Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Sharifah Aleya. Show all posts
Showing posts with label Sharifah Aleya. Show all posts

BUAH HATI SHARIFAH ALEYA

Gambar terkini Aza Ameena dan Asha Ameena anak kepada Aleya atau nama sebenarnya Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid, 30. Meskipun hingga kini Aleya masih belum mahu berkahwin selepas bercerai dengan Muhammad Ashraf Aasimudin, 32... namun dia kini dikatakan sudah mempunyai pengganti. "Kalau boleh saya tidak mahu kongsikan lebih lanjut mengenai teman lelaki. Cukup sekadar saya beritahu yang keluarga sudah tahu... kerana sebagai seorang wanita sudah tentu saya ingin berkahwin dan mempunyai anak lagi," ujar Aleya.

Sharifah Aleya Sukar Bezakan Anak Kembar

Personaliti radio iaitu Aleya mengakui ada masanya dia keliru untuk membezakan anak kembarnya yang mana satu Aza Ameena dan Asha Ameena. Aleya atau nama sebenarnya Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid, 30, berkata, wajah anak kembarnya yang berusia empat tahun itu turut menimbulkan masalah kepada ibu dan ayahnya kerana mereka juga sukar mengenalinya. "Kekeliruan bukan hanya berlaku pada orang yang pertama kali melihat anak-anak saya, tetapi juga saya sendiri dan keluarga yang lain. "Susah nak membezakan anak kembar saya lebih-lebih lagi apabila karakter mereka tidak jauh berbeza.
"Tetapi ada sahabat baik saya memanggil mereka 'sunshine' dan 'moony' di mana apabila kita fikirkan cahaya matahari, ia lebih kepada Asha kerana sikapnya yang ceria tetapi panas. “Manakala Aza pula ‘moony’. Dia hanya beri sedikit saja ruang untuk mengenalinya," kata Aleya. Sementara itu, bercerita mengenai sambutan Hari Rata pula, seperti biasa Aleya akan menyambutnya bersama anak-anak sebelum membawa mereka berjumpa dengan bekas suaminya, Muhammad Ashraf Aasimudin, 32. "Alhamdulillah, saya dan bekas suami tidak pernah mempunyai krisis dan ini memudahkan kami dalam hal pengurusan anak. "Macam biasa pada hari pertama Aidilfitri, Asha dan Aza beraya bersama saya sekeluarga. Kemudian di sebelah petang pula Ashraf akan membawa mereka pulang ke kampungnya di Jeram, Perak," tuturnya.

Sharifah Aleya Tidak Janggal Selepas Seminggu Bertudung

PETALING JAYA: Penyampai radio Hot FM Sharifah Aleya mengakui sejak mengenakan tudung bermula 1 Ramadan lalu (21 Julai 2011), dia berasa selesa dan tidak kekok dengan penghijrahan tersebut. Aleya atau Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al Yahya berkata, dia enggan berkongsi sebab-sebab perubahan diri itu, namun menyifatkan ia adalah satu transisi normal bagi seorang wanita beragama Islam. "Alhamdulillah, sepanjang seminggu lebih bertudung, saya tidak berasa kekok, malah selesa dengan penghijrahan ini. "Cuma kalau boleh saya enggan berkongsi kenapa perubahan ini dilakukan. Ia sangat peribadi buat saya. Cukuplah masyarakat dah tahu yang saya dah bertudung dan doakan saya yang terbaik," katanya. Tambah Aleya, dia juga bersyukur dan gembira apabila penghijrahannya itu disokong keluarga serta rakan-rakan dan berharap agar imej sebegitu kekal sehingga akhir hayat. Sementara itu, walaupun Ramadan tahun ini pertama kali dilalui tanpa suami di sisi, Aleya merasakan ia tidak memberi kesan buatnya untuk beribadat kerana sering dikelilingi keluarga serta dua orang anak kembarnya, Aza Ameena dan Asha Ameena yang berusia tiga tahun. "Bagi saya, Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan setiap tahun dan ia sangat istimewa untuk kita sebagai umat Islam menjalani ibadat puasa. "Malah inilah masanya untuk kita mengikat silaturahim dengan menghabiskan masa bersama keluarga," ujarnya. Dalam pada itu, Aleya berkata, dia juga memastikan segala kerja-kerja pengacaraan yang dibuat selesai sebelum Ramadan agar dapat menikmati saat-saat bersama keluarga bagi setiap ibadat yang dilakukan. "Ramadan juga membuatkan saya dan adik beradik yang lain berlumba-lumba untuk memasak bagi juadah berbuka puasa. Sampaikan kami cuba untuk mengalahkan ibu kami (Fatimah Abu Bakar) untuk muncul dengan masakan terbaik. "Bagaimanapun, macam biasa, ibu kamilah yang menjadi juara dalam hal-hal masakan," selorohnya yang gemar memasak lauk daging kicap.

Hijrah Leya Hot FM

SEJUK hati Diva yang selalu kepanasan dek sibuk bakar kuih baulu sekarang bila seorang teman tiba-tiba telefon nak kongsi cerita seorang personaliti radio Hot FM, Sharifah Aleya yang kini sudah tampil berhijab. Diva sendiri tak pernah pula terserempak dengan Leya. Kata teman wartawan kepada Diva, dia terserempak dengan Leya yang sudah menjalani kehidupan dalam imej berhijab ketika berkunjung ke sebuah restoran di The Curve, Damansara untuk berbuka puasa dengan rakannya. Dia mulanya nak juga menegur Leya yang dilihat ditemani seorang rakan tapi memikir Leya agar tidak terganggu, dia berlalu begitu sahaja. Katanya, Leya nampak cantik dan manis sekali. Diva sendiri teringin nak jumpa Leya, nak juga dengar sendiri daripada mulut ibu kepada sepasang anak perempuan kembar itu tentang hijrah yang dilakukan. Kita jumpa 31 Julai nantilah Leya ya, kebetulan Hot FM ada acara buka puasa lusa.

Leya fobia bunga api


SUDAH namanya penyampai radio, bicara Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al-Yahya meletus bagai bertih goreng. Tanyakan apa sahaja, pasti dia tidak lokek untuk berkongsi, sementelah dia bukan jenis selebriti yang hidup seiring sensasi.

Mudah dibahasakan Leya, anak sulung kepada pasangan Syed Zainal dan guru lakon, Siti Fatimah Abu Bakar ini masih seperti Leya yang dikenali dulu, sama seperti ketika dia belum bergelar isteri kepada Muhammad Ashraf Aasimuddin serta ibu kepada pasangan kembar Aza Ameena dan Asha Ameena, 2 tahun.

“Saya macam dahulu juga, cuma perwatakan mungkin berbeza. Dah jadi mak orang,” katanya yang kini lebih banyak menghabiskan masa senggang bersama anak-anak.

Masih bertugas mengendalikan segmen Menu Muzik Hot FM setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 11 pagi hingga 3 petang, Leya, 28, kini muncul sebagai ikon iklan Ramadan di TV9.

“Ini kali pertama kolaborasi TV9 dan Hot FM untuk menjayakan iklan Ramadan di TV9. Untuk projek berkenaan, saya dan AG (penyampai Hot FM) terlibat dengan dua iklan Ramadan yang sedang disiarkan dan dua iklan Syawal yang bakal menyusul tidak lama lagi.

“Saya seronok dengan iklan begitu, saya tertarik sebab ia tidak seperti bersyarah. Setakat ini, respons yang diterima sangat bagus dan Alhamdulillah,” katanya yang sudah agak lama tidak muncul dengan filem mahupun drama baru.

LAKONAN

Saya tidak pernah mengisytiharkan berhenti daripada berlakon. Drama terakhir lakonan saya mungkin Mencari Jannah yang disiarkan Astro tidak lama dahulu. Saya pernah membintangi filem Mukhsin dan Magika cuma saya bukan jenis yang seratus-peratus dengan lakonan, filem atau drama, bukan macam adik saya, Nani (Syarifah Amani). Saya lebih kepada muzik dan penyampai di radio.

KURUS

Saya rasa sihat begini tapi ada juga orang kata saya anoreksia. Berat saya mungkin 42 atau 43 kilogram tapi saya bukan jenis yang tak makan, mungkin penat dengan kerja dan anak-anak. Saya makan banyak tapi cuba kawal jenis-jenis makanan tertentu. Nak tahu, ukuran pingggang saya sekarang sekitar 66.25 sentimeter, saya bangga sebab itu ukuran semasa saya belum berkahwin, sampai suami saya makan hati dibuatnya.

BUNGA API ATAU MERCUN

Sekarang saya tak suka mercun atau bunga api. Bunga api dan mercun mengingatkan saya terhadap bahaya yang menakutkan. Fobia sebenarnya. Dahulu masa kecil-kecil, kami adik-beradik bersama sepupu-sepupu yang sebaya ada bermain bunga api, tiba-tiba api menyambarkan pakaian pada badan sepupu saya. Kami semua panik dan nasib baik kecederaan sepupu saya tidak teruk walaupun habis pakaiannya terbakar.

SI KEMBAR

Kedua-dua, Aza dan Asha sangat aktif dan tidak pernah duduk diam sebab mereka berdua, ada kawan untuk diusik dan bermain. Kalau di rumah atau di mana sahaja, memang mereka kena diawasi sebab, berbanding Azza, Asha jenis yang agak cemerkap, dia suka terlanggar apa sahaja.

PERSIAPAN RAYA

Sesungguhnya kami (saya dan Ashraf) bukan jenis yang gemar membeli-belah. Baju yang saya pakai ini pun (sambil menunjukkan baju kurung warna biru yang menyaluti tubuhnya) ialah baju yang dibeli pada tahun lepas. Kalau untuk raya, biasanya saya akan ambil masa satu hari sahaja untuk keluar membeli-belah, dan pulun beli semua yang dikehendaki.

Giliran Leya beraya di konti


PETANG itu, tidak menang tangan si ibu muda ini melayan kerenah si kembarnya. Bayangkan, belum sempat kasut dipakai dan anting-anting dipadankan dengan rantai, si kakak mula mencari perhatian, merengek agar ibunya bercakap dan melihatnya pula. Tatkala si ibu sibuk mencari posisi terbaik bagi wajahnya dirakamkan, si adik pula datang menyelinap dari belakang, ingin duduk sekali.

Penat bukan lagi persoalan kerana apa yang difikirkan, semua itu adalah anugerah terindah dan hadiah paling manis buat pelakon dan penyampai Hot FM, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid bersama suaminya, pemuzik serta komposer Muhammad Ashraf Aasimudin.

Membina perkahwinan pada usia muda iaitu pada penghujung 2007 dan percaya dengan jodoh yang ditentukan, Leya bersama suami tambah bahagia apabila dikurniakan pasangan kembar perempuan yang comel, Aza Ameena dan Asha Ameena Muhd Ashraf. Usia mereka kini sudah pun dua tahun.

“Beginilah keadaannya sekarang sebagai seorang ibu, tapi setiap saat dapat saya rasakan nikmat kebahagiaannya. Memang ada kalanya penat melayan kerenah anak kembar namun ajaibnya, rasa letih itu hilang sebaik memandang wajah �mereka,” katanya yang kini menetap bersama keluarga mentua di Sungai Buloh.


Meskipun masih lagi muda dan kekal dengan personalitinya yang cukup periang serta gemar bergurau, Leya yang juga anak guru lakonan, Fatimah Abu Bakar kini semakin kemas memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri.

“Alhamdulillah saya dan Ashraf sangat bahagia. Siapa menyangka niat saya untuk berkahwin pada usia muda sangat berbaloi kerana terus dikurniakan anak kembar.
Ia memang sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam imaginasi saya sendiri.
Apabila dikaji, kebahagiaan yang saya dan suami rasai ketika ini adalah hak kegembiraan yang dikongsi bersama ahli keluarga lain terutama ibu serta ayah saya.

“Maklumlah Aza dan Asha cucu sulung mereka, jadi segala-galanya adalah buat mereka berdua. Ada kalanya saya sendiri rasa kelakar melihat orang tua saya begitu seronok melayan cucu mereka,” ujar Leya kakak sulung kepada empat beradik yang semuanya anak seni.

Sesekali terdengar bisikan Asha dan Aza memanggil ‘mummy’ dan ‘daddy’ dan ketika itu juga Leya dan Ashraf cuba mendengar apa yang cuba dituturkan anak mereka walaupun tidak jelas.

Terlanjur bertemu Leya yang begitu padat dengan jadual tugasnya bersama stesen radio terbabit selain tanggungjawab di rumah, terbit juga cerita me�ngenai Ramadan dan Syawal.

Kata Leya, puasanya juga sama seperti Muslimin dan Muslimat lain yang dilakukan secara sederhana terutama waktu berbuka. Kalau ada masa dia akan berkunjung ke mana-mana bazar Ramadan untuk membeli juadah selain memasak sendiri di rumah.

“Bersahur macam biasa, kami makan sekadar mengalas perut. Kalau terlalu kenyang susah pula hendak tidur,” kata Leya yang akan menyediakan rendang daging dan kuah kacang kegemaran suaminya tahun ini.

Daripada sudut persiapan raya pula, Leya belum sempat melakukannya, namun tumpuan yang lebih akan diberikan �kepada dua anak kembarnya itu.

“Sebenarnya saya dan adik-beradik yang lain tidak membuat persiapan yang besar untuk menyambut Aidilfitri kerana sejak kecil lagi, ibu bapa kami lebih mengutamakan sambutan Ramadan.

“Justeru apabila sudah ada anak sendiri, saya rasa macam kekok untuk sambut raya besar-besaran. Bagaimanapun, saya dan Ashraf tetap akan membeli baju raya buat Asha dan Aza sebab seronok tengok mereka pakai baju sama corak dan warna pada pagi raya.

“Insya-Allah kalau ada peluang dan kelapangan, saya akan membawa mereka pergi membeli-belah nanti,” kata Leya yang kali ketiga beraya sebagai isteri.

Bersulam dengan senyuman, Leya sambil membetulkan baju Melayu Ashraf itu memberitahu, tahun ini gilirannya bekerja pada hari raya.

Meskipun terpaksa beraya di konti Hot FM, penyampai radio yang juga pelakon handalan ini tidak sekelumit pun meru�ngut kerana baginya semua itu sudah komitmen kepada majikannya.

“Memang inilah situasi penyampai radio mahupun warga kerja bidang penyiaran. Tidak kira cuti atau hari perayaan, kita terpaksa bersedia untuk bekerja demi terus menghiburkan pendengar dan menyalurkan maklumat.

“Mungkin selepas bertahun-tahun bersama Hot FM, giliran saya pula yang kena bekerja pada hari raya. Sebelum ini penyampai lain juga sudah pernah merasa. Kita kena bertimbang rasa dan �berkompromi.

“Mujur juga saya dan suami memang asal orang Kuala Lumpur dan tidak perlu khuatir sangat memikirkan soal nak balik kampung. Memang rutin setiap tahun pun saya dan suami akan beraya di sini saja dan kemudian barulah meronda bersama keluarga untuk melawat sanak-saudara yang lain.

“Jadi bekerja pada pagi raya bukanlah satu masalah kerana selepas habis tugas, saya sudah boleh bergegas pulang ke rumah keluarga di Bandar Sri Damansara. Apa yang penting kita masih berpeluang jumpa ahli keluarga lain,” katanya yang kini bertugas bagi segmen Menu Muzik Hot FM setiap Isnin hingga Jumaat jam 11 pagi hingga 3 petang.



PROFIL ALEYA

Nama penuh: Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid
Tarikh lahir: 27 April 1983
Usia: 28 tahun
Tempat lahir: Petaling Jaya, Selangor
Suami: Muhammad Ashraf Aasimudin
Anak: Aza Ameena Muhd Ashraf & Asha Ameena Muhd Ashraf
Kerjaya: Penyampai radio Hot FM, pelakon, pengacara, jurucakap produk
Filem: Idola, Diari Romeo, Mimpi Moon, Trauma, Pontianak Harum Sundal Malam, Man Laksa, Mukhsin, Magika
Pengacaraan TV: Golden Teen Stuff, KFC’s Chicky Hour, Manggo TV, Latido
Teater: Teater Muzikal Terima Kasih Cinta
Pencapaian: Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 (FFM17) menerusi Trauma
Jurucakap produk: Nuvafemme



PROFIL ASHRAF:

Nama penuh: Muhammad Ashraf Aasimudin
Tarikh lahir: 10 April 1980
Usia: 31 tahun
Tempat lahir: Sunderland, England
Pendidikan: Diploma Muzik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Kerjaya: Pemuzik, komposer
Karya: Lagu untuk Wana, Nashrin, Fiq (Mentor), Faradhiyya

Aleya seronok jaga anak


BIARPUN sibuk dengan jadual seni, Leya atau nama sebenarnya Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid, 28, tidak meletakkan tanggungjawab menjaga dua puteri kembarnya Aza Ameena dan Asha Ameena kepada pengasuh.

Bagi kakak kepada Sharifah Amani ini, dia sanggup bergilir-gilir bersama suami, Muhammad Ashraf Aasimudin, 31, menjaga dua orang anaknya itu yang kini berumur dua tahun.

Masih menyusukan anak-anaknya dengan susu badan, bagi Leya dia mahu anak-anaknya membesar di depan mata.

“Buat masa sekarang tumpuan utama Leya adalah anak-anak selain sebagai penyampai radio di Hot FM,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran produk Nuvafemme di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur.

Leya yang baru selesai menjalani pengambaran teater Musikal Terima Kasih Cinta arahan Pat Ibrahim memberitahu, jika dia dan suami terlalu sibuk dengan kerja, ibu bapa dan mertuanya akan mengambil alih menjaga cucu-cucu mereka.

“Anak-anak memang saya dan suami akan jaga bergilir-gilir tetapi jika kami berdua sibuk keluarga saya dan mertua akan membantu,” katanya.

Jurucakap Nuvafemme

Walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai penyampai radio dan juga menguruskan anak-anak, Leya yang dulunya mempunyai bentuk badan yang agak berisi kini tampil langsing dan bersemangat.

Ditanya mengenai hal itu, Leya pantas memberitahu, dia mengamalkan pemakanan sihat serta pengambilan suplemen, Nuvafemme.

Dia yang kini menjadi jurucakap kepada produk Nuvafemme bersama dengan ibunya, Fatimah Abu Bakar mengaku sangat benci makan ubat tetapi disebabkan ingin tampil lebih sihat dan bertenaga terutamanya selepas bersalin, Leya mendisiplinkan dirinya.

Kombinasi mempesona yang dimiliki oleh Fatimah yang juga merupakan tenaga pengajar Akademi Fantasia (AF) itu bersama dengan anaknya, Leya mendorong kedua-duanya menjadi jurucakap untuk produk tersebut.

“Nuvafemme adalah formula kecantikan semula jadi sepenuhnya yang bertindak untuk menyerlahkan kulit lebih muda dan tegang. Ia membantu mengaktifkan penghasilan kolagen dari dalam untuk membentuk kulit yang lebih tegang dan gebu seterusnya menghilangkan garis halus dan kedutan serta meningkatkan kelembapan kulit,” kata Leya mengenai kebaikan produk tersebut.

Ujarnya, produk berkenaan kini boleh didapati di semua farmasi utama di seluruh negara pada harga RM98 untuk kotak 50 tablet.

Pendakap gigi

Leya dulu menganggap gigi jarangnya adalah trademark dan pernah menyuarakan tidak mahu memakai pendakap gigi tetapi akhirnya dia mengalah.

Semuanya gara-gara tidak tahan menahan sakit ketika mengunyah makanan.

“Pada mulanya memang Leya tak mahu pakai pendakap gigi tetapi disebabkan ketika mengunyah makanan Leya akan tergigit dinding tepi dalam mulut sehingga luka, Leya mengambil keputusan memakai pendakap gigi.

“Sudah masuk beberapa tahun Leya menghadapi masalah ini sehingga doktor memaksa Leya memakai pendakap gigi. Katanya, jika dibiarkan lama-kelamaan gigi akan bertambah jarak dan berterabur,” katanya yang telah memakai pendakap gigi itu selama setahun.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails