Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Sharifah Zarina. Show all posts
Showing posts with label Sharifah Zarina. Show all posts
Rawatan Penyakit Batu Karang Sharifah Zarina Tidak Berhasil
Penyanyi Sharifah Zarina menghidap penyakit batu karang dan usaha membuangnya tidak berhasil.
Sharifah Zarina, 32, berkata, dia telah menjalani rawatan laser bagi membuang batu karang tersebut pada 24 April lalu, di Pusat Perubatan Subang Jaya dekat sini.
Saya pernah membuang batu karang pada tahun 2006 lalu melalui beberapa rawatan, tetapi tidak sangka ia jadi semula, malah lebih besar daripada sebelum ini.
“Pada 24 April lalu saya menjalani rawatan laser untuk membuangnya, namun dua minggu selepas itu ia masih lagi ada dan pihak hospital akan buat semula pemeriksaan untuk mencari jalan lain membuangnya,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Tambah penyanyi Langit Ke Tujuh ini, kedudukan batu karang yang terletak dalam buah pinggangnya membuatkan ia tidak boleh dibuang melalui kaedah pembedahan.
Bagaimanapun, dia mengakui tidak pernah mencuba rawatan tradisional sebagai cara alternatif yang kebiasaan digunakan segelintir pesakit batu karang.
“Batu karang yang saya hadapi ini agak rumit untuk dibuang kerana ia jauh di bawah buah pinggang dan hanya beberapa kaedah sahaja yang boleh dilakukan.
“Rawatan laser yang saya buat pun tidak berkesan dan sekarang mereka sedang fikir cara lain, kalau boleh saya tidak mahu melakukan laser lagi sebab ia sakit dan memerlukan kos yang tinggi.
“Rawatan tradisional saya tidak pernah pula cuba kerana apabila rasa sakit saya hanya terus ke hospital sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Sharifah Zarina berkata, dia masih boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa namun dia sentiasa bergantung kepada ubat dan perlu meminum air yang banyak bagi mengurangkan kesakitan.
Sharifah Zarina Muncul Selepas Lima Tahun Menghilang
PETALING JAYA: Hampir lima tahun menyepi daripada dunia hiburan, penyanyi Sharifah Zarina bertekad untuk kembali aktif dalam dunia nyanyian pada tahun ini.
Jelas Sharifah Zarina, keputusan itu dibuat kerana selama ini dia banyak menghabiskan masa bersama keluarga termasuk tiga orang anaknya.
"Sebenarnya dari tahun lepas lagi saya sudah mula bergiat aktif tetapi ia tidak berapa rancak kerana ramai pihak masih tidak mengetahui kemunculan semula saya dalam bidang nyanyian.
"Tahun ini saya akan berusaha lebih keras dalam memastikan kerjaya seni saya kembali terancang dengan pelbagai aktiviti dan lagu baru," ujarnya kepada mStar Online.
Tambah Sharifah Zarina, antara penyebab dia mahu muncul semula dalam bidang seni kerana tidak gusar untuk meninggalkan tiga cahaya matanya yang sudah besar selain mendapat keizinan suami tercinta.
Dalam pada itu, Sharifah Zarina berkata, dia juga telah melantik seorang pengurus bagi memastikan perjalanan kariernya lebih teratur pada masa hadapan.
"Mungkin sebelum ini cubaan saya untuk kembali dalam bidang nyanyian tidak berapa menjadi kerana tiada bantuan pengurus yang boleh merencanakan aktiviti dan publisiti untuk saya.
"Dengan adanya pengurus rasanya perancangan saya akan lebih tersusun selepas ini," katanya.
Dalam perkembangan sama dia sudah pun muncul dengan single terbaru berjudul Memandang Awam ciptaan Muhammad Ashraf Aasimudin.
Ujarnya, lagu berentak balada itu telah pun siap sepenuhnya pada penghujung Februari lalu dan telah pun dihantar ke stesen radio untuk disiarkan.
"Saya teruja dengan lagu ini kerana penghasilannya dilakukan agak lama kerana Ashraf adalah seorang yang begitu teliti dalam menghasilkan sesuatu.
"Beberapa kali penambahbaikan terhadap lagu itu dibuat sehingga dia berpuas hati dan sebagai penyanyi saya juga gembira dengan hasil yang ditunjukkan," katanya.
Bercakap mengenai aktiviti terbarunya, Sharifah Zarina berkata, dia akan berangkat ke Sabah pada Sabtu dan Ahad ini untuk menjayakan program Jelajah Janji Harus Ditepati di Dataran Bandaran Kota Kinabalu.
Sharifah Zarina Labur RM12 000 Demi Nyanyian

PETALING JAYA: Hampir lima tahun menyepi dari dunia hiburan, penyanyi Sharifah Zarina bertekad melaburkan sebanyak RM 12,000 bagi mendapatkan dua buah lagu terbaik dari komposer terkenal Ajai.
Jelas Sharifah Zarina, pelaburan tersebut menunjukkan kesungguhannya untuk kembali semula dalam dunia nyanyian bukan sekadar melepaskan 'gian' semata-mata.
“Untuk kembali semula dalam dunia seni, saya perlu lagu yang benar-benar bagus dan membolehkan peminat merasakan semula kehadiran saya dalam industri ini.
“Oleh itu saya perlu memilih lagu yang terbaik dari komposer terbaik dan saya rasa Ajai mampu memberi lagu yang sesuai dengan saya. Tentang harga saya tidak kisah asalkan dapat apa yang saya mahukan,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Tambahnya, dia berpuas hati dengan dua single tersebut iaitu Dalam Dakapan dan Suratan Yang Menyakitkan yang kini sudah diputarkan di stesen-stesen radio tempatan.
“Single pertama Sharifah Zarina berjudul Dalam Dakapan sudah diputarkan, manakala single kedua mungkin akan menyusul.
“Lagu kedua Suratan Yang Menyakitkan akan mengingatkan peminat dan pendengar saya kepada lagu hit lama Langit Ke Tujuh,” ujarnya.
Melihat perkembangan industri hiburan, Sharifah Zarina mengakui cemburu dengan bakat dan kejayaan artis baru yang mampu menyanyi dan mengubah lagu sendiri.
“Saya suka melihat industri hiburan sekarang terutamanya kemunculan artis baru yang mampu membuat lagu sendiri dan menyanyi.
“Kadangkala terasa cemburu melihat mereka mampu memainkan alat muzik sendiri dalam usia yang masih muda.
“Anugerah Juara Lagu lalu juga menyaksikan ramai finalis yang baru dan segar mempertandingkan lagu mereka sendiri,” katanya.
Jelas Sharifah Zarina, dia juga sedang mengintai peluang untuk mendapatkan lagu-lagu daripada penyanyi-penyanyi baru.
Sementara itu, ketika ditanya ke mana dia menghilang selama lima tahun, Ibu kepada tiga cahaya mata ini memberitahu sibuk menguruskan hal keluarga.
“Saya sibuk dengan anak-anak dan restoran saya, dan memandangkan anak-anak sudah membesar saya rasa ini masa yang sesuai untuk kembali semua.
“Secara jujur saya rindu untuk menyanyi dan memenuhi undangan nyanyian seperti dahulu. Saya mahu diterima peminat semula dan melalui hidup seperti dahulu,” katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
