Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Shamrin Vokalis Fotograf. Show all posts
Showing posts with label Shamrin Vokalis Fotograf. Show all posts

Balu Shamrin Lahirkan Bayi Lelaki


PETALING JAYA: Balu penyanyi Shamrin (Fotograf) selamat melahirkan bayi lelaki bernama Muhammad Akmal Shamrin pada 1 Disember lalu di Hospital Serdang.

Semasa majlis pengebumian Shamrin pada 12 November lalu, Jazriatul Akma Abu Saman,29, sempat memberitahu, dia akan menamakan anak ketiganya itu dengan nama Shamrin sempena nama arwah suaminya.

Shamrin atau nama sebenarnya Mohd Shamrin Abdul Samad, 45, meninggal dunia pada 11 November lalu setelah rebah di padang bola ketika bermain bola sepak persahabatan dengan sebuah syarikat insurans di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Doktor mengesahkan Allahhyarham meninggal dunia akibat sakit jantung.

Hasil perkahwinan dengan Jazriatul, mereka turut dikurniakan dua anak lelaki iaitu Akmal Danish,5 dan Akmal Shamim, 18 bulan.

Selain itu, Shamrin turut mempunyai seorang lagi anak bernama Siti Najwa,17, hasil perkahwinan pertamanya.

Shamrin Tidak Sempat Beli Barangan Bayi


BERITA kematian penyanyi kumpulan Fotograf, Shamrin atau nama sebenarnya Mohd Shamrin Abdul Samad, 45, mengejutkan ramai pihak yang mengenalinya.

Sebelum ini penyanyi yang terkenal menerusi lagu Di Alam Fana Cinta pada era 90-an ini tidak pernah menunjukkan tanda-tanda mengalami penyakit serius.

Tiba-tiba sahaja, pada petang Khamis lalu Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya setelah rebah di padang bola ketika bermain bola sepak persahabatan dengan sebuah syarikat insurans di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Doktor mengesahkan Shamrin meninggal dunia akibat sakit jantung.

Mungkin, sudah tiba ajalnya dan Tuhan lebih menyayangi Allahyarham yang disifatkan oleh rakan-rakan artis sebagai seorang yang periang dan penyabar.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam SS22, USJ Subang Jaya, Selangor selepas solat Jumaat.

Shamrin yang berasal dari Kajang, Selangor telah melibatkan diri dalam lapangan muzik secara serius bersama kumpulan Fotograf yang menampilkan album pertama berjudul Iramanya Bergetar pada tahun 1989.

Setelah kejayaan album itu mereka menghasilkan lima buah album penuh 7:30 Psikosis (1990) , Fotograf 92 (1992), Fantasi (1994), Fokus (1995) dan Juara Mimpi (1997).

Fotograf pernah memenangi Lagu Pop Terbaik, pertandingan Juara Lagu 1992 untuk lagu Di Alam Fana Cintamu.

Antara lagu yang mempopularkan mereka ialah Nafas Kekasih , Asmara Gerhana, Panah Tak Bermata, Aku Yang Kecewa, Salam Buat Juwita, Mengejar Bayangan dan Luka Seribu Rindu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Jazriatul Akma Abu Saman,29, bersama tiga orang anak iaitu Akmal Danish,5, Akmal Shamim, 18 bulan dan Siti Najwa,17, iaitu anak daripada perkahwinan terdahulu.

Jazriatul Akma Abu Saman sekarang ini sarat mengandung sembilan bulan.

Shamrin bawa anak beli mainan

Siapa yang tidak sedih apabila kehilangan suami tersayang, namun riak wajah balunya, Jazriatul tampak tenang. Biarpun sedang sarat mengandung, wanita ini kelihatan tabah dan menerima kenyataan bahawa suaminya sudah tiada lagi.

Bagaimanapun dia tidak pasti bagaimana hendak menerangkan kepada anak keduanya, Shamim yang rapat dengan Allahyarham suaminya.

Malah, anak sulungnya juga seakan tidak menunjukkan apa-apa reaksi apabila memberitahu bahawa bapanya sudah tiada lagi.

“Allahyarham kelihatan seperti biasa sahaja sepanjang seminggu lalu. Namun, kelmarin sebelum kali terakhir kami anak-beranak berjumpa, dia nampak lain sangat.

“Saya berasa hairan kerana sebelum ini biasanya dia tidak membawa anak-anak membeli alat permainan tetapi sebelum kejadian itu, dia sempat membawa anak-anak keluar jalan-jalan.

“Dia juga tidak sempat membelikan barangan bayi yang akan saya lahirkan dan hanya meninggalkan duit untuk saya membeli sendiri kerana terlalu sibuk dengan kerjanya.

"Insya-Allah, saya dijangka akan bersalin pada awal Disember ini di Hospital Serdang, Selangor,” katanya selepas selesai upacara mandi dan solat jenazah Shamrin di Masjid Al-Falah, USJ 9, Subang Jaya, Jumaat.

Memandangkan Jazriatul dijangka akan melahirkan bayi lelaki, dia akan menamakan anak itu sempena nama Shamrin.

Bekas Isteri Pertama Beri Sokongan Kepada Jazriatul

Dalam pada itu, bekas isteri pertama Shamrin, Noreda Mohd Ramli, 45, turut hadir melawat jenazah dan memberikan sokongan kepada Jazriatul.

Kelihatan riak wajah Noreda turut menyimpan perasaan sedih dan bersimpati dengan nasib balu bekas suaminya itu.

Noreda turut ditemani oleh anaknya, Siti Najwa yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Saya tahu anak saya sangat sedih setelah menerima berita kematian ayahnya tetapi saya cuba memberi kekuatan kerana dia bakal menempuhi SPM nanti.

“Kami sangat terkejut kerana dia masih muda dan tidak mempunyai sebarang penyakit. Minggu lepas, Allahyarham ada menghubungi Najwa untuk mengucapkan semoga berjaya dalam SPM dan berjanji untuk membawa bercuti bersama-sama selepas SPM," katanya.

Sementara rakan artis yang turut menziarahi jenazah Allahyarham ialah penyanyi Nash (Lefthanded), Lah Ahmad, Nasser Wahab, Aris Ariwatan, Zura (The Girls), Hairi (Kool), Ali (Mpire), Zamani (Slam), pelakon Ayu Raudhah, Accapan, Abon dan bekas pemain bass Fotograf, Amran Abu Sidek.

Apa kata rakan-rakan artis:

Hairi (Kool)

“Semasa Shamrin meninggal dunia, saya dan beberapa rakan artis lain berada bersamanya. Sejak tumpang tidur di rumah Riot semalam, dia sudah nampak letih dan tak cukup tidur.

“Riot ada bercerita kepada saya, semasa Allahyarham di rumahnya semalam, Riot menyuruhnya berehat terlebih dahulu kerana Allahyarham kelihatan letih.

“Namun Allahyarham menjawab tak boleh tidur, bahaya, nanti tidur terus.”

Amran Abu Sidek (bekas pemain bass Fotograf)

“Minggu lepas, saya ada berborak dengan dia, merancang untuk memperjuangkan band tempatan yang dipinggirkan.

“Kami mahu lakukan bukan sebab duit semata-mata tetapi mahu tegakkan hak anggota band seperti kami. Selepas dia tiada, saya rasa tidak akan teruskan perancangan ini.

“Mengenali Allahyarham, dia merupakan seorang yang sangat berbakat dan sudah dilahirkan untuk bergelar penyanyi. Saya berani katakan yang dia merupakan penyanyi paling terbaik dalam industri hiburan ini.”

Opie (Bloodshed)

“Saya rapat dengan dia sejak zaman sekolah lagi. Saya pernah menerbitkan album Fotograf berjudul Fokus dan Juara Mimpi.

“Minggu lepas, saya mengajak Allahyarham pergi buat show di Melaka dan dia beria-ia untuk menyanyi. Jadi, saya rasa terkejut kerana sepanjang mengenalinya, dia tidak pernah sakit dan aktif bermain bola sepak.”

Shamsul Bahrin (bekas pengurus Fotograf)

“Sebagai kawan, Allahyarham sangat prihatin dengan Ringgo (Fotograf) yang kini di tahan di penjara di Venezuela. Dia sanggup menunggu Ringgo pulang ke Malaysia untuk menerbitkan album terbaru tetapi nampaknya niat itu tidak kesampaian.”

Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham dan semoga rohnya dicucuri rahmat.

Shamrin Fotograf Meninggal Dunia Sakit Jantung


PETALING JAYA: Penyanyi Shamrin,45, (gambar) dari kumpulan Fotograf meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira pukul 6.40 petang, Khamis, ketika menyertai perlawanan bola sepak persahabatan dengan sebuah syarikat insurans di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.

Allahyarham yang popular dengan lagu Di Alam Fana Cinta pada era 90-an mengadu kekejangan otot semasa bermain bola sepak sebelum terduduk di atas padang.

Rakannya, Johan Aziz yang turut menyertai perlawanan mewakili kumpulan artis berkata, Shamrin atau nama sebenarnya Mohd. Shamrin Abd. Samad, sebelum itu mengadu kepenatan kerana menghadiri pertunjukan pentas malam sebelumnya.

“Ketika dia jatuh, kami terus membawa dia ke Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru dan disahkan doktor dia meninggal dunia,” katanya.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Allahyarham meninggalkan tiga orang anak manakala seorang daripada mereka dari perkahwinan terdahulu.

Isterinya, Jazriatul Akma Abu Saman,29, sekarang ini sedang sarat mengandung.

Shamrin yang berasal dari Kajang, Selangor telah melibatkan diri dalam lapangan muzik secara serius bersama kumpulan Fotograf yang menampilkan album pertama berjudul Iramanya Bergetar pada tahun 1989. Setelah kejayaan album itu mereka terus mengorak langkah dengan menghasilkan lima buah album penuh 7:30 Psikosis (1990) , Fotograf 92 (1992), Fantasi (1994), Fokus (1995) dan Juara Mimpi (1997).

Fotograf pernah memenangi Lagu Pop Terbaik, pertandingan Juara Lagu 1992 untuk lagu Di Alam Fana Cintamu.

Antara lagu yang mempopularkan Fotograf ialah Nafas Kekasih , Asmara Gerhana, Panah Tak Bermata, Aku Yang Kecewa, Salam Buat Juwita, Mengejar Bayangan dan Luka Seribu Rindu.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam SS22, USJ Subang Jaya, Selangor sebelum solat Jumaat.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails