorang pegawai bank.
Bagaimanapun wanita tersebut mengaku bersalah dan mahkamah memerintahkannya membayar denda maksimum iaitu RM3,000 atau penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda. Dalam kejadian 16 Mei lalu, pasangan tersebut telah ditahan atas tuduhan khalwat di Apartmen Taman Sri Subang, kira-kira pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai. Mereka ditahan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Kejadian itu menyebabkan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani Puteri, 25, terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan tetapi telah disambung semula pada Hari Raya Aidiladha lalu. Mahkamah menetapkan 21 Januari 2014 sebagai tarikh perbicaraan terhadap Shahrizal.

Keluarga Tunang Terima Semula Shahrizal Jaszle

Pelakon Shahrizal Jaszle bersyukur apabila keluarga tunangnya, Redzwani Puteri yang sebelum ini memutuskan tali pertunangan gara-gara kontroversi tangkap khalwat sudah menerimanya kemabli. Shahrizal berkata, dia tidak sangka akan diterima semula oleh keluarga Redzwani dalam jangka masa yang singkat iaitu pada pertemuan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu. "Saya faham situasi keluarga Redzwani yang mesti risau adakah saya layak untuk menjadi suami Redzwani selepas kontroversi tercetus. Dan ia semestinya mengambil masa yang lama untuk mereka percaya kepada saya. "Tetapi, Alhamdulillah mereka sudah terima saya semula pada Hari Raya lalu dan hubungan saya dan Redzwani sendiri semakin kukuh. Syukur," katanya yang dihubungi mStar Online pada Selasa. Pada 16 Mei lalu, Shahrizal ditahan bersama Farah Nurizzati Salleh, 21, atas kesalahan khalwat di Apartmen Taman Sri Subang, pada pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai.
Walaupun aktor tersebut menyifatkan penangkapan itu sebagai satu perangkap namun Farah berkata mereka sebenarnya mempunyai hubungan istimewa. Kontroversi itu membuatkan keluarga Redzwani memutuskan pertunangan pada 10 Jun 2013 dengan memulangkan semula dua bentuk cincin iaitu cincin belah rotan dan cincin berlian. Sementara itu, Shahrizal berkata, dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan untuk berhadapan dengan kes tersebut yang akan disebut di mahkamah syariah pada 12 November depan. "Saya bersedia untuk berhadapan dengan kes itu dan sedang mengumpul bukti yang saya tidak bersalah. Kita lihat saja nanti. Insya-Allah semua akan berjalan lancar," ujarnya. Dalam pada itu, Shahrizal kini bekerja keras untuk mengumpul wang sebelum mengahwini Redzw dan berhasrat mengadakan majlis selepas kes mahkamah berkenaan selesai. Malah pelakon drama Iman Nabila itu juga bersyukur kerana kontroversi tersebut langsung tidak menjejaskan perjalanan kariernya selain turut mendapat tawaran daripada pihak produksi Zeel Production. "Memang sekarang ini saya tengah mengumpul duit untuk mengahwini Redzwani. Dan buat masa ini saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama Dendam Lima Beradik arahan Along Kamaludin dan beberapa drama daripada pihak produksi Zeel. Selain itu adik saya, Shahid Jaszle kini menjadi pengurus saya," ujarnya.

Shahrizal Jaszle Mahu Bawa Puteri Kahwin Lari?

Walaupun pertunangan di antara Shah Jaszle dan Puteri Redzwan telah putus sejak 10 Jun yang lalu namun mereka berdua nampaknya masih lagi kuat untuk meneruskan perhubungan tersebut tanpa restu keluarga. Memetik laporan Berita Harian, Shah Jaszle masih tetap dengan pendirian bahawa dia mencintai Puteri dan mereka masih lagi bercinta dan paling tidak dijangkakan dia dan Puteri bertekad untuk kahwin lari sekiranya jika itu ketentuan jodoh mereka selepas segala usaha untuk meredakan keluarga tidak berhasil. “Apa masalahnya jika saya kahwin lari! Saya akan terus pujuk keluarga Puteri terima saya. Kahwin lari adalah pilihan terakhir walaupun saya tidak mahu perkara itu terjadi” “Tapi jika itu (kahwin lari) ketentuan jodoh kami, nak buat macam mana? Saya benar-benar tertekan, tapi kerja perlu diteruskan,” ujar Shahz Jaszle. Menurut Shah Jaszle lagi, selepas insiden dia ditangkap khalwat Puteri semakin kerap menemaninya di set penggambaran jika ada kelapangan, tidak pula timbul soal Puteri ponteng kuliah. Ah, keluarga Puteri pula terang-terang menolak Shah Jaszle untuk dijadikan menantu bagi keluarga mereka sehinggakan tidak larat untuk menasihati Puteri dan memberitahu akan mengurung Puteri sebagai langkah terakhir jika dia terus berdegil untuk berjumpa dengan Shah Jaszle.

Shahrizal Jazsle Akui Semakin Tertekan Dengan Isu Khalwat

Pelakon Shahrizal Jaszle mengakui semakin tertekan dengan kontroversi yang melandanya ekoran ditangkap khalwat bersama seorang wanita selain diasak dengan pelbagai pertanyaan berhubung kejadian itu oleh pelbagai pihak. Shahrizal atau sebelum ini dikenali sebagai Shah Jaszle, 25, berkata, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia lakonan untuk bermuhasabah tentang kejadian khalwat itu. "Terus terang saya tidak tahu lagi ingin cakap apa mengenai kes tersebut supaya masyarakat dapat memahami situasi saya. "Saya berasa letih dengan kontroversi tersebut dan ingin berehat seketika supaya dapat menenangkan fikiran," jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui baru-baru ini. Tambah Shahrizal, dia juga mengambil keputusan itu selepas tidak pernah mengambil cuti daripada berlakon sejak beberapa tahun lalu. Pada 16 Mei lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam satu kenyataan medianya mengesahkan telah menahan Shahrizal atas tuduhan khalwat di Apartment Taman Sri Subang, di sini, pada pukul 3.30 pagi. Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 selepas Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu menerima aduan daripada pihak awam berhubung kegiatan berkenaan. Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Kes tersebut akan disebut di Mahkamah Syariah pada 12 November depan. Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia enggan lagi mengulas kes berkenaan mahupun hubungan dengan tunangnya dengan Redzwani Puteri kerana sedar jawapannya tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak. Jelasnya, dia mengambil keputusan untuk berdiam diri daripada terus bercakap tentang kes tersebut dan menunggu perbicaraan di mahkamah penghujung tahun ini. "Macam-macam saya kena hentam dan pelbagai pertanyaan yang diajukan sehingga saya tidak tahu lagi hendak menggunakan ayat apa bagi mempertahankan diri. "Jalan paling baik adalah berdiam diri selepas ini dan tunggu perbicaraan di mahkamah kelak," ujarnya. Shahrizal dan Redzwani Puteri bertunang pada 8 Disember 2012 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 2015 selepas wanita yang menuntut dalam jurusan perubatan itu tamat pengajian.

Shahrizal Jaszle & Tunang Mahu Kahwin, Tunggu Marah Keluarga Reda

Ketika kecoh isu keluarga Redzwani Puteri, 25, iaitu tunang kepada pelakon Shahrizal Jaszle, 25, memutuskan pertunangan, pasangan tersebut tetap merancang untuk mendirikan rumah tangga. Shahrizal berkata, pertunangan yang diputuskan itu hanyalah keputusan keluarga dan ia bukan atas kehendaknya dan Puteri. "Yang bercintanya adalah kami, Keputusan memutuskan pertunangan itu datangnya daripada pihak keluarga dan bukannya daripada kami. "Apa yang saya dan Puteri hanya mampu buat adalah reda sahaja dan berdoa agar perhubungan kami dan keluarga kembali pulih," katanya. Shahrizal ditemui ketika menjalani penggambaran drama Iman Nabila arahan Shuhaimi Lua yang diadakan di Templer Park, di sini petang Jumaat. Kisah pasangan tersebut menjadi kontroversi apabila ibu yang juga pengurus kepada Shahrizal iaitu Zaleha, 68, menerusi mStar Online pada Khamis lalu mendakwa keputusan untuk memutuskan pertunangan pasangan tersebut hanya akan dibuat oleh keluarga kedua-dua pihak selepas keputusan mahkamah berhubung kes khalwat anaknya pada November depan. Bagaimanapun laporan akhbar pada Jumaat yang memetik sumber daripada abang Redzwani Puteri iaitu Redzwan Najib tetap mengatakan pihaknya sudah memutuskan pertunangan tersebut pada 10 Jun lalu dengan memulangkan semula dua bentuk cincin iaitu cincin belah rotan dan cincin berlian. Shahrizal dan Redzwani Puteri bertunang pada 8 Disember 2012 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 2015 selepas wanita yang menuntut dalam jurusan perubatan itu tamat pengajian. Terdahulu dalam rancangan Melodi di TV3 Ahad lalu, seorang wanita yang mendakwa pasangan khalwat Shahrizal iaitu Farah Nurizzati Salleh, 21, mendakwa penangkapan khalwat mereka bukanlah satu perangkap manakala dia dan Shahrizal mempunyai hubungan istimewa. Kedua-dua mereka telah ditahan atas kesalahan khalwat pada 16 Mei lalu di Apartmen Taman Sri Subang, pada pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai. Berikut ini temu bual mStar Online dengan Shahrizal dan Redzwani Puteri yang diadakan secara berasingan untuk menjelaskan sendiri kemelut hubungan mereka serta isu putus tunang yang semakin menjadi kontroversi. ‘KAMI MASIH BERJUMPA’ – SHAHRIZAL JASZLE Masih lagi berjumpa dengan Puteri sejak putus tunang? Kami masih lagi berjumpa untuk menyelesaikan masalah kami. Dan memang keluarga telah memutuskan pertunangan ini tetapi kami masih lagi menjalani rutin biasa (berhubung). Sebelum ini cinta kalian mendapat restu keluarga daripada kedua-dua belah pihak tetapi ia sudah bertukar menjadi cinta terhalang. Kamu rasa? Bagi saya, yang bercinta adalah kami. Memanglah apabila dah jadi macam ini (isu kes khalwat), saya tak boleh nak buat apa-apa. Kami reda sahaja. Pernah berjumpa dengan keluarga Puteri memujuk mereka supaya anda diterima? Sudah. Tapi saya tak boleh nak paksa orang untuk mempercayai saya. Biarlah saya memberi fokus kepada perbicaraan kes khalwat yang akan berlangsung pada 12 November ini. Kemudian barulah kita lihat apa yang akan terjadi. Difahamkan kalian mahu berkahwin pada tahun depan, lebih awal daripada yang dirancang (2015). Apabila berlaku pula dugaan sebegini, kecewa tak? Memang kami rancang mahu kahwin lebih awal, tetapi kerana perkara seperti ini saya reda dan anggap ia adalah dugaan buat kami. Apa-apa pun saya mahu tunggu kes khalwat selesai. Apa yang kamu harapkan dalam perhubungan ini? Saya pun tak tahu nak cakap macam mana? Cuma saya mahu perhubungan kami akan jadi lebih baik. Shahrizal... anda sayangkan Puteri? Mestilah sayang. Saya cintakan dia sepenuh hati saya. Tetapi tak boleh nak buat apa-apa apabila keluarga yang memutuskan pertunangan ini. Saya dan Puteri tidak terima dengan keputusan itu. Yang bercintanya adalah kami. Mungkin mereka (keluarga Puteri) memutuskan pertunangan kalian kerana emosi? Yelah, sebagai ibu-bapa, mereka pasti mahukan yang terbaik buat anak-anak. Entahlah. Mungkin mereka tak percayakan saya. Khamis lalu, kalian ada berbalas mesej di Twitter. Adakah mesej tersebut sengaja dibuat kerana mahu menunjukkan yang kalian masih lagi berbaik? Tak juga. Kami berbalas mesej Twitter secara spontan sahaja. Macam sebelum ini juga. Kata-kata akhir daripada kamu? Saya harap tiada lagi mana-mana pihak selain keluarga masuk campur urusan kami. Berhentilah mengganggu perhubungan kami. SAYA TERPAKSA IKUT KEHENDAK IBU - REDZWANI PUTERI Redzwani Puteri yang dihubungi menerusi WhatsApp pula berkata, dia mengakui ibunya telah membuat keputusan untuk memulangkan semula cincin pertunangannya kepada keluarga Shahrizal. Walaupun bukan dengan kerelaan hatinya, sebagai anak, dia terpaksa akur permintaan ibu yang mahu memutuskan pertunangan tersebut. "Saya dan Shahrizal memang tiada masalah. Tetapi sebagai anak saya perlu menghormati keputusan kedua-dua ibu bapa saya. Kerana untuk meneruskan perhubungan ini, restu itu sangat penting," ujarnya. Komen Putri berhubung dengan isu kalian sudah putus tunang? Memang ikatan pertunangan kami dah putus tetapi atas kehendak keluarga dan bukan kerelaan kami. Saya dan Shah (Shahrizal) tidak ada masalah. Kami masih baik. Jika dahulu cinta kamu dan Shahrizal direstui, tetapi ia sudah berubah. Adakah ini dikira cinta terhalang? Susah nak cakap. Hati dan perasaan susah untuk dikawal. Tetapi saya perlu hormat keluarga saya. Jadi sekarang ini saya mampu berserah saja. Selepas keluarga memutuskan ikatan pertunangan, masih lagi berjumpa dengan Shahrizal? Ya, masih. kami berjumpa untuk menyelesaikan isu ini. Sayangkan Shahrizal lagi? Ya. Saya tak mahu tipu tentang hal itu. Bukan senang untuk tiba-tiba berhentikan perasaan cinta itu. Lebih-lebih lagi kami sebelum ini adalah kawan baik dan kemudian bertukar menjadi cinta. Ia bukan satu benda yang mudah untuk dilupakan. Tetapi pada masa sama saya perlu menghormati keluarga. Sedih apabila hal ini berlaku? Siapa yang tak sedih? Alhamdulillah saya boleh kawal perasaan apabila berdepan dengan orang. Cuma apabila ada yang bertanyakan tentang perhubungan kami, perasaan sebak itu akan timbul. Jadi apa perancangan Puteri selepas ini? Buat masa ini keadaan masih lagi tegang. Apa yang saya boleh buat cuma berdoa sahaja. Saya percaya, jika kami ada jodoh takkan ke mana. Risau perhubungan kalian tak menjadi? Saya serahkan kepada takdir. Adakah dugaan ini menguatkan lagi cinta kalian? Ia membuatkan kami berdua lebih memahami diri masing-masing dan menguatkan lagi diri kami. Kata-kata akhir daripada Puteri? Saya hanya mampu berdoa yang terbaik. Bagaimanapun saya ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf kepada semua pihak media yang tidak dapat berhubung dengan saya untuk mendapatkan kenyataan. Masa itu saya belum bersedia lagi. Tetapi saya sedar satu hari nanti saya tetap akan berdepan dengan semua.

Putus Tunang Didesak Keluarga, Shahrizal Jaszle & Puteri Masih Intim

Hubungan cinta pelakon Shahrizal Jaszle, 25, dengan tunangnya Redzwani Puteri, 25, diputuskan atas desakan keluarga dan bukannya kerelaan hati pasangan tersebut. Sumber terdekat pasangan itu berkata, keputusan untuk memutuskan pertunangan pada 10 Jun lalu dibuat oleh keluarga pihak perempuan dan ia seboleh-bolehnya tidak diingini oleh pihak lelaki. “Keluarga perempuan yang mendesak untuk memutuskan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani Puteri selepas berita kes penangkapan khalwat Shahrizal dengan seorang wanita heboh diperkatakan. “Secara jujurnya, Shahrizal dan Redzwani Puteri masih lagi pasangan kekasih dan mereka tidak sanggup untuk berpisah,” kata sumber itu. Sebagai bukti katanya, Redzwani Puteri kerap kali dilihat menemani Shahrizal di lokasi penggambaran dan jika benar mereka tiada kaitan, tidak mungkin pertemuan itu boleh berlaku.
Jelas sumber itu lagi, Redzwani Puteri dan Shahrizal juga merasakan mereka masih lagi dalam ikatan pertunangan walaupun pada dasarnya pihak perempuan sudah memulangkan cincin pemberian pihak lelaki. “Semalam (Khamis) Redzwani Puteri menemani Shahrizal di lokasi penggambaran sebuah drama di Taman Rimba Templer, Rawang. Ia adalah bukti mereka masih lagi mempunyai hubungan sama seperti pasangan kekasih lain. “Ia diperkukuhkan lagi apabila kedua-dua mereka sering membalas mesej di Twitter sambil meluahkan rasa sayang masing-masing,” ujar sumber berkenaan. Kisah pasangan tersebut menjadi bertambah rumit apabila ibu yang juga pengurus kepada Shahrizal iaitu Zaleha, 68, menerusi mStar Online pada Khamis mendakwa keputusan untuk memutuskan pertunangan pasangan tersebut hanya akan dibuat oleh keluarga kedua-dua pihak selepas keputusan mahkamah berhubung kes khalwat mereka pada November depan. Bagaimanapun laporan akhbar pada Jumaat yang memetik sumber daripada abang Redzwani Puteri iaitu Redzwan Najib tetap mengatakan pihaknya sudah memutuskan pertunangan tersebut pada 10 Jun lalu dengan memulangkan semula dua bentuk cincin iaitu cincin belah rotan dan cincin berlian. Shahrizal dan Redzwani Puteri bertunang pada 8 Disember 2012 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 2015 selepas wanita yang menuntut dalam jurusan perubatan itu tamat pengajian. Terdahulu dalam rancangan Melodi di TV3 Ahad lalu, seorang wanita yang mendakwa pasangan khalwat Shahrizal iaitu Farah Nurizzati Salleh, 21, mendakwa penangkapan itu bukanlah satu perangkap manakala dia dan Shahrizal mempunyai hubungan istimewa. Kedua-dua mereka telah ditahan atas kesalahan khalwat pada 16 Mei lalu di Apartmen Taman Sri Subang, pada pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai. Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan jika sabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tunang Serah Kepada Shahrizal Jaszle Untuk Selesaikan Masalah

Tunang kepada pelakon Shahrizal Jaszle iaitu Redzwani Puteri, 25, menyerahkan segala-galanya kepada pelakon lelaki itu untuk menyelesaikan segala masalah selepas pendedahan pasangan dalam program Melodi, Ahad lalu. Redzwani, 25, berkata, dia tidak dapat memberi sebarang kenyataan berhubung isu tersebut. "Maaf banyak-banyak kerana saya sedang sibuk. Berkenaan isu tersebut saya serahkan kepada Shahrizal untuk selesaikan," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online, di sini, Selasa. Shahrizal dan Redzwani bertunang pada 8 November 2011 dan dijangka berkahwin pada 2015. Pada Ahad lalu, seorang wanita yang mendakwa pasangan khalwat Shahrizal mendedahkan bahawa kejadian penangkapan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu bukan satu perangkap Malah wanita itu berkata, Shahrizal, 25, yang dikenalinya sejak setahun lalu telah berjanji untuk bertanggungjawab menyelesaikan perkara tersebut. Dia turut mengakui mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon drama Asmara itu. Sementara itu, Ibu dan pengurus aktor tersebut yang dikenali sebagai Zaleha juga tidak mahu memberi sebarang reaksi berhubung pendedahan wanita dalam program hiburan TV3 berkenaan. "Maaf, saya tidak boleh nak bagi apa-apa komen. Perkara tersebut akan diselesaikan melalui satu sidang media yang akan dibuat oleh Shahz dalam masa terdekat ini," katanya.

Khalwat: Shahrizal Jaszle Dedah Diri Diperangkap

Setelah hampir dua minggu ‘menyembunyikan diri’ dan mengunci mulut daripada memberi sebarang kenyataan, pelakon Shahrizal Jaszle, 25, akhirnya mendedahkan kejadian khalwat yang berlaku terhadapnya pada 16 Mei lalu adalah satu perangkap. Shahrizal atau sebelum ini dikenali sebagai Shah Jaszle berkata, dia percaya dirinya tidak bersalah kerana semasa kejadian itu dia bukannya berada berdua-duaan sebaliknya terdapat lima orang lain ketika pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat serbuan. "Saya tak boleh komen panjang tentang isu ini kerana ia sudah pun menjadi kes mahkamah. "Cuma apa yang ingin dikatakan, saya diperangkap oleh seseorang yang tidak bertanggungjawab. Saya yakin, saya tidak bersalah terhadap kejadian itu. Kita lihat sahaja kes mahkamah pada November depan nanti," tegasnya. Shahrizal ditemui pada penggambaran drama bersiri Iman Nabila, arahan Shuhaimi Lua Abdullah yang dilakukan di sebuah pusat karaoke di Sri Rampai, di sini, pada Isnin. Drama terbitan Suhan Movies Productions itu akan disiarkan di TV3 bermula 10 Jun depan. Jais dalam satu kenyataan medianya pada 16 Mei lalu mengesahkan telah menahan Shahrizal atas tuduhan khalwat di Apartment Taman Sri Subang, di sini, pada pukul 3.30 pagi. Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 selepas Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu menerima aduan daripada pihak awam berhubung kegiatan berkenaan. Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Dalam pada itu tambah pelakon yang mula popular menerusi drama bersiri Asmara tersebut, dia sedikit pun tidak berasa tergugat walaupun namanya sudah tercalar gara-gara kejadian itu. Beritahu Shahrizal, selepas diikat jamin, dia terus mengumpulkan keluarganya serta keluarga pihak tunangnya, Redzwani Puteri, 25, bagi menjelaskan situasi sebenar apa yang telah berlaku. "Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana memiliki keluarga yang sentiasa menyokong dan mendengar sesuatu perkara sebelum bertindak atau membuat keputusan. "Selepas menceritakan kejadian itu, mereka juga merasakan ia seperti sebuah perangkap," ujarnya. Tambah Shahrizal, dia juga bersyukur mempunyai tunang yang cukup memahami dan tidak melatah selepas mendapat tahu kejadian tersebut "Nampak sahaja dia lembut, tetapi Puteri seorang yang bijak dan berjiwa kental. Ketika saya ditahan pihak Jais, tunang menelefon saya untuk mendapatkan penjelasan tetapi saya kata, hal ini perlu dibincangkan secara bersemuka. "Syukur, dia sangat tenang dan faham selepas mendengar cerita sebenar daripada saya," tuturnya. Dalam pada itu, Shahrizal berkata, kejadian khalwat yang berlaku terhadapnya itu merupakan satu pengajaran besar buatnya di mana dia perlu berhati-hati dalam setiap langkah yang dilakukan selepas ini. "Ia menjadi tauladan besar buat saya. Tidak sangka, dalam berjaga-jaga batas pergaulan, perkara begini boleh terjadi kepada saya," tuturnya.

Kahwin pada tahun 2015 - Shahrizal Jaszle

SUDAH agak lama cerita mengenai pelakon kacak Shahrizal Jaszle tidak muncul menerusi media selepas kontroversi percintaannya bersama pelakon Miera Liyana yang berakhir sekitar awal tahun lepas. Selepas itu, Shahrizal dilihat seolah-olah cuba melarikan diri daripada pihak media dengan tidak menghadirkan diri pada majlis-majlis hiburan. Menolak anggapan bahawa dia melarikan diri daripada media, ujar Shahrizal, dia sebenarnya terlalu sibuk dengan penggambaran beberapa buah drama yang kini ada beberapa daripadanya sudah ditayangkan di kaca TV seperti Pelamin Di Pusara dan Rindu Bertamu Di Abu Dhabi. “Bukan sebab kes putus cinta saya menyepi dan seolah-olah melarikan diri daripada pihak media. Sebaliknya, saya sibuk dengan penggambaran drama. Drama yang kini sedang ditayangkan di TV3 iaitu Rindu Bertamu Di Abu Dhabi menuntut saya berada di lokasi selama tiga bulan,” jelasnya lagi. Pada bulan Disember lalu, hero filem Azura 2012 itu juga secara tiba-tiba mengejutkan peminat-peminatnya dengan berita pertunangannya bersama seorang bakal doktor bernama Redzwani Puteri, 25. Mengakui keputusannya untuk bertunang dalam usianya yang baru 24 tahun bukan dibuat secara terburu-buru, Shahrizal mengatakan sudah mengenali Redzwani lama dan merasakan gadis itu adalah pilihan tepat untuk dijadikan isteri. Hasrat untuk memperisterikan Redzwani dengan cepat nampaknya tidak kesampaian kerana Shahrizal diberi tempoh selama dua tahun untuk berkahwin dengan tunangnya sekali gus menafikan yang dia dan Redzwani bakal berkahwin pada tahun ini. “Kami masih lagi merancang tarikh perkahwinan. Bukan tahun ini. Insya-Allah pada tahun 2015. Sebabnya, keluarga dia (Redzwani) minta dia habis belajar dulu sebelum berkahwin,” jelasnya ketika ditemui pada sesi penggayaan rantai mutiara Rafflesia yang bakal diberikan kepada pemenang-pemenang mengikut kategori yang dipertandingkan di Festival Filem Malaysia (FFM), di Hotel Parkroyal, Kuala Lumpur. Ditebak mengenai cabaran bertunang dalam tempoh yang lama, ulas Shahrizal, dia sedia menghadapinya dan tetap mengikut saranan orang tua mereka. Akui Shahrizal, tempoh dua tahun itu juga membolehkan dia dan tunangnya memfokuskan pada kerja dan pelajaran. “Memang kalau ikutkan rasa macam lama sangat tunang selama dua tahun tetapi ia tidak menjadi masalah buat kami kerana saya sibuk dengan berlakon dan dia juga sibuk belajar,” ujarnya mengenai tunangnya yang kini mengikuti pengajian ijazah keduanya iaitu perubatan dan pembedahan selepas memperoleh ijazah dalam bidang perubatan sains. Teman baik Mengulas mengenai pertemuannya bersama Redzwani, ujar Shahrizal: “Redzwani sebenarnya merupakan teman baik saya. Saya kenal dia sudah lama. Dia adalah kawan baik saya, malah kami rapat sebab kedua-dua keluarga kami juga saling kenal mengenali antara satu sama lain,” tuturnya. Mendedahkan sebab dia menyukai tunangnya itu, kata Shahrizal, ia adalah kerana mereka berkongsi minat yang sama iaitu fotografi. Ujarnya lagi, Redzwani juga seorang yang sangat penyabar dengan kerenahnya dan kesibukannya sebagai seorang pelakon. “Kami mempunyai minat yang sama iaitu suka mengambil gambar. Saya juga memerlukan seorang yang kuat sabar dan dia memang sangat sabar dengan saya malah dia juga pandai membuat kerja rumah serta pandai memasak,” puji Shahrizal terhadap Redzwani. Mengulas mengenai tema dan persiapan perkahwinan, ujar Shahrizal, dia dan tunangnya sudah mengatur persiapan perkahwinan sebanyak 20 peratus dan bercadang untuk mengadakan perkahwinan dalam taman. Cacat Di luar kehidupan peribadinya, Shahrizal memberitahu, akan membawa watak sebagai orang cacat untuk drama slot Azalea di TV3. Mengakui sering membawa watak hero dan baik, jelas Shahrizal, dia ingin versatil dalam lakonan dan mencuba watak-watak yang berlainan pula. Jelas Shahrizal juga, dia kini lebih selektif dalam pemilihan drama dan tidak mahu tangkap muat sebarang drama yang ditawarkan kepadanya. “Saya lebih mementingkan kualiti daripda kuantiti. Saya suka watak yang mencabar untuk menguji lakonan saya daripada main terima segala tawaran yang datang,” tegasnya.

Shahrizal Jazle Tangguh Kahwin 2015

KUALA LUMPUR: Pelakon Shahrizal Jazle, 25, memberitahu terpaksa menangguhkan perkahwinannya dengan Redwani Puteri,25, sehingga tahun 2015. Kata Shahrizal atau lebih mesra dipanggil Shahz, ia berikutan permintaan kedua ibu bapa Redwani yang mahu wanita itu menamatkan pengajiannya terlebih dahulu sebelum bergelar isteri. "Ya... kami memang pada awalnya ingin berkahwin awal tapi ibu bapanya mahu dia tamatkan pengajian dahulu. "Insya-Allah dua tahun lagi (bernikah). Sebagai anak kami mengikut sahaja apa yang terbaik bagi keluarga," ujarnya yang menafikan dakwaan bakal menamatkan zaman bujang pada tahun ini. Shahz ditemui pada majlis minum petang anjuran Rafflesia di Hotel Park Royal di sini pada Selasa sempena meraikannya dan beberapa pelakon lain yang dicalonkan sebagai pelakon Harapan Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke 25 (FFM25). Dalam pada itu Shaz memberitahu, walaupun perkahwinan dua tahun lagi tetapi mereka telah membuat sedikit sebanyak persiapan untuk majlis tersebut. Katanya, tempat persandingan dengan tema perkahwinan dalam taman akan menjadi pilihan. "Saya sudah buat sedikit sebanyak persiapan dan sudah ada lokasi perkahwinan nanti iaitu di Hulu Langat. "Sejak dari dulu saya sudah impikan untuk berkahwin dengan tema dalam taman dan dia (Redwani) setuju," ujarnya. Dalam pada itu, Shahz mengakui sudah merasai dugaan bertunang biarpun baru tiga bulan menjalinkan ikatan. "Dugaan pertama ialah jarak dan masa yang mana kami jarang bertemu kerana kesibukan masing-masing. "Saya juga akan berada di Kedah selama tiga bulan untuk penggambaran drama Rindu Bertaut Di Abu Dhabi. "Dia juga sibuk dengan pengajiannya, jadi kami agak sukar berjumpa tetapi hanya berkomunikasi menerusi telefon," ujarnya.

Shahrizal Jaszle Sah Bergelar Tunang Redzwani!

Pelakon kacak yang sebelum ini dikenali dengan nama Shah Jaszle iaitu Sharizal Jaszle sah mengikat tali pertunangan bersama wanita pilihannya, Redzwani Puteri. Majlis pertunangan tersebut telah diadakan di kediaman keluarga perempuan pada Sabtu lalu (8 Disember 2012). Pasangan yang kedua-duanya berusia 24 tahun ini membuat keputusan untuk bertunang selepas mengenali hati budi masing-masing selama setahun. Menurut sumber, aktor yang sebelum ini hangat diperkatakan bercinta dengan ramai pelakon wanita itu berhasrat mahu mempercepatkan majlis perkahwinan. Namun, pihak keluarga perempuan memohon agar tidak terlalu terburu-buru dan berkahwin mengikut adat yang sepatutnya disebabkan Redzwani adalah anak bongsu dalam keluarga mereka. Antara sebab lain permintaan ini tidak dipersetujui kerana Redzwani baru sahaja menamatkan pengajian jazah kedoktoran di Management and Science University (MSU) Shah Alam. Malah, dia baru saja memulakan tugasnya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah,Klang pada Oktober lalu. Warga murai.com.my mengucapkan tahniah dan semoga pasangan ini kekal ke jinjang pelamin.

Shahrizal Jaszle bertunang lepas raya

SERING dihambat isu sensasi, pelakon Shahrizal Jaszle, 24, mendedahkan dia bakal mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya Redzwani Puteri, 24, selepas sambutan hari raya Aidilfitri. Biarpun belum menetapkan tarikh sebenar majlis pertunangan yang bakal dihebahkan kepada media dan peminat, kata Shahrizal dia mahu melangsungkan majlis itu secepat mungkin. “Saya sudah bersedia untuk mengikat tali pertunangan dengan Puteri memandangkan kedua-dua belah keluarga telah merestui hubungan kami. “Insya-Allah jika tiada aral melintang sebelum hujung tahun ini, sekarang saya tengah bekerja keras demi persiapan majlis itu. “Pada mulanya kami merancang untuk berkahwin pada tahun ini tapi keluarganya mahu saya mengikut adat dan peringkat sebelum ke gerbang perkahwinan memandangkan dia merupakan anak bongsu dalam keluarganya,” cerita Shahrizal yang ditemui ketika majlis berbuka puasa TV9 dan Hot FM di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini. Majlis merisik telah selamat diadakan pada pertengahan Julai lalu yang hanya dihadiri keluarga terdekat. Tambah Shahrizal, dia juga kini bersedia untuk memikul beban hidup berumah tangga. “Sudah sampai seru untuk saya berkahwin. Yang sebenarnya saya tidak pernah merancang pun, malah hubungan yang terjalin antara kami sebenarnya telah lama kerana dia kawan baik saya. Setahun mengenalinya dan kami tidak pernah bercinta.
“Dia tahu semua kisah mengenai saya sama ada yang baik mahupun buruk. Dia tahu saya bukan seorang kaki perempuan dan saya tidak sorok apa-apa daripadanya,” ujarnya mengenai prinsip kejujuran. Redzwani Puteri merupakan penuntut tahun akhir ijazah kedoktoran di Management and Science University (MSU) Shah Alam. Gadis itu pernah dikaitkan sebagai punca perpisahan Shahrizal dan pelakon sensasi Miera Liyana. Ikut nasihat keluarga Mengakui dirinya kini semakin kurang publisiti ekoran tiada kisah kontroversi berbanding sebelum ini, kata Shahrizal, dia kini cenderung mengikut nasihat keluarga. “Saya sibuk menguruskan kerjaya dan penggambaran, tiada masa untuk layan kisah-kisah sensasi. Lagipun, keluarga mahukan saya lebih menjaga publisiti terutama kisah-kisah yang kurang bagus dan mencari kehidupan yang tenteram,” tuturnya yang akan tampil menerusi telefilem Raya Tanpa Wayar pada hari raya pertama pukul 12.30 tengah hari di TV9. Tambah Shahrizal, dia juga sibuk mencari ilham untuk terlibat dalam bidang belakang tabir terutama pengarahan filem dan drama selepas ini. Selain mahu mengarahkan sebuah filem sendiri, Shahrizal bakal muncul dalam filem Rentaz arahan Mamat Khalid termasuk sebuah drama berbahasa Hindi berjudul Harapan. Tidak terlalu berlebih-lebih sewaktu membuat persiapan raya memandangkan dia sedang menjaga neneknya yang telah uzur, kata Shahrizal, kesederhanaan menjadi keutamaannya dan keluarga. Bagaimanapun, sambutan Aidilfitri tetap diadakan secara bersederhana di rumah keluarganya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Shahrizal Jaszle Jauhkan Diri Untuk Elak Kontroversi

KUALA LUMPUR: Pelakon Shahrizal Jaszle memilih untuk menjauhkan diri daripada perhatian umum bagi mengurangkan kontroversi yang diperkatakan secara meluas terhadapnya sebelum ini. Shahrizal atau nama sebenarnya Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin, 24, berkata, pendedahan yang berlebihan mengenai kisah peribadi berbanding kerjaya sebelum ini boleh menjejaskan reputasinya sebagai orang baru. “Saya memang sengaja mahu mengurangkan cerita-cerita peribadi kepada khalayak. Bukan sebab saya mahu lari daripada media tetapi pendedahan yang keterlaluan terutamanya mengenai hal peribadi boleh menjejaskan perkembangan kerjaya. “Secara kebetulan, saya memang sibuk dengan beberapa penggambaran drama kebelakangan ini, mungkin sebab itu saya sukar dilihat di tempat-tempat umum atau majlis hiburan,” katanya ketika ditemui mStar Online, di sini. Hero filem Azura 2012 itu berkata, ‘kehilangan’ dirinya sejak beberapa bulan ini juga berpunca daripada kesibukannya dengan urusan pertunangan dengan Redzwani Puteri yang dijangka berlangsung pada hujung tahun ini.
“Saya baru sahaja merisik kekasih saya, Redzwani Puteri pada 1 Julai lalu dan juga sibuk dengan persiapan majlis pertunangan kami pada hujung tahun ini. “Kalau tiada aral, pada awal tahun depan kami akan melangsungkan perkahwinan kerana keluarga kami sudah lama bersahabat. Atas sebab itu, saya yakin memilih Puteri sebagai teman kerana ibu kami saling mengenali,” jelasnya kini mengalami kenaikan berat badan. Mengenai sambutan Ramadan pada tahun ini, Shahrizal berkata, dia bakal menghabiskan baki bulan yang mulia ini bersama keluarga di rumah dan memenuhi undangan fotografi Hari Raya bersama pihak media. “Saya baru sahaja menamatkan penggambaran telefilem Raya komedi berjudul Raya Tanpa Wayar untuk TV9. Kini, saya mahu berehat seketika bagi memberikan tumpuan pada ibadah berpuasa dengan keluarga dan memenuhi undangan fotografi Raya pihak media. “Insya-Allah, selepas cuti Raya, saya akan terlibat dalam drama bersiri untuk slot Lestary TV3 dan dijangka terbang ke India untuk penggambaran,” kongsinya yang sibuk menjaga neneknya yang semakin uzur di rumah keluarga di Kampung Baru di sini.

Shahrizal merisik Redzwani

JIKA sebelum ini namanya sering dikaitkan dengan khabar angin yang tidak enak didengar, keputusan Shahz Jaszle untuk menukar namanya ke Shahrizal mungkin membawa berkat. Berdasarkan sekeping gambar di Instagramnya, pelakon tampan yang sebelum ini sering digosipkan dengan beberapa artis wanita terkenal seperti Maria Farida dan Neelofa, bakal merisik kekasih hatinya, Redzwani Puteri. Ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini, Shahrizal dengan nada sedikit teruja mengesahkan perkhabaran tersebut dan mengatakan semua perancangan sedang diuruskan pihak keluarga kedua-dua belah pihak. Menurutnya, setelah setahun berkawan, sudah tiba masanya untuk mereka membawa ikatan tersebut pada langkah seterusnya. KOSMO!: Anda dikatakan bakal merisik kekasih hati, Redzwani Puteri pada 15 Julai ini berdasarkan sekeping gambar yang dimuat naik ke laman Instagram anda. Sejauh mana kebenarannya? SHAHRIZAL: Ya, perkara itu memang benar. Buat masa ini, pihak keluarga kami berdua sedang sibuk menguruskan segala perancangan untuk majlis tersebut. Jadi saya hanya mengikut sahaja apa yang ditentukan oleh mereka kelak. Kenapa tanpa sebarang desas-desus, anda mengambil keputusan untuk mengadakan majlis merisik tersebut? Saya percaya semua itu adalah jodoh kerana hubungan kami bermula sebagai kawan biasa kira-kira setahun yang lepas. Lama-kelamaan, kami menjadi semakin rapat dan akhirnya bergelar pasangan kekasih pada awal tahun ini. Boleh ceritakan sedikit bagaimana pertemuan yang hanya menjangkau usia setahun boleh sampai ke tahap ini? Seperti yang saya katakan, itu semua ketentuan Ilahi. Saya tertarik dengan personaliti Redzwani. Daripada seorang kawan biasa, menjadi rakan rapat dan akhirnya bergelar kekasih. Lagipun keluarga kami saling mengenali. Ibu saya dan ibu Redzwani sebenarnya sudah lama berkawan, jadi mungkin dia (ibu Shahrizal) berkenan dengan Redzwani juga. Bila dan di mana majlis merisik akan diadakan nanti? Semuanya masih dalam perancangan lagi, cuma tarikh sahaja yang telah diputuskan. Saya dimaklumkan majlis tersebut akan berlangsung di kediaman Redzwani di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor. Sebelum ini anda sering dikaitkan dengan artis-artis wanita lain seperti Neelofa dan Miera Liyana. Adakah majlis ini akan menutup segala gosip-gosip tersebut? Saya sudah mengenali Redzwani untuk tempoh yang agak lama dan sepanjang tempoh itu, hanya dia berada dalam hati saya. Jadi, apa yang digembar-gemburkan sebelum ini hanyalah gosip semata-mata.

Miera Leyana Rasa Kekok Berlakon Dengan Shahrizal Jaszle

KUALA LUMPUR: Aktres Miera Leyana mengakui berasa janggal untuk berlakon bersama bekas kekasihnya iaitu aktor Shahrizal Jaszle selepas hubungan mereka berakhir kira-kira tiga bulan lalu. Miera, 19, berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama secara profesional namun di dalam hatinya terdetik juga perasaan kekok dan kurang selesa untuk bergandingan dengan aktor itu. "Saya berasa kekok untuk berlakon bersama sejak hubungan kami putus. Kami memainkan peranan sebagai pasangan kekasih dalam drama 13 episod berjudul Harapan arahan pengarah dari India iaitu Ishal. "Saya akui sangat susah untuk bertentang mata dan menjayakan watak pasangan kekasih tetapi saya lakukan juga atas dasar profesional," katanya kepada mStar Online. Hubungan Miera dan Shahrizal yang terjalin selama lima bulan berakhir pada Februari lalu kerana lelaki itu dikatakan berlaku curang. Miera berkata dia hanya berkomunikasi dengan Shahrizal semata-mata untuk menjayakan watak itu sepanjang penggambaran berlangsung selama sebulan.
"Kami hanya berkomunikasi apabila babak kami dirakamkan. Jika tidak, kami akan duduk berasingan dan membuat hal masing-masing. Pada peringkat ini, saya sedang menyesuaikan diri dan emosi akibat perpisahan itu. "Jujurnya, masih berat dan sukar untuk saya berpura-pura seolah-olah tiada apa yang pernah berlaku di antara kami sebelum ini," luahnya. Diusik mengenai keputusannya menerima tawaran untuk berlakon bersama, Miera berkata tawaran tersebut diperolehnya lebih awal sebelum dimaklumkan oleh pihak produksi bahawa Shahrizal turut serta dalam drama berkenaan. "Saya tertarik dengan idea dan konsep drama itu yang bertemakan percintaan. Sebab itu, saya menerima tawaran tersebut. Saya tidak sangka pula dia (Shahrizal) akan ditawarkan sebagai hero drama ini. "Jika saya tahu daripada awal, mungkin saya tidak ambil. Namun, saya menetapkan syarat kepada syarikat produksi iaitu kami hanya berlakon atas dasar profesional dan tiada isu-isu peribadi perlu dilibatkan sepanjang penggambaran," akuinya. Drama Harapan dijangka menemui penonton pada Ogos depan menerusi RTM. Selain drama itu, Miera juga sedang terlibat dalam penggambaran drama Pencinta terbitan Grand Brilliance.

Shahrizal Timbulkan Masalah Kerana Sukar Tidur


PETALING JAYA: Pelakon Shahrizal Jaszle mengakui menghadapi masalah disiplin apabila sering datang lewat ke lokasi sehingga mengakibatkan penggambaran terganggu.

Pelakon itu berkata, perkara berkenaan timbul bukan disengajakan sebaliknya berpunca daripada masalah kesukaran tidur yang dialaminya selama ini.

"Saya mengakui memang mempunyai masalah disiplin sehingga telah menyebabkan pihak lain turut menerima kesan daripada sikap saya.

"Namun begitu hal berkenaan bukan disengajakan kerana saya memang mempunyai masalah tidur dan sukar untuk bangun pada waktu pagi," ujarnya kepada mStar Online.

Shahrizal ditemui ketika menghadiri majlis pelancaran drama bersiri “3 Janji” di Sri Pentas, TV3, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia ada meminta bantuan daripada kakaknya yang merupakan seorang doktor dengan memberi ubat bagi membantu membolehkannya tidur tetapi ia tidak mujarab.

"Saya ada cuba untuk merawat masalah saya ini tetapi nampaknya masih belum berhasil. Bagaimanapun saya berjanji akan mengatasi masalah ini supaya tidak menyusahkan pihak lain," katanya.

Ditanya adakah masalah tersebut berpunca daripada hubungannya dengan pelakon Miera Leyana yang sering tidak menentu, Shahrizal bagaimanapun menafikan mengenai dakwaan tersebut.

Ujarnya, Miera tidak menjadi punca kepada masalah tersebut tetapi dia merasakan tertekan dengan bebanan kerja sehingga menyebabkan sukar untuk tidur malam.

"Miera tidak menjadi punca tambahan pula hubungan kami telah berakhir. Masalah ini berlaku mungkin kerana apabila sudah terlalu letih saya tak boleh tidur tepat pada waktunya dan sekali gus menyebabkan saya bangun lewat pada keesokan hari," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Shahrizal berkata dia kini sedang mencari pembantu peribadi bagi menguruskan kerjaya seninya supaya tidak menimbulkan masalah.

Malangny dia bermasalah untuk mencari calon sesuai kerana tidak mempercayai orang selepas pengalaman bersama bekas pembantunya sebelum ini.

"Pembantu peribadi sebelum ini banyak memberikan masalah kepada saya jadi perlu lebih berhati-hati dalam mencari pengganti," katanya.

Sementara itu, pengarah drama bersiri “3 Janji”, Heykal Hanifah berkata, dia tidak mengambil pusing mengenai cakap-cakap orang mengenai Shahrizal kerana pelakon itu tidak pernah membuat sebarang masalah dengannya.

Heykal bagaimanapun berkata, dia tidak menafikan Shahrizal ada kalanya lewat tiba di set penggambaran namun keakraban mereka telah memudahkan dia untuk bercakap dan menasihati pelakon muda itu.

"Ada juga pihak yang memberi amaran kepada saya mengenai sikapnya yang tidak profesional di lokasi tetapi sepanjang bekerjasama dalam beberapa buah drama dia tidak pernah buat masalah besar kepada saya.

"Jika ada saya sentiasa akan menasihati dan menegur dirinya supaya mengubah sikap," ujarnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails