PENYANYI Siti Nordiana melalui kehidupan berliku untuk menampung kehidupan dia dan anaknya sebelum mendapat peluang kedua sebagai penyanyi.
Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Siti Nordiana. Show all posts
Showing posts with label Siti Nordiana. Show all posts
Tiada Keyakinan Kahwin, Siti Nordiana Bimbang Anak Tersisih
Penyanyi Siti Nordiana masih belum mempunyai keyakinan untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua walaupun sudah menjanda sejak enam tahun lalu.
Siti Nordiana atau lebih mesra dengan sapaan Nana, 31, juga bimbang anak lelaki tunggalnya, Ryyan Nakhaie yang kini berusia tujuh tahun akan terasa tersisih.
"Jujurnya jika bercakap soal kahwin saya tidak cukup kuat untuk mengharungi alam rumah tangga buat kali kedua selepas pernah bercerai sebelum ini. Kalau boleh biarlah perkahwinan itu nanti akan kekal sehingga akhir hayat.
"Kebimbangan saya juga adalah terhadap anak yang mungkin akan rasa tersisih sekiranya kemunculan lelaki lain dalam hidup kami," katanya kepada mStar Online.
Nana berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Gegar Vaganza yang diadakan di The Gardens Theater di sini, Isnin.
Penyanyi lagu Cinta Hanya Sandaran itu sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Faizal Yusop sebelum bercerai pada tahun 2009. Bagaimapun Faizal yang berkahwin lain meninggal dunia pada 1 Januari 2011 akibat serangan jantung.
Dalam pada itu, Nana berkata, dia mungkin akan mula berfikir tentang perkahwinan secara serius hanya selepas usia Ryyan mencecah sembilan tahun.
Ini kerana katanya, sebagai ibu dan bapa kepada anaknya itu, dia ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada kanak-kanak berkenaan memandangkan Ryyan masih kecil.
"Mencari pengganti bukan mudah tambahan pula saya hadir dengan 'pakej' (punyai anak) namun saya tidak terlalu tertekan memikirkan perkara berkenaan kerana buat masa ini Ryyan adalah keutamaan saya.
"Dia hanya mengenali saya sebagai ibu dan bapanya dan biarlah dia besar sedikit dahulu sebelum saya fikir soal kahwin," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nana memberitahu dia teruja dapat menyertai program Gegar Vaganza musim kedua kerana ia adalah platform terbaik untuknya memperkenalkan kembali namanya kepada peminat.
Kata Nana, walaupun berasa sedikit gementar untuk bertanding dengan nama-nama besar lain namun dia menyahut cabaran tersebut.
"Saya tidak pernah hilang dari dunia nyanyian cuma kurang muncul dalam program televisyen atau pun radio namun Gegar Vaganza adalah peluang saya untuk merancakkan kembali karier.
"Menerusi program itu juga saya dapat mengadakan persembahan dan menyanyikan pelbagai genre lagu mengikut tema diberikan nanti," jelasnya.
Selain Nana, 11 peserta lagi yang turut bertanding adalah Nassier Wahab, Azian Mazwan Sapuan, Faradhiya, Amir (Ukays) dan Ezlynn.
Turut menyertainya ialah Acong (Sweet Child), Sheeda, Nizam (Laksamana), Haiza, Zul (Handy Black) dan Ezad Lazim.
Gegar Vaganza musim kedua akan bersiaran selama lapan minggu bermula 18 Oktober ini dari Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Ia turut disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).
Nana diminta buka tudung
SEMAKIN ramai artis kita yang mengambil pendekatan untuk melakukan hijrah dan pastinya, ia adalah suatu perkara yang positif apatah lagi ia memang dituntut dalam diri setiap individu yang mengaku beragama Islam.
Namun bukanlah perkara asing apabila ada segelintir pihak yang memandang ringan penghijrahan mereka dan perkara tersebut turut berlaku pada penyanyi, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa dengan panggilan Nana.
"Sebolehnya saya tidak mahu bercerita berhubung perkara ini kerana ia bukanlah suatu perkara yang manis tetapi apabila ada pihak bertanya, tidak salah rasanya kita berkongsi.
"Perkara ini berlaku pada sambutan Aidilfitri yang lalu di negara jiran, pada mulanya nama saya sudah tersenarai sebagai salah seorang penyanyi yang akan membuat persembahan.
"Tetapi pada waktu tersebut, mereka tidak tahu saya sudah berhijab, jadi beberapa hari sebelum tarikh persembahan mereka meminta saya untuk membuka tudung dan pastinya saya tidak bersetuju dengan permintaan mereka.
"Disebabkan itu juga, nama saya digugurkan pada saat-saat akhir. Saya tidaklah berasa kecewa atau terkilan kerana saya percaya, rezeki ada di mana sahaja dan yang penting adalah usaha kita," jelasnya.
Nana ditemui sewaktu majlis Fitrah Qurban yang dianjurkan oleh kumpulan Usrah Fitrah bertempat di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh bersempena sambutan Aidiladha baru-baru ini.
Nana yang kini berusia 29 tahun berkata, setelah berhijrah dengan memakai tudung sejak penghujung tahun 2011 lalu, dia dapat merasakan dirinya lebih dihargai oleh masyarakat khususnya peminat.
"Jujur saya katakan terdapat perbezaan sewaktu sebelum bertudung dan selepas, kerana sebelum bertudung dahulu masyarakat tidak ramai yang mengenali siapa saya.
"Tetapi selepas bertudung, pengiktirafan dan penghargaan itu jauh berbeza dan ini menguatkan lagi hati dan semangat saya untuk terus berubah ke arah kebaikan," katanya.
Nana juga mengatakan dia sedang dalam proses melancarkan single baru namun sedang mencari pasangan duet sesuai untuk projek tersebut.
Selain itu, penyanyi yang popular dengan lagu seperti Gurauan Berkasih dan Bakawali ini juga terlibat dengan program Shoutul Quran yang akan disiarkan di TV9 awal tahun hadapan.
Nubhan tempat Siti Nordiana meluah perasaan
SETELAH bercerai dengan pelakon drama Allahyarham Mohd. Faizal Yusop pada tahun 2009, sehingga kini penyanyi Siti Nordiana atau Nana belum menemui pengganti.
Sepanjang tempoh empat tahun bergelar ibu tunggal, penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Hanya Sandaran itu agak jarang dikaitkan dengan mana-mana lelaki.
Bagaimanapun, baru-baru ini Nana, 29, digosipkan dengan penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 6, Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubahan Ahamad, 27.
Hubungan mereka dikatakan agak rapat sekarang. Gosip berkenaan tercetus apabila kedua-duanya dikatakan bercuti bersama-sama di Pulau Perhentian, Terengganu bulan lalu bersama lapan orang rakan yang lain.
Ibu kepada Muhamad Rayyan Nakhaie, 5, yang ditemui pada majlis bersempena program Melodi Raya anjuran TV3 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini, menjawab spekulasi tersebut secara terbuka.
Kosmo!: Sepanjang bergelar janda, anda jarang dikaitkan dengan mana-mana lelaki. Boleh jelaskan hubungan anda dengan Nubhan yang kini hangat diperkatakan?
SITI NORDIANA: Apa yang boleh saya katakan, memang kami berkawan rapat sejak setahun yang lalu. Antara punca saya dan Nubhan rapat kerana masing-masing berasal dari Negeri Sembilan dan status kami sebagai artis.
Sepanjang berkenalan dan berkawan rapat, saya lihat dia seorang lelaki yang baik dan selalu mengambil berat. Sejujurnya dia menjadi tempat untuk saya meluahkan perasaan sekiranya ada sebarang masalah.
Kenyataan anda ini seolah-olah menandakan ada satu ikatan istimewa antara anda dan Nubhan. Apa status sebenar hubungan kalian berdua sekarang?
Seperti yang pernah dijelaskan sebelum ini hubungan kami tidak lebih daripada sekadar teman rapat, malah saya menganggap dia seperti seorang adik memandangkan usianya yang lebih muda dua tahun daripada saya.
Misalnya, kalau dia ada melakukan sebarang kesalahan yang kecil saya akan terus tegur dia, seolah-olah teguran daripada seorang kakak kepada adiknya. Jika ada yang kata kami bercinta, ia tidak benar sama sekali.
Adakah anda dan Nubhan selalu keluar bersama-sama?
Tidaklah selalu sangat kerana masing-masing ada kerja dan komitmen sendiri. Lagipun kini kami agak jarang berjumpa kerana Nubhan sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri.
Anda sudah bergelar ibu tunggal selama empat tahun. Adakah anda telah bersedia untuk mencari pengganti?
Kalau bercerita tentang jodoh, wanita mana yang tidak mahu berkahwin. Malah, saya sendiri sudah bersedia untuk kembali bergelar isteri. Cuma sehingga kini saya belum bertemu dengan lelaki yang sesuai.
Apakah ciri-ciri lelaki calon suami anda itu nanti?
Tentang pemilihan calon suami pula saya bukanlah jenis yang terlalu memilih. Namun sudah tentu saya mahu mencari lelaki yang kuat pegangan agama serta boleh menerima dan menyayangi anak saya dengan sepenuh hati.
Sebenarnya bukan mudah untuk mencari lelaki yang boleh dijadikan calon suami. Saya akui pernah didekati beberapa orang lelaki, namun mereka seperti tidak betul-betul serius. Kini soal jodoh saya serahkan kepada Allah.
Ceritakan sedikit tentang perkembangan kerjaya nyanyian anda?
Saya masih aktif menyanyi dan banyak buat persembahan di merata-rata tempat.
Tak lama lagi, saya akan keluar dengan single terbaharu dan berduet bersama Syura setelah kali terakhir berkolaborasi dengannya pada tahun 2003 menerusi lagu Bakawali.
Proses rakaman untuk lagu baharu kami itu masih lagi pada peringkat pemilihan lagu yang sesuai. Kami mengekalkan genre etnik kreatif, tetapi ada sedikit elemen rap dalam lagu tersebut.
Siti Nordiana Anggap Nubhan Seperti Adik
Penyanyi Siti Nordiana menjelaskan hubungan akrabnya dengan penyanyi Nubhan, 27, adalah seperti adik beradik dan tidak lebih daripada itu.
Siti Nordiana atau lebih mesra dipanggil Nana, 29, berkata, penyanyi lelaki itu merupakan rakan baiknya yang sering berkongsi masalah dan membantu ketika dalam kesusahan.
"Ya, Nubhan antara kawan lelaki yang rapat dengan saya tapi bukan dia sahaja, ramai lagi cuma mungkin orang hanya kenal dia sebab dia artis.
"Bagaimanapun saya anggap dia sebagai adik sahaja kerana dia memang seorang yang baik dan sering membantu jika saya dalam kesusahan," katanya kepada mStar Online.
Tambah Nana, anaknya Muhammad Rayyan Nakhaie yang kini berusia lapan tahun juga mesra dengan bekas pelajar Akademi Fantasia keenam itu.
"Keluarga kami baik mungkin kerana kami masing-masing dari negeri yang sama iaitu Negeri Sembilan, emak Nubhan selalu masak sedap-sedap dan panggil kami untuk makan," katanya.
Bagaimanapun, ditanya tentang rancangan untuk membina rumah tangga sekali lagi, Nana berkata, hatinya belum terbuka untuk itu.
"Memang ada terfikir untuk berkahwin semula dan ingin cari ayah kepada Rayyan tetapi itu semua adalah ketentuan Allah.
"Saya hanya menerima jika ada jodoh yang datang, namun buat masa ini biarlah saya fokus untuk cari rezeki dan besarkan anak," katanya.
Tambah Nana, ada lelaki yang cuba menghampirinya namun ke banyakkan mereka tidak serasi dan kurang memahami dirinya sebagai ibu tunggal.
"Ada juga lelaki yang cuba ingin berkawan dengan saya tetapi mereka tidak faham tanggungjawab saya sebagai ibu tunggal.
"Ada juga yang tidak serius dan sekadar suka-suka sahaja," katanya.
Terima Anak, Syarat Siti Nordiana Kahwin Lagi
PETALING JAYA: Penyanyi Siti Nordiana memberitahu hanya akan menamatkan zaman jandanya apabila bertemu dengan lelaki yang boleh menerima kehadiran anak lelaki tunggalnya iaitu Mohammad Ryyan Nakhaie, empat tahun.
Siti Nordiana yang lebih mesra dengan sapaan Nana memberitahu, dia meletakkan perkara itu sebagai kriteria utama dalam mencari jodoh kerana keutamaannya kini adalah kepada anaknya itu.
"Secara dasarnya saya sudah bersedia untuk kembali berumah tangga dan ciri-ciri yang saya cari adalah lelaki tersebut kena menerima anak saya dan bukan semata-mata diri saya sahaja.
"Tambahan pula tanggungjawab lelaki itu nanti bukan mudah kerana perlu membesarkan anak saya dan sebab itu saya mahu calon suami saya itu nanti benar-benar bersedia," katanya kepada mStar Online.
Nana sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Allahyarham Faizal Yusop sebelum bercerai pada tahun 2009.
Dalam pada itu, Nana mengakui dirinya sedang berkawan dengan seorang lelaki namun memberitahu hubungan mereka masih dalam peringkat awal.
Nana berkata, dia mahu mengenali hati budi lelaki tersebut terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.
"Saya pernah gagal dalam perkahwinan dan kali ini saya mahu meneliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan tambahan pula saya mencari seorang lelaki yang boleh menjadi bapa kepada anak saya.
"Barangkali lelaki yang saya sedang berkawan itu adalah orangnya atau pun mungkin tidak, Nana mahu cari yang terbaik," ujarnya.
Bercerita lanjut mengenai jejaka tersebut, Nana, 28, memberitahu dia sudah lama mengenalinya dan dia juga sedang berusaha memikat hati Ryyan.
"Dia sebaya dengan Nana dan belum pernah ada pengalaman dengan kanak-kanak jadi dia kini sedang membiasakan diri dengan situasi baru dan setakat ini semuanya berjalan dengan lancar. Jika ada jodoh Nana terima dengan seadanya," ujarnya.
Siti Nordiana Bawa Anak Ziarah Pusara Bekas Suami
PETALING JAYA: Penyanyi Siti Nordiana merancang untuk membawa anak lelaki tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie yang berusia 4 tahun melawat pusara bekas suaminya pada Hari Haya kelima nanti.
Siti Nordiana berkata, dia mahu membawa Rayyan melawat kubur Allahyarham Mohd Faizal Yusup kerana tidak mahu memutuskan silaturahim antara anak dan bapa walaupun Faizal sudah tiada.
"Walaupun bekas suami telah meninggal dunia tetapi saya tidak mahu memutuskan hubungan mereka dan biar Rayyan tahu apa yang terjadi dan berharap apabila dia sudah besar dia akan sentiasa mendoakan kesejahteraan bapanya," katanya kepada mStar Online.
Tambah Siti Nordiana, kesempatan itu juga dia akan melawat keluarga bekas mertuanya di Kuala Selangor dan memberi peluang Rayyan berhari raya dengan mereka.
"Biarpun saya sudah tiada apa-apa lagi hubungan dengan mereka tetapi saya sentiasa menganggap keluarga bekas suami sebagai darah daging sendiri dan Rayyan adalah milik mereka juga.
"Saya mahu Rayyan kenal keluarga arwah bapanya dan berharap silaturahim di antara kami tidak akan terputus," katanya.
Dalam pada itu, Siti Nordiana memberitahu anaknya itu sentiasa bertanyakan tentang Faizal terutama jika drama lakonan arwah ditayangkan di televisyen.
Katanya, Rayyan akan segera memberi respons dengan memanggil Faizal walaupun sudah lama kehilangan bapa.
Sementara itu, Siti Nordiana memberitahu persiapan Hari Raya tahun ini lebih tertumpu kepada anaknya selain menyediakan keperluan untuk ahli keluarganya di Nilai, Negeri Sembilan.
Siti Nordiana berkata, Syawal hanya disambut secara sederhana kerana apa yang paling penting kehadiran ahli keluarga dan sanak saudara dapat memeriahkan suasana.
"Apabila kita merasai kehilangan sesuatu dalam hidup, keluarga akan menjadi perkara paling penting terutama pada Syawal," katanya.
Wanita mualaf ubah Nana
KALAU wanita mualaf boleh berubah dan memakai pakaian menutup aurat, kenapa tidak dirinya yang sememangnya dilahirkan sebagai Islam sejak 28 tahun lalu.
Itulah persoalan yang bermain di minda penyanyi Siti Nordiana Alias ketika membaca artikel berkaitan Islam dalam sebuah majalah pada bulan puasa yang lalu.
Sejak itulah, Siti Nordiana atau Nana tergerak hati untuk mengubah penampilan dirinya menjadi wanita muslimah dengan mengenakan tudung dan mengelak daripada berpakaian seksi.
“Selama ini Nana leka dan tidak mempraktik cara pemakaian wanita Muslimah yang sebenar. Sepatutnya, sudah lama Nana berubah. Apa pun Nana bersyukur kerana Allah telah menggerakkan hati Nana ke arah yang lebih baik.
“Apa yang Nana lakukan ini bukan dipinta oleh sesiapa atau ingin meniru sesiapa, tapi semua atas kehendak diri sendiri. Nana ikhlas untuk berubah demi kebaikan diri sendiri,” katanya terus terang.
Sebelum mendengar penjelasan Nana yang ditemui pada majlis memperkenalkan produk kesihatan di Shah Alam baru-baru ini, S3 tertanya-tanya adakah penampilannya begitu hanya untuk hari itu sahaja.
Bagaimanapun selepas mendengar penjelasan Nana, ternyata dia bukan main-main untuk berubah tapi hijrah yang dilakukan atas dasar kesedaran dan ikhlas kerana tuntutan agama.
“Bukan fesyen terkini daripada Nana atau pakaian rasmi untuk majlis ini. Ini akan menjadi pakaian rasmi Nana di masa akan datang kerana Nana sudah berubah. Sebenarnya sudah lama Nana berniat untuk memakai tudung, tapi baru-baru ini sahaja Nana mampu melakukannya,” katanya.
Menurut ibu kepada Muhammad Rayyan Nakhaie, 3, biarpun cara pemakaiannya berubah namun dia tetap Siti Nordiana yang sama dan akan terus aktif menyanyi.
Menyedari perubahan imejnya bakal memberi impak pada kerjaya, Nana berkata, dia tidak akan beralih genre lagu mengikut penampilan diri tetapi meneruskan apa yang telah dilakukan sebelum ini.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu duet Paling Comel bersama arwah Achik Spin itu berkata, sejajar dengan perubahan imej, dia akan memastikan lagu-lagu dendangannya kelak bersesuaian dengan penampilan.
“Untuk tukar genre pop kepada nasyid tidaklah... tapi mungkin pihak rakaman ada perancangan baru. Apa pun Nana bersedia menerima sebarang perubahan, baik daripada pihak rakaman atau peminat.
“Apa pun Nana percaya, peminat sekarang lebih terbuka. Mereka meminati seseorang artis itu kerana bakat dan bukan kerana penampilan diri. Selagi Nana memberikan persembahan terbaik, Nana yakin akan mendapat sokongan daripada mereka,” katanya yang kelihatan anggun mengenakan busana Koleksi Najjah.
Nana yang sibuk mempromosi single kedua, Semakin Jelas berkata, jika perubahannya itu tidak membantu perkembangan kerjaya, dia reda dengan segala dugaan.
Selain itu, Nana juga berkata, dia sekarang dalam proses mendalami ilmu keagamaan untuk memperbaiki kekurangan diri.
Bertudung bukan kerana fesyen - Nana
SEPANJANG bergelar anak seni, kisah mengenai penyanyi Siti Nordiana Alias sering kali menjadi perhatian. Biarpun namanya tidak terlalu gah berbanding beberapa penyanyi yang lain, namun dia mempunyai peminat tersendiri dan masih lagi mampu bertahan sehingga kini.
Sudah lumrah menjadi seorang artis, apa sahaja yang dilakukan pastinya akan dinilai oleh peminat. Begitu juga dengan apa yang berlaku terhadap penyanyi yang bergelar ibu tunggal ini.
Biarpun jarang terpalit dengan kontroversi hangat, namun namanya pernah sedikit terjejas gara-gara penampilannya ketika hadir pada majlis yang dianjurkan oleh sebuah majalah pada tahun lalu.
Pada majlis berkenaan dia telah mengejutkan ramai pihak apabila tampil dengan gaya yang cukup seksi, sedangkan selama ini dia dikenali sebagai artis yang sering tampil dengan gaya yang sopan.
Gambar-gambarnya pada majlis itu telah tersebar di laman-laman blog sehingga mengundang kecaman pelbagai pihak yang seolah-olah tidak dapat menerima imej yang ditampilkannya itu.
Bagaimanapun, berkesempatan menemui penyanyi yang lebih mesra dengan panggilan Nana itu dalam sebuah majlis, sekali lagi mengejutkan ramai pihak terutama yang hadir pada majlis berkenaan.
Pada kali ini, penyanyi berkenaan tidak lagi tampil dengan gaya seksi seperti sebelum ini. Sebaliknya, kini Nana lebih kelihatan anggun dan menarik apabila dilihat sudah memakai tudung.
"Sebenarnya saya sudah mula memakai tudung sejak bulan puasa yang lalu. Keputusan saya memakai tudung ini bukanlah disebabkan fesyen semata-mata, tetapi ini adalah imej terkini saya dan berharap ia akan kekal sampai bila-bila.
"Lagipun perubahan imej yang saya lakukan ini adalah satu kesedaran terhadap tanggungjawab sebagai seorang wanita muslim. Malah, ini juga adalah langkah awal untuk saya berubah ke arah menjadi seorang insan yang lebih baik," jelasnya.
Menurutnya lagi, dia sebenarnya sudah lama mempunyai niat untuk bertudung memandangkan anaknya iaitu Mohamad Rayyan Nakhaie semakin membesar. Namun, hanya pada bulan puasa yang lalu hasratnya itu dapat direalisasikan.
Sementara itu, ketika ditanya apakah yang membuatkan pintu hatinya terbuka untuk memakai tudung, Nana menjelaskan kesedaran tersebut bermula apabila dia banyak membaca majalah yang berbentuk islamik.
"Dalam kebanyakan majalah yang dibaca, saya sebenarnya cukup tertarik ketika membaca kisah-kisah mengenai saudara baharu. Walaupun baru memeluk Islam, tetapi saya lihat saudara baru terutama yang perempuan tidak keberatan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang muslim.
"Selepas itu baharulah timbul kesedaran dalam diri sehingga saya mengambil keputusan untuk bertudung. Saya akui yang saya ini bukanlah terlampau baik, tetapi saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya berubah sedikit demi sedikit," ujarnya.
Rezeki
Memandangkan kini dia sudah tampil dengan imej yang baharu, Nana menjelaskan tidak bermakna selepas ini dia akan terus berhenti daripada bidang nyanyian. Ujarnya, karier seni masih lagi tetap diteruskan seperti biasa.
"Saya akui pasti ada tanggapan yang mengatakan tawaran untuk saya membuat persembahan akan berkurangan apabila bertudung. Walaupun ada kebenarannya, namun saya sendiri tidak kisah kalau ia benar-benar berlaku.
"Kalau dah rezeki saya tidak lagi di bidang nyanyian, mungkin rezeki saya di bidang yang lain pula. Lagipun bertudung bukanlah satu masalah yang besar kerana peminat sekarang pun sudah terbuka dan mereka tetap boleh terima penyanyi yang bertudung," ujarnya.
Pada masa yang sama, penyanyi berkenaan memberitahu bahawa syarikat rakamannya iaitu FMC Music Sdn. Bhd. turut menerima dengan terbuka perubahannya dan kini mereka sedang mencari lagu baru yang sesuai untuk imej barunya itu.
Ditanya mengenai projek terbarunya ketika ini, Nana berkata, dia akan terbabit untuk membuat persembahan di beberapa buah negeri dalam siri jelajah yang dibuat oleh syarikat Fablous Global Sdn. Bhd.
"Alhamdulillah, meskipun sekarang saya sudah tampil dengan imej bertudung tetapi rezeki untuk menyanyi masih lagi ada. Saya juga sangat berterima kasih kepada pihak Fablous Global kerana sudi mengundang saya untuk sama-sama menjayakan siri jelajah mereka yang akan bermula pada bulan Oktober ini," ujarnya.
Selain Nana, antara artis-artis yang turut menjayakan siri jelajah syarikat jualan langsung yang diterajui oleh Datuk Sarimah Ahmad ialah Pian Cecupak, Mama Rina, Din Belon dan Boy Iman.
Aidilfitri disambut sederhana - Siti Nordiana
BAGI penyanyi yang terkenal dengan lagu Benang Emas, Nana atau nama sebenarnya Siti Nordiana Alias, 27, kehadiran Aidilfitri kali ini akan disambut dengan penuh kesederhanaan.
Menurut Nana, kebiasaannya dia dan anak tunggal kesayangannya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 3 tahun, akan pulang ke kampung halaman di Felda Sendayan, Seremban apabila Aidilfitri tiba.
“Memandangkan kampung Nana di Seremban sahaja, Nana tidak perlu terburu-buru nak balik ke kampung,” ujarnya.
Tambahnya, lebaran tahun ini, dia bersama anaknya akan turut menziarahi pusara bekas suaminya, Mohd. Faisal Yusup yang telah kembali ke rahmatullah pada 1 Januari lalu.
Sebagai insan yang bergelar ibu, Nana mengakui kehidupannya bersama Rayyan ketika ini sudah cukup sempurna.
Bagi Nana, Rayyan adalah permata hatinya dan apa yang dilakukannya dalam karier seni ketika ini adalah untuk kebahagiaan anaknya itu.
Nana bergerak sendiri
Apabila bercerita tentang kerjaya seninya, Nana kini sudah mengambil inisiatif untuk bergerak sendiri dan tidak terlalu mengharapkan bantuan daripada pihak lain.
“Nana telah tubuhkan syarikat sendiri Siti Nordiana Management (SN Management). Tapi ini bukan bermaksud Nana keluar dari FMC Music Sdn. Bhd.
“SN Management adalah syarikat yang bertanggungjawab menguruskan karier Nana sepenuhnya.
“Kiranya, majlis yang diadakan oleh FMC dan SN Management adalah majlis yang berbeza tetapi Nana masih berada di bawah syarikat rakaman tersebut,” jelasnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), baru-baru ini.
Seiring dengan penubuhan SN Management, Nana berhasrat untuk kembali aktif bergerak sendiri dan juga akan mengadakan pelbagai aktiviti bersama peminat.
“Nana akan kembali aktif di Fan Page Nana di Facebook, Siti Nordiana Fans Club.
“Jadi, segala aktiviti yang akan diadakan selepas ini, Nana akan beritahu melalui Facebook,” kata Nana.
Aidilfitri disambut sederhana - Siti Nordiana
BAGI penyanyi yang terkenal dengan lagu Benang Emas, Nana atau nama sebenarnya Siti Nordiana Alias, 27, kehadiran Aidilfitri kali ini akan disambut dengan penuh kesederhanaan.
Menurut Nana, kebiasaannya dia dan anak tunggal kesayangannya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 3 tahun, akan pulang ke kampung halaman di Felda Sendayan, Seremban apabila Aidilfitri tiba.
“Memandangkan kampung Nana di Seremban sahaja, Nana tidak perlu terburu-buru nak balik ke kampung,” ujarnya.
Tambahnya, lebaran tahun ini, dia bersama anaknya akan turut menziarahi pusara bekas suaminya, Mohd. Faisal Yusup yang telah kembali ke rahmatullah pada 1 Januari lalu.
Sebagai insan yang bergelar ibu, Nana mengakui kehidupannya bersama Rayyan ketika ini sudah cukup sempurna.
Bagi Nana, Rayyan adalah permata hatinya dan apa yang dilakukannya dalam karier seni ketika ini adalah untuk kebahagiaan anaknya itu.
Nana bergerak sendiri
Apabila bercerita tentang kerjaya seninya, Nana kini sudah mengambil inisiatif untuk bergerak sendiri dan tidak terlalu mengharapkan bantuan daripada pihak lain.
“Nana telah tubuhkan syarikat sendiri Siti Nordiana Management (SN Management). Tapi ini bukan bermaksud Nana keluar dari FMC Music Sdn. Bhd.
“SN Management adalah syarikat yang bertanggungjawab menguruskan karier Nana sepenuhnya.
“Kiranya, majlis yang diadakan oleh FMC dan SN Management adalah majlis yang berbeza tetapi Nana masih berada di bawah syarikat rakaman tersebut,” jelasnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), baru-baru ini.
Seiring dengan penubuhan SN Management, Nana berhasrat untuk kembali aktif bergerak sendiri dan juga akan mengadakan pelbagai aktiviti bersama peminat.
“Nana akan kembali aktif di Fan Page Nana di Facebook, Siti Nordiana Fans Club.
“Jadi, segala aktiviti yang akan diadakan selepas ini, Nana akan beritahu melalui Facebook,” kata Nana.
Rayyan peneman waktu senggang

SETELAH pemergian Allahyarham Faizal Yusup dan Allahyarham Achik Spin, dua insan yang begitu rapat dengan pelantun lagu Cinta Hanya Sandaran, Siti Nordiana Alias atau Nana mengakui, dirinya agak sepi.
Namun, kehadiran Muhammad Rayyan Nakhaie, 3, anak hasil perkahwinan bersama arwah Faizal sedikit sebanyak mampu menjadi peneman kesepian Nana di kala sunyi.
Jika mempunyai kelapangan, Nana sering membawa Rayyan ke pusat membeli-belah untuk membeli permainan permata hatinya itu.
"Itulah aktiviti yang selalu arwah bapanya lakukan ketika mereka keluar bersama.
"Untuk mengelakkan Rayyan terasa kehilangan bapanya, saya sering membawanya membeli permainan kesukaannya.
"Pada masa yang sama, saya boleh luangkan masa berkualiti bersama Rayyan setelah sibuk dengan karier seni," jelas Nana ketika bertandang ke Studio Utusan baru-baru ini.
Rayyan suka karaoke
SELAIN gemarkan permainan seperti robot dan kereta mainan, ia sesuatu yang menarik apabila Rayyan cukup menggemari aktiviti berkaraoke.
"Seronok melayan keletah Rayyan walaupun ia memenatkan. Sekurang-kurangnya, ia satu senaman buat saya apabila selalu mengejarnya ke sana-sini," seloroh Nana sambil tertawa.
Sekalipun usianya masih kecil, Nana memberitahu, Rayyan cukup suka apabila dibawa ke pusat karaoke.
Kata Nana, walaupun anaknya itu tidak pandai berkata-kata apatah lagi menyanyi, kerenahnya yang cukup aktif di pusat karaoke jelas membuktikan Rayyan begitu seronok.
"Lazimnya, akan ada seorang kawan yang menemani kami berkaraoke.
"Sekiranya salah seorang antara saya atau kawan sedang menyanyi, Rayyan akan melompat-lompat seakan-akan menari mengikut rentak lagu yang sedang dinyanyikan.
"Bagaikan tidak mengenal erti penat, Rayyan akan terus menari selagi muzik berkumandang," terang Nana yang muncul dengan album terbarunya berjudul Semakin Jelas terbitan syarikat rakaman FMC.
Ternyata, Rayyan umpama bintang yang menyinari hidup Nana setelah insan-insan yang pernah akrab dengannya suatu ketika dahulu pergi meninggalkannya buat selamanya.
Penjelasan Siti Nordiana

HAMPIR dua tahun penyanyi manis bernama Siti Nordiana ini tidak keluar dengan sebarang produk solo. Terakhir, naskhah Benang Emas, sebuah album duet bersama arwah Achik dikeluarkan pada 2007.
Bagi menunjukkan kehadirannya dalam bidang nyanyian, Siti Nordiana yang mesra dipanggil Nana kini tampil dengan album terbarunya, Semakin Jelas.
“Kemunculan album baru saya adalah untuk memberitahu peminat tentang perkembangan suara saya selepas sekian lama tidak muncul dengan album baru,” katanya yang muncul dengan imej berani.
Lapan lagu dihadiahkan iaitu dua buah lagu baru serta enam buah lagu yang belum pernah dikeluarkan.
Dia mencuba memberi penjelasan melalui lagu pertama, Tak Tahan, genre pop alternatif menjadi taruhannya. Tampil lain dengan lagu ini, ia tidak canggung didengar dan diadunkan dengan baik oleh suara Nana yang sudah ada ciri khas dan dikenali umum.
“Saya berharap agar pembaharuan yang dilakukan dapat menarik minat golongan generasi baru agar dapat menerima dan membantu menyokong karier saya,” ujarnya dalam temu ramah terbaru dengan Sensasi Bintang.
Lagu baru di trak kedua, Semakin Jelas nukilan Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Ireani Yaacob juga merupakan sebuah material enak didengar dan suara Nana bertambah baik melalui lagu ini. Genre balada memang sudah sebati dengan Nana tetapi melalui lagu ini, suara penyanyi ini kedengaran lebih mahal. Sesuai dengan tajuk yang diberikan, ini adalah sebuah penjelasan kepada peningkatan kualiti vokal Nana. Syabas.
Enam buah lagu ialah Pujuklah Jiwa, Zapin Berzapin, Cintaku Suci Teguh Di Hati dan sebuah lagu duet bersama Syura, Joget Pilihan Jiwa.
Komen Sofia: Suara Nana memang enak untuk lagu tradisional tetapi dengarkan Semakin Jelas. Enak!
Kahwin lagi? Nanti dululah – Nana

KEHILANGAN rakan baiknya, vokalis Spin, Achik dan bapa kepada cahaya matanya, pelakon Faizal Yusof dalam jurang tidak sampai setahun merupakan detik yang amat perit untuk ditelan oleh ibu tunggal ini.
Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md. Shari meninggal dunia dalam satu kemalangan di Kilometer 14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) lebih kurang pukul 6 petang pada 18 April tahun lepas.
Faizal pula meninggal dunia kira-kira pukul 1.45 tengah hari di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 1 Januari tahun ini akibat serangan jantung.
Biarpun begitu, pemilik nama Siti Nordiana Alias atau Nana tidak pernah luntur semangat.
Sebaliknya, dia tahu hidup perlu diteruskan demi untuk membesarkan satu-satunya zuriat yang ditatang bagai minyak yang penuh, Muhammad Rayyan Nakhaie, tiga tahun.
Tempoh 12 tahun berkecimpung dalam dunia seni tidak akan disia-siakan begitu sahaja, justeru, Nana nekad untuk membuat kemunculan semula selepas sepi tanpa sebarang produk hampir dua tahun.
Dengan itu, demi memberitahu umum bahawa dia masih lagi relevan dalam bidang seni suara, Nana bakal muncul dengan sebuah album baru bertajuk Semakin Jelas yang telah berada di pasaran sejak 14 Mac lalu.
“Hampir dua tahun saya tidak mempunyai produk selepas album duet kedua saya dengan arwah Achik iaitu Benang Emas terbitan FMC Music Sdn. Bhd. pada tahun 2007.
“Kemunculan album baru saya adalah untuk memberitahu peminat tentang perkembangan suara saya selepas sekian lama tidak muncul dengan album baru,” katanya yang ditemui semasa menghadiri sesi fotografi di Kosmo! baru-baru ini.
Hadir ditemani putera tunggalnya itu, Nana memberitahu, album solo keenamnya memuatkan lapan buah lagu termasuk dua buah lagu baru iaitu Semakin Jelas dan Tak Tahan di samping enam buah lagu yang belum pernah diperdengarkan lagi.
Album yang memakan masa hampir tiga bulan untuk disiapkan itu turut dimuatkan dengan dua buah lagu berirama pop tradisional dan sebuah lagi lagu duet bersama penyanyi irama Malaysia, Syura.
Bercerita tentang album tersebut, kata Nana ia merupakan pertaruhan terkini kariernya sebagai seorang penyanyi dan pelbagai perubahan yang telah dilakukan.
Penyanyi yang sering tampil dengan muzik bergenre balada itu turut memberikan kelainan dalam Semakin Jelas menerusi genre pop alternatif melalui lagi Tak Tahan.
Pendekatan mencuba genre yang berlainan perlu dilakukan untuk mengikut perkembangan aliran muzik semasa dan sebagai petanda bahawa Nana mampu menjadi seorang penghibur yang versatil.
“Saya berharap agar pembaharuan yang dilakukan dapat menarik minat golongan generasi baru agar dapat menerima dan membantu menyokong karier saya,” tuturnya.
Berbicara tentang kehidupan peribadi, penyanyi berusia 27 tahun itu memberitahu, sejak pemergian bekas suaminya, dia perlu terus berusaha gigih dalam kerjaya nyanyiannya agar masa depan anaknya terbela.
“Setakat ini, rezeki saya bertambah baik. Tawaran jemputan dan undangan nyanyian juga tidak menghampakan dan jadual saya juga agak padat sekarang.
“Keadaan sudah berbeza. Dulu arwah yang menanggung kos anak, tetapi kini saya yang perlu ambil alih. Saya mahu anak saya membesar dengan sempurna, cukup makan, cukup pakai dan segala-galanya,” ujar Nana yang pernah berkhidmat sebagai kaunselor pendidikan di Unity College International, Petaling Jaya.
Puas berbicara soal karier, Nana diajukan pula persoalan jika dia sudah bersedia untuk mencari pengganti yang boleh membimbing diri dan juga anaknya.
Terdiam sejenak, Nana hanya tersenyum sebelum memberi reaksi.
“Nanti dululah. Jadual saya sedang padat. Selain itu, saya perlu fokus kepada anak saya terlebih dahulu,” ujar penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu dengan ringkas.
Siti Nordiana & Rosmunira Hapus Dendam Selepas Kematian Faizal

PETALING JAYA: Penyanyi Siti Nordiana atau Nana, 27, yang sebelum ini begitu kecewa dengan keruntuhan rumah tangganya dengan pelakon Faizal Yusop,33, mengakui tidak lagi menyimpan dendam terhadap isteri bekas suaminya, Rosmunira Rashid, 27.
Siti Nordiana mengaku sebelum ini hatinya pernah terluka kerana perpisahan itu sehingga menganggap Rosmunira sebagai penyebab keruntuhan rumah tangganya.
Bagaimanapun, selepas kematian Faizal pada 1 Januari lalu, perasaan tersebut hilang, sebaliknya berubah menjadi simpati.
“Sebelum ini saya beranggapan buruk kepada dia (Rosmunira) dan tidak pernah terfikir untuk berbaik. Namun ketika kali pertama berjumpanya di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) pada hari kematian Faizal, perasaan tersebut bertukar menjadi simpati.

Rosmunira (kiri) menyiram air mawar di pusara arwah suaminya yang meninggal dunia pada 1 Januari lalu. Gambar: Utusan Malaysia
“Segala yang saya fikirkan tentang dia selama ini lain sama sekali. Saya menganggap penderitaan dia yang kehilangan suami ketika sedang mengandung lebih perit daripada saya yang diceraikan ketika anak sedang membesar,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online.
Pelakon Mohd Faizal Yusop meninggal dunia di Pusat Rawatan Islam pada 1 Januari lalu kira-kira pukul 1.45 petang akibat serangan jantung.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rosmunira yang sedang mengandung 5 bulan dan seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu dengan Siti Nordiana iaitu Muhammad Rayyan Nakhaie, yang kini berusia 2 tahun 9 bulan.
Siti Nordiana berkata, hubungan dia dan balu Allahyarham menjadi lebih akrab selepas peristiwa sedih itu dan menganggap kejadian tersebut memberi satu hikmah buat mereka.
“Bila saya fikir sudah setahun saya bercerai dan mengapa perlu menyimpan perasaan marah terhadap orang lain.

"Anak dalam kandungan Rosmunira juga adik kandung kepada Rayyan. Dia juga melayan saya dengan baik walaupun kami tidak pernah berjumpa sebelum ini.
“Sekarang ini kami sering berhubung melalui telefon dan SMS untuk mengetahui keadaan masing-masing. Dia juga meminta kebenaran saya untuk menjaga Rayyan beberapa hari bagi mengisi kesunyian dan kerinduan terhadap Allahyarham,” katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, sebelum meninggal dunia, Allahyarham meminta mereka berdua agar berbaik.
“Rosmunira ada beritahu saya sebelum meninggal dunia, Faizal pernah banyak kali meminta agar kami dapat berbaik dan tidak lagi berdendam,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya tentang riak wajahnya yang dikatakan kelihatan seolah-olah tidak begitu sedih pada hari kematian tersebut, dia memberitahu tidak mampu untuk menangis lagi.
“Saya sangat sedih sehinggakan tidak mampu lagi untuk mengeluarkan air mata. Ketika Allahyarham nazak saya berada di sisinya. Namun begitu saya juga tidak mahu anak saya lihat saya terus berkeadaan begitu.
“Rayyan sendiri bertanya kepada saya mengapa semua menangis di hadapan ayahnya,” katanya.
Gaun Pendek Saya Tak Seksi Melampau - Siti Nordiana

PETALING JAYA: Penyanyi Siti Nordiana Alias, 26, menegaskan penampilan barunya yang memakai gaun pendek di majlis parti Eh! yang diadakan baru-baru ini tidaklah terlalu seksi seperi yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Menurut Siti Nurdiana atau lebih selesa dipanggil Nana, penampilannya yang mengenakan gaun rekaan Hani Suraya itu sebagai tanda pembaharuan diri serta kemunculan baru dalam industri seni setelah lama menyepi.
"Sebenarnya saya tak rasa pun gaun itu seksi. Mungkin orang tidak pernah melihat saya berpakaian begitu, sebab itulah ramai yang terkejut sedangkan saya memakai gaun seperti itu mengikut kesesuaian majlis. Lagipun inilah kali pertama saya memakai gaun pendek di depan khalayak.
"Rasanya, gaun yang saya pakai itu tak seksi melampau. Takkan saya nak berimej yang sama saja, nanti orang bosan pula.
"Penampilan baru ini juga merupakan imej sempena dengan keluaran single lagu terbaru saya yang berjudul 'Tak Tahan'. Apapun, saya tak kisah dengan tanggapan orang kerana mereka mempunyai hak untuk memberikan pandangan dan saya terima itu," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Beritahu Nana, pembaharuan bukan sahaja dilakukan terhadap imejnya malah muzik yang dibawakan turut berbeza berbanding nyanyiannya dulu yang kini tampil dengan muzik alternatif rock dalam lagu barunya itu.
"Lagu 'Tak Tahan' adalah projek solo pertama saya setelah dua tahun menyepi dan saya tampilkan muzik yang lain kepada peminat-peminat.
"Kalau saya tampilkan lagu baru dengan konsep balada seperti dulu, orang akan tahu lagu tersebut saya yang nyanyi. Jadi saya nak ubah pandangan masayarakat bahawa saya juga mampu membawa muzik berbeza genre," ujar anak kelahiran Negeri Sembilan itu.
Sementara itu, Nana berkata dia telahpun berhenti kerja sebagai Kaunselor Pelajaran di City Universiti Kolej, Petaling Jaya, Selangor, kerana ingin memberi fokus pada karier seninya.
"Sebenarnya bila dah biasa bergelar anak seni, agak sukar untuk saya bekerja mengikut waktu pejabat. Bila ada apa-apa sesi fotografi, susah saya nak ambil cuti.
"Tambah pula sekarang ini saya perlu fokus dengan single baru saya dan kemudiannya album terbaru pula. jadi saya buat keputusan untuk berhenti kerja dan naikkan karier saya semula sebaik mungkin.
"Sekarang ini saya juga menjinakkan diri dalam bidang lakonan. Buat masa ini saya baru sahaja habis sesi penggambaran bagi telefilem Nenas Dan Ikanku dan sebelum ini pula, saya berlakon bagi drama Aku Budak Minang 2.
"Sekarang ini fokus saya ialah saya mahu meniakkan nama saya semula tidak kira dalam apa jua bidang yang berkaitan dengan seni. Maklumlah saya dah tak bekerja lagi. Jadi kena kerja kuat demi anak," akhirinya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]

